Rabu, 31 Mac 2010

Berapa dosa kau buat, berapa kali maksiat, ingatlah Akhirat!



1) Kini antara kumpulan yang begitu popular dari Indonesia adalah Wali Band.

2) Dengan rentak lagu yang mudah dan simple serta catchy ia berjaya menarik minat mereka yang mendengar lagu mereka seperti Cari Jodoh, Tobat Maksiat, Mari Solawat dan Ya Allah.

3) Walaupun mereka bukanlah kumpulan nasyid, namun lagu yang ditampilkan dengan lirik yang berkesan, sangat menarik perhatian para remaja kini.

4) Di antara lagu yang berkesan liriknya, walaupun muziknya agak rancak ialah Tobat Maksiat. Di antara liriknya-Berapa dosa kau buat,berapa kali maksiat, ingatlah akhirat.

5) Sebagai hamba Allah kita banyak dosa dan melakukan kesalahan. Kadangkala tidak bertaubat atas dosa yang kita lakukan.

6) Melakukan maksiat memang best, tetapi hanya ketika itu sahaja. Kesannya akan menghantui seumur hidup kita. Kita yakin adanya akhirat, namun selalu tewas akibat terpedaya dengan godaan nafsu dan syaitan.

7) Moga Allah mengampunkan dosa kita, yang pastinya menunggu bilakah saat kematian akan menjemput tanpa sebarang signal dari Allah SWT.







31 Mac 2010, 15 Rabi'ul Akhir 1431 Hijrah,

10.49 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 30 Mac 2010

Nilai sebuah kejujuran dalam politik



1) Ada orang berkata, bila mana kita jujur, kita mudah dipermainkan orang.

2) Namun begitu, adakala kejujuran dipandang tinggi. Apabila Dr Chua Soi Lek mengaku sebagai aktor utama dalam video seks yang tersebar, ia mendatangkan kejutan. Akhirnya, kini ia mendapat simpati dari ahli MCA.

3) Zulkifli Nordin, Zahrain dan yang terbaru Wee Ka Cheong dengan jujur mengaku betapa banyaknya putar belit yang ada dalam Pakatan Rakyat.

4) Saya tidak pasti bagaimana kita menilai kejujuran ini? Ada yang terpaksa jujur kerana mungkin sudah mendapat habuan. Ada yang buat-buat jujur kerana inginkan habuan. Dan ada yang benar-benar jujur kerana ingin mendapatkan sokongan.

5) Sebab itu, kita hanya mampu menilai dari luaran nilai kejujuran seseorang. Adapun tentang dalamnnya, serahlah kepada Allah untuk menilai benar palsunya kejujurannya itu.




30 Mac 2010, 14 Rabi'ul Akhir 1431 Hijrah,


11.34 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 29 Mac 2010

Perkasa, Presiden MCA dan 1Malaysia

1) Perkasa berjaya menjalankan AGM pertamanya yang dirasmikan oleh Mahathir. Penuh dengan sifat kemelayuan sehingga menganggap Melayulah segala-galanya, menampakkan betapa cauvinisnya Ibrahim Ali dan Mahathir.

2) UMNO ditempelak, Anwar disindir dan PAS juga ditegur. Ibaratnya, hanya Perkasa yang berjuang mempertahankan hak Melayu Islam.

3) Presiden MCA yang baru juga sudah dinobatkan. Bukan untuk menghina, namun jika perwakilan sudah merestui pemimpin yang mempunyai skandal seks, maka mungkin selepas ini pemimpin bebas melakukan apa sahaja kerana penyokongnya berdiri teguh di belakang mereka.

4) Ataupun kaca mata moral tidak terlihat pada pandangan perwakilan MCA. Di saat setiap agama menyeru agar penganutnya melakukan kebaikan, segelintir dari mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh agama.

5) 1Malaysia dimomokkan sebagai bersamaan dengan 1Israel. Samada ia benar atau tidak, perlukan penjelasan lanjut oleh Anwar Ibrahim tentang Apco Worldwide.

6) Di kala umat Islam di Palestin terus dibedil oleh Israel, kita bertanya mengapa syarikat sebegini juga diambil menjadi penasihat berhubung hal komunikasi dan penerangan negara. Apakah mereka tidak sedar bahaya yang menanti di sebalik musyarakah bersama syarikat Yahudi itu?

7) Kesimpulannya, UMNO dan BN masih keliru. Di saat IMalaysia dialungkan untuk menyatupadukan rakyat, Perkasa hadir dengan sifat kemelayuan yang melampau. Di saat bayi luar nikah dibuang berleluasa, Presiden MCA yang baru diangkat seolah-olah simbol menggalakkan perbuatan ini terus dilakukan. Dan di saat 1Malaysia diangkat menjadi slogan utama negara, 1Israel pula menghantui kita!



29 Januari 2010,


8.03 pagi, Malaysia Timur



0

Rabu, 24 Mac 2010

Wajarkah pendidikan seks di sekolah?



1) Hari demi hari isu pembuangan bayi semakin berleluasa.

2) Tahun 2009 sahaja, hampir 17,000 anak tidak sah taraf dilahirkan di seluruh negara.

3) Negara kita mungkin hebat dari kepelbagaian infrastruktur dan prasarana yang bertaraf dunia, namun mentaliti rakyatnya masih di kelas ketiga.

4) Bangunan pencakar langit kita hebat, tetapi pembangunan modal insan tidak sehebat itu. Jauh sekali mencapai impian mantan PM-Pak Lah iaitu Towering Personality.

5) Turki mungkin dianggap negara sekular. Mahasiswi tidak dibenarkan memakai tudung di universiti, namun PM Turki berani mempertahankan maruah Islam dari dihina oleh Presiden Israel di Sidang Ekonomi Dunia Davos tahun lepas.

6) Namun begitu, dalaman mereka hebat. Para huffaz berjumlah ribuan orang. Manakala, solat subuh berjamaah setiap hari dipenuhi oleh jamaah.

7) Hari ini, anak-anak kita begitu advance. Lambakan VCD lucah, kondom yang mudah didapati, iklan safe sex(boleh seks, tetapi amalkan pemakaian kondom), dan searching Internet yang membolehkan mereka menelaah dunia tanpa sempadan, dan dengan hanya menaip beberapa patah perkataan.

8) Justeru, bila isu pendidikan seks di sekolah ditimbulkan kembali-mari kita berbahas tentang kewajarannya. Dalam Islam, diajar anak-anak lelaki dan perempuan dipisahkan tempat tidur bila berumur 10 tahun, 3 waktu dilarang masuk ke dalam bilik ibu ayah dan ibu ayah menerangkan bahawa anak-anak sudah aqil baligh, apabila si lelaki bermimpi dan keluar air mani, manakala si perempuan didatangi haid.

9) Semoga kewajaran pendidikan seks di sekolah demi mencegah perlakuan seks bebas, zina dan pembuangan bayi dapat diperluaskan perbahasannya terlebih dahulu, sebelum menetapkan sebarang polisi.



24 Mac 2010, 10 Rabi'ul Akhir 1431 Hijrah,

11.15 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 23 Mac 2010

Bangkitnya mereka yang berjiwa Islam



1) Sekalung tahniah buat JAKIM kerana berjaya menerbitkan program realiti buat generasi pewaris-Adik-Adikku, yang saya yakin berjaya menjadi alternatif kepada rancangan realiti, yang juga buat generasi pewaris seperti Bintang Kecil.

2) Namun begitu, usaha awal ini jangan terhenti setakat itu sahaja. Golongan sekular samada yang dipergunakan oleh Yahudi secara langsung atau tidak, pasti akan terus menusukkan jarum mereka ke dalam jati diri umat Islam di negara ini, melalui media massa yang dikuasai mereka.

3) Sejuk hati dan sedikit sebak melihat kepetahan anak-anak kita menyampaikan pidato yang bersemangat, dan kadangkala menyentuh emosi kita sebagai penonton sewaktu disiarkan secara langsung di RTM 1, malam Jumaat-18 Mac yang lepas.

4) Selain itu, usaha awal Dewan Pemuda Masjid yang memfailkan saman pemula ke atas SIS Forum Malaysia kerana menggunakan Sisters in Islam amat dihargai. Di kala SIS secara wewenangnya mengeluarkan pelbagai kenyataan yang mengguris hati umat Islam, usaha ini dilihat langkah yang bijak bagi menyekat perjalanan golongan liberal ini.

5) Pada waktu yang sama, kita bimbang dan sedih kerana isu pembuangan bayi semakin berleluasa. Dianggap jahiliah moden yang jauh mengatasi jahiliah sebelum kebangkitan Nabi SAW. Justeru, pentingnya mereka yang berjiwa Islam bangkit dalam menakluk pemikiran umat agar kembali di landasan yang benar.

6) Cadangan kalimah Allah mengganti kalimah Tuhan di dalam Rukun Negara perlu dinilai bersama. Jika non-Muslim boleh menerima kalimah Allah, kenapa tidak digunakan kalimah itu menggantikan perkataan Tuhan. Saya pasti ia akan menimbulkan banyak perbahasan pro dan kontra.

7) Apapaun semoga Allah SWT memelihara bumi Malaysia dari mereka yang mementingkan diri sendiri dan kelompok mereka, sebaliknya mengurniakan kumpulan pemerintah yang mampu mentadbir atas lunas keadilan dan berkebajikan.



23 Mac 2010, 9 Rabi'ul Akhir 1431 Hijrah.

10.08 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 22 Mac 2010

Bila politik Malaysia kembali aman?



1) Satu persatu kebobrokan ditampilkan kepada rakyat di kalangan politikus negara.

2) Terutamanya yang sudah keluar dari parti asal dan kini menjadi bebas. Atas alasan dipilih rakyat, mereka tidak mahu mengosongkan kerusi, sedangkan menangnya mereka dahulu kerana atas nama parti.

3) Begitulah apabila sudah benci, diungkit segala rahsia, manakala segala kebaikan dilupa. Sebaliknya, sewaktu berkasih dahulu, semuanya indah di pandangan mata, biarpun mungkin panau dan kurap di seluruh badan.

4) Politik Malaysia kini bergegar lagi dengan kejutan demi kejutan. Ada yang terkejut, ada yang menggeleng kepala dan ada yang berkata " Benarkah?"

5) Kalau kita menilai, sepanjang 2 tahun selepas 8 Mac 2008, tidak begitu banyak soal kemaslahatan rakyat dibincangkan, melainkan demi memenuhi kepentingan agenda peribadi semata-mata.

6) Persoalan yang selalu timbul di benak kepala " Bila politik Malaysia akan aman seketika?"


22 Mac 2010, 6 Rabi'ul Akhir 1431 Hijrah,

2.28 petang, Malaysia Timur

Rabu, 10 Mac 2010

Manusia dalam keadaan susah payah



1) Malam tadi saya sempat terbaca tentang tafsir ayat ke-4, surah al-Balad yang bermaksud " Sesungguhnya kami menciptakan manusia itu berada dalam keadaan susah payah".

2) Dr Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir menerangkan bahawa, manusia sememangnya mengalami kesusahan sejak awal kelahiran, menghadapi pelbagai kesusahan sewaktu hidup di atas dunia, kesusahan sewaktu di alam barzakh dan kesengsaraan ketika berada di alam akhirat.

3) Namun begitu, para ulama juga mengulas ia merupakan motivasi kepada Nabi SAW yang perlu bersabar dalam menghadapi pelbagai kesukaran dalam menyampaikan dakwah Islam.

4) Benar, untuk berjaya kita perlu menempuh jalan sukar. Amat sedikit mereka yang berjaya dengan sekelip mata. Lazimnya, setelah berusaha dengan segala kemampuan kita, kita beroleh kejayaan.

5) Justeru, bagi mereka yang hanya mengharap kejayaan datang bergolek, perlu dilupakan niat sebegitu. Perhatikanlah mereka yang berjaya hari ini, khususnya Nabi SAW, perlu melalui pelbagai rintangan sehinggalah akhirnya Islam tersebar ke seluruh dunia.

6) Moga ayat ini menjadi iktibar buat kita.



10 Mac 2010, 24 Rabiul Awwal 1431 Hijrah,

9.35 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 8 Mac 2010

Masih ada cahaya buat Pakatan Rakyat



1) Rumah api di tepi lautan sangat bermakna buat kapal yang berlayar. Tanpa rumah api, mungkin kapal akan tersasar haluannya.

2) Pakatan Rakyat juga ibarat sebuah kapal yang terdapat 3 penumpang besar di dalamnya-PAS-PKR-DAP.

3) Ada kalanya kapal PR ini terpaksa menempuh gelora dan badai yang ganas. Jika teguh, kapal dapat berlayar dengan baik, jika tidak pastinya akan karam.

4) PKR antara parti baru dan sentiasa digugat oleh musuh. Justeru, tidak hairan apabila PKR menjadi sasaran musuh, lantaran ahlinya yang ada di antaranya belum teruji dengan pelbagai konflik dalaman parti.

5) Secara umum, meskipun media massa memomokkan Pakatan Rakyat gagal setelah 2 tahun memerintah, rakyat pasti dapat menilai sedikit sebanyak perbezaan di antara kerajaan ditabdir BN dan PR.

6) Bahkan, tidak adil jika dibuat perbandingan BN telah memerintah hampir 50 tahun, sedangkan PR baru beberapa tahun memerintah-tidak termasuk Kelantan yang telah diperintah oleh PAS hampir 20 tahun.

7) Rakyat pastinya masih memberikan harapan buat PR. Mereka yang keluar parti, pastinya dilihat sebagai mereka yang tidak berpendirian. Dan saya yakin masih ada cahaya buat Pakatan Rakyat, selama mana ia tidak mensia-siakan harapan rakyat dan melakukan yang terbaik demi rakyat.


8 Mac 2010, 22 Rabiul Awwal 1431 Hijrah,

12.05 tengahari, Malaysia Timur

Khamis, 4 Mac 2010

PKR di ambang bahaya atau proses pemulihan?

1) Satu demi satu ahli PKR samada yang memegang amanah sebagai MP atau ADUN keluar parti.

2) Sekali pandang, PKR bakal menuju kehancuran.

3) Namun, apabila diteliti mungkinkah ini suatu proses pemulihan di dalam PKR?

4) Saya yakin, rakyat boleh menilai perkara ini. Bagi mereka yang celik, keluarnya beberapa individu dari PKR, mungkin kerana jati diri perjuangan yang belum teguh dan tergoda dengan pelbagai tawaran di luar parti.

5) Bagi mereka yang sekali pandang,PKR di ambang bahaya.

6) Anwar Ibrahim perlu cekap dalam menghadapi situasi terkini PKR. Sebarang decision making yang salah, bakal memberi kesan yang besar kepada PKR dan Pakatan Rakyat itu sendiri.

7) Justeru, kita dapat melihat betapa sepak terajang politik ini sangat unik. Hanya mereka yang mempunyai azam yang teguh, jati diri yang kental dan hala tuju perjuangan yang jelas, dapat beristiqamah di atas landasan kebenaran.


4 Mac 2010, 18 Rabiul Awwal 1431 Hijrah,

8.56 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 1 Mac 2010

al-Fatihah buat arwah Wajdi Mayusoh


(Gambar dari blog arwah-Ibnu Mayusoh.blogspot.com)

1) Saya terkejut bila menerima SMS dari beberapa sahabat, yang memaklumkan sahabat yang pernah saya kenal di UM dahulu, meninggal dunia akibat kemalangan di Gua Musang.

2) Yang dimaksudkan adalah arwah Wajdi Mayusoh yang juga merupakan mantan Presiden Persatuan Mahsiswa Kelantan UM tahun 2000.

3) Sepanjang persahabatan dengan arwah, dikenali arwah sebagai seorang yang ceria, mudah tersenyum, tekun bila diberikan tugasan dan sanggup mempertahankan kebenaran bila Islam dicabar.

4) Walaupun tidak serapat mana, namun saya mengenang arwah sebagai seorang yang ringan tulang, dan tiada banyak alasan bila dimohon pertolongan.

5) Beliau juga pernah berkhidmat dengan Harakah, dan semalam adalah tugas baru arwah untuk mengajar di sebuah sekolah di Gua Musang selepas menamatkan KPLI.

6) Meninggalkan seorang balu dan seorang anak, pemergian beliau pasti amat dirasai oleh mereka yang terdekat dengan arwah. Kematian beliau dalam perjalanan untuk menyampaikan ilmu kepada anak murid di sekolah, diharapkan merupakan jemputan kemuliaan Allah yang lebih menyayangi beliau, yang baru berusia sekitar awal 30-an.

7) Moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh arwah dan takziah buat keluarga arwah. Berita tentang kejadian kemalangan boleh dibaca di Utusan Malaysia hari ini-2 guru terbunuh di Gua Musang akibat mengelak sekumpulan lembu dan dirempuh bas.



1 Mac 2010, 15 Rabi'ul Awwal 1431 Hijrah,

2.49 petang, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude