Jumaat, 20 Julai 2007

Disertasi Ilmiah 9 - Kitab Tafsir Nur al-Ihsan

1.1 NAMA DAN LATAR BELAKANG

Nama penuh beliau ialah Muhammad Sa‘id bin Umar, dan telah dilahirkan di Kampung Kuar, Jerlun, Kedah pada tahun 1275H bersamaan 1857M. Ustaz Muhammad Sa‘id merupakan anak sulung daripada dua orang adik beradik dan saudara lelakinya bernama Haji Ismail bin Umar.
Bapanya merupakan seorang khatib dan dengan itu dikenali sebagai ‘Umar Khatib’ kerana terkenal dengan ketokohan dan kefasihannya ketika menyampaikan ucapan dan berkhutbah di hadapan khalayak ramai.[1]

1.2 PENDIDIKAN

Tokoh ini telah mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri di Kedah. Selepas daripada itu, beliau meneruskan perjalanannya untuk menuntut ilmu ke Patani dan menyambungnya ke Makkah sewaktu masih muda lagi. Setelah tamat pembelajarannya di Makkah, beliau kembali ke kampung halamannya untuk terus menyebarkan ilmu yang telah dipelajarinya.
Selepas berada di Kedah buat beberapa waktu, beliau telah berpindah ke Changkat Kerian, Perak dan membuka sebuah sekolah pondok di situ. Ustaz Muhammad Sa‘id telah bertindak sebagai seorang tenaga pengajar di sekolah pondok yang diasaskan olehnya itu.[2]

1.3 KELUARGA

Ketika di Changkat Kerian, Ustaz Muhammad Sa‘id telah berkahwin dengan seorang penduduk tempatan yang bernama Fatimah. Mereka telah dikurniakan tiga orang anak lelaki yang diberi nama Mahmud, Muhammad dan Ahmad. Walaubagaimanapun, isteri beliau terlebih dahulu kembali ke rahmatullah dalam usianya yang masih muda.[3]
Setelah kematian Fatimah, beliau mengahwini Hajjah Rahmah yang berasal dari Pulau Mertajam, Perak. Hasil perkongsian hidupnya dengan isteri yang kedua ini, beliau telah memperolehi seramai empat orang anak, iaitu Umar, Abdul Hamid, Safiah dan Fatimah.[4]
Pada ketika itu, Siam telah melancarkan serangan ke atas Kedah dan mereka segera berpindah ke Kampung Kedah, Perak. Ustaz Muhammad Sa’id meneruskan baktinya dengan mengajar pelajar-pelajar sekolah pondok di tempat barunya di samping mengerjakan tanah sawah di situ.
Di sana, beliau kemudiannya berkahwin buat kali ketiganya dengan Hajjah Hamidah yang merupakan penduduk asal di situ dan mereka telah memperolehi seramai sepuluh orang anak. Mereka ialah Mustafa, Kasim, Siti Hajar, Mariam, Asma, Mohd Akib, Hussain, Mansur dan Nasir.

Pernah diceritakan bahawa pada suatu hari ketika berada di bendang padi, Ustaz Muhammad Sa‘id telah didatangi oleh perwakilan daripada Tengku Mahmud. Mereka telah meminta agar beliau kembali semula ke Kedah dengan alasan Ustaz Muhammad Sa‘id adalah anak jati negeri Kedah dan sewajarnya beliau pulang dan berbakti kepada rakyat Kedah.
Ustaz Muhammad Sa‘id mengambil keputusan untuk kembali ke Kedah semula dan beliau telah dihadiahkan sebidang tanah di Kancut, Kedah pada tahun 1312H[5] bersamaan 1894M ketika berumur 37 tahun. Beliau menetap dan berkhidmat di situ sehinggalah meninggal dunia.

1.4 KEPERIBADIAN

Ustaz Muhammad Sa‘id merupakan individu yang berdisiplin tinggi dan dikenali kerana ketegasannya. Beliau tidak teragak-agak untuk memukul anak-anaknya yang tidak mematuhi disiplin dan mengabaikan tanggungjawab mereka semasa menuntut ilmu.
Beliau merupakan seorang bapa yang prihatin dan amat mengambil berat mengenai perihal ilmu pengetahuan, dimana kesemua anak-anaknya diwajibkan membaca dan menghafaz ilmu-ilmu agama pada setiap malam sebelum tidur. Mereka dididik dengan penuh tanggung jawab dan sentiasa dipastikan agar mahir dalam Bahasa Arab.

Dengan itu, Ustaz Muhammad Sa‘id telah menghantar anak-anak lelakinya ke Makkah dan kebanyakan anak-anaknya dapat menguasai Bahasa Arab dengan cukup baik dan menjadi guru agama di sekolah-sekolah aliran Arab dan Sekolah Menengah Kebangsaan sekembalinya mereka ke tanahair.[6]

Selain daripada itu, beliau tidak banyak bercakap dan hanya membicarakan perkara-perkara yang penting sahaja. Beliau sentiasa memperuntukkan masanya untuk membaca, mengkaji dan menulis kitab-kitab agama walaupun sibuk dengan tugasan hariannya.

Di sebalik ketegasannya, Ustaz Muhammad Sa‘id juga merupakan seorang yang bersifat lemah-lembut dan sentiasa meraikan sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongannya. Maka tidak hairanlah kenapa beliau sentiasa dihormati dan disenangi oleh ahli keluarganya dan juga masyarakat di sekelilingnya.[7]

Dari sudut pegangan fiqnya, beliau adalah bermazhab Syafi‘i dan tariqat yang diikuti olehnya ialah al-Naqsyabandi al-Ahmadi, sebagaimana yang dijelaskan olehnya sendiri dalam bahagian khatimah ( penutup ) kitab tafsir ini.[8]

1.5 JAWATAN

Sebagai seorang yang alim dalam bidang agama, beliau telah memberi khidmat yang cukup besar kepada penduduk di dua buah negeri. Di Perak, beliau pernah menjadi guru dan mencurahkan ilmunya kepada pelajar-pelajar pondok setiap kali beliau berpindah ke tempat baru.
Sekembalinya ke Kedah pula, beliau merupakan pengajar kuliah di masjid-masjid yang terdapat di negeri Kedah dan kuliah ilmunya seringkali diadakan di Masjid Jitra. Selain daripada itu, beliau juga telah ditugaskan untuk mengajar ilmu agama kepada kerabat Diraja Kedah dan pernah memegang jawatan sebagai ‘Guru Diraja’, dan Tafsir al-Qur’an[9] merupakan salah satu daripada subjek utama yang telah diajarnya kepada mereka.

Ustaz Muhammad Sa‘id sering menjadi rujukan utama bagi masyarakat setempat mengenai sebarang permasalahan agama dan beliau diberi gelaran sebagai ‘Haji Sa‘id Mufti’. Dan jawatan terakhir yang disandang oleh beliau ialah sebagai seorang kadi bagi daerah Jitra, Kedah.[10]

1.6 KEMATIAN

Ustaz Muhammad Sa‘id mula mengalami penyakit lenguh dan lemah di sebelah badannya ketika masih berkhidmat sebagai kadi, iaitu semasa berusia 75 tahun. Setelah menjalani pembedahan, beliau dibawa pulang ke pangkuan isterinya, Hajjah Rahmah di Jitra. Beberapa hari selepas itu, beliau pulang ke Kancut bersama isteri ketiganya, iaitu Hajjah Hamidah.
Beliau akhirnya kembali ke rahmatullah pada hari Rabu, 22 Zulkaedah 1350H, bersamaan 19 Mac 1932M dalam usia 75 tahun. Jenazahnya disemadikan di kawasan Masjid Alor Merah, Alor Setar, Kedah.[11]

1.7 HASIL KARYA

Menurut seorang guru agama di Kampung Permatang Nyior, Kota Kuala Kedah, iaitu Ustaz Tuan Haji Yusuf bin Haji Ismail, beliau mengatakan bahawa Ustaz Muhammad Sa‘id pernah mengarang dua buah karya, iaitu Tafsir Nur al-Ihsan dan juga Fatwa Kedah.
Kitab Tafsir Nur al-Ihsan merupakan hasil karangannya yang terbesar, manakala Fatwa Kedah pula dikarang semasa beliau berkhidmat sebagai seorang kadi. Ia memuatkan fatwa-fatwa mengenai hukum nikah cerai dan ditulis dengan tujuan untuk diedarkan kepada imam-imam masjid.

Walaubagaimanapun, ia masih berada didalam simpanan kerajaan negeri Kedah dan tidak pernah dicetak sehinggalah ke hari ini.[12]



BAHAGIAN KEDUA :

KITAB TAFSIR NUR AL-IHSAN


2.1 LATAR BELAKANG KITAB

Kitab Tafsir Nur al-Ihsan ini merupakan satu hasil karya terbesar yang pernah dihasilkan oleh Ustaz Muhammad Sa‘id bin Umar. Ia dikatakan sebagai salah satu daripada karya tafsir dalam bahasa Jawi yang terawal dihasilkan di Tanah Melayu.[13]

Beliau mula mengarangnya pada bulan Zulhijjah 1344H bersamaan Januari 1925M, iaitu pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah ibn al-Marhun Sultan Ahmad Taj al-Din Mukarram Shah. Penulisan kitab tafsir ini memakan masa selama 2 tahun 9 bulan untuk disiapkan, dan ia berjaya diselesaikan pada hari Rabu, 1 Rabiul Akhir 1346H ataupun 1 Oktober 1927M.[14]

Menurut Dr. Ismail bin Yusoff, kitab ini mula dicetak pada tahun 1934M[15] dan tiga buah syarikat percetakan yang dikenalpasti pernah mencetaknya ialah Persama Press yang terletak di Achen Street, Pulau Pinang yang telah mencetaknya buat kali ketiga pada 1375H/1955M. Selepas itu, kitab ini turut dicetak oleh Maktabah wa Matba‘ah Dar al-Ma‘arif, Sungai Penang Road di Pulau Pinang pada tahun 1391H/1971, dan dalam tahun yang sama ia juga telah dicetak untuk kali ketiga oleh Syarikat Maktabah wa Matba‘ah Muhammad al-Nahdi wa Awladuh yang terletak di Bangkok, Thailand.

Kitab Tafsir Nur al-Ihsan ini agak sukar untuk diperolehi di pasaran dan ia hanya dijual di kedai-kedai buku yang terletak di Bandar-bandar besar sahaja dan kebanyakan kitab yang beredar di pasaran pada hari ini ialah yang dicetak oleh syarikat dari Bangkok dengan ukuran saiz 26.5 cm x 20 cm.


2.2 FAKTOR PENULISAN

Terdapat satu faktor utama yang telah mendorong kemunculan kitab tafsir Nur al-Ihsan ini, dan faktor tersebut telah dinyatakan sendiri oleh Ustaz Muhammad Sa‘id di halaman pertama kitabnya.

Menurut beliau, kitab tafsir ini dihasilkan untuk memenuhi permintaan para sahabatnya yang telah meminta agar beliau menghasilkan karya tafsir dalam versi Bahasa Melayu Kedah.
Ini adalah supaya mereka dapat memahami dengan mudah isi kandungan al-Qur’an yang mengandungi segala suruhan dan tegahan Allah s.w.t. dan dengan cara inilah mereka dapat mengukuhkan lagi keimanan kepada Allah tanpa sebarang keraguan.

Ini dapat dilihat pada tulisan Ustaz Muhammad Sa‘id[16] yang berbunyi :

( أما بعد ) فقد سألني بعض الاخوان أن أكتب لهم بلغة القدحي القرآن كى يقهموا امره ونهيه بالسرعان ولا يتجلجلوا فى الطاعة والايمان. اد فون كمدين درفد ايت مك سعكوه تله فنتأ فد همب اوليه ستعه اخوان يغ مليا2 بهوا همب سورة باكي مريكئيت دعن بهاس ملايو قدح اكن قرآن سفاي دافة مريكئيت اكن سوروهنن دان تكهن دغن تياد بركويغ2 هاتي مريكئيت فد طاعة دان ايمان.

فأجبته وان لم اكن اهلا لذلك طلبا لرضى الرحمن وانشراحا لقلوب الاخوان. مك همب فركنن اكندي دان جك تياد همب اهل باكي دمكين ايت سكاليفون كران مننتوة كريضأن توهن الرحمن دان ميوك باكي هاتي اخوان.

2.3 METODOLOGI PENYUSUNAN KITAB

Kitab tafsir Nur al-Ihsan ini merupakan salah satu daripada karya tafsir di bawah kategori kitab tafsir lengkap 30 juzu’, seperimana Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an karangan Syaykh Abdullah Basmeih dan kitab Khulasah al-Qur’an oleh Maulana Abdullah Awang Nuh.[17]
Kitab tafsir ini boleh didapati dalam empat jilid dan kandungan bagi setiap jilidnya ialah seperti berikut :-

Jilid Pertama :
Dalam jilid pertama ini, Ustaz Muhammad Sa‘id memulakan penulisannya dengan lafaz basmallahdan sebagaimana ulama’-ulama’ yang lain, beliau turut memuatkan puji-pujian bagi Allah dan nabi Muhammad s.a.w.

Bahagian ini bolehlah dikatakan sebagai ruangan pendahuluan ataupun pembuka bicara bagi kitab tafsir ini. Dalam ruangan ini, pengarang telah menjelaskan faktor dan sebab yang telah mendorongnya untuk menghasilkan kitab tafsir ini. Dan sebagai penutupnya, beliau mendatangkan nama kitab-kitab tafsir dalam Bahasa Arab yang telah dijadikan rujukan di sepanjang tempoh pnulisan kitab ini, iaitu Tafsir al-Jalalayn, Tafsir al-Baydawi, Tafsir Jamal dan kitab-kitab tafsir yang lain.

Pada helaian yang berikutnya, pengarang telah menulis satu Muqaddimah yang sedrhana panjangnya.Beliau mendatangkan pengertian Islam, iman dan disusuli pula dengan lima rukun Islam secara ringkas. Selepas daripada itu, dijelaskan pula mengenai enam rukun iman dan disertakan dengan sedikit ulasan bagi setiap rukun tersebut.[18]

Seterusnya, pengarang membawa penerangan mengenai ibadat solat, dimana beliau telah menjelaskan dan menghuraikan mengenai syarat solat iaitu suci daripada hadas besar dan kecil diikuti dengan penerangan mengenai kedua-duanya. Setelah diberi penerangan mengenai syarat solat, dinyatakan pula mengenai fardhu wudu’ yang disertakan dengan rukun berwudu’ beserta dengan cara-caranya sekali.

Dan yang terakhir sekali, Ustaz Muhammad Sa‘id mendatangkan sebanyak 13 rukun solat yang telah diberikan ulasan dan penjelasan mengenainya. Setelah berakhirnya bahagian Muqaddimah tersebut, beliau terus memulakan pentafsiran bagi surah al-Fatihah, al-Baqarah, Ali ‘Imran, al-Nisa’ dan berakhir dengan surah al-Ma’idah.

Jilid Kedua :
Dalam jilid kedua, terdapat sebanyak 12 surah yang ditafsirkan, iaitu dimulai dengan surah al-An‘am sehinggalah kepada surah al-Isra’.

Jilid Ketiga :
Pengarang meneruskan pentafsiran bagi surah al-Kahfi dalam jilid yang ketiga ini dan mengakhirinya dengan surah al-Zumar.

Jilid Keempat :
Manakala bagi jilid yang terakhir ini pula, surah-surah yang dimuatkan ialah bermula dengan surah Ghafir sehinggalah surah al-Nas.


2.4 METODOLOGI PENULISAN KITAB

Pengarang telah menulis kitab ini dengan menggunakan bahasa Jawi sepenuhnya dan kadang-kadang ia turut diselangi dengan kalimah-kalimah Bahasa Arab yang mana akan disusuli pula dengan maksudnya dalam Bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, tiada sebarang tanda ataupun kurungan yang dibuat bagi membezakan di antara perkataan bahasa Melayu dan Bahasa Arab.
( لا نفرق بين أحد منهم ) تيادا كامي فارق انتارا سؤرغ درفد مركئيت ... [19]

( وما الله بغافل عما تعلمون ) دان تياد الله ايت دغن لالي درفد يغ بارغ يغ كامو كرج عمل اين تهديد مناكوتي باكي مريكئيت ...[20]

( وإن كانت لكبيرة ) دان بهواسن اداله اي برفاليغ قبلة ايت ساعة بسر مشقة فايه اتس مأنسي ... [21]

( وما بعضهم بتابع قبلة بعض ) دان تيادا ستعه مريكئيت دعن معيكوة قبلة ستعه ارتي تياد ايكوة يهودي قبلة نصارى دان عكسن ... [22]

Dengan ini, para pembaca mestilah mempunyai asas Bahasa Arab dalam proses mempelajari dan memahami kitab tafsir ini. Jika diteliti, Ustaz Muhammad Sa‘id sebenarnya telah memudahkan jalan kepada para pembaca kerana beliau terus membawa terjemahan bagi setiap kalimah Arab itu. Selain daripad itu, dalam masa yang sama juga pembaca boleh mengambil faedah untuk memperkayakan lagi perbendaharaan kata dalam Bahasa Arab.

Mengenai pemakaian bahasa dan ejaan dalam kitab ini, pengarang banyak menggunakan Bahasa Melayu Kedah lama dan sebahagiannya agak sukar untuk difahami oleh generasi sekarang. Keadaan ini terjadi lantaran kerana faktor zaman penghasilan kitab ini, dimana tahap pembinaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu masih rendah dan masih kuat dipengaruhi oleh gaya bahasa Melayu lama.
Contohnya :
i. Hambat keluar [23] ( همبة كلوار )
ii. Tiada sayugia [24] ( تياد سيكيا )
iii. Menyengehaja [25] ( ميغهاج )

Bagi setiap permulaan sesebuah surah, nama surahnya akan ditulis dengan tulisan yang lebih besar saiznya dan dinyatakan sama ada ia adalah Makki ataupun Madani. Seterusnya, bilangan ayat–ayatnya turut dinyatakan dan sebab penamaan surah juga disertakan bersama sekiranya ada.
Ayat-ayat al-Qur’an akan dimasukkan ke dalam kurungan dan pengarang akan meletakkan tajuk-tajuk bagi sesuatu kisah ataupun kejadian sebelum didatangkan ayat mengenainya. Contohnya seperti( قصة امبيل ايكن هاري سبت ) ,[26] ( قصة مريم برانق ) ,[27]
( قصة يهودي جادي كافر ),[28] ( قصة فحه كيكي نبي ) ,[29] dan sebagainya.

2.5 METODOLOGI PENTAFSIRAN

Ayat-ayat al-Qur’an dalam kitab tafsir ini ditafsirkan mengikut kaedah tahlili, dan huraiannya agak ringkas, sederhana dan sekadar boleh difahami maksudnya. Ini semua dilakukan bertujuan untuk mengambilkira tahap pencapaian ilmu di kalangan masyarakat pada ketika itu yang rata-ratanya kurang terdedah kepada bidang ilmu tafsir dan masih ramai lagi yang tidak mahir dalam bahasa Arab.

Kenyataan ini boleh dirujuk kembali kepada permintaan masyarakat setempat agar pengarang menulis tafsir dalam Bahasa Melayu untuk memudahkan mereka memahami maksud ayat-ayat al-Qur’an. Pengarang telah menggabungkan dua bentuk pentafsiran, iaitu tafsir bi al-ma’thur dan juga bi al-ra’yi.

PENGGUNAAN AYAT AL-QUR’AN.

Ustaz Muhammad Sa‘id hanya menyertakan sedikit sahaja ayat-ayat daripada surah yang lain semasa mentafsirkan dan membincangkan sesebuah ayat. Ayat-ayat sampingan tersebut ditafsirkan dengan ringkas dan ia tidaklah dijelaskan dengan terperinci, tetapi ia dibawa sekadar sebagai penyokong kerana ia turut mempunyai kaitan dengan ayat yang dibincangkan.
Contohnya :[30]
( قل ءأنتم أعلم أم الله ) كات اوليهمو يا محمد باكي مريكئيت اداكه كامو ايت ترلبيه كتهوي اتو الله ترلبيه كتهوي درفد كامو دان سعكوهن تله لفس درفد كدوان اوله نبي ابراهيم دعن فرمانن ما كان ابراهيم يهوديا ولا نصرانيا. تياد اد نبي ابراهيم ايت يهودي دان تياد نصارى دان مريك يغترسبوة سرتان ايت مغيكوة باكين فد كلفسن ايت

PEMAKAIAN AL-HADITH

Terdapat banyak potongan-potongan Hadith yang dimuatkan kedalam kitab tafsir ini. Walaubagaimanapun, Hadith-Hadith yang dibawa itu langsung tidak bersanad dan hanya disandarkan terus kepada Rasulullah s.a.w. ataupun para sahabat Baginda.
Selain daripada itu, matan Hadith dibawa dalam Bahasa melayu sepenuhnya tanpa ada satupun matan asal daripada Bahasa Arab. Selanjutnya, pengarang mentakhrijkan sesetengah Hadith tanpa dinyatakan martabatnya sama ada sahih, hasan ataupun da‘if.
Semasa mendatangkan sesebuah Hadith, Ustaz Muhammad Sa‘id tidak menyelaraskannya hanya dalam satu bentuk sahaja, malah terdapat banyak kepelbagaian padanya. Di antaranya ialah :

i. Hadith yang disandarkan terus kepada Rasulullah s.a.w.
- Sabda Nabi s.a.w.[31] :
سبدا نبي صلى اله عليه وسلم بارعسياف بري تعكوه اورع فاف اتو كوكور هوتع درفدن نسحاي مناوع الله تعالى اكندي فد نأوعن فد هاري يع تياد نأوع ملينكن نأوغن

- Dan sabda ia [32]:
دان سبدا اي افبيل اعكو ليهة سكل مريكيع معيكوة بارع يع شبهة ايت مك مريكئيت له يعدنام اوله الله تعالى مك تاكوة اولهكامو اكن مريكئيت


ii. Disandarkan kepada para sahabat.
- Kata Ali r.a. sabda Nabi s.a.w.[33] :
كات علي رضى الله عنه سبدا نبي صلى الله عليه وسلم تتكل ميوره الله تعالى بهوا دتورن فاتحة دان آية الكرسي ...
- Dan daripada Ibn ‘Abbas berkata ia [34]:
دان درفد ابن عباس بركات اي جكالو كلوار سكل مريك يع مباهلة ايت نسحاي كمبالي تياد دافة هرت دان تياد اهل

- Dan daripada Abi Musa al-Asy‘ari dengar nabi s.a.w. bersabda ia [35]:
دان درفد أبي موسى الاشعري دعر نبي صلى الله عليه وسلم برسبدا اي تياد اكو تاكوة اتس اومتكو ملينكن تيك فركارا يأيت بايق هرت مك برحسد2 دان بربونه...

iii. Disebutkan takhrij Hadith
- Ruwiya al-Syaykhani [36]:
روي الشيخان درفد عائشة كات اي باح نبي صلىالله عليه وسلم اين ايات ...

- Dan pada Hadith Muslim [37]:
دان فد حديث ملم اي دودق توجه تاهون ...
- Pada Hadith Abi Dawud[38] :
دان فد حديث ابي داود امفة فوله تاهون ...


iv. Terus dinyatakan terjemahan Hadith
- Seperti datang pada Hadith maka[39] :
سفرت داتع فد حديث مك فينتأ ايت معاكو دعن نعمة الله تعالى ...



PENJELASAN SEBAB NUZUL AYAT

Aspek asbab al-nuzul tidak dipandang sepi oleh Ustaz Muhammad Sa‘id, dan beliau turut menyertakannya dan tidak kesemua ayat yang mempunyai sebab penurunannya dinyatakan asbab nuzulnya. Bagi ayat-ayat yang dinyatakan sebab nuzulnya, pengarang tidak mendatangkan sanadnya, bahkan ia terus disandarkan kepada Rasulullah s.a.w.

KISAH-KISAH ISRAILIYYAT

Terdapat banyak kisah-kisah Israiliyyat yang disadurkan ke dalam kitab tafsir ini, seperti kisah Harut dan Marut, Nabi dawud, Nabi Sulayman, bahtera Nabi Nuh dan banyak lagi. Selepas dinyatakan kisah-kisah tersebut, pengarang tidak menjelaskan bahawa ia adalah kisah Israiliyyat dan langsung tidak memberi komentar terhadapnya.

Contoh [41]:

AYAT-AYAT HUKUM

Dalam membicarakan mengenai isu-isu berkenaan ayat-ayat hukum, Ustaz Muhammad Sa‘id telah meletakkan tajuk-tajuk bagi ayat-ayat hukum dan beliau akan mengupasnya dengan agak panjang jika dibandingkan dengan ayat-ayat biasa.
Walaubagaimanapun, pengarang tidak membawa pendapat mana-mana imam mazhab yang empat mengenai hukum tersebut, sebaliknya hukum tersebut hanya dinyatakan secara umum sahaja.
Contoh :[42]

Contoh :[43]

AYAT-AYAT MUQATTA‘AH

Mengenai perbincangan di sekitar ayat-ayat muqatta‘ah pula, pengarang amat berhati-hati dan tidak pernah membuat sebarang takwilan bagi mana-mana huruf tersebut, bahkan beliau mengmbil keputusan berdiam diri dan menyerahkannya kepada Allah s.w.t.
Contoh :[44]

Contoh :[45]


AYAT-AYAT MUTASYABIHAT

Bagi ayat-ayat mutasyabihat, Ustaz Muhammad Sa‘id hamya sekadar mentafsirkannya secara ringkas sahaj, dan beliau hanya menyebut pendapat umum para ulama’ salaf dan khalaf tanpa memperincikannya.
Contoh :[46]



QIRA’AT

Ustaz Muhammad Sa‘id langsung tidak membahaskan mengenai perbezaan qira’at bagi sesuatu ayat, apatah lagi menyentuh perihal qira’at syadhdhah.

Contoh :[47]


Contoh bagi qiraat syadhdhah :[48]


Contoh :[49]


PENUTUP

Kitab Tafsir Nur al-Ihsan ini merupakan sebuah karya tafsir dalam versi Bahasa Jawi yang telah memberi banyak manfaat kepada umat Islam di Tanah Melayu. Ia merupakan satu usaha murni daripada Almarhum Ustaz Muhammad Sa‘id yang telah mewariskannya kepada kita sehingga ke hari ini.

Kandungan tafsirnya adalah lengkap dan menyeluruh kerana telah memuatkan penerangan mengenai asbab nuzul ayat, ayat hukum, ayat mutasyabihat, ayat muqatta‘ah dan sebagainya. Walaupun isi kandungannya masih belum lagi mencakupi kesemua aspek sepertimana yang terdapat dalam kitab-kitab tafsir yang dihasilkan daripada ulama’-ulama’ dari Tanah Arab, namun ia sebenarnya adalah sangat bersesuaian dengan senario masyarakat Melayu di ketika itu.

Alangkah baiknya jika kitab tafsir ini diterbitkan dalam wajah baru yang mana boleh diedit dengan meletakkan tanda baca, ditaip semula dengan tulisan yang lebih kemas dan disusun dengan lebih kemas. Sesungguhnya Ustaz Muhammad Sa‘id telah memohon kerjasama daripada generasi selepasnya untuk memperbaiki kesalahan yang mungkin ada dalam kitabnya ini. Jika direnung dan diamati dengan mendalam, inilah amanah yang ditinggalkannya untuk kita semua .

[1] Muhammad Ismi bin Mat Taib (2003), “Israiliyyat Dalam Tafsir : Kajian Terhadap Kitab Nur al-Ihsan Karya Haji Muhammad Said bin Umar” (Disertasi M.A., Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya), h. 51-52.
[2] Ibid., h. 52.
[3] Ibid.
[4] Ibid., h. 53.
[5] Ibid.
[6] Ibid., h. 57.
[7] Ibid.
[8] Muhammad Sa‘id bin Umar (1951), Tafsir Nur al-Ihsan, j.4, c.3. Bangkok: Maktabah wa Matba‘ah Muhammad al-Nahdi wa Awladuh, h. 311.
[9] Muhammad Ismi bin Mat Taib (2003), op.cit., h. 57.
[10] Ibid., h. 58.
[11] Ibid.
[12] Ibid., h. 57.
[13]
[14] Nur ihsan, j.4, h. 311.
[15]
[16] Nur ihsan, j.1, h. 1.
[17] Ismail bin Yusoff (1992),
[18] nur ihsan
[19]
[20]
[21]
[22]
[23]
[24]
[25]
[26]
[27]
[28]
[29]
[30]
[31]
[32]
[33]
[34]
[35]
[36]
[37]
[38]
[39]
[40] j.4, h. 307.
[41] J.1, h. 85.
[42] 74
[43]
[44]
[45]
[46]
[47]
[48]
[49]

2 ulasan:

basyashah berkata...

salam ustaz...maaf bertanya,knp nota kaki kat bawah tu ade yg xlengkap penerangannya..saya nak rujuk tafsir nur ihsan jilid dan muka surat berapa kalo ade rujukannya..hrp ustaz dpt membantu..syukran

Unknown berkata...

Ustaz, jom kita usahakan. Usaha2 lbh mudah untuk di fahami generasi ini. Pm-0195027899

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude