PENDAHULUAN
Tafsir al-Bayan merupakan sebuah kitab tafsir yang unggul di rantau ini. Dikarang oleh tokoh agung yang tidak asing lagi iaitu Prof. Dr. T.M Hasbi ash Shiddieqy. Hasil karya ini terdiri daripada dua jilid dan merupakan karya kedua beliau selepas Tafsir an-Nur.
Prof. Dr. T.M Hasbi ash Shiddieqy menggunakan metode tersendiri dalam menyusun dan mengolah Tafsir al-Bayan dan mempunyai kelainan dengan karya yang pertamanya. Kitab ini juga mempunyai keistemewaan dan perbezaan yang tersendiri berbanding dengan kitab-kitab tafsir lain.
Tafsir al-Bayan adalah kitab tafsir dan terjemahan al-Qur’an dalam bahasa Indonesia yang di hasilkan pengarang seawal tahun 60-an lagi. Cetakan pertamanya ialah pada tahun 1971 yang diterbitkan PT. Almaarif, Bandung, dengan ukuran 15 x 22 cm.
Kitab ini dinamakan Tafsir al-Bayan diambil sempena ayat al-Qur’an, surah Ali ‘Imran ayat 138. Frman Allah s.w.t :
ﻥﻴﻘﺘﻣﻠﻠ ﺔﻆﻋﻮﻣ ﻮ ﻯﺪﻫﻮ ﺱﺎﻧﻟﻟ ﻥﺎﻳﺑ
Yang bererti: “Al-Qur’an adalah penerangan (penjelasan) bagi seluruh manusia dan nasihat bagi mereka yang bertakwa”
Al-Bayan yang dinamakan oleh pengarang adalah bermaksud “Suatu penjelasan bagi makna-makna al-Qur’an”. Jelasnya, kitab tafsir ini banyak memberi sumbangan terhadap pengajian dan pembelajaran Ulum al-Qur’an di Nusantara. Khidmatnya masih digunakan sehingga ke hari ini.
BIOGRAFI PENGARANG
1. KELAHIRAN DAN LATAR BELAKANG KELUARGA
Profesor Doktor Teungku Muhammad Hasbi Ash Shiddieqy dilahirkan di Lhokseumawe pada 10 March 1904. Ayahnya Teungku Qadhi Chik Maharaja Mangkubumi Husien ibn Muhammad Su’ud, adalah seorang ulama’ terkenal di kampungnya dan mempunyai sebuah pondok. Ibunya Teungku Amrah binti Teungku Chik Maharaja Mangkubumi Abdul Aziz , merupakan anak seorang Qadi Kesultanan Acheh ketika itu. Menurut salasilah, Hasbi ash Shiddieqy adalah berketurunan Abu Bakar al-Shiddiq (573-13/634M) iaitu khalifah yang pertama. Beliua merupakan generasi ke 37 dari Abu Bakar al-Shiddiq yang meletakkan gelaran ash Shiddieqy diakhir namanya. [1]
2. PENDIDIKAN
Prof. Dr. Teungku Muhammad Hasbi ash Shiddieqy mula mendapat pendidikan awalnya di pondok pengajian milik bapanya. Beliau menuntut ilmu di pelbagai pondok pengajian dari stu kota ke kota yang lain selama 20 tahun.Beliau mempelajari bahasa Arab daripada gurunya yang bernama Syeikh Muhammad ibn Salim al-Kalali, seorang ulama’ berbangsa Arab. Pada tahun 1926 T.M Hasbi ash Shiddieqy berangkat ke Surabaya dan melanjutkan pelajarannya di Madrasah al-Irsyad iaitu sebuah organisasi keagamaan yang didirikan oleh Syeikh Ahmad Soorkati (1874-1943), seorang ulama’ yang berasal dari Sudan . Di Madrasah al-Irsyad Hasbi ash Shiddieqy mengambil takhassus dalam bidang pendidikan selama 2 tahun. Pengajiannya di al-Irsyad dan gurunya Ahmad Soorkati banyak memberi didikan ke arah pembentukan pemikiran moden. Beliau juga pernah menuntut di Timur Tengah.
3. KEILMUAN
T.M Hasbi ash Shiddieqy merupakan seorang ulama’ Indonesia yang terkenal. Beliau memiliki kepekaran dalam bidang ilmu fiqh dan usul fiqh, tafsir, hadith, dan ilmu kalam. T.M Hasbi ash Shiddieqy telah dianugerahkan dua gelaran Doctor Honoris Cause sebagai penghargaan di atas jasa-jasanya terhadap perkembangan Perguruan Tinggi Islam dan perkembangan ilmu pengetahuan keislaman Indonesia. Anugerah tersebut diperolehi dari Universiti Islam Bandung dan (UMSBA) pada 22 March 1975, dan dari IAIN Sunan KalijagaYogyakarta pada 29 Oktober 1975.
4. PENGLIBATAN POLITIK DAN ORGANISASI
Pada zaman demokrasi liberal T.M Hasbi ash Shiddieqy terlibat secara langsung dalam Parti Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia) dan mewakilinya dalam perdebatan ideologi di Konstituante. Beliau turut menganggotai Organisasi Muhammadiyah.
5. KETOKOHAN
T.M Hasbi ash Shiddieqy menetap di Yogyakarta pada tahun 1951 dan melibatkan diri secara serius dalam bidang pendidikan. Pada tahun 1960 beliau diangkat menjadi dekan di Fakulti Syariah IAIN Sunan Kalijaga Yogyakarta. Beliau menyandang jawatan ini hingga tahun 1972.. Kepakaran beliau dalam pengetahuan Islam dan pengiktirafan ketokohannya sebagai ulama’ dapat dilihat dari beberapa gelaran doktor (honoris cause) yang diterimanya seperti dari Universiti Islam Bandung pada 22 March 1975 dan dari IAIN Sunan Kalijaga pada 29 Oktober 1975. Sebelum itu, pada tahun 1960, beliau diangkat sebagai ketua dalam bidang ilmu hadith di IAIN Sunan Kalijaga. Pendidikan yang diterimanya dari pondok-pondok pengajian dan Madrasah al-Irsyad mampu menyerlahkan dirinya sebagai seorang pemikir. Kemampuannya sebagai seorang intlektual diakui dunia antarabangsa. T.M Hasbi ash Shiddieqy pernah diundang dan menyampaikan makalah dalam International Islamic Colloquium yang diadakan di Lahore Pakistan (1958). Beliau mula bergerak di Acheh dalam lingkungan masyarakat fanatik. Namun begitu, Hasbi masih meneruskan perjuangannya walaupun beliau dimusuhi oleh pihak yang tidak bersefahaman dengannya.
6. PEMIKIRAN
Seperti ulama’ lain, Hasbi ash Shiddieqy berpendirian bahawa syariat Islam bersifat dinamik, sesuai dengan perkembangan masa dan tempat. Ruang lingkupnya mencakupi semua aspek kehidupan manusia, baik dalam hubungannya dengan sesama manusia mahupun hubungan dengan Tuhannya. Syariat Islam yang bersumbekan wahyu Allah swt, difahami oleh umat Islam melalui metode ijtihad untuk diadaptasikan setiap perkembangan yang berlaku dalam masyarakat. Ijtihad inilah yang kemudiannya melahirkan fiqh. Banyak kitab fiqh yang ditulis oleh ulama’ mujtahid. Di antara mereka yang terkenal adalah imam-imam mujtahid mazhab empat iaitu Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’i dan Ahmad ibn Hanbal. Menurut Hasbi ash Shiddieqy, kebanyakan umat Islam, khususnya di Indonesia tidak membezakan antara syariat asal dari Allah swt dan fiqh yang merupakan ijtihad ulama’ terhadap syariat tersebut. Selama ini terdapat masyarakat Indonesia yang yang cenderung menganggap fiqh sebagai syariat. Akibatnya, kitab-kitab fiqh yang ditulis oleh imam-imam mazhab diambil sebagai sumber syariat, walaupun kadang-kadang pendapat imam mazhab tersebut ada yang perlu diteliti dan dikaji dengan konteks terkini, kerana hasil ijtihad mereka tidak terlepas dari situasi dan keadaan sosial budaya serta lingkungan geografik. Tentu sahaja hal ini berbeza dengan keadaan masyrakat kita sekarang.
Menurutnya, hukum fiqh yang dianuti oleh masyarakat Islam Indonesia banyak yang tidak sesuai dengan keperibadian bangsa Indonesia. Mereka terlalu berkecenderungan mengikut mazhab imam-imam tersebut. Sebagai alternatif terhadap sikap tersebut, beliau mencadangkan gagasan perumusan kembali fiqh Islam yang berkeperibadian Indonesia. Menurutnya, umat Islam harus mencipta hukum fiqh yang sesuai dengan latar belakang masyarakat Indonesia. Namun begitu begitu, tidak beerti ijtihad ulama’ terdahulu harus dibuang sama sekali, tetapi harus diteliti dan dipelajari secara bebas, kritis dan terlepas dari sikap fanatik. Dengan demikian, pendapat ulama’ dari mazhab manapun, asalkan sesuai dan relevan dengan situasi masyarakat Indonesia dapat diterima dan diterapkan.
Untuk usaha ini, ulama’ harus mengembangkan dan menggalakkan ijtihad. Hasbi ash Shiddieqy berpendapat bahawa pintu ijtihad tidak pernah tertutup, kerana ijtihad adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dari semasa ke semasa. Menurutnya, untuk menuju fiqh Islam yang berwawasan ke Indonesiaan, ada tiga bentuk ijtihad yang perlu dilakukan.
Pertama: Ijtihad dengan mengklasifikasi hukum-hukum keluaran ulama’ mazhab terdahulu. Ini bertujuan agar dapat memilih pendapat yang masih sesuai untuk diterapkan dalam masyarakat.
Kedua: Ijtihad dengan mengklasifikasikan hukum-hukum yang semata-mata didasarkan pada adat kebiasaan dan suasana masyarakat di mana hukum itu berkembang. Hukum ini, menurut beliau berubah sesuai dengan perubahan masa dan keadaan masyarakat.
Ketiga: Ijtihad dengan mencari hukum-hukum terhadap masalah kontemporari yang timbul akibat dari kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi.
Disebabkan kompleksnya permasalahan yang terjadi akibat daripada kemajuan,maka pendekatan yang dilakukan untuk mengatasinya tidak boleh dikhususkan hanya pada bidang-bidang tertentu sahaja. Oleh kerana itu, ijtihad tidak dapat dilaksanakan dengan efektif jika dilakukan secara individu. Hasbi ash Shiddieqy menawarkan gagasan ijtihad jama’i.Dianggotai bukan hanya golongan ulama’, tetapi juga terdiri dari pelbagai kalangan muslim yang lain seperti, ahli ekonomi, sarjana, budayawan, dan ahli politik yang mempunyai visi dan wawasan terhadap permasalahan umat Islam. Mereka yang duduk dalam lembaga ijtihad masing-masing berusaha memberi buah fikiran yang sesuai dengan keahlian dan dan disiplin ilmu. Dengan demikian, rumusan ijtihad yang diputuskan oleh lembaga ini lebih mendekati kebenaran dan lebih sesuai dengan tuntutan situasi dan kemaslahatan masyarakat. Dalam gagasan ijtihad ini memandang metodologi pengambilan dan penetapan hukum (istinbat) yang telah dirumuskan oleh para ulama’ seperti qias, istihsan, masalah mursalah dan urf.
HASIL KARYA
Semasa hayatnya T.M Hasbi telah menghasilkan 72 judul buku dan 50 artikel dalam bidang tafsir, hadith, fiqh dan pedoman ibadah.
KEWAFATAN
T.M Hasbi ash Shiddieqy kembali ke rahmatullah tanggal 9 Disember 1975 ketika dalam membuat persiapan untuk menunaikan ibadah haji. Beliau dimakamkan di permakaman IAIN Ciputat Jakarta. Turut hadir almarhum Hamka dan almarhum Mr. Moh. Rum di hari pengkebumiannnya.
PENGENALAN KITAB TAFSIR AL-BAYAN
Tafsir al-Bayan merupakan hasil karya ke dua yang dikarang oleh Prof. T.M hasbi ash Shiddieqy dalam bidang pentafsiran al-Qur’an selepas karyanya yang pertama iaitu Tafsir An-Nur yang diterbitkan pada tahun 1956. [2]
Pada Muqaddimah tafsir ini, yang bertarikh Yokyakarta: 21 Mei 1966, pengarang menulis: “Dengan inayah Allah Taala dan taufiq-Nya, setelah saya selesai dari menyusun Tafsir An-Nur yang menterjemahkan ayat dan menafsirkannya, tertarik pula hati saya kepada menyusun al-Bayan”[3].
Pengarang menyatakan sebab-sebab penulisan tafsir ini adalah untuk menyempurnakan sistem penterjemahan yang terdapat dalam Tafsir An-Nur karya pertamanya dalam bidang ini. Juga pengarang mendapati bahawa terjemahan-terjemahan al-Qur’an yang beredar ditengah-tengah masyarakat perlu dikaji dan ditinjau semula. Pengarang berkata di dalam kitab tafsirnya:
“Maka setelah saya memerhatikan perkembangan penterjemahan al-Qur’an akhir-akhir ini, serta meneliti secara tekun terjemahan-terjemahan itu, nyatalah bahawa banyak terjemahan kalimat yang perlu ditinjau dan disempurnakan. Oleh karananya, dengan memohon taufiq daripada Allah Taala, saya menyusun sebuah terjemah yang lain dari yang sudah-sudah”[4]
Karyanya yang kedua ini juga merupakan terjemahan dan tafsir al-Qur’an dalam bahasa Indonesia yang diperkirakan dihasilkan oleh pengarang pada awal tahun 60-an lagi. Cetakan pertama kitab tafsir ini ialah pada tahun 1971 melalui terbitan PT Almaarif Bandung, dengan ukuran 15 x 22 cm.
Al-Bayan yang dinamakan oleh pengarang adalah bermaksud “Suatu penjelasan bagi makna-makna al-Qur’an”. Kitab ini terdiri dari dua jilid. Jilid pertama mengandungi nas-nas ayat al-Qur’an bermula dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan ayat 75 surah al-Kahf. Kesemua terjemahan dan tafsiran bagi jilid pertama mengandungi 789 muka surat. Bagi jilid ke dua Tafsir al-Bayan ini, dimulai dari surah al-Kahf ayat ke 75 dan berakhir dengan surah al-Nas bersama terjemahan dan tafsirannya yang terkandung dalam muka surat 789 sehingga 1604[5].
1. Pendahuluan
Segala puji bagi Allah yang telah berfirman dalam kitabNya yang mulia:
قد جـاءكم من الله نور وكتـب مبين[6]
“Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkan.”
Dan Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda:
خيركم من تعلم القرءان وعلمه
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarkannya.” ( Al-Hadith )
Atas dasar itu penulis merasa satu kenikmatan dan ketenangan apabila terlibat dalam tugas ini. Apatah lagi mengkaji kandungan kitab suci al-Quran, walaupun tidak secara mendalam tetapi cukup sebagai satu kepuasan dalam diri.
Penterjemahan al-Quran merupakan salah satu cara dakwah yang kesannya cukup mendalam terhadap sesebuah masyarakat kerana isi kandungannya lebih mudah difahami. Bentuk masyarakat yang berbagai memerlukan kepada kaedah dakwah yang pelbagai. Penterjemahan yang salah pula membawa kepada kepada kesalahfahaman masyarakat terhadap isi kandungan al-Quran yang akhirnya menjejaskan akidah mereka. Oleh itu,segala usaha peterjemahan sepatutnya diberi sokongan penuh kerana usaha mereka terlalu mulia di sisi Islam.
Kitab yang ada ditangan penulis ini mudah-mudahan membawa manfaat kepada seluruh masyarakat Islam atas usaha-usaha mereka yang murni lagi suci. Di kesempatan ini, penulis cuba meninjau kaedah-kaedah yang digunakan oleh penterjemah terhadap kitab ini, mudah-mudahan ada baiknya untuk masyarakat Islam keseluruhannya.
2. Pengenalan Kitab
Nama Kitab : Al-Quran dan Terjemahnya (Indonesia)
Penterjemah : Yayasan Penyelenggara Penterjemah / Pentafsir Al-Quran,
Jakarta.
Cetakan : Mujamma‘ al-Malik Fahd li Tiba‘at al-Mushaf al-Syarif,
Medinah Munawwarah, Saudi Arabia. ( 1418H )
Bil. Jilid : 1 Jilid
3. Latarbelakang Penterjemah
Yayasan Penyelenggara Penterjemah / Pentafsir al-Quran merupakan satu badan yang dipertanggungjawabkan oleh Menteri Agama untuk menterjemah, menerbit dan mengedarkan Kitab Tafsir al-Quran dan Terjemahnya kepada masyarakat Islam setempat dan sekitarnya. Terjemahan ini mengambil masa lapan tahun (1964-1971) untuk disempurnakan oleh anggota “Dewan Penterjemah” seramai sebelas orang yang terdiri dari kalangan tokoh-tokoh ulama terkenal.
Mereka itu ialah:
1. Prof. R. H. A. Soenarjo S. H. (Ketua)
2. Prof. T. M. Hasbi Ashshiddiqi.
3. Prof. H. Bustami A. Gani.
4. Prof. H. Muchtar Jahya.
5. Prof. H. M. Toha Jahya Omar.
6. Dr. H. A. Mukti Ali.
7. Drs. Kamal Muchtar.
8. H. Gazali Thaib.
9. K. H. A. Musaddad.
10. K. H. Ali Maksum.
11. Drs. Busjairi Madjidi.[7]
Di antara kesebelasan anggota di atas, penulis ingin mengenengahkan salah seorang tokoh untuk ditonjolkan latarbelakangnya. Beliau adalah Prof. T. M. Hasbi Ashshiddiqi.
3.1 Biodata Prof. T.M. Hasbi Ashshiddiqi
Nama : Muhammad Hasbi Ashshiddiqi.
Tarikh dan Tempat Lahir : Dilahirkan pada 10 Mac 1904 di Lhokseumawe yang
terletak di Acheh Utara.
Keturunan : Beliau berdarah campuran Arab. Menurutnya silsilah
yang diketahui beliau adalah keturunan ketiga puluh
tujuh dari Khalifah Abu Bakr al-Siddiq.
Latarbelakang Keluarga : Keluarganya tergolong dari kalangan ulama pejabat.
Ibunya bernama Teungku Amrah yang merupakan
puteri kepada Teungku Abdu Aziz, pemangku Qadhi Chik Maharaja Mangkubumi. Bapanya pula bernama al-Hajj Teungku Muhammad Husen bin Muhammad Mas‘ud. Ketika berusia 6 tahun ibunya meninggal dan diasuh oleh neneknya yang bernama Teungku Syamsiyah.
Latarbelakang Pendidikan : Beliau mula belajar ketika berusia lapan tahun di
beberapa sekolah-sekolah pondok. Setelah itu belajar di sekolah kerajaan iaitu sekolah al-Irsyad selama satu setengah tahun. Walaupun tempoh beliau belajar sedikit tetapi dapat dilihat dari keperibadiannya sebagai seorang pemikir yang hebat. Keintelektualannya diiktiraf dunia. Pada tahun 1958, beliau dijemput untuk membentangkan kertaskerja dalam SeminarIslam Antarabangsa di Lahore Pakistan. Beliau berani dalam mengutarakan pendapatnya, walaupun kerananya ia dimusuhi, dipenjara dan sebagainya. Beliau adalah orang pertama yang menimbulkan isu perlunya kepada kekinian fiqh yang berkepribadian Indonesia atau istilahnya sebagai “Fiqh Indonesia”. Cetusan ini telah menimbulkan polemik yang hebat di kalangan para ulamak sezamannya hingga sekarang.
Karya-karya Yang Dihasilkan : Beliau telah menghasilkan karya-karya dalam bidang
tafsir, hadith, fiqh dan panduan ibadah umum. Bilangan karyanya mencapai 72 buah buku dan 50
artikel. Antaranya seperti:
1. Al-Islam.
2. Kriteria Antara Sunnah dan Bid’ah.
3. Mutiara Hadith.
4. Sejarah dan Pengantar Ilmu Hadith.
5. Fiqhul Mawarith
6. Tafsir al-Quran an-Nur.
7. Pedoman Shalat
8. Pedoman Puasa.
Gelaran Yang Diterima : Beliau memperoleh dua gelaran sepanjang hidupnya.
Gelaran itu ialah Doctor Honoris Causa yang diperoleh
dari dua institusi pengajian tinggi di Indonesia. Institusi yang pertama ialah Universitas Islam Bandung (UNISBA) pada 22 Mac 1975 dan IAIN Sunan Kalijaga Yogyakarta pada 29 Oktober 1975. Anugerah ini diberikan sebagai jasa-jasa beliau terhadap perkembangan Perguruan Tinggi Islam dan perkembangan pengetahuan keislaman di Indonesia.
Kembali Ke Rahmatullah : Beliau meninggal pada 9 Disember 1975 dan
dikebumikan di pemakaman keluarga IAIN Ciputat
Jakarta.[8]
4. Metodologi Penulisan
Mukadimah
Ia dibahagikan kepada enam bab utama.
Bab Satu : Sejarah al-Quran.
Bab Dua : Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam.
Bab Tiga : Kandungan al-Quran.
Bab Empat : Al-Quran Sebagai Mukjizat.
Bab Lima : Al-Quran dan Ilmu Pengetahuan.
Bab Enam : Keutamaan Membaca al-Quran dan Cara Bacaannya.[9]
Bibliografi diletakkan selepas membicarakan bab-bab di atas. Ternyata penterjemah mengambil rujukan dari kitab-kitab yang muktabar dan pelbagai dan bilangannya sebanyak 105 buah kitab. Antara rujukannya seperti;
1. Al-Tabari, Jami‘ al-Bayan fi Tafsir al-Qur’an.
2. ‘Ali ‘Abd Allah Yusuf, The Holy Qur’an.
3. Al-Fayruz Abadi, Tanwir al-Miqbas min Tafsir Ibn ‘Abbas.
4. Al-Fakhr al-Razi, Al-Tafsir al-Kabir.
5. Al-Zamakhsyari, Al-Kasysyaf.[10]
Transliterasi yang digunakan mengikut kaedah Indonesia. Sebagai contoh;
1. Dh = ض
2. Th = ط
3. Sh = ص
4. aa - sebagai tanda bacaan fathah yang panjang.
5. ii - sebagai tanda bacaan kasrah yang panjang.[11]
Sebelum penterjemahan pada setiap surah dibuat, ia didahului dengan mukadimah yang menyatakan beberapa perkara penting yang dihuraikan dalam bentuk sinopsis. Secara umumnya, bahagian ini menyatakan bilangan ayat, pengkategorian al-Makki atau al-Madani, pendefinisian nama pada setiap surah, nama-nama lain bagi surah dan topik-topik penting yang dibincangkan pada keseluruhan surah. Dalam menyatakan topik-topik penting ini ia dibahagikan kepada empat bahagian;
1. Keimanan:
Bahagian ini dinyatakan secara ringkas konsep-konsep keimanan yang dibincangkan pada surah.
2. Hukum-hukum:
Bahagian ini dinyatakan secara ringkas tentang perbincangan mengenai hukum yang boleh dipetik dari surah.
3. Kisah-kisah:
Bahagian ini memberikan gambaran ringkas mengenai kisah yang terdapat pada surah.
4. Lain-lain:
Bahagian ini memasukkan perbincangan selain dari tiga bahagian di atas seperti balasan perbuatan baik,akibat perbuatan buruk, nikmat Allah yang tidak terhitung dan sebagainya.
Teknik penulisan terjemahan dalam kitab ini adalah secara bersebelahan antara ayat dan terjemahan pada setiap lembaran.[12] Konsep terjemahan yang dibuat, ialah berdasarkan ‘tahlili mawdu‘i’. Penterjemah membahagikan kepada tajuk-tajuk penting yang ada pada setiap surah dengan ditulis secara huruf besar, kecuali surah al-Fatihah dengan tidak ditulis tajuk padanya.[13] Di antara surah-surah yang paling banyak tajuk-tajuk penting di dalamnya ialah surah al-Ma’idah sebanyak lapan belas tajuk. Ia dimulai dengan tajuk “JANJI PRASETIA KEPADA ALLAH DAN PENYEMPURNAAN AGAMA ISLAM” dan diakhiri dengan tajuk “BEBERAPA KISAH TENTANG ISA A.S.”. Adapun yang paling sedikit sekali ialah satu tajuk seperti surah al-Ikhlas, al-Falaq, al-Nas dan sebagainya.
Setiap tajuk itu pula terdapat tajuk-tajuk kecil sebagai pendetilan tajuk-tajuk besar tersebut. Sebagai contoh, pada awal surah al-Baqarah diberi tajuk besar yang berbunyi “TIGA GOLONGAN MANUSIA DALAM MENGHADAPI AL-QURAN”. Selepas tajuk besar itu terdapat tajuk-tajuk kecil yang menjelaskan tajuk besar tersebut iaitu;
1. Golongan Mukmin.
2. Golongan Kafir.
3. Golongan Munafik.[14]
Terdapat nota kaki yang menjelaskan atau mentafsirkan terjemahan yang dibuat.
Penjelasan pada nota kaki ini boleh dikatakan sebagai ‘tahlili’ kerana ia meliputi dari segi pendapat-pendapat ulama tafsir terhadap sesuatu kalimah atau ayat, sebab-sebab nuzul, nasikh mansukh, qiraat dan sebagainya.
Contoh-contoh perkara di atas dapat dilihat dalam kitab ini seperti;
1. Pendapat ulama tafsir terhadap sesuatu kalimah atau ayat:
Dalam menhuraikan maksud ayat 5 surah al-Anfal;
كما أخرجك ربك من بيتك بالحق
Penterjemah mengambil pendapat al-Maraghi yang menyatakan: “Allah mengatur pembahagian harta rampasan perang dengan kebenaran, sebagaimana Allah menyuruhnya pergi dari rumah (di Madinah) untuk berperang ke Badar dengan kebenaran pula”. Manakala pendapat al-Tabari: “Keluar dari rumah dengan maksud berperang”.[15]
2. Pada menyatakan sebab-sebab nuzul, penterjemah ada membawa riwayat al-Tabari berkenaan ayat 115 surah al-Baqarah;
ولله المشرق والمغرب فأينما تولوا فثم وجه الله
“Al-Tabari menyebutkan bahawa ayat ini turun berkenaan tentang suatu kaum yang suatu ketika tidak dapat melihat arah kiblat yang tepat, sehingga mereka salat ke arah yang berbeda-beda.”[16]
3. Contoh nasikh mansukh dalam kitab ini dinyatakan pada membicarakan ayat 180 surah al-Baqarah;
كتب عليكم إذا حضر أحدكم الموت إن ترك خيرا الوصية للولدين والأقربين
بالمعروف
“Ma’ruf ialah adil dan baik. Wasiat itu tidak melebihi sepertiga dari seluruh harta orang yang akan meninggal itu. Ayat ini dinasakhkan dengan ayat mawarith.”[17]
4. Dalam bab qiraat penterjemah ada menyatakan pada ayat 4 surah al-Fatihah;
مـلك يوم الدين
“Maalik (Yang menguasai), dengan memanjangkan ‘mim’ ia bererti: pemilik (yang empunya). Dapat pula dibaca dengan Malik (dengan memendekkan ‘mim’) berarti raja.”[18]
Nota kaki yang dibuat adalah mengikut turutan dari awal surah hingga akhir surah al-Quran yang bilangannya mencapai angka 1,610 nota kaki.
Jika terdapat pengulangan dari segi penjelasan pada nota kaki, metod yang digunakan seperti;
1. Jika ia merupakan suatu penjelasan terhadap sesuatu kalimah ia akan ditulis seperti “Lihat yang dimaksud dengan ……. not no. …[19]”.
2. Jika ia merupakan penjelasan berkenaan sesuatu kisah, ia akan ditulis seperti “Lihat kembali kisah kaum Luth ini pada surat …… ( )[20] ayat …. s/d[21] ….”.
3. Jika ia merupakan huraian terhadap sesuatu terjemahan, ia akan ditulis seperti “Lihat not …..”
Dalam membicarakan pada ayat-ayat akidah penterjemah lebih berminat mengambil pendapat Asy‘ariyyah. Sebagai contoh pada ayat 255 surah al-Baqarah;
وسع كرسيه السمـوت والأرض
“Kursi dalam ayat ini oleh sebahagian mufassirin diartikan dengan ilmu Allah dan ada pula yang mengartikan dengan kekuasaanNya. Pendapat yang sahih terhadap makna ‘Kursi’ ialah tempat letak telapak kakiNya.”[22]
Terdapat juga penjelasan sesuatu ayat yang diambil dari mafhum sesuatu hadith dan dinilai oleh penterjemah dengan menyatakan rujukan kitab hadith yang diambil dan bab pada kitab tersebut. Sebagai contoh pada membicarakan ayat 144 dari surah Ali Imran;
وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل
“Abu Bakar r.a. mengemukakan ayat ini – di mana terjadi pula kegelisahan di kalangan para sahabat di hari wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. untuk mententeramkan Umar Ibnul Khaththab r.a. dan sahabat-sahabatnya yang tidak percaya tentang kewafatan Nabi itu. (Sahih Bukhari bab Ketakwaan Sahabat).”[23]
Penterjemah mengakhiri setiap surah dengan membuat kesimpulan terhadap keseluruhan surah, yang ditulis padanya sebagai ‘PENUTUP’. Seterusnya dinyatakan hubungkait antara surah samada pada permulaan, isi kandungan atau pengakhirannya.
Sebagai contoh pada membicarakan “HUBUNGAN SURAT AN NABA’ DENGAN SURAT AN NAAZI’AAT.”;
1. Surat An Naba’ menerangkan ancaman Allah terhadap sikap orang-orang musyrik yang mengingkari adanya hari berbangkit, serta mengemukakan bukti-bukti adanya hari berbangkit, sedang pada surat An Naazi’aat Allah bersumpah bahawa hari kiamat yang mendahului hari berbangkit itu pasti terjadi.
2. Sama-sama menerangkan huru-hara yang terjadi pada hari kiamat dan hari berbangkit.[24]
5. Kesimpulan
Setelah ditinjau secara rambang kitab “Al-Quran dan Terjemahnya”, penulis mendapati ia merupakan kitab yang cukup menarik dan mudah difahami. Ini kerana terjemahan yang dibuat tidak terlalu panjang dan tidak terlalu ringkas. Selain dari itu huraian-huraian atau penjelasan yang dibuat pada nota kaki, menggambarkan penterjemah cukup teliti dan memahami keperluan pembaca yang terdiri dari orang awam. Sehubungan dengan itu, penulis percaya kitab ini mendapat perhatian pembaca dan tidak hairanlah kitab ini dipilih untuk dicetak di Mujamma‘ al-Malik al-Fahd li Tiba‘at al-Mushaf al-Syarif di Madinah untuk disebarkan kepada masyarakat Islam di rantau ini.
Penulis berpendapat agar kitab ini dapat diperbaiki lagi penterjemahannya terutama dari segi akidah kepada yang lebih selamat dan berlandaskan ahli sunnah wal jamaah.
[1] Biografi pengarang diambil dari http//www.rizki-putera.com./hasbi.htm
[2] Muhammad Nur Lubis, Data-data Terbitan Awal Penterjemahan Dan Penafsiran Al-Qur’an Di Alam Melayu, Terbitan Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur, cetakan pertama 2002. Hlm 99
[3] Prof. T.M Hasbi ash Shiddieqy, Dr. Tafsir al-Bayan, PT Almaarif, Bandung, J 1, hlm 7.
[4] Ibid
[5] Muhammad Nur Lubis, op.cit, hlm 100-101
[6] Surah al-Ma‘idah : 15
[7] Lihat lampiran m/s: 16
[8] Siddiqi, Prof. Dr. Nourouzzaman MA, (1997) Fiqh Indonesia, Yogyakarta.
[9] Lihat lampiran m/s: 17
[10] Lihat lampiran m/s: 21
[11] Lihat lampiran m/s: 19
[12] Lihat lampiran m/s: 20
[13] Penulis berpendapat ia sesuai dengan fungsinya sebagai Umm al-Kitab.
[14] Lihat lampiran m/s: 18
[15] Lihat nota kaki no. 596.
[16] Lihat nota kaki no. 83.
[17] Lihat nota kaki no. 112.
[18] Lihat nota kaki no. 4.
[19] No. di atas bermaksud nombor rujukan pada nota kaki sebelumnya.
[20] Dalam kurungan bermaksud no. bilangan surah yang terdapat dalam al-Quran.
[21] Penulis berpendapat ia bermaksud ‘sehingga datang’.
[22] Lihat nota kaki no. 161.
[23] Lihat nota kaki no. 234.
[24] Lihat m/s: 1017.
28 Jun 2007, 13 Jamadil Akhir 1428,
10.31, Malaysia Timur
6 ulasan:
Terima Kasih atas pencerhan mengenai tafsir Al bayan, tafsir ini di indonesia sudah sangat sulit didapat, mohon dengan sanata apabila bapak/ibu/saudara masih mempunyai kitab tafsir tersebut atau tau dimana harus mendapatkannya, tolong kabari. terima kasih
Assalamualaikum..sye juga turut mncari tafsir al bayan t.m hasbi asy ashiddieqqy sila hubungi 0122612256 mohd jeffri
Bagus
Nomor WA saya: +917060997884
Good job
Yang faham tentang sholat trawih ketika adanya wabah bagaimana menurut tafsir albayan
Catat Ulasan