Huraian Potongan Hadis [5]
Keadaan tersebut berterusan sehinggalah pada suatu hari dia bertembung dengan seekor binatang besar yang menghalang perjalanan orang ramai. Ketika itu, ghulam tersebut berkata; “Pada hari ini aku akan mengetahui adakah ahli sihir yang lebih afdal ataupun rahib yang lebih afdal. Maka dia mengambil seketul batu lalu berdoa; Ya Allah, sekiranya urusan rahib lebih Kamu sukai daripada urusan ahli sihir, maka bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai dapat lalu lalang.” Dia pun melontarnya, maka binatang tersebut mati dan orang ramai dapat lalu lalang.
Dalam riwayat Imam Tirmizi;
Orang ramai tertanya-tanya; Siapakah yang membunuh binatang ini? Sebahagian mereka menjawab; ‘Ghulam.” Maka manusia menjadi takut. Mereka berkata; “Sesungguhnya ghulam ini telah mengetahui suatu ilmu yang tidak diketahui oleh sesiapa pun.”
1) Ketika hubungan antara ghulam dan rahib berjalan dengan teratur, berterusan dan mendalam, tiba-tiba berlaku peristiwa binatang yang menghalang perjalanan orang ramai.
Peristiwa yang menjadi persoalan penting dan mengakibatkan perpindahan besar dalam marhalah dakwah serta peranan ghulam.
Perhatikanlah kata-kata ghulam “Pada hari ini aku akan mengetahui adakah ahli sihir yang lebih afdal ataupun rahib yang lebih afdal.” Adakah kata-kata ini memberi makna bahawa ghulam masih lagi ragu-ragu dalam keyakinannya terhadap kebenaran ajaran rahib dan kebatilan pegangan ahil sihir? Atau ia bermakna meminta peringkat ‘haqqul yakin’ demi mendapatkan ketenteraman hati yang sepenuhnya. Yang jelasnya, permintaannya adalah untuk membulatkan keyakinan sepertimana permintaan Nabi Ibrahim (a.s.) kepada Tuhannya; “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaanKu)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan aku (percaya,), akan tetapi untuk menenangkan hatiku,” (maksud al-Baqarah ; 260)
(Di sana terdapat tiga peringkat keyakinan; Ilmu Yaqin, Ainul Yaqin dan Haqqul Yaqin. lbnu Taimiyyah berkata; Ilmu Yaqin ialah apa yang didapati melalui pendengaran, perkhabaran, perbandingan dan pemerhatian. Ainul Yaqin pula melalui apa yang disaksi dan dilihat dengan mata kepalanya sendiri. Manakala Haqqul Yakin pula ialah yang dia sendiri terlibat, merasai dan mengetahuinya melalui pengajaran yang diambil. Contoh yang pertama; Seseorang memberitahu bahawa di sana ada madu. Berita ini dibenarkan oleh pendengarnya. Atau dia melihat kesan madu dan dia mengakui kewujudannya berdalilkan kepada kesan tersebut. Contoh kedua; Mereka yang melihat madu dan menyaksikannya dengan mata kepalanya sendiri. Peringkai ini lebih tinggi daripada yang pertama berdasarkan hadis; “Orang yang diberitahu tidak sama dengan orang yang melihat sendiri ”. Contoh ketiga; Mereka yang makan madu dan merasai kemanisannya. Sememangnya dimaklumi bahawa peringkat ini lebih tinggi daripada yang sebelumnya (Majmu’ Fatawa 10/645-646)
Di antara perkara yang menguatkan apa yang kami katakan ialah;
a) Ghulam tetap meneruskan hubungannya dengan rahib sekalipun dia memahami bahaya yang akan dihadapi hasil daripada ajaran rahib yang merupakan agama baru yang bertentangan dengan agama raja. Dengan itu dia menyembunyikan hubungan tersebut. Kalaulah dia ragu atau merasa sangsi, maka dia akan memutuskan hubungan tersebut. Dia juga tidak akan sanggup menanggung bebanan pertemuan yang sentiasa diadakan dan kesusahan yang menunggunya sekiranya hubungan tersebut diketahui umum. Lebih-lebih lagi beliau adalah calon yang tidak lama lagi akan menjadi ahli sihir raja dan mempunyai harta, kedudukan dan kekuasaan.
b) Ghulam, ketika dia berdoa, dia berdoa kepada Allah dengan menyebut “Ya Allah”. Dia tidak berdoa dengan menyebut nama raja atau makhluk yang lain. Ini menunjukkan kebenaran keyakinan dan keimanannya kepada Allah.
c) Keramat yang diminta oleh ghulam adalah keramat yang tidak mampu diberikan oleh sesiapa pun atau manamana tuhan yang disembah selain Allah. Yang mampu memberikannya hanyalah Allah yang Maha Kuat dan Berkuasa. Kalaulah ghulam tidak beriman kepada Allah, nescaya dia tidak akan meminta perkara yang luar biasa seperti itu yang tidak mampu diberikan oleh sesiapa pun walau bagaimana kedudukannya sekali pun.
d) Ketika ghulam berdoa, dia berkata: “Ya Allah, sekiranya urusan rahib lebih Kamu sukai daripada urusan ahli sihir.” Dia tidak berkata “Ya Allah, sekiranya urusan ahli sihir lebih Kamu sukai daripada urusan rahib.” Di sini dia hanya meminta menambahkan keyakinan terhadap urusan rahib sahaja. Ini kerana sekiranya dia meminta menambahkan keyakinan terhadap urusan ahli sihir, maka peristiwa tersebut tidak berlaku. Dengan ini, dia tidak diberikan keyakinan terhadap urusan rahib kerana kemungkinan juga kedua-dua urusan tersebut adalah salah. Ini menunjukkan ghulam sentiasa mencari peluang menambahkan keyakinannya terhadap urusan rahib dan agamanya.
Pengertian ini menjelaskan kepada kita bahawa seorang muslim secara umumnya dan daie khususnya, mengalami berbagai perkembangan yang berbeza dan peringkat keimanan yang tidak sama. Ghulam pada mulanya tidak mengetahui sedikitpun mengenai agama yang benar ini. Kemudian dia belajar dan dididik oleh rahib serta melalui beberapa pemeringkatan dalam keimanannya sehinggalah herlakunya peristiwa ini yang memindahkan keimanannya kepada keyakinan sebagai tanda bermulanya marhalah dakwah yang baru khususnya bagi ghulam. Sesungguhnya Allah telah mempersiapkan ghulam untuk itu.
Para daie semestinya menjadikan ilmu, amal dan tarbiah sebagai jalan untuk dia melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dan sentiasa mencari peluang untuk mempertingkatkan diri dan ikhwah yang bersamanya. Dia juga semestinya tidak henti-henti daripada mengorbankan tenaganya, demi memperbaiki hati dan menghisab diri. Janganlah dia tertipu dengan sangkaan bahawa para daie akan sampai ke satu tahap yang tidak memerlukan kepada persiapan diri dan menjadi sempurna. Sesungguhnya iman mempunyai tingkatan dan peringkatnya. Beruntunglah mereka yang berkorban di dunia dan bersikap zuhud terhadapnya serta bertemu Allah ketika berada di tingkatan iman yang paling tinggi hasil kurniaan Allah dan rahmat-Nya.
2) Dalam peristiwa ghulam meminta perkara luar biasa daripada Allah, dia telah mengambil anak batu dan berdoa kepada Tuhannya, kemudian melontarnya. Dengan lontaran itu binatang tersebut mati. Sesungguhnya mengambil sebab yang dibenarkan adalah perkara yang amat penting semestinya tidak dilupai oleh para daie. Allah telah menjadikan undang-undang dan peraturan yang tidak berubah untuk alam ini. Allah juga telah mengarahkan mukminin supaya mengambil sebab-sebab kemudian bertawakkal sepenuhnya kepada-Nya. Inilah yang dilakukan oleh ghulam dengan mengambil sebab yang dibenarkan (melontar dengan batu) kemudian berdoa kepada Allah (dalam keadaan bertawakkal dan meminta daripada-Nya). Hasilnya, binatang besar yang menghalang perjalanan orang ramai dan menakutkan mereka mati, disebabkan batu kecil yang dilontarkan oleh ghulam yang beriman.
Allah telah menyebut peristiwa yang berlaku pada hari peperangan Badar. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan kamu bukan yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allahlah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir)” (al-Anfal: 17) Allah juga telah memerintahkan Maryam mengambil sebab ketika dia merasai sakit hendak bersalin yang memaksanya bersandar ke pangkal sebatang pokok tamar. Allah berfirman yang bermaksud; “Dan goncanglah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.” (Maryam:25}. Sedangkan mengoncangkan pokok tamar pada kebiasaannya, lebih-lebih lagi apabila dilakukan oleh perempuan yang sedang menghadapi sakit hendak bersalin tidak mungkin akan menyebabkan gugurnya buah tamar.
Dalam peristiwa hijrah, Rasulullah telah mengambil sebab-sebab dengan cara keluar di luar waktu kebiasaan, menggunakan seorang musyrik sebagai penunjuk jalan, menuju ke selatan sedangkan jalan sepatutnya menuju ke utara, bersembunyi di gua Thur, melalui jalan yang jarang dilalui orang menuju ke Madinah dan lain-lain. Semua ini mengajar kita kaum muslimin supaya tidak memandang mudah dalam masalah mengambil sebab, kernudian bertawakkal kepada Allah.
3) Prihatin terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan cuba menyelesaikannya adalah pengajaran lain yang dapat diambil oleh daie melalui petikan ini. “...Bunuhlah binatang ini sehingga orang ramai dapat lalu lalang.” Begitulah yang semestinya dilakukan oleh daie kepada Allah ; sangat cintakan kepada kebaikan dan sentiasa berusaha menyelesaikan masalah orang ramai. Ini kerana dia disuruh melakukan kebaikan, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kejahatan. Juga kerana perilaku seumpama ini akan membuka hati-hati manusia. Dengan itu, mereka telah mempunyai persediaan untuk menerima apa yang diseru dengan penuh kepercayaan disebabkan mereka telah mengetahui kebaikan yang terkandung di dalamnya. Allah berfirman;
“ Wahai orang-orang yang beriman, ruku’lah serta sujudlah (mengerjakan sembahyang), dan beribadat kepada Tuhan kamu serta kerjakanlah amal-amal kebajikan supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat”. (al-Hajj : 77)
Semestinya kita tidak melupakan perkara yang penting ini. Ia berkait langsung dengan dakwah. Oleh itu kita hendaklah bergaul dengan orang ramai, bersabar terhadap apa yang mereka lakukan, cuba menyelesaikan masalah mereka, sekali pun mereka bergelumang dengan maksiat yang ditutupi dengan kejahilan. Bahkan masyarakat ghulam adalah kafir, bukan hanya bermaksiat kepada Allah. Kita hendaklah menyeru ke mereka hanya kepada dakwah Allah, berpegang teguh kepada tali-Nya yang kukuh dan kepada tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan taqwa. Ketika itu, mereka akan lebih cepat untuk menerima dakwah dan bertindak balas dengannya. Perlu diingatkan, kita sewajibnya tidak terlalu mementingkan perkara ini sehingga menyebabkan kita melupai kewajipan dakwah dan matlamatnya yang terbesar.
4) Imam Nawawi telah berkata ketika menghurai hadis ini; “Hadis ini membuktikan kewujudan dan kebenaran keramat para wali.” Manusia pada hari ini ada yang mengingkari keramat dan ada yang mempercayainya sehingga ke peringkat meyakini bahawa empunya keramat mempunyai kemampuan peribadi yang boleh mengangkatnya ke martabat para nabi. Kedua-duanya berada dalam kesilapan yang besar terhadap perkara yang penting mi. Oleh sebab itu, Imam Hasan al-Banna telah menjadikannya di antara dua puluh usul yang memberikan kefahaman sebenar terhadap Islam. Beliau berkata; Mencintai orang-orang soleh, menghormati dan memuji mereka disebabkan amal soleh yang diketahui mereka lakukan, adalah perkara wajar yang mendekatkan diri kepada Allah. Para wali Allah pula ialah mereka yang disebut di dalam firman-Nya yang bermaksud; “(laitu) orang-orang yang beriman dan mereka pula sentiasa bertaqwa.” (Yunus:63). Keramat untuk mereka adalah thabit berdasarkan kepada syarat-syarat yang dinyatakan oleh syarak, dengan menyakini bahawa mereka tidak dapat mendatangkan kemanfaatan atau kemudaratan kepada diri mereka semasa hidup dan selepas mati, lebih-lebih lagi kepada orang lain.
Kadang-kadang Allah (s.w.t) memberikan keramat dan perkara-perkara luar biasa atau apa yang yang diminta kepada sebahagian daripada para daie yang soleh. Walaupun begitu, perkara ini hendaklah difahami berdasarkan kepada garis panduan yang ditetapkan oleh syarak tanpa menambah dan mengurang.
5) Orang ramai menjadikan peristiwa ajaib ini sebagai bahan perbualan dan mereka saling bercerita tentang ghulam, Penyebaran ini menjadi permulaan kepada sebelum berlakunya peristiwa seterusnya yang telah ditentukan oleh Allah. Oleh itu, para daie semestinya berusaha untuk mencairkan sebahagian mereka ke dalam masyarakat. Mereka mempergauli orang ramai, bertindak balas dengan mereka dan menghulurkan bantuan dan perkhidmatan kepada mereka. Ini dilakukan supaya orang ramai dapat melihat dan mengenali mereka dan dekat serta mengetahui bahawa mereka bukanlah orang yang tamakkan harta, pangkat dan kedudukan (sebagaimana yang difitnahkan terhadap mereka). Begitu juga supaya orang ramai mengetahui bahawa mereka bekerja hanyalah untuk mendapatkan balasan daripada Allah dan memasuki syurga-Nya dengan izin, limpah kurnia dan rahmat daripadaNya. Ketika orang ramai meyakini hakikat ini secara praktikal, maka ia menjadi pembantu kepada para daie dan sumber kekuatan mereka. Bahkan sebahagian mereka, akan berada di barisan para daie yang bekerja dan berjihad untuk meninggikan kalimah Allah. Tambahan pula, pengaruh dan sokongan yang diberikan oleh orang ramai terhadap mereka, akan mendatangkan kekuatan dan penjagaan terhadap dakwah (dengan kadar yang tertentu) serta kemampuan untuk bergerak, berdakwah dan menyerap masuk ke dalam masyarakat.
1 ulasan:
salam alaikum wbt..
kurang paham sbnrnya ttg sebab n tawakal tuh..
adakah sebab itu dimkasudkan sbg usaha?
mntak pencrehan =)
Catat Ulasan