Khamis, 20 September 2007

RAMADHAN ELAKKAN PEMBAZIRAN

Secara umumnya, pembaziran adalah dilarang pada bila-bila masa sahaja, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan. Ini kerana bulan Ramadhan adalah bulan untuk beribadat dan menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang tidak disukai oleh Allah. Jadi mahukah kita sekiranya pahala kita dikurangkan setelah sehari suntuk menahan diri dari makan dan minum semata-mata untuk memuaskan selera nafsu kebendaan semata-mata? Sudah tentu ianya tidak berbaloi dan merugikan sahaja.

Larangan mengenai pembaziran telah dijelaskan oleh Allah S.W.T di dalam surah al-Isra’ ayat 26 dan 27:

وَأَتِ ذَالْقُرْبَى حَقَّهُ وَالْمِسْكِيْنَ وَابْنَ السَّبِيْلِِِِ وَلاَتُبَذِّرْ تَبْذِيْرًا ` إِنَّ الْمُبَذِّرِيْنَ كَانُوْا إِخْوَانَ الشَّيَاطِيْنِِ , وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُوْرًا﴾

“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada TuhanNya”.

Ruang untuk melakukan pembaziran pada bulan Ramadhan terbuka luas jika tidak dibendung dengan sifat bersederhana. Pembaziran boleh berlaku dalam bentuk penyediaan juadah-juadah untuk berbuka . Tidak kurang juga banyak bazaar-bazar Ramadhan yang dibuka sepanjang Ramadhan dengan menjual berbagai-bagai jenis makanan yang sudah tentunya akan menarik selera dan memukau perhatian sesiapa sahaja. Penyediaan juadah yang beraneka jenis dalam kuantiti yang banyak serta melebihi had ini sudah tentulah tidak mampu dihabiskan sehinggalah wujudnya pembaziran.

Selain penyediaan juadah untuk berbuka, penyediaan untuk menyambut Syawal juga perlu dielakkan dari membazir. Ramai dikalangan kita hari ini begitu asyik dengan persiapan menyambut Syawal dengan pembelian perabot yang baru serta langsir yang baru yang kadang-kadang tidak perlu, semata-mata untuk digantikan dengan yang lama dan sebagainya. Bahkan lebih memburukkan lagi jika ada unsur menunjuk-nunjuk. Ianya jelas bertentangan dengan ruh Ramadhan.

Walaupun perbelanjaan amat diperlukan untuk berbuka dan berhari raya, tetapi kita juga perlu berbalik kepada pengertian puasa itu sendiri iaitu menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa. Menahan diri di sini, termasuk juga menahan diri dari godaan hawa nafsu dalam berbelanja sehingga sampai ke tahap membazir dan boros.

Seseorang itu perlu untuk berbelanja sekadar diukur dengan kemampuan sebenar sahaja walaupun kemampuannya untuk berbelanja melebihi keperluan sebenar. Sebaik-baiknya ialah berbelanja secara sederhana sebagaimana firman Allah S.W.T di dalam surah al-Furqan ayat 67:

وَالَّذِيْنَ اِذَا أَنْفَقُوْا لَمْ يُسْرِفُوْا وَلَمْ يَقْتُرُوْا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا﴾

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu”.

Tidak terfikirkah kita, ramai lagi di luar sana masih memerlukan bantuan kita. Mereka tidak meminta perabot baru, langsir baru dan sebagainya, yang diharapkan hanyalah sedikit huluran belas kasihan sesama insan bagi meneruskan kehidupan. Alangkah baiknya jika wang yang kita belanjakan kepada perkara-perkara yang tidak penting itu dihulurkan kepada yang lebih memerlukan. Sabda Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang masyhur:

"الْيَد العُلْيَى خَيْر مِنْ اليَد السُّفْلَى"

“Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang dibawah”

Sesungguhnya tangan yang menghulur lebih baik dari yang menerima. Dan huluran yang diberikan dengan penuh keikhlasan dan keimanan , insya-Allah akan dilipat gandakan lagi oleh Allah S.W.T akan pahala dan rezeki mereka. Lebih-lebih lagi pada bulan Ramadhan yang setiap amalan akan dilipatgandakan. Namun perlu diingat, bahawa setiap perlakuan yang menyalahi syariat seperti membazir juga akan mendapat kemurkaan yang besar daripada Allah S.W.T.
Selamat Menempuh Ramadhan…..
(Ihsan Mimbar Ulama)

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude