Selasa, 7 Ogos 2007

Metodologi Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam Kitab al-Amthal fi al-Qur'an(Perumpamaan di dalam al-Qur'an)


BAB SATU

PENDAHULUAN


1.1 Pengenalan

Al-Qur’an al-Karim merupakan mukjizat Islam yang kekal dan mukjizatnya selalu diperkuatkan oleh kemajuan ilmu pengetahuan. Ia diturunkan Allah kepada Rasulullah s.a.w. untuk mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya dan dari kesesatan kepada kebenaran. Ternyata Rasulullah s.a.w. yang dididik dengan manhaj rabbani oleh Allah, menyampaikan al-Qur’an kepada para sahabat ; golongan Arab asli sehingga mereka dapat memahaminya berdasarkan naluri mereka. Jika mereka mengalami kekaburan dalam memahami sesuatu ayat, mereka akan terus merujuk kepada Rasulullah s.a.w. untuk mendapatkan penjelasan.[1]

‘Ulum al-Qur’an yang merupakan ilmu yang membahaskan tentang perkara-perkara yang berkaitan dengan al-Qur’an dari segi asbab al-nuzul, pengumpulan al-Qur’an dan pengetahuan tentang surah Makkiyyah dan Madaniyyah, al-nasikh dan al-mansukh, al-muhkam dan al-mutasyabih, mutlaq dan muqayyad, qasam al-Qur’an, turut membicarakan tentang amthal al-Qur’an yang merupakan antara ilmu penting dalam memahami al-Qur’an.

Sesungguhnya suatu perkara yang tinggi makna dan tujuannya akan lebih menarik jika dimasukkan ke dalam kerangka ucapan yang baik dan mendekatkan kepada pemahaman, melalui analogi dengan sesuatu yang telah diketahui secara yakin. Tamthil (membuat misalan atau perumpamaan) merupakan kerangka yang dapat menampilkan makna-makna dalam bentuk yang hidup dan mantap di dalam fikiran, dengan cara menyerupakan sesuatu yang ghaib dengan yang hadir, yang abstrak dengan yang konkrit, dan dengan menganalogikan sesuatu dengan hal yang serupa. Ternyata banyak makna yang baik, dijadikan lebih indah, menarik dan mempesona oleh tamthil. Oleh sebab itu, tamthil lebih dapat mendorong jiwa untuk menerima makna yang dimaksudkan dan membuat akal merasa puas dengannya. Terbukti tamthil adalah salah satu uslub al-Qur’an yang berkesan dalam mengungkapkan pelbagai penjelasan dan kemukjizatan.[2]

Di antara para ‘ulama’, ada yang menulis sebuah kitab yang secara khusus membahas perumpamaan-perumpamaan (amthal) dalam al-Qur’an, dan ada pula yang hanya membuat satu bab mengenainya dalam salah satu kitab-kitabnya. Kelompok pertama, misalnya, Abu al-Hasan al-Mawardi.[3] Manakala kelompok kedua, antara lain, al-Suyuti dalam al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an [4] dan Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam al-Amthal fi al-Qur’an. Bila kita meneliti dalam al-Qur’an, jumlah ayat yang mengandungi penyerupaan (tasybih) sesuatu dengan hal serupa lainnya dan penyamaan antara keduanya dalam hukum, maka amthal demikian mencapai jumlah lebih dari empat puluh buah. Sebagai kesinambungan terhadap kajian tentang ilmu amthal fi al-Qur’an (perumpamaan-perumpamaan di dalam al-Qur’an), maka Ibn Qayyim al-Jawziyyah dijadikan sebagai model kajian dengan meneliti metodologi penulisannya dalam kitabnya yang khusus membicarakan ayat-ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan amthal.

Kitab al-Amthal fi al-Qur’an adalah salah sebuah kitab utama karangan Ibn Qayyim al-Jawziyyah , seorang tokoh 'ulama’ yang berwibawa dalam pelbagai cabang ilmu pengajian Islam. Kitab ini ternyata menampilkan kupasan beliau yang menarik tentang perumpamaan-perumpamaan yang telah disebutkan oleh Allah S.W.T di dalam al-Qur’an. Dari kesungguhan Ibn Qayyim al-Jawziyyah mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan akhirnya beliau terkenal sebagai seorang ahli Fiqh, ahli Usul al-Fiqh, ahli Tafsir, ahli Bahasa Arab, ahli Ilmu Kalam dan Ilmu Hadith[5], malah mengikut Ibn ‘Imad ; Ibn Qayyim al-Jawziyyah juga adalah seorang yang alim berkenaan Ilmu Tasawwuf[6]. Sehubungan dengan Burhan al-Din berkata[7] :

“ Ibn Qayyim ialah seorang yang amat luas bidang keilmuannya. Mengarang dalam semua bidang ilmu pengetahuan. Beliau sangat menyintai ilmu pengetahuan. Serius mengarang. Kuat membaca. Beliau berkarya secara bersungguh-sungguh dalam bidang yang belum diterokai oleh orang lain.”[8]


Justeru, memandangkan ketokohan beliau dalam pelbagai bidang ilmu, maka perlu dikhususkan satu kajian berhubung metodologi atau manhaj beliau dalam karya beliau di dalam disiplin ‘Ulum al-Qur’an iaitu al-Amthal fi al-Qur’an.

1.2 Latarbelakang Masalah

Dalam membicarakan persoalan metodologi penulisan seseorang tokoh di dalam kitabnya, semestinya memerlukan ketekunan yang mendalam dan keupayaan menganalisa yang baik untuk mencungkil kaedah yang digunakan, gaya penulisannya, dan kesinambungan topik yang dibicarakan dari satu bab ke satu bab.

Ternyata, bukan sedikit penulisan dan kajian yang telah dibuat berkaitan dengan metodologi penulisan seseorang tokoh di dalam kitab mereka. Baik penulisan tersebut di peringkat sarjana muda, sarjana mahupun di peringkat doktor falsafah. Apa yang penting, kesemua tulisan tersebut memberikan manfaat kepada golongan pengkaji secara khususnya dan golongan ilmuan amnya.

Kajian ini merupakan kajian teks[9] yang akan menganalisis kandungan kitab al-Amthal fi al-Qur’an dalam mengenalpasti metodologi penulisan Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Justeru, kajian ini akan menumpukan secara khusus kepada metodologi atau manhaj Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam kitabnya.

1.3 Objektif Kajian

Menerusi kajian ini, penulis telah menggariskan beberapa objektif yang ingin dicapai, di antaranya ialah:

Menilai kitab al-Amthal fi al-Qur’an sebagai sebuah karya ilmiah yang mengulas persoalan al-Amthal.
Mengkaji kaedah penulisan atau manhaj yang digunakan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam kitabnya.
Memahami ilmu amthal al-Qur’an dan falsafahnya menurut pandangan ‘ulama’ yang muktabar dalam bidang ini.
Mengenal pasti faktor persekitaran, sosio politik dan budaya pembelajaran yang mempengaruhi Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam perkembangan intelektual dan spiritualnya.

1.4 Skop Kajian

Penulis akan memfokuskan kajian terhadap metodologi yang digunakan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam kitabnya al-Amthal fi al-Qur’an. Di samping itu, penulis akan sedaya upaya untuk mengkaji gaya penulisan yang digunakan oleh beliau berdasarkan kitab ini. Kajian ini semestinya akan membawa bersama konsep pemikiran yang ingin ditanam kepada para pembaca kitabnya ini.

Selain itu, kajian ini akan menampilkan pengenalan tentang ilmu amthal al-Qur’an dan biografi Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang merupakan seorang tokoh yang terkenal di zamannya.

1.5 Kepentingan Kajian

Kajian ini adalah bagi memperkenalkan biografi Ibn Qayyim al-Jawziyyah dan kewibawaannya. Ia juga bertujuan untuk menampilkan metodologi Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam kitabnya yang bertajuk al-Amthal fi al-Qur’an serta menjelaskan keistimewaan kitab tersebut berbanding kitab-kitab lain di dalam bidang ini. Selain itu, kajian ini akan memberikan gambaran kefahaman beliau dalam mengulas ayat-ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan amthal untuk dijadikan panduan selaras dengan ketokohan beliau sebagai ilmuan yang terkenal pada zamannya.

Oleh itu, dengan adanya kajian ini, akan menambahkan lagi koleksi kajian berhubung ketokohan Ibn Qayyim al-Jawziyyah sebagai seorang ‘ulama’ yang menguasai pelbagai disiplin ilmu agama yang melayakkannya digelar sebagai tokoh yang memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakatnya.

1.6 Pengertian Tajuk

Metodologi bermaksud kaedah atau panduan dalam melakukan sesuatu. Ia juga dinyatakan sebagai kaedah atau cara aturan membuat sesuatu.[10] Manakala Ibn Qayyim al-Jawziyyah pula merupakan seorang tokoh yang lahir pada 7 Safar 691 H bersamaan 1292 M di sebuah kampung bernama al-Zar‘i, Damsyik, Syria.[11]. Nama penuh beliau adalah Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i al-Dimasyqi. Kuniyah beliau adalah Abu ‘Abd Allah dan dilaqabkan dengan Syams al-Din. Beliau mashyur dan lebih dikenali sebagai Ibn Qayyim al-Jawziyyah.[12] Beliau meninggal dunia malam Khamis, selepas azan Isya‘ pada 13 Rejab 751 H di Damsyik dalam usia 60 tahun.[13]

Kitab al-Amthal fi al-Qur’an pula adalah salah satu karya beliau dalam bidang ‘ulum al-Qur’an. Kitab ini telah diterbitkan oleh beberapa syarikat penerbitan. Di antara cetakan yang ditemui oleh penulis ialah kitab yang telah disunting oleh Dr. Nasir bin Sa‘d al-Rasyid yang telah diterbitkan oleh Matabi‘ al-Safa, Makkah al-Mukarramah pada tahun 1982.[14] Yang seterusnya ialah kitab yang telah disunting oleh Sa‘id Muhammad Namr al-Khatib terbitan Dar al-Ma‘rifah, Beirut, Lubnan, cetakan kedua tahun 1983.[15]

1.7 Metodologi Kajian

Metodologi kajian merupakan perkara yang amat penting dalam melaksanakan kajian dan penyelidikan. Perkataan metodologi berasal daripada dua perkataan bahasa Yunani iaitu “logos” yang bermaksud ilmu dan “methodos” yang bererti melakukan sesuatu atau sistem, kaedah, atau cara aturan membuat sesuatu dan cara untuk mendapatkan sejumlah data atau dalil yang sistematik di dalam kajian.[16]

Secara jelasnya, dapatlah dinyatakan bahawasanya metodologi penyelidikan ialah satu cara atau usaha yang bersifat sistematik dan objektif, bertujuan untuk memperolehi, mengumpul data dan menganalisa data yang tepat dan berkesan bagi mendapatkan kepastian tentang sesuatu perkara dan seterusnya memperolehi pengetahuan baru atau mengembangkan sesuatu bidang pengetahuan.[17]

Justeru, penulis telah memilih dua kaedah sebagai asas dalam penulisan kajian ilmiah ini.

1.7.1 Metode Penentuan Subjek

Menerusi metode ini, penulis telah menggunakan metode persampelan dengan memilih kitab al-Amthal fi al-Qur’an sebagai sampel penelitian. Justeru, di dalam kaijian ini, penulis akan mengenalpasti metodologi yang digunakan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah berdasarkan kitab ini.

1.7.2 Metode Pengumpulan Data dan Maklumat

Penulis menumpukan usaha ke arah pengumpulan data dan pentafsiran terhadap data yang terkumpul melalui kajian perpustakaan. Ia meliputi segala bahan yang berkaitan ilmu amthal al-Qur’an, asal usul, tarikh dan tempat kelahiran dan kewafatan, perkembangan pendidikan, sumbangan kepada masyarakat, guru-guru dan murid-murid, hasil karya Ibn Qayyim al-Jawziyyah dan keadaan sosio politik di zamannya.

Data primer terdiri daripada bahan asli tulisan Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Penulis telah menemui dua buah karya setakat ini iaitu al-Amthal fi al-Qur’an, terbitan Matabi‘ al-Safa, Makkah al-Mukarramah, 1982 yang disunting oleh Dr. Nasir bin Sa‘ad al-Rasyid dan al-Amthal fi al-Qur’an, terbitan Dar al-Ma‘rifah, Beirut, Lubnan, cetakan kedua tahun 1983 yang disunting oleh Sa‘id Muhammad Namr al-Khatib.

Manakala data-data sekunder terdiri daripada pelbagai kitab klasik dan semasa yang ada kaitan dengan tajuk kajian, seperti kitab yang membicarakan amthal di dalam al-Qur’an, ‘ulum al-Qur’an dan biografi Ibn Qayyim al-Jawziyyah.


1.7.3 Metode Penganalisaan Data

Segala data yang dikumpulkan, akan mengalami proses penganalisaan pengkajian yang teliti. Dalam usaha ini, penulis akan mengalami proses penganalisaan yang relevan dengan penyelidikan ini iaitu:

a. Metode Induktif

Menganalisa data-data melalui pola berfikir yang mencari pembuktian dari hal-hal yang bersifat khusus untuk sampai ke dalil-dalil yang umum. Metod ini akan digunakan dalam meneliti metodologi penulisan Ibn Qayyim secara khusus sebelum dibuat suatu panduan umum tentang metodologi yang digunakan.

b. Metode Deduktif

Satu kaedah membuat kesimpulan daripada kenyataan-kenyataan yang umum kepada kenyataan yang khusus. Metode ini pula akan mengkaji susunan kandungan kitab secara keseluruhan meliputi ayat-ayat yang dibincangkan dalam kaedah tematik (al-Mawdu‘i) iaitu dalam ilmu amthal al-Qur’an, sebelum melihat secara khusus gaya perbahasan yang ditampilkan oleh Ibn Qayyim berkenaan ayat-ayat tersebut.


c. Metode Komparatif

Menerusi metode ini, penulis akan membandingkan data-data yang diperolehi untuk menghasilkan satu rumusan yang jitu dan bersifat praktikal. Perbandingan ini dibuat berdasarkan analisis terhadap maklumat yang diperoleh sebelum ini. Hasil daripada perbandingan ini akan membantu penulis untuk membuat kesimpulan dan rumusan.


1.8 Literature Review

Penyelidikan ini secara umumnya adalah mengkaji tentang metodologi Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam kitabnya al-Amthal fi al-Qur’an. Bagi mencapai tujuan kajian, penulis telah menggunakan bahan dan kajian yang berkait rapat dengan tajuk yang akan ditulis. Sepanjang penelitian penulis terdapat banyak kitab sama ada klasik atau kontemporari yang dijumpai.

Di antara kitab-kitab yang menulis tentang biografi hidup, situasi politik, masyarakat, guru-guru, anak murid dan perkembangan ilmu di zaman Ibn Qayyim al-Jawziyyah ialah kitab yang ditulis oleh Bakr bin ‘Abdullah Abu Zayd yang bertajuk Ibn Qayyim al-Jawziyyah Hayatuhu wa Atharuhu.[18] Kitab ini menjelaskan secara terperinci tentang suasana yang berlaku sebelum kelahiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah, suasana semasa Ibn Qayyim menjalani kehidupannya bermula sejak kecil, pencarian ilmunya sehinggalah detik-detik kematiannya. Selain itu, penulis juga merujuk kepada kitab al-Bidayah wa al-Nihayah yang ditulis oleh Abu al-Fida’ al-Hafiz Ibn Kathir. [19] Ia merupakan kitab sejarah yang berautoriti sebagaimana yang disepakati oleh para ilmuan Islam dalam menceritakan biografi tokoh-tokoh Islam yang terkemuka. Penulis mendapati kitab ini banyak mencatatkan pengalaman Ibn Kathir yang sempat berguru dengan Ibn Qayyim al-Jawziyyah tentang akhlak dan syakhsiyyahnya.

Sementara itu, di antara kitab-kitab yang pernah ditulis mengenai perbahasan tentang ilmu amthal al-Qur’an ialah kitab al-Amthal fi al-Qur’an al-Karim oleh Dr. Muhammad Jabir al-Fayyad.[20] Kitab ini menghuraikan konsep al-Amthal dan pembahagiannya. Ternyata, kitab ini menghuraikan dengan lengkap dan menarik tentang konsep al-Amthal. Penulis mendapati ianya sebagai salah sebuah kitab yang sangat baik untuk dijadikan panduan dalam memahami amthal al-Qur'an. Penulis juga menemui kitab yang ditulis oleh Samih ‘Atif al-Zayn yang bertajuk al-Amthal wa al-Mithl wa al-Tamathul wa al-Mathulat fi al-Qur’an al-Karim.[21] Kitab ini membahaskan secara terperinci tentang takrif al-Amthal dari sudut bahasa dan istilah.


Penulis juga menemui kitab-kitab yang menulis tentang al-Amthal dalam al-Qur’an sebagai satu tajuk dalam kitab mereka. Di antaranya ialah seperti al-Burhan fi ‘Ulum al-Qur’an oleh Badr al-Din Muhammad Ibn ‘Abd Allah al-Zarkasyi, [22] al-Mu‘jizat al-Kubra al-Qur’an: Nuzulihi-Katabatihi-Jam‘ihi-I‘jazihi-Jadalihi-‘Ulumihi-Tafsirihi-Hukm al-Ghina’ Bihi oleh Muhammad Abu Zahrah [23] dan al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an oleh al-Suyuti [24] Kesemua kitab ini menjelaskan secara ringkas tentang takrif al-Amthal, kepentingan mempelajarinya dan faedah-faedah al-Amthal.

Dalam tinjauan penulis mengenai kajian ilmiah tentang metodologi penulisan dalam pengajian al-Qur’an, ada kajian yang pernah ditulis mengenai metodologi penulisan dalam pengajian al-Qur’an. Di antaranya ialah :

Metodologi Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Dalam Tafsir al-Qur’an (1996/1997) oleh Abdul Ghani Bin Husain [25] di peringkat Sarjana Muda. Kajian ini mengemukakan metodologi tokoh yang dikaji dalam menyampaikan tafsir al-Qur’an melalui kitabnya al-Tibyan.

Metodologi Hamka dalam pentafsiran al-Qur’an : Tumpuan kajian kepada Surah al-Ahzab(2001/2002) oleh Ahmad Nuruddin Mat Yunoh [26] di peringkat Sarjana Muda. Kajian ini menjadikan surah al-Ahzab sebagai asas dalam melihat gaya pentafsiran Hamka di dalam bidang tafsir al-Qur’an.

Metodologi pentafsiran Dato’ Haji Muhammad Nor bin Ibrahim : Tumpuan kitab Ramuan Rapi Dari Erti Surah al-Kahfi(2002/2003) oleh Asmaniza Mamat[27] di peringkat Sarjana Muda. Kajian ini meneliti kaedah yang digunakan oleh tokoh berkenaan dalam mentafsirkan surah al-Kahfi yang sesuai dengan penerimaan masyarakat Melayu Islam.

A Study of Tafsir ‘Abr al-Athir and Sonhadji’s Methodology in Tafsir al-Qur’an oleh Profesor Dr. Zulkifli Haji Mohd. Yusoff [28]. Kajian ini memfokuskan metodologi yang digunakan oleh tokoh berkenaan dalam menyusun kitab Tafsir ‘Abr al-Athir serta penjelasan tentang keistimewaan kitab tersebut.

Terdapat juga kajian yang khusus tentang metodologi Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam kitab tafsirnya sebagaimana yang ditulis oleh Noratikah Mohd. Zainuldin di peringkat Sarjana Muda dalam kajiannya yang bertajuk Metodologi Ibn al-Qayyim dalam pentafsiran al-Qur’an : Satu Analisa Terhadap Kitab Tafsir Ibn al-Qayyim (2002/2003) [29] serta kajian yang membahaskan konsep aqsam al-Qur’an menurut pandangan Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah dalam kajian Sarjana Muda yang ditulis oleh Siti Zalina Ersad yang bertajuk Konsep Aqsam al-Qur’an menurut pandangan Ibn al-Qayyim : Kajian kitab al-Tibyan fi Aqsam al-Qur’an (1997/1998). [30]

Ternyata, Ibn Qayyim sentiasa dijadikan model kajian sebagaimana yang terdapat dalam kajian Mohd. Takiyuddin Hj. Ibrahim yang mengkaji pandangan dan perbahasan Ibn Qayyim tentang konsep tauhid dan sifat-sifat Allah dalam disertasi Sarjananya yang bertajuk Konsep tauhid dan sifat-sifat Allah menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1999/2000). [31]

Sementara itu, penulis menjumpai suatu disertasi yang berkait rapat dengan tajuk penulis yang membicarakan tentang al-Amthal di dalam al-Qur’an. Walau bagaimanapun, ianya memfokuskan kepada surah yang khusus sebagaimana yang ditulis oleh Zamzam Atirah bt. Md. Zain dalam kajian Sarjananya yang bertajuk al-Amthal dalam al-Qur’an : Kajian Terhadap surah al-Nahl (2004/2005). [32] Kajian ini membahaskan tentang ayat-ayat amthal yang terkandung di dalam surah tersebut dan mengkategorikannya berdasarkan jenis-jenis amthal sebagaimana yang dibincangkan oleh para ‘ulama’ di dalam ilmu amthal al-Qur'an. Kesimpulannya, setelah penulis meneliti kajian ilmiah yang sebelum ini, belum ada lagi kajian yang memfokuskan kepada metodologi Ibn Qayyim di dalam kitabnya al-Amthal fi al-Qur’an.


1.9 Sistematika Penulisan

Penulisan tesis ini disusun dalam 5 bab. Ia dimulakan dengan bab 1 atau bab pendahuluan yang meliputi pengenalan, latarbelakang masalah, tujuan kajian, skop kajian, pengertian tajuk, kepentingan kajian, metodologi kajian dan kajian literasi.

Bab kedua menumpukan kepada biografi Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang merangkumi suasana sebelum kelahirannya, latarbelakang keluarga dan pendidikannya, guru-guru dan anak muridnya, suasana poltik di zamannya serta hubungan istimewa beliau dengan gurunya yang sangat dihormati iaitu Ibn Taymiyyah. Bab ketiga pula memperkenalkan secara umum tentang ilmu al-amthal yang meliputi definisi, pembahagiannya, ciri-ciri khusus dan umum tentang al-amthal serta kepentingan dan faedah al-amthal.
Bab keempat merupakan kemuncak kepada kajian ini dengan memfokuskan kepada metodologi Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam kitabnya iaitu al-Amthal fi al-Qur’an; sebuah karya penting tentang perbahasan ayat-ayat amthal di dalam al-Qur’an. Tesis ini ditutup dengan bab kelima yang merupakan kesimpulan dan menampilkan cadangan-cadangan kepada pihak yang berkenaan dalam memperkasa apa yang telah dikaji oleh penulis terutamanya sumbangan Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang perlu ditonjolkan dan kepentingan kitab ini untuk dijadikan antara rujukan utama di kalangan pelajar Akademi Islam.


BAB KEDUA
BIOGRAFI IBN QAYYIM AL-JAWZIYYAH

2.1 Pendahuluan

Sebagaimana yang telah diketengahkan oleh penulis dalam bab sebelum ini, Ibn Qayyim al-Jawziyyah merupakan seorang tokoh yang telah memberikan banyak sumbangan kepada perkembangan ilmu Islam dalam pelbagai bidang. Bertepatan dengan usaha penulis untuk mengkaji metodologi beliau di dalam kitabnya, maka bab ini amat penting untuk memberikan gambaran dan fakta yang sahih mengenai beliau meliputi kelahiran, guru-gurunya, murid-muridnya, kematiannya serta suasana semasa di zamannya yang banyak mempengaruhi peribadi beliau untuk lahir sebagai seorang ‘ulama’ yang berwibawa.

2.2 Nama dan Kelahiran

Nama penuh beliau ialah Syams al-Din Abu ‘Abd Allah bin Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id bin Hariz al-Zar‘i .[33] Beliau terkenal dengan panggilan Ibn Qayyim. al-Zar‘i ialah gelaran sempena peranan bapanya sebagai salah seorang pengasas Madrasah al-Jawziyyah di Damsyiq. [34] Bapa beliau digelar Qayyim al-Jawziyyah kerana merupakan salah seorang pentadbir di sekolah tersebut yang merupakan sebuah sekolah yang beraliran Hanbali. [35]

Menurut al-Nadwi pula, nama sebenar beliau ialah Muhammad, gelarannya ialah Syams al-Din dan nama samarannya ialah ‘Abd Allah. Manakala keturunannya adalah al-Zar‘i. [36] Ibn Qayyim al-Jawziyyah dilahirkan pada 7 Safar 691 H bersamaan 20 Januari 1292 M di Kampung al-Zar‘i, Damsyiq, Syria.[37] Bapanya meninggal pada malam Ahad, 19 Zulhijjah 723 H di Madrasah al-Jawziyyah ketika Ibn Qayyim berusia 32 tahun. [38]

2.3 Pendidikan dan Guru-gurunya

Perkembangan ilmu yang pesat di Mesir dan Syam, telah membawa kepada lahirnya ramai ‘ulama’ yang terbilang bersama dengan kitab-kitab karangan mereka dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Oleh kerana Ibn Qayyim al-Jawziyyah dibesarkan dalam suasana demikian, maka tidak hairanlah beliau mencontohi ‘ulama’-‘ulama’ tersebut dari sudut kesungguhan menuntut ilmu dan menghasilkan kitab.

Beliau dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan. Bapanya merupakan guru pertama yang mengajar beliau tentang ilmu-ilmu asas Islam termasuk ilmu Fara’id, kerana bapanya terkenal sebagai pakar dalam bidang ini. [39] Beliau juga tidak melepaskan peluang untuk membaca setiap buku kerana minatnya yang mendalam terhadap ilmu. Beliau gemar mengulangkaji, menulis dan mengarang kitab. Di samping itu, kegemarannya ialah mengumpul kitab. Menurut Ibn Hajar, Ibn Qayyim al-Jawziyyah begitu berminat dalam mengumpul kitab sehinggakan selepas kematian beliau, anak beliau menjual sebahagian besar kitab-kitab tersebut dalam jangka masa yang agak lama. [40]

Bermula dengan pengajian bersama bapanya serta kecintaan kepada ilmu, beliau mengorak langkah untuk menuntut ilmu dengan ‘ulama’ dan guru-guru yang terkenal. Di antaranya, beliau mempelajari ilmu Hadith daripada Abu al-‘Abbas Ahmad bin ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd Mun‘im bin Ni‘mah al-Muqaddasi al-Nablusi yang juga terkenal sebagai al-Syahab al-Nabulusi. [41] Seterusnya antara guru-guru Hadith yang lain ialah al-Taqy Sulaiman[42], Abi Bakr bin ‘Abd al-Daim (m. 718 H )[43], Abi Basr bin al-Syirazi (m. 723 H )[44] dan ‘Isa Al-Mut‘im (m. 719 H )[45]. Beliau juga pernah berguru kepada Fatimah al-Jauhar dan Isma‘il Maktum ( M. 716 H).[46]

Selain itu, beliau turut mempelajari Bahasa Arab dengan berguru kepada al-Majd al-Tunisi ( m. 718 H )[47], dan Abi al-Fath al-Ba’li( m. 709 H )[48]. Dalam bidang Usul al-Din dan Usul al-Fiqh pula, beliau berguru kepada al-Saffy al-Hindi ( m. 715 H )[49].

Pada tahun 712 H, ketika beliau berusia 21 tahun, Ibn Qayyim al-Jawziyyah berguru dengan Ibn Taymiyyah dalam bidang Usul al-Fiqh dan Fara’id. [50] Dari kesungguhan beliau mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan, akhirnya Ibn Qayyim al-Jawziyyah terkenal sebagai seorang ahli Fiqh, ahli Usul al-Fiqh, ahli Tafsir, ahli Bahasa Arab, ahli Ilmu Kalam dan Ilmu Hadith [51], malah mengikut Ibn ‘Imad ; Ibn Qayyim al-Jawziyyah juga adalah seorang yang alim berkenaan Ilmu Tasawwuf . [52]

2.4 Suasana Zaman Ibn Qayyim al-Jawziyyah

Suasana yang wujud dalam persekitaran hidup seseorang sama ada dari sudut politik, kemasyarakatan dan suasana keilmuan pada waktu itu, sebenarnya memberikan sumbangan yang besar dalam membentuk dan mencorakkan keperibadian, keilmuan dan tindak tanduk seseorang. Justeru itu, penulis akan menghuraikan suasana yang menyelubungi zaman Ibn Qayyim al-Jawziyyah supaya penelitian terhadap sikap dan pandangannya dapat dinilai. Suasana tersebut secara ringkasnya ditumpukan kepada 3 keadaan iaitu:

2.4.1 Suasana Politik

Pada saat sebelum kelahiran beliau, telah berlaku dua peristiwa penting di dalam dunia Islam. Pertamanya, berlaku kejatuhan Kota Baghdad ke tangan tentera Mongol pada tahun 656 H. Menurut Ibn Kathir, tentera Mongol di bawah pimpinan Hulagu Khan telah membunuh Khalifah al-Mu‘tasim bil Lah yang ketika itu berusia 46 tahun. Mereka juga telah membunuh dua orang puteranya iaitu Abu ‘Abbas Ahmad yang berusia 25 tahun dan Abu Fadl ‘Abd al-Rahman yang berusia 23 tahun. Sementara itu, puteranya yang bongsu iaitu Mubarak dan 3 orang puterinya iaitu Fatimah, Khadijah dan Maryam dijadikan tawanan oleh Hulagu Khan. [53]

Mengikut catatan Ibn Kathir lagi, anggaran korban nyawa akibat kejatuhan Kota Baghdad ke tangan tentera Monggol ialah di antara 800 ribu orang sehingga 2 juta orang. [54] Sementara itu, al-Ghunaimi dalam bukunya melaporkan, bahawa ramai cendekiawan dan ‘ulama’ yang dibunuh dan disembelih, dan peristiwa ini berlaku dalam masa hampir 30 hari. [55]

Peristiwa kedua penting yang berlaku sebelum kelahiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah ialah peperangan Salib yang berlarutan sehingga 2 kurun iaitu dari tahun 490 H sehingga 690 H. Peperangan ini melibatkan pertempuran antara orang-orang Eropah dengan golongan Muslim yang berakhir dengan kemenangan kepada golongan Muslim. Dan selepas kemenangan inilah, setahun kemudian pada 691 H, Ibn Qayyim al-Jawziyyah dilahirkan. [56]

Sementara itu, menurut ‘Ali Ibrahim di dalam Tarikh al-Mamalik, menyatakan bahawa Sultan al-Zahir Bybras, telah mengukuhkan kedudukan Kerajaan Mamalik dengan bertindak ke atas tentera salib yang masih ada di wilayah-wilayah Islam dengan melakukan tindakan pembersihan. Di antara wilayah-wilayah yang dilakukan tindakan pembersihan ialah :
i) Pada tahun 661 H, menawan Kota Qaysarah.[57]
ii) Pada tahun 665 H, menawan Safd.
iii) Pada tahun 666 H, menawan Syaqif, Yafa, Tarabulus dan Antaqiyah.[58]

2.4.2 Suasana Masyarakat

Ibn Qayyim al-Jawziyyah lahir dalam suasana masyarakat yang ketika itu memuliakan ‘ulama’. Mereka sering ditemui oleh masyarakat sama ada untuk meminta fatwa atau menuntut ilmu melalui pengajian di masjid atau pembelajaran di madrasah. Dengan demikian, Sultan-sultan Mamalik sangat menghormati para ‘ulama’, apabila sultan meminta sesuatu fatwa, maka ada ‘ulama’ yang memberi fatwa mengikut selera sultan. Pernah suatu ketika, Sultan al-Zahir Bybras meminta fatwa kepada ‘ulama’ Mesir dan Syam berkenaan hukum menggunakan wang dan harta rakyat bagi tujuan melawan tentera Mongol. Majoriti ‘ulama’ Mesir dan Syam memfatwakan boleh tetapi fatwa ini ditentang oleh Imam al-Nawawi kerana pada pandangan beliau, sultan masih mempunyai harta kekayaan iaitu emas yang diberikan kepada hamba-hamba perempuannya. Emas tersebut boleh digunakan untuk membiayai peperangan dengan tentera Mongol. Pendapat beliau menimbulkan kemarahan sultan dan akhirnya Imam al-Nawawi diusir dari Bandar Damsyik. [59]

2.4.3 Suasana Keilmuan

Berdasarkan suasana keilmuan pada zamannya, al -Ghunaimi berpandangan
bahawa Ibn Qayyim al-Jawziyyah dilahirkan dalam suatu keadaan yang mana berlaku perkembangan ilmu yang begitu pesat. Bahkan, di antara faktor utama yang mendorong beliau meminati bidang ilmu kerana dilahirkan dalam keluarga yang mementingkan ilmu pengetahuan. [60]

Walaupun Sultan-sultan Mamalik mendampingi para ‘ulama’ dengan tujuan untuk mempertahankan kepentingan politik mereka, namun begitu wujud suasana keilmuan yang dapat dibanggakan, terutama sekali apabila dihubungkaitkan dengan kejatuhan Kota Baghdad pada tahun 656 H, yang akhirnya menyebabkan ramai para ‘ulama’ dan ilmuwan terkorban, malah banyak khazanah ilmu pengetahuan telah dimusnahkan oleh tentera Mongol. [61] Di antara perkara yang dilakukan oleh mereka ialah :
i) Mewujudkan Qadi Qudah (Qadi Besar) dengan melantik wakil dari keempat-empat mazhab (Syafi‘i, Hanafi, Maliki dan Hanbali). [62]
ii) Mendirikan masjid-masjid baru ataupun memakmurkan masjid yang sedia ada. Mengikut catatan al-Maqrizi, pada masa pemerintahan Kerajaan Mamalik, terdapat kira-kira 52 buah masjid dan kira-kira 89 buah masjid jami‘. [63] Di antara masjid jami‘ yang terkenal ialah Jami‘ ‘Amru. Ramai ahli fiqh dan ‘ulama’ yang memakmurkan masjid ini sebagai pusat penyebaran ilmu pengetahuan seperti ‘Abd al-Wahhab bin al-Hasan al-Wajih al-Bahnasi. [64]
iii) Mendirikan madrasah-madrasah yang baru di samping memajukan madrasah yang sedia ada. Mengikut catatan al-Maqrizi, jumlah madrasah yang terdapat pada masa tersebut ialah kira-kira 73 buah. [65] Di antara madrasah yang terkenal ialah Madrasah Salahiyah Nasiriyah yang telah diasaskan oleh Sultan al-Nasir Solah al-Din al-Ayyub, sultan pertama Kerajaan Ayyubiyyun pada tahun 572 H. [66]

Berdasarkan huraian di atas, dapatlah dibuat kesimpulan ternyata suasana di zaman Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang meliputi aspek politik, kemasyarakatan dan keilmuan telah mempengaruhi peribadinya dan akhlaknya untuk menjadi seorang tokoh ilmuwan yang terkenal pada zamannya.

2.5 Mazhab

Mengikut pandangan Ibn ‘Imad, Ibn Qayyim al-Jawziyyah ialah seorang yang berpegang kepada Mazhab Hanbali bahkan seorang yang mahir dalam mazhab tersebut. Ini dapat dibuktikan dengan sanjungan beliau kepada Ibn Qayyim al-Jawziyyah :
" Dia adalah seorang ahli Fiqh mazhab Hanbali, serta seorang mujtahid mutlak, seorang ahli tafsir, pakar ilmu nahu, usuluddin dan ilmu kalam." [67]

2.6 Perkahwinan

Berpandukan kepada catatan Ibn Hajar al-Asqalani, di antara 712 H dan 726 H, Ibn Qayyim al-Jawziyyah pernah berkahwin dan mempunyai 3 orang anak iaitu Ibrahim, ‘Abd Allah dan Syarf al-Din. Beliau menyara kehidupan diri dan keluarga dengan menjadi guru dan Imam di Madrasah al-Jawziyyah. Selepas kematian beliau, anak-anaknya menjual sebahagian besar kitabnya [68]

2.7 Murid-murid Ibn Qayyim al-Jawziyyah

Di antara murid-murid Ibn Qayyim al-Jawziyyah yang turut mewarisi kehebatan dan keluasan ilmu sebagaimana beliau ialah :
i) Ibn Kathir. Nama penuh beliau ialah ‘Imad al-Din Isma‘il bin ‘Umar bin Kathir bin Zar‘i al-Basri al-Dimasyqi. Terkenal sebagai pengarang kitab Tafsir al-Qur’an al-Azim dan kitab sejarah al-Bidayah wa al-Nihayah.[69]

ii) Ibn Rajab al-Hanbali. Nama penuh beliau ialah Zayn al-Din Abu al-Farj ‘Abd al-Rahman bin Syihab al-Din Ahmad al-Baghdadi. Terkenal sebagai pengarang kitab al-Dhayl ‘ala Tabaqat al-Hanabilah.[70]

iii) al-Fayruzabadi. Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Ya‘qub bin Muhammad Muhy al-Din Abu Tahir al-Fayruzabadi al-Syafi‘i.[71]

iv) al-Muqari. Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr al-Quraisyi al-Muqari al-Tilmathani. [72]

v) al-Ghazi. Nama penuh beliau ialah Muhammad bin Muhammad bi al-Khidr al-Ghazi al-Syafi' i. [73]

2.8 Keperibadian dan Akhlak

Ketokohannya sebagai ‘ulama’ dan pemikir Islam terkemuka dapat dilihat melalui keperibadian dan akhlak yang mulia. Kriteria inilah yang dinilai bagi melayakkan ia bergelar sebagai ‘ulama’ dan pemikir dari segi pandangan Islam.

Ibn Rajab di dalam kitabnya membuat beberapa penelitian penting tentang keperibadian dan akhlaq Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Di antaranya ialah :
" Aku tidak pernah melihat orang yang sepertinya kerana kuat ibadah dan tahajjud serta mengingati Allah dengan zikir dan istighfar demi kerana kasihnya kepada Allah s.w.t." [74]

Ibn Rajab juga menyatakan bahawa Ibn Qayyim al-Jawziyyah begitu kerap mengerjakan haji sehinggakan penduduk Makkah kagum dengan ketekunan beliau dalam ibadah tersebut. [75] Selain itu tegasnya lagi :
" Aku tidak pernah melihat orang yang mempunyai ilmu yang lebih luas daripadanya. Dia bukan seorang yang ma‘sum, tetapi aku melihat dia seolah-olah ma‘sum." [76]

Ibn Kathir pula mencatatkan bahawa Ibn Qayyim al-Jawziyyah memiliki peribadi yang mulia. Ini disebut dalam kitabnya :
" Beliau merupakan seorang yang tinggi akhlaknya, seorang yang pengasih dan penyayang sesama manusia, tidak suka mencari keaiban orang lain, jauh sekali untuk menyakiti dan mendendami sesiapa pun. Orang ramai sangat kasih kepadanya." [77]

Justeru itu, jelas kepada kita Ibn Qayyim al-Jawziyyah bukan sekadar memilki keilmuan yang tinggi tetapi juga ditunjangi dengan akhlak yang mulia.

2.9 Karya-karya Ibn Qayyim Al-Jawziyyah

Di antara kitab-kitab karangan beliau yang berjumlah 60 keseluruhannya selain daripada kitab al-Amthal fi al-Qur'an ialah : [78]

1. al-Tibyan fi Aqsam al-Qur'an. Ia merupakan kitab yang membincangkan tentang ayat-ayat qasam di dalam al-Qur’an. [79]

2. Miftah Dar al-Sa‘adah wa Mansyur Wilayah al-‘Ilm wa al-Iradah. Ia merupakan kitab yang membincangkan tentang ilmu aqidah. [80]

3. Zad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad. Ia merupakan kitab yang membincangkan tentang ilmu hadith. [81]

4. Madarij al-Salikin. Ia merupakan kitab yang membincangkan tentang ilmu tasawwuf. [82]

5. Jala’ al-Afham fi al-Salah wa al-Salam ‘ala Khayr al-Anam. Ia merupakan kitab yang membincangkan kaedah Nabi bersolat dan hukum-hakam yang berkaitan tentang bacaan di dalam solat seperti selawat ke atas Nabi s.a.w. [83]

2.10 Kematian

Ibn Qayyim al-Jawziyyah meninggal dunia selepas azan Isya‘, pada malam Khamis, 13 Rejab 751 H di Damsyik ketika berusia 60 tahun. [84] Jenazah beliau disembahyangkan selepas solat Zohor keesokan harinya di Masjid ‘Umawi dan Masjid Jarah, Damsyik. Kemudian, jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan al-Bab al-Saghir, Damsyik. Sesungguhnya, pemergian beliau amat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat ketika itu. Ia terbukti apabila, jenazah Ibn Qayyim diiringi oleh pemerintah, ‘ulama’ dan seluruh lapisan masyarakat. [85]

Beberapa ‘ulama’ menyatakan bahawa sebelum Ibn Qayyim al-Jawziyyah meninggal dunia, beliau telah bermimpi berjumpa dengan gurunya, Ibn Taymiyyah. Beliau bertanya kepada gurunya di mana kedudukannya dan Ibn Taymiyyah memberi isyarat bahawa kedudukannya setanding dengan para ‘ulama’ lain. Ibn Taymiyyah terus menyatakan bahawa Ibn Qayyim telah termasuk dalam kelompok Tabaqat Ibn Khuzaymah. [86]

2.11 Pandangan‘Ulama’ Terhadap Ketokohan Beliau

Ketokohan dan keperibadian Ibn Qayyim sebagai ilmuwan dan ‘ulama’ sering disebut dan diperkatakan oleh para ‘ulama’ lain sama ada anak muridnya, yang seangkatan dan yang hidup selepas zamannya. Di antaranya ialah :
a) Ibn Rajab menyatakan :
“ Dia seorang pakar dalam bidang Tafsir, Usul, Hadith, Fiqh dan Bahasa Arab. Alim dalam bidang suluk dan perkataan ahli tasawwuf ”. [87]

b) Ibn Kathir menegaskan :
“ Beliau merupakan pakar dalam pelbagai bidang ilmu, tetapi kepakarannya terserlah dalam Tafsir, Hadith dan Usuluddin ”. [88]

c) Burhan al-Din berkata[89] :
“ Ibn Qayyim ialah seorang yang amat luas bidang keilmuannya. Mengarang dalam semua bidang ilmu pengetahuan. Beliau sangat menyintai ilmu pengetahuan. Serius mengarang. Kuat membaca. Beliau berkarya secara bersungguh-sungguh dalam bidang yang belum diterokai oleh orang lain.”[90]

Kesimpulannya, Ibn Qayyim al-Jawziyyah merupakan seorang ‘ulama’ yang terbilang dan luas ilmu pengetahuannya. Beliau juga mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan ‘ulama’ di samping berani menegakkan yang hak dan membongkarkan kebatilan sehingga pernah dipenjara. Justeru, penulis berpandangan berdasarkan keilmuan, kepakaran beliau dan kekuatan peribadinya, melayakkan Ibn Qayyim al-Jawziyyah untuk digelar mujtahid dan kibar al-‘ulama’ pada zamannya.


[1] Manna‘ Khalil al-Qattan (2000), Mabahith fi ‘Ulum al-Qur’an, c.3, Beirut : Mu’assasah al-Risalah, , h.1.
[2] Ibid.
[3] Ibid, Beliau adalah Abu al-Hasan ‘Ali bin Habib al-Syafi‘ie, penulis kitab al-Ahkam al-Sultaniyyah.
[4] Jalal al-Din ‘Abd al-Rahman bin Abi Bakr al-Suyuti (1986), al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an, j.2, Beirut : Dar al-Nadwah al-Jadidah, h. 131.
[5] ‘Umar Rida Kahhalah (1957), Mu‘jam al-Mu’allifin, j. 9, Damsyiq : al-Maktabah al-‘Arabiyyah, h. 106.
[6] Abi al-Falah ‘Abd al-Hayy Ibn ‘Imad (t.t.) , Syadharat al-Dhahab fi akhbar man Dhahab, j. 6, Beirut : Maktab al-Tijari, h. 168.
[7] Ibid, h. 129. Beliau adalah Burhan al-Din Ishaq Ibrahim bin Ahmad bin Hilal al-Zar‘i. Beliau adalah seorang ahli Fiqh mazhab Hanbali. Meninggal dunia pada 741 H.
[8] al-Sayyid Abi al-Tayyib Sadiq bin Hasan bin Abu Lutf Allah al-Qunuji (1963) ,al-Taj al-Mukallaf, al-Matba‘ah al-Hidayah al-‘Arabiyyah, h. 417.
[9] Idris Awang (2001), Kaedah Penyelidikan, c.1, Petaling Jaya : Intel Multimedia and Publication dan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, h. 37.
[10] Teuku Iskandar (Dr.) (1996), Kamus Dewan Edisi Ketiga, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, h. 826.
[11] Bakr bin ‘Abd Allah Abu Zayd (1980), Ibn Qayyim al-Jawziyyah Hayatuhu wa Atharuhu, c.1, al-Riyad al-Hilal, h. 13
[12] Ibid, h. 21
[13] Abu al-Fida’ al-Hafiz Ibn Kathir (1994) (tahqiq) Ahmad ‘Abd al-Wahab Fatih, al-Bidayah wa al-Nihayah, j. 13-14, Kaherah : Dar al-Hadith, h. 252
[14] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1982) (tahqiq) Nasir bin Sa‘d al-Rasyid (Dr.), al-Amthal fi al-Qur’an, Makkah al-Mukarramah : Matabi‘ al-Safa.
[15] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983) (tahqiq) Sa‘id Muhammad Namr al-Khatib, al-Amthal fi al-Qur’an, c.2, Beirut : Dar al-Ma‘rifah.
[16] Mark Abrahamson (1963), Social Research Methods, New Jersey : Prentice Hall, h. 384.
[17] Winardis (1976), Pengantar Metodologi Research, Bandung : Penerbit Alumni, h. 55.
[18] Bakr bin ‘Abd Allah Abu Zayd (1980), op.cit.
[19] Abu al-Fida’ al-Hafiz Ibn Kathir (1994), op.cit.
[20] Muhammad Jabir al-Fayyad (Dr.) (1995), al-Amthal fi al-Qur’an al-Karim, Riyad : al-Dar al-‘Alamiyyah li al-Kitab al-Islami.
[21] Samih ‘Atif al-Zayn (1987), al-Amthal wa al-Mithl wa al-Tamathul wa al-Mathulat fi al-Qur’an al-Karim, Beirut : Dar al-Kitab li al-Bayani.
[22] Imam Badr al-Din Muhammad bin ‘Abd Allah al-Zarkasyi (1972), (tahqiq) Muhammad Abu al-Fadl Ibrahim, al-Burhan fi ‘Ulum al-Qur’an, j. 1, c. 2, Beirut : Mansyurat al-Maktabah al-‘Arabiyyah.
[23] Muhammad Abu Zahrah (1970), al-Mu‘jizat al-Kubra al-Qur’an: Nuzulihi-Katabatihi-Jam‘ihi-I‘jazihi- Jadalihi-‘Ulumihi-Tafsirihi-Hukm al-Ghina’ Bihi, Beirut : Dar al-Fikr al- ‘Arabi.
[24] Jalal al-Din ‘Abd Rahman al-Suyuti (1986), al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an, j. 2, Beirut : Dar al-Nadwah al-Jadidah.
[25] Abdul Ghani Bin Husain (1996/1997), Metodologi Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Dalam Tafsir al-Qur’an, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

[26] Ahmad Nuruddin Mat Yunoh ( 2001/2002), Metodologi Hamka dalam pentafsiran al-Qur’an : Tumpuan kajian kepada Surah al-Ahzab,Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
[27] Asmaniza Mamat (2002/2003), Metodologi pentafsiran Dato’ Haji Muhammad Nor bin Ibrahim : Tumpuan kitab Ramuan Rapi Dari Erti Surah al-Kahfi,Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
[28] Zulkifli Haji Mohd. Yusoff (Prof.) (Dr.) (2001), A Study of Tafsir ‘Abr al-Athir and Sonhadji’s Methodology in Tafsir al-Qur’an, Tesis Ph.D, Lampeter University,United Kingdom.
[29] Noratikah Mohd. Zainuldin (2002/2003), Metodologi Ibn al-Qayyim dalam pentafsiran al-Qur’an : Satu Analisa Terhadap Kitab Tafsir Ibn al-Qayyim, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
[30] Siti Zalina Ersad (1997/1998), Konsep Aqsam al-Qur’an menurut pandangan Ibn al-Qayyim : Kajian kitab al-Tibyan fi Aqsam al-Qur’an, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
[31] Mohd. Takiyuddin Hj. Ibrahim (1999/2000), Konsep tauhid dan sifat-sifat Allah menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Disertasi Sarjana, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

[32] Zamzam Atirah bt. Md. Zain (2004/2005), al-Amthal dalam al-Qur’an : Kajian Terhadap surah al-Nahl,2004, Disertasi Sarjana, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


[33] Ibn Kathir (1994), op.cit., j.13-14, h. 252.
[34] Bakr bin ‘Abd Allah Abu Zayd (1980), op.cit., h.13. Madrasah atau sekolah ini telah dinamakan sempena nama pengasasnya iaitu Abu al-Faraj ‘Abd al-Rahman ibn ‘Ali ibn Muhammad ibn ‘Ali ibn Ubayd Allah ibn al-Jawzi. (m. 656 H/1258 M) yang telah menubuhkan sekolah ini hasil sumbangan orang ramai. Selepas dibina semula, kini bangunan tersebut berada di pintu masuk Suq al-Buzuriyya, akan tetapi telah ditukar kepada kedai.
[35] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (t.t.), al-Wabil al-Sayyib min Kalim al-Tayyib, (terj.) Michael Abdurrahman Fitzgerald, The Invocation of God, Malta : Interprint Limited, h. xi
[36] Abu Hassan ‘Ali al-Hasani al-Nadwi (1985), Rijal al-Fikr wa al-Da‘wah fi al-Islam bi Hayah Syaikh al-Islam al-Hafiz Ahmad Ibn Taymiyyah, j. 2, c. 6, Kuwait : Dar al-Qalam, h.316.
[37] ' Umar Rida Kahhalah (1957), op.cit, j. 9, h. 106
[38] Bakr bin 'Abdullah Abu Zaid (1980), op.cit., h. 21
[39] Muhammad Muslim al-Ghunaimi (1977), Hayat al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Damsyiq : al-Maktabah al-Islamiyyah, h.102.
[40] Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad Ibn Hajar al-Asqalani (t.t.), al-Durar al-Kaminah fi A‘yan al-Mi’ah al-Thaminah, j. 3, Maktab al-Hind, h.400.
[41] Zayn al-Din Abu al-Farj ‘Abd al-Rahman bin Syihab al-Din Ahmad al-Baghdadi Ibn Rajab (t.t.), al-Dhail al ‘ala Tabaqat al-Hanabilah, j. 2, Beirut : Dar al-Ma‘rifah, h.336.
[42] Abd. al-‘Azim al-Salam Syarf al-Din (Dr.) (1967), Ibn Qayyim al-Jawziyyah Ara’ahu wa Manhajuhu, c. 2, Kaherah : Maktabah al-Kulliyyat al-Azhariyyah, h. 73.
[43] Ibn ‘ Imad (t.t.), op.cit, j. 6, h. 48.
[44] Ibid, h. 52.
[45] Ibid
[46] Ibid, h. 38.
[47] Ibn ‘Imad (t.t.), op.cit., j. 6, h. 47.
[48] Ibid, hlm. 20.
[49] Khayr al-Din al-Zarkali (1969), al-A‘ lam, j. 7, Beirut : (T.P.), h. 72.
[50] Bakr ‘Abd Allah Abu Zayd (1980), op.cit., h. 42.
[51] Kahhalah (1957), op.cit., j. 9, h. 106.
[52] Ibn ‘Imad (t.t.), op.cit., j. 6, h. 168.
[53] Ibn Kathir (1994), op.cit., j.13-14, h. 229.
[54] Ibid
[55] al-Ghunaimi (1977), op.cit., h. 47.
[56] Syarf al-Din (Dr.) (1967), op.cit., h. 44.
[57] 'Ali Ibrahim Hassan (1967), Tarikh al-Mamalik, c.3, Kaherah : Maktabah al-Nahdah, al-Misriyyah, h. 179
[58] Ibid, h.180
[59] Syarf al-Din (Dr.) (1967), op.cit., h. 28.
[60] al-Ghunaimi (1977), op.cit., h. 111.
[61] Ibn Kathir (1994), op.cit., h. 106.
[62] ‘Ali Ibrahim Hasan (1967), op.cit., h. 372.
[63] Ahmad bin ‘Ali bin ‘Abd al-Qadir bin Muhammad bin Ibrahim bin Muhammad bin Tamin bin ‘Abd al-Samad al-Maqrizi (t.t.), al-Khuttat al-Maqriziyyah, Beirut : Dar al-Sadir, h. 244
[64] Syarf al-Din (Dr.) (1967), op.cit., h. 43.
[65] al-Maqrizi (t.t.), op.cit., h. 362.
[66] Syarf al-Din (Dr.) (1967), op.cit., h. 47.
[67] Ibn ‘Imad (t.t.), op.cit., j.6, h. 168.
[68] Ibn Hajar al-Asqalani (t.t.), op.cit., j.3, h. 400.
[69] Ahmad Mahir al-Baqari (1990), Ibn Qayyim min Atharuhu al-‘Ilmiyyah, c.4, Kaherah : Maktabah Nahdah al-Syarh, h. 295.
[70] Ibid, h. 339.
[71] Bakr bin ‘Abd Allah Abu Zayd (1980), op.cit., h. 110.
[72] Ibid
[73] Ibid
[74] Ibn Rajab (t.t.), j.2, h. 448.
[75] Ibid
[76] Ibid
[77] Ibn Kathir (1994) , op.cit., h. 253.
[78] Ibn ‘Imad (t.t.), op.cit., j. 6, h. 169.
[79] Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i (t.t.) (tahqiq) Muhammad Zuhri al-Najar, al-Tibyan fi Aqsam al-Qur’an, Riyad : al-Mu’assasah al-Sa‘idiyyah
[80] Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i (1994) (tahqiq) ‘Ali Muhammad, c. 1, Miftah Dar al-Sa‘adah, Kaherah : Dar al-Hadith.
[81] Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i (1982) (tahqiq) ‘Abd al-Qadir al-Arnawwut, Zad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-'Ibad, c.3 , Beirut : Mu’assasah al-Risalah.
[82] Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i (1972) (tahqiq) Muhammad Hamad al-Faqy, 3 j., Madarij al-Salikin, Beirut : Dar al-Kutub.
[83] Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i (2001) (tahqiq) Haitham Khalifah Tua‘imi., c.1, Jala’ al-Afham fi al-Salah wa al-Salam ‘ala Khair al-Anam, Beirut : Maktabah al-‘Asriyyah.
[84] Ibn Kathir (1994), op.cit, j. 13-14, h. 235.
[85] Ibid
[86] Ibn Rajab (t.t.), op.cit., j.2, h. 450-451.
[87] Ibid, h. 448.
[88] Ibn Kathir (1994), op.c.t., j.13-14, h. 254.
[89] Burhan al-Din Ishaq Ibrahim bin Ahmad bin Hilal al-Zar‘i. Beliau adalah seorang ahli Fiqh mazhab Hanbali. Meninggal dunia pada tahun 741 H. Lihat Ibn ‘Imad (t.t.) op.cit., j.6, h. 129.
[90] al-Qunuji (1963), op.cit., h. 417
p/s: Setakat hari ini dulu posting saya yang terbaru iaitu tesis master saya dan strategi management. Saya akan berkursus hampir 4 minggu dan menerima ijazah sarjana usuluddin di UM pada 4 September nanti. Moga bahan yang dipaparkan dapat memberi manfaat bersama. Wassalam.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude