Selasa, 7 Ogos 2007

Metodologi Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam Kitab al-Amthal fi al-Qur'an(Perumpamaan di dalam al-Qur'an)


BAB KETIGA

PENGENALAN KEPADA AL-AMTHAL AL-QUR’AN

3.1 Pengenalan

al-Amthal merupakan perumpamaan-perumpamaan yang merupakan segugus ungkapan yang jelas, ringkas, padat, bernas, berisi hikmah yang senang diterima kebenarannya oleh sesiapa yang mendengar. Keindahan bahasa terserlah apabila disulam di dalam syarahan dan ucapan untuk meneguhkan kebenaran. [1]

3.2 Definisi al-Amthal

Berdasarkan kepada perbahasan para ‘ulama’, al-Amthal boleh dilihat pengertiannya dari 2 sudut iaitu takrif dari segi bahasa dan istilah.

3.2.1 Takrif al-Amthal dari segi Bahasa

Amthal berasal dari perkataan Arab iaitu jamak daripada perkataan mathal, mithil, mathil yang mempunyai maksud yang sama dengan syabah, syibh dan syabih yang bermakna sama, serupa, seperti, sebagaimana dan seumpama. [2] Mathal juga bermaksud perumpamaan, ibarat, bidalan, pepatah dan kiasan. [3] Menurut Kamus Dewan, amsal adalah kata jamak dari misal yang membawa maksud perumpamaan, perbandingan atau contoh. [4]

Ibn Manzur pula menyatakan mathal sebagai sesuatu yang dibandingkan dengan sesuatu yang seumpama dengannya, maka jadilah ia seumpamanya. (sama seperti yang dimisalkan) [5]

Sementara itu, Ibn al-‘Arabi berpandangan ada perbezaan makna di antara al-Mathal dan al-Mithl. al-Mathal ialah ungkapan tentang persamaan makna sesuatu yang difikirkan, manakala al-Mithl ialah ungkapan tentang persamaan sesuatu yang dapat dirasai oleh pancaindera. [6] Ibn al-Sikkit pula berkata, mathal adalah suatu ungkapan yang berbeza dari ungakapan yang dibandingkan tetapi mempunyai erti yang sama dengan makna ungkapan tersebut. [7]

3.2.2 Takrif al-Amthal dari segi istilah

Menurut Samih ‘Atif, ahli balaghah telah mendefinisikan al-Mathal dari segi istilah sebagai lafaz yang tersusun yang digunakan bukan pada tempatnya kerana terdapat persamaan di antara 2 perkara (perkara yang menyamai dan perkara yang disamakan dengannnya), serta terdapat halangan yang menegah penggunaan maknanya yang asal. [8]

Ibn Qayyim al-Jawziyyah pula mendefinisikan amthal al-Qur’an dengan menyerupakan sesuatu dengan sesuatu yang lain dalam hal hukumnya, dan mendekatkan sesuatu yang abstrak (ma’qul) dengan yang indrawi (konkrit, mahsus), atau mendekatkan salah satu dari dua mahsus dengan yang lain dan menganggap salah satunya itu sebagai yang lain. [9]

Apabila diperhatikan mathal al-Qur’an yang disebutkan oleh para ‘ulama’, didapati bahawa mereka mengemukakan ayat-ayat yang menggambarkan keadaan sesuatu hal dengan keadaan hal lain, baik penggambaran itu dengan cara isti’arah mahupun dengan tasybih sarih (penyerupaan yang jelas); atau ayat-ayat yang menunjukkan makna yang menarik dengan kata-kata yang ringkas dan padat; atau ayat-ayat yang dapat dipergunakan bagi sesuatu, yang menyerupai dengan apa yang berkenaan dengan ayat itu kerana Allah mengungkapkan ayat-ayat itu secara langsung tanpa sumber yang mendahuluinya. Oleh itu, definisi yang paling sesuai dengan pengertian amthal dalam al-Qur’an ialah menunjukkan makna dalam bentuk perkataan yang menarik dan padat serta mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap jiwa, baik berupa tasybih (penyerupaan) atau perkataan bebas (lepas, bukan tasybih). [10]


3.3. Bentuk-bentuk al-Amthal Dalam al-Qur’an

al-Amthal iaitu perumpamaan-perumpamaan yang dinyatakan dalam al-Qur’an bertujuan untuk memberi pengajaran kepada manusia tentang sesuatu perkara yang dibandingkan dengannya. Ilmu al-amthal merupakan di antara ilmu-ilmu yang berkaitan dengan al-Qur’an yang terpenting sehinggakan Imam al-Syafi‘i menegaskan adalah menjadi suatu kewajipan bagi seseorang mujtahid untuk menguasai ilmu ini.[11] Bahkan tegas Dr. Abu Sinnah dalam kitabnya, bahawa ilmu ini bukan sahaja memberi pengajaran kepada manusia tentang sesuatu perkara yang dibandingkan dengannya, tetapi juga untuk menyatakan kebenaran dan menghapuskan kebatilan.[12]

Allah menegaskan amthal bertujuan untuk memberi pengajaran dan peringatan sebagaimana firman-Nya di dalam surah al-Zumar ayat 27.

Maksudnya : “Dan Demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai perbandingan di dalam al-Qur’an ini, supaya mereka mengambil peringatan dan pelajaran”.


Berdasarkan perbahasan para ‘ulama’, terdapat 3 bentuk al-Amthal di dalam al-Qur’an iaitu :

3.3.1 al-Amthal al-Musarrahah. Ia merupakan ungkapan yang menggunakan perkataan mathal secara langsung dengan jelas dan nyata ataupun menggunakan perkataan yang menunjukkan tasybih (persamaan). Amthal seperti ini banyak terdapat di dalam al-Qur’an. [13] Di antaranya ialah:

a) Firman Allah mengenai orang munafiq :
مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَاراً فَلَمَّا أَضَاءتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لاَّ يُبْصِرُونَ (17) صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لاَ يَرْجِعُونَ (18) أَوْ كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصْابِعَهُمْ فِي آذَانِهِم مِّنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ واللّهُ مُحِيطٌ بِالْكافِرِينَ (19)
( Surah al-Baqarah; Ayat 17-20)

Maksudnya : “Perumpamaan (mathal) mereka adalah seperti orang yang menyalakan api, maka setelah api itu menerangi sekelilingnya, Allah menghilangkan cahaya (yang menyinari) mereka dan membiarkan mereka dalam kegelapan, tidak dapat melihat. Mereka tuli, bisu dan buta, maka tidaklah mereka akan kembali (ke jalan yang benar). Atau seperti orang-orang yang ditimpa hujan lebat dari langit disertai gelap gelita, guruh dan kilat;mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir kerana mereka takut mati.(Masakan mereka boleh terlepas) sedangkan(pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu.”. Kilat itu pula hampir-hampir menyambar (menghilangkan) penglihatan mereka; tiap-tiap kali kilat itu menerangi mereka (dengan pancarannya), mereka berjalan dalam cahayanya dan apabila gelap menyelubungi mereka, berhentilah mereka (menunggu dengan bingungnya). dan sekiranya Allah menghendaki, nescaya dihilangkan-Nya pendengaran dan penglihatan mereka; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.


Di dalam ayat-ayat ini, Allah membuat dua perumpamaan (mathal) bagi orang munafiq; mathal yang berkenaan dengan api (nari) dalam firmanNya, “…adalah seperti orang yang menyalakan api…”, kerana di dalam api terdapat unsur cahaya; dan mathal yang berkenaan dengan air (ma’i), “…atau seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit…”, kerana di dalam air merupakan sumber kehidupan. Dan wahyu yang turun dari langit, bermaksud untuk menerangi hati dan menghidupkannya. Allah menyebutkan juga kedudukan orang munafiq dalam dua keadaan. Di satu sisi, mereka bagaikan orang yang menyalakan api untuk penerangan dan kemanfaatan; mengingatkan mereka yang beroleh manfaat apabila memeluk agama Islam.

Namun di sisi lain, Islam tidak memberikan pengaruh ‘nur’Nya terhadap hati mereka kerana Allah menghilangkan cahaya (nur) yang ada dalam api itu, “….Allah menghilangkan cahaya (yang menyinari) mereka…”, dan membiarkan unsur ‘membakar’ yang ada padanya. Inilah perumpamaan mereka yang berkenaan dengan api.

Mengenai mathal mereka yang berkenaan dengan air (ma’i), Allah menyerupakan mereka dengan keadaan orang yang ditimpa hujan lebat yang disertai gelap gelita, guruh dan kilat sehingga terkoyaklah kekuatan orang itu dan ia meletakkan jari-jemari untuk menyumbat telinga serta memejamkan mata kerana takut petir menimpanya. Ini menunjukkan, bahawa al-Qur’an dengan segala peringatan, perintah dan larangan, bagi golongan munafiq tidak ubah seperti petir yang turun sambar-menyambar.

3.3.2 al-Amthal al-Kaminah. Ia merupakan ungkapan yang tidak disebutkan dengan jelas lafaz tamthil (perumpamaan), tetapi dapat difahami dari maknanya bahawa ia merujuk kepada sesuatu perumpamaan tertentu dari perumpamaan Arab. Ia berfungsi apabila dipindahkan kepada apa yang diumpamakan dengannya. [14] Di antara contoh-contohnya adalah seperti berikut :

a) Ayat-ayat yang senada dengan perkataan :
" خير الأمور الوسط "
“ Sebaik-baik urusan adalah pertengahannya”

(i) Misalnya firman Allah s.w.t. mengenai sapi betina :
إِنَّهَا بَقَرَةٌ لاَّ فَارِضٌ وَلاَ بِكْرٌ عَوَانٌ بَيْنَ ذَلِكَ ...
( Surah al-Baqarah; Ayat 68)

Maksudnya : “ Sapi betina yang tidak tua dan tidak muda, pertengahan di antara itu….”

(ii) Misalnya firman Allah s.w.t. tentang nafkah :
وَالَّذِينَ إِذَا أَنفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا ...
( Surah al-Furqan; Ayat 67)

Maksudnya : “ Dan mereka apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula kikir, dan adalah perbelanjaan itu di tengah-tengah antara yang demikian…”


b) Ayat yang senada dengan perkataan :
" ليس الخبر كالمعاينة "
“ Khabar itu tidak sama dengan menyaksikan sendiri”

(i) Misalnya firman Allah s.w.t. tentang Nabi Ibrahim a.s.:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ أَرِنِي كَيْفَ تُحْيِـي الْمَوْتَى قَالَ أَوَلَمْ تُؤْمِن
قَالَ بَلَى وَلَـكِن لِّيَطْمَئِنَّ قَلْبِي ...

( Surah al-Baqarah; Ayat 260)

Maksudnya : “ Allah berfirman ; “Apakah kamu belum percaya?” Ibrahim menjawab : “ Saya telah percaya, akan tetapi agar bertambah tetap hati saya… ”


c) Ayat yang senada dengan perkataan :

" لا يلدغ المؤمن من جحر مرتين " [15]
Maksudnya : “ Orang mukmin tidak akan disengat dua kali dari lubang yang sama ”

(i) Misalnya firman Allah s.w.t. mengenai ucapan Nabi Ya‘qub a.s. :

قَالَ هَلْ آمَنُكُمْ عَلَيْهِ إِلاَّ كَمَا أَمِنتُكُمْ عَلَى أَخِيهِ مِن قَبْلُ
( Surah Yusuf; Ayat 64)

Maksudnya : “ Bagaimana aku mempercayakannya (Bunyamin) kepadamu, kecuali seperti aku telah mempercayakan saudaranya (Yusuf) kepadamu dahulu ”


d) Ayat yang senada dengan perkataan :
" كما تدين تدان "
Maksudnya : " Sebagaimana kamu telah berhutang, maka kamu
akan dibayar ”


(i) Misalnya firman Allah s.w.t. yang berbunyi :

مَن يَعْمَلْ سُوءًا يُجْزَ بِهِ
( Surah al-Nisa’; Ayat 123)

Maksudnya : " Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu "

3.3.3 al-Amthal al-Mursalah. Ia merupakan ungkapan yang terdiri dari kalimah-kalimah bebas yang tidak menggunakan lafaz tasybih secara jelas. Namun demikian, kalimah-kalimah tersebut berfungsi sebagai mathal. Di antaranya adalah seperti : Misalnya seperti firman Allah s.w.t. yang berikut :
a)
الآنَ حَصْحَصَ الْحَقُّ
( Surah Yusuf; Ayat 51)

Maksudnya : “ Sekarang ini jelaslah kebenaran itu…”

b)
لَيْسَ لَهَا مِن دُونِ اللَّهِ كَاشِفَةٌ
( Surah al-Najm; Ayat 58)

Maksudnya : “Tidak ada yang akan menyatakan terjadinya hari itu selain dari Allah”


c)
فَجَعَلْنَا عَالِيَهَا سَافِلَهَا وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِمْ حِجَارَةً مِّن سِجِّيلٍ
( Surah al-Hijr ; Ayat 74)

Maksudnya :“ Maka Kami jadikan negeri kaum Lut itu tunggang terbalik (tertimbus segala apa yang ada di muka buminya), dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar”.

Di dalam ayat ini, perkataan mathal atau perumpamaan tidak disebutkan tetapi dari tafsirannya, ia jelas menggambarkan wujudnya perumpamaan. Dr. Hamka dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini diumpamakan dengan keadaan negeri yang ditunggang terbalik, dibongkar urat akarnya laksana pohon kayu besar yang ditumbangkan oleh angin. [16]

3.4 Kepentingan al-Amthal

al-Zarkasyi menyatakan al-Amthal memberikan manfaat sebagai peringatan, nasihat, galakan, celaan, iktibar, pengakuan dan memberi makna dengan sesuatu yang boleh dilihat. al-Amthal juga mengandungi penerangan tentang peringkat balasan, pujian, celaan, balasan baik dan jahat, memuliakan sesuatu dan menghinanya, di samping membenarkan sesuatu dan membatilkannya. [17]

Di samping itu, Ibrahim al-Nizam menegaskan bahawa, terdapat 4 perkara pada gaya bahasa al-Amthal yang tidak terdapat pada gaya bahasa lain iaitu : [18]
a) Keringkasan lafaz yang digunakan
b) Ketepatan dan kepadatan makna
c) Keelokan perbandingan
d) Keindahan kiasan

Ibn al-Muqfa’ pula menyebutkan bahawa al-mathal bertujuan untuk menjelaskan makna sesuatu yang dibandingkan dan memberikan gambaran yang baik kepada yang mendengar. [19] al-Khuffaji di dalam menyatakan kepentingan al-Amthal , menyatakan dinamakan mathal itu kerana ia merupakan perumpamaan yang hidup dan memberikan kesan kepada jiwa manusia untuk selama-lamanya. [20]

al-Zamakhsyari di dalam kitab tafsirnya juga menyebut tentang kepentingan al-Amthal. Di antara lain ia berperanan untuk meggambarkan sesuatu perkara yang diumpamakan dalam gambaran yang sebenar, meletakkan golongan yang ragu-ragu kepada golongan yang mempunyai keyakinan serta menghadirkan sesuatu yang ghaib dalam alam nyata. Jelasnya lagi, itulah di antara rahsia al-Qur'an yang terkandung di dalamnya al-Amthal. [21]

3.5 Faedah-faedah al-Amthal :

Mengikut al-Qattan, terdapat beberapa faedah al-Amthal kepada manusia. Di antaranya ialah : [22]
1. Menunjukkan sesuatu ma‘qul (yang hanya boleh diterima akal) dalam bentuk konkrit yang dapat dirasakan oleh pancaindera manusia, sehingga akal mudah menerimanya kerana pengertian-pengertian abstrak tidak akan tertanam di dalam fikiran kecuali jika ia dituangkan dalam bentuk indrawi (yang konkrit) yang dekat dengan pemahaman. Contohnya Allah membuat mathal bagi keadaan orang yang menafkahkan harta dengan riya ’, di mana ia tidak akan mendapat pahala sedikitpun dari perbuatannya itu. Seperti firman Allah s.w.t. :

فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَابِلٌ فَتَرَكَهُ صَلْدًا لاَّ يَقْدِرُونَ عَلَى شَيْءٍ مِّمَّا كَسَبُواْ وَاللّهُ لاَ يَهْدِي الْقَوْمَ الْكَافِرِينَ (264)
( Surah al-Baqarah ; ayat 264)


Maksudnya : “ Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu menjadikan ia bersih (tidak bertanah). Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir”.

2. Menyingkap hakikat sesuatu perkara dan mengemukakan sesuatu yang tidak nampak seakan-akan sesuatu yang nampak. Contohnya :

الَّذِينَ يَأْكُلُونَ الرِّبَا لاَ يَقُومُونَ إِلاَّ كَمَا يَقُومُ الَّذِي يَتَخَبَّطُهُ الشَّيْطَانُ مِنَ الْمَسِّ ...

( Surah al-Baqarah ; ayat 275)

Maksudnya : “ Mereka yang memakan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila”.

3. Mendorong orang yang diberi mathal untuk berbuat sesuai dengan isi mathal, jika ia merupakan sesuatu yang disenangi jiwa. Contohnya, Allah membuat mathal bagi keadaan orang yang menafkahkan harta di jalan Allah, di mana hal itu akan memberikan kepadanya kebaikan yang banyak. Allah berfirman :

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ(261)

( Surah al-Baqarah ; ayat 261)

Maksudnya : “ Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan harta mereka di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh bulir, pada tiap-tiap bulir seratus biji. Allah melipatgandakan ganjaran bagi siapa yang Ia kehendaki. Dan Allah Maha luas kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui”.


4. Menjauhkan (tanfir) jika isi mathal berupa sesuatu yang dibenci jiwa. Seperti larangan Allah tentang larangan mengumpat :

أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ
( Surah al-Hujurat ; ayat 12)

Maksudnya : “Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentu kamu merasa jijik kepadanya.”


5. Amthal lebih berpengaruh pada jiwa, lebih efektif dalam memberikan nasihat, lebih kuat dalam memberikan peringatan, dan lebih dapat memuaskan hati. Allah banyak meyebut amthal di dalam al-Qur’an untuk peringatan dan pengajaran. Allah berfirman :

وَلَقَدْ ضَرَبْنَا لِلنَّاسِ فِي هَذَا الْقُرْآنِ مِن كُلِّ مَثَلٍ لَّعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ
( Surah al-Zumar ; ayat 27)

Maksudnya : “ Dan sungguh Kami telah membuat bagi manusia di dalam al-Qur’an ini setiap macam perumpamaan (mathal) supaya mereka mendapat pengajaran.”



6. Untuk memuji orang yang diberi mathal tentangnya. Sebagaimana firman Allah s.w.t tentang para sahabat yang pada mulanya adalah golongan yang sedikit di awal dakwah Islam, kemudian berkembang sehingga keadaan mereka menjadi kuat dan mengkagumkan hati, kerana kehebatan mereka bahkan menggerunkan golongan kafir dalam surah al-Fath :

ذَلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَى عَلَى سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ

( Surah al-Fath ; ayat 29)

" Demikianlah perumpamaan mereka dalam Taurat dan Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya, maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat, lalu ia menjadi besar dan tegak lurus di atas pokoknya. Tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya, kerana Allah hendak menjadikan orang-orang kafir merana (dengan kekuatan orang-orang mukmin)

3.6 Pengenalan Kitab al-Amthal fi al-Qur’an

Kitab al-Amthal fi al-Qur’an adalah salah sebuah kitab utama karangan Ibn Qayyim al-Jawziyyah. Kitab ini menampilkan kupasan beliau yang menarik tentang perumpamaan-perumpamaan yang telah disebutkan oleh Allah S.W.T. di dalam al-Qur’an. Huraian-huraian yang dibuat oleh pengarangnya mengandungi unsur-unsur nasihat dan iktibar yang cukup bermanfaat bagi mereka yang membacanya. Meskipun kitab ini hanya mempunyai 95 halaman muka surat sahaja dengan perbahasan terhadap 24 ayat-ayat amthal atau perumpamaan di dalam al-Qur’an, namun huraian yang dibuat oleh pengarangya cukup menarik dan mempunyai nilai keilmuan yang tinggi.

Di dalam kesibukan Ibn Qayyim al-Jawziyyah sebagai ulama yang terkenal pada zamannya dan sentiasa menjadi rujukan di kalangan masyarakat pada waktu itu, beliau masih berkesempatan menghasilkan 60 buah kitab dalam pelbagai bidang ilmu, [23] dan kitab yang akan dikaji oleh penulis di dalam bab keempat ini, di antara kitab terpenting yang perlu diteliti metodologi penulisannya dan diambil manfaatnya.

Penulis telah menemui dua buah karya setakat ini iaitu al-Amthal fi al-Qur’an, terbitan Matabi‘ al-Safa, Makkah al-Mukarramah, 1982 yang disunting oleh Dr. Nasir bin Sa‘d al-Rasyid dan al-Amthal fi al-Qur’an, terbitan Dar al-Ma‘rifah, Beirut, Lubnan, cetakan kedua tahun 1983 yang disunting oleh Sa‘id Muhammad Namr al-Khatib. Dalam kajian ini, penulis menggunakan kitab yang telah disunting oleh Sa‘id Muhammad Namr al-Khatib kerana ia lebih lengkap dan banyak membantu penulis dalam kajian ini.

3.7 Format Penyusunan Kitab al-Amthal fi al-Qur’an

Tatacara seorang penulis dalam mengarang kitab merupakan suatu kaedah yang digunakan oleh seorang pengarang untuk menyusun sesebuah kitab. Ia termasuklah penyusunan ayat, penyusunan mengikut topik atau bab dan sebagainya. Ia juga dikenali sebagai format penyusunan.

Sepanjang pengamatan penulis terhadap kitab al-Amthal fi al-Qur’an ini, terdapat beberapa perkara penting yang dapat dianggap sebagai format penyusunan kitab ini. Ia dapat dirumuskan sebagaimana berikut :

3.7.1 Bahagian Pendahuluan

Pada umumnya , kitab ini mengandungi muqaddimah atau pendahuluan yang
merupakan suatu penegasan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah tentang perumpamaan-perumpamaan yang disebut oleh Allah di dalam al-Qur’an. Di dalam muqaddimahnya, beliau memulakan kitabnya dengan suatu peringatan bahawasanya manusia tidak akan memikirkan, merenung, serta menghayati perumpamaan yang dinyatakan oleh Allah di dalam al-Qur’an melainkan mereka yang berilmu dan yang memahami isi kandungan al-Qur’an dengan sebenar-benarnya. Beliau juga menyatakan sesungguhnya amthal al-Qur’an adalah menyerupakan sesuatu dengan sesuatu yang lain dalam hal hukumnya, dan mendekatkan sesuatu yang abstrak (ma‘qul) dengan yang indrawi (konkrit), atau mendekatkan salah satu dari dua mahsus (konkrit) dengan yang lain dengan menganggap salah satunya itu sebagai yang lain.[24]

3.7.2 Isi Kandungan

Di dalam kitab ini, Ibn Qayyim al-Jawziyyah membahagikan kitabnya kepada 19 fasl yang mengandungi perbahasan beliau terhadap 23 ayat-ayat yang berkaitan dengan perumpamaan di dalam al-Qur’an iaitu :
1) Ayat 17-19 , Surah al-Baqarah (perihal bandingan sifat golongan munafiq)[25]
2) Ayat 17 , Surah al-Ra‘d (perihal bandingan peranan wahyu yang menghidupkan hati) [26]
3) Ayat 24, Surah Yunus (perihal bandingan kehidupan dunia yang fana) [27]
4) Ayat 24 , Surah Hud (perihal bandingan golongan kafir dan beriman) [28]
5) Ayat 41, Surah al-‘Ankabut (perihal bandingan golongan yang mengambil pelindung selain Allah) [29]
6) Ayat 39-40 , Surah al-Nur (perihal bandingan amalan golongan kafir) [30]
7) Ayat 35 , Surah al-Nur (perihal bandingan nur Allah) [31]
8) Ayat 44 , Surah al-Furqan (perihal bandingan golongan yang menolak petunjuk Allah) [32]
9) Ayat 30 , Surah al-Rum (perihal bandingan golongan musyrik yang mempersekutukan Allah dalam sembahan mereka) [33]
10) Ayat 75-76 , Surah al-Nahl (perihal bandingan golongan hamba abdi dan orang merdeka serta bandingan tentang Allah dan berhala sembahan musyrik) [34]
11) Ayat 49-51 , Surah al-Muddaththir (perihal bandingan golongan yang berpaling dari al-Qur’an) [35]
12) Ayat 5 , Surah al-Jumu‘ah (perihal bandingan golongan Yahudi yang mendustakan ayat-ayat Allah) [36]
13) Ayat 175-176 , Surah al-A‘raf (perihal bandingan orang yang mengutamakan dunia dan nafsunya) [37]
14) Ayat 16 , Surah al-Hujurat (perihal bandingan orang yang mengumpat) [38]
15) Ayat 18 , Surah Ibrahim (perihal bandingan amalan golongan kuffar) [39]
16) Ayat 24-27 , Surah Ibrahim (perihal bandingan kalimah yang baik dan kalimah yang buruk) [40]
17) Ayat 30-31 , Surah al-Hajj (perihal bandingan golongan yang mensyirikkan Allah) [41]
18) Ayat 73 , Surah al-Hajj (perihal bandingan kejahilan golongan yang menyembah berhala dan kelemahan berhala yang disembah) [42]
19) Ayat 171 , Surah al-Baqarah (perihal bandingan seruan kepada golongan kafir) [43]
20) Ayat 261 , Surah al-Baqarah (perihal bandingan golongan yang menafkahkan harta mereka di jalan Allah) [44]
21) Ayat 117-118, Surah Ali ‘Imran (perihal bandingan apa yang dibelanjakan golongan kafir di dunia) [45]
22) Ayat 29, Surah al-Zumar (perihal bandingan golongan kafir yang menyembah banyak Tuhan dan golongan beriman yang hanya menyembah Allah) [46]
23) Ayat 10 -11, Surah al-Tahrim (perihal bandingan golongan yang tetap kafir meskipun bersama dengan golongan beriman dan golongan beriman yang tidak terjejas keimanannya meskipun bersama dengan golongan kafir) [47]

Penulis berpandangan, kecenderungan Ibn Qayyim al-Jawziyyah memasukkan hanya 23 ayat amthal berbanding jumlah keseluruhan yang berjumlah 40 ayat, kerana kemungkinan ayat-ayat yang dipilih itu mempunyai keutamaan dan memberikan pengajaran yang lebih besar buat pembaca kitabnya berbanding ayat-ayat yang tidak dimasukkan. Ini berpandukan pandangan Ibn ‘Imad bahawa semasa Ibn Qayyim al-Jawziyyah dipenjarakan, beliau banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Qur’an dengan memahami ayat-ayatnya serta meneliti maksudnya. Amalan ini telah membuka pintu kebaikan dan kelebihan kepada beliau. Antara yang dikagumi ialah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah dapat memilki daya rasa yang benar dan mampu memperoleh maksud yang sahih daripada ayat-ayat al-Qur’an.[48]

Selain itu, penulis juga berpendapat ayat-ayat yang dibahaskan oleh beliau yang tidak disusun mengikut turutan surah di dalam al-Qur’an, menunjukkan bahawa kemungkinan beliau membahaskan ayat-ayat amthal yang terpenting dahulu berdasarkan firasat beliau yang mendapat petunjuk dari Allah.

3.7.3 Bahagian Penutup

Kitab ini tidak mempunyai mempunyai bahagian penutup yang khusus. Sebaliknya, Ibn Qayyim al-Jawziyyah telah mengakhiri penulisan beliau dengan perbahasan terhadap ayat 10 dan 11, Surah al-Tahrim yang menceritakan tentang perbandingan yang disebutkan oleh Allah tentang golongan yang kafir dan beriman ; merujuk kepada isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut yang ingkar dan kufur kepada Allah meskipun mereka adalah isteri para Nabi, sebaliknya Allah memberi hidayah kepada Asiah untuk beriman kepada-Nya sedangkan dia merupakan isteri Fir‘aun yang derhaka kepada Allah.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah sekali lagi menegaskan perumpamaan seperti ayat Allah dalam surah al-Tahrim ini tidak akan difahami rahsia perumpamaannya melainkan mereka yang alim dan mengetahui rahsia serta hikmah penurunan ayat-ayat tersebut.

3.8 Ciri-ciri Khusus Penyusunan Kitab al-Amthal fi al-Qur’an

Hasil pengamatan penulis terhadap kitab ini, Ibn Qayyim al-Jawziyyah telah menggunakan pendekatan tersendiri dalam menyusun kitab ini.

3.8.1 Beliau menulis berdasarkan fasl. Dalam setiap fasl akan mengandungi ayat-ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan mathal yang dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam al-Qur’an. Ini dapat dilihat pada setiap fasl yang keseluruhannya berjumlah 19 di dalam kitab ini. [49]

3.8.2 Setiap fasl tiada tajuk khusus, sebaliknya dimulakan dengan " dan di antara kata-kata-Nya .…..", lalu dinyatakan ayat-ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan mathal. Perkara ini dapat dibuktikan apabila kita meneliti setiap fasl [50]

3.8.3 Beliau tidak membahagikan kitabnya kepada topik-topik tertentu seperti pengertian al-amthal ataupun jenis-jenis amthal, sebaliknya beliau terus membahaskan sebahagian ayat-ayat al-Qur’an yang mengandungi mathal. Ini dapat dilihat , apabila beliau hanya memasukkan 23 ayat al-Qur’an sahaja yang berkaitan dengan mathal, daripada jumlah keseluruhan yang berjumlah hampir 40 ayat. [51]

3.8.4 Beliau tidak menyusun ayat-ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan mathal secara tertib mengikut susunan surah. Ia dapat dilihat dengan jelas apabila beliau masih membahaskan ayat 171 dan 261 dari Surah al-Baqarah serta ayat 117-118 dari Surah Ali Imran di bahagian akhir kitab.[52] Penulis berpandangan, kemungkinan beliau mengutamakan perkara yang hendak diutamakan.
3.8.5 Beliau menggunakan bahasa yang mudah difahami, mengesankan hati, gambaran yang paling tepat sesuai dengan mathal yang dinyatakan Allah s.w.t., serta pengajaran yang cukup bermakna kepada mereka yang membaca kitab ini. Misalnya seperti berikut :

Dalam membahaskan ayat 29, Surah al-Zumar, yang menceritakan tentang bandingan golongan kafir yang menyembah banyak Tuhan dan golongan beriman yang hanya menyembah Allah dengan perumpamaan seorang hamba lelaki yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi yang bertentangan tabiat dan kemahuannya dan seorang hamba lelaki yang lain hanya dimiliki oleh seorang sahaja. Maka Ibn Qayyim menegaskan, keadaan golongan kafir itu resah gelisah kerana tidak mengetahui Tuhan yang mana hendak dipuja dan dipohon bantuan dan tidak mungkin mereka memuaskan hati kesemua Tuhan mereka. Sedangkan golongan yang beriman berada dalam keadaan yang tenang dan tenteram apabila menyembah Allah, bahkan mereka beroleh keredhaan dan rahmat dari Allah. Lalu beliau bertanya sebagaimana soalan Allah di dalam ayat tersebut, adakah sama 2 bentuk sembahan ini? Sudah tentu tidak sama. Maka beliau merumuskan bahawa inilah perbandingan yang paling tepat dan sesungguhnya mereka yang ikhlas menyembah Allah Yang Maha Esa semata-mata akan mendapat pertolongan dan kebaikan dari-Nya, sedangkan golongan kafir sama sekali tidak berhak untuk mendapat 2 perkara tersebut kerana mereka adalah golongan yang menyembah banyak Tuhan dan mensyirikkan Allah. [53]

Ketika beliau menghuraikan ayat 117-118 Surah Ali ‘Imran, yang menceritakan perbandingan Allah tentang apa yang dibelanjakan oleh golongan kafir sewaktu di dunia seumpama angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya. Ibn Qayyim menjelaskan inilah perumpamaan yang ditunjukkan Allah tentang golongan kafir yang menafkahkan harta mereka bukan untuk mentaati-Nya dan mengharapkan keredhaan-Nya. Bahkan Allah menyamakan apa yang dibelanjakan oleh golongan kafir dari harta mereka demi mendapatkan kemasyhuran dan pujian agar menjadi sebutan ramai, seumpama tanaman yang ditanam oleh tuannya yang mengharapkan manfaat dari tanaman itu. Sebaliknya, tanaman itu dilanda angin yang sangat kuat yang akhirnya membinasakan keseluruhan tanaman tersebut. Inilah kerugian yang akan ditanggung oleh golongan kafir dan segala yang berlaku adalah disebabkan kezaliman yang dilakukan oleh mereka sendiri. [54]

Dalam menjelaskan ayat 49-51, surah al-Muddaththir, Ibn Qayyim al-Jawziyyah menegaskan inilah perbandingan bagi golongan yang berpaling dari kalam Allah dan tidak menghayatinya. Dan Allah menyamakan sifat golongan ini yang berpaling dan menolak al-Qur’an seumpama keldai yang lari apabila melihat singa. Jelas beliau lagi, inilah seburuk-buruk perbandingan bagi golongan ini. Ini kerana, keldai adalah haiwan yang tidak berakal tetapi apabila mendengar suara singa, maka ia lari dengan ketakutan yang amat sangat. Tambah beliau, perbandingan ini bertujuan menghina golongan ini yang berpaling dari petunjuk. [55]

Dalam menghuraikan ayat 44, surah al-Furqan yang menceritakan tentang kebanyakan manusia yang tidak mengambil petunjuk dari peringatan Allah dan Rasul umpama binatang ternak bahkan lebih sesat, Ibn Qayyim al-Jawziyyah menegaskan perumpamaan ini hadir kerana kebanyakan manusia tidak menerima petunjuk yang disampaikan kepada mereka. Jelas beliau lagi, binatang mampu menuju ke satu tempat yang diarah tanpa melencong ke kiri atau ke kanan, bahkan mampu membezakan tumbuhan apa yang bermanfaat dan memberi mudarat kepadanya. Sedangkan manusia, kebanyakannya tidak menerima seruan para Rasul bahkan tidak mahu mengikut petunjuk tersebut. Binatang ternak tidak diberikan akal untuk berfikir atau lidah untuk berkata-kata, tetapi manusia yang diberikan akal, mata, hati dan lidah tetapi tidak pula memanfaatkan kesemua kurniaan Allah tersebut. Maka, nyatalah manusia lebih sesat daripada binatang ternak yang serba kekurangan itu. [56]


Sebagai kesimpulan dalam pengenalan kepada kitab al-Amthal fi al-Qur’an ini, maka dapatlah penulis merumuskan bahawa kitab ini mempunyai beberapa keistimewaan yang perlu diambil manfaat oleh pembaca kitab ini terutamanya dalam usaha untuk mengkaji rahsia dan hikmah Allah di sebalik setiap ayat-ayat amthal di dalam al-Qur’an yang dibahaskan dalam kitab ini. Meskipun tiada penyusunan yang sistematik dari sudut pembahagian bab atau fasl di dalam kitab ini yang menceritakan tentang konsep al-amthal dan bahagian-bahagiannya, penulis berpandangan Ibn Qayyim al-Jawziyyah ingin mengajak pembaca kitabnya agar terus menelaah dan mentadabbur ayat-ayat amthal di dalam al-Qur’an, kerana kemungkinan pada pandangan beliau itulah yang lebih penting.

[1] Yusfaezah Yunos (1999/2000), al-Amthal Dalam Uslub Dakwah:Kajian Surah al-Kahfi;Ayat 32-34, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
[2] Ibrahim Madhkur (1985), al-Mu‘jam al-Wasit, j. 1, c.1, Kaherah : (T.P.), h. 888.
[3] Mohd. Idris ‘Abdul Rauf al-Marbawi (Dr.) (1990), Kamus Idris al-Marbawi, j. 1, Kuala Lumpur : Dar al-Fikr, h. 241.
[4] Teuku Iskandar (Dr.), op.cit., h. 893.
[5] Abu al-Fadl Jamal al-Din Muhammad bin Mukrim Ibn Manzur (1955), Lisan al-‘Arab, j. 2, Beirut :Dar al-Sadir li al-Tiba‘ah wa al-Nasyr, h. 611.
[6] al-Zarkasyi (1972), op.cit., h. 490.
[7] Abu al-Fadl Ahmad bin Muhammad al-Maydani (t.t.) (tahqiq), Muhammad Abu al-Fadl Ibrahim, Majmu‘ al-Amthal, j. 1, Kaherah : ‘Isa al-Bab al-Halabi al-Syurakah, h.7.
[8] Samih ‘Atif al-Zayn (1987), op.cit., h. 11.
[9] Ibn Qayyim al-Jawziyyah, op.cit, h. 173-174.
[10] al-Qattan, op.cit., h. 283.
[11] ‘Abd al-Fatah Abu Sinnah (Dr.) (1995), ‘Ulum al-Qur’an, Beirut : Dar al-Syuruq, h.40
[12] Ibid, hlm. 39
[13] Muhammad Jabir al-Fayyad (Dr.) (1995), op.cit., h. 202
[14] al-Qattan, op.cit, h. 285
[15] Abi ‘Abd Allah bin ‘Isma‘il bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardhibah al-Bukhari al-Ja‘fi (1987), Sahih al-Bukhari, Kitab al-Adab, Bab La Yuldagh al-Mu’min min Juhrin Wahidin Marrataini, no. Hadith 5780
[16] Abdul Malik Karim Amrullah (Dr.) (1993), Tafsir al-Azhar, j.5, c. 2, Singapura : Pustaka Nasional Pte. Ltd, h. 3870.
[17] al-Zarkasyi, op.cit., h. 486.
[18] ‘Abd al-Majid al-Bayanuni (1991), Darb al-Amthal fi al-Qur’an : Ahdafuhu wa al-Tarbawiyyah wa Atharuhu, Damsyiq : Dar al-Qalam, h. 35.
[19] ‘Abd Allah bin al-Muqfa’ (1961), al-Adab al-Saghir, Matba‘ah Muhammad ‘Ali Sabih, Kaherah : (T.P.), h. 40
[20] al-Maydani (t.t.), op.cit., j.1, h. 1.
[21] Jar Allah Mahmud bin ‘Umar al-Zamakhsyari (t.t.), al-Kasyaf ‘an Haqa’iq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil, Dar al-‘Alamiyyah, j.1, h. 139.
[22] al-Qattan (2000), op.cit., h. 286-289.
[23] Ibn ‘Imad, op.cit., j. 6, h. 169.
[24] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983), op.cit., h. 171.
[25] Ibid, h. 174 – 180.
[26] Ibid, h. 180 – 183.
[27] Ibid, h. 184 – 186.
[28] Ibid, h. 186 – 187.
[29] Ibid, h. 188 – 190.
[30] Ibid, h. 191 – 196.
[31] Ibid, h. 196 – 200.
[32] Ibid, h. 200 – 201.
[33] Ibid, h. 201 – 203.
[34] Ibid, h. 203 – 211.
[35] Ibid, h. 212 – 213.
[36] Ibid, h. 213 – 214.
[37] Ibid, h. 214 – 224.
[38] Ibid, h. 224 – 226.
[39] Ibid, h. 226 – 228.
[40] Ibid, h. 228 – 244.
[41] Ibid, h. 245 – 247.
[42] Ibid, h. 247 – 250.
[43] Ibid, h. 250 – 252.
[44] Ibid, h. 253 – 258.
[45] Ibid, h. 258 – 260.
[46] Ibid, h. 260 – 261.
[47] Ibid, h. 261 - 267.
[48] Ibn ‘Imad (t.t.), op.cit., j.6, h. 168.
[49] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983), op.cit., h. 173-261
[50] Ibid, h. 173-261
[51] Ibid
[52] Ibid, h. 250-260.
[53] Ibid, h. 260-261.
[54] Ibid, h. 258-259.
[55] Ibid, h. 212.
[56] Ibid, h. 200-201.

1 ulasan:

Pink berkata...

assalamuaalaikum Tuan. boleh saya tahu apa email untuk saya boleh tengok footnote2 yang ada? untuk membantu penulisan thesis saya. sbb saya tak boleh view, ia private. harap boleh membantu. terima kasih.

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude