Isnin, 30 Julai 2007

Disertasi Ilmiah 11-Tafsir al-Rawi Juzu' Amma


1.0PENDAHULUAN.

Sejarah awal telah membuktikan penulisan ilmu tafsir di Malaysia tidaklah serancak perkembangan ilmu yang berkaitan dengan ilmu Fekah dan ilmu Tasawwuf.Masyarakat Melayu pada zaman kegemilangan pengajian ilmu islam sentiasa berada dalam keadaan yang dahagakan ilmu agama.Pada masa itu masyarakat Melayu Islam hanya mengambil asas ilmu agama,terutamanya berkaitan dengan kehidupan seharian dan urusan sesama manusia.Tidak hairanlah perkembangan ilmu tafsir agak terkemudian tersebar dari aspek perkembangan dan pengajiannya di Tanah Melayu.Kitab-kitab Tafsir yang dikarang oleh ulama’-ulama’ muktabar dalam bidang Pengajian Ulum al-Quran dan Tafsir seperti Tafsir Tabari,Ibn Kathir ,Qurtubi,dan sebagainya mungkin menjadi satu bahan yang asing bagi masyarakat Melayu. Walaupun dalam keadaan yang demikian terjadi ,perkembangan ilmu tafsir tetap wujud selari dengan perkembangan ilmu-ilmu islam yang lain,tetapi tidaklah serancak perkembangan ilmu fekah dan tasawwuf.Tafsir-tafsir hasil ilham ulama’ulama’nusantara alam Melayu seperti Tafsir Nur al-Ihsan ,Tafsir al-Baidawi Melayu,Tafsir Juzu’ `Amma,termasuklah Tafsir al-Rawi serta beberapa lagi nama tafsir yang lain yang masih lagi digunakan sehingga kini .

Dalam konteks dunia akademik kini masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan manuskrip-manuskrip yang masih ada kerana sebahagiannya ada yang telah musnah.Kemusnahan ini terjadi disebabkan tiada tindakan ada yang untuk menyelamatkannya.Bagi kita yang cintakan mutiara ilmu-ilmu ini sepatutnya berusaha untuk mentahqiq dan mengedit semula kitab-kitab yang dikarang oleh ulama’-ulama’ Melayu bertujuan untuk dijadikan sebagai bahan rujukan dan penyelidikan untuk masa hadapan.

Di sini menjadi perhatian penulis untuk membuat sedikit kajian berkenaan Kitab Tafsir al-Rawi Juzu’ `Amma yang dihasilkan oleh ulama’ tersohor tanah melayu Almarhum Haji Yusuf Rawa yang lebih dikenali sebagai Ibn al-Rawi yang banyak sumbangannya untuk kemaslahatan umat islam di Malaysia ini.




2.0SEJARAH RINGKAS DAN LATAR BELAKANG PENGARANG.


Pengarang Tafsir al-Rawi Juzu’ `Amma ialah Haji Yusof Bin Haji `Abdullah al-Rawi .Beliau juga lebih di kenali dengan pelbagai nama seperti Ibn al-Rawi,Haji Yusof Rawa atau Pak Yusof[1].Beliau dilahirkan pada 8 Mei 1922 di Lebuh Acheh ,Pulau Pinang .Haji Yusof Rawa adalah anak kedua dalam keluarga Tuan Haji Abdullah Bin Haji Noordin al-Rawi[2] yang berasal daripada Rawa Sumatera ,Sumatera yang mana ayahnya seorang peniaga yang memiliki sebuah premis perniagaan penerbitan di Pulau Pinang ,asalnya bapanya seorang pedagang yang merantau dari sumatera untuk berdagang dengan membawa al-Quran ,kitab-kitab dan alat-alat kegunaan untuk beribadah seperti tasbih sejadah dan lain-lain keperluan yang berkait rapat dengan kehidupan seharian[3].

Selain dari itu beliau mempunyai lapan orang adik beradik .Abangnya yang sulung bernama Anuar Haji Abdullah , kemudian yang kedua adalah beliau sendiri dan seterusnya adalah adik beradik beliau yang lain seperti Haji Tahir Bin Haji Abdullah,Hajah Jawahir Bin Haji Abdullah,Hajah Kamariah Bin Haji Abdullah,Haji Abdul Majid Bin Haji Abdullah,Hashim Bin Haji Abdullah dan yang terakhir haji Shamsuddin Bin Haji Abdullah.Rumah terakhir Haji Yusof Rawa ialah beralamat 363-j,Jalan Sultan Azlan Shah ,11700,Gelugor,Pulau Pinang.[4]




3.0PERKAHWINAN DAN KELUARGA.

Haji Yusof Rawa telah mendirikan rumah tangga setelah pulang ketanah air setelah menuntut ilmu di Mekah .Asalnya beliau hendak disatukan oleh keluarga angkatnya di Mekah tetapi segalanya telah ditentukan oleh Allah Taala,beliau telah disatukan dengan seorang perempuan pilihan ibunya sendiri Hajah Asmah yang mana perempuan itu juga merupakan anak angkat kepada ibunya semasa ibunya belajar disekolah Al-Masyhor di Pulau pinang[5] .Wanita pilihan ibunya ini bernama Che’Kalsom Binti Ali[6] yang merupakan anak keturunan bangsawan[7] ,tetapi beliau merupakan anak yatim kerana ayah dan ibunya telah meninggal dunia kerana sakit,sebab itulah ibu kepada Haji Yusof Rawa mengambil Che’ Kalsom yang berasal dari Perak sebagai anak angkat.Pada masa itu umur Haji Yusof Rawa 25 tahun dan umur Che’ Kalsom Ali berumur 20 tahun.

Hasil perkahwinan ini ,beliau dan isterinya dikurniakan 11 orang cahaya mata ,5 orang lelaki dan 6 orang adalah perempuan.Beliau juga telah dikurniakan dengan 30 orang cucu dan dua orang cicit.Kegigihan Haji Yusof Rawa meneruskan perniagaan ayahnya Haji Abdullah Noordin yang terkorban semasa perang dunia ke-dua membuktikan kecekalan hati Haji Yusof Rawa untuk membinanya semula selepas peperangan.Isterinya adalah perangsang dan pemberi semangat untuk beliau meneruskan perniagaan samada suntingan semangat dan juga modal.Pernah satu ketika ,semasa perniagaannya mengalami kemorosotan dan menanggung bebanan hutang ,beliau yang terlalu tinggi kebergantungannya dengan Allah Taala menyerahkan kepada yang Maha Esa,



akhirnya berkat kesabarannya beliau dipermudahkan oleh Allah Taala melunaskan hutangnya dengan kehadiran sahabat kenalan lamanya untuk meminta kepada Haji Yusof Rawa untuk menyimpan wang kepadanya dan memberi keizinan untuk menggunakan wang tersebut untuk membayar hutangnya .

4.0PENDIDIKANNYA DAN PERKEMBANGANNYA.

Pendidikan Haji Yusof Rawa bermula di sekolah melayu di Jalan Carnavan,Pulau Pinang sehingga darjah empat dan kemudian berpindah ke sekolah Charausta di Georgetown ,Pulau Pinang[8].Pada peringkat menengahnya pula beliau belajar di Convent English School dan kemudian menyambung pelajaran kesekolah terkemuka Penang Free School sehingga memperolehi kelulusan Junior Cambridge[9].Pada masa itu jarang sekali orang Melayu yang mendapat kelulusan seuumpama itu dan Haji Yusof Rawa menanam hasrat untuk melanjut ke peringkat Senior Cambridge.Ayahnya Haji Abdullah ,cukup risau dengan perkembangan yang berlaku ,kerana beliau tidak mahu anaknya Haji Yusof Rawa diadun dengan acuan kolonial yang mana ayahnnya sememangnya anti penjajah apatahlagi kesan yang berlaku pada penjajahan di Indonesia oleh Belanda yang banyak memusanahkan kehidupan orang Melayu[10].

Akhirnya untuk mengelakkan keadaan sedemikin dari terus berlaku ,Haji Yusof Rawa telah diminta oleh ayahnya untuk dihantar menunaikan haji di Mekah yang mana ketika itu umurnya baru mencecah 15 tahun[11],Apabila sampai di Mekah beliau telah di beritahu tentang hasrat ayahnya untuk meminta beliau untuk belajar agama di sana.Setelah mengetahui hasrat ayahnya itu maka hancurlah hasratnya untuk melanjutkan di peringkat Senior Cambridge.Atas sikap sebagai anak yang taat kepada kedua ibu bapanya beliau cuba melupakan hasratnya dan berusaha untuk belajar agama di sana.Dalam keadaan yang begitu muda beliau tetap gigih untuk melaksanakan segala dugaan untuk melaksanakan amanah untuk menuntut ilmu agama.Beliau telah menuntut di Maahad al-Falah dalam bidang Usuluddin dan mendapat diploma pengkhususan dalam Usul al-Din “Takhassus al-Din”.Sejak meletusnya perang dunia kedua menyebabkan beliau terputus hubungan dengan keluarganya termasuklah dari sudut bantuan kewangan.Keluarga angkatnya dimekah juga mengalami masalah kewangan.akhirnya dia terpaksa bekerja untuk menanggung kos kehidupannya disana.


5.0KERJAYA DAN HASIL KARYA BELIAU.

Haji Yusof Rawa telah memula meniti kematangan hidup sebagai seorang yang cekal menghadapi kehidupan sejak beliau berada di Mekah lagi.bermula dengan beliau bekerja dengan syarikat import eksport syarikat milik Arab Mesir iaitu Hosni Gamal pada tahun 1945 sebagai kerani dan penterjemah[12] .Beliau sangat disayangi oleh majikannya kerana beliau yang sememangnya mahir dalam bahasa inggeris dan bahasa arab apatah lagi darah daging sebagai ahli perniagaan memang sudah sebati didalam dirinya.Pada tahun 1946,beliau telah mendapat surat daripada ibunya untuk kembali ketanah air untuk menguruskan perniagaan ayahnya Haji Abdullah Noordin iaitu perniagaan kitab-kitab jawi dan arab serta syarikat penerbitan.

Berkat ketekunan sebagai seorang anak yang taat kepada ibu bapanya, beliau telah melebarkan perniagaannya keseluruh Tanah Melayu dengan mengikat beberapa kontrak penerbitan dan percetakan buku –buku sekolah agama dan pondok .Selain itu beliau juga gigih mengarang buku-buku sekolah agama dan pondok untuk menyebar luaskan perkara yang berkaitan dengan agama termasuklah Tafsir al-Rawi Juzu’ `Amma kerana pada masa itu masyarakat melayu dahagakan ilmu agama. Diantara buku –buku lain yang dijadikan hasil penterjemahan ialah Buku Geografi yang diterjemahkan daripada bahasa inggeris kedalam bahasa Arab untuk kegunaan pelajar-pelajar di peringkat pondok.[13]

Selain dari itu , beliau juga menerbitkan majalah dwi mingguan iaitu majalah yang bernama al-Islah.Semasa beliau diMekah lagi beliau banyak mengkaji dan membaca risalah yang dikeluarkan oleh gerakan al-ikhwan di Mesir.Nama -nama seperti Al-Syahid Hasan al-Banna,Muhamad `Abduh dan sebagainya,sebab itu semasa beliau kembali keTanah Air beliau pernah ditahan oleh pihak inggeris kerana nama beliau juga terlibat didalam senarai yang dikehendaki oleh pihak inggeris atas tuduhan terlibat didalam kegiatan menentang penjajah British.


6.0PENGLIBATAN DALAM ORGANISASI DAN POLITIK.

Penglibatan Haji Yusof Rawa di dalam organisasi samada pada rasmi mahupun tidak rasmi tersohor sejak beliau dibangku sekolah lagi .Semasa beliau belajar di Mekah beliau telah terlibat didalam Pesatuan Gabungan Pelajar Persekutuan Tanah Melayu dengan penuntut Indonesia yang beliau telah diamanahkan sebagai ketua ,manakala di Malaysia beliau terlibat dengan Persatuan `Ulama’.[14]

Minatnya yang mendalam didalam aliran yang berorientasikan islam menyebabkan beliau telah menyertai PAS (Parti Islam Semalaysia) sebagai ahli seumur hidup pada tahun 1959 .Kotokohan kepimpinan yang sebati dalam jiwa beliau dan toleransi beliau dengan masyarakat, akhirnya beliau telah diamanahkan sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang Bagi Menggantikan Ahmad Azzam pada ketika itu.Beliau juga diberi kepercayaan untuk menjadi Ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Haji Yusof Rawa telah mula bertanding sejak tahun 1955 lagi yang mana pada pilihanraya umum 1955 beliau telah tewas dan pada kali kedua pada tahun 1959 beliau juga telah tewas ,diatas tiket PAS .Akhirnya beliau sekali lagi di minta oleh parti untuk bertanding pada pilihanraya umum pada tahun 1969,untuk bertanding di Parlimen Kota Setar Selatan dan berkat kesabaran yang ditunjukkan oleh Haji Yusof Rawa beliau telah menang dengan mengalahkan pencabar terdekatnya Dr.Mahathir Mohamad[15].Beliau mengekalkan kerusi tersebut pada pilihanraya umum berikutnya pada tahun 1974 dengan menang tanpa bertanding juga diatas tiket PAS yang mana ketika itu PAS berada dalam kerajaan campuran dengan UMNO.


Pada tahun 1973 ,apabila PAS menyertai kerajaan campuran dengan Parti Perikatan ,Haji Yusof Rawa telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Utama di bawah Kabinet Tun Abdul Razak[16].Dengan perlantikan tersebut menjadikan beliau merupakan anak pertama dilantik kejawatan setinggi itu.Pada tahun 1975 beliau telah diberi kepercayaan untuk menjadi Duta Malaysia ke Iran,Turki dan Afghanistan[17].

Pernah satu ketika beliau telah dilantik untuk menjadi ketua delegasi ke Taiwan untuk berjumpa dengan umat islam disana yang mana ketika itu beliau berada pada zaman Tunku `Abdul Rahman al-Haj.Selain itu beliau juga menjadi wakil Malaysia Ke PBB yang mana pada masa itu sidang diadakan di New York[18] ,beliaulah yang menjadi jurucakap Malaysia tentang isu-isu yang berkaitan dengan antarabangsa yang melibatkan Malaysia pada masa itu .Beliau juga berperanan dalam menerangkan dasar-dasar Malaysia dan memperkenalkan Malaysia di Timur Tengah.[19]

Haji Yusof Rawa mula menerajui Parti bermula dari peringkat akar umbi lagi ,beliau diberi kepercayaan untuk bertanding Timbalan Yang Di Pertua Agung Muktamar ke-25 bertanding dengan rakan karibnya Datuk Abu Bakar Umar dan beliau menang,dan menyandang jawatan tersebut.

Era kepimpinan Haji Yusof Rawa sebagai YDP Pas ketika itu menjadi semakin teserlah ,setelah datuk Asri haji Muda meletakkan jawatannya sebagai YDP PAS .Kebangkitan islam di Malaysia pada ketika itu menyebabkan banyak badan –badan dakwah lain seperti Abim( Angkatan Belia Islam Malaysia)JIM( Jemaah Islah Malaysia),Jemaah Tabligh dan lain -lain tumbuh seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan menyebabkan seolah-olah wujud satu persaingan dengan PAS, yang mana masing-masing mengatakan merekalah yang membawa wadah perjuangan islam yang sebenar.[20]

Atas kebijaksanaan yang diambil oleh Haji Yusof Rawa yang mempunyai pengalaman yang cukup luas menghadapi masalah ini,meletakkan dan memperkemaskan sistem yang ada didalam PAS dengan menjadikan Tarbiyah dan harakiah berjalan serentak .Konsep kepimpinan `Ulama’yang dislogankan oleh beliau tersemat didalam lubuk hati pendokong-pendokong PAS.Beliau telah menjadi YDP PAS PUSAT sehinggalah 31 Mac 1989 dan mengundurkan diri daripada jawatan tersebut atas sebab-sebab keuzuran.Beliau telah menyerahkan tugas itu kepada Timbalannya iaitu Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor.Namun begitu beliau masih lagi memegang jwatan sebagai Mursyidul Am PAS pada tahun 1987 .[21]

Haji Yusof Rawa menghembuskan nafasnya yang terakhir pada hari Jumaat 28 April 2000 di rumah beliau sendiri di Gelugor,Pulau Pinang kira-kira jam 7.00 pagi setelah uzur beberapa tahun.Pada ketika itu umur beliau ialah 79 tahun.Jenazah beliau di sembahyangkan di Masjid Jamek,Sungai Gelugor selepas solat asar diimamkan oleh Tuan Guru Haji Yahya Joned .Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam ,Jalan Perak,Gelugor Pulau Pinang.[22]



7.0ANALISIS DAN ISI KANDUNGAN KITAB TAFSIR AL-RAWI JUZU’ `AMMA

Kitab yang dikarang oleh Haji Yusof Rawa di kenali dengan nama Tafsir al-Rawi Juzu’ `Amma yang ditulis didalam Bahasa Arab di depan muka surat hadapan .Haji Yusof Rawa telah menamakan kitab penulisannya dengan nama al-Rawi ,dinisbahkan daripada keturunannya iaitu Rawa ,didalam Bahasa Arab dinamakan sebagai al-Rawi.Beliau terkenal dengan nama Ibn Rawi.

Kitab Tafsir al-Rawi ini dihasilkan hasil daripada nukilan beliau dan dicetak disyarikat milik arwah bapanya Haji Abdullah Bin Haji Noordin al-Rawi yang merupakan kedai kitab arab dan jawi yang dapat bertahan selepas era pasca perang dunia kedua,yang mana kitab ini juga terkenal di Pulau Pinang juga sebagi kitab yang mencetak kitab –kitab untuk kegunaan sekolah –sekolah dan pondok -pondok .Syarikat percetakan ini lahir pada tahun 1910dan selepas Haji Yusof Rawa kembali daripada Mekah beliau diamanahkan untuk menguruskan kedai kitab arwah bapanya yang mana ia adalah sebuah kedai kitab buku-buku agama yang terletak dengan masjid Melayu,Pulau Pinang di no:55,Lebuh Acheh,10200 pulau Pinang .Kitab tafsir ini di cetak pada 23 Zulkaedah 1369H pada tahun 1950 dan diulang cetak beberapa kali kemudiannya .Kitab ini diterbitkan dibawah Zi United Press,29E Jalan Dato’Keramat ,Pulau Pinang.[23]

Kitab Tafsir al-Rawi dihasilkan dengan ringkas dan padat yang memuatkan ayat-ayat yang ditafsir yang terkandung didalam juzu’ Amma ataupun Juzu’ 30 dan membahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama dan bahagian kedua .Sebab Haji Yusof Rawa membahagikan kepada dua bahagian kerana beliau menyiapkan sebahagian surah –surah didalam juzu’ 30 dijadikan bahagian pertama yang bermula dari surah al-Fatihah sehinggalah kesurah surah al-Duha dan bahagian yang kedua adalah dari surah al-Layl sehinggalah surah al-Naba’pada tahun sekitar 1951[24].Jika diteliti dan diperhalusi Haji Yusof Rawa meletakkan isi kandungan pada permulaan kitabnya untuk bahagian pertama dan meletakkan sisipan isi kandungan pada muka surat terakhir pada bahagian yang kedua.

Kitab tafsir al-Rawi ini juga telah mendapat pengiktirafan daripada Majlis Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Kelantan melalui surat perakuan yang terdapat didalam kitab Tafsir al-Rawi yang bertarikh pada 2 Mac 1952[25].Menurut pernyataan yang terkandung didalam Surat perakuan tersebut mengesahkan bahawa kandungan kitab tafsir ini tidak mengandungi kesalahan dan penafsirannya adalah betul mengikut kehendak ayat-ayat yang ditafsirkan.


8.0SEBAB DAN TUJUAN PENULISAN

Berbanding dengan kitab –kitab lain juga ,Haji Yusof Rawa mempunyai sebab dan tujuan yang tertentu didalam melakukan pentafsiran dan menulis kitab Tafsir al-Rawi yang menghuraikan ayat-ayat didalam surah-surah Juzu’ `Amma ataupun juzu’30.Antara sebab-sebab atau tujuan-tujuan penulisan Tafsir al-Rawi ini adalah:-

1.Menerima rungutan daripada sahabat-sahabat handai tentang tidak kedapatan kitab tafsir yang ditulis didalam Bahasa Jawi ,untuk memahami maksud surah –surah al-Quran yang selalu dijadikan ayat-ayat lazim yang dibacakan didalam bacaan sembahyang.Sehinggakan beliau menyamakan dengan seekor burung tiong yang pandai bercakap tetapi burung tersebut tidak mengetahui maksud apa yang dicakapkan.Oleh itu Haji Yusof Rawa mengambil inisiatif untuk mengarang sebuah tafsir yang cukup bersesuaian dengan keadaan masyarakat melayu pada masa itu.

2.Selain itu ,ia adalah untuk memudahkan bagi mereka yang mempelajari tafsir untuk memahami tafsir dan isi kandungan al-Quran bagi mereka yang tidak memahami Bahasa Arab terutama kepada orang-orang Melayu yang beragama islam yang meminati mempelajari ilmu tafsir kerana kebanyakkan kitab-kitab tafsir banyak didalam Bahasa Arab yang sukar difahami orang –orang melayu pada ketika itu.

3.Selain daripada itu ,permintaan rakan-rakan beliau supaya mereka mengarang sebuah kitab tafsir yang ringkas yang mana dapat memudahkan mereka untuk membaca dan mempelajari serta menjadi rujukan untuk memahami al-Quran dirumah ,surau atau masjid .Selain itu ada juga permintaan dari guru-guru sekolah agama dan pondok yang mahukan sebuah kitab tafsir yang ringkas dan mudah difahami oleh murid-murid sekolah kerana dengan mudah difahami dan di pelajari maka tidak akan membosankan akhirnya pelajar-pelajar sekolah dan pondok itu akan cepat mengahafaz ayat-ayat al-Quran daripada Juzu’ `Amma dan memahami isi kandungannya.

4.Selain itu ia dapat memudahkan masyarakat awam yang sentiasa dahagakan ilmu untuk membacanya dan memahami isi kandungan ayat-ayat didalam Juzu’ `Amma kerana ianya disusun didalam kaedah Baghdadiyyah seperti disusun didalam mukadam .

Haji Yusof Rawa dapat menyiapkan kitab Tafsir al-Rawi ini untuk bahagian pertama pada hari khamis malam jumaat iaitu tanggal 9 Jamadilawal tahun 1370H bersamaan 15 februari 1951 dan disemak serta di perbetulkan lagi pada cetakkannya yang kedua pada 9 Ramadhan 1379H.Bahagian keduanya pula pada 9 Zulkaedah 1370H dan disemak serta dibuat pembetulan untuk cetakkan kedua pada 16 Rejab 1384H bersamaan 20 November 1964.[26]


9.0ISI KANDUNGAN DAN METOD YANG DIGUNAKAN.

1.Haji Yusof Rawa telah membahagikan kitab penulisan beliau kepada dua bahagian .Dalam bahagian pertama ,Haji Yusof Rawa telah menafsirkan beberapa surah dan memberikan sedikit huraian tentang Bismillah .Bahagian pertama kitab ini menghuraikan surah-surah yang bermula dari surah al-Fatihah sehingga surah al-Duha yang terkandung dalam 104 halaman bercetak.[27]

Dalam bahagian kedua kitab tafsir ini ,beliau menyambung surah yang seterusnya bermula dari surah al-Layl sehingga surah al-Naba’,yang terkandung didalam 203 halaman yang bermula daripada muka surat 105 hingga 203 .Selain itu beliau telah menggunakan beberapa kitab rujukan didalam proses untuk memantapkan lagi penghasilan tafsir ,anatar kitab-kitab rujukan yang telah di rujuk oleh Haji Yusof Rawa ialah Tafsir Juzu’ `Amma oleh Imam Muhamad `Abduh,Hasyiah al-`Allamah al-Sawi `ala Tafsir al-Jalalayn,Tafsir al-Maraghi Juzu’ 30.Tafsir al-Shawkani atau Fath al-Qadir,Tafsir al-Jawahir Li Faylasuf Tantawi Jawhari,The Meaning Of The Glorious Kur’an oleh Marmaduke Pickhall,Khazinah al-Asrar dan Tafsir Nur al-Ihsan.[28]

METODOLOGI DAN SISTEMATIKA TAFSIR AL-RAWI.

1.Penyusunan dan sistem atur tafsir beliau adalah tersusun dan teratur.Bahagian satu kitabnya ditulis mukadimah ,muka surat dan pada permulaan dinyatakan nama surah yang hendak ditafsir dalam Bahasa Arab seperti mana kitab-kitab tafsir yang lain.Juga dinyatakan oleh beliau bilangan ayat yang juga ditulis Bahasa Arab.Selepas itu beliau menjelaskan ayat tersebut Makkiyyah ataupun Madaniyyah.[29]

2.Selain itu belia juga Pada setiap permulaan ayat akan dituliskan kalimah “Basmalah”.Dan juga terdapat sesetengah surah dinyatakan bila turunnya ayat sebagai contohnya “سورة الناس نزلت بعد الفلق” tetapi bukanlah semua surah yang terlibat.[30]

3.Beliau juga menyatakan nas surah al-Quran yang hendak ditafsir sehingga selesai dengan baris mengikut Rasm Uthmani,tetapi ayat –ayat yang ditulis semasa huraian penafsiran,beliau tidak meletakkan baris dan nombor surah pada ayat.[31]

4.Beliau akan menafsirkan daripada satu ayat kesatu ayat yang lain mengikut susunan ayat.Ada sebahagian ayat yang ditafsirkan panjang dan ada yang ditafsirkan pendek.

5.Sebagaimana yang kita maklumi kebiasaan pentafsir-pentafsir menggunakan metodologi tafsir ayat al-Quran dengan ayat al-Quran ,ayat al-Quran dengan hadis dan dengan pendapat sahabat dan pendapat yang disepakati oleh para tabiin R.A,disini beliau tidak menggunakan kesemua metodologi tersebut .Kemungkinan sebab beliau tidak menggunakan kaedah-kaedah tersebut kerana tafsir tersebut ringkas dan mengikut kesesuaian dan kemampuan golongan-golongan pelajar dan masyarakat awam untuk mempelajarinya.[32]

6.Selain itu beliau menyatakan aspek sebab turun ayat ,tetapi tidak semua surah dinyatakan aspek tersebut, hanya surah al-Ikhlas sahaja yang dinyatakan sebab turun ayat ,tetapi tidak dinyatakan sumber yang digunakan dalam mengeluarkan sebab turun ayat sebagai contoh sebab turun ayat surah al-Ikhlas.[33]Selain itu beliau juga menggunakan aspek sejarah untuk mengukuhkan penafsiran ayat –ayat yang telah ditafsirkan,permasalahan yang timbul adalah aspek pensejarahan yang diutarakan oleh Haji Yusof al-Rawa tidak dinyatakan darimana datangnya sumber sejarah tersebut.

7.Haji Yusof al-Rawa ada juga menyatakan pengajaran ayat selepas beliau menafsirkan ayat-ayat al-Quran,tetapi terdapat pada beberapa surah sahaja,sebagai contoh pada akhir penafsiran surah al-Asr.[34]

8.Selain itu juga,Haji Yusof Rawa juga ada juga menyatakan doa-doa meminta pertunjuk Allah taala dan beberapa ungkapan mengikatkan manusia tentang keagongan Allah Taala.Sebagai contoh doa selepas akhir penafsiran surah al-Takathur.[35]

9.Didalam bahagian dua tafsir ini,Haji Yusof Rawa juga menyatakan huraian ringkas mengenai surah dan isi kandungannya Bermula pada surah al-Layl hinggalah surah al-Naba’.[36]

10.Di akhir hampir setiap surah perbahasan Tafsir al-Rawi ini dinyatakan beberapa faedah dan hikmah beramal dengan surah tertentu ,melainkan hanya terdapat sebahagian kecil sahaja tidak dinyatakan faedah atau kelebihan sesuatu surah tesebut seperti surah al-Fajr dan surah al-Insyiqaq.[37]


10.0 KESIMPULAN DAN SARANAN

Secara keseluruhannya Tafsir al-Rawi Juzu’ `Amma hasil karya Haji Yusof al-Rawi mempunyai nilainya yang tersendiri,kerana hasil yang diusahakan oleh beliau masih lagi di gunakan sehingga kehari ini .Sehinggakan Tafsir ini beberapa kali diulang cetak dan diperbaiki mutunya agar ianya mudah difahami dan sesuai digunakan mengikut peredaran masa .Cuma Tafsir ini perlu ditahqiq dan diedit serta dibuat pengolahan semula dengan tidak lari dari pentafsiran asal,terutamanya dari aspek asbab nuzul,dinyatakan sumber yang sahih dari sudut sejarah dan boleh ditakhrijkan hadith-hadith yang berkaitan dengan fadilat surah,doa-doa dan sebagainya yang mana secara langsung boleh meningkatkan mutu penafsiran agar, ianya terus subur didada orang-orang yang cintakan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan Al-Quran dan tafsir….


[1] Mujahid Hj Yusof Rawa (2001)Permata Dari Pulau MutiaraKuala Lumpur:Warathah Haji Yusof Rawa ,hal.5.
[2] Haji Abdullah adalah seorang yang cukup gigih sehingga ia mampu memiliki satu premis perniagaan atas bangunan waqaf di Lebuh Acheh,Pulau Pinang pada tahun 1910.Selain dari itu beliau juga seorang yang tegas mendidik anak-anaknya dan sentiasa menekankan aspek –aspek serta nilai-nilai keagamaan kepada anak-anaknya .Selain dari itu beliau seorang yang garang ,dan banyak perkara didalam keluarga bilamana berkehendakkan keputusan daripadanya ,jika keputusannya begitu maka begitulah keputusannya ,kerana ia tidak berganjak daripada keputusannya.Beliau berkahwin dengan isterinya yang pertama Hajjah Asmah,kemudian berkahwin lagi dengan dua orang wanita lagi dari Rawa ,Sumatera ketika umurnya belasan tahun.
[3] Ibid ,.Mujahid Hj Yusof Rawa,m/s5
[4] Muhamad Najib Ab.Kadir dan Mazlan Ibrahim(2002)Jurnal Usuludin Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya keluaran Disember 2002:Khairom Ilmu Kuala Lumpur .m/s 92
[5] ibid,.Mujahid Haji Yusof,.m/s32
[6] Hajah Kalsom adalah seorang wanita jujur dan taat kepada suami.Komitmennya terhadap kelautga terlalu tinggikerana tiada yang lebih bermakna bagi hidup Hajjah Kalsom dari membesarkan dan mendidik anak –anaknya di atas akhlak dan adab yang tinggi.Sifat keibuan dan kekeluargaannya terserlah sehinggakan kemana sahaja ,dia pergi sebagai pemimpin .Dia lebih selesa bercakap tentang keluarga dan anak-anaknya .Antara kelebihan yang selalu disebut-sebut orang tentang Hajjah Kalsom ialah keenakkan masakannya dan keunikan masakannya yang jarang ditemui di tempat lain. Rujuk buku Permata dari Pulau Mutiara,Mujahid Yusof Rawa,.m/s 37-38.
[7] ibid,.Mujahid Haji Yusof,.m/s34
[8] Kamaruddin Jaafar(2000),Memperingati Yusof Rawa,Kuala Lumpur:IKDAS Sdn.Bhd,m/s 3
[9] ibid,.m/s 3
[10] opcit,.Mujahid Haji Yusof,m/s17
[11] ibid,.Mujahid,.m/s 19
[12] ibid,.Mujahid,.m/s29
[13] opcit,.Muhamad Najib dan Mazlan,Jurnal Usuluddin m/s 94
[14] ibid,.Muhamad Najib dan Mazlan,m/s94
[15] opcit,.Mujahid Hj.Yusof,m/s 54
[16] opcit,.Muhamad Najib Dan Mazlan,m/s 95
[17] opcit,.Mujahid Haji Yusof,m/s 55
[18] ibid,.Mujahid Haji Yusof,m/s 83
[19] ibid,m/s 83
[20] ibid,.m/s 87
[21] ibid,.m/s 87
[22] opcit,.Muhamad Najib dan Mazlan,m/s 96
[23] Sila Lihat awal kitab Tafsir al-Rawi bahagian pertama.
[24] Sila Lihat akhir Kitab Tafsir al-Rawi bahagian pertama.
[25] Opcit,.Muhamad Najib Dan Mazlan,.m/s 97
[26] ibid,.Muhamad Najib Dan Mazlan,m/s 98
[27] sila rujuk kepada Tafsir al-Rawi :Bahagian 1 & 2
[28] sila rujuk pada Tafsir al-Rawi m/s 1-2
[29] opcit,.Muhamad Najib Dan Mazlan,.m/s 99
[30] Sila rujuk dalam Tafsir al-Rawi.
[31] Ibid,.Tafsir al-Rawi.
[32] Opcit,.Muhamad Najib Dan Mazlan ,m/s 99
[33] Orang-orang kafir Quraisy telah menyangka bahawa nabi Muhamad S.A.W menyeru mereka kepada mengesakan tuhan adalah semata-mata kerana mencari kekayaan,kemasyhuran,ketinggiandan sebagainya.Mereka pun menghantar seorang untusan menjumpai junjungan supaya mengemukan pertanyaan-pertanyaan .Kata utusan kepada junjungan…..sila rujuk Tafsir al-Rawi bahagian satu m/s 18.
[34] Ibid,Tafsir al-Rawi ,m/s 52.
[35] Ya tuhan kami ,berilah taufiq pertunjuk engkau supaya syukur kami dengan pemberianmu dan menunaikan hak kewajipannya ,supaya dapat kami jawap dengan jawapan yang engkau redai seketika ditanya berkenaannya….sila rujuk Tafsir al-Rawi bahagian satu m/s 56.
[36] Ibid,.Tafsir al-Rawi,m/s 305 bahagian 2.
[37] Muhamad Najib Ab.Kadir dan Mazlan Ibrahim(2002)Jurnal Usuludin Akademi Pengajian Islam ,Universiti Malaya keluaran Disember 2002:Khairom Ilmu Kuala Lumpur .m/s 101.

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude