Jumaat, 28 September 2007

Keinsafan di sebalik tirai besi (Penjara)


Salam sejahtera untuk semua pembaca budiman. Alhamdulillah, kita masih diberi kekuatan dan nikmat untuk terus menghirup udaraNya, berjalan di atas bumiNya, menikmati keindahan pemandangan ciptaanNya dan di antara nikmat yang sangat berharga juga ; kita berada di luar tirai besi – tidak terkurung di dalam sana, sebagaimana nasib sesetengah insan yang ditakdirkan untuk berada di sana.

Syukur saya kepada Allah, penyebaran mesej dakwah di bumi kenyalang ini masih dapat diteruskan. Pada waktu yang sama, saya berusaha memperbaiki kemahiran interpersonal dari sudut pergaulan, komunikasi dan belajar kelaka Sarawak. Sehingga kini beberapa tempat telah saya hadiri untuk memenuhi jemputan. Di antaranya ialah :

1) Masjid Muhajirin, Kuching.
2) Masjid Ihsan, Kuching
3) Masjid Politeknik, Kuching
4) Surau Institut Kemahiran Mara, Kuching
5) Kolej Telekom Cawangan Sarawak
6) Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak
7) Ibu Pejabat Kastam Sarawak
8) INTAN Sarawak
9) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Cawangan Sarawak
10) Pusat Serenti Kuching
11) Penjara Pusat Kuching
12) Jabatan Agama Islam Sarawak Bhgn Kapit
13) Masjid Syakirin, Bintulu
14) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri
15) Agensi Anti Dadah Kebangsaan Sibu (Program di Sarikei)
16) Institut Pengajian Tu Abdul Razak, Kota Samarahan
17) Kg Sungai Apin, Simunjan
18) Kg. Hulu Lingga, Sri Aman
19) Kakitangan awam di pekan Lawas (sempadan Brunei)
20) Sekolah Kebangsaan Telaga Air, Kuching
21) Kakitangan awam di pekan Sibu
22) Taman Seri Puteri, Telaga Air Kuching (di bawah KEMAS)

Sesungguhnya besar nikmat Allah buat saya dan teman-teman di sini. Dalam masa 8 bulan saya berada di sini, itulah tempat-tempat yang telah saya jejaki atas satu mesej ; menyebarkan dakwah Islam kepada masyarakat di sini. Lupakan soal persepsi bahawa kita akan ada krisis dengan mereka kerana kita orang Semenanjung atau orang Malaya. Kalau kena gaya dan caranya, Insya Allah mereka sambut kita dengan mesra dan sangat menghormati tetamu.(Sebab itu, kalau raya di sebulan-kalah kita di Semenanjung).

Apapun bagi saya, ia merupakan pengalaman yang sangat berharga. Walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga di Semenanjung, saya anggap ianya sebagai cabaran. Sesungguhnya jalan dakwah bukan mudah, bahkan akan bertemu dengan 1001 ujian dan mehnah. Bukan mudah untuk menyatakan kebenaran kerana ia menuntut keberanian! Dan bukan mudah menjadi seorang yang berani, kalau diri tidak dilengkapi dengan kekuatan dalaman, yang ditunjangi amalan wirid al-Ma’thurat yang konsisten, dan hubungan yang rapat dengan al-Khaliq. Saya berdoa kepada Allah agar terus diberi kekuatan untuk menyampaikan dakwah dengan baki umur yang ada.

Pembaca yang budiman sekalian, semalam saya dijemput untuk menyampaikan pengisian kepada sekumpulan banduan di Penjara Pusat Kuching. Langkah pertama, saya perlu melalui pintu besi yang memisahkan penghuni di dalamnya dengan dunia luar. Kemudian, segala alatan elektronik seperti handset perlu disimpan di kaunter pengawal. Saya kemudiannya dibawa ke surau-perlu melalui satu lagi pintu pagar yang dikawal oleh pengawai yang bertugas. Akhirnya, saya bertemu dengan sekumpulan banduan yang telah diuruskan oleh penganjur untuk mendengar ceramah saya.

Sekali imbas apabila menatap wajah mereka, sebak hati saya. Air muka yang jernih dengan ada di antara mereka mempunyai tanda-tanda sujud di dahi cukup menginsafkan saya. Ketika saya sampai di surau, mereka baru sahaja selesai membaca tahlil. Sangka baik saya, mereka ini orang baik-baik sebenarnya cuma mungkin tersalah memilih jalan ataupun mungkin dianiaya. Akhirnya mereka dipenjarakan.

Saya mulakan ceramah saya dengan menyatakan kepada mereka-Ingatlah, sekali kita silap bukan bermakna kita silap selama-lamanya. Berada di penjara buatan manusia masih bernasib baik kerana mungkin kita akan dibebaskan suatu hari nanti, berbanding berada kekal abadi di penjara Allah ; neraka Jahim merayulah bagaimana sekalipun, mustahil Allah akan lepaskan kita ! Kalau di penjara dunia kita masih boleh makan nasi, lauk ayam dan daging tetapi di penjara Allah makanannya adalah buah zaqqum yang sangat memeritkan dan tiada masa untuk merasai keselesaan walaupun sebentar, melainkan hanya azab yang sangat pedih!

Saya terus meyakinkan mereka dengan kisah seorang pemuda yang telah membunuh 99 orang. Bila dia berjumpa orang alim pertama, dia menceritakan kisahnya serta bertanya adakah Allah menerima taubatya. Orang alim itu yang tidak hikmah dalam menangani masalah pemuda itu, dengan tegas menyatakan-Mana mungkin Allah akan terima taubatmu! Memikirkan apa yang disebut oleh orang alim itu-terus dia berkata-Kalau begitu, alang-alang aku dah buuh 99 orang, baik aku cukupkan 100 orang. Lalu dibunuh orang alim tersebut. Lalu dia berjalan lagi. Bertemu pula dengan orang alim kedua. Masalahnya diceritakan dan soalan yang sama ditanyakan. Orang alim kedua ini menyatakan dengan penuh hikmah-Sebesar gunung pun dosamu, yakinlah pengampunan Allah lebih luas dari itu. Dia menunjukkan kepada pemuda itu supaya pergi ke suatu tempat. Di sana ramai orang yang soleh dan taat kepada Allah. Lalu pemuda ini gembira, kerana masih ada ruang untuk Allah menerima taubatnya. Dia terus menuju ke tempat tersebut. Dalam perjalanan itu, takdir Allah dia meninggal dunia. Turun 2 malaikat. Satu nak membawanya ke syurga dan satu nak membawanya ke neraka. Lalu turun malaikat yang ketiga sebagai hakim.



Diukur jarak perjalanan pemuda itu dengan tempat yang dimaksudkan orang alim kedua tadi. Bila diukur, nyatalah dia semakin hampir dengan tempat tersebut. Maka dengan izin dan rahmat serta kasih sayang Allah, akhirnya pemuda itu dimasukkan ke dalam syurga. Alhamdulillah, ada di antara mereka yang sebak bila mendengar kisah benar ini. Dan saya yakin, bahawa mereka mampu untuk memperbaiki kelemahan diri dan tidak mengulang kesilapan yang sama. Terpancar keikhlasan di wajah jernih mereka.

Saya katakan kepada mereka-2 seruan Allah kepada kita cukuplah sebagi pengajaran yang sangat besar. Allah menyatakan ” Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat nasuha”... dan ”Wahai manusia sesungguhnya kamu adalah faqir dalam perjalanan menuju Allah ”.... Benarlah firman Allah. Kita banyak melakukan dosa kepadanya sebab itu kita dituntut bertaubat. Segala apa yang ada pada kita kini meliputi harta, rumah, kereta, isteri, suami, anak pinak hanyalah pinjaman semata-mata. Bila kita mati, semuanya itu akan ditinggalkan.


Saya tertarik dengan kata-kata Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayatul Hidayah(Permulaan Mendapat Hidayah). Dia menyatakan kita jangan merasakan diri kita telah baik. Hendaklah kita mencela diri kerana masih banyak kekurangan pada diri kita.
Katanya :

1)Kalau kamu bertemu dengan anak kecil-Katakan kepada dirimu - Ya Allah, budak ini masih kecil. Dia masih tidak banyak dosa. Hatinya putih bersih. Sedangkan aku banyak dosa.

2)Kalau kamu bertemu dengan orang tua yang masih tekun beribadat kepada Allah-Katakan kepada dirimu - Ya Allah, orang tua ini masih istiqamah taat kepadamu. Sedangkan diriku tidak pasti bagaimana hala tuju hidupku di waktu tua kelak.

3) Kalau kamu bertemu dengan orang yang melakukan maksiat – Katakan kepada dirimu(pada waktu yang sama berusaha mencegah kemungkaran yang dilakukannya)- Ya Allah, dia melakukan maksiat kerana jahil. Andaikata dia sedar dari kesilapannya dan bertaubat nasuha, nescaya dia akan menjadi orang yang mulia. Sedangkan aku taat kepadaMu, belum tentu Engkau menerima segala amalanku.(Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya-Fiqh al-Awlawiyyat, dia menyebut - Kita telah dibuka oleh Allah pintu taat, tetapi belum tentu kita dibuka pintu maqbul).

Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam kitab yang sama memetik kata-kata Saidina Ali k.w.-”Satu kebaikan yang kamu buat, tetapi kamu berbangga dengannya (riya’), lebih hina berbanding seorang yang melakukan maksiat kemudiannya dia bertaubat nasuha kepada Allah.” Justeru, bagi saya kita yang bebas di luar tirai besi, belum tentu mulia di sisi Allah kalau kita ingkar kepadanya. Tetapi mereka yang berada di sebalik tirai besi, adakalanya lebih mulia di sisi Allah berbanding kita, andainya mereka sedar dan bertaubat nasuha di atas kesilapan yang telah dilakukan dan berazam tidak mengulanginya kembali! Akhir kalam, moga kita mendapat keinsafan dengan kisah banduan di sebalik tirai besi. Ternyata penjara, kadangkala mampu memanusiakan seorang manusia.(Akan saya paparkan nanti kisah Syeikhul Islam Imam Ibn Taimiyyah yang dipenjara bersama anak muridnya ; Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah, hanya kerana mereka menongkah arus dan berusaha memecahkan kejumudan dan ketaqlidan di kalangan umat pada zaman mereka).

Ya Allah, ampunkanlah dosa kami. Baik dosa yang zahir atau dosa yang batin. Baik dosa yang kecil mahupun dosa yang besar. Sesungguhnya tiada siapa yang dapat mengampunkan dosa kami melainkan Engkau Ya Allah. Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, teguhkan iman kami, mantapkan aqidah kami, mudahkan urusan kami, murahkan rezeki kami, matikanlah kami di dalam Iman dan Islam. Halalkanlah makan minum kami selama ini, berkatilah kehidupan kami, masukkanlah kami ke dalam syurgaMu dan hindarkanlah kami dari azab nerakaMu. Amin, Ya Rabbal Alamin. Berkat bulan Ramadhan yang mulia ini Ya Allah, terimalah taubat dan amal kami.

Selesai membaca doa ini selepas solat Magrib berjamaah, kami bersalaman di antara satu sama lain. Ada yang mencium tangan dan mengucapkan terima kasih kepada saya di atas tazkirah yang diberikan. Benarlah kata Nabi saw ” Seseorang yang mendapat hidayah dengan asbab kamu, lebih baik dari kamu menerima seekor unta betina merah(yang sangat mahal harganya). Moga Allah menilai ia sebagai amalan soleh yang akan menjadi hujjah untuk saya di akhirat nanti. Ya Allah, aku telah menyampaikan kebenaran risalah dakwah Islam. Terimalah ia Ya Allah sebagi hujjahku di akhirat kelak! Akhirnya saya melangkah keluar dari penjara dengan satu harapan-Ya Allah mereka ini ikhlas mengakui kesalahan mereka. Ampunkanlah dosa mereka Ya Allah.


28 September 2007, 16 Ramadhan 1428,

11.33 pagi, Malaysia Timur

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude