
Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Kementerian Belia dan Sukan di atas pelancaran Rakan Muda Fasa II pada 29 Mei 2007 di Stadium Juara dan Bukit Kiara oleh YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi;Perdana Menteri Malaysia.
Setelah saya meneliti kumpulan Rakan Muda iaitu sebanyak 7 kumpulan yang sedia ada; Rakan Muda Waja Diri, Rakan Muda Masyarakat, Rakan Muda Cinta Alam, Rakan Muda Kecergasan, Rakan Muda Seni Budaya, Rakan Muda Wira Usaha dan Rakan Muda Inovasi, dengan tambahan 3 kumpulan Rakan Muda yang baru iaitu Rakan Muda Sukarelawan, Rakan Muda Jiran Muda dan Rakan Muda Wawasan Desa;timbul kemusykilan di dalam hati saya. Ke mana menghilangnya Rakan Muda Masjid? Bukankah prinsip pertama dalam Islam Hadhari iaitu Keimanan dan Ketaqwaan kepada Allah? Dan bukankah proses untuk pengukuhan keimanan dan ketaqwaan bermula di masjid?
Mutakhir ini, timbul kebimbangan di kalangan pengurusan masjid yang rata-ratanya terdiri daripada umur 40-an hingga 70-an, ke mana golongan muda sebagai jamaah di masjid? Ternyata, tarikan di luar masjid lebih hebat seperti konsert, taman,pub,kelab malam dan sebagainya. Justeru bagi saya, amat terkilan apabila Rakan Muda Masjid tiada dalam pelancaran Rakan Muda Fasa II tempoh hari ataupun dalam proses penjenamaan semula kumpulan Rakan Muda tersebut.
Nabi saw pernah menyatakan dalam sepotong hadith ” Di antara 7 golongan yang mendapat naungan Allah di hari tiada naungan selain naunganNya; di antaranya ialah seorang pemuda yang bersungguh dalam ibadahnya kepada Allah”. Bukanlah maksud saya kumpulan Rakan Muda yang lain tidak dianggap ibadah jika ikhlas niatnya kerana Allah, tetapi alangkah baiknya sekiranya Rakan Muda Masjid sebagai one-stop centre sebelum kita melaksanakan aktiviti dalam kumpulan Rakan Muda yang pelbagai itu!
Kesedaran pihak pengurusan masjid masa kini dalam menarik golongan muda nampaknya semakin berhasil. Pertandingan seperti futsal dan sepaktakraw misalnya, ada yang dilakukan di perkarangan masjid. Karnival Masjid yang menghimpunkan pelbagai gerai seperti di Masjid Negeri Shah Alam dengan adab yang perlu dipatuhi juga patut dicontohi. Kem Remaja Soleh yang dilakukan di Masjid KLCC juga perlu direnung bersama. Justeru, alangkah baik sekiranya Kementerian Belia dan Sukan di bawah pimpinan YB Dato Seri Azalina Othman menjalin kerasama dengan pihak pengurusan masjid dengan penubuhan Rakan Muda Masjid, agar kita dapat melahirkan golongan muda yang bukan sahaja hebat dari aktiviti bersifat fizikal tetapi juga ditunjangi asas aqidah yang kukuh dan keimanan yang mantap.
31 Mei 2007, 14 Jamadil Awal 1428,
3.00 petang, Malaysia Timur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan