Khamis, 14 Jun 2007

Siapakah Sisters in Islam?(Part 1)


ISU KONTEMPORARI PENGAJIAN TAFSIR
Satu Kajian Terhadap Sisters In Islam ; Penyelewengan Tafsir Terhadap Ayat-ayat al-Qur’an.

1.0 Pengenalan Sisters In Islam

SIS telah diasaskan oleh Dr. Amina Wadud pada tahun 1988. Ketika itu beliau adalah pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam bidang Teologi. Seramai 6 orang wanita muslim yang prihatin terhadap permasalahan wanita telah bersatu hati membentuk jawatankuasa ketika awal penubuhan SIS iaitu Dr. Amina Wadud, Zainah Anwar, Salbiah Ahmad, Sharifah Zuriah, Rashidah Abdullah dan Ros Ismail. Pada tahun 1991, SIS telah didaftarkan sebagai NGO di bawah nama SIS Forum (Malaysia) Berhad di bawah seksyen non profit (tiada keuntungan). Nama SIS digunakan secara komersil dalam urusan penyiaran tetapi mereka menggunakan nama syarikat bagi urusan rasmi. [1]

Pada asalnya SIS dikenali sebagai Puteri Islam. Memandangkan gerak kerja mereka melewati sempadan negara hingga ke negara barat, mereka telah bersepakat untuk menamakan Puteri Islam sebagai Sisters In Islam supaya tampak lebih global. Para wartawan pernah mencadangkan nama Daughter Of Islam sebagai terjemahan kepada Puteri Islam. Nama tersebut pernah tersiar hanya beberapa kali di dalam akhbar, namun SIS lebih menyukai nama Sisters In Islam.[2]

SIS ditubuhkan atas persepakatan golongan professional wanita yang banyak terlibat dengan permasalahan wanita seperti ibu tunggal. Oleh kerana pada ketika itu belum lagi wujud pertubuhan wanita yang membela kaum wanita dan menegakkan hak-hak mereka, pengasas SIS rasa bertanggungjawab untuk mewujudkan pertubuhan tersebut. Antara sebab-sebab utama tercetusnya idea penubuhan SIS ini ialah : [3]
a. Apabila banyak rungutan daripada wanita tentang kes-kes yang tertangguh dan tidak mendapat keadilan yang sewajarnya daripada Mahkamah Syariah khususnya dalam hak-hak wanita berkaitan undang-undang kekeluargaan Islam.
b. Beberapa persoalan yang timbul melibatkan diskriminasi gender, keganasan rumahtangga dan sebagainya yang difokuskan kepada keutamaan dan pembelaan ke atas wanita.

Penubuhan SIS di dorong oleh pertubuhan wanita yang bertapak di Indonesia yang dikenali sebagai RAHIMA. SIS secara tidak langsung mengikut acuan yang telah dibentuk oleh RAHIMA sebagai asas bagi memulakan gerakan wanita di Malaysia. Berbekalkan keyakinan dan keazaman, SIS berjaya menggerakkan pertubuhan tersebut hingga ke hari ini. Mereka kini semakin mendapat kepercayaan samada masyarakat Malaysia mahupun antarabangsa. Suara mereka kini semakin lantang mempertahankan hak-hak wanita supaya wanita tidak dizalimi dan dianiayai.

Bagi bahagian projek pula, SIS mempunyai 4 bahagian dan setiap bahagian mempunyai seorang pegawai yang bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas yang telah diamanahkan. Bahagian tersebut meliputi : [4]

a. Bahagian Penyelidikan
Di bahagian ini, pegawai tersebut bertanggungjawab untuk menjalankan kajian mengenai isu-isu semasa yang menyentuh tentang hak-hak wanita. Kajian tersebut dilakukan mengikut metodologi kajian yang telah ditetapkan oleh SIS. Dalam kajian tersebut SIS tidak mengenepikan pendapat Sarjana Islam Moden dan hasil tulisan Ulama’-Ulama’ terkini. Hasil kajian tersebut akan disiarkan di dalam akhbar, kertas-kertas persidangan, diskusi ilmu sesama ahli dan sebagainya.

b. Bahagian Pendidikan Awam
Bahagian Pendidikan Awam bertanggungjawab untuk mengadakan latihan kepada ibu-ibu tunggal, wanita dan sasaran akan datang ialah remaja yang terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah. Latihan tersebut berbentuk forum, diskusi, bengkel, seminar dan kem motivasi. Sasaran akan diperkenalkan tentang undang-undang kekeluargaan dan undang-undang lain yang berkepentingan.

Selain itu sasaran juga diterapkan nilai-nilai kepimpinan supaya mereka dapat meneruskan kehidupan dan mampu merancang aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Pendedahan ini terbukti berjaya mewujudkan kesatuan dan kekuatan di kalangan wanita-wanita yang teraniaya.

c. Bahagian Advokasi dan Pembaharuan Undang-undang

Pegawai yang bertugas pada bahagian ini bertanggungjawab sepenuhnya pada aspek undang-undang kekeluargaan dan yang berkaitan. Beliau perlu mengenalpasti klasifikasi undang-undang, impak pelaksanaan sesuatu undang-undang dan cara pembelaan sekiranya menghadapi tindakan mahkamah. Beliau menjadi rujukan kepada mana-mana individu yang bermasalah untuk mendapatkan khidmat nasihat dan prosedur undang-undang.

Selain itu, bahagian ini juga bertanggungjawab untuk mengendalikan “Undang-undang dan Anda” Akhbar Utusan Malaysia pada setiap hari Jumaat. Setiap persoalan yang ditimbulkan oleh pembaca sekiranya mudah, akan dijawab terus oleh pegawai berkenaan. Sekiranya solan tersebut agak sukar dan memerlukan penghuraian yang panjang, maka SIS akan mendapatkan perkhidmatan percuma (free service) daripada pakar undang-undang.

d. Bahagian Sumber dan Perpustakaan

Untuk bahagian ini, pegawai program diamanahkan untuk menyelenggarakan laman web SIS dan e-mail. SIS akan sentiasa mengemaskinikan laman webnya supaya pembaca dapat maklumat secara cepat dan segar. Sebarang masalah yang timbul, pembaca dapat menghantar atau mengirimkan soalan tersebut melalui e-mail kepada SIS. Dengan ini, hubungan dua hala secara tidak langsung dapat diwujudkan.

Selain itu, pegawai berkenaan turut ditugaskan untuk menerbitkan buku-buku yang dihasilkan oleh penulis tempatan dan luar negara. Ada ketikanya bahagian ini bertindak sebagai penterjemah kepada hasil tulisan mereka, kerana kebanyakan buku yang ditulis oleh penulis luar adalah dalam bahasa Inggeris. Sekiranya tidak ada hasil tulisan daripada penulis, SIS akan membukukan isi-isi dan kenyataan penting kertas kerja seminar dan forum. Bermula dari peringkat menyediakan bahan penulisan hinggalah kepada proses percetakan adalah menjadi tanggungjawab pegawai berkenaan.

1.1 Objektif utama Sisters In Islam ialah :
1. Menegakkan dan membangunkan satu kerangka hak-hak wanita dalam Islam yang mengambil kira pengalaman dan realiti wanita.
2. Menghapuskan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita dengan mengubah amalan-amalan serta nilai-nilai yang menganggap bahawa taraf wanita adalah lebih rendah daripada lelaki.
3. Membina kesedaran awam dan memperbaharui undang-undang serta dasar-dasar mengenai kesaksamaan, keadilan, kebebasan, martabat dan demokrasi dalam Islam.[5]

1.2 Misi Sisters In Islam ialah:

Untuk meningkatkan kesedaran mengenai prinsip-prinsip Islam yang sebenar, prinsip-prinsip yang memuliakan konsep kesaksamaan di antara wanita dan lelaki, berjuang ke arah pembentukan masyarakat yang mendokong prinsip-prinsip Islam seperti kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan martabat dalam negara demokrasi. [6]


1.3 Aktiviti Sisters In Islam
a)Penglibatan dalam masyarakat

Masyarakat Islam khususnya wanita perlu diberi kefahaman yang jelas tentang undang-undang dan hak-hak mereka dalam masyarakat. Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab, SIS telah melibatkan diri dalam masyarakat yang pelbagai seperti ibu tunggal, remaja, wanita professional dan golongan pelajar.
b)Perhubungan Antarabangsa

Sumbangan SIS terhadap wanita bukan sahaja di tanahair Malaysia, malah SIS terus melebarkan sayapnya hingga ke serata dunia khususnya negara-negara Islam. Bagi memantapkan misi perjuangan, SIS seringkali mengadakan pertemuan dan perjumpaan dengan aktivis-aktivis kemasyarakatan negara-negara lain seperti Indonesia, Filipina, Singapura, Afrika, Mesir, Jordan, Amerika dan lain-lain lagi.

c)Sumbangan di dalam Media Massa

Sehingga kini, SIS telah mendapat kepercayaan penuh oleh Utusan Malaysia untuk mengendalikan ruangan “Undang-Undang dan Anda” pada setiap hari Jumaat. Sekiranya SIS tidak berkesempatan untuk menyuarakan pandangan terhadap sesuatu isu, pihak media sering bertanyakan pendapat SIS melalui telefon. Ini menunjukkan bahawa SIS dijadikan rujukan oleh media dan ini merupakan satu penghormatan yang baik. Di antara akhbar yang sering menyiarkan artikel SIS ialah Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, The Sun dan New Straits Times.

Penubuhan SIS adalah semata-mata atas rasa tanggungjawab dan prihatin terhadap nasib yang menimpa mangsa-mangsa perceraian dan ketidakadilan bagi suami yang berpoligami. Memandangkan pada ketika itu belum lagi wujud pertubuhan yang membela kaum wanita, maka SIS bersama beberapa orang wanita professional telah bersatu hati menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan ini. [7]
[1] http : // www.sistersinislam.org
[2] Shadiya Abbas, Peranan Sisters In Islam Dalam Membela Kaum Wanita : Satu Tinjauan Dari Sudut Aqidah, Latihan Ilmiah Sarjana Muda Usuluddin, Sesi 2002/2003, hlm. 38
[3] Ibid, hlm. 39
[4] Ibid, hlm. 41-42
[5] Ibid, hlm. 44-45
[6] Ibid, hlm. 47
[7] Ibid, hlm. 50-52

2 ulasan:

Awanama berkata...

Saya harap anda dapat terus membongkar kesalahan dan ajarn sesat yang dibawa oleh SIS. Kebatilan tidak akan senang dengan kebenaran.

citaSyaheed berkata...

mhn copy

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude