Khamis, 31 Mei 2007

Ke Mana Menghilangnya Rakan Muda Masjid?



Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Kementerian Belia dan Sukan di atas pelancaran Rakan Muda Fasa II pada 29 Mei 2007 di Stadium Juara dan Bukit Kiara oleh YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi;Perdana Menteri Malaysia.

Setelah saya meneliti kumpulan Rakan Muda iaitu sebanyak 7 kumpulan yang sedia ada; Rakan Muda Waja Diri, Rakan Muda Masyarakat, Rakan Muda Cinta Alam, Rakan Muda Kecergasan, Rakan Muda Seni Budaya, Rakan Muda Wira Usaha dan Rakan Muda Inovasi, dengan tambahan 3 kumpulan Rakan Muda yang baru iaitu Rakan Muda Sukarelawan, Rakan Muda Jiran Muda dan Rakan Muda Wawasan Desa;timbul kemusykilan di dalam hati saya. Ke mana menghilangnya Rakan Muda Masjid? Bukankah prinsip pertama dalam Islam Hadhari iaitu Keimanan dan Ketaqwaan kepada Allah? Dan bukankah proses untuk pengukuhan keimanan dan ketaqwaan bermula di masjid?

Mutakhir ini, timbul kebimbangan di kalangan pengurusan masjid yang rata-ratanya terdiri daripada umur 40-an hingga 70-an, ke mana golongan muda sebagai jamaah di masjid? Ternyata, tarikan di luar masjid lebih hebat seperti konsert, taman,pub,kelab malam dan sebagainya. Justeru bagi saya, amat terkilan apabila Rakan Muda Masjid tiada dalam pelancaran Rakan Muda Fasa II tempoh hari ataupun dalam proses penjenamaan semula kumpulan Rakan Muda tersebut.

Nabi saw pernah menyatakan dalam sepotong hadith ” Di antara 7 golongan yang mendapat naungan Allah di hari tiada naungan selain naunganNya; di antaranya ialah seorang pemuda yang bersungguh dalam ibadahnya kepada Allah”. Bukanlah maksud saya kumpulan Rakan Muda yang lain tidak dianggap ibadah jika ikhlas niatnya kerana Allah, tetapi alangkah baiknya sekiranya Rakan Muda Masjid sebagai one-stop centre sebelum kita melaksanakan aktiviti dalam kumpulan Rakan Muda yang pelbagai itu!

Kesedaran pihak pengurusan masjid masa kini dalam menarik golongan muda nampaknya semakin berhasil. Pertandingan seperti futsal dan sepaktakraw misalnya, ada yang dilakukan di perkarangan masjid. Karnival Masjid yang menghimpunkan pelbagai gerai seperti di Masjid Negeri Shah Alam dengan adab yang perlu dipatuhi juga patut dicontohi. Kem Remaja Soleh yang dilakukan di Masjid KLCC juga perlu direnung bersama. Justeru, alangkah baik sekiranya Kementerian Belia dan Sukan di bawah pimpinan YB Dato Seri Azalina Othman menjalin kerasama dengan pihak pengurusan masjid dengan penubuhan Rakan Muda Masjid, agar kita dapat melahirkan golongan muda yang bukan sahaja hebat dari aktiviti bersifat fizikal tetapi juga ditunjangi asas aqidah yang kukuh dan keimanan yang mantap.

31 Mei 2007, 14 Jamadil Awal 1428,
3.00 petang, Malaysia Timur.

Rabu, 30 Mei 2007

Masa Depan Pasti Milik Islam

Itulah ungkapan keramat yang disebut oleh Ustaz Fathi Yakan dalam bukunya "Kenapa Saya Menganut Agama Islam". Dan alhamdulillah apabila Mahkamah Persekutuan memtuskan penolakan rayuan Lina Joy, Islam masih bernafas di Malaysia.

Sekarang, perlu kita sama-sama bertindak untuk lebih giat menyebarkan dakwah Islamiyyah dan memperkukuh dakwah Islahiyyah.

Moga Allah lindungi kita semua, Amin.

30 Mei 2007, 13 Jamadil Awal 1428
10.30 mlm,Malaysia Timur

Semoga Islam Terus Didaulatkan, Kalau Tidak Ia Hanya Pada Nama



Hari ini merupakan penentuan masa depan Islam di Malaysia. Memang hari ini Islam dan umat Islam tidak pada tempatnya yang sebenar. Islam dipandang rendah, umat Islam dihina, diperlakukan sebegitu rupa dan banyak lagi penindasan yang berlaku di seluruh dunia.

Kes Lina Joy sebenarnya menjadi perhatian seluruh dunia apalagi oleh penyokonganya. Melihat kepada wajah suci anak-anak remaja dan belia Islam kita, maka keputusan hari ini dilihat begitu signifikan untuk menentukan survival Islam di Malaysia. Dengan rentetan kes murtad yang didedahkan, kita berdoa kepada Allah agar umat Islam yang lemah iman dan cenderung untuk murtad ditutup keinginan mereka dengan kekalahan Lina Joy dalam kes ini yang akan diumumkan keputusannya pagi ini di Mahkamah Persekutuan, Palace of Justice, Putrajaya.

Saya bersama sahabat dan sahabiah di Malaysia Timur mendoakan agar umat Islam yang berhimpun di Mahkamah Persekutuan ini diberikan kekuatan untuk terus mendaulatkan Islam. Kami di sini juga akan terus menyebarkan dakwah dengan kudrat yang kami mampu.Insya Allah.

30 Mei 2007, 13 Jamadil Awal 1428,
9.30 pagi Malaysia Timur

Kemalangan di Plaza Tol Alor Setar;Muhasabah Bersama



Kemalangan yang melibatkan 8 nyawa semalam sangat menyayatkan hati. Memanglah kita boleh menyatakan hakikat mereka terbunuh kerana sudah sampai ajal. Namun begitu, segala bentuk kecuaian boleh dielakkan terutamanya pemandu lori treler yang merempuh kereta mangsa.

Apabila berlaku kematian, sudah tentu ia ditangisi saudara yang terdekat. Timbul mungkin sifat dendam dan marah. Sebagai orang yang beriman, inilah salah satu ujian Allah. Dan sebagai panduan bersama, ada baiknya kita mengamalkan doa naik kenderaan sebelum bertolak ke sesuatu destinasi, agar perjalanan kita dilindungi dan diredhai Allah. Amin

30 Mei 2007, 13 Jamadil Awal 1428,
9.15 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 29 Mei 2007

Doakan kemenangan Islam dan Umat Islam di Malaysia

Esok merupakan detik penting menentukan survival umat Islam dan Islam di Malaysia. Sekiranya Lina Joy menang dalam rayuannya-maka peluang untuk murtad selepas ini terbuka luas. Jika tidak menang, alhamdulillah. Walaupun begitu, kita masih kesal kerana tiada peruntukan dalam undang-undag untuk mendakwa orang yang telah murtad.

Ayuh umat Islam semua, kita solat hajat pada malam ini di seluruh negara tidak kira di mana anda berada, agar Allah memenangkan Islam dan umat Islam di Malaysia.
29 Mei 2007, 12 Jamadil Awal 1428,
2.25 ptg, Malaysia Timur

Isnin, 28 Mei 2007

Disertasi Ilmiah II

METODOLOGI HAMKA DALAM PENTAFSIRAN AL-QURAN
1.0 PENDAHULUAN
HAMKA merupakan tokoh pentafsir yang terkenal di alam Melayu khususnya di Indonesia. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang ulama’ bahkan sasterawan, sejarawan dan pujangga Islam. Penghasilan karya Tafsir Al-Azhar di usia senja menaikkan lagi nama beliau di mata umat Islam.
2.0 BIODATA TOKOH
HAMKA merupakan akronim pertama atau singkatan kepada nama asal iaitu Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Nama tersebut diberikan oleh ayahnya sempena nama anak lelaki gurunya; Syeikh Ahmad Khatib di Mekah. Proses penyingkatan nama beliau adalah disebabkan oleh aktiviti beliau dalam bidang penulisan yang bertujuan untuk memudahkan masyarakat mengenalinya.
2.1 Kelahiran Dan Kematian
HAMKA dilahirkan pada malam isnin tanggal 14 Muharam 1326 H bersamaan 17 Februari 1908 di Kampung Tanah Sirah, Negeri Sungai Batang Maninjau, Minagkabau, Sumatera Barat.1
Menurut satu sumber lain, beliau dikatakan lahir pada tahun 1325 H bersamaan 1908. Namun penulis memilih sumber pertama memandangkan maklumat tersebut adalah daripada HAMKA sendiri.2
2.2 Keturunan
Beliau berasal dari keturunan ulama’ yang terkenal di Sumatera. Moyang beliau, Syeikh Abdullah Arif merupakan seorang ulama’ yang datang dari Pauh Pariaman terkenal dengan gelaran Tuanku Pariaman dan Tuanku Nan Tuo di Koto Tuo dan menjadi pelopor gerakan Islam di Minangkabau. Datuknya pula, Syeikh Muhammad Amrullah terkenal dengan gelaran ‘Fakih Kisai’ iaitu gelaran khusus bagi penghafaz al-Quran.3
Ketokohan sebagai seorang ulama’ seterusnya diwarisi pula ayah HAMKA iaitu Haji Abdul Karim Amrullah. Beliau merupakan tokoh pelopor gerakan Islam “ Kaum Muda “ di Minangkabau bermula pada tahun 1906.4 Terkenal dengan gelaran “ Haji Rasul “ diwaktu mudanya yang mana beliau menentang ajaran Rabitah iaitu satu sistem yang dilalui oleh penganut-penganut tarekat apabila mereka hendak mengerjakan suluk. Beliau pernah diasingkan oleh Belanda ke Sukabumi disebabkan fatwa-fatwa yang dianggap mengganggu keamanan dan keselamatan umum. Haji Abdul Karim Amrullah kembali ke rahmatullah pada 21 Jun 1945 di Jakarta iaitu dua bulan sebelum tarikh proklamasi kemerdekaan Indonesia. 5
Ibu HAMKA bernama Siti Safiyah. Ayah dari ibu beliau bernama Gelanggang dan digelar Bagindo Nan Batuah. Semasa mudanya terkenal dengan guru tari, nyanyian dan pencak silat. HAMKA sentiasa mendengar pantun-pantun yang bererti dan mendalam daripadanya.6
2.3 Sahsiah dan keperibadian HAMKA
Berdasarkan susur galur keturunan HAMKA, beliau dilahirkan dalam keluarga ulama’ yang cukup terkenal di Sumatera Barat. Sedikit sebanyak HAMKA turut mewarisi keperibadian ayahnya. Dalam lingkungan keluarganya HAMKA disebut sebagai anak yang keras hati, sering mengambil keputusan yang berlawanan dengan keinginan ayahnya sehingga tidak dapat merubah pendirian beliau. Sikap beliau ini jelas ketara semasa beliau berada di alam persekolahan.7
HAMKA mewarisi sifat keras yang ada pada ayahnya. Dalam aktiviti dakwah, beliau menggunakan cara yang keras sesuai dengan pendekatan yang dipakai oleh ayahnya. Walaupun pada akhirnya perhubungan perkembangan beliau tidak seradikal ayahnya tetapi sifat tersebut masih kelihatan. Sebagai contoh ketika HAMKA mendapat tekanan dari pihak pemerintah beliau membuktikan perwatakannya sebagai ulama’ yang tidak boleh bertolak ansur dalam masalah yang membabitkan perkara-perkara asas.8
Walaupun memiliki sikap keras, beliau juga adalah seorang pemaaf. Meskipun beliau pernah dipenjarakan oleh Soekarno akan tetapi apabila mendengar lawan politiknya itu meninggal dunia, beliau menangis bahkan beliau bersedia mengimamkan solat jenazah Soekarno.9
Selain itu, HAMKA adalah seorang yang kuat beribadah. Solat Tahajjud sudah menjadi rutin ibadah beliau. Selama daalam tahanan beliau tidak pernah meninggalkan tahajjud. Pada kebiasaannya beliau tetap bangun sebelum subuh, melakukan solat 2 rakaat hingga 8 rakaat diikuti witir 3 rakaat sehinggalah terbit fajar beliau membaca al-Quran atau berzikir.Sebelum ke masjid untuk solat Jumaat, beliau akan menghabiskan masanya dengan membaca al-Quran dan buku-buku Arab untul pengisian khutbah yang akan disampaikan.10
2.4 Guru-Guru HAMKA
Kehidupan HAMKA semenjak kecil sentiasa berada dalam lingkungan suasana ilmu. Meskipun beliau tidak pernah tamat belajar di mana-mana institusi pengajian, berkat kegigihan dan ketekunan beliau masih berpeluang menimba ilmu di pelbagai lapangan ilmu samada secara formal atau tidak formal.
Antara guru-guru beliau adalah Haji Omar Said Chakraminoto dalam bidang Islam dan Sosialisme, Soeryopranoto dalam bidang ilmu sosiologi, H. Fakhruddin dalam bidang ilmu Tauhid, Ki Bagus Hadi Kesumo dalam ilmu Tafsir, Zainudin Lebai al Yunus, H. Rasul Hamidi ( Sekolah Diniyah), Jalaluddin Thaib dan Angku Mudo Abdul Hamid ( Madrasah Thawalib), Syeikh Ibrahim Musa Parabek, Sain al-Maliki dan Angku Lebai Ahmad Padang Luar.11
2.5 Hasil Karya HAMKA
Keaktifan beliau dalam bidang penulisan bermula setelah beliau kembali dari kembara ilmiah di Tanah Jawa sehingga beliau menjadi pemimpin di tempat asalnya. Menurut Rusydi , kesemua hasil karya HAMKA berjumlah 118 buah yang merangkumi bidang agama, novel dan ilmiah tidak termasuk aritikel-artikel beliau dalam Majalah Panji Masyarakat.12 Hasil karya termasyhur adalah Tafsir al-Azhar yang menjadi saluran dakwah kepada masyarakat pada ketika itu.
Berikut adalah senarai karya-karya beliau mengikut tahun pengahsilan karya tersebut :
1925 hingga 1930
Khatib Ummah
Si Sabariyah
Rengkasan Tarikh Umat Islam
Pembela Islam (Riwayat Abu Bakar)
Sejarah Minangkabau dengan Ugama Islam (diharamkan oleh Belanda)
Ugama dan Perempuan
Kepentingan Bertabligh
Leila Majnun
1931-1942
Di Bawah Lindungan Kaabah
Tenggelam Kapal Van Der Wijak
Merantau ke Deli
Terusir (kemudian ditukar tajuk kepada ‘Fitnah’)
Keadilan Ilahi
Di dalam Lembah Kehidupan (Antologi Cerpen)
Tasauf Modern
Falsafah Hidup
Lembaga Hidup
Dijemput Mamak(sekarang dalam ‘Bedok Berbunyi’)
1942-1961
Negara Islam
Revolusi Agama
Adat Minangkabau Menghadapi Revolusi
Dibanting Ombak Masyarakat
Di tepi Sungai Dajlah
Lembaga Hikmah
Menunggu Bedok Berbunyi
Chahaya Baru
Angkatan Baru
Falsafah Ideologi Islam
Mustika Budi
Tinjauan di Lembah Sungai Nil
Lembaga Sungai Nil
Penuntun Naik Haji
Perkembangan Tasauf
Sejarah Islam di Sumatera
Utat Tunggang Panchasila
Peribadi
1001 Soal-Soal Hidup
Empat Bulan di Amerika
Pelajaran Ugama Islam
Keadilan Sosial dalam Islam
Kenang-Kenangan Hidup
Ayahku Biografi Dr. A. Karim Amrullah)
Pengaruh Muhammad Abduh di Nusantara
Merdeka
Islam dan Demokrasi

3.0 PENGENALAN KITAB
Tafsir al-Azhar merupakan karya HAMKA yang memperlihatkan keluasan pengetahuan beliau , hampir mencakumi semua disiplin ilmu penuh berinformasi. Ia berasal dari siri kuliah subuh yang disampaikan oleh HAMKA di Masjid al-Azhar yang terletak di Kebayoran Baru Jakarta sejak tahun 1959.13
Nama al-Azhar bagi masjid tersebut telah diberikan oleh Syeikh Mahmoud Syaltout, Rektor Universiti al-Azhar semasa kunjungan beliau ke Indonesia pada Disember 1960 dengan harapan ianya akan menjadi al-Azhar di Jakarta. Penamaan tafsir HAMKA dengan nama Tafsir al-Azhar bersempena dengan tempat lahirnya tafsir tersebut iaitu Masjid Agung al-Azhar tersebut.14
3.1 Faktor Penulisan Tafsir al-Azhar15
Terdapat beberapa faktor yang mendorong HAMKA kepada penghasilan karya tersebut. HAMKA menyatakan faktor tersebut dalam mukadimah kitab tafsirnya. Antaranya ialah kesedaran beliau terhadap kepentingan untuk menanam semangat dan kepercayaan Islam dalam jiwa belia-belia di alam Melayu khususnya beliaa-belia di Indonesia yang amat berminat untuk memahami al-Quran tetapi tehalang akibat ketidakmampuan mereka menguasai ilmu Bahasa Arab.
Kecenderungan beliau terhadap penulisan tafsir ini juga bertujuan untuk memudahkan pemahaman para muballigh dan para pendakwah serta meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian khutbah-khutbah yang diambil daripada sumber-sumber Bahasa Arab .
3.2 Penulisan Tafsir Al-Azhar
HAMKA telah memulakan ulasan Tafsir Al-Azharnya dengan surah al-Mukminun bukannya surah al-Baqarah kerana beranggapan kemungkinan beliau tidak sempat menyempurnakan ulasan lengkap terhadap tafsiran tersebut semasa hayatnya.16
Penulisan tafsir tersebut bermula melalui siri kuliah Subuh yang disampaikan oleh HAMKA di Masjid al-Azhar dan diterbitkan dalam majalah ‘Panji Masyarakat’. Siri kuliah tersebut berterusan sehinggalah berlaku kekacauan politik di mana masjid tersebut telah dituduh menjadi sarang “Neo Masyumi” dan “Hamkaisme”. Rentetan daripada tuduhan tersebut, penerbitan Panji Masyarakat diharamkan.17
Bagi memastikan siri kuliah Subuh yang menjadi medan dakwah pada ketika itu tidak terhenti begitu sahaja, beliau telah mengambil langkah dengan memuatkannya pula di dalam majalah Gema Islam sehingga Januari 1962. Namun ia hanyalah satu setengah juzu’ sahaja iaitu dari juzu’ 18 hinggalah juzu’ 19 bermula dengan tafsiran surah al-Mukminun.18
Namun, tanpa diduga pada tarikh 12 Ramadhan 1383 bersamaan 27 Januari 1964 , HAMKA telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam tahanan selama dua tahun oleh penguasa Orde Lama iaitu ketika pemerintahan Sukarno. Dengan itu, bermulalah kehidupan HAMKA sebagai tahanan politik19 dan penulis sepenuh masa terhadap penulisan tafsir yang telah dimulakan sebelum ini.
Sepanjang kehidupan dalam tahanan , HAMKA banyak memperuntukkan masa untuk beribadah kepada Allah, mengarang tafsir di waktu pagi, membaca buku di waktu petang, tilawah al-Quran pada waktu maghrib dan Isya’ dan di sepertiga malam beliau menunaikan solat sunat tahajjud hampir setiap malam.
Setelah kejatuhan Orde Lama dan tampuk pemerintahan beralih kepada kepimpinan Soeharto, HAMKA dibebaskan dari tuduhan pada 21 Januari 1966. Kesempatan masa yang masih ada digunakan beliau untuk memperbaiki serta menyempurnakan Tafsir Al-Azhar yang telah ditulis semasa dalam tahanan.20
3.3 Penerbitan Tafsir
Tafsir Al-Azhar telah ditulis dalam 30 jilid, menyamai bilangan juzu’ al-Quran dan pada bahagian akhir setiap jilid, HAMKA telah mencatatkan tempat jilid tersebut ditulis.21Penerbitan pertama Tafsir Al-Azhar pada tahun 1968, diterbitkan oleh penerbit Pembimbing Masa yang merangkumi juzu’ pertama hingga juzu’ keempat. Seterusnya diterbitkan pula juzu’ 30 dan juzu’ 15 hinggalah juzu’ 29 oleh Pustaka Islam Surabaya pada tahun 1973. Akhir sekali terbitan Yayasan Nurul Islam Jakarta iaitu dari juzu’ 5 hinggalah juzu’ 14 pada tahun 1975.22


4.0 METODOLOGI PENULISAN HAMKA
Dalam penulisan Tafsir Al-Azhar, HAMKA menggunakan kaedah pentafsiran yang menepati syarat-syarat pentafsiran al-Quran yang digariskan oleh para ulama’ tafsir . Beliau menyatakan metode pentafsiran yang digunakan pada bahagian pendahuluan kitab tafsir tersebut iaitu di bawah tajuk kecil, ‘ Haluan Tafsir’.
Setelah penelitian dilakukan, HAMKA didapati menggunakan metode-metode berikut ketika mentafsirkan al-Quran :
4.1 Tafsir al-Quran dengan al-Quran
HAMKA didapati mengaplikasikan metode ini dalam mentafsirkan ayat al-Quran sebagaimana ulama’ tafsir yang lain iaitu sumber yang ma’thur. Namun, tidak kesemua ayat-ayat al-Quran ditafsirkan dengan metode tersebut. Penggunaan metode tersebut dapat dilihat ketika beliau mentafsirkan ayat 60 surah al-Qasas. Firman Allah ta’ala :
Maksudnya : Dan apa jua pun yang dianugerahkan kepada kamu maka itu adalah nikmat hidup di dunia dan perhiasannya belaka. Dan apa yang ada disisi Allah, itulah yang baik dan lebih kekal. Apakah tidak kamu fahamkah ?

Ayat di atas menceritakan bahawa sebarang nikmat atau perhiasan yang dikurniakan adalah nimat di dunia tetapi yang kekal adalah apa yang ada disisi Allah. Islam tidak melarang bagi manusia untuk menerima perhiasan hidup di dunia kerana sememangnya itulahyang menjadi keinginan manusia.23
Bagi menjelaskan bentuk perhiasan tersebut, HAMKA membawakan ayat 14 surah ali Imran :
Maksudnya : Dihiaskan bagi manusia cinta syahwat, dari perempuan-perempuan dan anak-anak dan kekayaan yang tersimpan, dari emas dan perak dan kuda kenderaan tersedia dan binatang-binatang ternak dan bercucuk-tanam. Itu semuanya adalah perhiasan hidup di dunia. Dan Allah di sisinya tersedia sebaik-baik persiapan.

HAMKA menjelaskan bahawa semua perhiasan tersebut adalah benar belaka tetapi beliau menegaskan bahawa ianya hanyalah perhiasan dunia yang tidak kekal. Yang kekal adalah syura Allah yang telah tersedia bagi mereka yang beramal soleh.24
4.2 Tafsir al-Quran dengan al-Hadith
HAMKA turut tidak meninggalkan metode kedua terpenting dalam pentafsiran al-Quran iaitu tafsir al-Quran dengan al-Hadith yang mana hadis merupakan sumber kedua selepas al-Quran. Penggunaan metode ini dikesan dalam pentafsiran ayat 104 surah ali Imran :
Maksudnya : Hendaklah ada antara kamu satu golongan yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh berbuat makruf dan melarang perbuatan mungkar, Dan mereka itu ialah orang-orang yang beroleh kemenangan.

Ayat di atas menerangkan tentang perintah amar makruf dan nahi mungkar. Beliau mendatangkan beberapa buah hadis bagi menjelaskan tentang kepentingan perintah tersebut setelah dibawa penerangan panjang lebar tentang maksud istilah-istilah tersebut. Terdapat tiga buah hadis yang diketengahkan iaitu hadis Huzaifah r.a yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, hadis Abu Sa’id al-Khudri yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmidhi dan hadis Abdullah bin Mas’ud yang diriwayatkan oleh imam Muslim.25
Beliau kemudiannya membuat ulasan terhadap ketiga-tiga hadis dan perkaitannya dengan dakwah.
4.3 Pendapat Tabi’in
Adakalanya HAMKA akan memasukkan pendapat-pendapat tabi’in bagi menyokong ulasan beliau terhadap tafsiran ayat-ayat al-Quran. Antara tafsiran ayat al-Quran yang mengandungi metode ini ialah tafsiran terhadap ayat 65 surah al-Naml :
Maksudnya : “Katakanlah –Hai Utusan Kami-“Tidak ada seorang pun di semua langit dan bumi yang mengetahui yang ghaib kecuali Allah. Dan tidak pula ada mereka yang menyedari bila mereka akan dibangkitkan.

Ayat tersebut menerangkan tentang pengetahuan terhadap perkara ghaib hanya diketahui oleh Allah sahaja. Dalam hal ini, HAMKA membawakan pendapat seorang tabi’in iaitu Qatadah tentang kedudukan orang-orang yang mempercayai ilmu bintang atau Astrologi. Menurut Qatadah sekiranya seseorang itu menyalahgunakan faedah Allah menjadikan bintang-bintang (perhiasan, petunjuk dan panahan terhadap syaitan) maka kedudukannya adalah sesat.
4.4 Pengambilan Riwayat dari Kitab Tafsir Muktabar
HAMKA turut merujuk kitab-kitab tafsir yang lain dalam pentafsiran beliau. Antaranya Tafsir al-Manar karang Sayyid Rasyid Reda, Mafatih al-Ghayb karangan al-Razi dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan bahawa beliau tidak terikat kepada satu bahan sahaja tetapi pelbagai jenis bahan bagi memastikan ketepatan dan kesesuaian tafsiran beliau agar tidak lari terlalu jauh.
Sebagai contoh, dibawakan tafsiran beliau terhadap ayat 82 dari surah al-Naml. Firman Allah ta’ala :
Maksudnya : Dan apabila sabda telah jatuh atas mereka, Kami keluarkanlah sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka bahawa sesungguhnya manusia pernahlah tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.

Dalam ayat tersebut, diterangkan bahawa apabila telah datang masanya kelak, Akan berlaku suatu perkara di kala manusia sudah lupa dan lalai terhadap agamnya di mana akan keluar dari dalam bumi semacam binatang yang disebut sebagai dabbah yang bermaksud binatang melata yang merangkak.26
HAMKA membawakan tafsiran al-Razi tentang pelbagai pentafsiran dabbah iaitu 5 keadaan berdasarkan pelbagai riwayat . Beliau juga turut membawa tafsiran Ibn Kathir dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim mengenai perkara yang sama.27
4.5 Penggunaan Syair
HAMKA dikenali sebagai pujangga Islam dan sasterawan. Oleh yang demikian, beliau turut memasukkan unsur-unsur syair dalam ulasan terhadap ayat-ayat alQuran. Syair-syair tersebut sama ada nukilan beliau sendiri ataupun nukilan sasterawan Islam yang lain seperti Iqbal. Namun, kekerapan beliau menggunakan syair-syair dalam ulasan beliau amat sedikit.
Antara ayat-ayat al-Quran yang beliau gunakan syair sebagai penerangan lanjut dalam ulasan beliau ialah pentafsiran ayat 158 surah ali Imran :
Maksudnya : Dan sesungguhnya jika kamu mati atau terbunuh, kepada Allahlah kamu akan dikumpulkan.

Dalam ayat di atas, HAMKA menjelaskan apa pun sebab musabab kematian seseorang sama ada mati kerana syahid , sakit dan sebagainya akan dikumpulkan di hadapan Allah ta’ala untuk dihisab. Perhitungan tersebut adalah berkaitan tentang tujuan hidup setiap manusia kerana tujuan hidup itulah yang menentukan nilai hidup bukan berdasarkan lama mana kehidupan di dunia.28 Di sini beliau membawakan serangkap syair Iqbal yang menggambarkan tentang nilai hidup tersebut :
Umur bukan hitungan tahun,
Hidup bukan bilangan masa.
Sehari hidup singa di rimba,
Seribu tahun hitungan domba.29
1 HAMKA (1966), Kenang-Kenangan Hidup, Penerbitan Pustaka Antara : Kuala Lumpur, hal 2
2 Tajuddin Saman (1993), Tokoh Ulama’ Nusantara, Berita Publishing Sdn Bhd : Kuala Lumpur, hal 65
3 Hamka (1982), Ayahku Riwayat Hidup Dr. H. Abd. Karim Amrullah dan Perjuangan Kaum Agama Sumatera, Penerbit Ummida : Jakarta, hal 48
4 ibid
5 Tajuddin Saman (1993), op.cit.
6 Nasir Tamara, et. Al. (1983), HAMKA di mata hati umat, Penerbit Sinar Harapan : Jakarta, hal 51
7 Rusydi Hamka et.al (1982),Perjalanan Terakhir Buya HAMKA, Panji Masyarakat : Jakarta , hal 30
8 ibid.
9 H.Rusydi Hamka (1981), Peribadi dan Martabat Buya Prof. Dr. HAMKA, Pustaka Panjimas : Jakarta, hal 73
10 ibid, hal 61-67
11 Hamka (1982), op.cit, hal 267
12 H.Rusydi Hamka (1981), op.cit, hal 310
13 M. Yunan Yusof (1990), Corak Pemikiran Kalam Tafsir Al-Azhar, Penerbit Pustaka Panjimas : Jakarta, hal 53
14 HAMKA (1967),Tafsir Al-Azhar, P.T Pembimbing Masa : Jakarta, juz 1, hal 43-45
15 Ibid, hal2
16 Wan Sabri Wan Yusuf (2001), Tafsir Al-Azhar : Cermin Perubahan Sosial Indonesia Abad ke-20, Pemikiran dan Perjuangan HAMKA, Angkatan Belia Islam Malaysia : Malaysia, hal 66
17 M. Yunan Yusof (1990), op.cit
18 HAMKA (1967),op.cit
19 Beliau telah ditempatkan di beberapa rumah tahanan di kawasan Puncak iaitu baglo Herlina, Harjuna, Brimob Megamendung dan Cimacan. Di rumah tahanan inilah HAMKA memberi tumpuan terhadap penulisan Tafsir al-Azhar
20 M. Yunan Yusof (1990), op.cit,hal 55
21 Menurut HAMKA sendiri, di setiap juzu’ tafsirnya terdapat keterangan tempat penulisannya tetapi ternyata tidak semua keterangan tempat penulisan tafsir tersebut disertakan, Juzu’ 4, 13, 14, 15, 16, 17 dan 19 ditulis di Rumah Sakit Persahabatan Rawamangun Jakarta. Sementalahan pula, juzu’ 20 ditulis di Rumah Tahanan Sukabumi. Manakala juzu’ 21, 22, 23, 24 dan sebahagian juzu’ 27,28,29 serta sebahagian juzu’ 25 ditulis di Asrama Brimob Megamendung. Selebihnya tidak disebut tempat penulisannya.
22 ibid
23 HAMKA (1986),Tafsir Al-Azhar, Pustaka Nasional PTE LTD : Singapura, Juzu’ 20 , hal 5360
24 ibid
25 ibid, juzu’ 4, hal 868-869
26 ibid, Juzu’20, hal 5275
27 ibid
28 ibid, Juzu’ 4, hal 964
29 ibid

Roh dan Jasad umpama Sim Card dan Handset


Mungkin ada yang tertanya adakah begitu sekali perbandingan yang dibuat? Sebagaimana yang kita maklum perumpamaan merupakan salah satu kaedah Allah mendidik manusia untuk memahami mesej yag terkandng di dalam Al-Qur'an. Misalnya dalam surah al-Ankabut, Allah menyebutkan tentang bandingan mereka yang mengambil selain dari Allah sebagai Tuhan di dalam hidupnya
مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاء كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتاً وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ (41)

(Surah al-‘Ankabut ; Ayat 41)
Maksudnya : “Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan”.

Saya ingin mengemukakan perbahasan yang menarik oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam kitab al-Amthal fi al-Qur'an tentang ayat 41, Surah al-‘Ankabut. Beliau menegaskan bagaimana mereka yang mengambil pelindung dan Tuhan selain Allah adalah seumpama labah-labah yang membuat sarangnya yang memang diketahui lemah dan tidak kuat. Tambah beliau, perumpamaan ini Allah bandingkan dengan golongan kafir yang jauh dari kebenaran dan petunjuk Allah. Mereka bukan tidak tahu bahawa sembahan mereka tidak mampu mendatangkan manfaat atau mudharat kepada mereka sebagaimana mereka tahu sarang labah-labah adalah tempat perlindungan paling lemah, namun demikian, Allah sebenarnya telah menafikan ilmu mereka tentang kecenderungan mereka untuk mengambil Tuhan selain Allah sebagaimana labah-labah yang tetap juga membuat sarangnya sebagai tempat perlindungan.


Oleh itu, bila saya bandingkan roh dan jasad umpama sim card dan handset memang tepat. Cuba kita bayangkan sebuah handset yang canggih misalnya Nokia N95 yang boleh bertindak sebagai navigator dan penunjuk arah tetapi tidak dapat berfungsi kerana tiada sim card di dalamnya, sudah tentu kita tidak mampu mendapat manfaat dari handset canggih itu. Begitu jugalah seorang manusia yang mempunyai paras rupa yang cantik atau menawan dengan tubuh yang tegap atau pinggang yang ramping tetapi terbujur kaku kerana roh telah dicabut, sudah pasti jasad itu akan segera ditanam kerana dibimbangi akan mengeluarkan bau busuk.


Maksud yang ingin saya sampaikan di sini ialah, mutakhir ini ramai orang sibuk menjaga paras rupa fizikal lebih dari menjaga kesucian hati. Begitu jugalah hari ini, orang sibuk membeli handset yang canggih tetapi hampa apabila tidak dapat membuat panggilan call-out kerana kehabisan credit! Sebab itu, mereka yang bergaji besar seperti pensyarah atau doktor handsetnya kadangkala lebih koman berbanding handset seorang student universiti! Alasan yang mereka berikan "Buat apa handset mahal, yang penting asal boleh telefon orang dan orang telefon kita dan boleh tulis dan terima sms cukup"!


Sebab itu, perlu diingat, yang hanya akan menanggung siksaan atau nikmat di akhirat nanti adalah ruh semata-mata sedangkan jasad akan hancur dimakan ulat. Begitu jugalah handset yang canggih tiada kegunaannya jika tiada sim card di dalamnya. Renung-renungkanlah!


28 Mei 2007, 11 Jamadil Awal 1428

4.10 petang Malaysia Timur

Jumaat, 25 Mei 2007

Ragam Hidup Dihadapi Dengan Tunjang Iman dan Taqwa


Allah berfirman "Itulah kitab(al-Qur'an);menjadi petunjuk kepada orang yang bertaqwa" (Surah al-Baqarah;ayat 2). Persoalannya hari ini, berapa ramai daripada individu yang mengaku dirinya muslim benar-benar menjadikan al-Qur'an sebagai kompas dan panduan hidupnya.
Yakinlah, dengan berpandukan al-Qur'an diri kita terhindar dari maksiat hati dan anggota. Saidina Ali mentakrifkan taqwa sebagai "takut kepada Allah Rabbul Jalil, mengamalkan apa yang terkandung di dalam al-Tanzil(al-Qur'an), berpada dengan apa yg ada walaupun sedikit dan persediaan utk menghadapi Hari Perpindahan(Alam Akhirat)".
Oleh itu, segala kebejatan sosial yang berlaku sekarang dapat ditangani dengan memupuk iman dan taqwa di kalangan manusia. Dunia akan terhindar dari rasuah, seks bebas, peminum arak, kehakisan intergriti, meningkatnya indeks pencemaran aqidah dan 1001 masalah yang lain.
Wahai sahabat, lantaran itu, mari bersama kita pikul tanggungjawab sebagai daie walau di mana kita berada-hatta di tengah pulau yang didiami penduduk pribumi sekalipun,Insya Allah.
25 Mei 2007, 8 Jamadil Awal 1428,
5.00 petang Malaysia Timur

Khamis, 24 Mei 2007

Disertasi Ilmiah 1

PENGAJIAN HADITH DI NUSANTARA
Satu Kajian Terhadap Kitab Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)
oleh Ustaz Mustafa Abdul Rahman


1. Biografi Ustaz Mustafa Abdul Rahman

1.1 Nama dan Keluarga

Beliau ialah Mustafa bin Abdul Rahman bin Mahmud bin Mat Salleh. Beliau dilahirkan pada tahun 1917 di Gunung Semanggol. Bapanya seorang ‘ulama terkenal di Gunung Semanggol. Sementara ibunya ialah Maryam bt. Andak adalah berketurunan Jawa yang berasal dari Kuala Kurau. Beliau merupakan anak pertama daripada tujuh orang adik-beradik. Nama penuh beliau ialah Ustaz Mustafa Abdul Rahman bin Mahmud bin Saleh. Nama panggilan beliau ialah Pak Wa. Beliau juga digelar Mustafa Na‘im oleh Sheikh Abdullah Fahim.

Ayah beliau, Haji Abdul Rahman pernah belajar di Universiti Al-Azhar Mesir dan di Masjidil Haram. Haji Abdul Rahman menuntut di Mekah tidak kurang daripada 15 tahun sehingga digelar Tuan Haji Masjidil Haram. Haji Abdul Rahman adalah di antara orang Melayu terawal yang mendapat pendidikan sebegitu lantaran kedudukan kewangan yang baik dan berasal daripada keluarga yang kuat pegangan agama Islam.

Ternyata Ustaz Mustafa Abdul Rahman banyak mewarisi sifat-sifat yang dimiliki oleh ayah beliau seperti minat menuntut ilmu dan menyebarkannya kepada orang lain. Ustaz Mustafa adalah anak sulung daripada tujuh orang adik-beradik. Beliau berketurunan Jawa tengah kerana moyangnya Haji Abdul Jabar adalah daripada keturunan tersebut dan telah berpindah ke Kuala Kurau seterusnya ke Gunung Semanggol.[1]
1.2 Pendidikan

Beliau telah memulakan pendidikannya di pondok al-Rahmaniah yang telah diasaskan oleh bapanya iaitu Haji Abdul Rahman Mahmud di Gunung Semanggol pada tahun 1918. Setelah itu, Ustaz Mustafa meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Semanggol hingga ke darjah 5 iaitu kelas yang paling tinggi pada masa itu. Ustaz Mustafa mendapat pendidikan awal secara formal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajarannya di peringkat menengah di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar selama 6 tahun. Beliau sempat berguru dengan Ustaz Abdullah Fahim[2] yang merupakan antara tokoh ulama yang terkenal pada masa itu.

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Ma‘had Ihya’ al-Syarif yang ketika itu ditadbir oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Ma‘had Ihya’ al-Syarif merupakan kesinambungan dari pondok al-Rahmaniah yang diasaskan oleh bapa beliau sendiri, Ustaz Abdul Rahman Mahmud. Selepas tamat pengajian di sana, beliau bersiap untuk menyambung pelajaran ke Mesir, namun terpaksa membatalkan hasratnya apabila bapanya meninggal dunia. Oleh kerana beliau merupakan anak sulung, maka beliau mengambil tanggungjawab untuk menjaga dan menguruskan ibu dan adik-adiknya.

Ternyata, Ustaz Mustafa mampu menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris dengan baik, hasil pendidikan yang diperolehinya bermula di pondok al-Rahmaniah milik ayah beliau, kemudian di Sekolah Menengah Idrisiyyah yang memberikan beliau ruang yang lebih luas untuk mendalami bahasa Inggeris di samping pembacaan beliau. Beliau juga mengikuti pendidikan secara tidak formal dengan kelas gaya pos.





1.3 Guru-guru

Ustaz Mustafa mula belajar sejak kecil lagi. Beliau pada mulanya diajar oleh bapa beliau sendiri Haji Abdul Rahman Mahmud. Di antara guru beliau yang cukup terkenal ialah Sheikh Abdullah Fahim. Selain itu, beliau juga pernah berguru dengan beberapa orang guru daripada seberang Selat Melaka seperti Sheikh Mustafa Ramadhan yang berasal daripada Yugoslavia, manakala isterinya berasal daripada Singapura dan mengajar di Ma‘had Ihya’ al-Sharif. Selain itu juga, beliau turut berguru dengan Sheikh Hassan Yamani dan Sheikh Abu Mas‘ud yang berasal dari Tanah Arab dan Mekah.

Beliau menuntut ilmu dalam bidang Tafsir Al-Qur’an daripada gurunya Sheikh Abdullah Fahim yang lama menetap di Mekah. Sebagai seorang yang mengajar Ustaz Mustafa, Sheikh Abdullah Fahim banyak membantu Ustaz Mustafa dalam menyiapkan Tafsir Al-Qur’an Al-Hakim. Sheikh Abdullah Fahim juga telah menulis muqaddimah di dalam kitab ini.

Di antara guru-gurunya yang lain ialah mereka yang pernah mengajar beliau di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar seperti :-

1. Al-Fadl Haji Abu Bakar al-Baqir b. Mohd Sa`id
2. Haji Ahmad al-Subki
3. Haji Mahayudin Mohd. Sa‘id
4. Abdullah Sa‘id
5. Haji Umar Haji Sa‘id
6. Haji Idris Isma‘il
7. Haji Isma‘il Darus





1.5 Kerjaya dan Hasil Penulisan

Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di Ma‘had Ihya’ al-Sharif, Gunung Semanggol, Perak. Pada ketika itu, beliau telah mula menghasilkan penulisan tetapi tidak begitu serius. Sehinggalah pada tahun 1950-an, Ustaz Abu Bakar Bakir yang merupakan pengetua Ma‘had Ihya’ al-Sharif ketika itu, telah ditangkap di bawah Akta ISA kerana menubuhkan Hizbul Muslimin yang kemudiannya diharamkan oleh British, maka Ustaz Mustafa berhijrah ke Pulau Pinang dan tinggal bersebelahan dengan Syarikat Percetakan Ali Rawa.

Pada masa inilah, beliau kembali giat menulis di dalam pelbagai bidang. Beliau seterusnya dikenali sebagai pengarang buku-buku agama. Ustaz Mustafa di antara ulama alam Melayu yang agak produktif dan terkehadapan di dalam menghasilkan karya penulisan. Bahkan sesetengah hasil penulisan beliau ini menjadi rujukan dan digunapakai sebagai buku teks di sekolah-sekolah agama pada masa itu. Kepakaran beliau tidak hanya menjurus satu-satu bidang semata-mata, bahkan juga merangkumi pelbagai bidang ilmu.

Karya-karya beliau antaranya ialah:-

a) Tafsir

1. Tafsir al-Qur’an al-Hakim

b) Hadith

Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)
Terjemahan Mukhtasar Ibn Abu Jamrah
Pelajaran Hadith Nabawi
4. Pelajaran Hadith Junjungan Rasulullah


c) Akhlak

Peribadi
Pedoman Budi
Sendi Pergaulan Dalam Islam
Ilmu Jiwa dalam Islam
Akhlak dan Kewajipan Dalam Islam
Agama Islam dan Akhlak al-Fadilah

d) Sejarah

Ringkasan Sejarah Khulafa’ al-Rasyidin
Ringkasan Sejarah Kerajaan Bani Umayyah
Sejarah Islam
Ringkasan Sejarah Negara Islam
Pedoman Tarikh Junjungan Muhammad

e) Akidah

Terjemahan Melayu al-Jawahir al-Kalamiyah fi Idah al-Aqidah al-Islamiyyah

f) Mantiq

Perintis Ilmu Mantiq

g) Ekonomi

1. Sejarah Ilmu Ekonomi



h) Kamus

1. Kamus Bahasa Inggeris, Melayu dan Arab

Selain itu, beliau turut menulis artikel-artikel di dalam Utusan Melayu dan majalah Al-Ihya’ terbitan Ma‘had Ihya’ al-Sharif. Ternyata sumbangan beliau di dalam bidang penulisan walaupun bermula agak lewat namun ianya amat bermanfaat bagi umat Islam ketika itu.



1.4 Kematian

Ustaz Mustafa telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 28 Oktober 1968 bersamaan dengan 6 Sya`ban 1388 H dalam usia 51 tahun di rumah ibunya di Gunung Semanggol akibat sakit jantung.

2. Kitab Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)

2.1 Pengenalan Kitab

Di dalam kajian ini, penulis telah merujuk kepada Kitab Hadith 40 ( Terjemahan dan Syarahnya) yang dicetak buat kali pertama di dalam tulisan rumi pada bulan Oktober tahun 1989 oleh Dewan Pustaka Fajar.

Menurut Ya‘qub Muhammad Hussin di dalam kata pengantar Edisi Rumi, beliau menyatakan tiada sebarang perubahan di dalam edisi rumi dari sudut isinya. Namun begitu, terdapat beberapa tambahan penjelasan yang tertinggal di dalam edsi jawinya, semenatara yang lain dibiarkan kekal seperti kitab asalnya.[3] Beliau juga menyebutkan nama beberapa individu selain beliau sendiri yang terlibat di dalam proses menerbitkan kitab ini di dalam Edisi Rumi. Di antaranya ialah :

1. Ismail Hussin (pembaca proof)
2. Abdul Aziz Mohamed ( menaip muqaddimah yang telah disunting)

Beliau juga menjelaskan penerbitan kitab ini terutamanya di dalam Edisi Rumi akan memberikan peluang yang lebih luas kepada para pembaca untuk turut serta memahami dan menghayati petunjuk-petunjuk yang terkandung di dalam hadith yang dimuatkan di dalam kitab ini khususnya kepada golongan yang kurang berkemahiran dalam tulisan jawi. Beliau juga mengharapkan agar kitab ini akan mendatangkan manfaat kepada Allahyarham Ustaz Mustafa Abdul Rahman, penerbitnya dan para pembaca.[4]

Sementara itu, Ustaz Mustafa Abdul Rahman di dalam muqaddimah kitabnya ini menyatakan, beliau amat bersyukur kerana dapat menterjemah dan menyusun sebuah kitab hadith yang termasyhur hasil karangan Imam Nawawi rahmatullahi Ta ‘ala.[5] Beliau juga menegaskan meskipun kitab hadith 40 Imam Nawawi tersebut hanya mengandungi empat puluh dua hadith yang dianggap kecil berbanding kitab-kitab hadith lain yang lebih besar, namun kandungannya sungguh bernilai kerana kebanyakan hadith-hadithnya mengandungi kaedah dan sumber hukum-hukum Islam seperti hadith yang bermaksud “ Sesungguhnya segala amal itu dengan niat”, Imam Syafi‘i berkata : Bahawa hadith ini mengandungi sepertiga agama Islam kerana perbuatan seseorang ada kala dengan hatinya atau dengan lidahnya atau dengan anggotanya, dan niat adalah salah satu dari yang tiga itu.

Ustaz Mustafa juga menjelaskan bahawa nilai dan kedudukan hadith yang terkandung di dalam kitab Imam Nawawi tersebut begitu tinggi dan kuat sehinggakan tidak dapat dinafikan lagi tentang kesahihannya kerana ia banyak mengandungi hadith-hadith yang menjadi punca hukum dan diriwayatkan oleh ‘ulama-‘ulama hadith yang berautoriti seperti Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Tirmidhi.

Beliau menambah lagi, oleh kerana Imam Tirmidhi menjelaskan martabat sesuatu hadith yang diriwayatkannya seperti Hadith Hasan Sahih yang bermaksud hadith hasan lagi sahih, maka beliau mengambil inisiatif untuk menyusun secara ringkas sebagai panduan awal kepada para pembaca mengenai Ilmu Mustalah Hadith yang menggariskan kaedah dalam menetapkan martabat sesuatu hadith.

Sebagai mengakhiri muqaddimah beliau di dalam kitabnya, Ustaz Mustafa berharap agar Kitab Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya) menjadi salah satu usaha dalam bidang menghidupkan dan memperkembangkan sunnah Rasulullah yang mulia di kalangan umat Islam di negara ini sebagaimana yang terkandung di dalam kitabnya pada 1 Julai 1964.[6]


2.2 Pembahagian Kitab
Kitab ini dibahagikan kepada 2 bahagian yang besar iaitu :

a) Pendahuluan Ilmu Hadith dan Ringkasan Ilmu Mustalah Hadith[7]

Mengenai pendahuluan ilmu hadith ia meliputi beberapa tajuk kecil yang penting seperti :
1. Sejarah membukukan Hadith
2. Permulaan dibukukan hadith pada Abad Kedua Hijrah
3. Kedudukan Hadith dan Kewajipan Mentaatinya
4. Hadith Sumber Hukum Islam


Sementara itu, di bawah huraian tajuk mengenai ilmu Mustalah Hadith, terdapat beberapa tajuk seperti :

1. Pengertian Hadith
2. Pengertian Sunnah
3. Perbezaan Antara Hadith dan Hadith Qudsi
4. Istilah-istilah yang digunakan dalam ilmu Mustalah Hadith
5. Bahagian-bahagian nama hadith
- meliputi takrif dan kategori hadith seperti Hadith Mutawatir, Hadith Masyhur, Hadith Sahih, Hadith Hasan, Hadith Hasan Sahih dan Hadith Da‘if, Hadith Marfu‘, Hadith Mawquf, Hadith Mursal, Hadith Muttasil, Hadith Mahfuz, Hadith Jayyid, Hadith Mujawwad dan Thabit, Hadith Mawdu‘
6. Istilah yang dipakai untuk martabat hadith-hadith Sahih
7. Hukum meriwayatkan Hadith Da‘if
8. Sebab-sebab timbul Hadith Mawdu‘
9. Hukum meriwayatkan Hadith Mawdu‘

b) Matan Hadith Empat Puluh (Karangan Imam Nawawi) mengandungi Terjemahannya, Syarahannya dan Petunjuknya [8]

Di dalam bahagian kedua ini, Ustaz Mustafa memulakannya dengan muqaddimah oleh Imam Nawawi yang terkandung di dalam kitabnya iaitu Matan al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Imam Nawawi menjelaskan sebab yang mendorong beliau menyusun kitabnya berdasarkan sebuah hadith sahih Nabi yang bermaksud “ Allah cemerlangkan(membaguskan) muka seseorang yang mendengar perkataanku kemudian ia peliharakannya, lalu disampaikan kepada orang lain sebagaimana yang telah didengarnya” dan tidak berdasarkan sebuah hadith daif yang bermaksud “ Barangsiapa menghafaz kerana umatku empat puluh hadith dan urusan agamanya, nescaya Allah akan membangkitkan dia pada hari qiamat dalam golongan fuqaha”, meskipun para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa hadith-hadith daif boleh diamalkan dalam urusan fada’il al-a‘mal(amal-amal utama). [9]

Imam Nawawi juga menjelaskan barisan ‘ulama yang pernah mengarang kitab hadith 40 seperti ‘Abdullah Ibn Mubarak, Muhammad Aslam al-Tusi, Hassan Ibn Suffyan al-Nasa’i, Abu Bakr al-Ajri, Abu Bakr Muhammad Ibn Ibrahim al-Asfahani dan al-Daraqutni.

Imam Nawawi juga menyatakan bahawa kebanyakan hadith yang terkandung di dalam kitabnya diambil daripada Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Di samping itu, beliau tidak menyebutkan sanad-sanad hadith supaya mudah menghafaz dan menjelaskan perkataan yang sukar difahami.

Setelah muqaddimah Imam Nawawi, barulah Ustaz Mustafa menulis matan hadith bermula daripada yang pertama hingga yang ke-42. Kitab ini yang diterbitkan di dalam Edisi Rumi mengandungi sebanyak 441 halaman.
2.3 Metodologi Penulisan Ustaz Mustafa Abdul Rahman

Berikut adalah metodologi penulisan beliau di dalam kitabnya berdasarkan penelitian penulis :

1. Beliau menyusun kesemua 42 hadith berdasarkan turutan hadith yang terkandung di dalam kitab Matan al-Arba‘in al-Nawawiyyah karangan Imam Nawawi. Ini dapat dilihat berdasarkan tajuk kitabnya iaitu Hadith 40(Terjemahan dan Syarahnya). Penulis mengandaikan biasanya apabila seseorang itu menterjemah sesebuah karya asal di dalam bahasanya sendiri, dia akan mengikut metod penyusunan karya asal. Berikut adalah 42 tajuk hadith yang diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Mustafa [10] :

1. Perkara Niat dan Yang Berkaitan Dengannya
2. Perkara Kedatangan Malaikat Untuk Mengajarkan Urusan Agama
3. Perkara Yang Berkenaan Dengan Sendi Agama Islam
4. Perkara Asal kejadian Manusia dan Kesudahan Amalnya
5. Perkara Mengada-adakan Dalam Agama
6. Perkara Halal, Haram, Larangan dan Kedudukan Hati
7. Agama Itu Nasihat
8. Perkara Peperangan Terhadap Manusia
9. Perkara Larangan dan Suruhan Rasul
10. Perkara Makan Yang Baik dan Doa
11. Perkara Yang Meragukan
12. Perkara Keelokan Islam Bagi Seseorang
13. Perkara Hubungan Iman Dengan Cinta
14. Perkara Yang menghalalkan Hukum Bunuh
15. Perkara Memelihara Perkataan, Memelihara Jiran dan Tetamu
16. Perkara Marah dan Yang Bertalian Dengannya
17. Perkara Ihsan Pada Tiap-tiap Sesuatu
18. Perkara Taqwa dan Yang Berkaitan Dengannya
19. Perkara Yang Mengenai Pengajaran Rasulullah Kepada Ibn ‘Abbas
20. Perkara Orang Yang Tidak Malu
21. Perkara Mengenai Pertanyaan Tentang Islam
22. Perkara Mengenai Kemasukan Ke Dalam Syurga
23. Perkara Mnegenai Kesucian, Pujian dan al-Qur’an
24. Perkara Yang Berhubungan Dengan Hadith Qudsi
25.Perkara Sadaqah Orang Yang Mempunyai Harta dan Yang Tidak Mempunyai Harta
26. Perkara Sadaqah Atas Diri
27. Perkara Kebaikan dan Dosa
28. Perkara Wasiat Mengnai Sunnah dan Bid‘ah
29. Perkara Yang Mengenai Amal Untuk Memasuki Syurga
30. Perkara Yang Mengenai Hukum Allah
31. Perkara Zahid Dunia dan Pada Manusia
32. Perkara Yang Mengenai Larangan Kemudaratan Atau Kesusahan
33. Perkara Yang Berkenaan Pengaduan
34. Perkara Pengubahan Yang Mungkar
35. Perkara Yang Mengenai Hubungan Di Antara Orang Islam
36. Perkara Yang Mengenai Balasan Berkaitan Dengan Kebaikan Di Antara Orang Islam dan Lainnya.
37. Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi
38. Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi
39. Perkara Mengenai Kemaafan Allah
40. Perkara Yang Mengenai Hubungan Dunia Dengan Orang Mukmin
41. Perkara Keimanan Kepada Suatu Yang Dibawa Rasul
42. Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi


Ustaz Mustafa akan membahaskan isi kandungan sesuatu hadith berdasarkan tajuk-tajuk kecil yang dinyatakan. Ini dapat dilihat apabila kita merujuk hadith yang pertama iaitu Perkara Niat dan Yang Berkaitan Dengannya [11]. Tajuk-tajuk kecilnya adalah seperti berikut :
a) Segala Amal Adalah Dengan Niat
b) Hanya Bagi Tiap-tiap Seorang Apa Yang Ia Niatkan
c) Maksud Niat Orang Yang Berhijrah Bersama Rasul
- Pengertian Hijrah
- Pengertian Dunia
d) Perkara-perkara Amal dan Yang Berkaitan Dengannya
e) Amal Yang Ikhlas
f) Sebab Yang Merosakkan Amal
g) Petunjuknya


3. Tentang hadith Qudsi, beliau hanya menyebutkan tajuk umum iaitu “ Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi”. Ini dapat dilihat pada hadith yang ke-24, 37, 38 dan 42. Ustaz Mustafa hanya menerangkan isi kandungan hadith berdasarkan tajuk-tajuk kecil selepas tajuk umum tersebut. Ini dapat dilihat contoh pada hadith yang ke-24 iaitu selepas Ustaz Mustafa meletakkan tajuk “ Perkara Yang Berhubungan Dengan Hadith Qudsi”, barulah beliau menyatakan tajuk-tajuk kecilnya iaitu [12] :

a) Beberapa Perintah Allah Kepada HambaNya
b) Tiada Kurang Kerajaan dan Kekayaan Allah
c) Segala Amal Dihitung Dan Disempurnakan
d) Petunjuknya

4. Beliau menggunakan gaya bahasa yang boleh difahami, tepat dan padat. Berikut adalah contohnya sewaktu beliau menghuraikan hadith yang kedua ; “Perkara Kedatangan Malaikat Untuk Mengajarkan Urusan Agama” berkenaan Rukun Islam.

“ Seluruh alam sekelian makhluq adalah terjadi menurut kehendak dan qudrat Allah. Sebab itu, tidak ada dari kejadian alam dan perjalanan makhluq yang dapat menyimpang dari peraturan yang ditetapkan, semuanya Islam dalam ertikata tunduk pada kekuasaannya. Sebagai contoh, lihatlah kepada matahari dan bulan yang beredar menurut garisan perjalanan yang lebih dahulu telah diaturkan Allah. Dan perhatikanlah tumbuh-tumbuhan, tumbuhnya sebatang pokok hingga menerbitkan buahnya yang manis atau masa adalah menurut ketentuan yang ditetapkan juga. Kerana tanpa menurut garisan dan ketentuanNya itu menyebabkan kerosakan alam dan kebinasaan segala yang berkaitan dengannya. Inilah sebagai contoh bahawa makhluq di dalam alam ini mesti tunduk kepada Allah demi keselamatan dirinya dan kejadian lainnya.” [13]

5. Beliau menghuraikan sesuatu hadith berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an, hadith-hadith, kata-kata sahabat dan pandangan para ulama yang berkaitan.

i) Contohnya dalam menerangkan kepentingan ikhlas yang menjadi jiwa sesuatu amal sebagaimana fiman Allah di dalam Surah al-Bayyinah, ayat 5 yang berbunyi [14] :

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Maksudnya : “Dan tidak diperintahkan mereka melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agam keranaNya, dengan menjauhi kesesatan, dan (supaya) meeka mendirikan sembahyang dan membeikan zakat, kerana yang demikian itulah agama yang lurus.”




ii) Beliau membawakan hadith Nabi tentang riya sejenis syirik yang paling halus sebagaimana sabdanya [15]:
أخوف ما أ خاف عليكم الشرك الأصغر, فسئل عنه ققال الرياء – رواه أحمد
Maksudnya : “Yang amat kutakuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil (halus). Kemudian ditanya mengenainya, lalu baginda berkata : Itulah riya’.”

iii) Beliau membawakan kata-kata Ibn Mas‘ud dalam menjelaskan hadith yang pertama yang berkaitan dengan niat - Ibn Mas‘ud berkata : “ Kami menamakan orang itu dengan muhajir Ummi Qais, iaitu seorang yang berhijrah kerana Ummu Qais dan bukan kerana Allah dan RasulNya”.[16]

iv) Beliau membawakan pandangan Harith al-Muhasabi( ‘ulama tasawwuf yang tekemuka di Baghdad) dalam menjelaskan pengertian ikhlas dan riya’. Kata beliau “ Ikhlas itu ialah engkau maksudkan taat kepada Allah dan engkau tidak memerlukan kepada yang lainnya. Riya’ itu ada 2 macam, pertama: engkau memaksudkan taat kepada manusia dan kedua: engkau memaksudkannya kepada manusia dan kepada Allah. Kedua-duanya memusnahkan ‘amal.” [17]

6. Beliau mengakhiri perbahasan di dalam sesebuah hadith dengan petunjuk hadith. Contohnya di dalam mengakhiri perbahasan hadith yang ke-11 di bawah tajuk “ Perkara Yang Makan Yang Baik dan Doa”, beliau menyebut petunjuk hadith ini adalah seperti berikut [18] :
a) Menujukkan kepada wajibnya orang-orang yang beriman supaya makan dan minum dari makanan dan minuman yang halal-yang halal ialah yang baik;iaitu menurut hukum, faedah dan khasiat yang ada padanya serta memakai pakaian yang halal. Dan wajib pula mereka mendapatkan yang halal itu dengan jalan yang halal atau dengan usaha yang diharuskan.
b) Menunjukkan dengan tegas, bahawa doa orang yang makan minumnya dan pakainnya haram tidaklah diterima Allah. Kerana orang itu sebenarnya orang yang kotor.


7. Ustaz Mustafa sebelum memulakan penjelasan tentang sebuah hadith, beliau akan mendatangkan matannya yang asal di dalam bahasa Arab. Kemudian beliau akan membawakan terjemahannya. Selepas itu, ia akan diikuti dengan dua tajuk kecil iaitu syarahan hadith dan nilaian hadith. Biasanya syarahan hadith akan menyebutkan siapakah sahabat yang meriwayatkan hadith tersebut daripada Nabi dan siapa pula yang meriwayatkan hadith tersebut daripada sahabat. Syarahan hadith juga akan menyebutkan secara ringkas latarbelakang sahabat yang meriwayatkan sesebuah hadith daripada Nabi dan ia tidak akan diulang sekiranya sahabat yang sama meriwayatkan hadith yang lain. Contohnya di dalam syarahan hadith yang ketiga di bawah tajuk “Perkara Yang Berkenaan Dengan Sendi Agama Islam”

Syarahannya : Hadith tersebut diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar iaitu Abu ‘Abd al-Rahman ‘Abdullah Ibn al-Khattab. Beliau seibu dengan Hafsah iaitu Zainab binti Maz‘un, saudara perempuan dari ‘Uthman Ibn Maz‘un. Ibn ‘Umar memeluk Islam di Mekah bersama ayahnya sewaktu beliau masih kecil lagi. Setelah itu beliau berhijrah ke Madinah beserta ayahnya.

Di waktu terjadi peperangan Tabuk, beliau tidak diperkenankan turut berperang kerana umurnya masih muda. Tetapi dalam peperangan Khandaq beliau ikut sama berperang dengan umat Islam. Begitu juga dalam peperangan-peperangan yang lainnya. Banyak ahli hadith meriwayatkan hadith Rasulullah saw daripada beliau, iaitu sebanyak 1630 hadith. Beliau adalah termasuk salah seorang sahabah yang banyak meriwayatkan hadith. Juga beliau adalah seorang sahabah yang sangat kuat mengikuti sunnah Rasulullah saw dan sangat banyak dermanya, kadang-kadang sampai 300 dirham yang disedeqahkan dalam satu masa. [19]

Sementara itu, nilaian hadith pula biasanya mengandungi manfaat dan faedah yang diperolehi daripada sesuatu hadith. Contohnya, di bawah tajuk yang sama seperti di atas, Ustaz Mustafa menyatakan :

Nilaiannya : Imam Nawawi berkata bahawa hadith ini terhitung satu hadith yang sangat besar nilainya, yang menerangkan dasar-dasar agama Islam dan asas-asas hukumnya. Kerana itu, beliau menjadikan hadith ini salah satu daripada hadith 40 yang harus dipelajari oleh umat Islam. Sementara itu, Imam Bukhari sendiri memasukkan hadith ini ke dalam kitab (Iman) untuk menerangkan bahawa Islam dijadikan nama bagi pekerjaan, dan bahawa Islam dan Iman itu kadang-kadang satu pengertian. [20]

8) Beliau akan menyatakan darjat hadith yang dicatatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya berkenaan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidhi.. Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dinyatakan begitu sahaja tanpa penjelasan darjat hadith kerana diketahui umum, bahawa hadith yang diiwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim diambil daripada kitab Sahih mereka yang mengandungi hadith-hadith sahih.


2.4 Kesimpulan

Setelah penulis meneliti kitab ini, dapatlah penulis membuat suatu kesimpulan, bahawasanya kitab Hadith 40 (Terjemhan dan Syarahnya) amat bermanfaat bagi umat Islam khusunya di negara ini dalam menyusuri sunnah Rasulullah saw. Di dalamnya bukan sahaja terkandung pengenalan ringkas tentang ilmu Mustalah Hadith, tetapi apa yang lebih penting adalah huraian dan penjelasan kepada 42 buah hadith di dalam bahasa Melayu yang banyak pengajaran dan faedahnya. Penulis merasakan kitab ini di antara kitab hadith yang terbaik di dalam Bahasa Melayu selain kitab-kitab yang lain.Di samping itu, penulis juga mendapati Ustaz Mustafa Abdul Rahman merujuk kepada beberapa kitab muktabar dalam menyusun kitabnya ini [21]. Di antaranya ialah :

a) Kitab-kitab Mustalah Hadith
1. Miftah al-Sunnah oleh Muhammad ‘Abd al-‘Aziz al-Khauli
2. Syarh al-Dibaj al-Madhahib oleh Syams al-Din Muhammad Hanafi al-Tabarzi
3. Minhaj Zawi al-Nazr oleh Muhammad Mahfuz Ibn ‘Abd Allah al-Tirmidhi
4. Ithna al-Mutalib oleh Muhammad Ibn Sayyid Darwis
5. Tadhkirat al-Mawdu‘at oleh Muhammad Tahir ‘Ali al-Hindi


b) Kitab-kitab hadith dan lain-lain
1. Syarh Matn al-Arba‘in al-Nawawiyyah oleh Imam Nawawi
2. Fath al-Mubin Li Syarh al-Arba‘in oleh Ahmad Hajr Haithami
3. Al-Majalis al-Saniyyah oleh Ahmad Ibn Syeikh Hajazi
4. Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hukm oleh Ahmad Rajab al-Baghdadi
5. Miftah al-Khatabah wa al-Wa‘iz oleh Muhammad Ahmad al-Adwi
6. Al-Syarh al-Jadid li Jawhirah al-Tawhid oleh al-Adwi
7. al-Dar al-Nadid oleh Ahmad Yahya al-Syafi‘i
8. Aqidah al-Muslim oleh Muhammad al-Ghazali
9. Fatawa al-Imam al-Nawawi oleh ‘Alauddin Ibn al-‘Attar
10. al-Halal wa al-Haram fi al-Islam oleh Yusuf Qaradawi
11. Ruh al-Din al-Islami oleh ‘Afif ‘Abdul Fattah Tabbarah





Bibiliografi

1. Latihan Ilmiah, Asmidar Mohd. Dalan, Metodologi Mustafa Abdul Rahman Dalam Pentafsiran Surah al-Nahl, sesi 2002/2003.

2.Mustafa Abdul Rahman, (1989) , Kitab Hadith 40 ( Terjemahan dan Syarahnya), Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur.

3. al-Nawawi, Imam Muhyiddin Abu Zakaiyya Yahya Ibn Sharif, Syarh Matn al-Arbai‘in li al-Nawawiyyah.
[1] Biografi Ustaz Mustafa Abdul Rahman diambil daripada Latihan Ilmiah, Asmidar Mohd. Dalan, Metodologi Mustafa Abdul Rahman Dalam Pentafsiran Surah al-Nahl, sesi 2002/2003.
[2] Haji Abdullah Fahim merupakan datuk kepada Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
[3] Mustafa Abdul Rahman, (1989) , Kitab Hadith 40 ( Terjemahan dan Syarahnya), Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, hlm. 1
[4] Ibid
[5] Ibid, hlm. 3
[6] Ibid, hlm. 4
[7] Ibid, hlm. i
[8] Ibid, hlm. ii
[9] Ibid, hlm. 52-53
[10] Ibid, hlm. ii-xi
[11] Ibid, hlm. 57-70
[12] Ibid, hlm. 278-287
[13] Ibid, hlm. 75-76
[14] Ibid,hlm. 59
[15] Ibid, hlm. 65
[16] Ibid, hlm. 61
[17] Ibid, hlm. 65
[18] Ibid, hlm. 187-188
[19] Ibid, hlm. 119-120
[20] Ibid, hlm. 120
[21] Ibid, hlm. 442

24 Mei 2007, 7 Jamadil Awal 1428,
11.15 pagi, Malaysia Timur

Anak soleh solehah impian Baitul Muslim



Mutakhir ini, anak-anak Melayu Islam akhir zaman seolah-olah ada yang hampir hilang jatidirinya sebagai Muslim. Sebab itu remaja mempunyai maksud yang tersirat di sebalik setiap huruf itu. Remaja bermasalah digambarkan dengan pengertian berikut :

R- Rileks

E-Enjoy

M-Main-main

A-Angan-angan

J-Jaguh

A-Angkuh


Benarkan? Justeru ubat untuk remaja juga dengan remaja juga dengan maksud tersirat yang lain. Masalah remaja boleh diubati dengan pengertian berikut :

R-Religion

E-Education

M-Motivation

A-Advice

J-Journey

A-Adventure.


Justeru, semua ibu ayah marilah kita mendidik anak-anak kita dengan didikan yang terbaik dengan cakupan ilmu agama, kemahiran hidup dan keupayaan berfikir dengan kritis dan kreatif agar mereka mampu menjadi buah hati pengarang antung yang soleh dan solehah.


24 Mei 2007, 7 Jamadil Awal 1428,

11 pagi Malaysia Timur

Bocor lagi?



Lepas satu-satu. Apa nak jadi ni? Lepas permintaan maaf 2 ahli parlimen yang sememangnya dikenali sebagai out-spoken, dan 2 kejadian-dinding retak dan syiling runtuh di Kompleks Mahkamah yang baru beroperasi 3 minggu semalam paip pula bocor.


Bagi saya-mungkin ada kaitan dengan kontraktor yang tidak teliti dan tidak amanah dalam menyiapkan projek yang menelan belanja hampir RM58 juta! Tindakan yang tegas patut diambil kepada kontraktor yang bertanggungjawab. Jika tidak kerajaan akan merugikan berjuta-juta lagi wang rakyat untuk penyeleggaraan.


Ingatlah rakyat mengharapkan yang terbaik dari pemerintah. Tetapi jika ini keadaannya, rakyat perlu memikir 2 kali untuk mengundi pemerintah yang sama pada pilihanraya umum yang akan datang!


24 Mei 2007, 7 Jamadil Awal 1428

10.25 pagi, Malaysia Timur

Rabu, 23 Mei 2007

Lelaki Melayu Tak Boleh Diharap?

Bising seorang bernama Akmal Fairuz dalam ruangan Forum Utusan Malaysia semalam;katanya lelaki Melayu memang malas, suka mengacau anak dara dan tak boleh diharap. Lebih baik duduk di New Zealand, takde lelaki orang putih yang akan menganggunya walaupun berjalan seorang diri jam 2 pagi.

Ternyata beliau terlalu mengagungkan lelaki Barat yang walaupun tak dinafikan ada yang baik tapi tak kurang yang lebih teruk perangainya berbanding lelaki Melayu. Apapun lelaki Melayu yang bermasalah kerana tidak menghayati Islam, imannya tipis dan tak mampu mengawal nafsu.

Buat Akmal Fairuz, masih ada lelaki Melayu Islam yang taat kepada perintah Allah, membela golongan wanita yang ditindas dan cemerlang dalam hidupnya dan bekalan akhiratnya. Jadi bukalah mata renungkan dengan mata hati agar segala penilaian yang berat sebelah itu dapat dikikis!

23 Mei 2007, 6 Jamadil Awal 1428
4.15 ptg Malaysia Timur

Selasa, 22 Mei 2007

Mari kita berfikir sejenak






























Gambar-gambar di atas utk iktibar semata-mata. Mohon maaf sekiranya ia amat mengganggu perasaan saudara saudari sekalian. Tetapi itulah realiti akhir zaman!


Suatu ketika saya diamanahkan untuk melaksanakan program ziarah dakwah sempena sambutan malam Tahun Baru 2007 yang lepas. Ia merupakan program yang dicetuskan dengan satu harapan untuk menilai, memantau dan menyampaikan mesej dakwah dengan kaedah penyampaian risalah tazkirah ringkas dan nasihat yang bersesuaian dengan mad’u yang kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja dan belia Melayu Islam.

Modus Operandi

Destinasi 1 : Dataran Merdeka

Saya bertolak ke destinasi pertama iaitu Dataran Merdeka pada jam 11 malam bersama sahabat saya Ustaz Nasir, Ustaz Zulwaqar dan tiba di sana pada jam 11.45 malam. Kebanyakan golongan yang memenuhi Dataran Merdeka adalah terdiri daripada golongan belia seperti Mat Rempit, yang bercouple dan ada yang berkeluarga. Majoritinya pula terdiri daripada Melayu Islam walaupun terdapat bangsa-bangsa lain.

Selepas detik 12 tengah malam, kami mula mengedarkan risalah dan tazkirah ringkas kepada golongan belia terutamanya Mat Rempit dan yang bercouple. Ada yang menerima risalah dengan hati yang terbuka, namun begitu ada juga yang menerima seolah-olah dalam keadaan terpaksa. Walau bagaimanapun secara keseluruhannya, kesemua mad’u yang diberikan risalah, menerima dan membacanya, bahkan ada seorang anak muda dari Sabah yang meminta dari kami risalah tersebut untuk membacanya. Pada suatu ketika, terdapat 2 orang anak muda yang sedang melepak dan salah seorang daripadanya sedang minum setin arak tanpa rasa bersalah. Saya mendekati mereka dan menyampaikan risalah kepadanya, namun pemuda yang tadinya meinum setin arak tidak mahu mengambilnya, sehinggalah rakannya mengambil risalah yang diberikan. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya mesej kami sampai, dan harapan kami moga terdetik kesedaran di dalam hatinya terhadap perkara yang dilakukannya yang jelas dilarang agama.

Setelah semua orang mula bersurai, kami masih menunggu sehinggalah kami berjumpa dengan 2 orang gadis yang masih remaja sekitar jam 1 pagi. Bila ditranya tentang umur mereka menjawab baru berusia 15 tahun. Kami bertanya kenapa masih belum pulang dan mereka menjawab bahawa mereka sedang menunggu kakak yang akan mengambil mereka. Bila ditanya dari mana, mereka menjawab dari Taman Connaught di Cheras dan mereka datang menaiki LRT bersama rakan-rakan yang lain. Saya bertanya adakah orang tua membenarkan mereka keluar, mereka menjawab sememangnya orang tua membenarkan. Dalam hati saya mula bertanya, mengapa orang tua mereka begitu mudah memberikan pelepasan kepada anak gadis mereka tanpa sebarang pengawasan apatah lagi pakaian mereka yang agak menjolok mata.

Kemudian kami bertemu dengan 2 orang Mat Rempit dan memberikan risalah kepada mereka. Pada waktu yang sama, saya berbincang dengan Ustaz Nasir supaya memerhatikan keselamatan 2 orang gadis yang masih berada di perhentian bas Dayabumi. Ini kerana saya bimbang sekiranya Mat Rempit itu mengambil kesempatan ke atas mereka. Telahan saya benar, tidak berapa lama kemudian datang sekumpulan Mat Rempit yang berjumlah 5 orang mula mengusik 2 orang gadis tersebut. Kami perhatikan mereka dari jauh, walaupun mereka mula agresif mengajak 2 orang gadis tersebut menaiki motosikal mereka, pada waktu yang sama mereka juga kelihatan segan dengan kami yang terus menerus memerhatikan gelagat mereka. Mujrlah 2 orang gadis tersebut tidak melayan golongan Mat Rempit itu dan akhirnya mereka meninggalkan tempat itu. Saya dan Ustaz Nasir mengambil keputusan untuk menemani 2 orang anak gadis itu sehinggalah mereka selamat menaiki kenderaan kakak mereka. Alhamdulillah, ketika jam sudah menunjukkan 1.30 pagi kakak mereka sampai bersama sebuah van dan akhirnya mereka menaiki van tersebut untuk pulang.

Destinasi 2 : Jalan Telawi Bangsar

Kami meneruskan ziarah dakwah kami ke Jalan Telawi Bangsar. Sebagaimana yang diketauhi umum di sini tedapat banyak kelab malam. Yang menyedihkan kami bila kami sampai di sana pada jam 1.45 pagi, walaupun yang memenuhi jalan dan kelab malam pada pagi itu adalah bangsa India, namun begitu terdapat anak muda Melayu Islam yang sedang melepak dan bersama menikmati kebingitan muzik yang memenuhi ruang udara di Jalan Telawi Bangsar. Kelihatan di suatu sudut, ada seorang anak gadis yang dikelilingi hampir 6 orang lelaki. Dan pada suatu ketika, tanpa segan silu, gadis itu mencium 2 orang kawan lelakinya yang mengelilinginya ketika itu seorang demi seorang. Saya mula bertanya di dalam hati apakah begitu murah nilai seorang gadis Melayu Islam pada hari ini yang sanggup menggadaikan maruah dan mengenepikan rasa malu mereka?

Saya berbincang dengan sahabat yang lain dan kami semua bersetuju untuk memerhatikan sahaja gelagat manusia yang ada di Jalan Telawi Bangsar pada malam itu. Ini kerana dengan suasana yang agak bingit dengan muzik yang rancak bilangan kami yang sedikit, terdapat ramai bouncer yang sedang mengawal hampir setiap kelab malam.Pasukan polis juga kelihatan sedang menjaga suasana pada pagi itu jika berlaku sebarang kekecohan. Kesimpulan yang dapat kami lakukan, ternyata kebanyakan pengunjung kelab malam sedang berseronok dengan menari bersama pasangan dan rakan-rakan mereka kerana meraikan sambutan Tahun Baru. Saya mula bertanya di dalam hati, bagaimana untuk membina bangsa Malaysia yang bermaruah tinggi jika begini keadaannya?

Destinasi 3 : Taman Tasik Titiwangsa

Kami tiba di sini pada jam 2.15 pagi, dan kami mengambil keputusan untuk hanya memerhati suasana yang ada ketika itu. Ternyata pada pandangan kami terdapat hampir 300 orang Mat Rempit yang sedang melepak dan hampir 50 orang remaja yang megah dengan basikal yag mereka naiki entah dari mana, sedang berborak dengan rancaknya. Terdapat juga pasangan-pasangan yang sedang memadu kasih di beberapa bangku di kawasan yang tiada cahaya lampu. Sedih hati kami bila melihat suasana begini, apatah lagi majoritinya terdiri daripada golongan Melayu Islam. Kami meninggalkan tempat itu untuk ke destinasi seterusnya dengan harapan moga Allah memberikan hidayah kepada mereka.


Destinasi 4 : KLCC

Kami sampai di sini jam 2.30 pagi dan kami juga hanya memerhati suasana yang ada ketika itu. Kelihatan masih ramai golongan remaja dan belia yag majoritinya juga terdiri daripada Melayu Islam memenuhi hentian bas di depan KLCC. Ada yang sedang melepak, memadu kasih dan berborak dengan rancak sekali bersama rakan masing-masing. Kami juga meninggalkan tempat itu untuk menuju ke destinasi terakhir kami dan tidak putus-putus berdoa kepada Allah dengan doa yang diucapkan oleh Nabi SAW ketika berdarah badan baginda setelah dilempar batu oleh anak-anak penduduk Taif, iaitu dengan doanya ”Ya Allah berilah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengerti”.


Destinasi 5 : The Curve, Mutiara Damansara

Kami sampai di sini pada jam 3.00 pagi. Saya teringat bahawa ada diiklankan di sebuah akhbar bahwa akan diadakan sambutan Tahun Baru di sini. Apabila kami berjalan di sekitar dataran The Curve, kami sangat terkejut bila melihat banyak botol arak yang bersepah. Tambah mengejutkan dan menyedihkan kami lagi apabila kelihatan seorang anak gadis Melayu Islam yang sudah mabuk dan tidak sedar lagi apa yang berlaku di sekelilingnya. Teman lelakinya kemudiannya terpaksa memangkunya Masya Allah ; itulah ucapan yang terkeluar dari mulut saya spontan apabila melihat kejadian itu.

Kami meneruskan perjalanan dan berjumpa dengan sekumpulan remaja yang berusia sekitar 16-18 tahun. Bila kami bersalam dengan mereka, merka bersalam dengan kami dengan tangan dan mulut yang berbau arak. Namun begitu ada juga yang mencium tangan kami dan menghormati kami. Saya bertanya adakah mereka mendapat pelepasan untuk keluar pada malam Tahun Baru. Salah seorang mereka menjawab ibu bapa kami beri lesen besar. Saya bertanya lagi kenapa masih tidak pulang ke rumah kerana jam sudah menunjukkan hampir 3.30 pagi. Jawab mereka memang hendak balik cuma sedang menunggu beberapa orang kawan-kawan yang lain. Dalam kelompok mereka yang terdiri daripada 15 orang remaja lelaki itu ada 2 orang remaja perempuan yang mengaku mereka baru menamatkan persekolahan dan nak mencari kebebasan pada Malam Tahun Baru bersama kawan-kawan lelaki mereka.

Saya memberikan risalah kepada mereka dan menasihati mereka pulanglah ke rumah lebih awal, jangan rugikan usia muda dan jangan tinggalkan solat. Ini kerana majoriti mereka mengaku mereka selalu meninggalkan solat. Ustaz Nasir ketika menyampaikan nasihat beliau, kelihatan dilingkungi oleh kumpulan remaja tersebut dengan suatu pesanan yang pada pandangan saya sangat bermakna dan menyentuh hati ; bahawa kita semua akan mati dan apa agaknya bekal yang hendak dibawa apabila mengadap Allah s.w.t. jika kita masih leka dan berseronok dengan melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Alhamdulillah, ketika kami meninggalkan mereka, kami dapat merasakan terbit wajah keinsafan dan harapan untuk berubah di kalangan mereka. Moga Allah mengabulkan doa kami. Kami meninggalkan mereka dengan melemparkan senyuman kasih sayang kepada mereka dan disambut dengan wajah yang berterima kasih di atas nasihat yang kami berikan. Dan jam ketika itu, menunjukkan 4 pagi apabila kami meninggalkan The Curve Mutiara Damansara.


Kesimpulan

Setelah kami melihat, memerhati dan menilai, maka kami membuat kesimpulan amat rugi sekali jika kita tidak mendekati golongan remaja dan belia khususnya yang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Saya yakin fitrah setiap insan ingin kepada kebaikan. Cuma kadang kala dek pedaya syaitan dan nafsu akhirnya mereka terjebak dengan masalah sosial seperti Mat rempit, seks bebas,minum arak, menagih dadah dan sebagainya. Ada yang ingin kembali ke pangkal jalan, namun demikian oleh kerana suasana sekeliling mereka yang sudah sebati dengan diri mereka, senantiasa mendorong ke arah dosa dan noda. Akhirnya mereka tewas buat kesekian kalinya. Apatah lagi dengan pandangan serong masyarakat, menambahkan kebencian mereka untuk mendengar nasihat dari orang yang lebih tua dari mereka.

Penyelesaiannya, kitalah yang perlu mendekati mereka dengan sentuhan kasih sayang dan pendekatan yang hikmah agar terdetik dalam hati mereka kesedaran untuk berubah.. Kita juga perlu menjadi pendengar setia terhadap segala luahan masalah yang diutarakan oleh mereka dan berilah nasihat yang bersesuaian sebagai panduan mereka. Kami mengakhiri usaha ziarah dakwah sempena sambutan Tahun Baru Masihi 2007 dengan doa agar usaha kami yang kecil ini dinilai oleh Allah s.w.t. dan menjadi hujah buat kami sesungguhnya kami telah menyampaikan risalah agamaMu. Saya teringat suatu kaedah di dalam Islam ” Apa-apa yang tidak dapat dibuat kesemuanya, maka jangan ditinggalkan kesemuanya.” Dan apa yang lebih penting kita tidak akan ditanya tentang natijah sesuatu usaha yang dilakukan, sebaliknya apakah usaha yang kita lakukan untuk menyelesaikan suatu permasalahan khususnya dalam menangani gejala sosial di kalangan belia dan remaja Melayu Islam.

Saya ingin mencadangkan agar pihak kerajaan menilai kembali sambutan Tahun Baru yang diadakan pada setiap tahun kerana ia banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan. Saya mencadangkan agar pengisian sambutan Tahun Baru perlu diubah dari pengisian konsert hiburan yang melalaikan dan pesta liar yang tidak sepatutnya kepada program yang lebih bermanfaat seperti pentomen, teater, lagu serta bacaan sajak yang boleh merangsang semangat rakyat untuk merealisasikan azam tahun baru mereka dan memberikan motivasi kepada mereka agar bekerja lebih kuat dalam bidang masing-masing demi kemakmuran negara. Janganlah jadi ibarat tangan kanan membina, tangan kiri pula yang meruntuhkan!

Catatan benar malam 1 Januari 2007
22 Mei 2007, 5 Jamadil Awal 1428
5.00 petang , Malaysia Timur

Naik Gaji Kakitangan Awam Seluruh Negara dan Pilihanraya


Nampaknya pelbagai spekulasi mula timbul dengan kenaikan gaji yang diumum semalam. Ada yang mengaitkan dengan hampirnya pilihanraya walaupun dinafikan oleh pimpinan negara. Apapun, bagi pemerhati politik dan penganalisis ekonomi-inilah masa yang terbaik utk diumumkan tarikh pilihanraya.


Bagi saya, kita kena menilai dengan neraca keadilan dan kebenaran segala apa yang berlaku mutakhir ini. Bagi mereka yang celik hatinya tentu dapat menangkap maksud yang tersirat. Kes bocor, siling runtuh dan jalan yang mulai retak di terowong SMART menimbulkan 1001 persoalan bagaimana pemilihan tender dibuat dan penyenaraian kontraktor yang disenarai pendekkan. Moga tiada isu kroni dan sebagainya.


Apa yang penting kita sayangkan negara kita dan berdoa agar wujud pemerintahan yang tegak di atas tunjang kebenaran dan keadilan yang melata kepada semua rakyat yang berbilang kaum. Amin!
22 Mei 2007, 5 Jamadil Awal 1428
1.00 ptg, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude