Sabtu, 31 Mei 2008

Salam Kedamaian


Salam buat semua pembaca budiman. Dalam keadaan politik negara yang masih belum stabil, saya tergerak untuk menukilkan beberapa perkara agar dijadikan renungan bersama.

1) Politik dalam UMNO yang semakin membarah menyebabkan rakyat semakin keliru dan celaru memikirkan nasib UMNO yang semakin tidak tentu. Polemik dalam kain didedahkan di dada akhbar, menyebabkan minda kita disetup seolah-olah semua rakyat perlu mengetahui perkara ini. Benar UMNO mempunyai keahlian hampir 3.2 juta orang Melayu-tetapi jika beginilah keadaannya setiap hari, tidak mustahil UMNO akan tumbang di saat rakyat memerlukan pembelaan.

2) Kerajaan Pakatan Rakyat di 5 buah negeri-Perak, Selangor, Kedah, Pulalu Pinang dan Kelantan nampaknya seakan tidak seia sekata dalam beberapa isu. Di saat Selangor mengharamkan Islam Hadhari, kita masih ternanti-nanti tindakan oleh kerajaan Kelantan, Kedah dan Perak yang MBnya adalah dari parti PAS. Sebab itu saya mencadangkan agar PAS membuat keputusan konsensus tentang Islam Hadhari. Jika tidak, rakyat juga akan keliru.

3) Isu pihak polis dan remaja yang cedera dipukul telah diambil perhatian oleh SUHAKAM. Sebagaimana yang telah saya komen sebelum ini, kadangkala kita buta dengan kuasa yang ada menyebabkan kita sewenang-wenangnya menyalahgunakan amanah yang diberikan. Justeru kita berharap, SUHAKAM dapat meneliti isu ini, dan jika cukup bukti untuk mendakwa pihak yang bersalah, maka ia perlu disegerakan ke mahkamah, agar keadilan dapat ditegakkan dan hak orang yang dizalimi terpelihara.

4) Saya yakin dalam keadaan kos barangan harian yang semakin meningkat, maka cadangan pemerintah untuk memperkenalkan subsidi baru kepada rakyat adalah dialu-alukan. Katanya pihak yang berkemampuan tidak mungkin menerima sepenuhnya lagi subsidi petrol sebagaimana sebelum ini. Yang diutamakan adalah golongan yang berpendapatan rendah. Saya terfikir juga bagaimana dan apa mekanisme yang akan digunakan dalam mengenalpasti mereka yang layak menerima subsidi dan tidak? Apapaun kita tunggu cadangan yang akan dikemukakan.

5) Isu Tun Dr Mahathir keluar UMNO dan Ezam masuk UMNO memang menggemparkan. Tetapi bagi saya, dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Sebab itu kita perlu berpegang, sesuatu perkara yang kamu benci itu jangan dibenci sesungguhnya, kelak mungkin kamu akan menyayanginya. Dan sesuatu perkara yang kamu cintai, jangan dicintai sesungguhnya kerana kelak mungkin kamu membencinya. Politik tidak pernah salah tetapi yang salah mungkin ahli politik di dalamnya. Justeru, berpolitiklah, mengikut landasan al-Qur'an dan al-Sunnah agar selamat dunia dan akhirat. Jangan membuat janji palsu, kelak memakan diri tetapi berusahalah menunaikan amanah dengan sebaik mungkin kepada rakyat yang memilih anda, kerana di saat itu anda akan dibantu Allah!

Di saat kami di Bumi Kenyalang ini bercuti panjang kerana cuti Gawai(sehingga 3 Jun 2008), dan di saat saya menghantar dan mengambil isteri di Kota Samarahan kerana menghabiskan baki praktikumnya yang akan tamat Julai ini, saya berdoa agar kedamaian dalam negara sentiasa menjadi impian bersama.


12.16 tgh, Malaysia Timur

31 Mei 2008, 25 Jamadil Awal 1429 Hijrah

Islam hadhari: Mufti ulas Dr Hassan



Mufti Perlis mencadangkan kerajaan Selangor yang mengharamkan Islam hadhari supaya menilai perkara itu secara objektif dan menerima aktiviti dan dasarnya yang baik.

"Istilah Islam hadhari telah mengelirukan banyak pihak, namun isi kandungannya baik. Malangnya, pelaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diuar-uarkan," kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

"Saya mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ (Islam hadhari) supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu."

Melalui laman webnya 'Minda Mufti', beliau mengulas kenyataan exco hal ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali awal minggu ini, termasuk isu pengharaman arak dan hiburan.

Isnin lalu, kerajaan Selangor telah mengarahkan pengharaman sebarang program untuk menyebarkan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Dr Hassan berkata semua masjid dan surau diarah tidak lagi mengadakan program yang menyentuh konsep Islam yang diperkenal sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup," katanya.

Mengulas cabaran Dr Hassan agar membuktikan calon-calon PAS, termasuk beliau sendiri, pernah berjanji untuk mengharamkan arak dan judi di Selangor, Dr Mohd Asri mengulas:

"Inna lillah wa inna ilaihi raji’un. Saya seakan bermimpi. Suara siapakah yang saya dengar sejak dahulu yang begitu garang menghentam dan mengkritik kewujudan arak dan judi dalam negara ini.

"Aduhai politik dan kerusi terlalu cepat mengubah manusia. Tidak hairan jika ada tokoh yang menyebut: 'Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik'."

Jika terus berdepan isu pengharaman dua perbuatan maksiat itu, beliau mencadangkan exco kanan kerajaan Selangor itu menjawab:

"Alangkah baik jika disebut: 'kita sedang berusaha, atau masih dalam proses, atau mengambil pendekatan yang tersusun, atau sedang meneliti' atau seumpamanya."

Melalui laman webnya 'Minda Mufti', beliau mengulas kenyataan exco hal ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali awal minggu ini, termasuk isu pengharaman arak dan hiburan.

Isnin lalu, kerajaan Selangor telah mengarahkan pengharaman sebarang program untuk menyebarkan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Dr Hassan berkata semua masjid dan surau diarah tidak lagi mengadakan program yang menyentuh konsep Islam yang diperkenal sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup," katanya.

Mengulas cabaran Dr Hassan agar membuktikan calon-calon PAS, termasuk beliau sendiri, pernah berjanji untuk mengharamkan arak dan judi di Selangor, Dr Mohd Asri mengulas:

"Inna lillah wa inna ilaihi raji’un. Saya seakan bermimpi. Suara siapakah yang saya dengar sejak dahulu yang begitu garang menghentam dan mengkritik kewujudan arak dan judi dalam negara ini.

"Aduhai politik dan kerusi terlalu cepat mengubah manusia. Tidak hairan jika ada tokoh yang menyebut: 'Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik'."

Jika terus berdepan isu pengharaman dua perbuatan maksiat itu, beliau mencadangkan exco kanan kerajaan Selangor itu menjawab:

"Alangkah baik jika disebut: 'kita sedang berusaha, atau masih dalam proses, atau mengambil pendekatan yang tersusun, atau sedang meneliti' atau seumpamanya."

Ulasan : Saya mencadangkan agar PAS mengambil tindakan konsensus tentang Islam Hadhari ini. Bukan setakat di Selangor, tetapi bagaimana di Kedah dan Perak? Pandangan Mufti Perlis juga perlu turut diambilkira. Tentang kenyataan Dr Hassan Ali, ia juga perlu dijelaskan, kerana setahu saya memang PAS berusaha untuk meminimumkan kedai arak dan judi. Jangan oleh kerana terlalu ingin mengambil hati pengundi, prinsip parti digadaikan.

Jumaat, 30 Mei 2008

Semalam-29 Mei genap 4 tahun perkahwinan kami


Salam buat semua pembaca budiman. Walaupun dalam kesibukan kita menelaah pelbagai isu seperti Ezam masuk UMNO, remaja yang dibelasah di Bukit Mahkota Cheras dan pakaian baju sekolah pelajar perempuan yang mendorong jenayah seks, maka izinkan saya untuk mencoret peristiwa yang bersejarah ini.

Saya dan isteri telah selamat diijabkabulkan pada 29 Mei 2004. Alhamdulillah sehingga kini kami dikurniakan seorang anak lelaki berusia 3 tahun (pada 28 Jun nanti). Ternyata, kehidupan berumahtangga bukan seindah yang dibayangkan dan bukan pula sedahsyhat yang dimomokkan.

Apapun saya bersyukur sehingga saat ini, hubungan kami sebagai suami isteri berjaya dilalui dengan baik. Memang ada ketika dan saat, kami berselisih faham dan tidak sependapat. Namun begitu by the end, ia dapat dihadapi secara bersama dan konsensus.

Sesungguhnya sebagai seorang suami dan ayah, tanggungjawabnya sangat besar. Apalagi pada waktu yang sama, kita terlibat dengan masyarakat dalam melaksanakan amar makruf nahi munkar. Kepada isteriku, saya berharap agar dikau mengerti bahawa tugas dakwah ini bukan perkara mudah tetapi penuh dugaan dan cabaran. Kami berdoa agar perkahiwnan dan rumahtangga kami kekal sehingga ke syurga dan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah yang akan menjadi amilin kepada agama.

Walaupun dulu saya lebih bebas kerana bekerja sendiri, tetapi oleh kerana telah menjadi pekerja makan gaji, maka saya perlu lebih bijak dalam menagtur langkah. Saya berharap pembaca semua dapat mendoakan saya agar lebih tabah, smart dan pandai dalam mengatur perjalanan hidup yang mungkin masih panjang atau hanya beberapa ketika lagi.

Dalam usia yang hampir menjangkau umur 30 tahun, saya merasakan dengan apa yang saya ada kini, saya bersyukur kepada Allah. Saya tetap yakin urusan rezeki adalah urusan Allah. Moga Allah menetapkan iman dan istiqamah saya untuk terus membantu agama Allah walau di mana saya berada.

Bila saya kenang balik, saya pernah menungkapkan kata-kata seorang sahabat yang pernah menyatakan " Aku adalah anak- panah dari anak panah Islam, maka lepaskanlah ke mana yang dikehendaki ". Kini saya diuji dengan kata-kata itu, walau berjauhan dari orang tua, saya yakin ada hikmah di sebalik itu. Terutamanya agar lebih berdikari dalam membuat keptusan dan mentadbir urusan rumahtangga dan pekerjaan. Walaubagaimanapun restu ibu dan ayah serta ibu dan pak mentua di Puchong dan Kuala Lumpur sentiasa saya dan isteri serta anak kami dambakan sebagai keluarga muda yang baru belajar erti kehidupan.

12.20 tengahari, Malaysia Timur

30 Mei 2008, 24 Jamadil Awal 1429 Hijrah

Petronas biaya Orkestra RM3.5 juta sebulan!

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Hrkh) - Sudah pasti rakyat 'menitis' air mata dan 'terhiris hatinya apabila Petronas yang diharapkan membantu rakyat di kala krisis minyak yang melanda sekali gus membebankan kos sara hidup 'berbelanja' mewah semata-mata untuk hiburan untuk golognan elit.

Parlimen dua minggu lalu menyaksikan pendedahan Ahli Parlimen (DAP-Bagan) Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa Petronas membelanjakan sejumlah RM3.5 juta sebulan untuk membiayai Malaysian Philharmonic Orchestra iaitu orkestra yang diwujudkan oleh kerajaan sejak 10 tahun dahulu atas biaya Petronas.

Menurut laporan Okestra ini dianggotai oleh hanya lima peratus dari kalangan rakyat Malaysia manakala selebihnya adalah pemain muzik yang diimpot malah konduktor orkestra dibayar RM130,000 dan pembantunya RM50,000 sebulan dilihat lebih mahal dari elaun Menteri Besar dan Menteri Kabinet Malaysia.

"Beginikah caranya Petronas menyalurkan keuntungannya kepada rakyat, sedangkan persembahan orkestra ini hanya dinikmati oleh kurang satu peratus rakyat Malaysia yang rata-rata dari golongan elit dan berada?" kata Roslan Sms yang menyiarkan pendedahan itu dalam blognya.

Kata Roslan dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu ini dan rakyat disarankan untuk berjimat-cermat maka penjimatan yang paling utama adalah untuk menghapuskan sahaja orkestra yang tidak memberi manfaat kepada lebih 24 juta rakyat Malaysia ini.

"Peruntukkan RM130,000 sebulan untuk membayar gaji konduktor orkestra ini lebih baik digunakan untuk perkara lain yang lebih berfaedah.

"Bayangkan MTUC perjuangkan gaji minima buat kaum pekerja di Malaysia sebanyak RM1,200.00 sebulan iaitu gaji RM900 dan COLA RM300,"

"Dengan RM130,000 sebulan ini dapat membayar gaji minima kepada 108 orang pekerja Malaysia dan membantu mereka mengatasi kesan kenaikkan kos hidup hari ini!," katanya dalam blog n32blogspot.

ULASAN : DIHARAPKAN PETRONAS MENYEMAK KEMBALI PERKARA INI KERANA IA HANYA MENAMBAHKAN RASA MELUAT RAKYAT DI ATAS HASIL KEUNTUNGAN YANG TIDAK DISALURKAN PADA TEMPAT YANG BETUL.





Tidak adil 45% untuk bukan bumiputera

Membuka peluang besar sehingga 45 peratus kepada bukan bumiputera menikmati biasiswa tidak "mewujudkan keadilan sosial" di negara ini, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Kerajaan semalam mengumumkan pengenalan dasar baru itu untuk biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi program ijazah luar negara berkuatkuasa mulai tahun ini.

Langkah menaikkan peluang tersebut, yang asalnya dengan peratusan 10 bukan bumiputera dan 90 untuk bumiputera, adalah "tidak tepat dan tersasar daripada matlamat" dalam Perlembagaan Persekutuan seperti termaktub sebagai keistimewaan Melayu, kata setiausaha agung Abim, Khairul Arifin Mohd Munir.

"Mengambil kira tiga faktor, sudah pasti menaikkan peratusan pembahagian biasiswa (untuk) bukan bumiputera kepada 45 peratus, iaitu peratusan hampir sama dengan bumiputera, sama sekali tidak mencerminkan sebuah dasar yang dilaksanakan ke arah mewujudkan keadilan sosial di negara ini," katanya, .

Faktor-faktor tersebut, tambahnya, jumlah penduduk bumiputera lebih tinggi, kadar kemiskinan dalam kalangan bumiputera juga tinggi, dan mereka khususnya di Sabah dan Sarawak masih ketinggalan dalam bidang profesional.

"Adalah jelas bahawa kedudukan bumiputera masih perlu diperkasakan," kata Khairul Arifin lagi.

"Dalam jangka masa panjang, keputusan ini akan terus merugikan dan menyebabkan bumiputera terus ketinggalan di belakang."

Beliau bagaimanapun berhujah, peruntukan hak istimewa bumiputera, khususnya Melayu, bukanlah untuk mengatasi kemiskinan semata-mata tetapi ia menjadi "kontrak sosial dan quid pro quo" antara Melayu dengan kaum-kaum lain menjelang kemerdekaan.

"Maka, walaupun selepas 50 tahun (merdeka), peruntukan ini perlu dipertahankan kerana ia menjadi elemen asasi yang mencirikan Perlembagaan Persekutuan dan pembinaan negara ini," tambahnya.

Abim turut mempertikaikan langkah ini yang dibuat tanpa penjelasan lanjut dan "tergesa-gesa" tanpa kajian terperinci untuk mengenal pasti permasalahan sebenar.

Berlatar senario politik pasca pilihanraya umum 8 Mac, katanya, pertubuhan itu bimbang sentimen perkauman khususnya bumiputera akan memuncak jika mereka tidak menerima penjelasan tersebut.

"Tindakan menaikkan peratusan (bukan bumiputera) ini ... akan menyebabkan banyak pihak, khususnya bumiputera berasa marah dan tidak berpuas hati," katanya.

"(Tanpa penjelasan meyakinkan), secara pasti (dasar baru) akan menimbulkan kesan sentimen perkauman dan rasialisme ... tanpa dielakkan lagi."

Ulasan : Pemerintah perlu meneliti dulu perkara ini sebelum membuat keputusan sebegini. Saya yakin ia akan mendapat bantahan banyak pihak. Walaupun kita sedar bukan bumiputera berhak mendapat hak mereka, bumiputera perlu diutamakan dalam keadaan sekarang apabila biasiswa untuk pelajar teramai. Yang ada hanya PTPTN dengan kadar faedah 3%!

Ezam sedia tanding ketua Pemuda..


Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor berkata beliau bersedia bertanding jawatan ketua Pemuda Umno jika kedudukan tersebut mampu membina dan mengangkat martabat Melayu menjadi bangsa yang dihormati.

Bagaimanapun, katanya, kedudukannya yang masih terlalu baru di dalam Umno tidak membenarkan beliau untuk membuat keputusan yang besar itu.

Namun, menurut laporan Bernama, Ezam berkata beliau akan membincangkan soal itu dengan pemimpin Umno yang lain terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Saya kena bincang dulu dengan pimpinan, kena bincang dengan kawan-kawan dan kalau jawatan itu untuk kepentingan negara, ia boleh membantu kepentingan negara, kepentingan parti, membina dan mengangkat martabat Melayu menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati oleh bangsa-bangsa lain, saya akan pertimbangkan secara serius," katanya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kemungkinan kemasukan beliau ke dalam Umno ialah untuk mengisi jawatan Ketua Pemuda yang akan dikosongkan penyandangnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ezam menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai semula Umno Rabu lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Berikut adalah kenyataan media Ezam

Sebaik selesai pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1991, saya menyedai Umno dengan semangat melakukan perubahan ke arah kebaikan di samping meneruskan besar bapa-bapa pengasas negara ini (the founding fathers).

Saya dipecat dari Umno pada tahun 1998 kerana lantang mengkritik presiden parti pada masa itu.

Semalam, saya menyatakan hasrat secara rasmi untuk kembali menyertai Umno di hadapan Presiden Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan niat yang sama iaitu - melakukan perubahan ke arah kebaikan, mempertahan dan meneruskan cita-cita serta pengorbanan besar bapa-bapa pengasas negara ini.

Sepanjang 10 tahun saya melalui liku perjuangan yang getir, pelajaran paling berharga bagi saya dalam tempoh tersebut adalah terbitnya keyakinan di hati bahawa kemelut masyarakat dan negara ketika ini berpunca daripada persoalan rasuah dan penyelewengan.

Ini juga sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang kebetulan saya membacanya tatkala di penjara, "Setiap ummat ada cabarannya dan cabaran bagi ummatku adalah harta". (riwayat muslim).

Dan berdasarkan keyakinan itu, saya mengorbankan segenap jiwa dan tenaga untuk mengajak pemimpin dan masyarakat menghadapi cabaran utama kita hari ini iaitu membanteras rasuah.

Bertolak dari kesedaran itu, saya menubuhkan Gerakan Rakyat anti Korupsi (GERAK) dengan segala kepayahan dan keterbatasan tetapi tetap dengan semangat melawan demi menjadikan rasuah musuh nombor satu negara.

Kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik memegang tampuk pemerintahan bahawa memerangi rasuah adalah agenda utamanya amat menarik minat saya dan saya ikutinya secara dekat dan mendalam.

Sementara, pengumurnan Perdana Menteri beberapa minggu lalu mengenai komitmen.untuk melakukan perubahan besar terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia, ditambah dengan struktur yang menjamin kebebasannya bertindak merupakan kenyataan paling bermakna bagi saya dan paling penting serta signifikan dalam perjuangan melakukan perubahan (reform) di negara ini.

Setelah berjumpa Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, saya percaya beliau komited di dalam memastikan proses perubahan itu berlaku.

Dengan semangat reformasi itulah, saya di sini, pada hari ini menyatakan dengan jelas hasrat, sokongan dan komitmen saya untuk bersama-sama Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin negara meneruskan pe juangan mdakukan perubahan tersebut.

Saya ingin mengotakan janji pada diri saya sendiri selama ini, bahawa saya akan membantu siapapun Perdana Menteri yang mempunyai komitmen dan berani memberikan BPR kebebasan untuk melakukan tindakan terhadap setiap penjenayah rasuah. Kerana bagi saya inilah komitmen yang paling sukar untuk dilakukan oleh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

Seperti yang saya nyatakan awal tadi, niat saya di dalam politik selain melakukan perubahan juga mempertahan dan meneruskan cita-cita bapa-bapa pengasas negara ini. Mereka yang terdiri daripada pemimpin pelbagai kaum yang berusaha membina negara ini dengan cita-cita besar dan sejumlah pengorbanan.

Mereka menggubal dasar untuk menjamin negara ini ditadbir dengan penuh hemah dan keutamaan nombor satu mereka adalah Malaysia. Hari ini semangat dan pengorbanan mereka telah dinodai oleh pemimpin-pemimpin yang meletakkan kepentingan diri menguasai kepentingan negara.

Kerakusan kepada kuasa menyebabkan mereka sanggup mencemuh dasar dan asas negara yang dibina oleh pemimpin terdahulu hanya atas tujuan untuk memancing undi dengan meniupkan sentimen perkauman.

Mereka mendakwa mereka membawa politik baru berbilang kaum tetapi hakikatnya memainkan sentimen kaum yang sempit dan politik tanpa batasan.

Pengasas negara ini dahulu yang memulakan politik berbilang kaum dengan asasnya Melayu di samping pengiktirafan wajar kepada bangsa lain dengan semangat menghormati dan berkerjasama membina Malaysia ini.

Sebab itulah budaya orang Cina mengundi calon Mdayu dan India dan sebaliknya berlaku semenjak awal penubuhan negara ini lagi. Pertimbangan utama pemimpin pada ketika itu adalah kepentingan negara. Justeru mereka saling memahami dan berkorban dalam
mempertahan asas negara ini.

Sayangnya terdapat segelintir pernimpin hari ini pertimbangan utama adalah kepentingan diri dan kelompok mereka. Mereka mempopularkan budaya politik tanpa batasan - iaitu apa sahaja boleh asal aku dan kelompok aku berkuasa. Sebab itulah hari ini kita melihat politik melampau berleluasa, politik fitnah, menjatuh dan melompatkan orang menjadi agenda paling utama.

Budaya matlamat menghalalkan cara ini, amat asing di awal penubuhan negara ini. Hari ini kita melihat lenyapnya jiwa kenegaraan (sfatemanship) dalam kepimpinan bangsa ini. Yang menonjol adalah pemimpin yang hebat percaturan politik untuk kepentingan individu dan kelompok sendiri sehingga sanggup menggadai persoalan asas negara yang dibina dengan semangat dan cita-cita bersama.

Saya kembali untuk bersama teman-teman saya dalam Umno dan Barisan Nasional meneruskan perjuangan dengan keyakinan bahawa formula BN merupakan formula terbaik untuk negara ini. Sedikit pengalaman saya di 'luar' BN mungkin dapat membantu meyakinkan orang ramai bahawa formula lain tidak mampu membina negara ini dengan berkesan dan bertahan (sustainable).

Dan formula BN yang terbukti berjaya selama lebih 50 tahun ini juga dibina dengan nilai kesederhanaan, humiliti (tawadu') tolak ansur, hormat-menghormati dan yang paling penting semangat kenegaraan (sfatemanship) yang utama di kalangan pengasas-pengasas BN.

Ciri-ciri negatif keangkuhan dan kemewahan yang menghakis nilai integriti hampir tidak wujud di kalangan pengasas BN pada ketika itu.

Saya melihat dan yakin komitmen Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta beberapa pemimpin utama BN untuk membina kembali nilai-nilai integriti pengasas-pengasas BN yang menjadi tunjang kekuatan bangsa dan negara selama ini.

Justeru, saya menawarkan diri saya untuk bersama mereka membina kembali kekuatan nilai integriti tersebut demi rakyat dan negara yang tercinta ini.

Ulasan : Buat Ezam, kita mendoakan agar beliau menilai kembali keputusan yang telah dibuat. Sebagai anak muda yang punya jatidiri dan kredibiliti, diharapkan beliau memikirkan kembali tindakannya memasuki UMNO. Apapaun hanya beliau lebih tahu tentang tujuan dan dirinya sendiri.

Khamis, 29 Mei 2008

Islam Hadhari juga merupakan program politik


Ustaz Idris Ahmad
Wed | May 28, 08 | 2:04:54 pm MYT

Utusan Malaysia 28/5/08 melaporkan reaksi pemimpin Umno dan pendokong Islam hadhari mengenai tindakan kerajaan Selangor melarang program Islam Hadhari antaranya, kata Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak "pengharaman Islam Hadhari tindakan politik, saya anggap dia (Hasan) tidak faham ataupun sengaja buat-buat tidak faham dengan konsep Islam Hadhari ini kerana pelaksanaannya langsung tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

Mungkin dia berfikiran demikian kerana konsep ini dibuat oleh Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Barisan Nasional (BN), kata Dato' Seri Khir Toyo Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), Dato' Mohd Nakhaie Ahmad berkata, tindakan kerajaan Selangor itu merupakan perkembangan yang tidak sihat untuk politik negara dan orang Melayu. Tindakan kerajaan Selangor itu bukan sahaja menyekat usaha mendaulatkan Islam malah ia boleh mengelirukan rakyat Selangor mengenai konsep Islam Hadhari.Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dato' Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, keputusan kerajaan campuran di Selangor yang berkuat kuasa serta merta semalam, dibuat tanpa memikirkan kebaikan dan manfaat rakyat secara keseluruhan.

Saya ingin menjelaskan bahawa Islam Hadhari ialah program penerapan nilai-nilai Islam kedua yang dijalankan oleh Dr Mahathir. Cuma di pakej semula dengan botol baru. Waktu diisytiharkan penerapan nilai-nilai Islam berlakunya zaman kebangkitan Islam abad ke-15. Kebangkitan rakyat Afghanistan menyerang Russia yang menceroboh Negara mereka. Mereka bangun dengan senjata iman dan kelengkapan yang serba dhaif. Waktu itu juga Revolusi Islam Iran yang berjaya menggulingkan regim Shah Iran di bawah kepimpinan seorang ulamak Al-Marhum Ayatollah Khomeini. Bahang kebangkitan ini juga menjalar di kalangan rakyat Malaysia, suara untuk menyeru pihak pemerintah supaya kembali kepada Islam yang syumul kedengaran segenap rantau. Terutama di kalangan generasi muda yang berada di kampus dalam atau di luar negeri.

Waktu itu Dr Mahathir atas nasihat pakar-pakar strategik telah melancarkan penerapan nilai-nilai Islam bagi membendung kebangkitan Islam. Beliau sedar arus ini tidak boleh dilawan kalau tidak ia akan hanyut di bawa arus. Maka beberapa program atas nama penerapan nilai Islam ditubuhkan antaranya mendirikan Universiti Islam Antara Bangsa, Takaful, Bank Islam, Kursus Bina Insan. Pada peringkat awal memang nampak hebat dengan adanya Slogan 'Bersih Cekap Amanah', 'Kepimpinan Melalui Teladan', mempercepatkan jam selama 30 minit untuk melihat dan mengejar kemajuan. Sebenarnya projek seperti ini diadakan ialah hendak melambatkan kebangkitan Islam sahaja dan perkara ini bukan menjadi matlamat asas mereka untuk melaksanakan Islam secara menyeluruh. Ini hanya program politik untuk mengekalkan kuasa dan memperalatkan agama untuk memancing sokongan rakyat. Kenyataan Dr Mahathir dalam bukunya "The Malay Dilema" dalam halaman 15, membuktikan dakwaan ini "Kerajaan masih lagi melaksanakan projek-projek seperti mendirikan masjid dan balai raya. Pelaksanaan projek ini dijalankan bukan kerana segala kemudahan tesebut difikirkan perlu, tetapi kerana anggapannya yang salah kononnya langkah-langkah ini dapat memancing undi di di dalam pilihan raya yang akan datang"

Sedangkan Islam ialah agama Allah bukan ciptaan daripada mana-mana dogma manusia. Islam ialah Islam dan bukan lain daripada itu. Walaupun ada dalam tulisan orientalis barat yang cuba mengelirukan perkataan Islam dengan menyebut Muahmmadism seoalah-olah agama Islam adalah ciptaan Nabi kita Muhammad s.a.w. Malahan dalam tulisan mereka juga disebut dengan Muhammadan Law bukan disebut Islamic Law. Ini adalah mainan orientalis seolah-olah undang-undang ini adalah ciptaan Nabi Muhammad s.a.w.

Islam adalah agama yang tidak disandarkan pada individu tetentu. Tidak seperti agama Kristian dengan dikaitkan kepada Jesus Christ, Buddha disandarkan kepada Gautama Buddha. Demikian juga agama Zoroasterianism kepada Zoroaster. Islam juga tidak dikaitkan dengan mana-mana tempat, seperti agama Yahudi yang dikenali dengan dengan Judaism yang berasal daripada nama tempat iaitu Jew (Judah Tribe) demikianlah dengan Hinduism yang dinisbahkan kepada nama tempat iaitu Indus yang kemudian bertukar sebutannya kepada Hindu. Tetapi Islam adalah dari Allah daripada acuan Allah (Siibgah Allah) dan bukan ciptaan mana-mana individu berdasarkan falsafah dan pemikiran manusia yang dangkal.

Apabila menyebut Islam Hadhari ialah Islam maju. Maka di sana sudah tentu ada di sana Islam mundur. Ini sudah tidak betul kerana menyamakan Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t, ada maju ada mundur. Ini mendatangkan fitnah kepada Islam yang suci. Kerana hakikat Islam sentiasa maju, yang mundurnya apabila terkeluar daripada landasan Islam. Begitu juga jika kita menyatakan ada Islam baik dan Islam jahat. Sedangkan Islam mesti baik kerana ia datang daripada Allah s.w.t yang memang sifat Islam tidak jahat, yang jahat ialah penganutnya bukan Islam. Begitu juga yang mundur adalah penganutnya bukan Islamnya. Jika kita melihat penganut Islam yang terlibat dengan rasuah, zalim, diskriminasi, menyalahgunakan amanah rakyat, berzina, minum arak, berjudi, kesemuanya ini bukan Islam yang mengajar tetapi penyelewingan penganutnya daripada Islam.

Pemimpin Umno/BN hanya memilih Islam Hadhari supaya dapat memilih Islam yang boleh beri laluan untuk maju, walaupun bertentangan dengan Islam dan akhlak Islam. Mereka mahu Islam ikut mereka bukan mereka yang mesti ikut Islam. Inilah yang terjadi pada Islam Hadhari. Ini adalah barang lama Umno yang di tukar jenama sahaja. Pada hakikatnya itulah Islam yang diamalkan dan diperjuangkan oleh Umno sejak penubuhannya lagi yang mahu Islam disesuaikan dengan kehendaknya.

Sebab itu apabila ada golongan yang mengajak dan menyeru supaya balik kepada Islam yang sebenar maka mereka menuduh ini kolot, jumud, tidak maju dan tidak bertamaddun. Pada mereka neraca Islam Hadhari ialah akal dan nafsu walaupun bertentangan dengan nas yang qatie. Allah mengharamkan arak kerana arak dan dadah merosakkan akal. Songsangnya Islam Hadhari menghabiskan wang berjuta ringgit untuk kempen "Tak Nak Merokok" tetapi tidak berani kempen "Tak Nak Arak". Islam Hadari yang penting maju tidak kira halal atau haram, fikir untung bukan apa yang Islam kata boleh atau tidak.

Islam Hadhari mengharamkan dadah kerana ia menjejaskan ekonomi bukan kerana ia larangan agama. Arak tidak diharamkan kerana tidak menjejaskan ekonomi, orang minum arak pada malam hari, pagi esok ia boleh bekerja, orang hisap dadah pada waktu malam, esok hari ia tidak boleh bekerja. Sebab itu mereka tidak kempen menentang minum arak macam mereka kempen anti rokok. Pengharaman arak ada nas yang qatie sedangkan rokok tidak ada nas yang qatei. Inilah songsangnya Islam Hadhari Umno. Apakah ini yang dimaksudkan Islam Hadhari berteraskan kepada Tauhid?. Seperti yang dimegah oleh golongan yang mendokong Islam hadhari.

Daripada dahulu lagi pemimpin Umno mewawarkan kita mesti maju. Dengan slogan carilah dunia jangan lupa akhirat. Sehingga ada orang agama dalam Umno ketika berbicara dalam Televisyen dengan menyebut kita perlu cari dunia kerana habuan dunia payah dan habuan akhirat senang. (Astaghfirullah)

Apabila kemajuan yang tidak berteraskan kepada Islam yang sebenar maka yang dikejar tidak dapat dan yang dikendung kecician. Ini dapat dilihat dengan keadaan pencapaian ekonomi bumiputera pada tahun 1970 ialah 2.4% meningkat pada tahun 1990 ialah 19.3% manakala tahun tahun 2000 telah menurun kepada 18.7%. Tanah rezab Melayu selepas merdeka ada 3 juta hektar pada tahun 1995 hanya ada 1.7 juta hektar. Inilah kemajuan yang disogok atas nama Islam ala Umno bukan bertambah baik malah bertambah mengucup. Kalau dulu kemajuan atas nama penerapan nila-nilai Islam, bersih cekap amanah gagal mencapai kemajuan. Manakala sekarang atas nama Islam Hadhari. Kalau tidak berjaya pula slogan ini ditukar pada Islam Had Hari pula. Kaya dengan slogan tapi isinya tidak ada.


Kesimpulan

Islam adalah Islam dan ia berdiri dengan sendiri tanpa perlu dikaitkan dengan yang lain. Al-Syahid Syed Qutb telah menulis "Al-Islam huwa al-Hadharah" yang menyebut memang Islam itu maju dan yang mundur apabila tidak melengkapkan diri sebagai Islam yang tulin. Jika kita melihat di zaman Rasulullah s.a.w yang telah membawa kemajuan kpada bangsa Arab walaupun sebelum baginda diutuskan orang Arab adalah bangsa nomad yang tidak maju dan dikalahkan oleh musuh-musuh mereka. Keadaan berlaku sebaliknya apabila baginda membawa Islam ke dalam masyarakat Arab, sehingga bangsa Arab terkenal sebagai bangsa yang bermarwah dan bertamaddun.


Begitu juga di negara kita apabila kesultanan Melayu mengamalkan Islam yang sebenar maka kekuasaan Melaka telah menguasai dua pertiga kepulauan Melayu. Inilah yang sepatut direnung bukan mengambil Islam separuh dan meninggal Islam separuh. Sampai bila pun tidak maju, kalau pun maju, kemudian ia akan membawa kehancuran pada Negara dan bangsa seperti yang dialami di Amerika Syarikat sekarang penyakit HIV 2 hingga 3 orang dalam satu jam manakala di negara kita 13 jangkitan HIV dalam seminggu. (Mingguan Malaysia 3/10/04, hlm. 19). Kalau ini yang didamkan oleh pendokong Islam Hadhari, teruskan usaha kamu. Kami Pas dan penentang Islam Hadhari boleh melepaskan diri, dan sejarah akan menjadi saksi. Wallahua'lam.

Ezam sertai semula Umno


Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno hari ini.

Beliau yang juga bekas setiausaha politik mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, menyerahkan borang keahlian tersebut selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di bangunan Parlimen.

Ezam menyerahkan borang itu ketika Abdullah mengadakan sidang media untuk mengumumkan kemasukan semula Ezam ke dalam Umno.

Ezam menemui presiden Umno itu selama kira-kira 30 minit, mulai jam 3.30 petang tadi.

Ezam hadir sama dalam sidang akhbar tersebut tetapi tidak membuat sebarang kenyataan. Beliau akan mengadakan sidang akhbar pagi esok.

Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah bekas setiausaha AMK, SD Johari Md Yassin; bekas exco AMK, Abdul Ghani Haron dan bekas setiausaha AMK Selangor, Nazmi Salleh.

Tanpa syarat

Menurut Abdullah, Ezam menyertai semula Umno tanpa sebarang syarat atau keistimewaan.

Sebelum ini, Ezam dilaporkan akan dilantik sebagai senator dan menerajui sebuah syarikat berkaitan kerajaan selepas menyertai semula Umno.

Abdullah berkata, Ezam mahu kembali semula kepada Umno dan parti itu mengalu-alukannya.

"Bila nak masuk saya terimalah. Boleh terima dah, tak ada syarat apa-apa.

"Dulu dia di luar dan kritikal terhadap parti. Kini sudah ubah fikiran, mungkin kerana merasa Umno adalah landasan lebih baik untuknya.

"Mungkin dia insaf, Umno lebih baik untuk dia," tambah perdana menteri.

Presiden Umno itu berkata, borang penyertaan keahlian Ezam akan diserahkan di cawangan yang beliau mahu sertai.

Perdana menteri berkata, tiada sebarang jawatan yang akan ditawarkan kepada Ezam "dan Ezam sendiri pun tidak meminta jawatan".

Rebut jawatan

"Umno adalah sebuah parti politik, bukan sebuah syarikat," kata Abdullah tanpa mengulas lanjut.

Presiden Umno juga berkata, Pemuda Umno tidak menentang kemasukan Ezam ke dalam Umno.

Ketika ditanya mengenai kemasukan ahli-ahli Parti Keadilan (PKR) lain ke dalam Umno, Abdullah berkata,"kita tengoklah."

Abdullah juga ditanya sama ada Ezam boleh bertanding merebut jawatan dalam pemilihan Umno Disember ini.

"(Untuk) Ezam bertanding, kena tengok perlembagaan parti (Umno) dahulu," katanya.

Dalam perkembangan lain, perdana menteri menjelaskan kerajaan belum membuat apa-apa keputusan berhubung tuntutan royalti minyak Terengganu.

Isu royalti Petronas

Menteri besar Terengganu, Datuk Ahmad Said dilaporkan menuntut kerajaan pusat mengembalikan semula wang royalti Petronas untuk diuruskan oleh kerajaan negeri itu.

Kerajaan membatalkan wang royalti dan menukarkan kepada wang ehsan apabila negeri itu jatuh ke tangan PAS dalam pilihanraya umum 1999.

Abdullah juga ditanya mengenai kenyataan ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman meminta perdana menteri menilai semula pelantikan Datuk Zaid Ibrahim sebagai seorang menteri.

Tajuddin mendakwa Zaid telah menyerang secara terbuka ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di luar Dewan Rakyat, yang dianggapnya penentang kerajaan.

Mengulas perkara itu, Abdullah berkata: "Kita ahli dan wakil rakyat Umno, kadang-kadang buat teguran terhadap parti kerana inilah amalan kita dan bukan salahpun membuat teguran.

"Tetapi kalau salah, kita peringat dia. Kalau setakat dia kata dasar kurang kemas, tidak perlu ambil tindakanlah."

Ulasan : Wallahu a'lam. Hanya Ezam yang lebih tahu tentang keputusan yang dibuat untuk masuk kembali UMNO. Apamotif dan konspirasi yang mungkin berlaku, sama-sama kita nantikan!

Khalid: Islam Hadhari 'bukan isu besar'


Selangor menyifatkan larangan penyebaran Islam hadhari di institusi agama di negeri itu "bukan isu besar", kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Isu Islam hadhari itu adalah masalah konsep, bukan praktikal. Ini bukan isu besar," katanya apabila diminta mengulas kenyataan exco hal-ehwal agama negeri Datuk Dr Hassan Mohamed Ali kelmarin.

"Kita dah bincangkan. Isu Islam hadhari adalah isu konsep. Konsepnya, adakah tamadun Islam atau satu usaha meningkatkan tamadun Islam?

"Jawapan negeri Selangor, tamadun Islam sudah ada. Jadi kita meneruskan tatacara tamadun Islam. Terjemahan Islam hadhari adalah 'Islam bertamadun'.

"Maknanya, kita masih dalam proses lagi. Pada pendapat kita, tidak ada lagi proses, hanya tatacara. Itu pandangan (Selangor)," kata Khalid di sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Shah Alam petang ini.

Mengulas sama ada Selangor mempolitikkan isu Islam hadhari, Khalid menjawab:

"Ini bukan isu yang besar. Tetapi kalau orang tanya saya apa bezanya (Islam hadhari dan tamadun Islam), saya terangkan sebagai (seseorang) yang pernah mengikuti kursus kebudayaan, dan kebudayaan Islam.

"Sekurang-kurangnya saya terangkan maknanya. Itu saja. Tapi sebenarnya tak ada apa," katanya.

Di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu, exco Selangor itu tidak membenarkan semua masjid dan surau mengadakan sebarang program yang menyentuh konsep Islam itu yang diperkenal oleh perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

"Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam hadhari," kata Dr Hassan.

Mengulas kenyataan exco itu yang memberi amaran akan menarik balik tauliah imam-imam yang menyebarkan konsep Islam hadhari, Khalid berkata "tidak, tidak, tidak, belum ada tarikan (balik tauliah)."

Dr Hassan memberitahu Malaysiakini semalam: "Kita mengambil keputusan tidak mempromosikan Islam hadhari di sekolah, dalam khutbah Jumaat dan program- program keagamaan."

Menurut Harakahdaily.net pula, beliau mengingatkan imam-imam yang membaca khutbah berunsurkan Islam Hadhari boleh dikenakan tindakan sedemikian.

Tiada cacat celanya

Sementara itu, Perak pula disaran mengikut jejak langkah kerajaan Selangor mengharamkan program yang promosi konsep Islam hadhari.

Saranan tersebut dibuat oleh Pemuda PAS kawasan Ipoh Timur dan Pasir Salak hari ini.

Mufti Perak semalam bagaimanapun dilaporkan berkata kerajaan Selangor tidak harus mengharamkan program berkonsepkan Islam hadhari.

Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut boleh mengelirukan umat Islam terhadap konsep Islam tersebut yang diperkenalkan perdana menteri.

Pulau Pinang, sebuah lagi daripada lima negeri Pakatan Rakyat, bercadang mencontohi Selangor dalam satu kenyataan negeri itu semalam.

"Negeri (Pulau Pinang) akan mengambil tindakan yang sama dalam masa terdekat," kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin kepada Malaysiakini.

Tarikh pelaksanaannya bagaimanapun tidak dinyatakan.

Manakala beberapa pihak, khususnya yang dekat dengan kerajaan persekutuan, semalam tidak menyokong langkah Selangor.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyifatkan langkah Selangor mengharamkan program berkaitan Islam hadhari merugikan umat Islam.

Yang dipertuanya Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, konsep itu yang diperkenalkan oleh perdana menteri bertujuan memajukan pemikiran umat Islam, meliputi semua bidang yang mengambil kira kedudukan masyarakat majmuk di negara ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan arahan itu tidak wajar kerana pendekatan Islam hadhari yang mengandungi 10 prinsip "tiada cacat celanya".

Ketua pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata satu persidangan Islam di Putrajaya tahun lepas yang dihadiri lebih 90 ulama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan 1,000 ulama yang menghadiri multaqa alumni al-Azhar awal tahun ini, "telah sepakat menerima pendekatan Islam Hadhari".

Ulasan : Isu Islam Hadhari ini perlu dibincang semula oleh semua pihak yang berkenaan. Ia penting kerana masyarakat akan bertambah keliru, mana satu yang betul-Islam atau Islam Hadhari?

Islam hadhari: Perak digesa contohi S'gor, P Pinang

Perak disaran mengikut jejak langkah kerajaan Selangor dan Pulau Pinang mengharamkan program dan promosi yang ada kaitan dengan konsep Islam hadhari yang diperkenalkan oleh perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Saranan tersebut dibuat oleh Pemuda PAS kawasan Ipoh Timur dan Pasir Salak hari ini.

"Kami menyarankan kepada kerajaan Pakatan Rakyat Perak supaya mengambil pendirian yang sama bagi mengembalikan ajaran Islam yang sebenar," kata dua kawasan itu dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani oleh ketua Pemuda PAS Ipoh Timur, Salman Salleh dan ketua Pemuda kawasan Pasir Salak, Zamarul Aini Abd Malik.

"Bagi kami Islam hadhari amat menyalahi prinsip sebenar Islam kerana ajaran Islam sekarang sudah sempurna seluruhnya.

"Kami amat yakin bahawa Islam yang telah kita amalkan dari dahulu dan hari ini, tidak berubah dan sudah cukup," kata mereka lagi.

Berikutan itu, mereka menyarankan supaya semua masjid dan surau tidak dibenar mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau ada kaitan dengan Islam hadhari.

"Kami juga menegaskan supaya semua pihak menghormati keputusan yang akan dibuat oleh kerajaan Pakatan Rakyat Perak kelak untuk memastikan agama Islam didaulat di tempat yang terbaik," katanya.

Mufti Perak semalam dilaporkan berkata kerajaan Selangor, satu daripada lima negeri Pakatan Rakyat, tidak wajar mengharamkan program berkonsepkan Islam hadhari.

Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut boleh mengelirukan umat Islam terhadap konsep Islam tersebut yang diperkenalkan perdana menteri.

"Saya rasa kita kena faham betul-betul dahulu tentang konsep Islam Hadhari itu sebelum mengambil tindakan.

"Apa yang saya faham setelah berbincang dengan perdana menteri dahulu, Islam hadhari menepati tujuan Islam... Antara yang wajib adalah memperkasakan agama, akal, jiwa, keturunan dan harta.

"Namun, ulama telah menambah untuk memperkasakan akhlak juga.

"Islam hadhari boleh diambil sebagai sifat kemajuan Islam. Saya rasa tak salah kita gunakan konsep tersebut untuk memajukan Islam," katanya kepada mStar Online.

Ulasan : Islam Hadhari memang telah menjadi polemik sekian lama. Yang dipertikaikan ialah dari sudut istilah dan pengamalan 10 prinsip yang terkandung di dalamnya. Bagi saya, ia masih mengelirukan masyarakat seolah-olah Islam yang sedia ada tidak maju berbanding Islam Hadhari.

BMC: Polis belasah remaja ?



Menurut ceritanya, dia hanya ingin melihat apa sedang berlaku di tempat pembinaan benteng konkrit dekat Bandar Mahkota Cheras (BMC) malam tadi.

Bagaimanapun, apa yang berlaku, Chang Jiun Haur berlumuran darah selepas dibelasah oleh 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan cota dan ditendang.

Chang, 21, bersama adik perempuannya dan dua lagi rakan lelaki, sedang memandu keluar dari tapak benteng tersebut pada kira-kira jam 11.30 malam, apabila kereta yang mereka naiki dikepung oleh anggota polis yang sebelum ini, menyeleraikan pergaduhan membabitkan penduduk BMC.

Seorang pegawai tinggi yang berada di situ, mendakwa Chang melanggar seorang anggota FRU dengan keretanya.

Apabila diminta menunjukkan anggota yang kena langgar itu, pegawai berkenaan pada mulanya menghadapi kesukaran meminta anggota berkenaan tampil ke hadapan.

Anggota berkenaan yang nampak tidak apa-apa mendakwa: "Dia cuba langgar saya...lihat cota patah. Nak bukti apa lagi?"

Bagaimanapun, seorang pegawai polis yang membawa Chang ke Hospital Kajang berkata tidak seorang pun anggotanya dilanggar oleh kereta remaja itu.

Ketika ditemui di hospital pada kira-kira jam 12.30 tengah malam, Chang juga menafikan yang dia telah melanggar anggota polis.

"Kami baru sahaja balik (ke Kuala Lumpur) dari Port Dickson dan mahu melihat apa yang sedang berlaku," kata Chang yang terbaring di katil dengan mulutnya yang berdarah.

Bajunya telah dikoyak oleh polis manakala seluarnya berlumuran darah. Difahamkan Chang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Adik perempuan dan dua rakan lelakinya turut ditahan malam tadi, tetapi menurut pengerusi Jawatankuasa Buka Jalan BMC, Tan Boon Hwa, mereka dibebaskan hari ini.

Ahli exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu, yang melawat Chang malam tadi berkata, polis telah menggunakan kekerasan yang keterlaluan.

"Polis sepatutnya menjaga undang-undang dan ketenteraman awam dan bukannya memukul orang. Saya amat kecewa. Parti saya (DAP) akan menyediakan peguam untuk Chang dan yang lain-lainnya," kata Liu.

‘Wartawan diserang'

Akhbar-akhbar berbahasa Cina melaporkan hari ini bahawa lebih daripada 10 orang cedera parah dalam kejadian malam tadi, selepas penduduk BMC dibelasah oleh ‘samseng' yang ditugas menjaga benteng konkrit di situ.

Syarikat konsesi lebuhraya Cheras-Kajang, Grand Saga, bagaimanapun, menafikan terbabit dalam kejadian tersebut.

Kira-kira jam 7 malam semalam, penduduk yang cuba meruntuhkan benteng yang baru dibina semula pada sebelah siangnya, bertembung dengan sekumpulan lelaki yang bersenjatakan batang besi, topi keledar dan batang kayu.

"Mereka terus menyertang penduduk terbabit. Kira-kira 10 orang dipukul dan tiga daripadanya adalah wartawan. Kamera juga turut dirampas," dakwa Tan.

Akhbai Star melaporkan bahawa jurugambar Utusan Malaysia, Roy Azis Abdul Aziz dipukul ketika di cuba mengambil gambar pergaduhan tersebut.

Penduduk BMC, Chin Kee Chong patah tangan kanannya serta turut cedera di bahagian kepala, manakala seorang lagi penduduk - Lee Ah Seng - cedera parah di kepalanya yang memerlukan tujuh jahitan.

Sesetengah penduduk mendakwa, beberapa anggota polis yang berada di situ tidak berbuat apa-apa untuk meleraikan keadaan yang berlaku.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kajang Shakaruddin Che Mood berkata mereka hanyalah anggota polis trafik yang dihantar untuk mengawal lalulintas di situ.

"Mereka sibuk mengawal lalulintas dan tidak dapat berbuat apa-apa," katanya kepada pemberita sambil menambah, lima laporan polis telah dibuat berhubung kes pergaduhan tersebut.

Ulasan : Kalaupun benar remaja itu sengaja langgar apalagi kalau terlanggar kereta polis, ia sepatutnya ditangani dengan baik dan bukannya mengikut nafsu amarah. Diharap pihak pemerintah dan pihak atasan polis dapat menyiasat insiden ini!

Selasa, 27 Mei 2008

Akal membezakan manusia dengan haiwan


BAYANGKAN bagaimana hidup manusia jika Allah SWT menjadikan semua makhluk ciptaan-Nya berakal. Apa agaknya akan berlaku jika ternakan, tanaman dan hidupan liar di bumi boleh berfikir dalam setiap tindakan kerana semuanya berakal.

Fitrahnya, akal adalah penentu dalam mencorak martabat hidup insani dan satu-satunya pembeza mutlak antara manusia dan haiwan sebagai makhluk yang sentiasa bergerak di bumi.

Malah akal juga meletakkan makhluk bergelar manusia berada pada martabat termulia mengatasi malaikat atau sebagai makhluk yang lebih hina dan rendah martabatnya daripada haiwan.

Lantaran itu timbul ungkapan manusia haiwani dan manusia tidak berakal atau gila angkara perbuatan dan amalan luar tabie insani yang semuanya bermula dari akal.

Namun, berapa ramai yang ‘besar akal’ atau panjang serta tinggi akalnya berbanding manusia yang pendek atau rendah serta kurang akal?

Sebabnya, rendah, pendek atau kurang akal menjadi penyebab manusia dilanda pelbagai krisis dan masalah moral mahupun akidah.

Lebih bahaya apabila manusia yang besar dan panjang akalnya menjadi dalang kemaslahatan gara-gara hilangnya iman dalam sanubari.

Bagi menggambarkan pentingnya akal kepada manusia pula, perkataan akal dalam al-Quran berulangan sebutannya sebanyak 49 kali yang kesemuanya mengarah manusia untuk berfikir secara ‘berakal’.

Antara lain Allah SWT berfirman yang mafhum-Nya:

* Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahanam) kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (al-A’raaf: 179).

* Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah, orang-orang yang pekak dan tuli (iaitu manusia yang paling buruk di sisi Allah ialah yang tidak mahu mendengar, menurutkan dan memahami kebenaran) yang tidak mengerti apa-apa pun (yang tidak menggunakan akal). (Al-Anfaal: 22).

Namun tidak semua perkara dan benda mampu dicapai dan diterima akal, walaupun akal tetap memikirkannya.

Ini kerana akal berkait terus dengan ilmu dan menurut Prof. Syed Muhammad Naquid Al-Attas, ilmu boleh dicapai melalui tiga perkara iaitu pancaindera, khabar yang benar (berita yang tepat) dan akal, tetapi pengetahuan mustahil untuk digapai.

Disebabkan besar, penting dan uniknya akal yang dianugerahkan hanya kepada manusia, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid menyarankan agar sebuah Institut Minda diwujudkan di negara ini.

Malah beliau mencadangkan agar kelab-kelab minda perlu ada di semua agensi sama ada di institusi pelajaran atau pendidikan mahupun di syarikat-syarikat korporat dan badan-badan pertubuhan besar.

Ini kerana katanya, soal tentang akal dan segala yang berkaitan dengannya telah banyak difikir, dikaji dan ditulis tokoh-tokoh ilmuwan Islam silam serta para sarjana barat.

“Persoalannya apakah penyelidikan, penelitian dan perbahasan mengenai ilmu akal-fikiran yang tekun wujud dalam masyarakat Melayu-Islam kita,” katanya semasa merasmikan seminar Pelbagai Martabat dan Sifat Akal Fikiran Dalam Tradisi Ilmiah Tamadun Islam di IKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seminar dua hari anjuran IKIM pada 13 dan 14 Mei lalu itu merupakan antara usaha organisasi itu dalam membincang dan memahami kedudukan serta konsep akal kalangan ilmuwan tempatan bagi memperkasakan akal fikiran insani dalam mengharungi kehidupan semasa.

Ia disertai oleh kalangan penggubal dan pelaksana dasar, pentadbir, ahli agama dan akademik, golongan cendekiawan, penyelidik dari sektor awam dan swasta serta ahli pertubuhan bukan kerajaan.

Pengarah dan Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Md. Salleh Yaapar berkata, krisis akal telah menjadi darah daging di kalangan bangsa Melayu walaupun perbincangan mengenai akal telah mendapat martabat sangat baik dalam tradisi persuratan Melayu melalui karya-karya Melayu klasik.

Menurutnya, hasil karya Hamzah Fansuri, Tun Sri Lanang dan Nur al-Din al-Raniri misalnya telah memanifestasikan akal dalam sudut epistemologi, metafizika dan falsafah keagamaan dalam memartabatkan keilmuan bangsa Melayu.

Sementara itu, Fellow Kehormat Akademik Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Dr. Mat Saat Mohamed Baki berkata, hanya 20 peratus manusia yang berfikir.

“Manakala tiga peratus mendakwa mereka berfikir walaupun mungkin mereka sebenarnya tidak berfikir, manakala lima peratus adalah manusia yang malas berfikir dan tiga peratus pula tidak berfikir,” katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika membicarakan ‘hubungan akal dengan diri, sikap dan tindakan’ yang memfokuskan mengenai ‘teknik-teknik merubah minda dan cara pengukurannya’.

Sebab itu kata Dr. Mat Saat yang juga Perunding Psikologi Klinikal Pusat Perubatan Pantai, persaingan antara individu dalam perubahan minda lebih berkonsep ‘nak jadi malas mesti kreatif’ seperti orang naik pangkat dengan cara bodek, ampu dan yang seumpamanya.

Namun proses pemupukan akal, bakat dan watak individu, menurut Pengerusi Institut Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Nury, Datuk Dr. Noor Laily Abu Bakar, adalah bertahap-tahap yang bermula dari pembinaan sistem otak ketika proses kehamilan seawal 16 hari.

Menurut mantan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara (LPPKN) itu, usia enam tahun pertama selepas kelahiran adalah tempoh masa paling kritikal pada anak manusia.

“Ketika ini sistem otak dan sistem saraf menjadi perdana menteri yang akan memerintah otak seseorang anak melalui simulasi hidupan persekitarannya.

“Jika ibu yang baik dan mengamalkan tuntutan-tuntutan al-Quran dan al-Sunnah pada anaknya, akan terbentuklah baka anak yang baik,” katanya.

Menurut Dr. Noor Laily, syarat lain dalam memacu pembentukan akal berdaya fikir anak ialah bekalan oksigen terbaik, emosi yang positif serta sumber makanan yang baik lagi halal di samping simulasi yang tepat dan betul secara berulangkali dengan penjagaan kesihatan yang sempurna.

“Sebab itu Islam menetapkan empat sebab untuk manusia membuka mulut (bersuara) iaitu mengenai ilmu, silaturahim, pernyataan kasih sayang dan melafazkan kesyukuran,” ujarnya.

SEKILAS MENGENAI AKAL:

(Rujukan: Proses Pemupukan Akal, Bakat dan Watak oleh Datuk Dr. Noor Laily Abu Bakar (gambar):

* Peroleh ilmu, kemahiran dan maklumat lengkap serta kepelbagaian mengenai duniawi dan ukhrawi yang disertai berbudi bahasa dan bermaruah tinggi.

* Boleh memahami dan mengenali yang maaruf dan mungkar dengan mampu memilih perkara maaruf serta menolak kemungkaran.

* Boleh menggunakan akal untuk mengatasi nafsu.

* Boleh mengguna akal untuk membezakan yang sama tapi lain dan yang lain tapi sama.

* Mempunyai cukup ilmu fardu ain dan fardu Kifayah bagi menjadi insan yang baik, suka membantu dan sentiasa bersyukur.

* Bermaruah dan bermartabat tinggi serta mengenali ‘saya adalah saya.’

* Pembangunan akal manusia mestilah bermula dari dalam kandungan ibu lagi.

* Otak dan sistem saraf yang membentuk akal budi membangun sejak percantuman benih ibu dan ayah serta sebelum mencapai usia enam tahun.

* Otak-saraf (punca akal) adalah organ yang pertama terbina pada janin.

* Pembinaan dan pengukuhan asas otak-saraf berlaku dengan pesat pada hari ke-16 cantuman benih hingga hari kelahiran.

Bandingan kapasiti simpanan otak-saraf:

* Otak manusia - 125.5 trilion

* Arkib Negara Amerika - 12.5 trilion.

* IBM 3850 MTC - 250.0 bilion.

* Encyclopedia Britannica 19 vol - 12.5 bilion.

* Cakera Magnetik - 313.0 juta

* Cakera Liut (Floppy Disk) - 2.5 juta

* Buku - 1.3 juta

Proses pembinaan otak-saraf yang menjadi sumber akal insani:

* Setelah 16 hari kehamilan terbina sistem otak bayi.

* Menyusul pembinaan organ-organ lain dan ditiup roh serta ditulis empat perkara (usia, rezeki, amal dan cekal) serta terbinanya 100 bilion hingga 1 trilion neuron pada usia 120 hari dalam rahim ibu.

Tahap pembesaran neuron-neuron:

* 25 peratus pada hari lahir (cukup bulan).

* 50 peratus pada usia enam bulan.

* 85 peratus pada usia tiga tahun.

* 95 peratus pada usia enam tahun.

* Usia tujuh tahun asas akhlak terbina.

* Usia 10 tahun mampu berfikir, faham dan rela melakukan solat.

* Usia akil baligh sudah mula menanggung fardu ain dan fardu kifayah atas dasar akidah dan iman.


Baju sekolah memang 'seksi'

Muslimat PAS bersetuju dengan saranan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang menggesa pakaian seragam pelajar perempuan diganti kerana jarang dan boleh mengundang gangguan serta jenayah seks.

Bagaimanapun setiausaha dewan itu Aiman Athirah Al Jundi berkata isunya bukan warna baju pelajar itu tetapi jenis kainnya yang jarang dan menarik perhatian.

"Kita tidak dapat menafikan bahawa material (bahan) kain putih yang digunakan selama ini adalah agak nipis dan menyebabkan pelajar-pelajar perempuan kelihatan agak seksi khususnya apabila tidak mengenakan tudung yang dapat membantu menutup dada mereka (sekiranya dilabuhkan sedikit)," katanya.

"Apatah lagi sekiranya mereka hanya memakai coli tanpa mengenakan singlet dalam. Lebih ketara apabila warna pakaian dalam mereka lebih terang atau kontra dengan seragam putih yang mereka pakai.

"Lebih malang bagi pelajar perempuan ialah apabila hari hujan."

Dalam kenyataannya hari ini, Aiman Athirah berkata cadangan PKPIM Khamis lepas kepada Kementerian Pelajaran itu "sangat bertanggungjawab dan munasabah" dengan mengambil kira prinsip-prinsip perundangan Islam dan kaedah-kaedah usul fekah.

Saranan naib presiden hal ehwal wanita PKPIM Munirah Bahari mengundang perdebatan kerana tidak ramai yang bersetuju dengan baju sekolah sekarang "seksi" dan boleh mendatang gangguan serta jenayah seks.

Sabtu lepas, menteri pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut menganggap pakaian kini tidak seksi.

Beliau juga berkata kementerian tidak berhasrat membuat pertukaran seragam itu dalam tempoh terdekat seperti gesaan persatuan pelajar tersebut.

Dewan Muslimat menyatakan pakaian tetap menjadi satu daripada beberapa faktor "pemangkin" berlaku dan meningkatnya jenayah seks.

"Justeru, bagi menghadapi apa jua krisis sosial dalam masyarakat termasuklah jenayah seks misalnya, maka setiap faktor perlu dikenal pasti.

"Manakala tindakan bagi menangani krisis tersebut mesti dibuat dengan cara menanganinya satu persatu dan PKPIM sedang berusaha membantu kita bagi menangani punca masalah ini dengan mengambil tanggungjawab ke atas faktor pakaian," kata Aiman Athirah.

Beliau juga tidak senang dengan sikap sesetengah pihak yang beranggapan pakaian sebagai isu peribadi dan bukan faktor yang mendorong gangguan seks.

"Dewan Muslimat percaya bahawa pendirian beberapa pihak yang menolak mentah-mentah akan wujudnya hubungan antara pakaian dan jenayah seks adalah dibuat berdasarkan pandangan peribadi, pandangan sekumpulan kecil mereka dan bukannya pandangan masyarakat teramai di seluruh negara," tambahnya.

Muslimat PAS menyarankan agar PKPIM segera membuat pungutan suara dalam kalangan pelajar di seluruh negara sama ada pakaian menjadi satu faktor pemangkin mendorong jenayah seks.

Ulasan : Menteri Pendidikan perlu mengambil perhatian serius terhadap isu ini. Sekurang-kurangnya dengan penukaran baju sekolah di kalangan pelajar perempuan, kita dapat mencegah seks bebas yang kini semakin menular di kalangan pelajar sekolah.

DUN S'gor lulus usul tergempar ISA


Usul tergempar mengkritik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan buat pertama kali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini bagi membantah penahanan berlanjutan seorang wakil rakyat negeri itu.

M Manoharan (foto), yang menang atas tiket DAP kini ditahan di kem Kamunting, Taiping sejak Disember lepas.

Usul tersebut dibawa oleh ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku (DAP), Lau Wen Sang, lewat petang ini dan dibahaskan sehingga awal malam.

Usul bersejarah itu berbunyi: "Bahawa Dewan ini menetap untuk mengkritik penahanan Yang Berhormat Tuan M Manoharan, Adun kawasan Kota Alam Shah serta pemimpin-pemimpin Hindraf (Barisan Bertindak Hak-hak Hindu) dan aktivis-aktivis sosial yang lain tanpa perbicaraan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyeru Kementerian Dalam Negeri membebaskan tahanan-tahanan ini."

Ia diluluskan sebulat suara oleh DUN Selangor tepat jam 9 malam ini. Semua Adun BN tidak menyertai perbahasan tersebut yang bermula jam 6 petang tadi.

Manoharan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu.

Usul itu disokong dan dibahaskan oleh enam wakil rakyat, termasuk dua bekas tahanan ISA - Dr Mohamad Nasir Hashim (DAP-Kota Damansara) dan Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang).

Turut serta dalam perbahasan itu barisan Adun muda Pakatan Rakyat: Gan Pi Nee (PKR-Rawang), Hannah Yeoh (DAP-Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia) dan Amirudin Shari (PKR-Batu Caves).

Dalam ucapannya, Lau turut menyifatkan akta tersebut sebagai bercanggah dengan prinsip Islam.

"ISA juga bertentangan dengan ajaran agama. Misalannya, ia bercanggahan dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan seperti yang diterangkan dalam al-Quran, iaitu ayat 58 surah an-Nisa', ayat 15 surah as-Syura dan ayat 90 surah an-Nahl," kata Lau, yang juga setiausaha DAP negeri.

"Penahanan seseorang tanpa perbicaraan merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang patut dikutuk dan dikritik sekeras-kerasnya, khususnya dalam kes ini di mana seorang wakil rakyat telah dinafikan hak dan kebebasannya untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat."

Ulasan : Benar ISA suatu akta yang tidak memberikan hak yang wajar kepada yang ditahan. Kadangkala sehingga pembebasan mereka pun, tahanan ISA tidak dibawa ke mahkamah dan tidak pula didedahkan bukti yang menunjukkan mereka bersalah. Allah bersama orang yang dizalimi.

Umno pupus tahun 2013 jika Abdullah masih PM - Sanusi Junid


Eksklusif | KUALA LUMPUR, 26 Mei (Hrkh) - Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi Junid mendakwa bahawa Umno bakal pupus dan lenyap pada tahun 2013 sekiranya tampuk pemerintahan negara masih dipegang oleh Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau menegaskan, kerana alasan itulah juga yang menyebabkan, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed bertindak keluar daripada Umno.

"Tun Mahatir tidak mahu lihat Umno ini hapus. Kalau macam sekarang, habis pilihan raya kita tengok macam mana perlantikan menterinya, kita lihat bahasa-bahasa yang digunakan dan komentar-komentar mereka.

"Jika ianya berlanjutan, pada tahun 2013, Umno akan pupus," katanya kepada Harakah dalam wawancara eksklusif dengan beliau di kediamannya dekat sini petang semalam.

Di tanya alasan beliau yang turut mengisyhtiharkan diri keluar parti, Sanusi berkata, tidak ada faedahnya beliau terus dalam Umno, jika tidak ada menampakkan sebarang perubahan bahkan beliau tidak sanggup berada dalam parti yang mencaci bekas pemimpinnya seperti Tun Mahathir.

"Kalau dia (Mahathir) tunggu dalam Umno dan tunggu sehingga 2013, maka dia adalah sebahagian daripada kemusnahan Umno dan dia adalah sebahagian daripada pemimpin yang tak mampu pertahankan Umno," kata Sanusi yang pernah memegang jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah.

Beliau menegaskan, lebih baik pihak lain yang menggalas tugas sebagai Perdana Menteri berbanding Abdullah kerana individu tersebut masih belum ada kepentingan keluarga dan peribadi.

Katanya, sudah terbukti dalil-dalil yang menunjukkan dasar kepimpinan Abdullah begitu lemah sehingga situasi terkini orang mula mempersoalkan Raja-raja Melayu dan Dasar Ekonomi Baru.

"Waktu Tun lantik itu sebab nampak dia baik, bersih. Itu tak salah Tun Mahahtir. Rakyat juga percaya dia 'Mr Clean' sehingga 2004, kita menang rekod kemenangan manakala pada 2008 kita pegang rekod kekalahan pula.

"Masa menang 2004, dia kata faktor dia sahaja tetapi bila kalah 2008, dia kata bukan salah dia seorang. Kenapa dia tak mengaku pula?" kata Sanusi.

Ulasan : Nampaknya tekanan ke atas Pak Lah bukan dari Mahathir seorang tetapi juga penyokongnya. Saya yakin jika krisis dalaman UMNO ini tidak ditangani dengan bijak, UMNO akan pupus lebih awal dari 2013.


Isnin, 26 Mei 2008

Bangunkan P. Pisang - Bagi menjamin status kedaulatan pulau milik Malaysia


PONTIAN 25 Mei – Kerajaan perlu segera merangka program untuk membangunkan Pulau Pisang bagi menjamin status kedaulatan negara ke atas pulau tersebut berkekalan, selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia turut diminta mengkaji untuk mengambil alih pengurusan rumah api di pulau itu daripada Singapura.

Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan berkata, langkah itu penting kerana pulau tersebut mempunyai persamaan dari segi sejarah dengan Batu Putih.

Katanya, jika ia dibiarkan tanpa sebarang pembangunan sama ada oleh Kerajaan Persekutuan atau negeri, ia dibimbangi boleh membawa kepada satu lagi tuntutan bertindih.

“Ini kerana Pulau Pisang kini menempatkan rumah api yang diuruskan oleh pemerintah Singapura seperti mana yang mereka jalankan ke atas Batu Putih sejak sekian lama,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perkumpulan Wanita (WI) Johor, di sini, semalam.

Oleh itu katanya, Kerajaan Pusat atau negeri perlu merangka pembangunan di Pulau Pisang sebagai mengambil iktibar daripada keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap Batu Putih yang kini menjadi milik republik itu.

“Cukuplah Singapura mempunyai hak ke atas Batu Putih dan menyerahkan sepenuhnya operasi rumah api di Pulau Pisang kepada Kerajaan Malaysia,” tegasnya.

Menurut beliau, Pulau Pisang yang mengandungi empat buah pulau kecil dengan keluasan 178.4 hektar jauh lebih besar daripada Batu Putih yang saiznya hanya 0.1 hektar.

“Mengambil pengalaman pahit orang Johor apabila Batu Putih menjadi milik mutlak Singapura, Pulau Pisang tidak sewajarnya menerima nasib yang sama apabila berlaku tuntutan pada suatu masa nanti.

“Justeru Kerajaan Pusat dan negeri perlu mencari jalan untuk membangunkannya supaya tiada lagi sebarang dakwaan mengenai pemilikannya pada masa depan,” katanya.

Tambah Ahmad, sebagai pulau yang terletak di kawasan Parlimen Pontian, banyak perkara yang boleh dilakukan supaya pulau tersebut ‘diaktifkan’ dan tidak hanya berfungsi sebagai rumah api seperti sekarang.

“Antaranya ialah pembinaan jeti yang dimiliki sepenuhnya oleh Malaysia bagi memudahkan pelawat mendarat pada waktu surut serta bekalan elektrik dan air bersih,” ujarnya.

Sekarang ini hanya terdapat satu jeti di pulau itu yang dikendalikan oleh pihak Singapura untuk tujuan pengurusan rumah api tersebut.

Selain itu kata Ahmad, Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) boleh mencadangkan Pulau Pisang sebagai Taman Negara seperti Taman Negara Tanjung Piai dan Taman Negara Pulau Kukup.

Katanya, Pulau Pisang juga sesuai dijadikan tapak perkhemahan dengan syarat kemudahan awam seperti surau, tandas, bilik air dan sebagainya disediakan terlebih dahulu.

“Sebagai Ahli Parlimen, saya amat pedih apabila keputusan ICJ mengenai Batu Putih banyak mengkhususkan kepada pemilikan rumah api.

“Bagi mengelakkan perkara seperti itu tidak berulang lagi, Pulau Pisang sewajarnya tidak dibiarkan tanpa ada satu program pembangunan yang menguntungkan Malaysia dan negeri Johor,” jelasnya.

Tambahnya, beliau juga telah melawat Pulau Pisang baru-baru ini dan sebelum itu, Pegawai Daerah Pontian, Mislan Karmani pernah melawat pulau tersebut bersama-sama ketua-ketua jabatan peringkat daerah.

Katanya, segala aspek pembangunan yang dicadang akan dikaji supaya mesra alam dan kepada nelayan yang berteduh daripada cuaca buruk dan sebagainya.

Jelas beliau, Pulau Pisang juga boleh dijadikan destinasi pelancongan bagi Pontian dengan adanya aktiviti serta kegiatan yang ditawarkan kepada orang ramai.

“Tetapi yang penting ialah soal pemilikannya kepada Malaysia dan negeri Johor, walaupun rumah api itu diuruskan oleh Singapura disebabkan faktor sejarah lampau,” jelas Ahmad.

Ulasan : Diharapkan saranan ini tidak dipandang sepi oleh pemerintah. Pertahankan kedaulatan Pulau Pisang.


Tarik balik subsidi minyak golongan berkemampuan

KUALA LUMPUR 25 Mei – Kerajaan dicadangkan menarik balik subsidi minyak daripada golongan berkemampuan agar peruntukan itu dapat digunakan sepenuhnya untuk memberi subsidi kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, ia adalah antara mekanisme yang boleh dilaksanakan bagi menangani kesan kenaikan harga minyak dunia yang semakin meruncing sekarang.

Dengan cara itu, katanya, golongan berpendapatan sederhana dan rendah tidak akan terjejas akibat situasi tersebut.

“Kerajaan tidak boleh berterusan memberi subsidi kepada semua golongan kerana ini akan menyebabkan negara menerima kesan ekonomi yang teruk,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai skim subsidi baru yang akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat ini sebagai usaha menangani kesan kenaikan melambung harga minyak di pasaran dunia sekarang.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim baru itu akan tetap mengambil kira kepentingan rakyat terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Ia ekoran harga minyak mentah dunia yang terus meningkat mencecah paras ketinggian baru melebihi AS$135 (RM432) setong semalam, berikutan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan dan peningkatan permintaan global.

Ramon berkata, cara tersebut juga akan dapat mengatasi ‘kebocoran’ dalam pemberian subsidi harga minyak negara yang juga perlu ditangani segera oleh kerajaan.

“Subsidi yang tinggi di Malaysia menyebabkan penyeludupan minyak berleluasa dan akhirnya negara yang menerima kesan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, kerajaan perlu mewujudkan satu skim yang benar-benar kukuh dalam pemberian subsidi kepada pengguna.

Katanya, antara yang boleh dilaksanakan ialah dengan menggunakan maklumat pendapatan pengguna bagi menentukan mereka layak atau tidak untuk membeli minyak pada harga subsidi.

“Kelayakan subsidi kepada pengguna boleh ditentukan dengan mengenal pasti pendapatannya. Jika dia mampu, maka tidak perlu subsidi tetapi bagi yang kurang berkemampuan, mereka layak mendapat harga subsidi,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga harus mencari mekanisme terbaik bagi mengatasi ‘kebocoran’ dalam hal pemberian subsidi minyak memandangkan harga bahan itu di negara ini lebih murah berbanding negara jiran yang lain.

Katanya, subsidi secara berterusan akan meningkatkan ruang untuk kegiatan penyeludupan kerana wujudnya peluang menjual minyak subsidi pada harga yang tinggi di negara-negara jiran.

Ulasan : Saya bersetuju dengan cadangan ini. Rakyat yang berpendapatan rendah amat terkesan dengan kenaikan harga minyak.

KEDAULATAN PULAU BATU PUTIH:Kerangka Minda Di sebalik Tuntutannya


Ruhanie Ahmad

Sejarah membuktikan Pulau Batu Putih – biar hanya sebesar padang bola - adalah milik Kesultanan Johor. Pulau ini adalah warisan bangsa Melayu di bumi Malaysia yang berdaulat dan merdeka.

Malangnya, pada 23 Mei 2008, kedaulatan pulau ini telah dengan rasminya dirampas daripada Malaysia dan diserahkan kepada Singapura berasaskan pelbagai fakta bukan sejarah.

Fakta-fakta inilah yang telah dihurai, dikupas, dipertikai dan diwarnakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengikut citarasa segelintir kuasa neoimperialis tertentu yang berkepentingan terhadap kegunaan strategik pulau berkenaan di bawah Singapura.

Ini bermakna, kedaulatan Malaysia ke atas Pulau Batu Putih tidak akan tergadai jika fakta bukan sejarah tidak dijadikan asas utama tuntutan Singapura.

Ini bermakna, Singapura yang disifatkan sebagai sahabat Malaysia, jelas tidak menghormati fakta sejarah bila ia menuntut kedaulatan pulau tersebut.

Ini bermakna, ketulenan persahabatan Singapura terhadap Malaysia adalah sesuatu yang perlu sentiasa dikaji dan sentiasa dicurigai.

Ini juga bermakna, fakta sejarah tidak boleh dijadikan jaminan tunggal untuk Malaysia mempertahankan kedaulatan mana-mana wilayahnya yang berhampiran Singapura di hari muka.

Daripada hujah di atas, Singapura seolah-olah menuntut kedaulatan Pulau Batu Putih berasaskan kerangka minda bahawa mana sahaja wilayah jiran tetangganya yang difikirkan strategik kepada survivalnya, boleh dituntut dan dijadikan miliknya, asalkan wujud undang-undang dan ruang perundangan yang boleh diheret hingga ke ICJ.

Kerangka minda seperti ini adalah manifestasi betapa rakus dan betapa terdesaknya pulau kecil ini untuk menguasai ruang dan bumi yang lebih besar dan luas di luar lingkungan kedaulatannya bagi menampung penduduknya yang dipercayai berkembang hingga 10 juta orang di hari mendatang.

Insaflah. Republik pulau ini adalah sekutu Israel dan Amerika Syarikat (AS) di Asia Tenggara. Lantas, mustahilkah jika Pulau Batu Putih suatu hari kelak ditukar menjadi satu kompleks ketenteraan yang canggih dan moden demi memenuhi kepentingan strategik dan kepentingan geopolitik sekutu-sekutunya di abad ke-21 di rantau ASEAN?

Kita mesti sentiasa tegas dan waspada. Kita juga mesti berani bersuara bahawa walau keputusan ICJ memang muktamad, ini tidak bermakna kita mesti merelakannya atau mesti tunduk kepada Singapura.

Hakikatnya, di bumi Malaysia kini masih terdapat pelbagai lagi kepentingan strategik Singapura, termasuklah beberapa loji takungan air di Johor.

Siapa boleh menjangka suatu hari nati, atas asas undang-undang, lokasi ini juga mungkin diheret ke ICJ supaya kedaulatannya diserahkan kepada Singapura?

Pertanyaan ini memang keterlaluan. Tetapi, tindakan Singapura menuntut kedaulatan Pulau Batu Putih juga adalah sesuatu yang mustahil jika republik itu benar-benar tulen dalam merangka, memelihara dan menghargai persahabatannya dengan kita.

Jadi, tidakkah sikap “hati kering” negara itu perlu sentiasa dicurigai dan dicemburui sepanjang hayat? Atau, mestikah kita perlu adakan majlis jamuan makan durian dan golf bilateral pada setiap tahun dengan Singapura?

Perlukah ada lagi pembesar kita mengelirukan rakyat jelata dengan menyifatkan keputusan ICJ kononnya “kemenangan bersama” kepada Malaysia dan Singapura?

Perlukah Perdana Menteri kita meluahkan retorika diplomasi kononnya yang “menang pun tak menang semua” dan yang “kalah pun tak kalah semua” kerana “itulah keadilannya” dan “keadilan itu mestilah diakui’’?

Kenyataan seperti di atas hanya mencerminkan kedangkalan segelintir pembesar kita dalam mentafsirkan perkembangan geopolitik serantau dan global dalam konteks survival negara-bangsa di hari muka.

Kenapa tidak ramai pembesar kita yang berani bersuara seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegur Singapura “supaya tidak angkuh dengan keputusan ICJ” itu.

Oleh itu, dalam kita kesedihan, wajarlah kita yakin bahawa Allah SWT memberikan kita kekalahan ini untuk menguji sejauh manakah kebijaksanaan kita mentafsirkan hikmah di sebalik kehilangan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.

Allah SWT juga memberikan kekalahan ini untuk menduga kepintaran kita menyedari dan menginsafi wilayah mana lagikah yang boleh dirampas kedaulatannya daripada kita oleh pihak asing di hari muka.

Dengan keinsafan seperti ini, pembesar kita perlu cerdas berfikir dan pantas bertindak. Seluruh kepentingan strategik Singapura di Johor perlu dikaji semula supaya tidak memungkinkan “pisang berbuah dua kali” dalam konteks kedaulatan negara.

Kajilah keseluruhannya secara teliti, tegas dan profesional. Auditlah keseluruhannya untuk memastikan tiada cacat celanya. Demi agama, bangsa dan negara, jangan kita beri muka kepada mana-mana pihak yang amat licik untuk bermuka-muka!

Sesudah itu, pastikanlah bahawa seluruh pemimpin kita adalah kelompok yang faham, sensitif, pintar dan mampu mentafsir kerangka minda Singapura terhadap Malaysia supaya kefahaman itu membolehkan kita sentiasa menentingkan kedaulatan negara dan maruh bangsa bila berurusan dengan republik berkenaan di hari muka.

Ulasan : Memang sedih bilamana kedaulatan Pulau Batu Putih diserahkan kepada Singapura. Dan sebagaimana kata penulis, Singapura pastinya mempunyai misi tersendiri di sebalik tuntutannya ke atas pulau ini. Pemerintah perlu berusaha mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

Pakaian pelajar perempuan: Ketua Muslimat PAS bidas Hishamuddin

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Hrkh) - Kenyataan Menteri Pelajaran Malaysia Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein yang menyatakan bahawa soal pakaian seragam sekolah pelajar perempuan bukanlah punca peningkatan kes gangguan dan jenayah seksual di kalangan pelajar dibidas Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Salleh.

Beliau yang kesal dengan kenyataan Hishamuddin memberitahu bahawa aspek pakaian sama ada pelajar mahupun orang dewasa telah ditentukan oleh Islam kepada penganutnya bagi mengelakkan gejala tidak bermoral berlaku dengan berleluasa.

"Tuntutan agama ialah menutup dan menjaga aurat termasuk memakai tudung bagi pelajar perempuan Islam. Oleh itu Kementerian mestilah mengambil kira cadangan pelbagai pihak khususnya Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk memastikan soal berpakaian ini dititik beratkan.

"Walaupun si pelaku atau penjenayah seks tidak mengira soal pakaian namun bagi semua pihak khususnya kaum wanita tidaklah boleh memandang remeh bab pakaian ini bahkan agama memberi garis panduan yang jelas tentang pakaian yang boleh mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Nuridah menyatakan bahawa sesuatu kejadian itu terutama yang melibatkan maksiat ataupun jenayah seks tidak akan berlaku sekiranya tidak melibatkan kedua-dua pihak atau keadaan sekekeling yang mengundang kepada perbuatan tidak senonoh itu.

"Pintu rangsangan itu mestilah ditutup terlebih dahulu sebagai langkah awal kerana sudah jelas bahawa pakaian yang menjolok mata seperti pakaian seragam sekolah yang nipis dan telus (transparent) mengundang nafsu orang lain melihatnya.

"Saya harap Hishamuddin merujuk kepada panduan yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah dan tidak sekadar mengeluarkan kenyataan seweang-wenangnya malah mesti dilihat mahu membuat perubahan demi keselamatan pelar-pelajar sekolah khususnya perempuan," katanya

Beliau juga mahu ibu bapa dan guru-guru di sekolah menjadi contoh dan menegur para pelajar agar berpakaian lebih tertib bahkan mestilah mengikut apa yang telah ditetapkan oleh al-Quran dan Sunnah.

Sungguhpun begitu, beliau tidak mahu perubahan drastik dilakukan ke atas pakaian seragam sekolah hanya tertumpu kepada warnanya sahaja kerana bimbang akan timbul pula isu pembaziran dan ketidakmampuan ibu bapa menukar pakaian baru.

"Adalah lebih baik pakaian putih itu tebal sedikit daripada biasa dan bagi pelajar Islam diwajibkan memakai tudung labuh kerana jika sekadar menukar warna tetapi masih lagi dilihat susuk tubuh dan nipis, isu ini tidak selesai," katanya memberi saranan.

Ulasan : Kepada ibu bapa yang faham tentang tuntutan agama, berusahalah membeli pakaian sekolah yang tebal sedikit dari biasa untuk mengelakkan ia terlalu jarang. Dan berusahalah mendidik anak-anak perempuan khususnya menutup aurat dengan memakai tudung yang panjangnya melepasi bawah dada.

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude