Selasa, 19 Jun 2007

Tafsir Ayat 180 Surah al-A'raf ; Satu Penilaian Terhadap Tanggapan Tuhan Samseng (Part VI)

Secara umumnya pada bab ini, penulis akan mengaitkan polemik semasa berkaitan isu Tuhan Samseng yang telah menjadi bualan hangat di kalangan umat Islam di Malaysia pada suatu ketika dengan menghubungjalinkannya bersama kupasan-kupasan ilmiah di kalangan mufassirun (para ‘ulama’ Tafsir) berkenaan ayat 180 surah al-A‘raf dan pandangan para ‘ulama’ mengenai kaedah sebenar penggunaan Asma-ul Husna.

Seterusnya penulis akan menampilkan penilaian penulis mengenai isu ini berasaskan pandangan para ‘ulama’ berkaitan penghuraian terhadap Asma-ul Husna di kalangan manusia dengan metod yang terbaik.

Isu ini mula menjadi perhatian ramai apabila Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan telah menyampaikan suatu ucapan di dalam majlis yang telah diadakan pada hari Jumaat, 15 Mac 2002 bersamaan 1 Muharram 1423 Hijrah bertempat di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan Darul Naim. [1] Berikut adalah teks syarahan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat yang telah disalin daripada video cakera padat (VCD) yang telah tersebar di seluruh negara.

“ Semua manusia mempunyai nafsu buas tetapi kebuasan ini Islam control dengan kiamat. Kepercayaan manusia kepada kiamat menyebabkan seganas-ganas manusia tak jadi ganas kerana dia yakin bahawa bagaimana ganasnya aku, bagaimana tingginya pangkat aku, tapi apalah nasib aku bila berdepan dengan Padang Mahsyar. Di Padang Mahsyar pula ada yang lebih gagah lagi daripada aku yang namaNya Allah Subhanahu wa Ta’ala, ada lagi yang lebih Jabbarut (lebih samseng) daripada aku, itu Allah Subhanahu wa Ta’ala, ada lagi yang lebih angkuh daripada aku, itu Allah Subhanahu wa Ta’ala. Dan satu nama daripada nama Allah Subhanahu wa Ta’ala ialah al-Mutakabbir (al-Jabbar al-Mutakabbir). al-Jabbar maknanya gagah kuasa atau kita panggil “samseng” , al-Mutakabbir maknanya sombong angkuh, Akulah (Allah) Orangnya Yang Sombong. Itu satu sifat daripada Allah Ta’ala, Samseng pun duduk di Aku, Gedebe Sombong pun duduk di Aku, kalau mu samseng, Aku lebih samseng, kalau mu jahat, Aku lebih jahat, kalau mu sombong, Aku lebih sombong. Kepercayaan kita manusia kepada aqidah inilah kita panggil aqidah akhirat, menyebabkan orang Melayu sokong PAS (Parti Islam SeMalaysia) ini tidak jahat.” [2]

Isu ini pada mulanya tidak tidak disedari oleh kebanyakan umat Islam di negara kita, sehinggalah pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyiarkan sedutan ucapan ini oleh Menteri Besar Kelantan ; Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Klip video ucapan ini telah disiarkan melalui TV 1 pada 30 Ogos 2002. Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin penyiaran ucapan itu akan dibuat dalam Berita Perdana jam 8 malam. Beliau bagaimanapun menjelaskan, klip video itu tidak akan menyiarkan perkara lain yang disentuh oleh Nik Aziz, kecuali dalam konteks tafsirannya mengenai Allah sebagai samseng. Beliau juga menyatakan bahawa ucapan Nik Aziz itu berasaskan kepada video cakera padat (VCD) yang diedarkan di pasaran. [3]

Sebaik sahaja video klip tersebut disiarkan, ternyata ia mengundang reaksi pantas daripada pelbagai pihak. Ia meliputi ahli politik, para cendekiawan, para penulis, serta orang ramai. Ada yang menyokong kenyataan Tuan Guru Nik Aziz bin Nik Mat, tetapi ternyata ramai pihak yang membantah penggunaan kalimah samseng dinisbahkan kepada Allah di dalam ucapannya. Sesungguhnya, isu Tuhan Samseng ini telah merakyat dengan begitu pantas di kalangan umat Islam di negara ini. Media massa sama ada suratkhabar, televisyen, radio dan internet saban hari membincangkan isu yang begitu penting ini.
Bagi penulis, isu ini telah secara tidak langsung telah membuka mata semua pihak dalam membicarakan secara terbuka dan ilmiah mengenai nama-nama dan sifat Allah, meskipun ada yang kenyataan yang berunsur politik berkaitan isu ini.

4.2 Pandangan Tokoh-Tokoh Berkenaan Isu Tuhan Samseng

4.2.1 Pandangan Ahli Politik


Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman dalam satu kenyataannya berhubung ucapan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz, menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak bersetuju dengan ucapan Nik Aziz bahawa Allah bersifat dengan sifat-sifat buruk dan keji bahkan Allah juga mempunyai kekurangan seperti sifat samseng, jahat dan penipu, mencarut kerana yang demikian menjejaskan zat Allah yang memegang Rububiyyah ( ketuhanan) dan mengurangkan Kamal Rububyiyah ( kesempurnaan ketuhananNya).

Beliau juga menyatakan bahawa Nik Aziz telah membuat kesalahan besar dalam aqidah Islam dengan memanggil Allah itu samseng dan atas sebab itulah Nik Aziz mesti bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Bagi beliau, perbuatan Nik Aziz adalah berdosa dan sesiapa yang mengikutnya adalah berdosa. Perbuatannya telah menimbulkan hal-hal yang bersangkutan dengan zat dan sifat Allah itu adalah sama dengan kumpulan al-Khawarij dalam pemerintahan Islam Bani ‘Umaiyyah dan ‘Abbasiyyah.[4]

Di samping itu, beliau juga mempersoalkan apakah tujuan Nik Aziz menimbulkan perkara-perkara aqidah yang disebut dalam ilmu Islam sebagai perkara Thawabit iaitu perkara yang diajar dalam syariat dan dipegang sejak Nabi Adam.

Bagi beliau, perkara ini bukanlah perkara mutaghaiyyarat iaitu perkara yang berubah-ubah mengikut zaman dan keadaan. Perkara yang ditimbulkan oleh Nik Aziz pada pandangan beliau menyebabkan kegelisahan kerana sepanjang masa kita mengajar di sekolah-sekolah dan di tempat-tempat lain tentang keagungan dan kebesaran Allah. Beliau turut mempersoalkan mengapa Nik Aziz menyandarkan nama-nama yang hina kepada Allah.

Beliau juga mengulas kenyataan Nik Aziz yang bersetuju dengan beliau tentang sifat yang ada pada manusia ada juga pada Allah dengan mengatakan bahawa, mengikut ilmu Islam, sifat yang tersebut di dalam Asma-ul Husna itu diberi sedikit daripadaNya kepada manusia tetap sangat terhad dan tidak sampai kepada had yang ada pada Allah s.w.t. seperti sifat belas kasihan, lemah lembut, berilmu dan sebagainya.[5]

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata tindakan Nik Aziz yang juga merupakan Mursyidul Am Pas (Parti Islam SeMalaysia) menyifatkan Allah sebagai samseng sebagai bukti bahawa Pas kini mengalami tekanan hebat sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk tafsiran menyimpang kandungan al-Qur’an bagi mendapat simpati rakyat di negara ini. Beliau juga menegaskan bahawa rakyat Malaysia kini sedar dengan sikap dan sifat pemimpin Pas dan perbuatan perosak agama ini akan dihukum menerusi pilihanraya umum akan datang dengan menolak mereka.[6]

Pada waktu yang sama, Menteri Besar Pahang , Datuk Seri Adnan Yaakob berpendapat adalah wajar Nik Aziz bermuhasabah dan menghitung diri sendiri, selain insaf bahawa apa yang dicakapkan itu tidak betul. Beliau meyakini Nik Aziz menyedari kesilapannya tetapi terus mempertahankan pendiriannya demi kepentingan politik kerana dia adalah seorang ahli politik. Beliau menegaskan bahawa Nik Aziz bertindak mempertahankan kenyataannya itu kerana takut penyokong serta mereka yang menganggap Nik Aziz “ tuan guru sebenar ” tidak menyokongnya lagi. Beliau juga menjelaskan, sifat Allah Maha Suci daripada segala perbandingan dan Allah tidak boleh disamakan dengan mana-mana makhluk. [7]

Sementara itu, Perdana Menteri juga merangkap Presiden Umno (United Malay National Organization) , Datuk Seri Dr. Mahathir menyatakan Majlis Tertinggi Umno telah memberi kata dua kepada Nik Aziz supaya bertaubat kerana menyamakan sifat Allah dengan manusia atau menghadapi tindakan daripada kerajaan. [8]

Menurut beliau, tindakan Nik Aziz yang mengaitkan Allah dengan samseng, penipu dan penjahat maha besar sebagai sudah melampaui batas. Tegas Dr. Mahathir, isu Tuhan Samseng ini sudah tidak boleh dianggap sebagai satu perkara politik kerana ia menyentuh soal kepercayaan umat Islam di negara ini.

Beliau juga menyifatkan keengganan Nik Aziz bertaubat selepas mengatakan Allah samseng , adalah antara kecacatan Menteri Besar Kelantan itu. Beliau menjelaskan lagi, walaupun telah berdosa apabila mengatakan Allah sedemikian, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, adalah seorang yang tidak pernah mengakui kelemahan dirinya. Sebagai manusia biasa, beliau berkata setiap orang ada kelemahannya. Malah beliau sendiri pun ada kecacatannya apabila gagal mengubah sikap orang Melayu seperti yang dicita-citakan.

Beliau menegaskan Nik Aziz cukup cacat kerana tidak mahu bertaubat walaupun dia mengatakan Allah samseng. Beliau juga menjelaskan, tidak terdapat di dalam 99 nama Allah yang menyebut Tuhan itu “maha samseng” atau “maha penjahat”. Justeru, beliau akan memulakan ucapannya dengan nama-nama Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.[9]

Di samping itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam mengulas isu ini, fatwa yang melarang mana-mana pihak menggunakan sebarang perkataan menghina sifat Allah mungkin akan dikeluarkan bagi menghalang kejadian tersebut daripada terus berleluasa di negara ini. Ia adalah penting bagi memastikan pihak- pihak tertentu tidak terus memesongkan aqidah umat Islam.

Beliau juga menegaskan, kerajaan perlu memperjelaskan kepada orang ramai berhubung tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mendakwa Tuhan sebagai samseng. Bagi beliau, walaupun ada pihak yang tidak senang dengan langkah kerajaan menyiarkan penjelasan tersebut, terutamanya menerusi media massa, namun itu adalah cara terbaik. Beliau menambah lagi, ada pihak yang mendesak supaya tidak menghebohkan lagi isu Tuhan Samseng ini kerana Nik Aziz merupakan “tok guru” namun kerajaan perlu menjelaskan perkara tersebut supaya orang ramai tidak terkeliru.Beliau juga menyatakan, tidak ada sebab mengapa manusia harus memberi gelaran atau sifat-sifat yang tidak baik kepada Allah kerana Allah sendiri memberi nama-nama yang baik.

Beliau menegaskan, siapa kita untuk memberi sifat-sifat yang tidak baik kepadaNya dan perkataan samseng tidak membawa makna yang baik dalam bahasa kita. Oleh yang demikian, perbuatan menyifatkan Allah sebagai samseng perlu dielakkan. [10]

Walau bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu yang juga merangkap Pemangku Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan pendirian Musryidul Amnya, Datuk Nik Aziz berhubung kenyataan mengaitkan Allah itu samseng yang didakwa terus dikelirukan untuk memburukkan parti itu. Beliau berkata, Nik Aziz tidak bersendirian, malah turut mendapat sokongan para ‘ulama’ dalam dan luar parti, cendekiawan, badan-badan bukan kerajaan yang memahami maksud sebenar.

Beliau menjelaskan, tuduhan penghinaan terhadap Allah sebenarnya dilemparkan oleh mereka yang bukannya ahli agama dan tidak pula memahami ilmu bahasa Arab di samping mencari kesempatan politik. Sehubungan itu beliau berpendapat, selain memikirkan tindakan undang-undang adalah lebih baik isu ini dibincangkan dalam muzakarah ‘ulama’ untuk mencari jalan penyelesaian. Bagi beliau, Nik Aziz perlu diberi peluang untuk menjelaskan di RTM dan bersoal jawab dengan penonton kerana langkah ini akan memudahkan orang ramai memahami isu sebenar, apatah lagi televisyen berada di setiap rumah.[11]

Beliau juga menyatakan bahawa Nik Aziz mungkin boleh diambil tindakan sekiranya beliau didapati benar bersalah, tetapi haruslah dilakukan secara adil dan bukannya zalim. Mereka (yang mengadili) mestilah golongan yang ahli, ikhlas dan berani menegakkan kebenaran. Menurut beliau lagi, pengertian daripada kenyataan Nik Aziz harus dilihat dalam konteks ilmu agama, ilmu bahasa Arab dan maksud ayat yang dijelaskan dalam loghat tempatan. Tambah beliau lagi, nama-nama Tuhan ada yang khusus untuk Tuhan semata-mata, tetapi juga ada nama yang boleh dipakai oleh manusia dan ada yang membawa pengertian sifat yang berbeza.

Beliau menampilkan contoh seperti nama Allah adalah khusus bagiNya, begitu juga , Malikul Mulk membawa pengertian Raja bagi segala Raja. Haram dipakai oleh hambaNya. Manakala al-Rahim (Maha Mengasihani), boleh dipakai oleh manusia. Begitu juga al-Rahman, tetapi ada ‘ulama’ yang mengkhususkan ia adalah untuk Tuhan sahaja. Oleh yang demikian, pada pandangan beliau, perkataan “ samseng ” adalah kemuliaan kepada Tuhan. al-Jabbar, yakni untuk mengalahkan musuh dan orang jahat dengan menggunakan kekuatan. Dan inilah pada pendapat beliau, yang telah dipertikaikan. Seperti al-Mutakabbir daripada perkataan takabbur iaitu membangga diri dan sombong. Kalau untuk Tuhan ia bersifat kepujian, tetapi kalau untuk manusia tenyata ia bersifat keji.[12]

Sementara itu,Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang juga merangkap Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Yang Berhormat Takiyuddin Hassan menegaskan RTM perlu mengadakan forum bagi memberi peluang kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu menyamakan Allah dengan samseng.

Beliau menjelaskan klip video yang telah disiarkan oleh RTM pada 30 Ogos 2002 adalah mengelirukan malah tidak disiarkan sepenuhnya. Beliau meminta Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan, Datuk Zainuddin Maidin dengan ikhlas membuat program tersebut dan menjemput sesiapa sahaja untuk menjadi panelnya. Jika tidak, Pemuda Pas Kelantan akan menganjurkan sendiri forum dengan menjemput Nik Aziz sebagai speaker dan pihak-pihak lain untuk menyertainya.

Tegas beliau lagi, Pemuda Pas Kelantan akan menjemput pihak-pihak dari Yayasan Da’wah Islamiah Malaysia (YADIM), Persatuan ‘Ulama’ Malaysia (PUM), UMNO, dan badan – badan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan wartawan untuk menjadi ahli panel forum itu. Beliau juga menyatakan, forum itu akan diadakan di kawasan yang neutral (tidak berpihak kepada mana-mana pihak). [13]

Selain itu, beliau turut memberitahu tafsiran al-Qur’an mengikut istilah tempatan (loghat Kelantan), adalah perkara biasa di Kelantan. Ini termasuklah apabila Tuan Guru Nik Aziz mentafsir al-Mutakabbir sebagai samseng, bagi rakyat Kelantan adalah perkara biasa dan tidak menjadi kejanggalan dalam perbualan seharian.[14]

4.2.2 Pandangan Ilmuwan dan Ulama

Di samping itu, terdapat beberapa pihak lain yang juga tampil memberikan pandangan mereka berhubung dengan isu Tuhan Samseng ini seperti para ilmuwan, cendekiawan, penulis dan para ‘ulama’.

Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia ( IKIM), Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob menegaskan soal penggunaan perkataan samseng bagi menyamakan sifat Allah sewajarnya ditangani secara perundangan, bukannya mengeluarkan fatwa.

Ini kerana bagi beliau, soal ini bukan perkara khusus mengenai agama dan tidak membabitkan ‘ulama’ biasa, melainkan ‘ulama’ yang mempunyai kepentingan politik atau ahli politik ketika menyampaikan ceramah politik.[15]

Beliau berpandangan, sekiranya perkara itu ditangani menerusi fatwa, pada masa depan Majlis Fatwa Kebangsaan mungkin terpaksa mengeluarkan lebih banyak fatwa apabila ahli politik yang tidak bertanggungjawab menggunakan istilah lain pula.[16]Sementara itu, pensyarah Jabatan al-Qur’an dan al-Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, Allah tidak sepatutnya disamakan dengan sifat buruk manusia kerana ia adalah perbuatan yang tidak sopan dan beradab. Beliau juga menegaskan, golongan agama perlu menghentikan pertikaian tentang perkara yang membabitkan masalah teologi (ketuhanan) seperti menyamakan sifat Allah dengan sifat manusia kerana ia akan mendatangkan fitnah dan mengelirukan orang awam.

Beliau menambah lagi, kalau kepada Rasulullah s.a.w. kita mesti beradab dan bersopan, apatah lagi di sisi Allah. Umpamanya apabila berdoa, seseorang itu perlu menyebut ungkapan yang indah dan lunak.

Pada pandangan beliau, dengan wujudnya kecenderungan untuk menyamakan sifat Allah dengan sifat manusia, fitnah akan timbul kerana umat Islam kini berada di tahap muqallid (berpegang pada satu-satu mazhab) dan bukannya talfiq (memahami semua mazhab), apatah lagi peringakat mujtahid (mampu berijtihad untuk mengeluarkan sesuatu hukum mengikut kaedah yang telah digariskan oleh syara’).[17]

Selain itu, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan, Profesor Madya Mohd. Nor Deris berkata, perbuatan Pas yang memutarbelitkan aqidah dan memperalatkan aqidah sebagai dasar perjuangannya seperti menyifatkan Allah sebagai samseng telah menyebabkan ramai umat Islam terkeliru. [18]

Pada waktu yang sama, Yang Dipertua Yayasan Da’wah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad menegaskan tindakan Nik Aziz yang menyifatkan Allah sebagai samseng adalah tindakan yang mempolitikkan isu aqidah dan mengaqidahkan isu politik. Natijahnya, penyelewengan tersebut akan membawa kesan yang amat buruk kepada umat Islam di negara ini.

Beliau menjelaskan lagi, isu Tuhan Samseng ini adalah isu aqidah yang dipolitikkan oleh Pas dan jelas ia adalah perbuatan mengeksploitasikan agama untuk kepentingan politik. Keberkesanan strategi ini telah berjaya mempengaruhi minda orang Melayu untuk memeberikan sokongan kepada mereka.[19]

Beliau juga menjelaskan, perkataan seperti al-Jabbar dan al-Mutakabbir tidak boleh digunakan terhadap manusia kerana hanya Allah s.w.t. yang layak bersifat dengan sifat sedemikian. Al-Mutakabbir bermakna Allah s.w.t. tidak memerlukan sesiapa kerana Dialah yang teragung. Dengan kata lain, jika manusia menggunakan sifat ini untuk dirirnya dan berlagak seolah-olah ia tidak memerlukan sesiapa dan Dialah yang teragung, perbuatannya adalah melampaui batas, zalim dan dusta. Perbuatannya adalah keji dan jahat.

Begitu juga dengan al-Jabbar yang bermakna Allah memiliki kekuatan, kegagahan dan kekuasaan yang sempurna ; ungkapan yang menunjukkan sifat ini hanya layak digunakan untuk menjelaskan sifat Allah.

Dengan makna lain, ia juga tidak layak digunakan untuk manusia kerana manusia tidak mempunyai kuasa, kegagahan dan kekuatan yang sempurna. Orang yang berlagak dan bertindak seolah-olah dia berkuasa penuh, gagah dan kuat yang tiada tandingannya telah melakukan perbuatan keji, dusta dan jahat.

Bongkak, sombong dan samseng ialah ungkapan yang menunjukkan kehinaan, kejahatan dan dusta yang digunakan terhadap manusia yang menganggap dirinya tidak memerlukan orang lain, paling gagah dan kuat serta bertindak sesuka hati tanpa mempedulikan orang lain, padahal dia manusia yang lemah, yang bergantung kepada yang lain dan memiliki kekuasaan yang terbatas. [20]

Justeru, sifat sombong, jahat dan samseng tidak boleh diungkapkan untuk Allah s.w.t. kerana ia menunjukkan sifat kekurangan dan keji. Berbeza dengan sifat mendengar, melihat dan sifat yang tidak menunjukkan kekurangan, keji dan hina, yang digunakan terhadap manusia, boleh digunakan untuk menjelaskan sifat Allah s.w.t. dengan ditambah perkataan Maha supaya memberi pengertian kesempurnaan dan kesempurnaan dan kemutlakan sifat–sifatNya.

Ungkapan bahawa Allah samseng, sombong, bongkak dan jahat yang digunakan oleh Musrsyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang juga Menteri Besar Kelantan, adalah salah. Niatnya untuk memudahkan pemahaman orang Kelantan mengenai sifat Allah s.w.t. seperti al-Mutakabbir dan al-Jabbar, tidak sesuai dan tidak betul. Ini kerana perkataan samseng, jahat, sombong dan bongkak itu adalah ungkapan bagi menunjukkan sifat kekurangan dan keji, digunakan untuk manusia yang bersifat melampaui batasan zalim.

Tambah beliau lagi, Nik Aziz turut menggunakan alasan yang salah bagi mempertahankan keceluparannya terhadap Allah s.w.t. apabila beliau membandingkan penggunaan perkataan itu dengan penggunaan perkataan mendengar, melihat dan lain-lain, yang dikatakan menyamakan sifat Tuhan dengan manusia.

Ternyata perkataan-perkataan ini bukan perkataan yang hina dan tercela sedangkan samseng, sombong dan bongkak dalah perkataan yang menunjukkan sifat- sifat keji dan tercela. [21]
Sementara itu, dalam mengulas isu Tuhan Samseng, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Ismail Ibrahim menjelaskan Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan satu fatwa khas berkenaan isu menyamakan sifat Allah dengan manusia. Perbincangan berkenaan akan diadakan dengan melibatkan kesemua 14 mufti dan 5 wakil khas majlis tersebut.

Perbincangan itu akan memfokus beberapa perkara seperti penggunaan kata-kata kesat , istilah-istilah al-Qur’an dan nama-nama Tuhan. Beliau menambah lagi, fatwa yang dikeluarkan kelak diharap akan meredakan isu tersebut yang telah sekian lama berlarutan. Beliau juga menyatakan, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mengeluarkan sebarang fatwa kerana beranggapan isu tersebut hanya bersifat sementara dan tidak mendatangkan kesan yang mendalam.

Jelas beliau lagi, keadaan menjadi luar kawalan apabila golongan terdidik dalam bidang keagamaan turut membuat kenyataan yang boleh memesongkan aqidah. Beliau juga menyatakan fatwa terhadap sesuatu isu tidak boleh dikeluarkan dengan kerap bagi mengelakkan orang ramai daripada terikat dengan terlalu banyak hukum-hakam yang boleh menyusahkan mereka.[22]

Tambah beliau lagi, perkataan kasar dalam pemikiran dan tradisi dan budaya Melayu seperti jahat, haprak, samseng dan sebagainya menjadi kata-kata yang jijik dan biadab. Para pengucapnya pula akan dianggap sebagai orang yang tidak tahu bahasa. Hal ini menjadi lebih tidak wajar, sekiranya kata sifat yang buruk itu digunakan untuk menyifatkan manusia yang bertamadun dan berilmu pengetahuan, apalagi untuk menjadikannya sifat Allah.

Kerana itu, dalam konteks penggunaan bahasa ini, seseorang itu haruslah terlebih dahulu memahami budaya dan pemikiran sesebuah masyarakat itu. Mungkin hal dalam hal ini kita tidak perlu pergi terlalu jauh, hanya memadai umpamanya kita melihat kepada penggunaan sesetengah kata bahasa Melayu di negara jiran serumpun kita, Indonesia. Kata “membutuhkan” menjadi satu kata yang lumrah dan biasa di sana, malah amat banyak dipakai kerana bagi penutur bahasa Melayu di sana, kata ini harus dipakai, kerana hampir tidak ada perkataan lain yang menyamainya, sungguhpun bagi kita di Malaysia, kita mempunyai perkataan “memerlukan” umpamanya.[23]

Oleh yang demikian, pada pandangan beliau, konflik penggunaan bahasa di luar konteks budaya dan penggunaan bahasa kita secara sia-sia dan menghabiskan waktu tanpa faedah tidak harus dipanjangkan. Orang awam harus faham tentang hakikat ini tanpa diselubungi oleh rasa taksub dan sentimen melulu, atau menjadikan perdebatan ini sebagai satu gelanggang untuk menunjukkan kekuatan kem politik yang tertentu.

Tambah beliau lagi, apa yang dibicarakan mengenai isu ini bukanlah merupakan suatu pembicaraan yang berasaskan ilmu pengetahuan dan objektif. Kita nampaknya menjadi seperti ahli gusti yang cetek pemikiran yang hanya sanggup beradu kekuatan otot, yang akhirnya akan menjadi seperti Pak Pandir yang menang sorak tetapi kampung tergadai. Kata-kata yang merupakan simbolik dan sentimen sesuatu kumpulan atau peribadi inilah yang sering menimbulkan perdebatan tanpa faedah dalam masyarakat kita sekarang ini.

Penggunaan sifat samseng kepada Allah umpamanya, tidaklah merupakan anjakan paradigma seperti yang didakwa oleh penuturnya sehingga melarat pula ke mimbar-mimbar masjid. Anjakan paradigma adalah terlalu tinggi dan unggul konsepnya untuk digunakan dalam mewujudkan “kelainan” dalam pengucapan satu bahasa yang buruk.

Pada pandangan beliau, apakah semua perkara hendak dipoltikkan. Kita telah menghadapi banyak masalah apabila politik kepartian telah dihubungkan dengan aqidah, sehingga poltik partisan itu telah dikelirukan sebegitu rupa dan ia menjadi aqidah umat Islam. Aqidah mengatasi politik dunia yang menjadi permainan manusia. Tetapi hal ini juga sering dikelirukan akibat permainan kata-kata dan penggunaan bahasa yang tidak mengikut budaya dan ilmu Islam itu sendiri. Kata-kata syurga, neraka, dosa, pahala, iman dan kufur serta lain-lain yang mempunyai hubungan dengan aqidah, haruslah digunakan dalam konteks ilmu dan epistimologi Islam itu sendiri.[24]

Jelas beliau lagi, ‘ulama’ yang mendalami agama mungkin tidak memahami ilmu bahasa dan segala cabangnya seperti yang difahami oleh ahli bahasa. ‘Ulama’ tidak semestinya mengetahui semua bidang ilmu. Kita akan tersesat sekiranya ‘ulama’ menjadi orang yang serba pakar, iaitu pakar perubatan, psikologi, runding cara, ilmu bintang dan sebagainya, sungguhpun kita tidak menafikan bahawa semua itu boleh dihuraikan menurut ajaran agama. Tetapi bukanlah menjadi pakarnya seperti orang yang benar-benar pakar dalam bidang berkenaan. Demikianlah juga ilmu bahasa. Tetapi nampaknya dalam isu bahasa ini (istilah Tuhan Samseng), kenapakah ahli-ahli bahasa membisu seribu bahasa?[25]

Pada waktu yang sama, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Hashim Yahya dalam mengulas isu Tuhan Samseng, menjelaskan fatwa khas yang perlu dikeluarkan untuk menangani isu tersebut akan memakan sedikit masa kerana kajian dan pandangan terpeinci perlu diperolehi.[26]

Di samping itu, seorang ‘ulama’ dari Yala, Thailand, Sheikh Ismail Lofti al-Fatani meminta umat Islam menolak ungkapan-ungkapan yang tidak sepatutnya dikaitkan denga kedudukan Allah. Beliau menegaskan, umat Islam patut menggunakan bahasa yang cukup cermat untuk mengaitkan sifat-sifat Allah.[27]

Sehubungan itu, beliau menyarankan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya menilai semula kenyataannya yang menyifatkan Allah itu sebagai samseng. Tambah beliau lagi, selepas membuat penilaian semula, barulah Nik Aziz boleh menetapkan pendiriannya berhubung dengan perkara yang mengaitkan Allah sebagai samseng. Sebagai seorang ‘ulama’, bagi beliau, Nik Aziz lebih mengetahui sifat Allah dan andaikata Nik Aziz tetap mengatakan kenyataannya benar, maka ia tepulang kepada Nik Aziz. Menurutnya lagi, umat Islam dilarang menyamakan sifat-sifat Allah dengan sifat mahkluk dan semua makhluk adalah tidak menyerupai Allah. Sesungguhnya Allah lebih ternampak kehebatan, kemuliaan dan keunggulanNya.[28]

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Dusuki Ahmad dengan tegas menyatakan, Nik Aziz wajar bertaubat kerana fatwanya yang mendakwa Allah “maha samseng”, “maha jahat” dan “maha gedebe” adalah bercanggah dengan Ahli Sunnah wa al-Jama‘ah. Sesungguhnya Nik Aziz telah berdosa besar atas dakwaan itu, kerana menyamakan sifat buruk manusia dengan Allah. Justeru, pada pandangan beliau, Nik Aziz perlu kembali ke pangkal jalan.[29]

Pada waktu yang sama, seorang penulis di Ruangan Bicara Agama di Utusan Malaysia, Astora Jabat, telah mempertikaikan kredibiliti Nik Aziz sebagai seorang ‘ulama’ rabbani seperti yang didakwa oleh Persatuan ‘Ulama’ Malaysia. [30]

Pada beliau, bagaimana Nik Aziz boleh dianggap ‘ulama’ sedangkan sebelum ini Nik Aziz sangat banyak membuat kenyataan yang tidak membayangkan beliau sebagai ‘ulama’. Selain mendakwa Allah mencarut, samseng, sombong, jahat dan zalim, tidakkah beliau juga yang menggelarkan ‘ulama’ kerajaan sebagai barua, terompah kayu, ‘ulama’ sapu ketiak pemimpin dan lain-lain ? Orang seperti inikah dianggap ‘ulama’ rabbani? Sesungguhnya pada pandangan beliau, penyelewengan terbaru yang dilakukan oleh Nik Aziz, dengan mengatakan Allah itu samseng tidak lagi dilindungi oleh krisis politik atau sebarang isu besar yang menyebabkan pandangan tertumpu kepada kerajaan. Ternyata isu Tuhan Samseng ini mendapat tentangan yang begitu hebat daripada pelbagai pihak.[31]

Sementara itu, seorang pensyarah di Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Dr. Muhammad Yusuf Khalid dalam mengulas isu Tuhan Samseng ini, beliau mengatakan kita perlu mengingati apa yang telah dinyatakan oleh Imam al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin tentang kebinasaan lisan. Imam al-Ghazali menyebut, apabila lidah tidak terkawal, segala benda-benda buruk boleh diluahkan dan ini sangat berbahaya dan tidak sihat. [32]Dari segi agama pun, perkataan yang kasar dan maki hamun adalah tidak digalakkan. Apabila seseorang mengeluarkan kata-kata maki hamun, ia keluar dari mulut, namun sebenarnya apa yang ada di hati lebih dahsyat lagi.

Beliau juga menjelaskan adakah perbuatan menyifatkan Allah sebagai samseng oleh Nik Aziz di atas dasar beliau sebagai seorang ‘ulama’ atau sebagai ahli politik, kerana kenyataan yang dibuat oleh ‘ulama’ politik ini boleh membuat kita sendiri terkeliru. Bagi beliau, jika golongan cendekiawan sendiri mudah terkeliru, apatah lagi masyarakat biasa. Kita harus bijak membezakan apakah ‘ulama’ yang juga ahli politik ini bercakap dan mengeluarkan kenyataan sebagai mewakili Islam atau sebagai ahli politik.[33]

Di samping itu, Pengerusi Persatuan ‘Ulama’ Malaysia, Haji Abdul Ghani Shamsudin, dalam mengulas isu Tuhan Samseng ini yang telah disiarkan secara meluas serta dibincangkan saban hari di media massa, telah menyeru para pemimpin politik Melayu dan UMNO, agar lebih berhati-hati dalam menyatakan pandangan mereka menentang beberapa isu yang menyentuh asas-asas agama seperti isu perlaksanaan hudud, isu menuduh ‘ulama’ menghina Allah, isu mempertahankan kenyataan-kenyataan kufur golongan orientalis dan suku sakat mereka. Ini penting agar iltizam mereka terhadap agama tidak terhakis dan dipersoalkan oleh masyarakat umum.[34]

Beliau juga menyeru supaya media massa kembali kepada suasana tenang yang tidak dipengaruhi oleh demam pilihanraya yang telah pun berlalu. Bagi beliau, media massa perdana adalah milik rakyat, oleh itu ia hendaklah mempertahankan hak-hak rakyat untuk mengamalkan budaya demokrasi adil dan seimbang, di mana setiap parti politik yang sah dalam negara dianggap sebagai berhak mendapat akses dan liputan yang adil untuk menyuarakan pandangan dan hujah-hujah mereka untuk difahami oleh lapisan rakyat.

Perbuatan memonopli media perdana rakyat untuk memburukkan segolongan rakyat oleh parti tertentu sahaja adalah satu perbuatan hina dan bertentangan dengan dasar agama, amalan demokrasi dan adil. Mereka harus bersikap gentleman dengan memberi lawan politik mereka mengemukakan hujah mereka sebagaimana yang mereka paparkan. Bukan sebagaimana yang dipaparkan oleh lawan mereka.

Oleh itu, peranan media perdana yang kini dilihat saban hari menghentam, memburukkan dan memfitnah golongan tertentu tanpa diberi ruang yang cukup untuk menjawab fitnah tersebut, perlu dihentikan segera demi mengembalikan semula keharmonian, kerasionalan, keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat.[35]

Dalam hubungan menafsirkan ayat-ayat Allah, masyarakat dan pemimpin UMNO khasnya, perlu menghormati pandangan alim ‘ulama’ rabbani yang memperjuangkan Islam dalam semua aspek termasuk politik tanpa banyak memikirkan kepentingan diri.

Ilmuwan agama yang berijazah dan ikhlas adalah berautoriti untuk memahamkan tafsiran al-Qur’an, istilah agama dan nama-nama Tuhan kepada masyarakat awam dengan cara dan kaedah serta bahasa yang mudah difahami oleh masyarakat setempat. Huraian dan tafsiran mereka hendaklah difahami menurut motif dan konteks pengucapan dan ditanggapi dengan jujur.

Di dalam al-Qur’an terdapat gaya pengucapan yang disebutkan dari sudut ilmu balaghah (kesusasteraan Arab) sebagai musyakalah. Musyakalah adalah suatu cara gaya menangkis dengan tempelakan yang meminjam istilah lawan tanpa bermaksud untuk memberi makna yang sama dengan istilah tersebut tetapi hanyalah sekadar untuk mematahkan hujah lawan.

Sebab itu Allah berfirman di dalam al-Qur’an, umpamanya dengan menggunakan gaya pengucapan berkenaan, seperti dalam surah-surah berikut yang bermaksud :

1. “Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terumbang- ambing dalam kesesatan mereka”.(Surah al-Baqarah : ayat 15)


2. “Oleh itu , barangsiapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia, seimbang dengan serangannya terhadapmu”.(Surah al-Baqarah : ayat 194)


3. "Sesungguhnya orang kafir itu merencanakan tipu daya yang jahat dengan sebenar-benarnya. Dan Akupun membuat rencana (pula) dengan sebenar-benarnya." ( Surah al-Tariq : ayat 15-16)

4. "Sesungguhnya orang-orang munafiq itu menipu Allah dan Allah akan membalas tipuan mereka."(Surah al-Nisa : ayat 142)

Dalam ayat-ayat berkenaan, dinyatakan secara musyakalah bahawa Allah beristihza’ (menghina) serta mempermain-mainkan orang kafir, bahawa Allah menyuruh supaya menceroboh.

Dalam konteks musyakalah, tidak dimaksudkan Allah yang Maha Suci benar-benar menipu, atau menyuruh orang menceroboh dan sebagainya tetapi adalah untuk menegaskan bahawa Allah Maha Berkuasa dan Maha Berupaya bahkan boleh mengatasi segala bentuk tipu muslihat manusia dan boleh menggagalkan serta mengalahkan segala jenis samseng-samseng manusia.

Justeru, Allah serba maha dan lebih berupaya untuk melakukan kesamsengan. Ini bertujuan untuk menutup mulut manusia kafir dan musuh-musuh Allah yang amat samseng dan bongkak.

Begitu juga dalam menghuraikan nama-nama Tuhan seperti al-Mutakabbir, al-Jabbar dan al-Muntaqim. Maka tidak salah, kalau mana-mana ‘ulama’mengatakan dalam konteks menjelaskan makna nama tersebut bahawa Allah lebih samseng dari segala samseng-samseng untuk memberi penekanan makna dan menimbulkan keinsafan tentang martabat manusia dan qudrat mereka yang amat terbatas berbanding Allah tanpa niat menghina dan menjatuhkan Allah.[36]

Justeru, beliau menyeru agar masyarakat Melayu dan Islam umumnya menghormati dan menghargai peranan harakah Islamiyyah, ‘alim ‘ulama’ seperti Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz dan lain-lain dalam mendidik rakyat Kelantan serta orang Islam amnya dengan pengajaran-pengajaran agama yang telah beliau pelajari dari pelbagai universiti termasuk Universiti al-Azhar. Penghargaan kepada ‘ulama’ rabbani perlu dipertahankan demi kebahagiaan bangsa Melayu dan umat Islam itu sendiri.

Golongan media massa tertentu serta beberapa ‘ulama’ yang menjadi penyambung lidah syaitan dan dajjal perlulah menamatkan tipu daya dan pendajjalan mereka sebelum dilanda bala’ dan hukuman yang dashyat oleh Allah yang Maha Perkasa sebagaimana firman Allah yang bermaksud : “Nah, kini kamu berhujah membela (kebatilan) mereka di dunia, maka siapakah yang akan membela mereka di hadapan Allah pada hari Kiamat kelak atau adakah sesiapa yang hendak menjadi wakil mereka”(Surah al- Nisaa’:109)

Beliau akhirnya menyeru agar umat Islam lebih berhati-hati membaca dan mendengar penampilan dan pemaparan berita dan penulisan dari media massa perdana tertentu yang kini rata-rata tidak mencerminkan hasrat dan hati nurani rakyat terbanyak.[37]

Sementara itu, seorang penulis terkemuka di Kelantan dan merupakan kerabat Tok Kenali (‘ulama’ kelahiran Kelantan ynag cukup terkenal kerana keilmuannya), Abdullah al-Qari dalam mengulas isu Tuhan samseng ini, beliau mengatakan bahasa bukanlah milik seseorang, organisasi, pemerintah dan kerajaan. Ia adalah sesuatu yang berkembang dalam masyarakat, sekalipun ada bahasa yang telah mati. Bahasa juga lahir dalam suasana atau situasi tertentu.
Justeru untuk memahami sesebuah kata, kita perlu melihat kepada situasi yang wujud sepenuhnya semasa menggunakan kata-kata berkenaan.[38]

Dalam hal ini Tuan Guru Nik Aziz tidak berkata Tuhan Samseng dengan semata-mata kalimah ini sahaja tanpa penjelasan kepada nama Tuhan dan tanpa ayat dan kata-kata yang lain sebagai perbandingan. Penggunaan kata ini nampaknya secara terpaksa apabila ketandusan kata-kata terjemahan bagi nama Allah al-Jabbar.
Bagi manusia yang waras, dia terpaksa berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap dan menyusun ayat. Manakala insan yang beriman, dia besedia untuk bertanggungjawab terhadap apa yang hendak diperkatakan, apalagi bila dihubungkan dengan Allah s.w.t. Siapakah yang berani mengatakan sesuatu yang dengan perkataannya itu menyebabkan dia akan dilemparkan ke lubuk neraka? Hanya orang yang tidak beriman yang tidak takutkan neraka.

Bagi beliau, sikap pendengar juga menjadi alat pembantu bagi memahami sesuatu kata yang digunakan oleh penceramah. Seandainya sesuatu kata itu menimbulkan sesuatu yang salah atau bertentangan dengan Islam, maka sudah tentu awal-awal lagi, para pendengar yang mendengar ucapan Tuan Guru Nik Aziz pada 15 Mac 2002 di Pusat Tarbiyah Islamiyah, Kelantan akan segera bangun menegur dan meminta bertaubat jika sengaja menghinakan Allah s.w.t.

Ternyata, kata samseng tidaklah digunakan oleh Tuan Guru Nik Aziz, sekiranya beliau tahu dengan penggunaan perkataan itu, beliau akan dicabar dan akan dipulaukan. Apatah lagi beliau bercakap di hadapan orang yang sealiran (khusus: majlis tertutup) semacam dalam keluarga atau rumahtangga sendiri.

Pendengar-pendengar ucapan beliau pada malam tersebut adalah semestinya di kalangan orang-orang yang memahami Islam dan ‘Aqidah Islamiyyah. Bagi Tuan Guru, beliau tidak perlu mengatakan “Allah tidak serupa dengan sesuatu” dan “Kita ini orang Islam penganut Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah”, sebelum beliau hendak melafazkan kata-kata samseng atau sesudahnya ; sebab beliau memang arif bahawa pendengar-pendengar ucapannya adalah orang yang mengetahui Islam atau menjadi pembaca dan peminat al-Qur’an dan al-Sunnah. [39]

Mereka bukanlah saudara-saudara baru atau kanak-kanak. Dengan menyedari kefahaman rakyat negeri Kelantan dan pengikut-pengikutnyalah, maka Tuan Guru secara tidak teragak-agak menggunakan kata samseng di samping kata-kata yang lain bagi menjelaskan sebahagian erti nama Allah al-Jabbar (Yang Maha Gagah atau Maha Penunduk).

Tambah beliau lagi, sebenarnya bahasa Melayu belum mempunyai sebuah kata yang boleh secara tepat memberi pengertian yang menyeluruh bagi nama Allah ini. Inilah yang membuatkan Tuan Guru terpaksa mencari-cari beberapa kata dalam bahasa ibunda. Jauh sekali Tuan Guru berniat atau bermaksud hendak menyamakan Allah s.w.t. dengan manusia atau salah satu makhlukNya ; apalagi hendak menghina atau merendah-rendahkanNya.

Masakan seorang yang seperti Tuan Guru, sebaik-baik sahaja mengajak umat Islam merasa gerun dan percaya kepada Hari Kiamat, maka dengan tiba-tiba dalam saat yang sama menghinakan Allah dan mengajak rakyat negeri Kelantan, antaranya ramai yang ‘alim, menjadi mulhid (tidak percaya kepada Tuhan) dan menghinakan Allah atau menghinakan Islam ; sedangkan beliaulah yang mengepalai seluruh orang Islam yang menjadi pengikutnya untuk menegakkan Islam dan Hudud dengan Allah dengan rasa taqwa dan ikhlas. [40]

Sementara itu, Mufti Perak, Dato’ Seri Dr. Haji Harussani Haji Zakaria menegaskan berhubung isu Tuhan Samseng ini, kita perlu merujuk kepada surah al-A‘raf ayat 180 yang bermaksud : “Dan bagi Allah itu nama-nama yang terbaik maka berdoalah kamu dengan nama-nama itu”. Dan di antara nama-nama yang terbaik itu tersebut di dalam surah al-Hasyr ayat 23 yang bermaksud : “Dialah Allah yang tiada Tuhan(yang berhak disembah) melainkan Allah, Raja yang Maha Suci, Yang menjaga kedamaian, Yang menjaga keamanan, Yang Maha memelihara, Yang Maha Berkuasa pada melaksanakan kehendakNya, Yang Maha Agung, Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.”

Beliau menegaskan, nama-nama yang terpuji itu tidak ada kecuali hanya pada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. menentukan nama-namaNya sendiri. Wajib ke atas kita meletakkan sifat-sifat Allah itu dengan sifat yang terbaik dan sifat-sifat kesempurnaan.

Nama adalah satu perkataan yang menunjukkan kepada makna nama-nama Allah menunjukkan kepada keagungan, kebesaran, kesempurnaan Allah s.w.t. Allah tidak bergantung kepada sesuatu sedangkan ciptaanNya amat bergantung kepada Allah. Kalau Allah menyebut namaNya sebagai al-Jabbar, al-Mutakabbir, memang kalau dilihat dari segi perkataannya, al-Jabbar itu bermakna orang yang mengerasi, memaksa. Al-Mutakabbir itu orang yang takabbur.[41]

Tetapi dari sudut pengertian, sifat Allah ia membawa makna Allah berkuasa pada memaksakan sesuatu kepada yang dikehendakiNya. Adapun al-Mutakabbir itu bagi Allah adalah sifat kepujian kerana Dia memiliki sifat Keagungan. Kalau ada yang berkuasa, maka Dialah yang paling berkuasa, kalau ada yang membuat, maka Dialah yang paling membuat, kalau ada yang kuat maka Dialah yang paling kuat. Maka sifat al-Mutakabbir jika dinisbahkan kepada Allah terpuji tetapi kalau sifat itu dinisbahkan kepada manusia ia merupakan dosa. Manusia mutakabbir adalah manusia berdosa, Allah al-Mutakabbir adalah sifat kesempurnaan Allah.

Dari segi bahasa Melayunya, Allah itu Mutakabbir bermakna Allah itu Maha Agung. Kalau dikatakan manusia mutakabbir, maka ia membawa maksud samseng. Jadi sifat samseng itu sifat tidak baik, maka tidak layak diletakkan kepada sifat-sifat kesempurnaan Tuhan. Samseng itu layak kepada manusia jahat dan sombong. Kalau kepada Tuhan, ia sifat terpuji. Demikian disepakati oleh sebahagian ‘ulama’ dalam memaknakan kalimah al-Mutakabbir dan al-Jabbar.

Umpamanya Allah berfirman dalam hadith Qudsi yang bermaksud : “Kebesaran itu adalah pakaianKu, keagungan itu adalah selendangKu dan sesiapa yang bersaing denganKu salah satu sifat dari keduanya, Aku akan azab di akhirat nanti”.[42]

Justeru, beliau menambah lagi bahawasanya nama-nama yang terbaik itu hanya khusus kepada Allah s.w.t. Maka, kita tidak boleh terjemahkan nama-nama itu dengan perkataan-perkataan yang menjurus kepada mengurangkan sifat Allah, menunjukkan Allah bersifat lemah atau yang tidak layak baginya. Haram hukumnya kita berbuat demikian. Maka dengan itu, kita tidak boleh sembarangan untuk menterjemahkan nama- nama Allah kerana nama-nama yang baik itu khusus untuk Allah.

Pada pandangan beliau, apa yang berlaku akhir-akhir ini, barangkali timbul disebabkan kekeliruan dalam ucapan dengan menterjemahkan secara lafaz zahir sewenang-wenangnya dengan tidak melihat khususiyyah (pengkhususan) ; penentuan bagi Allah semata-mata. Perbuatan ini adalah salah dan hendaklah dihentikan. Begitu juga tindakan menyiar dan menghebahkan perkara ini adalah salah dan hendaklah dihentikan. Kerana menyiarkan sesuatu yang salah akan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

Maka, beliau menasihatkan kepada semua ahli politik dan bukan ahli politik, ahli agama dan bukan ahli berpengetahuan agama supaya tidak sewenang-wenangnya mempergunakan perkataan yang mereka sendiri tidak fahami atau semata-mata untuk memepertahankan satu pendapat sahaja sedangkan ia mencemarkan sifat Allah dan kesempurnaan Allah. Wajib kita berhenti dan bertaubat.[43]

Begitu juga, beliau menasihatkan kepada pihak yang bertentangan yang melaungkan perkara itu, walaupun tujuannya supaya masyarakat melihat, wajib menghentikan (menyiarkan) perbuatan tersebut kerana kita telah menghebahkan perkara yang tidak baik yang sepatutnya kita sembunyikan. Perkara ini telah berlarutan begitu lama yang hanya menimbulkan prasangka yang tidak baik sesama Muslim dan pandangan yang tidak baik di kalangan bukan Islam.

Islam nantinya akan dilihat tidak sempurna tetapi penyebabnya ialah kekurangan kefahaman terhadap Islam dan disebabkan cetek dalam ilmu Tawhid dan cara bertawadu’ kepada Allah dan sesama manusia. Beliau juga menegaskan sekali lagi, sebagai orang tengah dan Mufti, maka adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk menasihatkan orang Islam dalam perkara aqidah, hukum dan akhlaq.

Dalam mengakhiri polemik berkaitan isu Tuhan Samseng ini, pada 5 September 2002, Majlis Fatwa Kebangsaan melalui Pengerusinya, Datuk Dr. Ismail Ibrahim, menasihatkan semua pihak supaya menghentikan tindakan mengaitkan sifat Allah dengan manusia sama ada secara penulisan atau ucapan demi memelihara kesucian Islam dan umatnya. [44]

Tambah beliau lagi, pihak yang masih memainkan isu berkenaan sehingga menjejaskan perpaduan umat Islam dan imej Islam akan dikenakan tindakan. Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-194 pun telah memutuskan bahawa pihak berwajib hendaklah mengambil langkah yang sewajarnya dalam menangani isu yang boleh mencemarkan kesucian Islam melalui peraturan media.

Beliau menjelaskan lagi, peraturan sedia ada yang dimaksudkan Majlis Raja-raja termasuk undang-undang yang sedang dikuatkuasakan oleh pihak berwajib yang boleh dikenakan terhadap sesiapa saja yang menjejaskan kesucian Islam. Sesungguhnya negara mempunyai banyak undang-undang yang boleh disabitkan dengan kesalahan menjejaskan kesucian Islam termasuk Seksyen 298 dalam Bab 15 Darihal Kesalahan Berkenaan Dengan Agama. Tambah beliau lagi, Majlis Fatwa tidak perlu mengeluarkan fatwa kerana secara jelas menyifatkan Allah atau Rasulullah dengan sifat manusia adalah perbuatan berdosa. [45]

Beliau menambah lagi, nasihat yang dikeluarkan Majlis Fatwa itu dibuat selepas mengkaji dalil, hadith, nas dan tulisan alim ‘ulama’ bahawa Allah mempunyai sifat yang amat sempurna serta suci dan tidak boleh disamakan dengan manusia yang serba kekurangan.

Majlis Fatwa juga menyeru semua pihak fahami dan hormati adab terhadap Allah, Rasulullah dan sesama manusia serta jauhkan segala gejala tidak baik seperti maki hamun, fitnah dan mencerca sesama Islam yang boleh menjejaskan perpaduan umat Islam. Beliau berkata, mereka yang tahu sifat Allah tidak sama dengan manusia tetapi tetap menyamakannya, maka individu atau kumpulan itu berdosa.

Justeru Majlis Fatwa Kebangsaan mahu meningatkan mereka yang terlibat agar tidak melampau had sebagai Muslim yang mempunyai akhlak dan maruah yang tinggi. Tambah beliau lagi, selaras dengan keputusan yang dibuat Mesyuarat Raja-raja ke-194 pada 4 Julai 2002, supaya pihak media juga juga perlu berhati-hati, mengehadkan atau sebaik baiknya menghentikan isu itu bagi mengelak kesucian Islam tercemar dan timbul tanggapan negatif di kalangan bukan Islam.[46]

Setelah penulis menampilkan beberapa pandangan yang melibatkan ahli politik, ilmuwan, ‘ulama’ dan beberapa orang penulis, maka di sini penulis akan menyatakan pendirian Tuan Guru Nik Abdul Aziz berhubung istilah Tuhan Samseng yang telah dikeluarkan oleh beliau. Berikut adalah beberapa kenyataan beliau yang penulis petik daripada suratkhabar perdana yang terdapat di negara ini.

“Saya bersedia untuk berdakwah di mahkamah, sekiranya isu samseng benar- benar dibawa ke mahkamah. Dalam mahkamah juga saya akan berdakwah, perkataan samseng adalah terjemah kepada perkataan al-Aziz, al-Jabbar dan al-Mutakabbir. Saya juga Insya Allah akan berpeluang untuk membawa ke mahkamah terhadap mereka yang mengatakan agama suku dan politik suku. Begitu juga orang yang mengatakan Islam tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana masyarakat majmuk. Saya juga akan mendakwa kes ini di mahkamah. Ini kerana mereka juga menghina Allah dan Islam kerana dalam Islam ada enam perkara yang mesti diyakini sebagai Rukun iman termasuk yakin kepada kitab Allah dari awal sampai akhir kita kena yakin”.[47]

Di dalam kenyataan yang lain, beliau dipetik sebagai berkata “Perkataan samseng sepatutnya kita renung dan kalau tak faham jemputlah saya hadir dalam rancangan di TV, majlis muzakarah supaya saya dapat terang dengan jelas, kalau tak faham boleh tanya dan saya boleh jelaskan hingga faham, barulah nampak benar-benar kita nak jaga aqidah. Masalahnya orang yang kononnya nak jaga aqidah tu betul-betul ke dia nak jaga aqidah? Jawabnya tidak. Tetapi dia nak eksploitasi dan nak besar-besarkan benda-benda seperti ini kerana tujuan nak jaga politik.[48] Saya yakin isu ini diperbesarkan kerana nak sembunyi di sebalik nak jaga aqidah, tetapi yang sebenarnya bukan nak jaga aqidah, kerana banyak lagi perkataan-perkataan lain yang dilafazkan oleh pemimpin-pemimpin tanah air yang sepatutnya diperbesarkan. Misalnya menganggap agama lain dan politik lain, tolak hudud, sedangkan perkataan ini secara terang-terangan bercanggah dengan nas. Timbul isu samseng salah satu sebabnya ialah mengenai penggunaan bahasa. Saya tengok sifat- sifat Allah ini ada al-Jabbar, ada al- ‘Aziz, ada al-Mutakabbir. Ini bukan saya yang menamakan, kerana Allah s.w.t. sendiri yang menamakan Dia al-Mutakabbir dan al-Jabbar”.[49]

Sementara itu, dalam melihat kepada kenyataan beliau mengenai keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang meminta semua pihak menghentikan ucapan, penggunaan bahasa serta penulisan yang menghina Allah, Rasulullah serta sesama manusia ; beliau menyambut baik saranan itu. Beliau menyatakan, adalah tidak betul jika fatwa yang dikeluarkan itu merujuk kepada ucapannya yang menyamakan Allah sebagai samseng kerana ia bukan dimaksudkan menghina Allah sebagaimana yang didakwa oleh banyak pihak. Malah kata beliau, beliau juga tidak perlu bertaubat kerana fatwa itu tidak menghendakinya berbuat demikian, sebaliknya hanya meminta semua pihak berhenti daripada menghina Allah, Rasulullah dan sesama manusia. Beliau setuju 100 peratus tiap perkataan menghina Allah mesti dihentikan. [50]

Beliau juga berasa agak pelik dengan permintaan Majlis Fatwa Kebangsaan itu yang meminta dihentikan perbuatan menghina Allah dan dipetik sebagai berkata “ Siapa dia hina Tuhan, ambo rasa semacam juga. Betullah tu menghina Tuhan tak boleh, tapi al-Mutakabbir itu menghina ke tidak. Allah Taala sendiri bubuh nama dia sedemikian, kita nak kata menghina macam mana. Tapi kalau menghina benda lain kena kata Islam lain politik lain, ini menghina Tuhan. Hudud ini tak boleh, ini menghina Tuhan. Tapi kalau al-Mutakabbir mu terjemah dengan kesombongan kita nak kata menghina juga, lepas tu nak bubuh lagu mana. Sebab itu, orang yang hok minto ambo bertaubat sampai sekarang pun tengango tak boleh nak sebut terjemah. Tapi celakanya orang hok dok (yang duduk) di tv ni tak pandai gunakan tv bahkan untuk menimbulkan pecah belah”.[51]

[1] Ibid, hal. 12
[2] Ibid, hal. 13
[3] Keratan akhbar Berita Harian, Jumaat, 30 Ogos 2002, hal. 6
[4] Keratan akhbar Utusan Malaysia, Khamis, 29 Ogos 2002, hal. 20
[5] Ibid
[6] Keratan akhbar Berita Harian, Isnin, 29 Julai 2002
[7] Keratan akhbar Berita Harian, Khamis, 29 Ogos 2002
[8] Keratan akhbar Berita Harian, Selasa, 27 Ogos 2002
[9] Ibid
[10] Keratan akhbar Utusan Malaysia,Sabtu, 24 Ogos 2002
[11] Keratan akhbar Utusan Malaysia, Khamis, 29 Ogos 2002, hal.11
[12] Ibid
[13] Keratan akhbar Utusan Malaysia,Rabu, 28 Ogos 2002
[14] Ibid
[15] Keratan akhbar Berita Harian, Selasa, 27 Ogos 2002
[16] Ibid
[17] Keratan akhbar Utusan Malaysia, Jumaat, 23 Ogos 2002
[18] Keratan akhbar Berita Harian, 18 September 2002
[19] Ibid
[20] Keratan akhbar Berita Harian, Khamis, 8 Ogos 2002
[21] Ibid
[22] Keratan akhbar Utusan Malaysia, Isnin, 26 Ogos 2002
[23] Keratan akhbar Mingguan Malaysia, Ahad, 18 Ogos 2002
[24] Ibid
[25] Ibid
[26] Keratan akhbar Utusan Malaysia, Isnin, 26 Ogos 2002
[27] Keratan akhbar Utusan Malaysia, Selasa, 20 Ogos 2002
[28] Ibid
[29] Mingguan Malaysia, Ahad, 1 September 2002
[30] Ibid
[31] Ibid
[32] Keratan akhbar Berita Minggu, 1 September 2002
[33] Ibid
[34] Keratan akhbar Utusan Malaysia,Sabtu, 10 September 2002
[35] Ibid
[36] Ibid
[37] Ibid
[38] Fahayu Ali, op.cit, hal.15
[39] Ibid
[40] Ibid
[41] Keratan akhbar Harakah, 16- 30 September 2002
[42] Ibid
[43] Ibid
[44] Keratan akhbar Berita Harian, Jumaat, 6 September 2002, hal.4
[45] Ibid
[46] Ibid
[47] Keratan akhbar Utusan Malaysia, Khamis, 29 Ogos 2002
[48] Keratan akhbar Harakah, 16-30 September 2002
[49] Ibid
[50] Keratan akhbar Utusan Malaysia, 7 September 2002
[51] Ibid

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

~salam~

masih ingat lagi isu ini...inilah permainan orang munafik laknatullah...laporan bukan bersandarkan ilmu...etika kewartawanan letak tepi...yg penting ketua mesti kekal berkuasa...

sekian...

iskandar zulkarnain berkata...

Ye itulah realitinya. Apapun kebenaran pasti terserlah jua

U-HAH berkata...

Hanya dengan hukum Islam terlaksana maka barulah puak-puak ini tahu akibatnya!

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude