Bersedekah pada bulan Ramadhan amat tinggi pahalanya kerana kelebihan dan kemuliaan Ramadhan itu sendiri. Bersedekah pada bulan Ramadhan dapat menutup kecacatan puasa dan diampunkan dosa-dosanya serta dilipat gandakan pahalanya. Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
“Kewajipan membayar zakat fitrah pada akhir Ramadhan merupakan pelengkap dari ibadah puasanya sebelum Ramadhan. Ia juga membersihkan segala perbuatan sia-sia dan kotoran yang dilakukan semasa berpuasa”.
(Hadis riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan al-Hakim)
Sesungguhnya sedekah yang tersembunyi itu adalah lebih baik daripada sedekah yang dilakukan secara terang jika ditakuti menimbulkan perasaan riya’. Namun sekiranya ianya mampu dikawal dan sebagai pengajaran serta motivasi kepada orang lain, maka dibenarkan sepertimana firman Allah:
﴿وَأَمَّا بِنِعْمَتِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ﴾
“Adapun dengan nikmat yang dikurniakan oleh Tuhanmu, maka ceritakanlah”.
Sesetengah ulama mengatakan sedekah itu ada 10 kepujian. 5 di dunia dan 5 di akhirat.
Yang dikatakan 5 di dunia ialah:
1.Menyucikan hartanya
2.Menyucikan badannya
3.Menolak bala dan penyakit
4.Menggembirakan orang yang miskin. Sesungguhnya menggembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amal
5.Berkat hartanya dan Allah meluaskan rezekinya.
Manakala 5 diakhirat ialah:
1.Dinaungkan Allah orang yang bersedekah di hari Qiamat ketika sangat panas
Ringan hisabnya
2.Berat timbangannya (amalnya) di akhirat
3.Mudah melalui titi sirat mustaqim
4.Bertambah darjatnya dalam syurga
Dari segi hubungan sosial sesama insan, sedekah itu dapat merapatkan hubungan antara golongan berada dan miskin. Ini kerana tangan yang ikhlas menghulur akan diterima dengan penuh kesyukuran oleh yang menerima. Kemuliaan tangan yang memberi akan dibalas dengan kemustajaban doa yang menerima yang mana harta orang yang bersedekah itu tidak akan berkurangan, malah di dunia ditambah berkat hartanya dengan rezeki yang melimpah ruah dan di akhirat diberi pahala, diampunkan dosanya dan dikurniakan syurga yang abadi.
Oleh itu, marilah kita wahai saudara sesama muslim. Berlumbalah untuk bersedekah sementara nyawa masih dikandung badan kerana sedekah itu banyak hikmahnya. Sebagaimana wasiat Rasululllah s.a.w kepada Saidina Ali karramalahu wajhah:
“Hai Ali! Apabila engkau bersedekah, maka bersedekahlah dengan sebaik-baik barang yang ada pada engkau, bahawasanya sedekah satu suap daripada yang halal lebih disukai Allah daripada seratus misqal yang haram. Satu sedekah yang engkau berikannya sebelum engkau mati lebih utama daripada 100 misqal yang disedekahkan oleh keluargamu setelah engkau mati”.
Sedekah juga merupakan pembantunya ketika berada di dalam kubur, sepertimana yang dijanjikan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w:
"إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَم إِنْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلا ثَلاث , صَدَقَةٌ جَارِيَة ، وَعِلْمٌ ينْتَفِعُ بِه ، وَوَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُوْ لَه"
“Apabila mati seorang anak Adam itu, terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah dan ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya”.
Selamat Menempuh Ramadhan…..
(Ihsan Mimbar Ulama)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan