Khamis, 28 Jun 2007

Disertasi Ilmiah 5 -Tafsir Juzuk Amma oleh al-'Allamah al-Adib Jamai'in 'Abd al-Murad

Nama Kitab : Tafsir Juzuk 'Amma Bahasa Melayu
Karangan : Al-'Allamah al-Adib Jama'in 'Abd al-Murad Sumatera Barat
Indonesia
Cetakan : Matba'ah Bin Halabi Fatani Thailand (tanpa tarikh)



1. Pendahuluan

Perkembangan pengajian agama Islam dan al-Quran di alam Melayu beriringan sejak agama Islam mula datang dialam Melayu. Orang Arab merupakakan pelupor pertama telah datang ke negeri-negeri Melayu pada abad ke7 Masihi,ertinya abad pertama dari Islam (tahun Hijrah dimulai pada tahun 622M.dan Nabi Muhammad saw wafat pada tahun 632M.[1]) Agama Islam disebar secara lisan termasuk juga tulisan .Menurut Hj Wan Mohd. Shaghir Abdullah tradisi tulisan berkembang seiringan dengan mula kedatangan Islam kerantau sini.
Tradisi penulisan menggunakan qalam ,penyimpanan hasil karya dan pemeliharaannya sudah berjalan cukup lama di dunia Melayu Mulai kedatangan Islam kekawasan ini.[2]

Karya-karya yang dihasilkan oleh ulama nusantara termasuklah karya dalam bidang Feqah,Usulul al-Din,Tasauf,sejarah, Hadis ,Tafsir dan bidang-bidang yang lain. Apa yang ingin difokuskan dalam tulisan ini ialah khusus dalam bidang tafsir iaitu kajian metodologi sebuah hasil karya tafsir yang dihasilkan oleh seorang ulama alam Melayu yangmana karya beliau dibaca dipondok-pondok,musalla dan dimasjid. Judulnya ialah Tafsir Juzuk 'Amma Bahasa Melayu.


2. Pengenalan Pengarang

Tidak didapati sedikit pun catatan latarbelakang tentang pengarang kitab ini,namun begitu dapat dinyatakan sedikit tentang latangbelakang beliau berdasarkan penelitian penulis dalam kitab yang dikaji.

Nama Pengarang seperti yang tercatat di kulit kitab "Tafsir Juzuk 'Amma Bahasa Melayu" ialah al-'Alamah al-Adib Jama'in 'Abd Murad Sumatera Barat Indonesia. Penulis dapat menyatakan bahawa Jama'in 'Abd Murad merupakan seorang yang alim dalam berbagai bidang ilmu agama dan merupakan seorang yang tawaduk dan warak.Gelaran al-Alamah dan al-Adib dipermulaan nama beliau menunjukan bahawa selain dari kealiman, beliau juga merupakan seorang sasterawan.Beliau juga mendalami sirah kerana terdapat antara surah yang ditafsirkan dinyatakan latarbelakang surah yang berkaitan.[3] Beliau juga menguasai Ilmu Hadis , Ilmu Nahu dan juga falak[4]. Penulis juga tidak tidak menjumpai catatan tentang pendidikan pengarang, tetapi didalam kitab Tafsir Juzuk 'Amma yang dikaji pengarang ada menyebut bahawa beliau ada mengarang kitab yang lain berjudul "Percaturan Atau Tipu muslihat Syaitan" dalam bahasa Melayu huruf Latin dan huruf Arab(Jawi).Beliau ada juga menyatakan tentang karya tafsirnya yang lain seperti "Tafsir Juzuk Sayaqul " yang diberi nama Tafsir al-Quran al-Mubin Juzuk Sayaqul dan dalam surah yang sama Juzuk keempat Lan Tanalu.[5] Tetapi malangnya penulis belum lagi menemui karya-karya tersebut kerana tidak terdapat dipasaran.


3. Pengenalan Kitab

Kitab Tafsir Juzuk 'Amma Bahasa Melayu karangan al-'Alamah al-Adib Jama'in 'Abd Murad seorang tokoh tafsir di alam Melayu berasal dari Sumatera Barat. Walaupun karya belaiu tidak merangkumi 30 juzuk al-Quran tetapi Tafsir Juzuk 'Amma (juzuk yang ke30)yang mengandungi 38 buah surah termasuk surah al-Fatihah sangat memberi menafaat kepada pembaca tafsir beliau. Huraian yang mudah dan menggunakan bahasa yang sederhana mudah difahami menyebabkan kita tidak jemu untuk menelitinya.

Kitab yang berukuran 26½ x 9cm mengandungi 196 halaman merupakan kitab yang sederhana dan sangat sesuai dibaca bagi penuntut tahap menengah dan masyarakat awam. Sangat sesuai digunakan sebagai teks untuk pengajian dan kuliah di masjid-masjid.

Tafsir Juzuk 'Amma sangat memberi faedah kepada masyarakat Islam kerana juzuk 'Amma terkenal dengan gelaran ayat-ayat lazim kerana ianya selalu dibaca didalam sembahyang. Masyarakat Islam khasnya masyarakat Melayu dapat melaksanakan solat dengan sempurna jika mereka dapat memahami dan menghayati apa yang dibaca.

Pengarang telah menyelesaikan Tafsir Juzuk 'Amma ini di Pulau Pinang pada pukul 10.50 waktu tempatan pada hari Ahad 16 Rabi' al-Awal 1357H bersamaan 4 haribulan Jun 1939.Kitab ini mula dicetak pada 19 syawal 1377H bersamaan 8 Mei 1958M[6]. Justeru itu, kitab tafsir ini perlu dikaji dan diteliti dari segi penulisannya dan metolodologinya yang diguna pakai oleh al-'Alamah al-Adib Jama'in 'Abd Murad.

4. Metodologi

Tanpa sebarang mukaddimah atau pengenalan kitab pengarang memulakan karyanya dengan penafsiran surah al-Naba' sehingga sampai kepada surah al-Nas dan diakhiri dengan surah al-Fatihah.Ditulis nama surah beserta tempat turun ayat ditengah bahagian atas pada tiap permulaan surah. Contoh "Surah al-Naba' Makiyah". Dipenjuru sebelah kanan ditulis nombor kedudukan surah dan dipenjuru sebelah kiri ditulis nombor ayat bagi tiap-tiap surah. Cara ini dapat memudahkan pembaca untuk mengenalpasti jumlah ayat serta kedudukan bilangan surah,cuma surah al-Fatihah tidak mengikut format ini.

Pengarang menggunakan perkataan "Wa Allahu al-'Alam bi Muradihi tamat tafsir surah…………(dinyatakan nama surah). Ini menunjukan sifat tawaduk dan warak yang ada pada pengarang.

Apa yang membuat pembaca agak keliru dengan tafsir ini ialah nombor ayat diletakkan pada permulaan ayat tidak sebagaimana yang terdapat dalam mashaf biasa yang nombor ayatnya ditulis dihujung tiap ayat, walaubagaimanapun format tersebut bukanlah menjadi alasan untuk kita tidak membacanya.

Bagi memudahkan pembaca untuk merujuk surah-surah tertentu dengan cepat judul tajuk atau fihris diletakkan pada halaman akhir sekali lengkap dengan mukasurat dan kandungan tafsir.
Satu format yang agak baik dan memudahkan pembaca ialah terjemahan ayat diletakan bersebelahan dengan ayat-ayat yang akan ditafsirkan. Pembaca akan mudah memahami ayat dan terjemahan secara serentak dan cepat,lebih-lebih lagi bagi mereka yang kurang mahir bahasa Arab.

Terdapat juga surah-surah tertentu pengarang memulakan pentafsiran dengan menyebut latarbelakang ayat dan sebab turun ayat.[7]
Metod yang biasa digunakan oleh kebanyakan ahli tafsir iaitu dengan mentafsirkan beberapa ayat kemudian disambung dengan ayat –ayat yang lain hingga selesai keseluruhan surah diikuti juga oleh pengarang dalam mentafsir surah-surah juzuk 'Amma melainkan surah-surah yang pendek ditafsir secara keseluruhannya.

Dalam menjelaskan satu-satu perkara yang agak penting atau yang perlu diambil perhatian pengarang menggunakan istilah-istilah tertentu bagi tajuk-tajuk kecil seperti:
i. Ya Ma'syara al-Muslimim[8]
ii. Keterangan ringkas[9]
iii. Faedah[10]
iv. Mempercayai dan mengimani[11]
v. Lebih penting dan lebih utama[12]
vi. Beramal Salleh[13]
vii. Wasiat mewasiati dengan hak[14]
viii. Wasiat mewasiati dengan sabar[15]
ix. Duduknya kejadian itu[16]
x. Masalah yang perlu diterangkan disini[17]

Sepuluh tajuk kecil itu jelas menunjukan bahawa pengarang merupakan seorang yang mahir dalam bidang tafsir dan dapat menentukan dalam tafsiran perlu kepada keterangan lanjut, huraian yang lebih mendalam, cerita latarbelakang ayat dan beberapa faedah yang perlu diambil perhatian.

Format pentafsiran ayat dengan ayat ,ayat dengan hadis nabi saw dan ayat denga kata-kata sahabat digunakan juga oleh pengarang bagi menjelaskan pengertian satu-satu perkataan atau istilah[18]. Pengarang juga mengambil kata-kata al-Imam al-Syafie untuk menjelaskan kepentingan sesuatu surah.[19]

Semasa mentafsirkan ayat yang berkaitan dengan keimanan lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan sam'iyat, pengarang tidak berlebihan dalam pentafsirannya. Sebagai contoh ketika menjelaskan tentang malaikat Hafazah dalam menafsir surah al-Infitar ayat 10,11 dan 12 pengarang mengatakan "Kita benarkan dan kita yakini kerana adanya Hafazah itu dikhabarkan oleh Allah kepada kita.Tidak wajib kita memeriksa lebih jauh daripada apakah kejadian Hafazah itu. Bagaimanakah cara dan menulis perbuatan kita,dimanakan mereka tuliskan, dengan apakah mereka menulis dan lain-lain sebagainya, kerana itu urusan dan pekerjaan ghaib kepada kita manusia".[20]

Apa yang istemewanya dalam tafsir ini ialah tidak sedikitpun terdapat kesah-kesah israilliat walaupun pengarang mentafsirkan ayat-ayat yang ada hubungkait dengan cerita atau qisah seperti surah al-Fill yang ceritanya ada hubungan dengan cerita tentera bergajah, surah al-Falaq yang ada hubungan dengan kesah nabi disihir dan surah al-Nass yang ada kaitan dengan gangguan syaitan. Dalam masalah ini pengarang banyak menggunakan ayat-ayat yang lain dan hadis nabi bagi menjelaskan perkara yang sebenar .
Kemahiran pengarang dalam bidang ilmu Falaq jelas dapat dilihat apabila beliau mentafsir surah al-Buruj yang menceritakan tentang cakerawala bintang-bintang buruj. Beliau dapat menamakan bintang-bintang yang berada disebelah utara dan disebelah selatan. Beliau juga dapat mempastikan peredaran matahari pada tarikh tertentu dan bulan tertentu . Sebagai contoh beliau menyebut disebelah utara terdapat tiga buruj, ketiga-tiga biruj itu dilalui oleh matahari dalam masa tiga bulan mulai 20 dan 21 Mach sampai 20 atau 21 Jun. Tiga buruj lagi yang berada disebelah selatan, matahari akan melalui tiga buruj itu pada 23 atau 24 September sampai 21 atau 22 Disember[21]

Pentafsiran yang demikian rupa akan manarik minat pembaca lebih-lebih lagi bagi yang meminati ilmu Falaq atau ilmu Astronomi.

Pengarang ada juga menyentuh tentang sujud tilawah apabila mentafsir surah al-Insyiqaq dengan katanya " Sampai disini, iaitu sampai kepada ayat (21) ini, sipembaca dan sipendengar surah al-Insyiqaq ini hendaklah sujud tilawah,baik dalam sembahyang kalau imam sujud tilawah atau diluar sembahyang[22]

5. Metod Surah al-Fatihah

Cara susunan penulisan surah al-Fatihah agak berlainan sedikit dari penulisan surah-surah yang lain.Pengarang tidak lagi meletakan nombor bilangan ayat disebelah kiri dan nombor turutan surah disebelah kanan. Pengarang meletakakan nama surah al-Fatihah ditengah-tengah sebelah atas halaman dan terus menyatakan dibawah nama surah tersebut dengan "Makiyah ayatnya tujuh".

Tidak dapat dipastikan mengapa pengarang menulis cara yang berlainan dari segi susunannya. Kalau dikatakan surah ini terlebih dahulu ditafsirkan tidak mungkin kerana diakhir tafsiran surah al-Fatihah ditulis dengan kata-kata "Sampai disini selesailah saya mengusahakan Tafsir Juzuk 'Amma ini. Saya ucapkan syukur dan pujian kepada Allah, dan saya harap Allah jadikan karangan ini manafaat untuk umum dan jadi amal salleh untuk saya. Amin".

Memulakan penafsiran surah al-Fatihah ini dengan menjelaskan latar belakang surah dengan mendatangkan beberapa nama surah tersebut. Terdapat juga dalam surah tersebut tentang janji bahagia dan janji sengsara.

Pengarang dengan jelas mentafsirkan surah ini satu ayat demi satu ayat mengikut urutan. Pentafsirannya menggunakan pendekatan yang mudah contoh-contoh yang dikemukakan dapat membuka minda dan sesuai pada mana-mana zaman pun. Huraian yang panjang lebar ketika mentafsirkan ayat kedua dari surah tersebut pembaca dapat merasakan bahawa terdapat hubungan antara manusia dengan Khalid .

Pengarang membahagikan Hidayah kepada lima bahagian ketika mentafsirkan ayat yang keenam dari surah tersebut.antaranya ialah:[23]
a. Hidayah al-Wijdan al-Tabiin
b. Hidayah al-Hawas
c. Hidayah akal
d. Hidayah al-Din
e. Hidayah Taufik

Dengan penerangan serta huraian yang begitu lengkap pembaca akan dapat sesuatu yang sangat berharga apabila membaca tafsir tersebut.

6. Kesimpulan

Secara keseluruhan Tafsir Juzuk 'Amma ini sangat memberi faedah kepada sesiapa saja yang menelitinya. Pengarangnya merupakan seorang yang mahir dalam berbagai ilmu. Kitab ini sangat sesuai dijadikan teks untuk kajian tafsir khususnya ayat-ayat yang terkandung dalam juzuk 'Amma yangmana surah-surahnya selalu dibaca ketika solat terutamanya bagi masyarakat Melayu.

Mudah-mudahan dengan kajian yang ringkas ini akan menjadi asas untuk melaksanakan kajian yang lebih mendalam dan terperinci yang sudah pasti akan dapat menambahkan lagi kajian yang telah sedia ada lebih-lebih lagi di Jabatan al-Quran dan al-Hadis Akademik Islam Universiti Malaya.

[1] Hamka,Dr.Sejarah Umat Islam,Pustaka Nasional PTE LTD Singapura 2002.h670
[2] Hj.Wan Mohd Saghir Abdullah,Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara,Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara&Khazanah Fathaniah Kuala Lumpur 2000,h1
[3] Jama'in 'Abd Murad,Tafsir Juzuk 'Amma Bahasa Melayu,tt,h.155 dan 164
[4] Ibid,h.178,190 dan 67
[5] Ibid,h.185 dan 46
[6] Ibid, h.196
[7] Ibid,h.109
[8] Ibid,h.24
[9] Ibid,h.107
[10]Ibid,h.120
[11]Ibid,h.147
[12]Ibid,h.148
[13]Ibid,h.149
[14]Ibid,h.150
[15]Ibid,h.150
[16]Ibid,h.155
[17]Ibid,h.181
[18]Ibid,h.45,46 dan 68
[19]Ibid,h.145
[20]Ibid,h.44
[21]Ibid,h.67
[22] Ibid,h.65
[23]Ibid,h.192dan 193
28 Jun 2007, 13 Jamadil Akhir 1428,
2.57 ptg, Malaysia Timur

Disertasi Ilmiah 4 - Tafsir al-Bayan oleh Prof. Dr. T.M Hasbi ash Shiddieqy

PENDAHULUAN

Tafsir al-Bayan merupakan sebuah kitab tafsir yang unggul di rantau ini. Dikarang oleh tokoh agung yang tidak asing lagi iaitu Prof. Dr. T.M Hasbi ash Shiddieqy. Hasil karya ini terdiri daripada dua jilid dan merupakan karya kedua beliau selepas Tafsir an-Nur.

Prof. Dr. T.M Hasbi ash Shiddieqy menggunakan metode tersendiri dalam menyusun dan mengolah Tafsir al-Bayan dan mempunyai kelainan dengan karya yang pertamanya. Kitab ini juga mempunyai keistemewaan dan perbezaan yang tersendiri berbanding dengan kitab-kitab tafsir lain.

Tafsir al-Bayan adalah kitab tafsir dan terjemahan al-Qur’an dalam bahasa Indonesia yang di hasilkan pengarang seawal tahun 60-an lagi. Cetakan pertamanya ialah pada tahun 1971 yang diterbitkan PT. Almaarif, Bandung, dengan ukuran 15 x 22 cm.
Kitab ini dinamakan Tafsir al-Bayan diambil sempena ayat al-Qur’an, surah Ali ‘Imran ayat 138. Frman Allah s.w.t :
ﻥﻴﻘﺘﻣﻠﻠ ﺔﻆﻋﻮﻣ ﻮ ﻯﺪﻫﻮ ﺱﺎﻧﻟﻟ ﻥﺎﻳﺑ

Yang bererti: “Al-Qur’an adalah penerangan (penjelasan) bagi seluruh manusia dan nasihat bagi mereka yang bertakwa”

Al-Bayan yang dinamakan oleh pengarang adalah bermaksud “Suatu penjelasan bagi makna-makna al-Qur’an”. Jelasnya, kitab tafsir ini banyak memberi sumbangan terhadap pengajian dan pembelajaran Ulum al-Qur’an di Nusantara. Khidmatnya masih digunakan sehingga ke hari ini.

BIOGRAFI PENGARANG

1. KELAHIRAN DAN LATAR BELAKANG KELUARGA

Profesor Doktor Teungku Muhammad Hasbi Ash Shiddieqy dilahirkan di Lhokseumawe pada 10 March 1904. Ayahnya Teungku Qadhi Chik Maharaja Mangkubumi Husien ibn Muhammad Su’ud, adalah seorang ulama’ terkenal di kampungnya dan mempunyai sebuah pondok. Ibunya Teungku Amrah binti Teungku Chik Maharaja Mangkubumi Abdul Aziz , merupakan anak seorang Qadi Kesultanan Acheh ketika itu. Menurut salasilah, Hasbi ash Shiddieqy adalah berketurunan Abu Bakar al-Shiddiq (573-13/634M) iaitu khalifah yang pertama. Beliua merupakan generasi ke 37 dari Abu Bakar al-Shiddiq yang meletakkan gelaran ash Shiddieqy diakhir namanya. [1]

2. PENDIDIKAN

Prof. Dr. Teungku Muhammad Hasbi ash Shiddieqy mula mendapat pendidikan awalnya di pondok pengajian milik bapanya. Beliau menuntut ilmu di pelbagai pondok pengajian dari stu kota ke kota yang lain selama 20 tahun.Beliau mempelajari bahasa Arab daripada gurunya yang bernama Syeikh Muhammad ibn Salim al-Kalali, seorang ulama’ berbangsa Arab. Pada tahun 1926 T.M Hasbi ash Shiddieqy berangkat ke Surabaya dan melanjutkan pelajarannya di Madrasah al-Irsyad iaitu sebuah organisasi keagamaan yang didirikan oleh Syeikh Ahmad Soorkati (1874-1943), seorang ulama’ yang berasal dari Sudan . Di Madrasah al-Irsyad Hasbi ash Shiddieqy mengambil takhassus dalam bidang pendidikan selama 2 tahun. Pengajiannya di al-Irsyad dan gurunya Ahmad Soorkati banyak memberi didikan ke arah pembentukan pemikiran moden. Beliau juga pernah menuntut di Timur Tengah.

3. KEILMUAN

T.M Hasbi ash Shiddieqy merupakan seorang ulama’ Indonesia yang terkenal. Beliau memiliki kepekaran dalam bidang ilmu fiqh dan usul fiqh, tafsir, hadith, dan ilmu kalam. T.M Hasbi ash Shiddieqy telah dianugerahkan dua gelaran Doctor Honoris Cause sebagai penghargaan di atas jasa-jasanya terhadap perkembangan Perguruan Tinggi Islam dan perkembangan ilmu pengetahuan keislaman Indonesia. Anugerah tersebut diperolehi dari Universiti Islam Bandung dan (UMSBA) pada 22 March 1975, dan dari IAIN Sunan KalijagaYogyakarta pada 29 Oktober 1975.

4. PENGLIBATAN POLITIK DAN ORGANISASI

Pada zaman demokrasi liberal T.M Hasbi ash Shiddieqy terlibat secara langsung dalam Parti Masyumi (Majlis Syura Muslimin Indonesia) dan mewakilinya dalam perdebatan ideologi di Konstituante. Beliau turut menganggotai Organisasi Muhammadiyah.


5. KETOKOHAN

T.M Hasbi ash Shiddieqy menetap di Yogyakarta pada tahun 1951 dan melibatkan diri secara serius dalam bidang pendidikan. Pada tahun 1960 beliau diangkat menjadi dekan di Fakulti Syariah IAIN Sunan Kalijaga Yogyakarta. Beliau menyandang jawatan ini hingga tahun 1972.. Kepakaran beliau dalam pengetahuan Islam dan pengiktirafan ketokohannya sebagai ulama’ dapat dilihat dari beberapa gelaran doktor (honoris cause) yang diterimanya seperti dari Universiti Islam Bandung pada 22 March 1975 dan dari IAIN Sunan Kalijaga pada 29 Oktober 1975. Sebelum itu, pada tahun 1960, beliau diangkat sebagai ketua dalam bidang ilmu hadith di IAIN Sunan Kalijaga. Pendidikan yang diterimanya dari pondok-pondok pengajian dan Madrasah al-Irsyad mampu menyerlahkan dirinya sebagai seorang pemikir. Kemampuannya sebagai seorang intlektual diakui dunia antarabangsa. T.M Hasbi ash Shiddieqy pernah diundang dan menyampaikan makalah dalam International Islamic Colloquium yang diadakan di Lahore Pakistan (1958). Beliau mula bergerak di Acheh dalam lingkungan masyarakat fanatik. Namun begitu, Hasbi masih meneruskan perjuangannya walaupun beliau dimusuhi oleh pihak yang tidak bersefahaman dengannya.






6. PEMIKIRAN

Seperti ulama’ lain, Hasbi ash Shiddieqy berpendirian bahawa syariat Islam bersifat dinamik, sesuai dengan perkembangan masa dan tempat. Ruang lingkupnya mencakupi semua aspek kehidupan manusia, baik dalam hubungannya dengan sesama manusia mahupun hubungan dengan Tuhannya. Syariat Islam yang bersumbekan wahyu Allah swt, difahami oleh umat Islam melalui metode ijtihad untuk diadaptasikan setiap perkembangan yang berlaku dalam masyarakat. Ijtihad inilah yang kemudiannya melahirkan fiqh. Banyak kitab fiqh yang ditulis oleh ulama’ mujtahid. Di antara mereka yang terkenal adalah imam-imam mujtahid mazhab empat iaitu Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’i dan Ahmad ibn Hanbal. Menurut Hasbi ash Shiddieqy, kebanyakan umat Islam, khususnya di Indonesia tidak membezakan antara syariat asal dari Allah swt dan fiqh yang merupakan ijtihad ulama’ terhadap syariat tersebut. Selama ini terdapat masyarakat Indonesia yang yang cenderung menganggap fiqh sebagai syariat. Akibatnya, kitab-kitab fiqh yang ditulis oleh imam-imam mazhab diambil sebagai sumber syariat, walaupun kadang-kadang pendapat imam mazhab tersebut ada yang perlu diteliti dan dikaji dengan konteks terkini, kerana hasil ijtihad mereka tidak terlepas dari situasi dan keadaan sosial budaya serta lingkungan geografik. Tentu sahaja hal ini berbeza dengan keadaan masyrakat kita sekarang.

Menurutnya, hukum fiqh yang dianuti oleh masyarakat Islam Indonesia banyak yang tidak sesuai dengan keperibadian bangsa Indonesia. Mereka terlalu berkecenderungan mengikut mazhab imam-imam tersebut. Sebagai alternatif terhadap sikap tersebut, beliau mencadangkan gagasan perumusan kembali fiqh Islam yang berkeperibadian Indonesia. Menurutnya, umat Islam harus mencipta hukum fiqh yang sesuai dengan latar belakang masyarakat Indonesia. Namun begitu begitu, tidak beerti ijtihad ulama’ terdahulu harus dibuang sama sekali, tetapi harus diteliti dan dipelajari secara bebas, kritis dan terlepas dari sikap fanatik. Dengan demikian, pendapat ulama’ dari mazhab manapun, asalkan sesuai dan relevan dengan situasi masyarakat Indonesia dapat diterima dan diterapkan.

Untuk usaha ini, ulama’ harus mengembangkan dan menggalakkan ijtihad. Hasbi ash Shiddieqy berpendapat bahawa pintu ijtihad tidak pernah tertutup, kerana ijtihad adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dari semasa ke semasa. Menurutnya, untuk menuju fiqh Islam yang berwawasan ke Indonesiaan, ada tiga bentuk ijtihad yang perlu dilakukan.

Pertama: Ijtihad dengan mengklasifikasi hukum-hukum keluaran ulama’ mazhab terdahulu. Ini bertujuan agar dapat memilih pendapat yang masih sesuai untuk diterapkan dalam masyarakat.
Kedua: Ijtihad dengan mengklasifikasikan hukum-hukum yang semata-mata didasarkan pada adat kebiasaan dan suasana masyarakat di mana hukum itu berkembang. Hukum ini, menurut beliau berubah sesuai dengan perubahan masa dan keadaan masyarakat.
Ketiga: Ijtihad dengan mencari hukum-hukum terhadap masalah kontemporari yang timbul akibat dari kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Disebabkan kompleksnya permasalahan yang terjadi akibat daripada kemajuan,maka pendekatan yang dilakukan untuk mengatasinya tidak boleh dikhususkan hanya pada bidang-bidang tertentu sahaja. Oleh kerana itu, ijtihad tidak dapat dilaksanakan dengan efektif jika dilakukan secara individu. Hasbi ash Shiddieqy menawarkan gagasan ijtihad jama’i.Dianggotai bukan hanya golongan ulama’, tetapi juga terdiri dari pelbagai kalangan muslim yang lain seperti, ahli ekonomi, sarjana, budayawan, dan ahli politik yang mempunyai visi dan wawasan terhadap permasalahan umat Islam. Mereka yang duduk dalam lembaga ijtihad masing-masing berusaha memberi buah fikiran yang sesuai dengan keahlian dan dan disiplin ilmu. Dengan demikian, rumusan ijtihad yang diputuskan oleh lembaga ini lebih mendekati kebenaran dan lebih sesuai dengan tuntutan situasi dan kemaslahatan masyarakat. Dalam gagasan ijtihad ini memandang metodologi pengambilan dan penetapan hukum (istinbat) yang telah dirumuskan oleh para ulama’ seperti qias, istihsan, masalah mursalah dan urf.

HASIL KARYA

Semasa hayatnya T.M Hasbi telah menghasilkan 72 judul buku dan 50 artikel dalam bidang tafsir, hadith, fiqh dan pedoman ibadah.

KEWAFATAN

T.M Hasbi ash Shiddieqy kembali ke rahmatullah tanggal 9 Disember 1975 ketika dalam membuat persiapan untuk menunaikan ibadah haji. Beliau dimakamkan di permakaman IAIN Ciputat Jakarta. Turut hadir almarhum Hamka dan almarhum Mr. Moh. Rum di hari pengkebumiannnya.

PENGENALAN KITAB TAFSIR AL-BAYAN

Tafsir al-Bayan merupakan hasil karya ke dua yang dikarang oleh Prof. T.M hasbi ash Shiddieqy dalam bidang pentafsiran al-Qur’an selepas karyanya yang pertama iaitu Tafsir An-Nur yang diterbitkan pada tahun 1956. [2]

Pada Muqaddimah tafsir ini, yang bertarikh Yokyakarta: 21 Mei 1966, pengarang menulis: “Dengan inayah Allah Taala dan taufiq-Nya, setelah saya selesai dari menyusun Tafsir An-Nur yang menterjemahkan ayat dan menafsirkannya, tertarik pula hati saya kepada menyusun al-Bayan”[3].

Pengarang menyatakan sebab-sebab penulisan tafsir ini adalah untuk menyempurnakan sistem penterjemahan yang terdapat dalam Tafsir An-Nur karya pertamanya dalam bidang ini. Juga pengarang mendapati bahawa terjemahan-terjemahan al-Qur’an yang beredar ditengah-tengah masyarakat perlu dikaji dan ditinjau semula. Pengarang berkata di dalam kitab tafsirnya:
“Maka setelah saya memerhatikan perkembangan penterjemahan al-Qur’an akhir-akhir ini, serta meneliti secara tekun terjemahan-terjemahan itu, nyatalah bahawa banyak terjemahan kalimat yang perlu ditinjau dan disempurnakan. Oleh karananya, dengan memohon taufiq daripada Allah Taala, saya menyusun sebuah terjemah yang lain dari yang sudah-sudah”[4]

Karyanya yang kedua ini juga merupakan terjemahan dan tafsir al-Qur’an dalam bahasa Indonesia yang diperkirakan dihasilkan oleh pengarang pada awal tahun 60-an lagi. Cetakan pertama kitab tafsir ini ialah pada tahun 1971 melalui terbitan PT Almaarif Bandung, dengan ukuran 15 x 22 cm.

Al-Bayan yang dinamakan oleh pengarang adalah bermaksud “Suatu penjelasan bagi makna-makna al-Qur’an”. Kitab ini terdiri dari dua jilid. Jilid pertama mengandungi nas-nas ayat al-Qur’an bermula dari surah al-Fatihah dan berakhir dengan ayat 75 surah al-Kahf. Kesemua terjemahan dan tafsiran bagi jilid pertama mengandungi 789 muka surat. Bagi jilid ke dua Tafsir al-Bayan ini, dimulai dari surah al-Kahf ayat ke 75 dan berakhir dengan surah al-Nas bersama terjemahan dan tafsirannya yang terkandung dalam muka surat 789 sehingga 1604[5].


1. Pendahuluan
Segala puji bagi Allah yang telah berfirman dalam kitabNya yang mulia:
قد جـاءكم من الله نور وكتـب مبين[6]

“Sesungguhnya telah datang kepadamu cahaya dari Allah dan kitab yang menerangkan.”

Dan Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda:
خيركم من تعلم القرءان وعلمه
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarkannya.” ( Al-Hadith )

Atas dasar itu penulis merasa satu kenikmatan dan ketenangan apabila terlibat dalam tugas ini. Apatah lagi mengkaji kandungan kitab suci al-Quran, walaupun tidak secara mendalam tetapi cukup sebagai satu kepuasan dalam diri.

Penterjemahan al-Quran merupakan salah satu cara dakwah yang kesannya cukup mendalam terhadap sesebuah masyarakat kerana isi kandungannya lebih mudah difahami. Bentuk masyarakat yang berbagai memerlukan kepada kaedah dakwah yang pelbagai. Penterjemahan yang salah pula membawa kepada kepada kesalahfahaman masyarakat terhadap isi kandungan al-Quran yang akhirnya menjejaskan akidah mereka. Oleh itu,segala usaha peterjemahan sepatutnya diberi sokongan penuh kerana usaha mereka terlalu mulia di sisi Islam.

Kitab yang ada ditangan penulis ini mudah-mudahan membawa manfaat kepada seluruh masyarakat Islam atas usaha-usaha mereka yang murni lagi suci. Di kesempatan ini, penulis cuba meninjau kaedah-kaedah yang digunakan oleh penterjemah terhadap kitab ini, mudah-mudahan ada baiknya untuk masyarakat Islam keseluruhannya.



2. Pengenalan Kitab

Nama Kitab : Al-Quran dan Terjemahnya (Indonesia)
Penterjemah : Yayasan Penyelenggara Penterjemah / Pentafsir Al-Quran,
Jakarta.
Cetakan : Mujamma‘ al-Malik Fahd li Tiba‘at al-Mushaf al-Syarif,
Medinah Munawwarah, Saudi Arabia. ( 1418H )
Bil. Jilid : 1 Jilid

3. Latarbelakang Penterjemah

Yayasan Penyelenggara Penterjemah / Pentafsir al-Quran merupakan satu badan yang dipertanggungjawabkan oleh Menteri Agama untuk menterjemah, menerbit dan mengedarkan Kitab Tafsir al-Quran dan Terjemahnya kepada masyarakat Islam setempat dan sekitarnya. Terjemahan ini mengambil masa lapan tahun (1964-1971) untuk disempurnakan oleh anggota “Dewan Penterjemah” seramai sebelas orang yang terdiri dari kalangan tokoh-tokoh ulama terkenal.

Mereka itu ialah:

1. Prof. R. H. A. Soenarjo S. H. (Ketua)
2. Prof. T. M. Hasbi Ashshiddiqi.
3. Prof. H. Bustami A. Gani.
4. Prof. H. Muchtar Jahya.
5. Prof. H. M. Toha Jahya Omar.
6. Dr. H. A. Mukti Ali.
7. Drs. Kamal Muchtar.
8. H. Gazali Thaib.
9. K. H. A. Musaddad.
10. K. H. Ali Maksum.
11. Drs. Busjairi Madjidi.[7]

Di antara kesebelasan anggota di atas, penulis ingin mengenengahkan salah seorang tokoh untuk ditonjolkan latarbelakangnya. Beliau adalah Prof. T. M. Hasbi Ashshiddiqi.



3.1 Biodata Prof. T.M. Hasbi Ashshiddiqi

Nama : Muhammad Hasbi Ashshiddiqi.
Tarikh dan Tempat Lahir : Dilahirkan pada 10 Mac 1904 di Lhokseumawe yang
terletak di Acheh Utara.
Keturunan : Beliau berdarah campuran Arab. Menurutnya silsilah
yang diketahui beliau adalah keturunan ketiga puluh
tujuh dari Khalifah Abu Bakr al-Siddiq.
Latarbelakang Keluarga : Keluarganya tergolong dari kalangan ulama pejabat.
Ibunya bernama Teungku Amrah yang merupakan
puteri kepada Teungku Abdu Aziz, pemangku Qadhi Chik Maharaja Mangkubumi. Bapanya pula bernama al-Hajj Teungku Muhammad Husen bin Muhammad Mas‘ud. Ketika berusia 6 tahun ibunya meninggal dan diasuh oleh neneknya yang bernama Teungku Syamsiyah.
Latarbelakang Pendidikan : Beliau mula belajar ketika berusia lapan tahun di
beberapa sekolah-sekolah pondok. Setelah itu belajar di sekolah kerajaan iaitu sekolah al-Irsyad selama satu setengah tahun. Walaupun tempoh beliau belajar sedikit tetapi dapat dilihat dari keperibadiannya sebagai seorang pemikir yang hebat. Keintelektualannya diiktiraf dunia. Pada tahun 1958, beliau dijemput untuk membentangkan kertaskerja dalam SeminarIslam Antarabangsa di Lahore Pakistan. Beliau berani dalam mengutarakan pendapatnya, walaupun kerananya ia dimusuhi, dipenjara dan sebagainya. Beliau adalah orang pertama yang menimbulkan isu perlunya kepada kekinian fiqh yang berkepribadian Indonesia atau istilahnya sebagai “Fiqh Indonesia”. Cetusan ini telah menimbulkan polemik yang hebat di kalangan para ulamak sezamannya hingga sekarang.

Karya-karya Yang Dihasilkan : Beliau telah menghasilkan karya-karya dalam bidang
tafsir, hadith, fiqh dan panduan ibadah umum. Bilangan karyanya mencapai 72 buah buku dan 50
artikel. Antaranya seperti:

1. Al-Islam.
2. Kriteria Antara Sunnah dan Bid’ah.
3. Mutiara Hadith.
4. Sejarah dan Pengantar Ilmu Hadith.
5. Fiqhul Mawarith
6. Tafsir al-Quran an-Nur.
7. Pedoman Shalat
8. Pedoman Puasa.

Gelaran Yang Diterima : Beliau memperoleh dua gelaran sepanjang hidupnya.
Gelaran itu ialah Doctor Honoris Causa yang diperoleh
dari dua institusi pengajian tinggi di Indonesia. Institusi yang pertama ialah Universitas Islam Bandung (UNISBA) pada 22 Mac 1975 dan IAIN Sunan Kalijaga Yogyakarta pada 29 Oktober 1975. Anugerah ini diberikan sebagai jasa-jasa beliau terhadap perkembangan Perguruan Tinggi Islam dan perkembangan pengetahuan keislaman di Indonesia.

Kembali Ke Rahmatullah : Beliau meninggal pada 9 Disember 1975 dan
dikebumikan di pemakaman keluarga IAIN Ciputat
Jakarta.[8]

4. Metodologi Penulisan

Mukadimah

Ia dibahagikan kepada enam bab utama.

Bab Satu : Sejarah al-Quran.
Bab Dua : Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wa sallam.
Bab Tiga : Kandungan al-Quran.
Bab Empat : Al-Quran Sebagai Mukjizat.
Bab Lima : Al-Quran dan Ilmu Pengetahuan.
Bab Enam : Keutamaan Membaca al-Quran dan Cara Bacaannya.[9]

Bibliografi diletakkan selepas membicarakan bab-bab di atas. Ternyata penterjemah mengambil rujukan dari kitab-kitab yang muktabar dan pelbagai dan bilangannya sebanyak 105 buah kitab. Antara rujukannya seperti;

1. Al-Tabari, Jami‘ al-Bayan fi Tafsir al-Qur’an.
2. ‘Ali ‘Abd Allah Yusuf, The Holy Qur’an.
3. Al-Fayruz Abadi, Tanwir al-Miqbas min Tafsir Ibn ‘Abbas.
4. Al-Fakhr al-Razi, Al-Tafsir al-Kabir.
5. Al-Zamakhsyari, Al-Kasysyaf.[10]

Transliterasi yang digunakan mengikut kaedah Indonesia. Sebagai contoh;

1. Dh = ض
2. Th = ط
3. Sh = ص
4. aa - sebagai tanda bacaan fathah yang panjang.
5. ii - sebagai tanda bacaan kasrah yang panjang.[11]


Sebelum penterjemahan pada setiap surah dibuat, ia didahului dengan mukadimah yang menyatakan beberapa perkara penting yang dihuraikan dalam bentuk sinopsis. Secara umumnya, bahagian ini menyatakan bilangan ayat, pengkategorian al-Makki atau al-Madani, pendefinisian nama pada setiap surah, nama-nama lain bagi surah dan topik-topik penting yang dibincangkan pada keseluruhan surah. Dalam menyatakan topik-topik penting ini ia dibahagikan kepada empat bahagian;

1. Keimanan:
Bahagian ini dinyatakan secara ringkas konsep-konsep keimanan yang dibincangkan pada surah.
2. Hukum-hukum:
Bahagian ini dinyatakan secara ringkas tentang perbincangan mengenai hukum yang boleh dipetik dari surah.
3. Kisah-kisah:
Bahagian ini memberikan gambaran ringkas mengenai kisah yang terdapat pada surah.
4. Lain-lain:
Bahagian ini memasukkan perbincangan selain dari tiga bahagian di atas seperti balasan perbuatan baik,akibat perbuatan buruk, nikmat Allah yang tidak terhitung dan sebagainya.

Teknik penulisan terjemahan dalam kitab ini adalah secara bersebelahan antara ayat dan terjemahan pada setiap lembaran.[12] Konsep terjemahan yang dibuat, ialah berdasarkan ‘tahlili mawdu‘i’. Penterjemah membahagikan kepada tajuk-tajuk penting yang ada pada setiap surah dengan ditulis secara huruf besar, kecuali surah al-Fatihah dengan tidak ditulis tajuk padanya.[13] Di antara surah-surah yang paling banyak tajuk-tajuk penting di dalamnya ialah surah al-Ma’idah sebanyak lapan belas tajuk. Ia dimulai dengan tajuk “JANJI PRASETIA KEPADA ALLAH DAN PENYEMPURNAAN AGAMA ISLAM” dan diakhiri dengan tajuk “BEBERAPA KISAH TENTANG ISA A.S.”. Adapun yang paling sedikit sekali ialah satu tajuk seperti surah al-Ikhlas, al-Falaq, al-Nas dan sebagainya.
Setiap tajuk itu pula terdapat tajuk-tajuk kecil sebagai pendetilan tajuk-tajuk besar tersebut. Sebagai contoh, pada awal surah al-Baqarah diberi tajuk besar yang berbunyi “TIGA GOLONGAN MANUSIA DALAM MENGHADAPI AL-QURAN”. Selepas tajuk besar itu terdapat tajuk-tajuk kecil yang menjelaskan tajuk besar tersebut iaitu;

1. Golongan Mukmin.
2. Golongan Kafir.
3. Golongan Munafik.[14]

Terdapat nota kaki yang menjelaskan atau mentafsirkan terjemahan yang dibuat.

Penjelasan pada nota kaki ini boleh dikatakan sebagai ‘tahlili’ kerana ia meliputi dari segi pendapat-pendapat ulama tafsir terhadap sesuatu kalimah atau ayat, sebab-sebab nuzul, nasikh mansukh, qiraat dan sebagainya.
Contoh-contoh perkara di atas dapat dilihat dalam kitab ini seperti;
1. Pendapat ulama tafsir terhadap sesuatu kalimah atau ayat:
Dalam menhuraikan maksud ayat 5 surah al-Anfal;
كما أخرجك ربك من بيتك بالحق
Penterjemah mengambil pendapat al-Maraghi yang menyatakan: “Allah mengatur pembahagian harta rampasan perang dengan kebenaran, sebagaimana Allah menyuruhnya pergi dari rumah (di Madinah) untuk berperang ke Badar dengan kebenaran pula”. Manakala pendapat al-Tabari: “Keluar dari rumah dengan maksud berperang”.[15]
2. Pada menyatakan sebab-sebab nuzul, penterjemah ada membawa riwayat al-Tabari berkenaan ayat 115 surah al-Baqarah;
ولله المشرق والمغرب فأينما تولوا فثم وجه الله
“Al-Tabari menyebutkan bahawa ayat ini turun berkenaan tentang suatu kaum yang suatu ketika tidak dapat melihat arah kiblat yang tepat, sehingga mereka salat ke arah yang berbeda-beda.”[16]
3. Contoh nasikh mansukh dalam kitab ini dinyatakan pada membicarakan ayat 180 surah al-Baqarah;
كتب عليكم إذا حضر أحدكم الموت إن ترك خيرا الوصية للولدين والأقربين
بالمعروف
“Ma’ruf ialah adil dan baik. Wasiat itu tidak melebihi sepertiga dari seluruh harta orang yang akan meninggal itu. Ayat ini dinasakhkan dengan ayat mawarith.”[17]
4. Dalam bab qiraat penterjemah ada menyatakan pada ayat 4 surah al-Fatihah;
مـلك يوم الدين
“Maalik (Yang menguasai), dengan memanjangkan ‘mim’ ia bererti: pemilik (yang empunya). Dapat pula dibaca dengan Malik (dengan memendekkan ‘mim’) berarti raja.”[18]

Nota kaki yang dibuat adalah mengikut turutan dari awal surah hingga akhir surah al-Quran yang bilangannya mencapai angka 1,610 nota kaki.

Jika terdapat pengulangan dari segi penjelasan pada nota kaki, metod yang digunakan seperti;
1. Jika ia merupakan suatu penjelasan terhadap sesuatu kalimah ia akan ditulis seperti “Lihat yang dimaksud dengan ……. not no. …[19]”.
2. Jika ia merupakan penjelasan berkenaan sesuatu kisah, ia akan ditulis seperti “Lihat kembali kisah kaum Luth ini pada surat …… ( )[20] ayat …. s/d[21] ….”.
3. Jika ia merupakan huraian terhadap sesuatu terjemahan, ia akan ditulis seperti “Lihat not …..”
Dalam membicarakan pada ayat-ayat akidah penterjemah lebih berminat mengambil pendapat Asy‘ariyyah. Sebagai contoh pada ayat 255 surah al-Baqarah;
وسع كرسيه السمـوت والأرض
“Kursi dalam ayat ini oleh sebahagian mufassirin diartikan dengan ilmu Allah dan ada pula yang mengartikan dengan kekuasaanNya. Pendapat yang sahih terhadap makna ‘Kursi’ ialah tempat letak telapak kakiNya.”[22]

Terdapat juga penjelasan sesuatu ayat yang diambil dari mafhum sesuatu hadith dan dinilai oleh penterjemah dengan menyatakan rujukan kitab hadith yang diambil dan bab pada kitab tersebut. Sebagai contoh pada membicarakan ayat 144 dari surah Ali Imran;
وما محمد إلا رسول قد خلت من قبله الرسل
“Abu Bakar r.a. mengemukakan ayat ini – di mana terjadi pula kegelisahan di kalangan para sahabat di hari wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. untuk mententeramkan Umar Ibnul Khaththab r.a. dan sahabat-sahabatnya yang tidak percaya tentang kewafatan Nabi itu. (Sahih Bukhari bab Ketakwaan Sahabat).”[23]

Penterjemah mengakhiri setiap surah dengan membuat kesimpulan terhadap keseluruhan surah, yang ditulis padanya sebagai ‘PENUTUP’. Seterusnya dinyatakan hubungkait antara surah samada pada permulaan, isi kandungan atau pengakhirannya.
Sebagai contoh pada membicarakan “HUBUNGAN SURAT AN NABA’ DENGAN SURAT AN NAAZI’AAT.”;

1. Surat An Naba’ menerangkan ancaman Allah terhadap sikap orang-orang musyrik yang mengingkari adanya hari berbangkit, serta mengemukakan bukti-bukti adanya hari berbangkit, sedang pada surat An Naazi’aat Allah bersumpah bahawa hari kiamat yang mendahului hari berbangkit itu pasti terjadi.
2. Sama-sama menerangkan huru-hara yang terjadi pada hari kiamat dan hari berbangkit.[24]

5. Kesimpulan
Setelah ditinjau secara rambang kitab “Al-Quran dan Terjemahnya”, penulis mendapati ia merupakan kitab yang cukup menarik dan mudah difahami. Ini kerana terjemahan yang dibuat tidak terlalu panjang dan tidak terlalu ringkas. Selain dari itu huraian-huraian atau penjelasan yang dibuat pada nota kaki, menggambarkan penterjemah cukup teliti dan memahami keperluan pembaca yang terdiri dari orang awam. Sehubungan dengan itu, penulis percaya kitab ini mendapat perhatian pembaca dan tidak hairanlah kitab ini dipilih untuk dicetak di Mujamma‘ al-Malik al-Fahd li Tiba‘at al-Mushaf al-Syarif di Madinah untuk disebarkan kepada masyarakat Islam di rantau ini.
Penulis berpendapat agar kitab ini dapat diperbaiki lagi penterjemahannya terutama dari segi akidah kepada yang lebih selamat dan berlandaskan ahli sunnah wal jamaah.


[1] Biografi pengarang diambil dari http//www.rizki-putera.com./hasbi.htm
[2] Muhammad Nur Lubis, Data-data Terbitan Awal Penterjemahan Dan Penafsiran Al-Qur’an Di Alam Melayu, Terbitan Al-Hidayah Publishers, Kuala Lumpur, cetakan pertama 2002. Hlm 99
[3] Prof. T.M Hasbi ash Shiddieqy, Dr. Tafsir al-Bayan, PT Almaarif, Bandung, J 1, hlm 7.
[4] Ibid
[5] Muhammad Nur Lubis, op.cit, hlm 100-101
[6] Surah al-Ma‘idah : 15
[7] Lihat lampiran m/s: 16
[8] Siddiqi, Prof. Dr. Nourouzzaman MA, (1997) Fiqh Indonesia, Yogyakarta.
[9] Lihat lampiran m/s: 17
[10] Lihat lampiran m/s: 21
[11] Lihat lampiran m/s: 19
[12] Lihat lampiran m/s: 20
[13] Penulis berpendapat ia sesuai dengan fungsinya sebagai Umm al-Kitab.
[14] Lihat lampiran m/s: 18
[15] Lihat nota kaki no. 596.
[16] Lihat nota kaki no. 83.
[17] Lihat nota kaki no. 112.
[18] Lihat nota kaki no. 4.
[19] No. di atas bermaksud nombor rujukan pada nota kaki sebelumnya.
[20] Dalam kurungan bermaksud no. bilangan surah yang terdapat dalam al-Quran.
[21] Penulis berpendapat ia bermaksud ‘sehingga datang’.
[22] Lihat nota kaki no. 161.
[23] Lihat nota kaki no. 234.
[24] Lihat m/s: 1017.
28 Jun 2007, 13 Jamadil Akhir 1428,
10.31, Malaysia Timur

Rabu, 27 Jun 2007

Pembebasan Tan Sri Eric Chua, Timbalan Menteri dari Sarawak dan Fitnah ke atas KPN

Kelemahan pendakwaan punca Tan Sri Eric Chia bebas?
Persoalan demi persoalan mula timbul-kenapa lemahnya pihak pendakwaan berhubung isu pembebasan Tan Sri Eric Chua, 74 tahun yang dikaitkan dengan skandal rasuah yang berjumlah 76.4 juta sewaktu beliau memegang jawatan Pengarah di syarikat Perwaja Steel Sdn Bhd.
2 saksi penting dari Jepun tidak dapat disediakan oleh pihak pendakwaan. Kes seumpama ini mengulangi kelemahan pihak pendakwaraya dalam beberapa kes sebelum ini-di antaranya kes pembunuhan yang akhirnya si tertuduh bebas dari pendakwaan.
Kita bimbang ia mungkin berlaku dalam kes yang sedang hangat dibicarakan iaitu pembunuhan Altantuya. Bahkan reaksi terkini Abdul Razak Baginda semalam-bahawa dia yakin akan menang dalam kes ini menimbulkan rasa sangsi di kalangan orang awam. Justeru, sekali lagi kita mengharapkan agar pihak pendakwaraya melakukan persediaan rapi apalagi ia merupakan kes berprofil tinggi!
Isu rasuah Timbalan Menteri Dari Sarawak
Pada waktu yang sama, kes seorang timbalan menteri dari Sarawak dan merupakan menteri kanan di negeri ini kerana terlibat dalam kes pembalakan haram, gengsterisme dan percubaan merasuah pegawai kanan polis juga perlu diberikan perhatian. Sebab itulah, saya meyakini di antara faktor utama berlakunya penyalahgunaan kuasa apabila seseorang itu diberikan mabuk kuasa dan keistimewaan yang dimiliki. Dan senario ini selalu melanda ahli politik. Oleh itu, sekiranya dilantik menjadi pemimpin dan wakil rakyat-maka seharusnya membuat muhasabah dalamn diri. Wakil rakyat bermaksud khadam rakyat dan bekerja untuk rakyat bukannya tuan rakyat! Yang berlaku kini, rata-rata wakil rakyat menganggap dirinya tuan rakyat! Sebab itu, apabila diberikan mandat sebagai wakil rakyat, apa yang berlaku, rakyat tetap susah tetapi wakil rakyat semakin kaya!
Fitnah yang melanda Ketua Polis Negara
Saya tidak pasti sama ada ia fitnah ataupun fakta. Ini kerana, kenyataan dari KPN ketika ditanya tentang komen beliau, apa tindakan yang akan diambil kepada blog yang mengaitkan beliau dengan isu rasuah, beliau hanya menyatakan no komen!
Sebab itu secara prinsipnya, jika tiada angin masakan pohon bergoyang. Jika sesuatu perkara tidak berlaku, masakan perkara itu tiba-tiba menjadi buah mulut melainkan ia benar-benar fitnah. Kita mengharapkan agar KPN dapat memberikan penjelasan yang sewajarnya kerana selaku pemimpin nombor satu dalam PDRM, kita mengharapkan adanya ketelusan. Jangalah seumpama Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato' Johari Baharum yang awal-awal lagi sudah merasakan dirinya akan bersih dai tuduhan rasuah berjumlah 5 juta kerana membebaskan tahanan dalam Akta Ordinan Darurat. Inilah tindakan yang paling tidak cerdik oleh seorang Timbalan Menteri. Bagaimana jika hasil siasatan rasuah BPR mendapati beliau bersalah! Di mana beliau nak sorokkan mukanya!
Justeru, bagi saya, apa yang berlaku dalam minggu ini patut menjadi iktibar kepada kita. Rakyat inginkan barisan kepimpinan yang telus, jujur dan amanah-bukannya yang diliputi pelbagai kontroversi dan masalah peribadi yang memualkan! Fikir-fikirkan!
27 Jun 2007, 12 Jamadil Akhir 1428,
3.45 petang, Malaysia Timur

Piket MTUC dan Amaran TPM

Semalam di 13 lokasi di seluruh negara- antaranya Petaling Jaya, Bangi, Shah Alam, Klang, Johor, Kuching, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka dan Seremban, hampir 4,000-5,000 ahli MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia) telah mengadakan piket dengan 2 tuntutan utama mereka iaitu gaji minimum RM 900 dan COLA(Elaun Sara Hidup) sebanyak RM 300 khusus untuk pekerja sektor swasta.
Bagi penjawat awam, lafaz syukur sepatutnya diungkapkan setelah menerima kenaikan gaji. Namun begitu, renung-renunglah bagi rakan-rakan yang bekerja di sektor swasta. Dengan majoriti masih mendapat gaji sekitar RM 300-RM400 sebulan, maka sepatutnya CEUPACS juga mendesak kerajaan agar menetapkan gaji minimum dan COLA untuk pekerja sektor swasta. Janganlah oleh kerana, tuntutan kita telah dipenuhi, maka nasib rakan-rakan yang masih keperitan kerana gaji yang kecil, maka kita buat-buat tak pandang!
Kepada pihak kerajaan, pertimbangkanlah perkara ini dengan sebaiknya. Saya bersetuju dengan kenyataan Presiden MTUC yang menyatakan mereka tidak berpuas hati kerana pihak kerjaan hanya memberikan komen di dalam media massa tentang memorandum mereka! Sebab itu, apabila TPM membuat kenyataan MTUC jangan berpiket lagi, bagi saya ahli MTUC tentu akan lebih memberontak! Kenapa CEUPACS boleh berunding dengan baik, tetapi tidak dengan MTUC? Apakah berlaku double standard?
Memang PM pernah menyatakan pihak kerajaan tidak boleh campur tangan dalam penentuan gaji oleh sektor swasta, tetapi sebagai pihak yang mempunyai kuasa-perkara ini boleh diatasi dengan mencari mekanisme yang terbaik untuk mengelakkan rakyat teramai yang menetap di bandar-bandar besar, dari terus menderita akibat pendapatan yang kecil dan tak sebanding dengan kos hidup yang tinggi!
Kepada pihak MTUC dan ahli-ahli bersabarlah. Insya Allah, kita mendoakan agar hasrat anda semua tercapai. Sebab itu, pentingnya kerajaan yang mengutamakan kebajikan rakyat dipilih berbanding yang hanya mengenyangkan kroni masing-masing sahaja! Imbaulah sejarah pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz yang hanya 2 tahun memerintah negara, tetapi tidak ada seorang pun di zamannya yang layak menerima zakat, kerana agihan pendapatan kekayaan yang sama adil. Firman Allah " Sekiranya penduduk sesebuah qaryah, beriman dan bertaqwa kepada Allah, nescaya akan Kami bukakan ke atas mereka keberkatan dari langit dan bumi..."
27 Jun 2007, 12 Jamadil Akhir 1428,
4.06 petang, Malaysia Timur

Isnin, 25 Jun 2007

Wayar tertinggal di dalam perut?




Ternyata, apa yang berlaku kepada seorang ibu yang mengalami penderitaan kerana ada wayar yang tertinggal di dalam perut;menimbulkan pelbagai persoalan?
Kenapa setelah 3 tahun, baru perkara itu disedari? Kenapa pihak Hospital Alor Setar tidak memberi penjelasan yang sewajarnya? Kenapa doktor yang bertanggungjwab seolah-olah lepas tangan dengan memberitahu pihak keluarga mangsa agar perkara ini tidak disebarluaskan?
Saya pernah menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan zalim apabila kita tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya atau tidak menunaikan hak kepada mereka yang berhak. Justeru, kita bimbang saranan TPM kita think global,act local(fikir global dan bertindak secara lokal) hanya tinggal angan-angan. Sedangkan yang sewajarnya THINK GLOBAL,ACT PROFESIONAL!(Kalau tindakan bersifat lokal-inilah jadinya)
Telah banyak kes yang berlaku, prasarana kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga dan inilah salah satu buktinya. Lebih malang lagi, apabila PAC yang diketuai oleh Datuk Shahrir Samad mendapati antara punca berlaku sekian banyak kes syiling runtuh dan paip bocor,kerana berlakunya ketidaktelusan tender! Maka akhirnya, binaan yang dibuat tidak menepati kualiti sedangkan wang rakyat sekian jumlah telah dibelanjakan!
Kita mengharapkan agar pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan yang sewajarnya dalam kes wayar tertinggal di dalam perut seorang ibu, dan sekian banyak kes kecuaian kontraktor yang akhirnya menyebabkan timbul rasa sangsi dan tidak puas hati di kalangan rakyat akibat ketidakcekapan pengurusan pihak yang berkenaan.
Kalau begitu, lebih baik, diberikan peluang kepada pihak yang mampu menawarkan pemerintahan yang lebih telus, berdasarkan keadilan dan kebenaran dan memenuhi hasrat rakyat teramai. Kepada yang membaca artikel ini-nilailah dengan mata hati dan pemikiran yang rasional berdasarkan wahyu. Fikir-fikirkan!
25 Jun 2007, 10 Jamadil Akhir 1428,
1.06 ptg, Malaysia Timur

Ahad, 24 Jun 2007

RM565,800 harga kepala Rushdie

Sekumpulan ahli perniagaan Pakistan menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang berjaya memenggal kepala penulis kontroversi, Salman Rushdie (gambar), ketika bantahan Muslim di seluruh dunia terhadap penganugerahan gelaran kesatria oleh kerajaan Britain kepada penulis itu memuncak.Ketua Persatuan Perniagaan Islamabad, Ajmal Baloch, menawarkan ganjaran bernilai lebih £82,000 (RM565,800).Dalam satu perhimpunan di pasar Aabpara di tengah Islamabad, Baloch juga mendesak negara Islam memulaukan barangan keluaran Britain dan mengumumkan: “Kami akan memberi 10 juta rupee kepada sesiapa yang berjaya memenggal Rushdie.” (Berita Harian , 24 Jun 2007)
Saya merasakan umat Islam di negara ini juga perlu menunjukkan satu stand yang kukuh sebagaimana umat Islam di Pakistan. Kita ucapkan tahniah kepada pihak PAS yang telah membantah penganugerah Sir kepada Salman Rushdie dengan mengadakan himpunan di depan Kedutaan Britain minggu lepas.
Persoalannya, apa stand Pengerusi OIC? Dan kita mengharapkan adanya himpunan umat yang lebih menyeluruh selepas ini dan dibuktikan dengan tindakan yang praktikal-boikot barangan Britain!
Semoga sense of belonging antara kita umat Islam masih hidup. Ternyata penyakit al-wahn(cinta dunia dan takutkan mati) semakin nyata;membuktikan apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw hampir 1428 tahun yang lalu! Umat Islam semakin lemah daya juangnya, semakin hilang daya caknanya dan semakin terhakis penhayatan Islam dalam hidupnya!

24 Jun, 9 Jamadil Akhir 1428,

3.05 petang, Malaysia Timur

Jumaat, 22 Jun 2007

Moga keadilan akan tertegak!


Seluruh pelusuk negara dan mungkin dunia berdebar menyaksikan apa kesudahan di sebalik kes pembunuhan Altantuya Sharibu-warga Mongolia yang dibom hingga berkecai jasadnya.
Sejarah pernah mencatatkan 1988 dan 1998 adalah 2 detik hitam dalam sejarah perundangan negara. Pada tahun 1988,Tun Salleh Abas selaku Ketua Hakim Negara telah dipecat dan pada tahun 1998 pula, meyaksikan tokoh reformasi,Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipecat oleh Tun Dr. Mahathir selaku PM ketika itu. Maka, apakah badi 10 tahun itu akan berulang lagi pada tahun 2008?(dijangka keputusan kes ini dimaklumkan)
Dalam keadaan seolah-olah ada pihak yang menjadi scape-goat(kambing hitam), ditambah lagi dengan pertukaran pihak pendakwaraya dan Hakim yang mempunyai hubungan 3 pupu dengan Koperal Sirul Azhar (OKT ke-3), maka kita bimbang keadilan tidak tertegak.
Walaupun mungkin perkara ini bersifat sub-judice(kerana kes masih dibicarakan), tapi kita mendesak agar keadilan dan kebenaran dapat ditegakkan secara telus. Mungkinkah Abdul Razak Baginda akan mengeluarkan pengakuan yang tidak disangka-sangka? Wallahu a'lam.
Sebagai pencinta kebenaran dan keadilan, marilah kita berdoa agar Allah menunjukkan siapa pihak yang sebenarnya terlibat dalam pembunuhan kejam ini, walau atas apa justifikasi sekalipun (kerana ada yang menyatakan Altantuya adalah ejen KGV). Sebagaimana firman Allah swt dalam surah al-Isra'-"Dan katakanlah wahai Muhammad,kebenaran itu pasti tiba dan kebatilan pasti lenyap. Sesungguhnya kebatilan pasti lenyap".
22 Jun 2007, 7 Jamadil Akhir 1428,
12.11 tgh, Malaysia Timur.

Bangkitlah Wahai Pemuda dan Pemudi Islam!



Mutakhir ini, kita menyaksikan sudah ada kesedaran Islam di kalangan sebahagian pemuda dan pemudi Islam. Walaupun masih ada yang hanyut dengan keseronokan dunia, tetapi bagi yang cakna dan sedar, kelompok ini harus dibimbing semangat juang mereka, ditunjuk ajar cara bertindak mereka dan apa yang lebih penting menanamkan keyakinan kepada mereka; sebagai mata rantai perjuangan lslam-jalan dakwah yang akan ditempuhi ini banyak ranjau dan onaknya.




Saya yakin, jika setiap pihak memainkan peranan, akan lahir generasi pelapis seteguh Ashabul Kahfi. Saya, walaupun menyampaikan pendedahan yang kurang enak didengar dan kurang sedap dipandang(seperti dalam gambar-gambar sebelum ini), saya tetap optimis kita masih ada generasi pelapis yang boleh dibanggakan.




Mereka yang tekun belajar sebagai seorang hafiz dan hafizah, doktor dan teknokrat, peguam dan hakim bahkan sebagai agamawan dan cendekiawan-jika mempunyai asas aqidah yang mantap, mampu untuk menjadi generasi pelapis yang terbaik.




Di sini saya ingin memetik beberapa pesanan dari Dr. Abdullah Nasih al-Ulwan di dalam kitabnya al-Syabab al-Muslim fi Muwajahah al-Tahaddiyat (Generasi Muda Islam dan Cabaran Globalisasi). Antaranya ialah :




Golongan pemuda dan pemudi Islam akan berdepan dengan cabaran-cabaran berikut :




1) Cabaran syaitan dan hawa nafsu-meliputi hasutan syaitan yang menggoda, bisikan nafsu dan dorongan hawa nafsu.




2) Cabaran serangan pemikiran-meliputi kenapa Barat memerangi negara Islam dan perancangan musuh yang rapi ke atas Islam dan umatnya.




3) Cabaran keruntuhan akhlak-cabaran dalaman dan luaran diri pemuda dan pemudi




4) Cabaran kerajaan sekular-meliputi kenapa pemerintah menjalankan sekular di dalam negara umat Islam




5) Cabaran putus asa daripada melakukan kerja Islam






Insya allah, di lain kesempatan saya akan mengulas hasil tulisan beliau dalam kitabnya ini. Bagi saya, ia cukup memberikan peringatan buat pemuda dan pemudi Islam;bangkitlah dan berikanlah sumbangan kepada agamamu, dengan usia mudamu yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
22 Jun 2007, 7 Jamadil Akhir 1428,
3.53 petang, Malaysia Timur

Britain Yang Angkuh!


Britain semalam mempertahankan tindakannya menganugerahkan darjah kesateria yang membawa gelaran Sir kepada penulis kontroversi, Salman Rushdie kerana sumbangannya dalam bidang kesusasteraan.Kerajaan bagaimanapun melahirkan rasa kesal jika langkah itu menyinggung perasaan pihak-pihak tertentu.


Penganugerahan gelaran tersebut kepada penulis novel Satanic Verses (Surah-Surah Syaitan) itu mencetuskan protes di dunia Islam, malah seorang ulama Pakistan menggesa agar dia dibunuh.Setiausaha Luar, Margaret Beckett pada sidang media bersama-sama rakan sejawatan dari Iraq, Hoshyar Zebari berkata, Britain kesal jika ada orang yang sangat tersinggung dengan pemberian anugerah tersebut yang sebenarnya adalah untuk mengiktiraf hasil kesusasteraan seumur hidup.


Sebelum itu, Setiausaha Dalam Negeri, John Reid berkata, kerajaan mempertahankan pemberian darjah kebesaran yang diumumkan pada hujung minggu lalu.“Saya fikir kami ada satu set nilai-nilai hidup yang memberi penghormatan kepada penerima kerana sumbangan mereka kepada dunia kesusasteraan sekalipun mereka tidak menyetujui pandangan kami.
“Itulah cara kami dan itulah pendirian kami,” kata Reid.


Kenyataan Beckett dan Reid itu disiarkan di tengah-tengah kemarahan umat Islam berhubung pemberian gelaran Sir kepada Rushdie.Dalam pada itu Hoshyar berkata di London, beliau sendiri berpendapat penghormatan itu tidak kena pada waktunya dan kerajaan beliau berkongsi pandangan dengan ramai orang Islam.





* Inilah sikap angkuh dan bodoh sombong Britain. Mereka tidak pernah mahu mengakui kesilapan mereka yang selama ini banyak membangkitkan kemarahan umat Islam seluruh dunia. Dengan Tony Blair yang akan meletakkan jawatan, maka bakal penggantinya seawal ucapannya telah menegaskan"Suatu kesilapan yang jelas, apabila Britain menyertai Amerika dalam Perang di Iraq kerana ia hanya menambahkan rasa benci umat Islam kepada negara kita!".




Saya ingin menegaskan dengan penganugerahan Sir kepada Salman Rushdie-ia dengan nyata telah menginjak-injak maruah umat Islam. Siapa yang tidak kenal dengan Salman Rushdie yang telah menulis The Satanic Verses(Surah-surah Syaitan-merujuk kepada wahyu yang disampaikan oleh Jibril a.s. kepada Nabi saw.)




Cukuplah dengan kelemahan umat Islam selama ini. Di mana kenyataan tegas Pengerusi OIC berhubung isu ini? Janganlah oleh kerana bimbang menyuarakan pandangan yang benar, maka kita seolah-olah mengiakan sahaja apa sahaja perbuatan biadap musuh Islam!


Kepada pembaca budiman, nilailah dengan neraca wahyu dan pandangan mata hati berasaskan iman. Bangkitlah dan nyatakan pendirian anda, dan buktikan dengan tindakan terhadap ketidaksetujuan kita kepada tindakan Britain. Paling lemah pun, elakkan dari membeli barangan buatan Bitain, supaya kelak kita tidak dituduh di hadapan Allah bersekongkol dalam mengiyakan kebiadapan musuh Islam kepada agamaNya!





22 Jun 2007, 7 Jamadil Akhir 1428,


1.57 ptg, Malaysia Timur.

Tenang Jiwa II- Awan Kelabu



Kulihat awan kelabu di langit biru
Membawa khabar derita
Membawa khabar sengsara
Begitulah yang terjadi
Pada remaja kini
Mazmumah bertakhta di hati
Alpa nikmat duniawi
Pudarlah warna pelangi
Menagih seribu simpati
Lamunan tak terhenti
Sirnalah iman di hati
Akibat lesu dirayu nafsu
Atau digoda gelodak rasa
Sedarlah kita remaja tiang negara
Ayuh semua bersatulah kita
Di bawah panji Yang Maha Esa
Moga mendapat keredhaanNya
Ibu dan ayah,guru dan taulan
Bimbinglah kami berakhlak mulia
Agar menjadi harapan bangsa
Dan memenuhi wawasan agama
* Nasyid yang terkenal di kalangan ex-Kisasian. Lirik dan lagu yang cukup menyentuh hati mengenangkan kebejatan sosial di kalangan remaja masa kini.
22 Jun 2007, 7 Jamadil Akhir 1428,
12.36 tgh, Malaysia Timur

Tenang Jiwa I - Janji Tuhan Pasti Berlaku


Oh alangkah indah hidup ini
Bila Islam gemilang kembali
Cahaya iman menyuluh tiap sanubari
Kebenaran mewarnai bumi
Kalam Allah memimpin manusia
Sunnah Rasul memandu langkahnya
Isi alam mendapat rahmat dan berkatnya
Kebatilan tiada tempatnya
Telah lama dinantikan
Bara Islam marak semula
Manusia kegelapan
Merindukan cahaya pembela
Pasti datang saat itu
Janji Tuhan pasti berlaku
Di dunia bahagia
Syurga tempat kekal selamanya

Kuiiringkan doa dan harapan
Daulah Islam bersinar semula
Selamatkan kami umat di akhir zaman
Dengan iman yang terpelihara


*Nasyid oleh Soutul Amal. Lirik dan lagu yang cukup menyentuh perasaan dan membangkitkan jiwa dan semangat untuk terus istiqamah mendokong agama Allah.



22 Jun 2007, 7 Jamadil Akhir 1428,

12.21 tgh, Malaysia Timur

Khamis, 21 Jun 2007

Sebulan Jagung Di Dunia Blog



Alhamdulillah hari ini genap sebulan, blog ini hadir dalam komuniti jutaan blog yang sedia ada. Saya bersyukur kepada Allah kerana hingga saat ini diberikan kekuatan untuk menjadikan blog ini sebagai ruang untuk mencoretkan sesuatu yang bermakna untuk para pembaca.

Bermula daripada kosong, saya cuba mengamalkan kaedah try and error untuk membina blog ini. Ternyata, diri ini merasa suatu kepuasan apabila blog sendiri terbina. Ibarat kata ustaz Hasrizal ”Erti hidup pada memberi”.

Saya merasakan semua bloggers sedar, kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mencorakkan pemikiran, berkongsi ilmu dan pengalaman, malah apa yang lebih penting cakna dengan situasi semasa yang berlaku di tempat kita dan seluruh dunia.

Oleh itu, berdasarkan tagline ilmiah, semasa dan cakna, maka saya cuba menghidangkan bahan-bahan yang menepati tagline tersebut. Segala kajian ilmiah sewaktu saya belajar di peringkat Degree dan Master harap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin terutamanya kepada adik-adik yang masih menuntut di universiti atau kolej dalam bidang agama, khususnya dalam pengajian Tafsir dan pengajian Hadith.

Pengalaman berada di Malaysia Timur-suatu pengalaman baru yang cukup bermakna. Baru 4 bulan di sini, saya telah menjelajah ke beberapa bahagian antaranya Sibu, Bintulu, Kapit, Sarikei, Sri Aman, Simunjan, Santubong, Samarahan dan Betong. Ternyata dalam keadaan Islam minoriti di sini, saya yakin Islam akan bangkit dalam masa yang terdekat ini.

Bagi para pembaca, marilah kita menilai seuatu dengan neraca pemikiran yang berlandaskan wahyu. Di situ, barulah kita boleh melihat sesuatu dengan rasional. Saya memberi contoh yang cukup mudah;kita tidak menafikan pemerintah yang ada sekarang telah melakukan usaha pembangunan demi memantapkan ekonomi negara dan kemakmuran rakyat.


Namun itu sahaja tidak mencukupi. Pembangunan insan yang diwar-warkan oleh PM kita seolah-olah tidak terlaksana. Lihatlah hidangan hiburan yang melampau yang akhirnya merosakkan jati diri umat Islam terutamanya. Akhirnya umat Islam di negara kita malas berfikir perkara yang serius demi kepentingan agama, bangsa dan negara!

Justeru, para bloggers yang lain-kita mempunyai matlamat yang satu-mengajak pembaca ke arah memperkasa diri dengan akhlak terpuji, sentiasa mempunyai motivasi diri yang tinggi, serta aqidah yang teguh kepada Ilahi.

Sekian, wassalam.


21 Jun 2007, 6 Jamadil Akhir1428,


9.19 pagi, Malaysia Timur.

Anugerah Pekerja Cemerlang

Orang yang tahu dan dia tahu bahawasanya dia tahu=mengajar
Orang yang tahu tetapi dia tidak tahu bahawasanya dia tahu=diam
Orang yang tidak tahu dan dia tahu bahawasanya dia tidak tahu=belajar
Orang yang tidak tahu dan dia tidak tahu bahawasanya dia tidak tahu=bodoh sombong

Ikhlas = Cemerlang(PERMATA)
Kaki Ampu = Ada bos rajin, bos tiada Ya Allah tak jadi kerja(INTAN PAYUNG ANAK MAK BUAH HATI)
Bagai pahat dan penukul = Bos suruh buat satu kerja dia buat, bos tak suruh dia tak buat(PAHAT EMAS)
Ikut kawan = Kawan ajak ponteng kerja,dia ikut saja(VIRUS)
Malas terlampau = Gagal (BATU BESAR)

Ramai yang kerja = Untuk dapat gaji

Sikit-sikit ada yang kerja = Untuk dapat habuan peribadi

Kadang-kadang ada yang kerja = Utk dipuji

Jarang-jarang yang benar-benar kerja = Utk ILAHI

KERJA CEMERLANG ORGANISASI TERBILANG
KERJA TEMBERANG ORGANISASI TUNGGANG LANGGANG
KERJA KERANA ORANG
TIDAK DIPUJI RASA TERBUANG

“ A quality is not just an accident but it is always the result of an intelligent effort ”.
(John Ruskin)

"Kualiti bukanlah suatu kebetulan, tetapi semestinya ia adalah hasil kebijaksanaan usaha"


“ Dunia semakin membelakangi, akhirat semakin mendatangi, jadilah kamu putera-putera akhirat berbanding putera-putera dunia. Hari ini (dunia), hari amal tanpa balasan, hari esok (akhirat) hari balasan tanpa amal ”. (Saidina Ali)


Bermotivasi bila dijanjikan imbuhan, bonus dan pulangan lumayan=LOBAK MERAH
Bermotivasi hanya selepas diugut, diancam dan dimarahi=KAYU ROTAN
Bermotivasi kerana bekerja untuk kepuasan dalaman. Gembira apabila dapat bantu orang lain, dapat naikkan nama baik organisasi, tidak tolak bonus atau gaji tapi tidak dipengaruhi=EMAS BERLIAN (Dr Danial Zainal Abidin-7 Formula Individu Cemerlang)



Ibadah Saudagar = Ibadah untuk dapat pahala dan syurga Allah
Ibadah Hamba = Ibadah kerana takut dimasukkan ke dalam neraka
Ibadah Orang Merdeka = Ibadah kerana sedar itu tanggungjawab sbg hamba Allah dan sebagai tanda memanifestasikan kesyukuran kepada Allah
(Kategori Ibadah menurut Imam al-Nawawi dalam Matan al-Arbai'in-Hadith 40)


Kajian oleh Dr. Harold G. Koenig (Pengarah Centre for the Study of Religion / Spirituality and Health di University of Duke)
“ Orang yg berpegang teguh dgn agama mempunyai hormon interleukin-6
yang tinggi dalam darah. Ia berfungsi meningkatkan sistem daya tahan individu ”

(Dr. Danial Zainal Abidin-7 Formula Individu Cemerlang)
“ Sesungguhnya Allah mengharamkan rezeki ke atas orang yang melakukan maksiat”. (Hadith riwayat Imam Ahmad, al-Nasaie dan Ibn Majah)



Dalam satu kajian yang dibuat, yang membezakan millionare dan billionare ialah millionare melihat matlamat mereka SEKALI SEHARI dan billionare DUA KALI SEHARI
(Dr. Shukri Abdullah-Pakar Motivasi)


John C. Maxwell dalam bukunya Developing The Leader Within You – kaji selidik yg dibuat kpd 1300 pegawai eksekutif bagi mengenalpasti kejayaan individu dalam perniagaan-sepakat menyatakan sifat amanah (Dr Danial Zainal Abidin-7 Formula Individu Cemerlang)



Iman adalah mutiara di dalam hati manusia
Yang meyakini Allah, Maha Esa Maha Kuasa
Tanpamu iman, bagaimanalah merasa diri hamba padaNya
Tanpamu iman, bagaimanalah menjadi hamba Allah yang bertaqwa
Iman tak dapat dimiliki dari seorang ayah yang bertaqwa
Ia tak dapat dijual beli, ia tiada di tepian pantai
Walau apapun caranya jua engkau mendaki gunung yang tinggi,engkau merentas lautan api namun tak dapat jua dimiliki
Jika tidak kembali pada Allah

(Iman Mutiara-Raihan)
21 Jun , 6 Jamadil Akhir 1428,
9.09 pagi, Malaysia Timur











Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude