Khamis, 31 Julai 2008

Adakah muqabalah UMNO dan PAS akan berjaya?



Saya cuba menyimpulkan begini. Muqabalah ini tidak akan berjaya selagi :

1) Pihak UMNO tidak mengakui kesalahannya selama ini di atas penafian kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu serta penghinaan kepada agama Islam selama ini.

2) PAS masih ada keraguan terhadap kesungguhan UMNO untuk mendahulukan al-Quran dan al-Hadith sebagai panduan utama dalam muqabalah.

3) Adanya penentangan besar dari penyokong kedua-dua parti. Ini kerana tiada parti tanpa pimpinan dan tiada pimpinan tanpa ahli. Apa yang lebih penting, ahli mungkin menuntut agar tujuan parti ditubuhkan dipertahankan.(UMNO dengan semangat nasionalisme keMelayuan dan PAS dengan dasar mendaulatkan Islam).

4) Media massa pro UMNO akan terus menggambarkan seolah-olah PAS bersedia menurut kehendak UMNO dan PAS yang sedar perkara ini, akan menarik diri dari muqabalah.

5) Masanya belum sampai pada saat ini dan tidak diizinkan Allah.

p/s: Pusrawi menafikan laporan yang dikeluarkan oleh Dr Osman Hamid tentang aduan sukar membuang air besar oleh Saiful berkaitan dengan isu diliwat oleh Anwar. Mereka menyatakan laporan perubatan yang disiarkan di Internet dalam tempoh 2-3 hari ini adalah palsu. Pulangkan kepada Allah kebenarannya. Yang batil akan terbongkar !

Rabu, 30 Julai 2008

Isra dan Mikraj Mengukuhkan Keimanan Para Mukmin


Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah dan jika kita fikirkan dari segi logik akal maka dakwah Islam pasti akan terkubur. Namun kuasa Allah melebihi segala-galanya iaitu selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif iaitu ketika penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah.


Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif.Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam iaitu kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil dalam negara yang banyak tetapi ia tidak membantu dalam membentuk umat Islam yang bersatu serta menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri.Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.Sejarah Isra' dan MikrajRasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Isra" itu.


Semasa Isra' (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)Sepanjang perjalanan (isra') itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan).


Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).


3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).


4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.


5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami.


6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.



7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.



8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.


9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.


10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.


11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.


12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.



13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.


Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.Semasa Mikraj (Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah)Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).


1. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.


2. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.


3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.


4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.


5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.


6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.


7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.


Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ila ha illallah allahuakbar dan Wa La Haulawala Quwata Illabillahil Azim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).


8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah.



Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.


9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.



10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:



Allah S.W.T: Ya Muhammad. Rasulullah : Labbaika. Allah S.W.T: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.


Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.



Allah S.W.T: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.Selepas MikrajRasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.



Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Rasulullah saw langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah swt. Allah swt telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Rasulullah saw. Masih terlekakah kita?

Selasa, 29 Julai 2008

Awasi perangkap propaganda dan dakyah UMNO dan media massanya




Apa yang dibimbangi kini berlaku. Meskipun Tuan Guru Nik Aziz menyatakan mesej yang jelas bahawa UMNO dan PAS perlu dibubarkan dan menubuhkan sebuah parti baru yang berlandaskan Islam(Dengan kata lain, maksud tersirat Tuan Guru ialah UMNO perlu bersama PAS memperjuangkan Islam dan bukan PAS bersama UMNO), kenyataan beliau telah dimanipulasikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak ; Datuk Seri Tajol Rosli.

Beliau menawarkan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat yang diketuai Menteri Besarnya oleh ADUN PAS ; Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin untuk berkongsi kuasa dengan UMNO dan BN serta sanggup menerima MB dari PAS. Tetapi tawaran itu cepat dimatikan dengan kenyataan tegas oleh MB Perak bahawa PAS Perak tetap bersama Pakatan Rakyat.

PAS perlu lebih berhati-hati kerana UMNO akan terus menerus menggugat keutuhan Pakatan Rakyat termasuk membidas DAP untuk menunjukkan seolah-olahnya mereka "membela" PAS. Apapun kita yakin pucuk pimpinan tertinggi PAS akan mengambil segala perkiraan yang tepat dalam isu muqabalah bersama UMNO(nampaknya Utusan Malaysia dan Berita Harian terus menggunakan perkataan muzakarah).

Moga Allah melindungi parti/jamaah/kumpulan yang berusaha mendaulatkan agama Allah, walaupun di depan sana semakin hebat cabaran dan dugaan yang dihadapi. Benarlah kata Allah bahawa perjuangan menegakkan agama Allah itu masih jauh dan hanya istiqamah, keyakinan masa depan pasti milik Islam serta bersangka baik kepada Allah ; faktor utama kejayaan gerakan Islam seperti PAS untuk terus teguh mendepani rintangan di persada poltik tanahair.



11.56 pagi, Malaysia Timur

29 Julai 2008, 26 Rejab 1429 Hijrah

Menilai mesej Israk ke Baitul Maqdis


Tajdid Iman : Dr Juanda Yahya

Palestin lambang dakwah umat Muhammad, namun kini Yahudi bermaharajalela


KRONOLOGI peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad SAW sentiasa menjadi bacaan wajib orang Islam yang memperingatinya setiap tahun. Tiada rasa jemu membaca kisah perjalanan agung yang hakikatnya umpama hadiah istimewa bagi Baginda SAW daripada Allah. Tujuan membawa Rasulullah SAW menikmati tanda kebesaran Allah pada malam itu ialah supaya Baginda SAW mendapat kekuatan baru untuk menghadapi keperitan dalam mengharungi medan dakwah yang kejam.

Allah berfirman yang bermaksud: "Maha Suci Allah, yang memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya supaya kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Israk, ayat 1) Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada Baginda SAW adalah kehebatan perjalanan itu yang hanya menghabiskan masa semalaman menggunakan kenderaan buraq yang tidak pernah dikenal manusia. Malah, Baginda SAW menjelajah dari Masjidil Haram hingga ke Palestin dan dimikrajkan ke hadapan Allah untuk menerima kewajipan sembahyang sebagai amanah bagi umatnya. Kehebatan perjalanan itu sukar diterima dengan akal semata-mata. Nyata satu lagi bukti kekuasaan Allah mencabar keimanan orang Islam yang belum kuat imannya untuk menerima dengan sebulat hati kebenaran peristiwa itu.


Malam itu, Rasulullah berjumpa nabi di Baitul Maqdis, melakukan sembahyang berjemaah kemudian naik ke langit pertama hingga ke tujuh lapisnya. Langit pertama, Baginda SAW berjumpa Nabi Adam, beliau mengalu-alukan kedatangan Rasulullah SAW. Di situ diperlihatkan roh syuhada berada di sebelah kanan Nabi Adam dan di kirinya pula roh manusia malang. Di langit kedua bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris, langit kelima Baginda melihat Nabi Harun dan mengucap salam kepadanya.


Tiba di langit keenam berjumpa dengan Nabi Musa sehingga jatuhlah air mata Musa memandang Rasulullah SAW seraya berkata: "Aku menangis kerana orang muda yang diutuskan selepasku tetapi umatnya masuk syurga lebih ramai daripada umatku." Dan terakhir berada di langit ketujuh bersama Nabi Ibrahim. Bagaimanakah rasanya berjumpa dengan nabi yang mempunyai misi sama dengan Baginda SAW? Bagaikan perhimpunan melepas kerinduan bersama insan pilihan Allah. Perjumpaan yang sungguh bermakna menyimpan satu misi kesatuan semangat dan perjuangan dakwah demi menegakkan tauhid di atas muka bumi ini.



Diharapkan Rasulullah SAW sentiasa mengingati sejarah dakwah nabi terdahulu supaya menjadi teladan dan contoh terbaik dalam kesabaran, kecekalan dan kesungguhan yang tiada habisnya. Selagi mana Allah belum memutuskan untuk mengakhiri misi dakwah selagi itu tiada kata berhenti dan menyerah kalah. Adakah diterima atau ditentang, hal itu bukan suatu masalah kerana Rasulullah SAW hanya ditugaskan untuk menyampaikan, yang memastikan dakwah diterima dan berjaya adalah Allah. Betapa semangat itu yang diperlukan Rasulullah SAW selepas menghadapi tentangan terlampau kejam kafir Quraisy selepas kematian Abu Talib dan isteri tercinta Ummul Mukminin Khadijah. Selepas itu, Baginda SAW dinaikan ke Sidratul Muntaha, di situ diperlihatkan tanda kekuasaan Allah yang lain iaitu, Baitul Makmur tempat tawafnya Malaikat yang memenuhi langit dan bumi.



Akhirnya sampailah ke kemuncak peristiwa terindah di sepanjang kehidupan Rasulullah SAW apabila dimikrajkan naik menghadap Allah. Lalu hampirlah Baginda SAW dengan Allah seolah-olah hampirnya dua busur panah atau lebih hampir lagi. Tidak dapat dibayangkan keadaan seorang hamba yang berada dekat dengan Allah. Perasaan Rasulullah SAW itu turut dikongsi bersama umatnya melalui perjumpaan ketika mereka sujud menyembah Allah. Betapa indahnya falsafah cuba diungkapkan melalui perhubungan suci antara hamba dan Tuhannya. Ketika kita solat hakikatnya kita menghadap raja segala raja dan puji-pujian menjadi alat komunikasi paling efektif untuk menagih cinta Yang Maha Agung.


Penentangan itu sampai pada batas melampau ketika mereka diceritakan peristiwa Rasulullah SAW mengembara ke Masjidil Aqsa dan naik ke langit berjumpa Tuhannya. Berkata Ibnu al-Qayyim: "Rasulullah SAW menceritakan kepada kaumnya apa yang diperlihatkan Allah kepadanya. Mendengar cerita itu mereka bertambah tidak percaya dan semakin menyakitinya.

Namun penentangan mereka tidak menyebabkan Rasulullah SAW gentar dan takut. Bahkan selepas menyaksikan gambaran syurga dan neraka serta tanda kebesaran yang diperlihatkan pada malam Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW bertambah yakin dan cekal menghadapi kekejaman kaumnya. Jika kita amati surah al-Israk yang menceritakan perjalanan Nabi SAW itu hanya pada satu ayat dan ayat seterusnya ialah pendedahan kejahatan orang Yahudi. Penulis kitab sirah al-Rahiq al-Makhtum, al-Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri cuba menganalisis hal itu.


Beliau berkata: "Sesungguhnya Allah menggunakan pendekatan ini (surah al-Israk) untuk memberi kefahaman bahawa peristiwa Israk berlaku di Baitul Maqdis kerana orang Yahudi akan disingkirkan daripada memimpin umat manusia. Allah akan memindahkan kepemimpinan kepada Rasulullah SAW, iaitu berpindah dari satu umat sejarahnya dipenuhi dengan pengkhianatan, dosa dan permusuhan kepada satu umat lain yang melahirkan kebaikan bersama Rasul mendapat wahyu menuju ke jalan lurus. Mesej Israk ke Baitul Maqdis ialah ingatan bahawa Palestin adalah lambang kemunculan dakwah umat Muhammad SAW dan berakhirnya kejahatan Yahudi. Namun kini keadaan bertukar sebaliknya, Yahudi bermaharajalela di bumi Allah.



Palestin yang hilang sepatutnya kita tebus dengan perjuangan bersama seluruh dunia Islam. Tunjukkan solidariti untuk tanah air kita bersama, negeri Palestin, bumi yang melahirkan Nabi dan Rasul. Lahirkan anak segagah Salahuddin al-Ayyubi, kerahkan kekuatan untuk menebus kembali tanah yang pernah dimerdekakan Umar al-Khattab. Setiap tahun kita menyambut Israk dan Mikraj, tetapi apakah semangat dakwah Rasulullah SAW sudah terpahat di hati kita?

Isnin, 28 Julai 2008

Isra' dan Mikraj : Suatu Renungan

Yang dimaksudkan dengan Al-Isra’ di sini ialah perjalanan yang mulia lagi bersejarah dan Masjid Al-Haram di Makkah ke Masjid Al- Aqsa di Al-Quds di Palestin, adapun Mikraj pula ialah peristiwa naik kelapisan langit tertinggi di mana Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam telah bertemu dengan Allah Rabbul Jalil, kesemuanya ini berlaku dalam semalam sahaja.Pendapat sejarah telah berbelah bagi tentang masa berlakunya mukjizat Isra’ dan Mikraj ini. Ada yang mengatakan berlakunya dalam tahun kesepuluh selepas kebangkitan dan pengutusan baginda. Pendapat Ibnu Sa’d yang telah digariskan di dalam kitabnya “AT-TABAQAT AL-KUBRA” mencatatkan bahawa mukjizat ini berlaku sebelum lapan belas bulan hijrah RasuluLlah.
Terdapat satu persoalan yang lain pula telah ditimbulkan iaitu apakah perjalanan RasuluLlah ini dengan ruhnya sahaja ataupun ruh dan jasad sekali. Pendapat ramai orang Islam ialah nabi disertai dengan jasad sekali dan di sinilah baru ternampaknya mukjizat pengembaraan baginda yang mulia yang telah dikurniakan kepada junjungan kita Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam.Tentang kisah pengembaraan ini telah dihidangkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dengan selengkapnya. Di malam yang bersejarah ini RasuluLlah telah menunggang “Buraq” sejenis binatang besar sedikit dari keldai dan kecil sedikit dari baghal. Binatang ini melangkah kakinya sejauh mata memandang.
Setelah baginda sampai dan masuk ke dalam Masjid Al-Aqsa serta menunaikan sembahyang dua raka’at, Jibril membawa baginda dua biji gelas, satu berisi arak dan yang satu lagi berisi susu. RasuluLlah memilih susu, lalu Jibril pun berkata: “Engkau telah memilih yang fitrah dan semulajadi” Setelah itu barulah RasuluLlah naik ke langit pertama, ke dua, ke tiga dan seterusnya dibawa ke “Sidratul Muntaha” dan di situlah Allah menyampaikan kepada baginda segala apa yang telah disampaikan. Antaranya Allah menyampaikan kewajiban sembahyang lima waktu sehari semalam ke atas tiap-tiap Muslim lelaki dan perempuan yang mana pada mulanya diwajibkan lima puluh raka’at sehari semalam.Pada keesokan pagi baginda menceritakan segala-galanya dan apa yang ternampak oleh mata kepalanya kepada umum. Cerita dari RasuluLlah SallaLlahu ‘Alaihi Wasallam menyebabkan orang Musyrikin semuanya bergelak ketawa dan membawa berita yang pelik dan mengetawakan ini, kepada yang lain untuk diketawakan.
Di samping itu terdapat di antara mereka yang mencabar RasuluLlah dengan meminta supaya menceritakan dan membuat satu gambaran tentang “Baitul Muqaddis” yang telah dilihat oleh RasuluLlah kalaulah betul baginda telah pergi dan sembahyang di dalamnya. Sebenamya untuk membuat gambaran atau laporan memang sukar kerana di masa itu tidak terlintas di ruangan kepala dan ingatan baginda SallaLlahu ‘alaihi Wasallam untuk meneliti sehalusnya berapa tiang, berapa pintu dan sebagainya. Walaupun begitu Allah Subhanahu Wa ta’ala telah menampakkan di mata kasar RasuluLlah gambar dan pemandangan Baitul Muqaddis secara terperinci dengan tiga dimensinya.
Ini membawa RasuluLlah dapat menjawab pertanyaan yang dihadapkan kepada baginda dan dengan ini juga baginda dapat menjawab cabaran mereka tadi dengan menjawab selengkapnya segala pertanyaan mereka.Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadith RasuluLlah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam, katanya: “Puak Quraisy telah mendusta segala cakapku, kemudian akupun bangun ke anjung (Saidina Ismail). Lepas itu Allah pun menampakkan kepadaku “Baitul Muqaddis”, membolehkan aku menceritakan segala-galanya tentang tempat-tempat dan tanda-tanda keistimewaan pemandangan Baitul Muqaddis yang dipaparkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala.Beberapa orang Musyrikin yang telah mendengar cerita Isra’ dan Mikraj itu berkejar menemui Sayyidina Abu Bakar dan menceritakan perihal Nabi Muhammad yang dikatakan telah pergi ke Baitul Muqaddis dan naik ke langit dengan harapan Sayyidina Abu Bakar terperanjat dan kebingungan tetapi dengan tenang Sayyidina Abu Bakar menjawab; “Sekiranya itu yang diceritakan oleh baginda maka semuanya adalah benar belaka. Sebenarnya aku telah mempercayai Nabi Muhammad tentang perkara-perkara lain yang lebih dari itu”.
Pada subuh pagi hari Isra’ itu jibril telah datang dan mengajar Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam cara-cara, rukun-rukun dan segala sesuatu mengenai fardhu sembahyang dan waktu-waktunya. Adapun RasuluLlah sebelum diturunkan sembahyang itu padanya, baginda sembahyang dua raka’at pagi dan dua raka’at petang. Segala-galanya adalah mengikut sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidina Ibrahim ‘alaihissalam.
PENGAJARAN DAN RENUNGANSepatah kata mengenai RasuluLlah dan mukjizat:- Setengah-setengah pengkaji sejarah RasuluLlah begitu gemar memperbesar-besarkan sangat tentang penghidupan Nabi Muhammad sebagai manusia biasa. Ini mereka lakukan ketika mengulas dengan panjang lebar bahawa kehidupan seharian baginda sebagai tidak berpaut dan bertaut dengan perkara-perkara luar biasa iaitu mukjizat. Mereka mengatakan bahawa baginda pernah menegaskan bahawa ia tidak ada kena-mengena dengan mukjizat. Pengulasan mereka itu bersandarkan kepada sepotong ayat Al-Qur’an yang bermaksud: “Katakanlah (hai Muhammad) sesungguhnya perkara perkara mukjizat itu berada di sisi Allah”. [Surah Al-An’am 6: 109]
Gambaran ini menyebabkan sipembaca sejarah Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaibi Wassalam akan mendapat gambaran di kepalanya bahawa penghidupan seharian Nabi Muhammad itu memang jauh dan tidak berbau langsung dengan perkara-perkara yang selalunya dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada para anbiya’Nya yang terdahulu untuk menyokong dan memperkuatkan risalah dan pengutusan mereka.Bila kita perhatikan dan mengkaji dengan teliti tentang pendapat dan teori ini nescaya ternampak tembelangnya kerana pendapat mi adalah dianjurkan dan didokong oleh para orientalis seperti Gustov Lobon, Ojist Kont, Hume, Gold Zihar dan lain-lain lagi. Timbulnya pendapat dan teori ini adalah disebabkan oleh ketiadaan iman dan kepercayaan mereka terhadap pencipta mukjizat tadi iaitu Allah Subhanahu Wata’ala kerana apabila keimanan dengan Allah tidak menetap di sanubari seseorang itu maka persoalan dan perkara yang lain menjadi gampang belaka dan di kala ini tidak perlu lagi kepada mukjizat-mukjizat itu.Malangnya pendapat ini telah disambut baik oleh setengah-setengah orang Islam dan memang malang nasib dunia Islam di mana kalangan orang Islam sendiri telah berusaha dan bertungkus-lumus untuk menyebarkan hasil pemikiran asing ini.
Usaha penyebaran yang merosakkan ini dilakukan tidak lain kerana mereka tertawan dan tertipu dengan keindahan putar-belit barat, terpesona dengan godaan kemajuan sains dan teknologi barat. Antara mereka yang terpengaruh dengan keindahan pesona kemajuan dan teknologi barat itu ialah Syaikh Muhammad ‘Abduh, Muhammad Farid Wijdi, dan Hussain Haikal.Dan bila penyerang ideologi dan seteru Islam yang profesional mendapati ada juga orang Islam yang cuba melariskan pendapat-pendapat barat ini maka semakin bertambah luas lagi jalan dan peluang baru kepada penyerang ideologi ini untuk memasukkan dengan lebih banyak lagi racun-racun berbisa ke dalam masyarakat ummat Islam dan tidak perlu lagi taktik yang tradisional untuk melancar serangan terang-terangan terhadap aqidah Islam dan menanam fahaman athies di otak kepala orang-orang Islam.
Yang demikian mereka cuba memberi gambaran dan sifat-sifat yang tertentu kepada RasuluLlah seperti kehandalan, kepintaran, kepimpinan dan bermacam-macam lagi di dalam bentuk-bentuk yang menarik sekali dan di masa yang sama mereka cuba membuat sesuatu gambaran kehidupan RasuluLlah yang terpisah dan mukjizat dan luar biasa yang bukan bukan yang tidak boleh sampai oleh akal manusia yang singkat.Tujuan mereka berbuat demikian ialah supaya lama-kelamaan akan tercipta suatu gambaran dan nama baru mengenai diri RasuluLlah di kalangan umat Islam. Boleh jadi mereka menamakan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam yang pintar atau Muhammad pemimpin atau Muhammad Perwira atau apa sahaja yang boleh melenyapkan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam sebagai Nabi dan Rasul di mana segala sifat dan faktor keNabian, wahyu dan sebagainya dan perkara-perkara ghaib malah apa sahaja yang boleh menukarkan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam dan alam keNabian dan keRasulan kepada metologi dan cerita-cenita dongeng kerana keNabian berasaskan wahyu dan mukjizat sedangkan manusia dari dongeng metologi tidak sedemikian.
Akhirnya segala-galanya ini membawa kepada suatu tanggapan dan kepercayaan bahawa sebab ramainya bilangan pengikut Nabi Muhammad tidak lain tidak bukan adalah kerana kepintaran dan kecerdikanNya. Cubalah perhatikan semuanya nampak dengan jelas dan nyata tentang maksud mereka menamakan penganut ugama Islam dengan Nabi Muhammad di tempat ‘muslimin dan Muslim’.Tetapi apakah tujuan sebenarnya di sebalik gambaran dan lukisan tentang hakikat Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam yang sebenarnya itu? Sekiranya ingin kita menyingkap dan mendedah di bawah cahaya logik dan kajian objektif maka ternyatalah kepada kita:
-i) Sekiranya kita kembali meneliti sekali lagi tentang zahiriyyah dan gejala wahyu itu dan telah pun kita memperkatakan selengkapnya bahawa ia menjadi unsur utama dalam penghidupan seharian Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wassalam maka ternyata kepada kita bahawa sifat-sifat yang lain tanpa ragu-ragu lagi. Kenabian adalah satu hakikat yang tidak dapat disukat atau dipertimbangkan mengikut perasaan biasa manusia. Demikian juga mukjizat, yang merupakan anugerah istimewa dan unggul kepada peribadi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam yang tidak boleh dilucutkan atau dibenteras ‘mukjizat’ dan perkara-perkara luar biasa ini kecuali setelah berjaya melucutkan sama sekali sifat kenabian darinya atau akibat akhirnya ialah mengingkarkan agama itu sendiri.

Meskipun tujuan maklumat ini tidak dinyatakan sejelasnya oleh pengkaji-pengkaji dan kalangan orientalis umun dengan hanya menyebut kepintaran Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam, kecerdikan, keberanian, kebijaksanaannya bermain politik dan sebagainya sudah cukup untuk membayangkan dan menyatakan tujuan dan matlamat mereka itu kerana tujuan dan maksud biasanya datang selepas pembayang.Oleh kerana setengah-setengah mereka ini tidak sabar dan sanggup menahan lebih jauh lagi maka tidak ada jalan lain melainkan meluahkan isi hati mereka dengan menyatakan secara terang-terangan bahawa mempercayai agama itu sama dengan mempercayai perkara mukjizat yang mustahil.[Dr. Shibli Shamil mengatakan ini dalam muqaddimah terjemahan ke bahasa Arab sebuah buku ulasan mengenai teori Evolusi Darwin]. Bukankah engkau lebih mengetahui bahawa tidak ada erti untuk memperkatakan sesuatu tentang keengkaran atau keimanan mereka terhadap mukjizat itu, sekiranya sejak awal-awal lagi mereka telah mengingkar agama itu sendiri.
ii) Andaikata kita meneliti tentang sirah kehidupan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam kita dapati begitu banyak sekali Allah Subhanahu Wata’ala menunjukkanmu ke atas Nabi Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam. Semuanya tidak dapat kita tolak kerana sirahnya adalah mengikut sandaran hadith yang benar dan riwayatnya bertaut pula, yang membawa kita percaya sepenuhnya malah mencapai peringkat kita meyakininya.Antaranya peristiwa mengeluarkan air dari antara jari—jarinya yang mulia. Peristiwa ini diceritakan oleh Imam Bukhari di dalam kitab hadithnya di bawah tajuk ‘Air Sembahyang’, Imam Muslim pula mencatatkannya di dalam bab sifat, atau tingkah laku, Imam Malik meriwayatkannya di dalam kitabnya Al-Muwatta’ di bawah judul ‘Kebersihan’ dan dan para imam hadith terkemuka yang lain mengikut aliran masing-masing. Al-Zarqani sendiri yang mengambil dari Al Qurtubi menceritakan dengan katanya: ‘Sesungguhnya pengaliran air antara jari-jari Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam disebut beberapa kali di dalam beberapa tempat kejadian yang bersejarah, sirahnya mengikut berbagai aliran yang kesemuanya membawa kepada pengetahuan yang benar dan sahih terhadap peristiwa ini.
Dan di antara yang lain pula ialah hadith pembelahan bulan di zaman RasuluLlah iaitu ketika itu puak musyrikin meminta baginda melakukan sedemikian. Al-Bukhari telah meriwayatkan di dalam kitab hadithnya di dalam fasal ‘Ahadithul Anbiya’ dan Muslim di dalam fasal ‘Sifatul Qiyamah’ begitu juga para ‘ulama’ hadith yang lain. Ibnu Kathir berkata: ‘.... tentang ini banyak hadith mutawattir dengan sandaran yang benar dan boleh dipercayai telah memperkatakan seluruh ‘ulama’ sepakat memperkatakan tentang peristiwa yang bersejarah ini berlakunya di zaman RasuluLlah, di mana ianya merupakan antara mukjizat-mukjizat yang teragung.Yang peliknya mereka tidak berhenti-henti memperhebohkan dengan mencanangkan sifat-sifat kepintaran Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam di samping melucutkan dan mengenepikan segala sesuatu yang berupa mukjizat dan sesuatu yang luar biasa dan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam dan ketika yang sama mereka sengaja melupakan segala hadith yang benar dan bertaut (mutawattir), langsung tidak memberi sebarang perhatian. Positif pun tidak, negatif pun tidak juga. Seolah-olah kitab-kitab hadith tidak pun mengandungi perkara ini sedangkan apa yang dikemukakan lebih daripada sepuluh aliran dan cara saranan.
Sebabnya mereka membisu ialah untuk mengelak diri supaya tidak terjerumus kepada masalah yang rumit di mana mereka terpaksa menghadapnya ketika bersekemuka dengan hadith-hadith tadi kerana hadith-hadith ini amat terang bercanggah dengan prinsip-prinsip yang berputar ligat di otak kepala mereka. [Antara mereka ialah pengarang Hayat Muhammad SaLlaLlahu ‘alaihi Wasallam yang begitu terang sekali hendak melepaskan dari ikatan hadith supaya teorinya begitu romantis dan tidak ditempelak oleh hadith itu. Beliau ialah Hussain Haekal.]
iii) Perkataan mukjizat ini bila diperhatikan dengan teliti maka didapati ia tidak mempunyai satu definasi yang tersendiri dan apa yang telah diertikan semata-mata makna dan pengertian yang nisbi atau relatif. Mengikut apa yang telah ditakrifkan, perkataan mukjizat ini bermakna perkara-perkara yang luar biasa dan perkara ini pula sering bertukar dan berubah mengikut peredaran masa, kadang-kadang berubah ertinya dan satu kebudayaan ke satu kebudayaan dan kebolehan sesuatu umat. Biasa berlaku di suatu masa yang lalu mukjizat dan luar biasa bagi puak yang perimitif yang tidak mempunyai ilmu pengetahuan.
Tapi yang sebenarnya mengikut orang yang berfikiran waras bahawa ‘biasa dan luar biasa’ itu kesemuanya asal mukjizat dan luar biasa berlaku. Cakerawala mukjizat, peredaran planet mukjizat, akal fikiran manusia mukjizat, kuasa tarikan bumi mukjizat, perjalanan darah mukjizat, jiwa dan roh manusia mukjizat sehingga manusia sendiri pun mukjizat juga. Memang tepat sekali apa yang disifatkan oleh ahli flkir Peranchis Chateaubriand katanya: “Manusia ini ialah penghidupan metafizika”Malangnya manusia ini selalu terlupa nilai mukjizat pada keseluruhannya kerana setiap waktu berkisar dan bermain dengannya, entah kerana mereka tidak tahu atau kerana bongkak, dikira mukjizat itu hanya pada perkara yang memeranjatkan sahaja. Manusia sering membuat ukuran untuk mempercayai atau tidaknya terhadap sesuatu perkara itu berdasarkan biasa atau luar biasanya sesuatu perkara. Inilah kejahilan manusia yang paling aneh meskipun ianya telah maju di bidang kemajuan dan pengetahuan.
Sekiranya manusia itu merenung dan memerhatikan dengan penuh ketelitian ke arah ‘alam akan terhidanglah kepadanya suatu ciptaan yang semuanya serba mukjizat belaka dan akan tersinar di otak kepalanya bahawa Tuhan yang mencipta alam ini tidak mengalami kesulitan dan kesukaran baginya untuk menokok-tambah sebarang mukjizat yang lain pula ke atas ‘alam ini ataupun menukar-ganti setengah-setengah sistem yang biasa dikendalikan kepada suatu cara yang lain pula. Seorang orientalis Inggeris “William Jones” pernah menyuarakan hasil renungan beliau terhadap ‘alam ini dengan katanya: “Tidak sukar bagi tenaga yang telah mencipta ‘alam ini untuk menambah atau membuang sebahagian darinya. Memang senang untuk mengatakan bahawa perkara ini tidak tergambar di kepala manusia.
Yang sebenarnya orang yang mengatakan demikian tidak tergambar di kepalanya gambaran sebenar tentang kewujudan ‘alam ini”. Ertinya kalaulah ‘alam ini tidak ada kemudian diceritakan kepada orang yang engkar dan tidak percayakan perkara-perkara mukjizat dan luar biasa bahawa dunia ini akan ada, dengan serta merta dia akan menjawab bahawa perkara ini tidak mungkin berlaku dan tidak terlintas di kepalanya kerana keengkarannya terhadap mukjizat. Inilah apa yang harus difahami oleh setiap Muslim tentang RasuluLlah dan segala yang telah dikurniakan Tuhan kepada baginda dan mukjizat yang luar biasa.
(2) Rahsia berlakunya Isra’ dan Mikraj dalam keadaan RasuluLlah sedang mengalami cubaan:Begitu pahit dan maung sekali segala pancaroba yang dirasai oleh RasuluLlah dan pihak Quraisy dan yang paling dahsyat sekali dialami oleh RasuluLlah ialah penghinaan di Thaif seperti yang telah kita perkatakan dahulu. Di dalam doa restu baginda ke hadrat Ilahi ketika baginda berehat dan penat lelah di pokok-pokok di dusun anak-anak Rabi’ah nampak sekali kelemahan dan keperluan manusia kepada pertolongan Ilahi dan inilah pengakuan kehambaan manusia kepada Tuhan Rabbul ‘Alamin; Di dalamnya juga menampakkan pengaduan RasuluLlah kepada Allah Subhanahu WataĆ LA di samping merestui pertolongan dan kurniaannya, juga terbayang kegelisahan apakah ini suatu kemurkaan dari Allah kerana sesuatu perintah yang telah terlanggar.
Oleh yang demikian di antara do’a restu baginda “sekiranya ini tidak mendapat murka maka tidaklah hamba hiraukan”.Selepas itu disusuli pula dengan peristiwa Isra’ Mikraj di mana peristiwa ini adalah kurniaan Allah kepada Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam demi untuk memperkuatkan dan memperbaharui keazaman dan menerangkan bahawa segala pancaroba yang dihadapi oleh RasuluLlah bukanlah suatu angkara murka dari Allah dan dasar Ilahi dengan manusia tercinta dan demikian juga sunnah dan dasar da’wah Islamiyyah di setiap waktu dan ketika.
(3) Perjalanan Isra’ RasuluLlah ke Baitul Muqaddis dan keberangkatan kelapisan langit ketujuh merupakan satu peristiwa yang besar ertinya. Antaranya mempertandakan bahawa Baitul Muqaddis bukanlah satu tempat biasa malahan ianya tempat qudus dan suci di sisi Allah dan mempertandakan bahawa di sana tersemat satu pertalian yang erat di antara kebangkitan ‘Isa bin Maryam ‘alaihissalam dengan risalah RasuluLlah, tegasnya wujudnya suatu pertalian dan hubungan yang rapat dan erat di antara para Anbiya’ seluruhnya di dalam siri pengutusan mereka ke’alam ini.Peristiwa ini juga memberi suatu suluhan isyarat bahawa setiap masa harus berwaspada dan menjaga keselamatan dan kehormatan tanah suci ini serta menjaganya dari sebarang rupa pencerobohan dari luar dan dalam. Inilah hikmat Ilahi yang seolah-olah telah memberi amaran agar setiap Muslim tidak akan membelakangkan masalah Baitul Muqaddis yang telah dinodai oleh tangan-tangan Zionis dan meminta dari setiap Muslim supaya membersihkan tanah ini dan noda kecemaran yang telah melandanya.
Siapakah yang mengetahui bahawa peristiwa Isra’ yang teragung inilah mendorongkan Salahuddin A1-Ayubi Rahimahullah bangun serentak menyeru kaum Muslimin menentang dan menghalau musuh salibi durjana dan berambus pulang ke Eropah semula dengan diselubungi oleh mendung kegagalan yang sial.
(4) Susu ialah yang menjadi pilihan RasuluLlah ketika Jibril membawa datang satu piala yang berisi susu dan yang satu lagi berisi arak; ianya sebagai simbolik kepada Islam, agama fitrah dan semulajadi. Jelasnya ‘aqidah dan hukum-hakam agama mi sesuai dan seiring dengan kehendak semulajadi manusia seluruhnya, tanpa ada suatu apapun di dalam Islam bercanggah dengan sifat-sifat semulajadi manusia. Andaikata ‘alam ini dan tabi’at semulajadi diibaratkan dengan suatu badan dengan dimensinya maka Islam pula ialah baju yang terpotong mengikut ukuran yang benar-benar menepati ukuran badan tadi.Inilah sebabnya mengapa Islam tersiar dengan meluasnya ke merata tempat dan diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Walau setinggi mana manusia mencapai tamaddun dan kemajuan kebendaan namun ia tetap mahu menjawab laungan perasaan dalaman yang bersifat semulajadi dan untuk demikian sanggup membebaskan dirinya dari belenggu rekaan yang kosot-moyot yang tidak berpijak dan berpandukan neraca semulajadi. Hanya Islam sahaja satu agama dan sistem yang unik yang boleh memberi keselesaan yang mendalam kepada neraca semula jadi manusia.
(5) Perjalanan Isra’ dan Mikraj berlaku dengan roh dan jasad sekali, jiwa dan badan RasuluLlah sekali. Sebilangan terbesar umat Islam di zaman lampau dan sekarang bersependapat mengatakan demikian. Imam Al Nawawi di dalam mengulas kitab Muslim menyatakan: “Pendapat yang sebenarnya seperti yang dipegang dan diperkatakan oleh sebahagian besar (majoriti) orang awam dan para fuqaha’ Islam yang terdahulu dan yang terakhir bahawa Isra’ Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam berlaku sekali lagi dengan jasad baginda. Kesan peninggalan sejarah juga membuktikan sedemikian dan tidak dapat dan tidak mungkin kenyataan. Athar ini ditolak dan ditukar dengan yang lama dan tidak boleb diengkar melainkan kalau dapat dibawa suatu penafsiran yang lain”. [Al-Nawawi Al-Sahih Muslim & Fathul Bari Al-Sahih Al-Bukhari]
Imam Ibnu Hajar di dalam kitab pengulasan hadith Bukhari menyatakan bahawa Isra’ dan Mikraj itu berlaku kedua duanya di dalam waktu satu malam, ketika Rasulullah masih sedar dan jaga dengan kedua-dua jasad dan rohnya sekali. Inilah pendapat majoriti ‘ulama’ hadith dan fuqaha’ Islam dan ‘ulama’ tauhid. Berita peristiwa ini turut berpindah dari seorang ke seorang dan tidak seharusnya menarik diri dari mempercayai centa ini kerana tidak ada suatu sebab pun yang membolehkan akal fikiran menolaknya.
Di antara bukti-bukti yang menolak keraguan apakah RasuluLlah berangkat dengan jasad dan rohnya ialah kehairanan kaum Quraisy, kerana perkhabaran itu terlalu ganjil bagi mereka. Oleh yang demikian mereka dengan serta merta mendustakan Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam. Kalaulah peristiwa ini setakat melibatkan roh sahaja maka tidak menjadi sebarang kegemparan di kalangan kaum Quraisy kerana pemandangan dan gambaran yang dilihat dalam tidur itu tidak ada sekatan dan batasan had. Kalau demikian maka perkara ini sama saja bagi orang Muslim dan kafir.
Kalau peristiwa ini berlaku dengan roh sahaja mengapa puak Quraisy begitu bersunguh sungguh untuk mengambil tahu dengan tepat tentang sifat-sifat Baitul Muqaddis, pintu, tiang dan sebagainya. Semuanya ini bertujuan untuk menekan dan mencabar Muhammad SallaLlahu ‘alaihi Wasallam.Bagaimana boleh berlakunya peristiwa ini dan apakah boleh tergambar di otak kepala manusia? Segala-galanya berlaku sepertimana mukjizat-mukjizat yang lain boleh terjadi. Bukankah telah kita katakan bahawa ‘alam ini semuanya mukjizat dan luar biasa belaka. Kalau semua ini dapat diterima oleh akal fikiran mengapa pula yang ini tidak dapat diterima dengan mudah juga.
(6) Berwaspada dan berhati-hati dalam mencari cerita Isra’ Mikraj, agar jangan terperangkap oleh sebuah kitab yang bernama: “Mikraj Ibni ‘Abbas” kitab ini penuh bersirat dengan hadith-hadith yang palsu yang tidak ada asal dan sanadnya, memang pengarangnya yang bertujuan buruk ini cuba meletakkan pembohongan-pembohongan itu kepada Ibnu Abbas r.a., sedangkan Ibnu ‘Abbas bersih dari demikian seperti yang diketahui oleh orang-orang yang berakal, Ibnu Abbas sebenarnya tidak pemah mengarang sebarang kitab mengenai Mikraj Rasul, sebenarnya kitab ini disusun dan muncul di zaman akhiran pemerintahan Umawiyah.
Bila kitab ini ditemui oleh pendakwah-pendakwah jahat, mereka dapati banyak pembohongan yang dikaitkan kepada Rasulullah SallaLlahu ‘alaihi Wasallam yang boleh menggoncangkan iman banyak manusia, mereka pun memperkenalkan kitab ini, mereka tonjol-tonjolkan kitab ini, (Salah seorang dan mereka yang menulis pujian dan mengagung-agungkan kitab ini, ialah Doktor Louis Audh. Kenalkah anda siapa itu Louis Audh ?) di samping mereka tahu sebelum semua orang tahu bahawa kitab ini didustakan atas nama Ibnu Abbas, hadith-hadith yang terdapat dalamnya semua palsu dan salah, tetapi terbalik songsang begitu cepat sekali yang dusta menjadi benar pada mereka, ini adalah kerana bertujuan mengelirukan pemikiran orang-orang muslimin dan dengan tujuan membuat kesamaran terhadap agama Islam.
Selamat menyambut Isra dan Mikra pada esok hari-27 Rejab 1429 Hijrah. Moga iman kita terus kekal dan bertambah mantap dengan kekuasaan Allah SWT.

Khamis, 24 Julai 2008

Muqabalah dan bukan muzakarah !

Tuan Guru Haji Hadi Awang memeluk Tuan Guru Nik Aziz

Salahuddin Ayub ditemani saudara Sabki Yusof

Pimpinan Majlis Syura Ulamak PAS
Hu Pang Chaw - Pengerusi Kelab Penyokong PAS (Non-Muslim)

Akhirnya segala keresahan dan kekeliruan terjawab. Dapat saya simpulkan begini :

1) Majlis Syura Ulama bersetuju untuk mengadakan muqabalah (pertemuan) dan bukannya muzakarah (perdebatan atau rundingan) dengan UMNO demi kemaslahatan umat Melayu dan agama Islam.

2) PAS tetap teguh bersama dengan Pakatan Rakyat.

3) Muqabalah tersebut tidak akan membincangkan langsung soal perkongsian kuasa apalagi penggabungan antara UMNO dan PAS.

4) Masih ada kebimbangan di kalangan penyokong PAS yang non-Muslim kerana menyedari UMNO dalam keadaan lemah dan tersepit kini.

5) Pemuda PAS menegaskan bahawa PAS tidak berminat dengan tawaran UMNO walaupun ditawar pelbagai jawatan seperti Menteri Besar, Menteri Kabinet dan sebagainya. Difahami bahawa PAS ada prinsip dan tidak mudah dibeli.

6) Kita berdoa agar PAS tidak tersilap langkah dan sentiasa bersiap siaga jika kelihatan UMNO akan mempermainkan mereka.


24 Julai 2008, 21 Rejab 1429 Hijrah

2.15 petang, Malaysia Timur

Rabu, 23 Julai 2008

Boleh bermuzakarah tapi......




Isu ini kembali hangat. Bagi saya, kita serah kepada pimpinan PAS supaya bijak menilai, membuat keputusan dan berdoa mendapat pimpinan Allah. Walaupun nampak seperti ada percanggahan pendapat antara Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi Awang, tetapi saya yakin ia tidak akan memecahkan kesatuan jamaah. Tinggal lagi, perlu bijak menangani masalah ini, tanpa ada pihak yang bermasam muka. Majlis Syura Ulama perlu menjadi pemutusnya dan mungkin suara teramai ahli parti boleh diambilkira.

Bagi saya boleh bermuzakarah tapi :
1) Pastikan UMNO ikhlas dan juga tidak meletakkan syarat tertentu
2) Pastikan UMNO memohon maaf di atas segala penafian hak selama ini kepada PAS seperti apa yang berlaku di Kelantan dan Terengganu
3) Pastikan PAS telah bersiap siaga dari semua sudut agar tidak dipermainkan buat kali kedua
4) Pastikan muzakarah ini tidak menjejaskan hubungan dengan ahli lain dalam Pakatan Rakyat
5) Pastikan perjuangan PAS untuk mendaulatkan Islam di negara ini tidak tergadai dalam muzakarah ini
6) Pastikan UMNO benar-benar meletakkan al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber pedoman utama dalam muzakarah

Akhir kalam, semoga segala ketidakpuashatian akibat ketidakjelasan tindakan beberapa pimpinan dalam pertemuan yang telah diadakan sebelum ini dapat diselesaikan dengan kadar segera. Yakinlah, di luar sana sentiasa ada pihak musuh yang tidak senang dengan kejayaan dan kesatuan jamaah yang terbina utuh selama ini!


23 Julai 2008, 20 Rejab 1429 Hijrah

8.15 pagi, Malaysia Timur

Akhirnya Karadzic ditahan

Rodovan Karadzic

PENUH EMOSI: Keluarga mangsa pembunuhan 1995 tidak dapat menahan perasaan mendengar berita penangkapan Karadzic di Dewan Peringatan Tuzla, semalam.

Bekas Presiden Serbia diberkas ketika naik bas di pinggir Belgrade
BELGRADE: Bekas Presiden Serbia, Rodovan Karadzic yang diburu sejak 13 tahun lalu kerana merancang dan mengarahkan pembunuhan paling kejam di Eropah sejak Perang Dunia Kedua, berjaya diberkas kelmarin. Berita penahanan itu sememangnya dinantikan ramai penduduk Muslim Bosnia selepas Karadzic dinamakan dalang utama pembunuhan kejam sekurang-kurangnya 11,000 rakyat Bosnia berkenaan.
"Karadzic sudah dapat dikesan dan ditahan," kata Presiden Serbia Boris Tadic dalam satu kenyataan. Penahanan Karadzic kini menjadikan dua suspek jenayah masih diburu tribunal antarabangsa di The Hague, Belanda iaitu bekas komander tentera, Jeneral Ratko Mladic dan Goran Hadzic, bekas ahli politik Serbia yang didakwa terbabit dalam pembersihan etnik di Croatia. Karadzic dan Mladic, dikehendaki kerana pembunuhan kejam di Srebrenica apabila kira-kira 8,000 lelaki Muslim Bosnia yang tidak bersenjata, ditahan dan dibunuh. Mayat mereka kemudian dikumpul dan ditolak dengan jentolak ke dalam beberapa kubur besar pada Julai 1995.
Bekas wakil Amerika Syarikat yang bertindak sebagai perunding Balkan ketika konflik pada 1990-an itu, Richard Holbrooke, menyifatkan Karadzic sebagai Osama bin Laden Eropah dan 'arkitek pembunuhan beramai-ramai.' Sumber kerajaan Serbia berkata Karadzic ditahan kelmarin selepas pergerakannya dipantau di Serbia sejak berminggu-minggu lamanya berikutan maklumat daripada agensi perisikan asing. Karadzic juga dikatakan tidak melawan ketika ditahan pihak berkuasa. Bekas presiden Serbia itu dikatakan menyamar sebagai doktor perubatan alternatif dan bekerja di sebuah klinik di Serbia dengan menggunakan identiti palsu ketika menyembunyikan diri selama 13 tahun.

Pegawai Serbia, Rasim Ljajic berkata Karadzic menyimpan rambut panjang, berjanggut dan memakai cermin mata untuk menyembunyikan wajahnya. Ljajic berkata dia berjalan secara bebas di jalan raya dan menyara hidup dengan menjadi doktor. Penyiasat melakukan proses pengenalan dirinya secara rasmi, termasuk ujian DNA sebelum Karadzic disoal siasat semalaman. Penahanan Karadzic adalah antara syarat utama menyertai Kesatuan Eropah (EU) yang sememangnya dimahukan majoriti rakyat Serbia.
Bagaimanapun, kira-kira satu pertiga rakyatnya berkata mereka membantah keanggotaan itu sehinggalah EU menghentikan usaha menyokong kemerdekaan wilayah Kosovo. Sementara itu, berita penangkapan Karadzic disambut kegembiraan ramai penduduk yang berhimpun di jalan raya sekitar Sarajevo, bagi meraikan lelaki yang bertanggungjawab di atas pembunuhan ribuan nyawa rakan dan saudara mara mereka. "Saya terlalu gembira sehinggakan mengejutkan seluruh keluarga," kata penduduk, Fadil Bico, ketika deruan kereta dengan bunyi hon kedengaran sebagai tanda gembira. Stesen radio Bosnia pula menyiarkan semula petikan ucapan anti-Bosnia Karadzic ketika konflik berkenaan. - Reuters
Ulasan : Sebagaimana Pol Pot yang mengetuai rejim Khmer Rouge di Kemboja yang akhirnya dihadapkan ke muka pengadilan, begitu jugalah Karadzic. Sebab itu, orang yang zalim tetap akan mendapat balasannya. Lambat atau cepat, itu urusan Allah. Kita masih menunggu bila lagi Bush akan ditangkap dan diseret ke mahkamah. Adakah dalam negara kita juga berlaku sedemikian? Mungkin peristiwa Memali sebagai premis terhadap ingatan itu.

Selasa, 22 Julai 2008

Pemimpin Pas berbalah cadangan muzakarah ?

Hadi nyatakan kesediaan, Nik Aziz mahu dihentikan segera
KUALA TERENGGANU: Pemimpin Pas mula berbalah berhubung cadangan mengadakan muzakarah dengan Umno bagi membincangkan pelbagai isu membabitkan agama Islam dan kepentingan umat Islam negara ini. Ketika Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu menjayakan muzakarah berkenaan, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, pula mahu usaha itu dihentikan segera.
Malah, Menteri Besar Kelantan itu tidak gembira dengan kenyataan Abdul Hadi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengesahkan pertemuan pemimpin tertinggi Umno dan Pas sebelum ini. Abdul Hadi dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam, berkata Pas sudah bersedia untuk menjayakan muzakarah dengan Umno demi kebaikan umat Islam dan bangsa Melayu. Beliau turut mengesahkan pemimpin tertinggi parti itu pernah mengadakan pertemuan dengan Abdullah yang juga Presiden Umno, selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac lalu.

Perjumpaan pertama dengan Abdullah membabitkan pemimpin Pas yang diwakili Timbalan Presidennya, Nasharuddin Mat Isa, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustapha Ali dan Ahli Parlimen Shah Alam, Abd Khalid Samad. Abdul Hadi berkata, pertemuan itu yang membincangkan kepentingan bersama berkaitan umat Islam dan bangsa Melayu, sudah dilaporkan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat dan Majlis Syura Ulama Pas. "Berikutan itu, Majlis Syura Ulama Pas bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung Pas bagi mempertingkatkan usaha menyatupadukan umat Islam dan rakyat negara ini berlandaskan Islam. "Satu pertemuan lagi diadakan di bangunan Parlimen membabitkan Nasharuddin dan Abdullah yang juga sudah dilaporkan kepada saya dan Majlis Syura Ulama," katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri mengesahkan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti sudah mengadakan tiga pertemuan dan beliau bersedia memulakan muzakarah dengan pemimpin Pas secepat mungkin. Muzakarah itu dicadangkan oleh Abdul Hadi dalam satu wawancara bersama Harakah, lidah rasmi parti itu, minggu lalu. Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz pada sidang media di pejabatnya di Kota Bharu, semalam, mahu semua pemimpin parti itu menghentikan segera usaha mengadakan muzakarah dengan Umno kerana menganggap ia boleh memecah-belahkan perpaduan ahli Pas dan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. "Jika mahu diadakan muzakarah, ia boleh diadakan hanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, itupun sekiranya keadaan memerlukan. "Saya menolak muzakarah. Saya minta pemimpin dan ahli Pas menghentikan kerja ini (muzakarah) dan menumpukan kepada perkara lain. "Saya ingin tegaskan ini adalah kenyataan terakhir saya mengenai muzakarah.
Tindakan selanjutnya terserah pada parti," katanya. Nik Abdul Aziz berkata, isu muzakarah menimbulkan kemarahan ahli Pas dan pada masa sama parti itu berdepan kemarahan rakan dalam Pakatan Rakyat yang boleh menyebabkan Pas dipencilkan. "Kalau berpolitik macam ini, ertinya politik kita (Pas) untuk tolong lawan, bukannya jaga kestabilan diri sendiri (Pas). Ini bukan politik, ia perangkap namanya dan keadaan ini adalah satu kejayaan pada pihak lawan yang boleh memperbesarkan isu yang bukan-bukan," katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu Abdul Hadi menghentikan segera usaha ke arah muzakarah kerana muktamar Pas sudah hampir tiba. Beliau bagaimanapun menafikan perkembangan itu menunjukkan hubungannya dengan Abdul Hadi sudah tiada persefahaman.
Ulasan : Awas perangkap UMNO dan media massa di bawah kawalannya. Diharap pimpinan PAS bijak mengambil tindakan dalam menangani isu muzakarah dengan UMNO. Bimbang sekiranya ia bakal menimbulkan rasa sangsi di kalangan ahli dan anggota Pakatan Rakyat !

Jumaat, 18 Julai 2008

Dari kerana mata oh nona-ku Azizah


Dari kerana mata...yang mempunyai kuasaOh...aku tergoda, aku tergoda, terkeciwadan,Oh nona ku Azizah...Begitulah antara lirik dari dua rangkap lagu yang berbeza, yang popular dan sinonim dengan perjuangan reformasi-Anwar- Azizah. Bahkan Bung Nuar sebelum ini sering juga menyanyikannya. Begitulah signifikannya kedua-dua bait lagu ini.Seimbas zaman Reformasi 98 lalu, zaman yang cukup kuat membangkitkan semangat anak-anak muda yang punya jati perjuangan dan celik kebobrokan penguasa rejim UMNO-BN.
Seakan suis, faktor Bung Nuar ketika itu cukup kuat meledakkan semangat pejuang-pejuang.Hari ini, hal yang sama berlaku kepada Bung Nuar. Tapi yang hairannya, pejuang-pejuang yang sama ini seolah-olah sudah luntur semangat dan daya juang mereka. Pelik yang amat, di saat kebencian rakyat kepada penguasa rejim BN-UMNO telah diterjemahkan ke dalam bentuk undi protes yang bukan kepalang dan besar.
Harus diakui bahawa kedudukan UMNO pada hari ini sebenarnya sangat rapuh dengan pelbagai masalah dalaman yang kritikal, yang tidak mungkin dapat diubati lagi.Bung Nuar yang pernah mengkhianati (maafkan saya andai ini kasar) cita-cita perjuangan rakan-rakannya di dalam ABIM suatu ketika dulu, diterima baik di dalam UMNO untuk seketika dan kemudiannya disingkirkan secara hina. Kini telah kembali searus bersama rakan-rakannya dulu seperti TG Hj Hadi Awang dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat (juga Almarhum Ustaz Fadzil Noor) walaupun bukan lagi di dalam satu wadah yang sama.
Jujur untuk diluahkan, sebilangan besar pejuang Islam masih mengharapkan Bung Nuar untuk kembali bersama memenuhi saf perjuangan berlandaskan Islam. Ini kerana dengan Islam sahaja kita selamat. Dengan Islam sahaja juga Bung Nuar akan selamat.Dari bab yang lain, sang isteri - Kak Wan yang begitu setia, telah meneruskan perjuangan suaminya Bung Nuar. Kak Wan yang selama ini tidak pernah berpolitik , pernah menjadi isteri kepada Timbalan Perdana Menteri kepada rejim penguasa UMNO-BN, tampil mengetuai Parti Keadilan yang dibentuk ketika itu atas semangat protes/ketidakpuasa n hati penyokong Bung Nuar semata-mata.
Kesetiaan dan kecekalan Kak Wan amat disanjung tinggi dan harapnya diperhitung dan terbalas semuanya kalau tidak oleh si manusia pun, Tuhan si manusia amat luas dan rapi perkiraan dan ganjarannya atas ketabahan Kak Wan sebagai isteri, ibu dan rakyat yang bertanggungjawab.Parti Keadilan di bawah kepimpinan Kak Wan boleh dianggap berjaya sehingga ke hari ini, setia ditemani dan dibantu oleh rakan Barisan ALternatif terutamnya PAS sebagai gagasan induk kepada persefahaman politik yang dikemudi oleh Almarhum Presiden PAS ketika itu, Almarhum Ustaz Fadzil Noor.
Perjuangan Ustaz Fadzil ketika itu boleh diterjemahkan ke dalam beberapa pendekatan dan maksud yang positif. Beliau yang selaku rakan awal dan rakan rapat perjuangan Bung Nuar semasa di dalam ABIM. Beliau yang selaku ketua Parti Islam yang diamanahkan untuk membela nasib ummah, telah mengembleng segala pendekatan dan usaha ke arah persefahaman dan pengukuhan perjuangan parti-parti pembangkang pada hari ini. Beliau yang telah menyambung tali perjuangan Bung Nuar yang sebelum itu pernah di letakkan harapan oleh pejuang-pejuang Islam dan pejuang-pejuang Reformasi Awal. Beliau kekal dan istiqomah dengan perjuangan Islam yang akhirnya perjuangannya itulah yang juga telah menyelamatkan Bung Nuar dan perjuangan menegakkan Islam dan keadilan pada hari ini.
Seakan pintu yang dulu pernah diketuk, ditutup dan kini dibuka kali kedua telah membolehkan udara segar masuk memenuhi segenap sendi perjuangan meninggikan Islam dan menegakkan keadilan telah terjelma. Bung Nuar telah diangkat untuk menjadi tali teraju versi kedua perjuangan asalnya. Bukan sahaja pintunya telah terbuka luas, bahkan sebegitu ramai pejuang-pejuang Islam dan pejuang-pejuang keadilan telah menobatkan diri mereka untuk tidak ketinggalan dalam siri-siri perjuangan kali ini.
Perjuangan yang masih lagi sukar dan berliku walau di saat UMNO-BN seperti keadaannya telur di hujung tanduk.Namun rasa cemas masih menyelubungi kami pejuang-pejuang itu. Setiap kali atau apa saja yang berlaku tidak lagi dirasakan seperti dahulu. Kepercayaan seakan-akan sedikit terhakis, seolah-olah segala yang berlaku seperti sudah ada skrip yang di tulis oleh mereka yang ingin menyelamatkan kedudukan seseorang, dan juga oleh orang yang ingin mengambil kesempatan.Kami pejuang-pejuang Islam dan pejuang-pejuang keadilan tidak lagi sering berasa bangga atau hebat untuk berada dalam perjuangan dan membela seperti dulu.
Bukan kepada perjuangan kami, tapi kepada apakah perjuangan ini hendak di bawa, ke mana sudahnya?Apakah lagu yang dikenang tadi akan turut dikenang sebagaimana orang yang boleh berubah hatinya?Dari kerana mata...yang mengundangi kuasaOh...aku tergoda, aku tergoda, terkesimadan, tinggallah Oh nona ku Azizah...
Sumber (http://pi-kir-ar.blogspot.com - ilriady al-kelantani)

Khamis, 17 Julai 2008

Jangan biarkan pisang berbuah 2 kali !



Mutakhir ini, heboh dikatakan PAS sedia bermuzakarah dengan UMNO demi kepentingan Melayu dan Islam, lantaran pandangan mereka tidak dihargai dalam Pakatan Rakyat oleh DAP dan PKR.

Saya cuba meneliti perkara ini dengan sebaik mungkin. Nampaknya ada beberapa perkara yang boleh kita pertimbangkan di sebalik isu ini :

1) UMNO dan Barisan Nasional berada dalam keadaan lemah. Lalu dengan strategi politik, mereka mula menyebarkan provokasi kononnya Pakatan Rakyat tidak mungkin bertahan lama kerana berlainan ideologi.
2) UMNO meniupkan sentimen perkauman terutamanya melalui Utusan Malaysia dengan pendedahan oleh abang MB Perak, mengatakan kononnya ada Perjanjian Pangkor II di antara MB Perak;Ir. Nizar Jamaluddin dengan DAP. Tetapi Nizar menafikan perkara ini sekeras-kerasnya.
3) Pertentangan di antara Dewan Pemuda PAS Selangor dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang diterajui oleh Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besarnya, menampakkan seolah-olah pandangan PAS tidak dihargai. Isu konsert Mas Idayu dan Ella sempena perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor dan yang terbaru kedatangan Chelsea yang ditaja oleh syarikat arak ; Heineiken membuktikan lagi seolah-olah suara PAS dinafikan dalam membuat sesuatu keputusan. Lalu UMNO menyebarkan dakyah mengatakan PAS hanya melukut di tepi gantang dan dipergunakan oleh PKR dan DAP.
4) Isu konsert melondehkan seluar sewaktu PROTES 678 juga menggambarkan pendirian PAS tidak dihormati oleh ahli Pakatan Rakyat yang lain. Sekali lagi nampak ketidaksefahaman di antara mereka.
5) Ada kebimbangan di pihak saya dan mungkin pembaca budiman yang lain, tentang pimpinan PAS termakan dengan dakyah dan provokasi UMNO ini. Lalu timbul kenyataan oleh Presiden PAS bahawa “orang PAS bukan bodoh”, “PAS berhak mengadakan rundingan dengan UMNO tanpa meminta pandangan ahli Pakatan Rakyat yang lain” akibat gaya one man show oleh Anwar Ibrahim dan gelagat PKR dan DAP yang tidak menghormati prinsip dan pendirian PAS. Kesediaan oleh Presiden PAS untuk berunding dengan UMNO ternyata “dialu-alukan” oleh PM, TPM dan pimpinan utama UMNO yang lain dengan memastikan PAS tidak mengenakan sebarang syarat jika ingin berunding demi kepentingan Melayu dan Islam. Pertemuan di antara 12 orang delegasi PAS dengan Menteri Besar Terengganu, mengiyakan lagi perlunya disegerakan muzakarh di antara UMNO dan PAS setelah dilihat ada “sinar perdamaian yang positif” Mujurlah Tuan Guru Nik Aziz meredakan keadaan dengan menyatakan, kini bukanlah keadaan yang sesuai kerana UMNO menghadapi krisis kepimpinan dan hasrat PM hanya hasrat peribadi dan bukan kehendak ahli parti.


Setelah meneliti sejarah PAS yang pernah dibuang dari Kerajaan Campuran pada 1974, apabila UMNO dan Barisan Nasional kembali kuat, maka pimpinan PAS perlu bijak membuat keputusan dalam saat yang kritikal ini. Renungilah sejarah terdahulu agar pisang tidak berbuah 2 kali! UMNO memang lemah kini dan sebab itulah PAS kelihatan sebagai tempat yang boleh mereka berpaut seketika sebelum nanti, dahan tempat mereka berpaut itu akan dipatahkan setelah boleh berdiri kembali dengan teguh.

Kenapa tidak pimpinan PAS melihat terlalu banyak ruang dan peluang untuk berdakwah kepada PKR dan DAP di samping bersepakat di atas isu yang sama buat sekian lama. Benar Melayu dan Islam penting diperjuangkan oleh PAS, tetapi jangan sampai apa yang dikear tidak dapat dan yang dikendong berciciran! Ingin “lari dari mulut buaya, akhirnya masuk ke mulut singa”! Ingin membebaskan diri dari diperkudakan oleh PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat, tiba-tiba rela pula menyerahkan tengkok dan leher untuk disembelih oleh UMNO dan Barisan Nasional. Mungkin kenyataan ini agak keterlaluan, tetapi sebelum apa-apa keputusan dibuat, istikaharah dan mohonlah benar-benar petunjuk Allah Yang Maha Bijaksana.

Saya tidak menentang jika PAS ingin meneruskan muzakarah dengan UMNO tetapi biarlah kita tidak dipermainkan sekali lagi. UMNO hanya ingin menggunakan PAS demi survival politiknya. Kita perlu lebih berwaspada dari golongan munafiq daripada golongan kuffar yang telah jelas kekufuran mereka. Buat pimpinan PAS, kita masih ada ruang dan peluang dalam menegaskan prinsip dan pendirian parti dalam Pakatan Rakyat. Jangan kita kalah sebelum mencuba. Kalau Nabi saw boleh melaksanakan Piagam Madinah dengan memperuntukkan fasal-fasal untuk golongan Yahudi dan golongan musyrikin demi menghormati agama mereka, kenapa tidak kita? Dan Nabi saw juga tidak pernah bersekongkol dengan golongan munafiq di Madinah, kerana mengetahui merekalah musuh dalam selimut yang sangat membahayakan Islam.

Kalau benar UMNO ingin berunding dengan PAS, perkara pertama yang perlu kita tetapkan yang bukan dari syarat kita sebagai manusia dan sebagai parti politik, tetapi patuhilah perintah Allah dari sudut pelaksanaan hukum Allah seperti menutup aurat (terutamanya di kalangan isteri-isteri pembesar UMNO) dan menghapuskan akta yang zalim seperti ISA. Allah sekali-kali tidak mengizinkan perintahnya dicabuli oleh manusia sebagai hamba Allah dan mengharamkan kezaliman berlaku sesama manusia!

Akhir kalam, ini merupakan pandangan peribadi saya yang ingin melihat negara terus ditadbir oleh pemimpin yang adil, berintegriti dan beramanah. PAS perlu mengambil tindakan yang bijak dan tepat pada saat yang genting ini, demi memastikan api perjuangan untuk memartabatkan agama Allah di negara kita, tidak pernah padam walau apa jua cabaran dan rintangan yang bakal dihadapi! Siru ‘ala barakatillah.

17 Julai 2008, 14 Rejab 1429 Hijrah

12.30 tgh, Malaysia Timur

Perhimpunan aman perlu diteruskan


Mutakhir ini banyak artikel yang menyentuh tentang perhimpunan haram yang kononnya dianjurkan oleh Pakatan Rakyat pada Isnin, 14 Julai yang lepas di Parlimen. Akibatnya Menteri Dalam Negeri ; Datuk Seri Hamid Albar terpaksa meminta maaf kepada rakyat akibat kesesakan luar biasa kerana sekatan pihak polis yang menjangka perhimpunan itu akan berlaku berdasar kepada info di dalam blog dan sms.

Persoalannya benarkah Pakatan Rakyat merancang perhimpunan itu? Atau sekadar provokasi dari pihak berkenaan dan akhirnya menyebabkan persepsi rakyat kepada Pakatan Rakyat menjadi negatif. Tetapi saya yakin, kejadian Isnin lepas hanya menampakkan kelemahan dan kebimbangan tidak bertempat pemerintah. Bahkan rakyat semakin meluat dengan gelagat pemerintah yang seolah-olah seperti orang yang takut dengan bayang-bayangnya sendiri, sedangkan dia sendiri tidak pasti perkara itu berlaku ataupun tidak!

Seperkara lagi yang ingin saya sentuh, mengapa di dalam media massa ditunjukkan perhimpunan atau demonstrasi di seluruh dunia apabila harga minyak semakin meningkat, tetapi bila perhimpunan yang sama ingin dibuat di dalam negara dilabel sebagai perhimpunan haram dan negatif ? Penganjur memang ingin meminta permit untuk mengajurkan perhimpunan aman, tetapi seringkali ditolak kerana kononnya keadaan akan menjadi tidak terkawal. Saya yakin peserta himpunan tidak pernah membuat rusuhan dan bergaduh dengan pihak keselamatan seperti mana yang berlaku di Korea. Tetapi media massa yang dikuasai pemerintah menggambarkan begitulah perhimpunan yang akan berlaku jika dibenarkan.

Ternyata, hak untuk rakyat menyuarakan bantahan terhadap ketidakpuashatian terhadap sesuatu perkara sering dinafikan. Benarkanlah perhimpuan atau demonstrasi aman itu berlaku, Insya Allah dengan kecekapan pihak penganjur ia akan berlangsung dengan selamat dan profesional. Ia hanya akan menjadi kelam kabut bila terdapatnya provokasi dari SB dan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Kesimpulannya, perhimpunan aman perlu diteruskan sebagai tanda suara rakyat didengari. Jika BN masih berdegil tidak mahu mendengar rintihan rakyat, tunggulah PRU ke-13 nanti, Insya Allah sekali lagi tsunami poltik akan berlaku dan menumbangkan terus antara pemerintah yang terlama di dunia ketika ini!
17 Julai 2008, 14 Rejab 1429 Hijrah
12.15 tgh, Malaysia Timur

Syabas buat Anwar dan malu buat Shabery


Debat bersejarah “Hari ini menjadi kerajaan, esok harga minyak turun” pada 15 Julai 2008 di DBP, berjaya membuka mata rakyat tentang kerelevanan pemerintah menaikkan harga minyak. Tajuk di atas hadir kerana :

1) Anwar yang terkenal dengan gaya pidato yang hebat dan body languange yang mantap, tampil dengan hujah yang meyakinkan bagaimana harga minyak boleh diturunkan sebanyak RM0.50. Di antaranya dengan :
a) Mengurangkan standby capacity IPP dari 40 % kepada 20% yang mampu menjimatkan RM 2 bilion.
b) Memperkasa penguatkuasaan terhadap penyeludupan diesel yang menyebabkan kerajaan kerugian RM 800 juta setahun.
c) Mengambil RM 1 billion dari dividen khas Petronas kepada kerajaan yang jumlah keseluruhannya adalah RM 6 billion.
d) Mempertahankan Petronas dan bukan Barisan Nasional yang missmanagement terhadap pulangan lumayan setiap tahun oleh Petronas kepada kerajaan.
e) Tidak menjawab segala tohmahan Shabery kepada beliau.
f) Menjelaskan betapa banyak fitnah kepada beliau terutamanya tentang IPP, bantuan IMF pada 1997 dan kes liwat, tapi beliau tetap yakin tentang kebenaran akan berpihak kepadanya.
g) Meramalkan ekonomi negara akan merudum, inflasi semakin tinggi jika kerajaan tidak mengambil langkah kebijakan ekonomi yang tepat.

2) Shabery kelihatan tiada hujah dan tidak mempertahankan mengapa kerajaan menaikkan harga minyak sehingga RM0.78 bagi petrol dan RM 1 untuk diesel. Sebaliknya hanya menyerang peribadi Anwar dan mengungkit kisah-kisah lama. Membandingkan negara kita dengan Venezuela dan Iran yang harga minyak mereka rendah tetapi tinggi kadar inflasi, seakan tidak kena dengan negara kita yang harga minyak tinggi dan kadar inflasi juga semakin tinggi!

Akhir kalam, debat seumpama ini perlu diteruskan dengan membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan rakyat. Ia juga memberi ruang untuk Pakatan Rakyat menyampaikan pandangan alternatif kepada Barisan Nasional agar dapat dinilai oleh rakyat.


17 Julai 2008, 14 Rejab 1429 Hijrah

12.05 tgh, Malaysia Timur.

Isnin, 14 Julai 2008

Keadaan semakin meruncing



Salam buat semua pembaca budiman. Mutakhir ini, bila kita meneliti banyak isu yang timbul. Antaranya seperti berikut :

a) Peralihan kuasa dari Pak Lah kepada Najib pada Jun 2010. Ada orang berpandangan ia sebagai strategi Pak Lah supaya tidak dicabar pada Perhimpunan Agung UMNO Disember ini. Lalu, apabila hal ini dumumkan, Najib terpaksa mengiyakan dan mengikut rentak. Persoalannya mampukah Najib menjadi Perdana Menteri dalam tempoh tidak sampai 2 tahun akan datang? Bukankah sekarang beberapa isu berkaitan dengan integritinya dipersoalkan, terutamanya mengenai kes Altantuya, Saiful Bahri yang mengaku diliwat Anwar dan Balasaundram yang katanya menyembunyikan diri. Saya rasa Jun 2010, masa yang agak lama dan banyak perkara boleh berlaku dalam tempoh waktu tersebut.

b) Usul undi tidak percaya Pakatan Rakyat ditolak dan sekatan dibuat di Bangunan Parlimen kononnya akan ada perhimpunan haram yang diketuai Anwar Ibrahim dan penyokong Pakatan Rakyat. Saya kira Speaker mungkin takut dengan bayang-bayangnya sendiri ataupun telah diarahkan oleh orang atasannya. Jika tidak, mengapa usul ini ditolak? Terima dahulu dan kemudian lihat bagaimana proses demokrasi itu berjalan. Bukankah ahli Parlimen BN berjumlah 140 orang, sedangkan ahli Parlimen Pakatan Rakyat hanya 82 orang. Jika semua ahli Parlimen BN menyokong Pak Lah, kenapa perlu takut? Sekali proses demokrasi di Parlimen dicabuli.

c) Debat antara Shabery Chik dan Anwar Ibrahim pada malam esok tentang “Hari ini menjadi Kerajaan, Esok Turun Harga Minyak” yang akan disiarkan di saluran 119(TV 9), Astro Awani (501) dan Bernama TV (502). Saya berpandangan inilah debat yang dinantikan. Biar rakyat menilai, yang mana benar dan yang mana salah. Jika Shabery tidak mampu, maka jawatan Meneteri menjadi taruhan. Jika Anwar tidak hadir dengan hujah yang mantap dan fakta yang tepat, rakyat uga akan menolak. Maka, berdasarkan aqal yang sihat mari kita hakimi adakah wajar harga minyak dinaikkan yang ternyata membebankan rakyat ketika ini.

d) Pindaan AUKU (1971) berkaitan dengan kebebasan pelajar di kampus terutamanya hak bersuara dan terlibat dalam politik kepartian yang akan dibincangkan di Dewan Rakyat minggu ini. Kita berharap agar ianya dapat dibincangkan denga serius agar mahasiswa tidak lagi enajdi lembu dicucuk hidung dan hanya menadi burung kakak tua. Perlu ada prinsip dan keberanian menegur mana yang salah, mendokong yang benar tanpa bias kepada mana-mana pihak.

e) Ketua Pengarah Imigresen yang ditahan Jumaat lepas dibebaskan dengan ikat jamin RM150,000 pada hari semalam. Kita berharap janganlah hanya pegawai kanan kerajaan sahaja yang menjadi kambing hitam. Bagaimana dengan kes-kes berprofil tinggi yang melibatkan Menteri dan bekas Menteri? Nampaknya BPR masih belum bebas sepenuhnya. Saya tertarik melihat filem Hindustan yang berjudul Kakhee yang ditayangkan di TV3 Sabtu lepas. Bagaimana Ketua Polis Negara bersubahat dengan Menteri dalam menutup kes-kes jahatnya. Akhirnya kebenaran terserlah, dan anggota polis yang jujur dan amanah berjaya menjadi wira rakyat. Terfikir juga di benak fikiran saya, bagaimana filem ini boleh ditayangkan di TV3, di waktu tengah gawat politik sekarang?

f) Pakatan Rakyat diberitakan semakin retak Benarkah? Mungkin benar dan mungkin tidak. Sememangnya banyak kes yang boleh dilihat sebagai bukti kepada kenyataan ini, tetapi dalam usia baru melepasi 100 hari, saya kira Pakatan Rakyat masih dalam situasi untuk serasi. Kes PROTES 678, bantahan Dewan Pemuda PAS Selangor terhadap konsert Mas Idayu dan Ella dan yang terbaru perlwanan persahabatan Chelsea dan Malysia yang ditaja oleh syarikat arak ; Heiniken dan ketidakmuafakatan KM Penang apabila MB Kedah hendak menebang balak di kawasan tadahan air mungkin diaggap sebagai bukti keretakan ini. Dan PAS sebagai ahli PR yang tidak boleh dikesampingkan, perlu lebih bijak dan tegas dengan berhikmah dalam menyatakan prinsip perjuangan. Selama mana mereka bergerak atas satu konsensus; mewujudkan kerajaan berkebajikan dan berintegiriti, Insya Allah Pakatan Rakyat akan tetap teguh.

Akhir kalam, moga dengan sedikit cetusan ini, membuka mata hati kita untuk menilai sesuatu perkara dengan adil. Jangan mudah terpengaruh dengan dakyah dan fitnah yang tidak berasas. Selidik dahulu sesuatu berita, apa lagi jika pembawanya seorang fasiq(Surah al-Hujurat). Dalam keadaan kos yang semakin meningkat dan suasana politik yang masih belum stabil, kita berharap agar keadaan dalam negara kembali tenang dan diberkati Allah.

14 Julai 2008, 11 Rejab 1429 Hijrah

4.50 petang, Malaysia Timur

Sabtu, 5 Julai 2008

Iktibar Dari Protes 678 (6 Julai 2008)






Salam buat semua pembaca budiman. Saya kira dalam masa 2-3 hari ini, isu kegagalan Protes akan terus dibincangkan oleh media massa dan para bloggers. Tidak seperti Himpunan Bersih pada Februari 2008 yang lalu, Protes kali ini kelihatan gagal untuk menarik sebahagian besar masyarakat untuk turun memprotes kenaikan harga minyak dan kos kehidupan yang semakin meningkat.

Dicemari insiden penyanyi kumpulan underground yang cuba melondehkan seluar di depan khalayak(walaupun beliau menyatakan ada unsur sabotaj dan terlampau makhsyuk dengan lagu yang didendangkan), sebagai rakyat Malaysia dan individu Muslim, sukar kita menerima hiburan seumpama ini.

Boikot oleh Unit Amal PAS seramai 700 orang membuktikan PAS sebagai sebuah parti yang berteraskan Islam tidak akan berkompromi dengan hal sebegini. Biarpun Hishamduddin Rais sebagai Pengarah Persembahan, mengaku bertanggungjawab, tetapi ia ibarat akibat nila setitik, rosak susu sebelanga. Insiden ini dijadikan modal oleh pemerintah untuk menafikan keupayaan penganjur Protes dalam mengendalikan perhimpunan secara profesional dan teratur.

Bagi saya, pengalaman bersama dengan kumpulan sosialis yang diterajui Hishamuddin Rais yang berpusat di Bangsar, menyedarkan saya bahawa walaupun namanya Islam, tetapi jauh dari penghayatan agama. Benar mereka sangat menentang rasuah, kronisme dan juga penyelewengan dalam pentadbiran negara, tetapi pada waktu yang sama ada di antara mereka yang mengabaikan solat, seks bebas dan dicandukan dengan hiburan underground.

Iktibar dari Protes 678, sebagai ahli Pakatan Rakyat, pimpinan PAS dan ahli PAS sewajarnya berpegang teguh dengan prinsip mereka di samping bertolak ansur dalam perkara yang selama mana tidak bercanggah dengan syarak. Masih ada ruang dan peluang untuk berdakwah dengan ahli Pakatan Rakyat yang lain seperti PKR dan DAP.

Benar, matlamat dan tujuan PR sama-tetapi ahli PR perlu menghormati prinsip ahli PR yang lain. Saya tetap yakin, Islam adalah agama yang terbaik. Insya allah jika kena cara dan strateginya, tidak mustahil PAS mampu mengetuai Pakatan Rakyat di sebalik isu samar kebenaran liwat yang menimpa Anwar Ibrahim, yang masih sukar diramal strategi dan pendekatan politiknya.

Marliah kita berdoa, agar Pakatan Rakyat terus teguh. Jangan hanya kerana tersilap langkah dan tidak berfikir bijak, akhirnya Pakatan Rakyat jadi rapuh dan lalu roboh !


7 Julai 2008, 4 Rejab 1429 Hijrah


Malaysia Timur, 6.50 petang.

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude