Selasa, 14 Ogos 2007

Sambutan kemerdekaan negara kosmetik?

ACAP kali, saban tahun sambutan kemerdekaan adalah stereotaip. Artis, hiburan, sambutan bunga api, konsert besar-besaran sehingga lewat malam, upacara menanti detik 12 malam, pergaulan bebas dan pergaulan ambil kesempatan pasti akan berlaku pada malam ambang kemerdekaan.

Saban tahun kita merayakan sambutan kemerdekaan negara yang tercinta ini seperti kita tidak mencintai negara kita. Entah sampai bila kita harus meraikan dengan cara yang demikian rupa.
Sambutan kemerdekaan juga acap kali berbentuk kosmetik. Para pemimpin negara juga setiap tahun pasti akan menyatakan kekesalan kerana bendera Jalur Gemilang amat jarang dikibarkan di kalangan lapisan masyarakat.

Malah amat menyedihkan sekiranya kerajaan terpaksa menjalankan kempen mengibarkan Jalur Gemilang. Tahun ini, sempena 50 tahun negara mencapai kemerdekaan, sambutan diadakan dengan pelbagai cara yang lebih hebat. Hiburan dan sukan menjadi agenda utama pada tahun ini. Sebelum ini kita mahu membawa pasukan bola sepak negara yang pernah menjajah kita untuk beraksi di tanah air kita, juga bersempena sambutan ke-50 tahun kemerdekaan.

Artis-artis Barat juga begitu banyak diimport untuk meraikan sambutan itu nanti. Mungkin juga budaya tempatan seperti budaya etnik Sarawak malu untuk kita persembahkan - menyebabkan generasi muda semakin tidak mengenali budaya kita sendiri.

Malah bahasa ibunda kita sendiri dipinggirkan dewasa ini. Entah di mana kemerdekaan sedangkan kita malu dengan budaya kita sendiri. Jadi, tidakkah kita terfikir bahawa kita menyambut kemerdekaan negara yang tercinta ini secara kosmetik?

Juga cinta kita kepada tanah air juga bersifat kosmetik. Setiap tahun pasti ada surat pembaca yang menyatakan bahawa sambutan kemerdekaan perlu lebih berisi dan terarah. Namun setiap tahun sambutan kemerdekaan tetap disambut dalam keadaan ‘parah’ dan boleh merosakkan pemuda-pemudi harapan negara.

Sambutan kemerdekaan perlu dijadikan medan terbaik untuk mendidik rakyat. Rakyat yang dididik dengan pengisian dan ilmu akan menjadi rakyat yang berkualiti. Rakyat yang sentiasa disumbatkan dengan hiburan dan kelalaian akan menjadi rakyat yang paling tidak boleh diharap untuk mempertahankan negara.

Terimbau seketika ketika sambutan tahun baru 2005 selepas bencana tsunami. Kita meraikannya dengan penuh keinsafan. Tahniah dan permulaan yang baik ini harus diteruskan. Namun keinsafan kita tidak berpanjangan. Tahun berikutnya, kemerdekaan dan tahun baru disambut dengan cara lama semula. Untuk melahirkan kecintaan kepada tanah air. Rakyat perlu dididik. Apabila sudah tiba makna cinta kepada negara dalam setiap jiwa rakyat, rakyat pasti akan mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangganya tanpa perlu disuruh-suruh.

Persoalannya ialah pengisian pasca-kemerdekaan. Bagaimana kita mahu rakyat kita dilahirkan dan soal ini perlu difikir secara serius dan tuntas. Tumpuan pengisian perlu diberi pada generasi muda. Kami ini adalah golongan yang jauh daripada merasa keperitan penjajahan. Kami ini adalah golongan yang perlu dibimbing dan dididik. Bukannya disumbatkan dengan hiburan yang menyuburkan budaya hedonisme yang melampau.

Kita berharap semoga sambutan kemerdekaan negara menjelang usia ke-50 tahun ini menjadi medan muhasabah kita. Sejauh manakah kita telah berusaha untuk menjana generasi terbaik dan berkualiti demi tamadun masa depan yang terbaik? Hidup biarlah berjasa.
– MOHD. FIRDAUS MOHAMED KHAIRI,
Kuala Lumpur.
p/s: Satu tulisan yang sangat baik untuk menyedarkan kita semua terutama pemerintah. Bagi saya ia luahan rakyat yang sedar sebagai generasi pasca kemerdekaan ; adakah hiburan yang melampau dijadikan sogokan kepada seluruh rakyat? Moga ia menjadi renungan bersama!

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude