Oleh :-Hj. Hazarudin bin Hj. Baharudin[1]
1. PENDAHULUAN
Islam adalah agama yang syumul,yang menitik beratkan semua bidang kehidupan manusia,meliputi dunia dan akhirat.Diantara perkara asas yang diberi penekanan oleh Islam adalah Ilmu dan Latihan yang menjadi tunjang pada melahirkan modal insan. Ilmu dan latihan itu, merupakan dua perkataan yang mempunyai perkaitan diantara satu sama lain.Kedua-duanya bolehlah diibaratkan bagaikan aur dengan tebing, atau seperti irama dengan lagu.Jika dipisahkan antara keduanya maka pincang jadinya.
Cuma suatu hakikat yang perlu difikirkan adalah bagaimana untuk kita mengurus ilmu dan latihan,sehingga ianya benar-benar mampu melahirkan modal insan. Persoalan ini timbul,apabila kita melihat impak yang diperolehi daripada hasil latihan itu tadi,tidak berapa terlihat kepada peserta yang telah melalui atau mengikuti sesuatu proses latihan.Dalam erti kata lain,didapati peserta tidak dapat menghayati ilmu yang diperolehinya, tidak mengamalkannya,malah tidak dapat menguruskan segala bahan-bahan yang dibekalkan sepanjang tempoh latihan,apabila didapati selepas latihan bahan-bahan tersebut tidak disimpan dan didokumen dengan baik malah dimusnahkan,dibakar,dijadikan pelapek kueh pau dan sebagainya.
Persoalannya bagaimanakah fenomena ini boleh berlaku?,secara imprikal awalnya bolehlah kita katakan fenomena ini berlaku adalah hasil daripada tiadanya suatu kemahiran atau pengetahuan untuk mengurus ilmu yang telah diperolehi itu,terutamanya menurut perspektif islam[2].Justeru itu, artikel ini akan cuba membincangkan mengenai persoalan tersebut,dengan menjadikan konsep latihan, proses,pemikiran dan modal insan sebagai asas perbincangan.
2. DEFINISI
Bagi memahami topik bicara dalam artikel ini,terlebih dahulu dikupaskan frasa-frasa penting yang menunjangi tajuk perbincangan:-
Konsep di simpulkan sebagai ruang lingkup, tasawwur, tatacara ke arah mencapai sesuatu matlamat yang ditetapkan[3].
Sementara latihan pula adalah proses singkat dalam memberi kemahiran dan pengetahuan yang disusun secara sistematik.Dan penumpuan dalam latihan itu menjurus kepada terhasilnya, (i) Dapat membangunkan minda (Pengetahuan atau Intelectual Quation),(ii) Meningkatkan kesedaran (Perasaan atau Emetional Quation),(iii)Menghasilkan tindakan (Psikomotor) dan (iv) Mengekalkan tindakan (Spritual Quation).[4]
Manakala Modal Insan yang diadaptasi dari bahasa Inggeris Human Capital membawa erti[5] yang pelbagai.Modal boleh ditakrifkan sebagai asset,simpanan atau bekalan.Sementara insan dari perkataan arab nasi’a (lupa) dan ianya merujuk kepada manusia,kerana sifat manusia itu mudah lupa.
Insan disifatkan oleh Allah SWT,sebagai makhluk yang paling baik penciptaannya ( Ahsani taqwim )[6].Boleh berubah dari buruk kepada baik,dan baik kepada buruk.Sementara kesempurnaan itu,dilengkapi dengan jasad yang disaluti dengan hati,nafsu dan akal.Manusia juga dapat menggunakan segala pancainderanya untuk menjalankan tanggungjawab,fungsi dan tugas.
Sementara Hadhari dari segi istilah membawa maksud yang bertamadun[7] atau Islam yang menekankan aspek tamadun.
3. KONSEP LATIHAN DALAM ISLAM
Menurut Epistemologi[8],konsep latihan dalam Islam sudah semestinya bersumberkan al-Quran dan al-Hadis.Kenyataan ini,dapat dibuktikan dengan tujuan penurunan al-Quran itu sendiri,yang menekankan kepada melatih manusia menjadi baik dalam semua bidang kehidupan,samada fizikal,spritual,sosial,politik,ekonomi,pendidikan dan akhirnya nanti sudah tentu akan melahirkan modal insan yang cemerlang.
Lantaran al-Quran dan al-hadis itu,sebagai sumber latihan dalam islam,maka sayugia diikuti oleh manusia dan konsep latihan yang diketengahkan dalam al-Quran meliputi beberapa perbahasan asas,antaranya :-
3.1 : Konsep Tentang Tuhan
Dalam konteks ini,al-Quran mengajar supaya latihan yang ingin diberikan semestinyalah bertunjangkan ke arah mentauhidkan Allah SWT,samada dalam sudut Uluhiyyah, Rububiyyah dan Asma’ wa siffat.
Justeru itu, segala pengisian dalam latihan sewajibnya mempertingkatkan pengetahuan mengenai ketuhanan,meliputi Tahu Apa (know What), Tahu Kenapa (Know Why),Tahu Bagaimana (Know How), Tahu Siapa (Know Who) dan Tahu Untuk Apa (Care Why).Dalam ertikata lain,konsep latihan dalam islam semestinya berjaya membawa audian kepada menghubungkan diri mereka kepada Allah SWT ( hablun mina Allah ), dalam setiap kerja laku kehidupan seharian mereka.Ditambah, dengan menanamkan dalam diri audian tersebut,bahawa kejayaan hidup di dunia dan di akhirat adalah bergantung sejauh mana kita bertawakal kepada Allah SWT.
Lantaran itu, segala bentuk latihan yang bersifat dualisme atau sekularisme, iaitu dengan memisahkan Tuhan serta agama adalah tertolak sama sekali.Lantaran itu lah, al-Quran mejelaskan bahawa Tuhan Allah SWT,adalah bersifat mutlak ( al-Haqq ),yang wajib di tauhid dan di sembah.Ditambah dengan Allah SWT yang bersifat dengan semua sifat kesempurnaan(al-Kamalat),yang dengan sifat kesempurnaan itu,dapat mencipta segala alam buana,mengatur kehidupan makhluk dan perjalanan cakarawala di angkasa.Sementara ketuhanan yang lain adalah salah ( bathil ).
3.2 : Konsep Tentang Manusia
Manusia yang digambarkan dengan kata al-Insan, disebut sebanyak 65 kali dalam al-Quran.Perjalanan hidup manusia,dicoret sebagai melalui 2 tahap kehidupan.Iaitu meliputi peringkat (al-Ghaib), dan (al-Zahir) iaitu proses yang diketahui secara ilmiah .Proses al-Ghaib atau alam al-Roh, bermula dari penciptaan dari tanah (tin),debu dan lumpur(turab).Seterusnya keperingkat al-zahir dalam alam rahim ibu,bermula dari segumpal darah kemudian disalut tulang dan daging,seterusnya ditiup roh.
Manusia yang disifatkan sebagai penciptaan yang paling sempurna dan lengkap ( ahsani taqwin ), diberi amanah mengurus dunia ini dan diangkat martabatnya menjadi khalifah,apabila tanggungjawab itu tidak sanggup dipikul oleh makhluk lain.
Lantaran manusia,diberi tanggungjawab untuk mengurus dunia ini,maka sudah tentu ianya memerlukan ilmu dan kemahiran bagi memudahkan mereka mengurus tanggungjawab itu.Oleh yang demikian,sudah menjadi tanggungjawab warga pengurusan institutsi latihan,bagi mengatur strategi menyediakan latihan dan keperluan itu,dengan meningkatkan psikomotor audian.Untuk itu,dalam pengisian latihan,pihak pengurusan latihan mestilah memastikan matlamat untuk menyediakan modal insan yang bertakwa,unggul atau the towering personality akan tercapai.
3.3 : Konsep Tentang Kenabian
Dalam al-Quran,penggunaan utusan Tuhan itu disebut al-Rasul atau al-Anbiya’,merupakan wakil Allah SWT,untuk memandu manusia ke arah keselamatan di dunia dan di akhirat.
Dalam penyediaan modal insan yang unggul,manusia dianjurkan untuk menjadikan nabi sebagai role-model yang terbaik (qudwah al-hasanah)untuk diikuti oleh manusia.Lantaran itu, pengurusan latihan perlu menjadikan sunnah dan sifat-sifat mahmudah nabi,sebagai asas untuk menanamkan akhlak terpuji dikalangan audian.
4. IMPLIKASI DAN TUJUAN LATIHAN DALAM MELAHIRKAN MODAL INSAN HADHARI
Sebagaimana telah dikemukakan, Islam menempatkan manusia pada posisi yang unik, sebagai khalifah dan hamba Tuhan sekali gus.Justeru itu, tujuan latihan yang paling mendasar dalam Islam adalah menyediakan pengisian seimbang antara jasmani,emosi,rohani dan intelek.Kenyataan ini,sebenarnya telah disepakati oleh para sarjanawan Islam semasa memutuskan Gagasan Persidangan Dunia I tentang Pendidikan Islam yang diadakan di Makkah al-Mukaramah,Arab Saudi,pada 1977.
“ Latihan harus bertujuan pada pertumbuhan keperibadian
manusia yang utuh secara seimbang melalui latihan
jiwa,intelek dan rasional,perasaan dan indera-indera
badan manusia.Latihan yang diberikan kepada seorang
muslim yang harus menjadi keyakinan semacam itu di
suntikkan keseluruh keperibadiannya dan menciptakan
dalam dirinya….”[9]
Pernyataan di atas hanya menguraikan tujuan-tujuan latihan Islam secara umum.Lantaran itu,tugas kita adalah memperincikanya dengan dianogsis dan analisis keperluan latihan,menentukan pendekatan,merekabentuk program,domestik,penilaian dan latihan susulan.Lantaran itu,tugas pengurusan latihan mestilah memahami latihan,yang ianya berkait rapat dengan pembelajaran,perubahan,perhubungan dan tindakbalas.
Keberkesanan sesebuah program latihan,berkait rapat dengan kejayaan membentuk audian, di atas perkara berikut :-
4.1 : Membangunkan minda ( Pengetahuan )
4.2 : Meningkatkan kesedaran ( Perasaan/emosi )
4.3 : Menghasilkan tindakan ( Psikomotor )
4.4 : Mengekalkan tindakan ( Spiritual )
4.1.1 : Membangunkan minda ( Pengetahuan )/ Intelectual Quation
Proses ini memerlukan pendekatan yang cukup ampuh dan berkesan.Ini kerana,latihan merupakan proses pembelajaran dan pemberian maklumat dalam tempoh yang terlalu singkat dan pendek. Pihak pengurusan latihan,terpaksa memikul amanah berat,kerana perlu memastikan diakhir sesi latihan yang singkat itu, bahawa audian yang mengikuti program kursus itu menjadi tahu dari tak tahu sebelumnya,menjadi pandai dari tak pandai sebelumnya dan menjadi mahir dari sebelumnya.
Dalam erti kata lain,latihan tidak boleh semata-mata dihadkan hanya kepada penerimaan maklumat atau data-data.Tetapi yang lebih penting ialah latihan yang boleh memberi nilai-tambah ( value-added knowledge ) kepada keluaran dan perkhidmatan. Ini akan mermbantu kita untuk bertindak balas dengan cepat terhadap sebarang perubahan yang mendatang.
4.1.2 : Meningkatkan kesedaran ( Perasaan / Emosi ) / Emetional Quation
Modal insan yang berkualiti,semestinya lah mempunyai perasaan yang sentiasa sedar akan kewujudan dirinya sendiri serta sentiasa positif.Perasaan yang sedar dan positif,akan sentiasa menjadi diri mampu melakukan serta mendorong untuk melaksanakan kerja-kerja yang ma’aruf serta menghindarkan diri dari melakukan perkara-perkara mungkar.
Lantaran itu,Pengurusan latihan perlulah mengambil strategi yang jitu bagi memastikan audian yang mengikuti latihan dapat mempertingkatkan kesedaran dari negatif kepada positif,daripada kesedaran yang samar ( ilmu yakin ) kepada kesedaran yang mantap ( a’in al-yakin ) dan daripada perasaan yang jumud kepada perasaan yang sentiasa terbuka.
4.1.3 : Menghasilkan Tindakan ( Psikomotor )
Pujangga pernah berkata,ilmu yang tidak diamal,diibaratkan sepohon pokok yang rendang dan indah,tetapi tiada berbuah.Justeru dari kata pujangga itu,dapatlah digambarkan bahawa amalan merupakan natijah akhir kepada sesuatu keberkesanan latihan yang diberikan kepada audian.
Tugas pengurusan latihan adalah memastikan audian akan melalui proses merintis kemahiran,kemudian cuba melihat serta membuat percubaan, mengulang melakukannya serta membina kemahiran yang didapati itu untuk diamalkan.
Mempraktikkan sesuatu amalan atau kerja,mestilah mengutamakan kesahihan.Umpama contohnya,bagaimana melakukan solat yang betul.Dalam proses ini,proses latihan yang diberikan oleh jurulatih atau fisilitator mestilah menjuruskan kepada pendekatan simulasi,supaya ianya dapat dipraktikkan oleh audian.Begitu jugalah dalah perkara-perkara yang lain.
4.1.4 : Mengekalkan Tindakan ( Spritual ) / Spritual Quation
Dalam proses ini,pengurusan latihan sewajibnya meletakkan out-put latihan yang diberikan kepada audian untuk dihayati dalam rutin kehidupan harian, terutamanya dalam melahirkan penghayatan dari sesuatu kepercayaan,penghayatan dari keyakinan yang diperolehi,menghayati kesenangan dan kesusahan hidup serta sanggup menghayati sebuah pengorbanan.
5. KEPENTINGAN LATIHAN DALAM MELAHIRKAN MODAL INSAN HADHARI
Latihan menjadi penting apabila dunia dan persekitarannya mula berubah dengan pesat.Kepesatan ini,memerlukan barisan modal insan yang hadhari untuk menghadapi dan menyelesaikannya.Ditambah dengan persaingan dan cabaran intelektual yang hebat.Kompetensi yang sentiasa dihadapi manusia kini,menjadikan pencapaian melalui latihan sebagai pemisah diantara satu sama lain.Kepentingan latihan ini juga dapat ditegaskan lagi oleh Hadis Nabi SAW :-
“Menuntut ilmu wajib bagi Muslimin lelaki dan perempuan…”[10]
“Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negeri Cina
Kerana sesungguhnya menuntut ilmu itu wajib ke atas orang Islam “[11]
Walaupun,secara rambangnya kita sudah mula merasakan akan kepentingan latihan kepada kita,tetapi perincian kepentingan latihan itu perlu diperjelaskan lagi.Secara ringkasnya,kepentingan latihan itu meliputi :-
5.1 : Islam Menggalakkan Penimbaan Ilmu dan Latihan.Dalam Islam,menimba ilmu dan latihan adalah wajib bagi setiap lelaki dan perempuan.
5.2 : Profesionalisme Pengurusan Dalam kehidupan Harian : Memimpin diri dan manusia hari ini menjadi semakin kompleks berikutan dengan perubahan senario politik,ekonomi,teknologi dan sosial yang semakin sukar dijangka dan tidak menentu.Justeru itu,manusia perlu mempunyai bukan sahaja pengalaman,tetapi juga ilmu pengetahuan dan latihan yang sentiasa diperbaharui dan dipertingkatkan supaya dapat menggunakan secara maksimum sumber-sumber yang ada,terutamanya sumber manusia untuk kepentingan diri dan juga masyarakat.
Di abad ke-21 ini,untuk menguasai bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( ICT ),manusia perlu memberi perhatian kepada membentuk manusia lain dengan menggalakkan pembelajaran dan inovasi.Pengenalan konsep organisasi pembelajaran ( Learning Organisation ), pembelajaran sepanjang hayat ( Life-long learning ), dan K-Worker ( K-based economy ) yang jelas menunjukkan pentingnya meningkatkan ilmu,latihan dan inovasi melalui nilai-tambah ilmu ( value-added knowledge ).
5.3 : Cabaran Globalisasi : Dunia kini sedang mengalami perubahan pesat akibat daripada globalisasi serta kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi.Setiap pencapaian atau kemajuan memerlukan tahap latihan, pengetahuann, inovasi dan kreativiti yang lebih tinggi.Apa yang perlu ialah persiapan untuk menerima dan melibatkan diri sepenuhnya dengan peraturan baru ini. Manusia perlu melengkapkan diri dengan latihan dan ilmu pengetahuan yang sesuai untuk menghadapi persaingan itu.Dengan latihan manusia boleh melibatkan diri secara aktif dan bermakna dalam perundingan dan perbincangan mengenai isu-isu ekonomi,politik dan sosial di peringkat antarabangsa. Antara latihan dan kemahiran yang perlu ialah fasih berbahasa inggeris dan bahasa-bahasa utama lain,bujak berkomunikasi, mahir berunding,cekap membuat keputusan dan sebagainya.
5.4 : Menggalak K-Based : Dalam era K-Ekonomi,ilmu dan latihan adalah penjana utama pertumbuhan ekonomi.Penggunaan ilmu yang cekap dan berkesan akan menjurus kepada pertambahan pengeluaran dengan kualiti yang lebih baik dan kos yang lebih rendah dan dengan itu memperolehi untung yang lebih tinggi.
5.5 : Ledakan pesat ICT : Perkembangan pesat dalam bidang ICT menjadikan kos kuminkasi dan pengangkutan lebih murah serta dapat bergerak dengan pantas. Internet, e-mail,laman web dan alat komunikasi lain seperti telefon selular,mesin faksimili dan setelit merupakan keperluan harian yang membolehkan manusia berkomunikasi dengan warga dunia secara mudah,cekap dan segera.Manusia perlu meningkatkan keupayaannya untuk menerima dan menyerapkan teknologi yang sentiasa berubah ini untuk sentiasa berada di hadapan,dan menerima kenyataan bahawa ianya tidak dapat lari daripada ledakan ICT ini. Dengan itu manusia perlu lengkapkan diri dengan latihan,ilmu dan kemahiran.
6. CIRI-CIRI MODAL INSAN HADHARI
Ciri-ciri modal insan hadhari tidak mustahil untuk dilahirkan apabila individu itu mengikuti proses latihan.Proses latihan melibatkan input,proses dan output.
-Input dalam latihan meliputi ciri-ciri peserta yang mengikuti latihan,meliputi keupayaan fikiran, penampilan personaliti dan tahap motivasi.
- Proses dalam latihan meliputi penjadualan masa, kesediaan jurulatih memberi latihan,kesediaan pelatih menerima latihan , kejayaan interaksi antara jurulatih dan pelatih serta persekitaran yang dapat menyokong semasa sesi latihan berjalan.
-Output latihan merangkumi hasil yang didapati peserta apabila melalui proses latihan.Pengukuran ini dapat dinilai melalui pengetahuan yang telah didapati, pemahaman yang diperolehi,amalan yang dihayati serta pengekalan dalam budaya hidup harian.
Sebagai Institutsi yang menjadikan latihan sebagai core-business nya,maka persiapan untuk menyediakan modal insan yang hadhari,mestilah menjadi keutamaan. Dan ianya hendaklah dimasukkan kedalam kurikulum,modul dan intipanti kursus yang diberikan.Secara ringkasnya,ciri-ciri modal insan yang hadhari itu,mestilah mempunyai ciri-ciri berikut :-
6.1 : Akidah Yang Sempurna ( Salim al-A’kidah )[12].
Dalam dunia yang penuh dengan cabaran penyelewengan keaslian ajaran Islam.Maka akidah yang sempurna,mestilah menjadi akar tunjang dan pegangan bagi mengatasi segala permasalahan yang mendatang. Dalam ertikata lain,kemampuan seseorang individu dalam merujuk dua sumber warisan peninggalan Allah dan al-Rasul,menjadi asas kepada melahirkan insan yang sempurna akidahnya.
Segala kekalutan sosial yang berlaku dikalangan masyarakat kini,adalah berpunca dari rapuhnya akidah yang dianuti.Justeru itulah,ulamak Islam mengambarkan kepentingan akidah sebagai “ Awaludin ma’rifatullah “ (Awal agama adalah mengenal Allah ).
Kesempurnaan akidah akan meledakkan sifat taqwa dalam diri manusia.Ciri-ciri manusia yang bertaqwa adalah bagi mereka yang sentiasa beriman dengan bukan sahaja perkara-perkara zahir,tetapi meliputi perkara ghaib,mendirikan solat,membayar zakat,beramal dengan ayat al-quran dan kitab-kitab sebelumnya serta beriman dengan hari akhirat.[13]
6.2 : Ibadah Yang Betul ( Sahih al-I’badah ).[14]
Ibadah dalam islam ,meliputi semua perkara dan pekerjaan yang disandarkan niatnya kepada Allah SWT.Seperti apa yang disabdakan oleh nabi SAW “Setiap pekerjaan bermula dengan niat…..”.
Justeru itu,modal insan hadhari yang perlu disediakan oleh pelaksana program latihan adalah memberi kefahaman tentang konsep ibadah yang betul menurut islam,bermula dari niat yang hanya untuk Allah SWT seterusnya diikuti dengan gerak laku mengikut syarat dan rukun.
6.3 : Akhlak Yang Utuh. ( khuluk al-Matin )[15]
Akhlak merupakan kompenan terpenting dalam struktur agama,selepas akidah dan syariah.Serta menjadi missi penting pengutusan Rasulullah SAW.Seperti sabdanya…”Tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurna kan akhlak yang baik…”[16]Justeru itu,modal insan hadhari sewajibnya mempunyai sifat-sifat mahmudah seperti menyantuni manusia,bertimbangrasa,ikhlas,jujur dan segala macam penampilan integriti yang lain.Sementara akhlak mazmumah seperti khianat,hasad dengki,derhaka kepada ibu-bapa dan pemerintah serta segala macam sifat negatif yang lain,perlulah dijauhkan.
6.4 : Kuat Fizikal ( Qawiey al-Jisim )[17]
Pujangga arab pernah berkata,” al-A’qlu al-Salim fi al-Jism al-Salim….”(Akal yang sejahtera datangnya dari badan yang sihat…).Oleh yang demikian,insan hadahari mestilah mempunyai kesihatan dan badan yang sihat,supaya dengan itu,akan memberikan rangsangan idea yang bernas ketika berfikir dan memeberi pendapat.
6.5 : Pemikiran Intelek ( Mushaqafah al-fikri )[18]
Modal insan yang hadhari adalah mereka yang dapat menguasai sebarang kepakaran ilmu pengetahuan.Dunia globalisasi kini,memerlukan sumber tenaga manusia yang mahir berteraskan ilmu pengetahuan.Saranan seumpama ini bukanlah merupakan saranan baru,sebaliknya disuarakan semenjak zaman Yunani lagi,ketika mana Aristotale berkata :-
“Knowledge is more useful than wealth,as knowledge
Could protect man from disaster,whilst wealth need
To be protected against disaster…”[19]
Lantaran itu,kejayaan sesebuah bangsa dan negara bergantung sejauh mana mereka dapat menguasai dan melonjak ilmu pengetahuan.Malah lebih gemilang lagi,apabila mereka dapat menjadikan ilmu sebagai budaya kehidupan.Budaya ilmu bermaksud,”keadaan di mana setiap lapisan anggota masyarakat melibatkan diri baik secara langsung, mahupun tidak langsung dengan teratur dalam kegiatan keilmuan bagi setiap kesempatan”.
6.6 : Bermujahadah terhadap nafsunya ( Mujahadah al-Nafs )[20]
Nafsu merupakan kompenan dalaman manusia,yang perlu dilatih secara agrasif atau mujahadah.Menurut ilmu tasawuf,[21]Nafsu terbahagi kepada beberapa tingkatan.Tiga nafsu yang terkeji seperti nafs al-Ammarah ,nafs al-Lauwammah dan nafs al-Mulhamah, perlulah dihindari.Sementara empat lagi adalah nafsu terpuji,seperti nafs al-Mutmainnah,nafs al-Radhiah,nafs al-Mardhiah dan nafs al-Kamilah,kesemua ini hendaklah dituruti dan dicari.
Gagal mengawal nafsu,akan mengundang musibah kepada diri manusia.Apabila mereka tidak segan silu,melakukan dosa dan maksiat.Jadi,segala kerjalaku dosa dan maksiat adalah berpunca dari kegagalan individu itu,mengawal nafsunya.
6.7 : Berusaha dengan sendiri ( Qadirun a’la kasbi )[22]
Modal insan yang diperlukan oleh sesebuah negara adalah bagi mereka yang dapat berusaha dengan usaha sendiri tanpa mengharap pergantungan dari orang lain.Atau dalam aspek pembangunan negara, bukanlah dengan hanya menhgharapkan subsidi dan bantuan dari kerajaan dan pemerintah semata-mata.
6.8 : Ambil berat dengan urusan waktunya ( Harisun a’la al-Wakt )[23]
Pengurusan waktu yang baik,merupakan formula kejayaan seseorang manusia.Justeru itu,banyak dalam ayat-ayat Allah SWT dalam al-Quran menceritakan perihal penting mengenai masa.Sehinggakan diturunkan satu surah khusus menceritakan kepentingan masa,seperti firman Allah SWT dalam surah al-A’sr..”Demi masa!,sesungguhnya manusia dalam kerugian…”.[24]
Masa adalah suatu amanah.Oleh kerana itu,manusia yang dapat mengurus masa mengikut keutamaan(al-Awlawiyiat )[25],adalah mereka yang berjaya dalam hidup.Lantaran itu, masa perlu diatur mengikut keutamaan, kepentingan dan kesegeraan sesuatu kerja.Pekerjaan yang tidak penting dan tidak utama,tidak perlu disegerakan dan hendaklah ditangguhkan kemudian.
6.9 : Teratur dalam urusannya ( Munazhamun fi shuu’ni )[26]
Insan hadhari yang perlu dibentuk dalam program latihan adalah generasi yang dapat mengatur urusan kehidupan mereka.Faktor disiplin diri,merupakan ramuan mujarab untuk menjadikan manusia berjaya dan teratur dalam urusan hidup.
Sebagai umat islam,kita hendaklah bersifat terbuka mengenai urusan pengurusan hidup yang berkualiti.Begitu juga dalam pengurusan sesebuah organisasi,dengan tidak malu untuk mencontohi pihak barat dan Jepun,demi mengujudkan pengurusan organisasi yang efision.Standart kuality yang berasaskan standart ISO oleh barat atau kualiti 5S yang diperkenalkan oleh Jepun,hendaklah diadaptasi oleh umat islam,selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat agama.
6.10 : Bermanfaat untuk orang lain ( Nafi’ lil Ghairihi )[27]
Kejayaan yang terakhir kepada sesebuah program latihan,adalah bergantung sejauh mana audian yang telah mengikuti program latihan itu, dapat memberi manfaat kepada orang lain,samada yang melibatkan keluarga,masyarakat dan negaranya.
Sifat seperti pokok kelapa,yang boleh memberi manfaat kepada manusia dari akar sampai ke pucuknya,hendaklah dijadikan contoh oleh manusia.Justeru itulah nabi SAW,pernah membuat perbandingan pokok kurma dalam satu teka-teki yang menguji para sahabat,dengan sabdanya “Pokok apakah yang dapat memberi manfaat kepada umat manusia…”
Ungkapan seumpama,”apakah sumbangan agama dan negara kepada anda!”,hendaklah diubah kepada “apakah sumbangan anda kepada agama dan negara!”. Dan slogan keramat itu hendaklah sentiasa diingati dan dipamirkan oleh setiap warganegara.Slogan seperti “Erti hidup biar memberi,daripada menerima”,hendaklah dijadikan azimat sepanjang kehidupan.
7. KESIMPULAN DAN PENUTUP
Sesungguhnya,penyediaan modal insan yang hadhari hendaklah dirancang dengan sebaik-baiknya.Pengembelingan tenaga,dari semua warga institutsi latihan hendaklah dilakukan secara menyeluruh,memandangkan tugas menyediakan modal insan ini,adalah tugas besar yang mesti dilakukan secara kolektif oleh semua warga yang menjadikan latihan sebagai core-business.
Cabaran besar yang perlu dihadapi kini dan akan datang,memerlukan barisan warga insan yang hadhari dari sudut pemikiran,penguasaan ilmu,penampilan diri,komunikasi berkesan dan sebagainya.Tetapi,yang perlu diingatkan adalah setiap langkah untuk menyediakan modal insan yang hadhari mestilah bertunjangkan kepada konsep beragama.Dan agama yang diiktiraf oleh Allah SWT,adalah agama Islam.
RUJUKAN
Tafsir Pimpinan al-Rahman,2000, Kuala Lumpur, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
‘Abd al-Baqi,Muhammad Fuad,t.t,al-Mu’jam al-Mufahrash Li Alfadz al-Quran al-Karim,Beirut,Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi.
Hadis Sahih Muslim,1988,Beirut,Maktabah al-Risalah.
Kamus Dewan Bahasa & Pustaka,1989,Kuala Lumpur,DBP.
Azman Che Omar,2001,Pengurusan Di Malaysia Dari Perspektif Islam,Kuala Lumpur,DBP.
Abdul Rahman Ahmad.Dr,t.t,Pengenalan Latihan Dalam Organisasi,Nota Kursus TOT,Kuala Lumpur,ILIM.
JAKIM, 2004,Konsep Islam Hadhari,Kuala Lumpur,JAKIM.
Ibn Khaldun,1967,al-Muqadimah,Mesir,Darul Syuruk.
Al-Attas,Prof.Dr,1977,Aims And Objectives Of Islamic Education,Luala Lumpur,ISTAC.
Wan M. Nor Wan Daud,Dr.,1989,Konsep Pengetahuan
Hassan al-Banna,1967,Ushul al-I’syrin,Mesir,Maktabah al-Wahbah.
Rosenthal,1970,Knowledge Triumphant,France,
Al-Ghazali,1973,Ihya’ ‘Ulumuddin,Beirut,Maktabah al-Risalah.
Yusuf al-Qardawi,Prof. Dr,1987,Fiq al-Awwaliyat,Mesir,Maktabah al-Wahbah.
----------------------------------,1986,’Ibadah fi al-Islam,Mesir,Maktabah,al-Wahbah.
[1] Penulis adalah Pengetua Pusat Latihan Sarawak
[2] Islam menitik beratkan perolehan ilmu dan amal.Sementara sekular,menitik beratkan ilmu semata-mata ilmu atau untuk tujuan utility.
[3] Kamus Dewan Bahasa&Pustaka,1997,Kuala Lumpur,DBP.Lihat juga Azman Che Omar,2001,Pengurusan Di Malaysia Dari Perspektif Islam,KL,DBP.
[4] Dr. Abd. Rahman bin Ahmad,Pengenalan Latihan Dalam Organisasi,Nota Kursus kejurulatihan TOT.
[5] Kamus Bahasa Ingeeris-Melayu,1997,Kuala Lumpur,DBP.
[6] Surah al-Tinn,ayat 4
[7] JAKIM,Konsep Islam Hadhari.Lihat juga Ibn Khaldun,1967,al-Muqadimah, Dar Syuruk,Mesir.
[8] Epistemologi adalah perkataan Greek yang bermaksud Falsafah Ilmu,atau asal-usul sesuatu ilmu.
[9] Al-Attas,Aims And Objectives Of Islamic Education,ISTAC,
[10] Hadis riwayat Ibn Majah dan Baihaqi.
[11] Hadis riwayat Ibn Majah
[12] Hassan al-Banna,Ushul al-I’syrin,1965,Maktabah al-Wahbah,Kaherah.
[13] Lihat tafsiran ayat 3-4,Surah al-Baqarah.
[14] ibid
[15] ibid
[16] Hadis Riwayat Muslim
[17] Op.cit
[18] ibid
[19] Rosenthal,Knowledge Triumphant,1970,Paris.ibid Wan M. Nor Wan Daud.
[20] ibid
[21] Al-ghazali,ihya’ U’lumuddin,1973,maktabah al-Risalah,
[22] Op. cit
[23] ibid
[24] Surah al-A’sr,ayat 1-2.
[25] Al-Qardawi,Fiq al-Awlawiyat,1987,Maktabah al-Wahbah,Mesir.
[26] Op. cit
[27] ibid
1 ulasan:
salam alaik.
alhamdullillah dan tahniah atas sebuah lagi disertasi yang memberi impak yang berguna kepada umat islam.. banyak bahan dan maklumat yang berguna dan dapat dikongsi bersama.
kalau tak keberatan, boleh saya dapatkan full artikel bagi disertasi ini.
Catat Ulasan