Alhamdulillah, kita masih terus bernafas sehingga saat ini. Hari ini genap 27 Ramadhan. Malam tadi, hampir seluruh dunia umat Islam bangun untuk mencari Lailatul Qadar. Benarlah ia rahsia Allah, walaupun mungkin ada tanda-tandanya dan para ulama' majoriti bersepakat Lailatul Qadar biasanya pada malam 27 Ramadhan-itu rahsia Allah. Bagi mereka yang terpilih untuk mendapatnya-alhamdulillah. Bagi yang tidak, teruslah berdoa agar bertemu Lailatul Qadar.
Oleh sebab itu, berdasarkan ayat akhir surah Luqman, ada 5 perkara yang menjadi rahsia Allah iaitu :
1) Bila berlakunya kiamat
2) Bila turunnya hujan
3) Jantina anak di dalam kandungan rahim ibu
4) Bumi mana kita akan meninggal dunia
5) Apa yang akan kita lakukan esok hari
Saya terkenang doa si imam pada suatu pagi yang hening " Ya Allah berilah kami kemanisan iman, agar dapat kami bangun pada malam hari bukan sahaja pada 10 hari terakhir Ramadhan, tetapi juga pada hari-hari yang seterusnya sehinggalah penghujung hayat kami".
Alhamdulillah, hampir 300 orang berqiyamullail secara berjamaah pagi tadi di Masjid al-Taqwa, di pinggir bandar Kuching. Kelihatan beberapa orang dari kalangan remaja dan pemuda turut serta selain golongan yang sudah berusia. Dalam hati saya berdoa, masih ada sinar Islam yang akan bangkit di Bumi Kenyalang ini, Ya Allah. Dan saya bermohon agar generasi muda ini termasuk dalam 7 golongan yang dimaksudkan oleh Nabi saw, yang akan mendapat naungan Allah pada hari kiamat iaitu " dan seorang pemuda yang tekun beribadah kepada Allah".
Bukan mudah akhir zaman, kita hendak bertemu dengan generasi muda bangun qiyam, tetapi pagi tadi membuktikan generasi muda Bumi Kenyalang sebahagiannya, masih ada jati diri keislaman yang kuat dan iman yang kental. Kalau tidak mana mungkin, seorang anak muda boleh bangun di tengah malam untuk bermunajat kepada Allah.
Sebagaimana di tempat lain, di Kuching, selepas sahaja kami bersahur, hujan renyai-renyai mulai turun. Apakah itu tandanya malam tadi Lailatul Qadar? Telah saya katakan, itu urusan Allah, jika kita terpilih mengecapinya, Alhamdulillah. Kita hanya dituntut untuk terus beramal. Jika tidak, jangan putus harap, sebaliknya terus bermohon kepada Allah, agar kita dapat menikmati Lailatul Qadar sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup kita.
Salam kedamaian dari saya buat semua pembaca budiman di pagi 27 Ramadhan al-Mubarak !
9 Oktober 2007, 27 Ramadhan 1428,
8.53, Malaysia Timur.
1 ulasan:
insyaALLAH..
Catat Ulasan