LATIHAN DAKWAH DI SARAWAK : SOROTAN DAN MASA DEPAN
Dr Azhar Ahmad
Jabatan Pelajaran Sarawak
Konsep dan Tujuan Dakwah
Konotasi dakwah bersumber dari kalimah daca yang bermaksud menyeru kepada sesuatu perkara. Dari segi istilah, dakwah merujuk kepada usaha menyeru manusia kepada agama Allah (Abdul Karim Zaidan 1976). Seruan kepada agama Allah bukan sekadar seruan kepada suatu gagasan pemikiran atau ideologi, tetapi juga seruan kepada penghayatan ajaran Islam sebagai din atau cara kehidupan secara total. Oleh itu, usaha dakwah merupakan usaha merubah manusia dan seluruh kehidupannya sama ada dari segi pemikiran, perasaan, tingkahlaku dan tujuan kehidupan agar akur (comply) kepada tujuan dan kehendak yang ditentukan oleh Islam.
Sasaran & Faktor Pencapaian Matlamat Dakwah
Sasaran dakwah ialah manusia keseluruhannya (Saba’ 34:48) (”Tidak Kami utuskan engkau [wahai Muhammad] melainkan kepada sekelian manusia bagi menyampaikan berita gembira dan memberi peringatan”). Sasaran dakwah tidak terhad kepada manusia yang sudah muslim (menyerah diri), tetapi juga kepada manusia yang belum menerima cahaya hidayah.
Dr Azhar Ahmad
Jabatan Pelajaran Sarawak
Konsep dan Tujuan Dakwah
Konotasi dakwah bersumber dari kalimah daca yang bermaksud menyeru kepada sesuatu perkara. Dari segi istilah, dakwah merujuk kepada usaha menyeru manusia kepada agama Allah (Abdul Karim Zaidan 1976). Seruan kepada agama Allah bukan sekadar seruan kepada suatu gagasan pemikiran atau ideologi, tetapi juga seruan kepada penghayatan ajaran Islam sebagai din atau cara kehidupan secara total. Oleh itu, usaha dakwah merupakan usaha merubah manusia dan seluruh kehidupannya sama ada dari segi pemikiran, perasaan, tingkahlaku dan tujuan kehidupan agar akur (comply) kepada tujuan dan kehendak yang ditentukan oleh Islam.
Sasaran & Faktor Pencapaian Matlamat Dakwah
Sasaran dakwah ialah manusia keseluruhannya (Saba’ 34:48) (”Tidak Kami utuskan engkau [wahai Muhammad] melainkan kepada sekelian manusia bagi menyampaikan berita gembira dan memberi peringatan”). Sasaran dakwah tidak terhad kepada manusia yang sudah muslim (menyerah diri), tetapi juga kepada manusia yang belum menerima cahaya hidayah.
Pencapaian matlamat dakwah (membolehkan manusia menerima dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan) perlu mengambilkira faktor-faktor kemanusiaan dan kehidupannya seperti faktor fizikal (fisiologi, keperluan hidup), mental (tahap dan pengalaman pembelajaran), perasaan dan ruh (psikologi). Oleh yang demikian, pelaksanaan dakwah bukan sekadar menyampaikan ilmu atau ajaran Islam kepada manusia yang diseru, tetapi komponen dakwah yang lebih besar adalah membawa manusia bersama menghayati ajaran Islam melalui proses merancang, mengajak, membimbing, memimpin, melaksana dan menyelesaikan masalah kehidupan secara bersama. Inilah yang telah dicontohi oleh Rasulullah SAW dan para salaf al-soleh. Mereka bukan sahaja menyeru kepada Islam tetapi mengajar, membimbing dan hidup bersama dengan masyarakat yang mereka seru di mana sahaja mereka berada.
Perkembangan Dakwah di Sarawak
Perkembangan dakwah sebahagiannya boleh diukur dari dua dimensi utama iaitu secara kuantitatif dan kualitatif. Dimensi kuantitatif dikenalpasti melalui bilangan dan peratus jumlah mereka yang menganut agama Islam pada satu-satu masa. Manakala dimensi kualitatif pula pada kebiasaannya boleh dilihat melalui kualiti kehidupan beragama (religiousity) yang ada pada individu atau umat Islam secara keseluruhannya.
Sehingga kini, belum ada data secara menyeluruh tentang kualiti kehidupan beragama umat Islam di negeri Sarawak telah dikumpul melainkan dalam beberapa kelompok tertentu sahaja seperti penghayatan akhlak dalam pelajar sekolah menengah (Azhar 2006). Namun, perkembangan bilangan dan peratus jumlah penganut beragama Islam boleh dirujuk melalui data-data yang boleh diperolehi dari banci penduduk seperti dalam Jadual 1.1 hingga 1.3 di bawah.
JADUAL 1.1 Perkembangan Agama di Sarawak 1947 – 1960
Sea Dayak Land Dayak Chinese All Communities
1947 1960 1947 1960 1947 1960 1947 1960
Christian 7,091 26,608 3,596 15,536 25,486 53,669 43,069 117,755
% 1 4 1 2 5 7 8 16
Muslim 322 415 43 59 478 499 134,318 174,123
% 0.1 0.1 0.0 0.0 0.1 0.1 25 23
Other Religion 182,913 210,718 38,556 42,024 119,194 174,986 368,998 452,651
% 33 28 7 6 22 24 68 61
Total 190,327 237,745 42,196 57,621 145,163 229,161 546,417 744,568
Sumber: Report on the census of population - Sarawak 1960. Superintendent of Census, Sarawak and North Borneo (pp 95-96)
Jadual 1.1 di atas adalah data tentang perkembangan agama-agama dalam kalangan kelompok utama penduduk di negeri Sarawak antara tahun 1947 hingga 1960. Secara keseluruhan, data tersebut menunjukkan bahawa bilangan penduduk beragama Islam menyusut sebanyak 2% dalam tempoh berkenaan. Sebaliknya, agama Kristian berkembang sebanyak dua kali ganda dalam tempoh yang sama. Fenomena ini mungkin boleh dikaitkan dengan zaman kolonialisme yang sedang dialami penduduk negeri Sarawak dalam tempoh berkenaan.
JADUAL 1.2 Perkembangan Islam di Sarawak 1960 – 2000
Agama Islam (%)
Bangsa / Tahun 1960 1970 1980 1990 2000
Melayu 18.7 20 20 22 23
Iban 0.05 0.1 0.2 0.3 0.6
Bidayuh 0.01 0.02 0.1 0.15 0.2
Melanau NA 4.3 4.4 4.6 4.5
Bumiputera Lain NA 0.9 0.9 1.1 1.1
Cina 0.06 0.05 0.1 0.1 0.4
Lain-lain NA 0.5 0.6 0.6 0.2
Jumlah 23 26 26 28 30
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, Sarawak 1960 - 2000
Jadual 1.2 di atas pula menunjukkan perkembangan bilangan umat Islam antara tahun 1960 hingga tahun 2000 dalam kalangan semua bangsa di negeri Sarawak. Jadual tersebut menunjukkan pertambahan bilangan dan peratus umat Islam sebanyak 7% dalam tempoh 40 tahun berbanding dengan jumlah keseluruhan penduduk di negeri Sarawak. Walau bagaimanapun, sebahagian besar pertumbuhan tersebut disumbang oleh peningkatan jumlah umat Islam dari kalangan orang-orang Melayu yang asalnya beragama Islam (4.3%). Manakala perkembangan Islam dalam kalangan penduduk bukan Melayu berkembang secara amat perlahan (2.7%) dalam tempoh yang sama. Mungkin angka tersebut boleh dianggap sebagai petunjuk kadar pertumbuhan dakwah Islam dalam kalangan bukan Islam di negeri Sarawak sehingga kini.
JADUAL 1.3 Perkembangan Kristian di Sarawak 1960 – 2000
Agama Kristian (%)
Bangsa / Tahun 1960 1970 1980 1990 2000
Melayu NA 0.02 0 0 0
Iban 3.6 5.8 11 16 21
Bidayuh 2.1 4.4 5.9 7.3 7.6
Melanau NA 0.5 0.7 0.9 1
Bumiputera Lain NA 3.2 3.7 4.4 4.5
Cina NA 5.1 6.8 7.5 9.3
Lain-lain NA 0.2 0.4 0.1 0.1
Jumlah 16 19 28.5 37 43
Sumber: Jabatan Perangkaan Malaysia, Sarawak 1960 – 2000
Jadual 1.3 di atas menunjukkan perkembangan agama Kristian dalam kalangan semua bangsa di negeri Sarawak dalam tempoh antara tahun 1960 hingga tahun 2000. Berbanding dengan kadar pertumbuhan umat Islam yang bergerak secara perlahan seperti yang dapat dilihat dalam Jadual 1.2 di atas, perkembangan agama Kristian pula menyaksikan kadar pertumbuhan yang amat pesat iaitu sebanyak hampir tiga kali ganda dalam tempoh yang sama dalam kalangan semua bangsa bukan Melayu di negeri Sarawak. Perbandingan antara ketiga-tiga jadual di atas mungkin boleh memberi gambaran tentang tahap perkembangan dakwah Islam dalam kalangan masyarakat bukan Melayu yang amat perlahan berbanding dengan apa yang telah berlaku kepada agama Kristian.
Bagi menghuraikan fenomena ini, mungkin baik sekiranya kita meneliti ulasan yang telah dinyatakan dalam laporan penduduk oleh Superintendent of Census, Sarawak and North Borneo (1960: hal. 95-96) seperti berikut:
”A pagan settling in or even visiting a Muslim area might well be converted. But these conversions to Islam were the result of accident rather than proselytizing, for missionary work by Muslims is small…it also shows that almost none of them (Sea Dayaks and land Dayaks) have embraced Islam despite the fact that many of them live close to, or have certainly visited, Muslim areas. This tends to confirm the statement made earlier that evangelism by Muslims is small.”
Data tentang perkembangan bilangan dan peratus umat Islam di negeri Sarawak serta komentar yang diberikan di atas menggambarkan perkaitan yang kuat antara perkembangan dakwah yang perlahan dengan kemalapan usaha dakwah terutama dalam kalangan masyarakat bukan Melayu di negeri ini. Kerancakan usaha dakwah dalam kalangan masyarakat bukan Melayu kelihatan bermusim dan berkait rapat dengan kemahuan kepimpinan politik pada ketika tertentu seperti yang telah berlaku pada tahun-tahun 1977 dan 1978 (Azhar 1988).
Konsep dan Skop Latihan Dakwah
Latihan dakwah boleh diertikan sebagai usaha memberi pengetahuan dan kemahiran untuk melaksanakan usaha dakwah dalam ertikata yang luas. Usaha ini termasuk melatih kader-kader dakwah (ducat) yang bukan sahaja memiliki ilmu pengetahuan, tetapi juga kemahiran dan ketrampilan sakhsiah bagi membolehkan mereka melaksanakan usaha dakwah dengan berkesan. Usaha melatih para kader dakwah ini pada kebiasaannya dilakukan dalam jangka pendek melalui program-program pengisian ilmu, kesedaran dan kemahiran seperti kursus, bengkel dan seminar atau melalui proses latihan jangka panjang melalui institusi latihan seperti sekolah, madrasah, pusat latihan serta sistem tarbiah secara berterusan melalui usrah, tamrin, mucaskar, katibah dan sebagainya. Kandungan latihan dakwah meliputi keseluruhan ajaran Islam serta ilmu dan kemahiran generik kemanusiaan bagi mengupayakan pendakwah untuk melaksanakan peranan mereka dengan berkesan.
Keperluan Latihan Dakwah di Sarawak
Kombinasi konsep latihan dakwah dan realiti sasaran dakwah (madcu) di Sarawak melahirkan keperluan latihan dakwah di negeri Sarawak yang mungkin unik berbanding dengan keperluan di tempat lain. Selain dari keperluan untuk memantapkan pengetahuan dan kemahiran asas berdakwah, keperluan latihan di Sarawak memerlukan penguasaan aspek kemahiran generik terutama dari segi psikologi sosial, kompetensi sosial dan kemahiran berkomunikasi silang budaya. Ia juga memerlukan ketabahan selain dari kesediaan pendakwah untuk hidup bersama dalam kelompok masyarakat yang mereka ingin seru.
Sejarah Latihan Dakwah di Sarawak
Perkembangan latihan dakwah di Sarawak dapat dirmuskan seperti berikut:
1. Usaha tarbiah secara berterusan di kalangan ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan seperti ABIM, HIKMAH, JIM
2. Kursus, seminar dan konvensyen dakwah berkala yang dianjurkan oleh agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam, Jabatan Pelajaran, JAKIM dan juga NGOs – seperti Bengkel Dakwah Dalam Masyarakat Majmuk, Out-reach dsb
3. Penubuhan pusat latihan dakwah yang khusus oleh BINA/HIKMAH (BINA/HIKMAH: Institut Dakwah Bina, Institut Darul Falah, Pusat Latihan Dakwah) dan JAKIM (Pusat Latihan Sarawak & Institut Kemahiran Islam Sarawak).
Institut Dakwah BINA adalah sebuah pusat latihan bagi menyediakan para daie di kalangan saudara baru secara lebih meluas dan berkesan bermula dengan penubuhan Darul Rahmah pada tahun 1975. 1983, Institut Dakwah BINA (kemudiannya IDDF) telah ditubuhkan untuk memberikan pendidikan formal dan informal bagi melahirkan alim ulamak dari keturunan bukan Melayu serta para Imam, guru agama yang boleh menjadi contoh kepada penduduk setempat dalam bentuk peribadi dan cara mengendalikan kehidupan berpandukan ilmu ternakan dan pertanian. IDDF telah ditutup pada tahun Disember 1999 (13 orang pelajar). Sepanjang 16 tahun operasinya, IDB/IDDF telah melatih seramai 517 pelajar dari pelbagai suku kaum seperti Melayu (143), Melanau (38), Iban (94), Bidayuh (109), Punan (1), Kenyah (1), Punjabi (1) dan lain-lain (33). Terdapat beberapa orang lulusan IDB/IDDF telah berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di Mesir, Arab Saudi, Jordan, Libya, Pakistan, Indonesia dan universiti tempatan (LAKDF 2001).
4. Penghantaran para kader dakwah melanjutkan pengajian di pusat latihan dakwah PERKIM dan luar negara seperti Libya, Madinah, Pakistan, Indonesia dsb.
5. Usaha pendidikan agama dari peringkat tadika sehinggalah sekolah menengah oleh pihak kerajaan dan NGOs. SMKA telah ditubuhkan di Sarawak sejak tahun 1977 dan kini telah ada lapan buah SMKA di seluruh negeri. Makanaka SK Agama telah ditubuhkan sebuah di setiap bahagian.
6. Program khas pelajar Sarawak di Akademi Pengajian Islam, UM sebanyak 20 orang setahun semenjak tahun 1983.
Walaupun berbagai usaha telah dilakukan bagi memberi latihan dakwah oleh berbagai pihak, namun ia masih perlu dipertingkatkan dari aspek kuantiti, kualiti dan keselarasan kerja. Berbagai kemungkinan boleh dikaitkan dengan kelemahan ini. Antaranya ialah faktor kesatuan fikrah dan tindakan, pembangunan modal insan, faktor ’kesementaraan’ pendakwah, kerenah birokrasi (Juanda Jaya 2006), kekurangan data yang kemas kini dan kekangan kewangan.
Potensi
Usaha perancangan aktiviti latihan dakwah di negeri Sarawak perlu mampu mengambilkira dan memanfaatkan beberapa potensi sedia ada seperti berikut:
1. Kemahuan politik untuk melaksanakan pendekatan Islam Hadhari dan penerapan nilai Islam dalam kalangan masyarakat
2. Struktur organisasi, sumber kewangan dan tenaga manusia dari pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam Sarawak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Pertanian, Jabatan Kesihatan dll
3. Kuantiti dan kualiti guru-guru Pendidikan Islam yang bertebaran di seluruh ceruk dan rantau negeri Sarawak (Pada tahun terdapat lebih 2000 orang GPI yang sedang berkhidmat di Sarawak)
4. Pengalaman dan struktur organisasi pertubuhan-pertubuhan dakwah yang telah lama melaksanakan usaha dakwah di Sarawak.
Apa yang boleh dan perlu dilakukan?
Usaha untuk merealisasikan hasrat untuk melaksanakan usaha dakwah dengan berkesan khususnya di Sarawak merupakan suatu perkara yang sangat mencabar. Oleh yang demikian, komitmen berterusan terhadap beberapa prinsip berikut mungkin dapat membantu kita menghadapi cabaran tersebut:
1. Mengenal pasti matlamat, realiti, kekuatan, kekangan, keperluan dan potensi dakwah (SWOT analysis)
2. Mengenal pasti keperluan dan potensi latihan dakwah secara menyeluruh dan bersepadu
3. Perancangan strategik latihan dakwah secara bersepadu
4. Pelaksanaan latihan dakwah secara berfokus
5. Perancangan berterusan peruntukan kewangan dan logistik latihan dakwah
6. Penilaian latihan dakwah secara berterusan
7. Keterbukaan, kesatuan pemikiran dan tindakan semua pihak yang terlibat dalam latihan dakwah dan pelaksanaan dakwah
Rujukan:
Ab Halim Tamuri & Azhar Ahmad. 2006. Prospek Pendidikan Islam di Sarawak. Dalam Cabaran dan Prospek Pengurusan Dakwah di Sarawak. IKMAS, JAKIM Sarawak, hal. 17- 36.
Abdul Karim Zaidan 1976. Usul al-Dacwah. Maktabah al-Mannar al-Islamiyyah.
Azhar Ahmad. 1988. Pengislaman dan pengamalan Islam di kalangan masyarakat Bidayuh di Bahagian Pertama, Sarawak. Latihan Ilmiah, Fakulti Pengajian Islam, UKM
Azhar Ahmad. 2006. Strategi Pembelajaran Pengaturan Kendiri Pendidikan Islam dan Penghayatan Akhlak Pelajar Sekolah Menengah di Negeri Sarawak. Tesis Doktor Falsafah, Fakulti Pendidikan, UKM.
Hazarudin Haji Baharudin. 2006. Pengurusan dakwah: Aktiviti Pusat Latihan Sarawak.
Lembaga Amanah Kebajikan Darul Falah 2001. Institut Dakwah Darul Falah dalam pelbagai budaya. Kuching.
Jabatan Perangkaan Malaysia, Sarawak. Laporan banci penduduk tahun 1960 – 2000.
Zulkiple Abdul Ghani. 2006. Pengurusan Dakwah di Sarawak. Dalam Cabaran dan Prospek Pengurusan Dakwah di Sarawak. IKMAS, JAKIM Sarawak, hal. 2-15.
Zulkiple Abdul Ghani & Haji Abdul Kodir Sallah. 2006. IKMAS: Persediaan Pendakwah Profesional. Dalam Cabaran dan Prospek Pengurusan Dakwah di Sarawak. IKMAS, JAKIM Sarawak, hal. 37-42.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan