Itulah kalimah keramat yang masih terngiang-ngiang di telinga saya dalam usaha memujuk diri, agar terus bersemangat untuk menghabiskan pengajian Sarjana saya di Universiti Malaya. Bukan sedikit cabaran dan dugaan yang dihadapi untuk menggenggam segulung ijazah sarjana. Cabaran dari sudut kewangan, masa, komitmen dengan kerja, senggang masa bersama keluarga dan kelapangan waktu untuk mencari bahan rujukan merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pelajar Sarjana atau Doktor Falsafah.
Ternyata, ia sangat berbeza sewaktu belajar di peringkat Ijazah Sarjana Muda dulu. Mungkin assignment yang ada dicopy paste atau meminta ihsan rakan-rakan lain agar memasukkan nama dalam kumpulan mereka, kerana kita tiada kumpulan. Saya yakin scenario ini pasti berlaku di kalangan mahasiswa di peringkat Sarjana Muda.
Selesai sahaja pengajian di peringkat ijazah sarjana muda pada Mac 2003 di Universiti Malaya, saya terus mengisi borang untuk menjadi pelajar Sarjana secara kursus dan disertasi di Universiti Malaya juga. Pada bulan Jun 2003, pendaftaran bermula. Kelihatan, semua ketua jabatan mempromosi tentang keistimewaan jabatan masing-masing. Namun begitu, oleh kerana minat yang mendalam dalam bidang al-Quran dan al-Hadith, maka inilah pilihan utama saya. Seronok bertemu dengan sahabat-sahabat baru yang pernah belajar di Mesir, Jordan, pelajar Indonesia dan juga pelajar dari Thailand.
Kesemua mereka, saya cukup hormat dan kagum di atas ketinggian ilmu yang ada berbanding saya. Siapalah kita, graduan uiversiti tempatan! Tapi, ia merupakan pembakar semangat diri, bahawa aku juga boleh mengikut jejak langkah mereka. Saya sedar penguasaan bahasa Arab saya di tahap sederhana, tetapi Alhamdulillah ada sedikit kelebihan dalam berbahasa Inggeris. Apatah lagi, sebagai bekas graduan UM, kami mengetahui selok-belok dalam prosedur dan birokrasi yang ada. Maka, kamilah yang menadi penasihat kepada mereka ; pelajar sarjana yang baru nak mengenali Universiti Malaya.
Rata-rata sahabat saya, lebih tua dari saya. Tetapi usia bukan penghalang untuk seseorang itu berjaya. Lihat sahaja adik Adiputra yang begitu genius, seawal usianya yang baru menjangkau 7 tahun atau adik Noramira yang telah menghafaz 30 juzu’ al-Qur’an di kala usia baru berumur 9 tahun! Ada yang telah menjadi pensyarah di institusi pengajian lain, ada yang berkhidmat sebagai guru, ada yang mempunyai kerja part-time seperti saya dan ada yang full-time menjadi pelajar sarjana. Ternyata adunan pengalaman, keilmuan dan kemahiran barisan pensyarah yang berkaliber seperti Dr. Fauzi Deraman, Prof. Madya Dr. Abd. Rashid Ahmad, Prof. Madya Dr. Abdul Hayei Shukor dan Prof. Dr. Zulkifli Yusof dan sifat proaktif serta luahan pendapat yang bernas di kalangan kami ; telah menceriakan suasana kelas kami.
Pada bulan Ogos 2003, Alhamdulillah saya berjaya menggengam ijazah pertama saya dalam majlis konvokesyen yang diadakan. Saat itu, kelas sarjana masih berlangsung dan rakan-rakan lain turut sama mengucapkan tahniah. Terima kasih sahabatku semua, tetapi perjuangan untuk mendapat ijazah kedua pula masih belum selesai! Konsep kelas sarjana lebih tertumpu kepada pengkajian kitab oleh setiap orang dan pembentangan kepada rakan dan pensyarah. Justeru, ia memerlukan ketekunan yang bukan sedikit. Saya masih ingat lagi ketika itu, semester dan tahun terakhir Prof. Madya Dr Abdul Hayei Shukor berkhidmat. Beliau merupakan salah seorang pakar hadith di negara kita. Beliau mengingatkan kami yang masih muda, rebut peluang untuk menambahkan ilmu dan menguasai bidang yang diminati samada al-Qur’an atau al-Hadith. Kerana pesannya, nanti kita akan menjadi rujukan masyarakat.
Berbalik kepada kelas kami, Prof. Madya Dr. Abd. Rashid Ahmad mengingatkan bahawa apabila kamu nak menulis disertasi nanti, ia bukan bergantung tebal atau nipis disertasi kamu, tetapi adakah kajian kamu menjawab isu yang dibincangkan. Dan tajuk disertasi saya sebenarnya, adalah tajuk assignment saya yang dibentangkan di dalam kelas beliau, iaitu keistimewaan kitab al-Amthal fi al-Qur’an dan fokus kepada metodologi Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam kitabnya. Subjek kelas itu adalah Karya Utama Pengajian Tafsir. Semester pertama (Jun-November 2003) dan semester kedua (Disember 2003-Mac 2004) , majoriti kami berjaya menghabiskan enam subjek yang berjumlah 24 jam kredit. Ia baru peringkat pertama dalam kursus sarjana. Peringkat kedua lebih mencabar, iaitu menulis disertasi. Dan di peringkat inilah, ada di antara rakan-rakan saya yang ’gugur’- tidak mampu menyiapkan disertasi yang merupakan syarat untuk mendapat ijazah sarjana.
Cabaran awal bermula apabila kami nak menetapkan tajuk disertasi kami. Prosesnya agak rumit. Pengesahan tajuk setelah berbincang dengan penyelia-kemudian dibawa ke mesyuarat-kemudian keputusan akan diberitahu sama ada diterima atau tidak. Proses ini sahaja mengambil masa 3-4 bulan. Alhamdulillah tajuk disertasi saya diluluskan, namun begitu ada rakan-rakan yang ditolak tajuk mereka. Cabaran kedua pula bermula-proses untuk mengumpul bahan-mengadakan literaure review-menyediakan proposal disertasi juga menuntut masa dan komitmen yang tinggi! Kebetulan bulan Mei 2004, saya akan melangsungkan perkahwinan. 2 kerja dalam 1 waktu, bukan mudah-getus hati saya.
Selepas berkahwin, saya seolah-olah tidak menyentuh langsung disertasi yang patut saya siapkan. Walaupun universiti memberi tempoh hingga 5 tahun untuk menyiapkan sarjana, takkanlah cukup tempoh 5 tahun baru nak siap. Mahu tak mahu, saya nak tamatkan awal pengajian sarjana saya paling lewat pun 2 tahun atau 2 tahun setengah. Tapi apakan daya, diri yang malas ditambah dengan komitmen kerja dan proses membina keluarga merupakan alasan remeh yang saya utamakan ketika itu. Hampir setahun, saya buat acuh tak acuh dengan disertasi saya. Yuran setiap semester bayar juga, sebab tak mahu diluputkan pencalonan! Anak pertama lahir pada Jun 2005. Ketika itu, saya berjanji dengan penyelia saya ; Prof. Dr. Zulkifli Yusof bahawa saya akan menyerahkan proposal disertasi dalam bulan Julai 2005. Ternyata, itu juga janji palsu(maafkan saya ustaz). Saya gagal menunaikan janji untuk bertemu dengannya.
Sehinggalah pada suatu hari, isteri saya yang tercinta mengirim e-mail kepada saya, bahawa dia dan anak kamilah orang yang paling bertuah jika saya dapat menyiapkan disertasi saya secepat mungkin. Seakan-akan terhantuk baru terngadah, saya sedar bahawa saya kurang disiplin, tidak fokus dan mengutamakan perkara yang tidak utama dalam hidup saya ketika itu. Setelah itu, saya berjumpa penyelia dan menyatakan padanya saya cuba menyiapkan kajian saya pada 2006 dan ingin konvo pada 2006 juga. Sayangnya, hajat tidak kesampaian, sehinggalah saya berjaya menghantar sepenuhnya disertasi saya sebelum dijilid untuk diperiksa pada Disember 2006. Pertengahan Februari 2007, keputusan pemeriksaan disertasi saya dikeluarkan. Alhamdulillah, walaupun ada pembetulan yang perlu dibuat, tetapi tidak lebih dari 6 bulan. Ketika itu, saya telah pun berpindah ke Sarawak. Kos tiket kapal terbang yang agak tinggi perlu saya korbankan demi menyahut cabaran penyelia saya-”Kalau enta nak konvo tahun ni(2007), buat pembetulan, dan hantar sebelum awal Mei 2007”. Setelah 2 kali berulang-alik dari Sarawak ke UM di Lembah Pantai, KL-akhirnya saya berjaya menyerahkan disertasi yang telah dijilid sebanyak 5 buah kepada pihak universiti.
Tanggal 25 Jun, saya mendapat surat dari pihak UM, bahawa pihak Senat telah meluluskan saya untuk menerima ijazah sarjana, Alhamdulillah! Justeru, tanggal 4 September yang lepas, saya dan rakan-rakan yang lain telah berjaya menggenggam ijazah kedua yang disampaikan oleh Raja Nazrin Shah. Syukur kepada Allah di atas kejayaan ini. Setelah wang yang dibelanjakan hampir RM 6,000-RM 7,000 (Fakulti lain lebih mahal-Fakulti Ekonomi antaranya-RM 20,000 untuk pengajian sarjana!), anak sulung yang dah menjangkau 2 tahun setengah, usia perkahwinan saya dan isteri masuk tahun yang ketiga, ibu ayah serta ibu dan ayah mertua yang banyak berdoa untuk saya dan keluarga, juga berkat doa rakan-rakan yang lain, nafsu malas, kurang displin serta fokus yang berjaya saya atasi, memulakan karier baru di Sarawak, dorongan semangat oleh penyelia ; Prof. Dr. Zulkifli Yusof (masa keseluruhan untuk saya menyiapkan sarjana ialah 3 tahun setengah, sedangkan sepatutnya saya boleh menghabiskan lebih awal dari itu!) - akhirnya kejayaan yang semanis madu ini dapat diraih! Benarlah sebagaimana tajuk di atas, ia takkan datang jika tiada pengorbanan sepahit hempedu. Terima kasih daun keladi saya ucapkan, kepada mereka yang membantu saya secara langsung atau tidak langsung, dalam rangka kejayaan ini. Moga, ia mendorong diri saya untuk menyambung pula pengajian di peringkat doktor falsafah, Insya Allah – Amin!
Pengajaran buat pembaca budiman
Jangan dicontohi sifat yang tidak baik. Untuk berjaya, adunan fokus matlamat, disiplin yang tinggi dan komitmen yang berterusan sangat dituntut. Lihat sahaja Prof. Dr. Ismail Salleh yang buta matanya tetapi hatinya celik. Almarhum Prof. Dr. Zulkifli Muhammad walaupun dianggap orang kurang upaya tetapi memiliki intelektual yang tinggi. Prof. Dr. Stephen Hawking ; pakar sains dari golongan insan istimewa. Kalau mereka boleh berjaya, kenapa tidak kita! Mereka tidak memiliki pancaindera yang sempurna sebagaimana kita, tetapi mereka berjaya kerana fokus, disiplin dan komitmen yang tinggi! Saya masih teringat pesan Dr. Shukri Abdullah-motivator terkenal, yang saya pernah menjadi fasilitator bersekutu syarikatnya ”Pelajar cemerlang mencari jalan, pelajar gagal beribu alasan! Seperkara lagi, walaupun kita telah memiliki bergulung ijazah sekalipun, ia tidak bermakna andaikata, kita tidak beramal dengan apa yang kita tahu.
Pesan Imam al-Ghazali di dalam kitabnya-Bidayatul Hidayah (Permulaan untuk mendapat hidayah)-”Barangsiapa yang bertambah ilmunya, tetapi tidak bertambah petunjuk Allah ke atasnya, maka sebenarnya tidak bertambah apa-apa dari Allah ke atasnya, melainkan dia semakin jauh dengan Allah”, waliya zubillahi min zalik.
Untuk Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah, sekalung Fatihah buatmu atas warisan kitab yang sangat bermakna, dan menjadi asbab kepada diriku untuk mendapat Sarjana dengan menelaah manhajmu serta ulasanmu dan iktibar tentang ayat-ayat amthal(perumpamaan) di dalam al-Qur’an.
Akhir kalam, moga Ramadhan yang mulia mencetuskan semangat kepada kita semua untuk menambahkan ilmu pengetahuan dalam apa jua bidang, Insya Allah. Selamat berpuasa untuk semua!
13 September 2007, 1 Ramadhan 1428,
10.55 pagi, Malaysia Timur.
1 ulasan:
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh;
Ustaz @ sahabat yang dihormati;
Marhaban Ya Ramadhan, kita ucapkan untuk bulan suci ini kerana mengharapkan agar hati dan jiwaraga kita diasah dan diasuh, dilatih dan ditarbiyyah serta dinaiktaraf dan diiktiraf. Selamat memasuki madrasah Ramadhan ini dan semoga setelah keluar darinya segala dosa-dosa kita diampuni oleh Allah SWT Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Semoga Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik buat kita semua. Demi sesungguhnya “sebesar-besar karamah adalah memegang istiqamah.” Ramadhan Kariim!
TAHNIAH di atas selesainya pengajian Sarjana Ustaz. Semoga dengan ilmu yang dituntut akan terus disebarluaskan kepada masyarakat. Teruskan berdakwah!
Siiru 'ala barakatillah!
Wallahu a'lam.
Catat Ulasan