KOMUNIKASI BERKESAN UNTUK FASILITATOR
Abdul Mua’ti @ Zamri bin Ahmad, Ph.D.
Jabatan Komunikasi
Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi
Universiti Putra Malaysia
e-mail: abmuati@putra.upm.edu.my
Pengenalan
Manusia adalah makhluk yang dijadikan Allah Subhanahu wataala dengan spesifikasi sosial. Ertinya manusia tidak dapat hidup bersendirian, tanpa manusia lain atau masyarakat. Justeru manusia yang hidup dalam masyarakat pula perlu dipimpin atau diketuai oleh manusia lain dalam menjalankan urusan penghidupan hariannya. Allah Subhanahu wataala telah menetapkan missi hidup manusia di tengah-tengah masyarakat itu untuk mengabdikan diri kepadaNya. Pengabdian ini dimanifestasikan dengan suruhan beribadah kepadaNya. Ibadah yang diperintah Allah Subhanahu wataala kepada umat manusia perlu difahami dalam konteks yang luas, mencakupi ibadah yang am dan yang khusus. Maka dalam masyarakat umat manusia itu diperintah pula oleh Allah Subhanahu wataala untuk berdakwah atau menyeru ke jalanNya. Dakwah Islamiah adalah kewajipan yang ditanggung setiap manusia Islam terutamanya yang memegang amanah kepemimpinan. Paksi seruan dakwah ini ialah “amar makruf nahil mungkar”. Inilah sebenarnya komunikasi Islam. Kertas kerja ini memuatkan kupasan ringkas mengenai cara mana kita sebagai umat Islam dapat menggapai kegemilangan melalui komunikasi antara sesama insan.
Konsep komunikasi
Komunikasi secara umumnya merujuk kepada usaha perkongsian maklumat antara satu pihak yang disebut sumber dengan pihak yang lagi satu yang disebut penerima atau sasaran. Maka yang menjadi asas dalam interaksi sesama manusia ini ialah perkongsian makna. Justeru seseorang manusia yang menjadi sumber itu hendaklah berusaha menjadikan mesejnya mudah difahami agar maksud mesej dapat sama-sama ditafsirkan oleh penerima. Sekiranya penerima gagal mentafsir mesej yang diterimanya dari sumber, maka komunikasi tidak berlaku. Malah apa yang berlaku ialah kerosakan berkomunikasi.
Kepemimpinan Insan dalam Islam
Insan sebagai khalifah di atas muka bumi sebenarnya telah dijanjikan akan kegemilangannya. Malah Allah s.w.t. juga telah menjanjikan bahawa insan ini adalah sebaik-baik makhluk yang dijadikanNya. Walau bagaimanapun, lantaran tergelincir dari landasan iman dan tuntunan agama insan kehilangan kegemilangan. Keciciran insan ini antara lain dapat dilihat dari ketidakupayaan mereka berkomunikasi dengan berkesan sehingga menimbulkan pelabagai macam kerosakan dan masalah dalam menguruskan kehidupan harian terutamanya yang berkaitan kepeimpinan umat. Hakikatnya komunikasi dalam Islam berpaksikan kepada dua iaitu menyeru kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Kepemimpinan dari kaca mata Barat lebih kepada kebolehan individu pemimpin mempengaruhi pengikut mencapai objektif yang dihasratkannya tetapi dari kaca mata islam kepemimpinan lebih kepada amanah dan tanggungjawab mensejahterakan pengikut (ra’in). Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah cara merealisasikan kesejahteraan umat. Kelalaian dan kegagalan insan menjalankan kedua-dua tuntutan berkomunikasi ini mengakibatkan kualiti kegemilangan insan itu pudar malah ada ketikanya tenggelam langsung. Contoh teladan baginda Rasulullah s.a.w. menyeimbang dan melaksanakan kedua-duanya menyebabkan umat Arab Quraisy pada zaman lampau muncul dari segala kejahilan menjadi insan yang paling gemilang dalam sejarah peradaban umat manusia. Kesinambungan kegemilangan Islam dapat dilihat dalam zaman pemerintahan atau kepemimpinan khalifah-khalifah selepas baginda sehingga Islam memerintah sebahagian besar muka bumi dan membentuk tamadun yang dikagumi di Timur dan Barat. Namun kegemilangan tamadun Islam semakin pudar dan musnah apabila pemimpin-pemimpin empayar Islam semakin renggang dari perintah Allah Subhanahu wataala dan membelakangkan sunah Rasul. Sejarah banyak mencatatkan hakikat ini sebagai pengajaran khususnya apa yang berlaku di Andalusia dan Turki.
Kegemilangan Insan dan Komunikasi
Telah kita maklumi bahawa telah menjadi sunatullah di dalam hidup ini manusia perlu berhubung dengan Tuhan yang menciptakannya, sesama manusia lain di sekelilingnya dan juga dengan alam sekitaran penghidupannya. Sebagai ad-din atau peradaban hidup yang sempurna, Islam tentunya mempunyai garis panduan yang boleh dijadikan landasan dalam berkomunikasi.
Sepertimana yang disebutkan tadi, komunikasi dalam Islam dilaksanakan dengan tujuan untuk menyampaikan kalam Allah di atas muka bumi ini. Dengan kata lain komunikasi Islam berpaksikan usaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan atau kemungkaran (amar ma’ruf nahil mungkar). Justeru dari nas-nas Al-Quran dan Hadits Rasul, garispanduan berikut boleh dijadikan panduan dalam berkomunikasi demi menyerlahkan kegemilangan insan seperti mana yang dijanjikan.

1. Rancang idea sebelum berkomunikasi.
Komunikasi yang berkesan samalah seperti aktiviti lain yang dijalankan oleh manusia. Ia memerlukan perancangan yang rapi. Kaedah komunikasi yang terancang dengan baik dan sistematik melambangkan kebijaksanaan pengucap.
Firman Allah Ta'ala dalam Surah An‑Nahl (125) bermaksud ..."Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan pengajaran yang baik....."
Hikmah di sini merujuk kepada perancangan yang bijaksana yang memerlukan usaha pemerhatian, pengamatan, penelitian dan perencanaan yang sistematik agar dapat mencerakinkan situasi dan seterusnya membentuk strategi yang tepat.
2. Analisis penerima atau sasaran.
Penerima atau sasaran hendaklah dianalisis agar dapat disesuaikan mesej dengan mereka. Antara perkara‑perkara yang perlu diketahui ialah seperti tahap pengetahuan, tahap pendidikan, sikap, sensitiviti serta mentaliti mereka.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud “berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka masing-masing”.
3. Isi bicara hendaklah benar.
Kebenaran isi bicara amat mustahak apabila kita berkomunikasi, apatah lagi jika berkomunikasi dengan hasrat untuk mengubah golongan sasaran. Keyakinan dan keintiman pendengar terhadap kita akan hancur sekiranya terselit kesangsian tentang kebenaran mesej yang kita bawa.
Firman Allah Taala dalam Surah Al-Ahzab ayat 70 bermaksud “Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar”.
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud “iman seseorang itu tidak lurus kecuali hatinya lurus dan hatinya tidak lurus kecuali lidahnya lurus”.
Kedua-dua dalil ini dengan jelas menyatakan kepada kita bahawa bercakap benar adalah suatu perintah yang utama.
4. Gaya bahasa hendaklah bersesuaian dan baik.
Kata orang bahasa melambangkan bangsa. Sebenarnya Allah menciptakan bahasa dengan penuh keindahan. Hanya manusia yang mencemari keindahan bahasa itu dengan menggunakan perkataan yang kotor lagi keji apabila tidak dapat mengawal lidah dengan fikiran yang waras.
Berkaitan dengan persoalan ini Allah Taala berfirman di dalam Al-Quran bermaksud:
“dan katakanlah kepada hamba-hamba Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang baik……..” (Al-Isra:53)
“…dan ucapkanlah kata-kata yang baik kepada manusia.” (Al-Baqarah:83)
“…dan katakanlah kepada mereka perkataan yang baik.” (An-Nisaa:8)
Sabda Rasulullah s.a.w. pula bermaksud “Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Kiamat hendaklah beliau mengatakan yang baik atau diam sahaja”.
Islam juga amat menitikberatkan penggunaan perkataan atau bahasa yang baik ketika berkomunikasi, khususnya dalam keluarga. Individu yang datang dari keluarga yang sopan biasanya menggunakan bahasa yang baik, manakala anak‑anak yang dibesarkan dalam masyarakat atau keluarga yang pincang lazimnya gemar menggunakan perkataan keji dan kotor seperti memaki hamun, mengeluarkan kata-kata lucah dan sebagainya.
5. Nada percakapan hendaklah terkawal dan sesuai.
Ini adalah kerana kelembutan bicara dan kelunakan suara amat berkesan dalam usaha‑usaha memujuk untuk mengubah manusia. Suara yang lunak menikam kalbu dan mampu memadam pertentangan.
Firman Allah Taala bermaksud:
“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufuran. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata yang lemah-lembut semoga ia beringat atau takut”. (Ta-Ha:43-44)
“….dan lunakkanlah suara engkau. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara himar (keldai)”. (Luqman:19)
Kadang-kadang bila kemarahan menguasai pemikiran, orang mencari jalan keluar dengan meninggikan suara. Lazimnya orang yang ditengking akan menengking balas. Ini akan memburukkan lagi keadaan yang sedia tegang. Akhirnya keharmonian hilang. Tetapi kemarahan yang menyinga mampu dipadam dengan kelembutan suara. Malah orang lebih mudah disedarkan dari kesilapan dengan suara yang lunak.
6. Susunan maklumat perlu jelas dan berstruktur.
Mesej yang tersusun dengan jelas mampu memahamkan pendengar dengan mudah dan tidak mengelirukan.
Firman Allah Taala bermaksud: “Dan diwajibkan kepada Rasul hanyalah menyampaikan dengan terang dan nyata.” (An-Nur:54)
Dhirran bin Dhamrah Alkinany pernah memberitahu Muawiyah tentang keperibadian Saidina Ali r.a. . Katanya “ Ketahuilah bahawa Ali r.a. itu ialah orang yang berpandangan jauh, orang yang kuat, bila berkata perkataannya jelas (tepat) dan bila menghukum beliau berlaku adil, ………”
Sebaliknya mesej yang tidak tersusun akan menjadikan penerima keliru dan salah faham.
7. Bahasa badan perlu menyokong lisan.
Penghayatan dan semangat perlu dalam masa berkomunikasi bagi melambangkan keseriusan tujuan. Penghayatan ini terpancar melalui bahasa badan yang kerapkali digunakan untuk menguatkan makna lisan.
Muslim dan Ibnu Majah pernah meriwayatkan: “Apabila Rasulullah s.a.w. berkhutbah, kedua matanya merah, suaranya lantang (nyaring) dan semangatnya bangkit, bagai seorang panglima perang yang memperingatkan tentang kedatangan musuh yang ingin memerangi umat Islam di ketika pagi atau petangnya”.
Hadrat Amrah r.a. pernah bertanya kepada A’ishah r.a. “Apakah yang Rasulullah s.a.w. lakukan apabila berada bersendirian bersama isteri-isteri baginda? A’ishah r.a. memberitahu bahawa seperti juga lelaki lain Rasulullah s.a.w. juga lelaki tetapi baginda adalah orang yang sangat pengasih serta bersifat penyayang dan beliau sentiasa mengukirkan senyuman.”
Senyuman adalah bahasa badan yang memanifestasikan kejernihan hati dan jiwa. Kata-kata yang baik tentunya kosong dan tidak bermakna tanpa senyuman dan kejernihan air muka.
8. Berhujah dengan waras.
Ada kalanya sebagai manusia kita tidak boleh lari dari keperluan berhujah. Maka hujah yang paling baik dan berkualiti ialah hujah yang waras atau rasional, bukan yang penuh emosi.
Allah Taala berfirman dalam Surah An-Nahl ayat 125 bermaksud: “…dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik….”
Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “tinggalkan perbantahan kerana perbantahan tidak akan mendatangkan hikmah dan tidak mengamankan daripada fitnah.” (Riwayat At-Tabrani).
Kita berhujah bukan untuk mencari kemenangan tetapi adalah dengan tujuan untuk menyerlahkan kebenaran. Maka sandarkanlah hujah-hujah kita kepada alasan-alasan dan dalil-dalil yang benar lagi menasabah. Dan bersedialah mengaku kesilapan dengan hati terbuka andai terbukti hujah kita tersilap.
9. Ambilkira pendapat orang lain.
Jika perlu dan bersesuaian, sentiasalah bertanya pendapat orang lain yang mungkin lebih berkepakaran dan berpengalaman dalam sesuatu aspek semasa merancang komunikasi.
Dalam hal ini Allah Taala berfirman bermaksud:
“…dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu….” (Ali-Imran:159)
“…dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka…” (Shura:36).
Kerapkali keputusan yang dibuat secara kolektif sama ada dalam keluarga atau pun dalam organisasi jauh lebih tepat dan berkat berbanding keputusan yang dibuat sendirian.
10. Perbuat apa yang dicakapkan.
Cara menasihat atau mengajar yang terbaik ialah dengan cara memberikan contoh teladan. Perilaku pembicara sendiri harus melambangkan satu idola yang boleh dijadikan model oleh para pendengarnya.
Firman Allah Taala bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan apa yang tidak kamu perbuat. Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (As-Saff: 2-3).
Penerima lazimnya lebih terpengaruh dengan apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar. Sumber yang berwibawa ialah yang mengatakan sesuatu dengan perbuatan, bukan hanya dengan lisan.
11. Meninggalkan celaan dan mengumpat.
Mengumpat dan mengutuk orang lain akan hanya menjatuhkan kredibiliti sendiri. Komunikasi yang dimuatkan dengan umpat keji tidak mendatangkan faedah kepada sesiapa. Dalam konteks ini kita lihat firman Allah Taala bermaksud:
“Celakalah (azablah) untuk tiap-tiap orang pengumpat dan pencela”. (Al-Humazah:1)
Manakala sabda Rasulullah s.a.w. pula bermaksud:
“Orang Mukmin itu bukanlah jenis orang yang suka mengutuk.” (Riwayat At-Tarmizi).
“Janganlah kamu mengumpat orang-orang Islam dan janganlah meneliti cela-cela mereka.” (Riwayat Abu Daud).
‘Tidak masuk syurga orang yang suka membawa fitnah.” (Riwayat Al-Bukhari).
Maka rebutlah peluang berkomunikasi itu dengan menitikberatkan keistimewaan dan kekuatan orang lain, bukan mencari dan membesarkan kesalahan, kelemahan dan keaiban mereka.
12. Menjauhi tanggapan buruk terhadap orang lain.
Sikap suka menilai orang dari pandangan pertama yang berbentuk kulitan harus dijauhi oleh semua orang. Sikap buruk begini akan hanya menimbulkan perasaan negatif yang akan membawa kepada prasangka buruk atau prejudis yang tidak akan menguntungkan sesiapa.
Firman Allah Taala bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka buruk. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka buruk itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah kamu mengumpat sebahagian yang lain….” (Al-Hujurat: 12).
Prasangka buruk adalah punca kepada segala gejala yang negatif seperti mengumpat, gossip, mencela, sabotaj dan sebagainya yang meruntuhkan sesama umat. Maka padamkanlah prasangka buruk tatkala ia terdetik di dalam hati dengan istighfar.
13. Mendengar dengan berkesan.
Komunikasi tidak hanya tertumpu kepada mulut yang berbicara tetapi juga kepada sepasang telinga yang sentiasa tersedia untuk mendengar dan memahami dengan rasional.
Firman Allah Taala bermaksud “Sesungguhnya yang memperkenankan (seruan engkau) hanya orang-orang yang sebenarnya mendengar. Tetapi orang yang mati (pelita hatinya) nanti Allah akan membangkitkan mereka kemudian mereka dikembalikan kepadaNya”. (Al-Anaam:36)
“Jangan kamu seperti orang-orang yang berkata: kami telah mendengar, tetapi mereka tiada mendengarkan. Sesungguhnya sejahat-jahat yang melata (di muka bumi) di sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan bisu, mereka tiada memikir apa-apa pun”. (Al-Anfaal: 21-22)
“Apabila dibacakan ayat-ayat kami kepadanya, ia berpaling menyombongkan diri, seolah-olah telinganya pekak, sebab itu berilah dia khabar dengan siksa yang pedih”.(Luqman:7)
Mendengar bukan hanya tindakan pukulan gelombang bunyi ke atas gegendang telinga semata-mata. Ianya adalah proses menterjemahkan tindakan fizikal bunyi tadi kepada pemahaman yang membuahkan respons. Hanya orang yang benar-benar mendengar sahaja boleh memahami. Jika tidak, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, tidak membuahkan apa-apa hasil.
Penutup
Demikianlah sedikit kupasan mengenai komunikasi dan perkaitannya dengan amanah kepemimpinan bagi mencapai kegemilangan diri seseorang insan dan masyarakat serta umat Islam sejagat. Semoga kupasan ringkas ini dapat dimanfaatkan. Wallahu a'am bissawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan