Khamis, 30 Julai 2009

10 sebab doa ditolak



1) Kenal Allah tapi tidak tunaikan hakNya.

2) Cinta Rasulullah tapi tinggalkan sunnahnya.

3) Baca al-Qur'an tapi tidak beramal dengan isi kandungannya

4) Makan nikmat Allah tapi tidak bersyukur kepadaNya

5) Tahu syaitan musuh tapi tidak menentangya

6) Syurga itu benar tapi tidak beramal untuknya

7) Neraka itu benar tapi tidak lari daripadanya

8) Mati itu benar tapi tidak bersedia menghadapinya

9) Cerita aib orang lain tapi lupa aib sendiri

10) Kebumikan mayat manusia tapi tidak ambil iktibar daripada mereka



30 Julai 2009, 7 Sya'ban

6.22 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 27 Julai 2009

Watak-watak penting dalam dakwah Nabi SAW



1) Watak Abu Bakar al-Siddiq r.a. - yang sentiasa membenarkan kata-kata Nabi SAW.

2) Watak Umar al-Khattab r.a. - yang pada awalnya sangat memusuhi Nabi SAW tetapi akhirnya, mengikuti Nabi SAW setelah faham dan ahli keluarganya turut memeluk agama Islam.

3) Watak Abu Sufyan r.a.- yang memeluk Islam setelah Islam berada di kemuncak. Sangat bimbang jika Nabi mendendaminya, tetapi ternyata Nabi SAW sangat hikmah dan memuliakannya sebagai pembesar Quraisy.

4) Watak Abu Talib - bapa saudara Nabi SAW yang sangat dikasihi baginda. Walaupun tidak beragama Islam beliau merupakan pelindung yang hebat dalam Nabi SAW menyampaikan dakwah Islam.

5) Watak Abu Jahal dan Abu Lahab - kepala penyangak dan orang yang bodoh sombong. Berminat dengan Islam, tetapi malu menyatakannya kerana bimbang hilang kedudukan dan dicemuh orang bawahan. Hasilnya kekal mereka dalam neraka Jahannam.


Kesimpulannya, hari ini watak-watak yang sama seperti di atas, sentiasa ada dalam medan dakwah. Istiqamah dan mohon petunjuk Allah asas kekuatan dalam berdakwah.



27 Julai 2009, 5 Sya'ban 1430 Hijrah,

9.20 pagi, Malaysia Timur

Sabtu, 25 Julai 2009

13 pengajaran dan iktibar dari Isra' dan Mikraj



1) Menguji iman para mukminin dan pada waktu yang sama, memantapkan iman dengan kekuasaan Allah SWT.

2) Berjuang dan mendoakan pembebasan Baitul Maqdis dari negara haram Israel.

3) Umat Islam wajib menjaga solat 5 waktu dan mengelakkan kemungkaran seperti zina, mengumpat, tidak menutup aurat, terlibat dengan riba, makan harta anak yatim dan lain-lain lagi.

4) Jangan ada istilah putus asa dalam berdakwah jika tidak diterima.

5) Yakin dengan janji Allah-masa depan pasti milik Islam.

6) Terokai teknologi sains angkasa. Firman Allah SWT dalam surah al-Rahman, ayat ke-33 " Wahai sekalian jin dan manusia, jika kamu dapat menembusi keluar dari kawasan langit dan bumi, cubalah tembusinya. Kamu tidak akan dapat menembusinya kecuali dengan kuasa/ilmu".

7) Ganjaran besar bagi orang yang ditimpa pelbagai ujian dalam usaha berdakwah, seperti kematian orang yang dicintai dan semakin berkurangnya harta yang dimiliki.

8) Manusia lebih mulia dari malaikat, apabila mencapai tahap keimanan yang paling tinggi.

9) Membenarkan apa yang datang dari Nabi SAW, walaupun mungkin tidak logik pada pandangan akal.

10) Sentiasa memohon perlindungan Allah SWT ketika waktu senang dan susah.

11) Isra dan Mikraj bukti kebenaran Islam yang disampaikan oleh Nabi SAW.

12) Orang yang bersabar pasti berjaya, kerana Allah sentiasa bersamanya.

13) Isra dan Mikraj membuktikan ketinggian Nabi SAW, penyudah segala Nabi SAW, bahkan sebagai tasliyyah(hiburan) buat Nabi setelah berduka akibat kematian Abu Talib dan Khadijah.



25 Julai 2009, 3 Sya'ban 1430 Hijrah,

10.40 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 23 Julai 2009

Ciri-ciri Kegagalan Ummah



1) Bersifat seumpama haiwan. Tujuan hidup hanya untuk makan, minum, berhibur, dan seks. Allah dan akhirat diabai.

2) Jiwa kosong. Tidak rasa bahagia, bahkan putus asa jika mendapat musibah.

3) Lupa daratan dan sombong bila memperoleh nikmat.

4) Kuasa yang ada disalahgunakan dan menzalimi orang lain.

5) Kebenaran sukar diterima. Sukar untuk ditegur, tetapi suka untuk dipuji.

6) Suka membazir dan berfoya-foya.

7) Mengaut untung tanpa mengambil kira halal dan haram.

8) Gejala negatif tidak dapat dibendung seperti zina, rogol, jenayah, mencuri, pembunuhan. Bahkan, hilang punca untuk menyelesaikannya kerana tidak berpandukan al-Qur'an dan al-Sunnah.

9) Agama soal individu dan menghalang kemajuan.

(Dipetik dari buku Permata Minda-Ustaz Shuib Sulaiman)




23 Julai 2009, 1 Sya'ban 1430 Hijrah,

9.20 pagi, Malaysia Timur

Rabu, 22 Julai 2009

Sahih-Kerajaan tubuh Suruhanjaya Diraja siasat kes Teoh Beng Hock !



Mesyuarat mingguan jemaah menteri hari ini tunduk kepada desakan popular pelbagai pihak, termasuk pemimpin BN, agar menyiasat secara bebas punca kematian Teoh Beng Hock.

Keputusan rasmi kabinet itu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas di pejabat perdana menteri di Putrajaya menyebut:

Pertama, Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan laporan siasatan tersebut, yang sedang berjalan, akan diumumkan.

Dua, satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Tiga, menubuhkan suruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.(Malaysiakini)

p/s: Moga keadilan dan kebenaran akan tertegak!



22 Julai 2009, 29 Rajab 1430 Hijrah,

5.34 ptg, Malaysia Timur

Keganjilan dalam beragama!



1) Dalam seminggu ini, saya berjumpa dengan pelbagai keganjilan dalam beragama di kalangan mereka yang bergelar Muslim.

2) Kisah yang pertama-seorang pelajar institusi agama, hadir ke masid menunaikan solat Jumaat. Ketika sampai, azan sedang berkumandang-saya melihat beliau membuka handset. Pada awalnya, saya menyangka dia hendak membaca sms, tetapi apa yang mengejutkan saya, dia bermain game dengan khusyuk sekali, tanpa menghiraukan azan yang dilaungkan!

3) Kisah yang kedua-ketika hendak masuk ke lorong rumah saya, saya nampak dari jauh seorang pakcik yang sedang menunggang motor dan berkopiah. Tenag hati saya. Semakin saya berselisih jalan dan menghampirinya, saya terkejut-dia berseluar pendek. Masya Allah!

4) Kisah yang ketiga-juga seorang pelajar institusi agama, tanpa rasa bersalah di hadapan rakan-rakan yang lain, memakai jersi Liverpool dan terpampang tulisan besar di dada baju-Carlsberg. Bukankah ia jenama arak? Tidakkah bila memakai baju sebegitu-seolah-olah kita mempromosi jenama arak tersebut?

5) Mudah-mudahan Allah memberikan hidayah dan petunjuk kepada mereka!



22 Julai 2009, 29 Rajab 1430 Hijrah,

4.06 petang, Malaysia Timur

Jumaat, 17 Julai 2009

Kemelut di Selangor semakin meruncing!



1) Bermula dengan Khir Toyo dan 4 ahli DUN UMNO dan BN yang lain, digantung selama setahun dan 6 bulan dari menghadiri sidang DUN Selangor, 7 ADUN Pakatan Rakyat yang terdiri dari parti DAP disiasat oleh SPRM, kerana disyaki menyalahgunakan peruntukan pembangunan di setiap kawasan-kejadian semalam paling mengejutkan.

2) Teoh Beng Hock yang merupakan SU politik kepada exco DAP dalam Pakatan Rakyat Selangor, dtemui mati di bangunan Plaza Masalam.

3) Banyak teori berkaitan kematian beliau. Ada yang mengatakan beliau membunuh diri, ada yang mengatakan beliau ditolak kerana terdapat kesan baju dikoyak dan ada yang mengatakan ia dilakukan oleh kumpulan kongsi gelap, demi melindungi exco yang dikaitkan dengan mereka-Wallahu a'lam.

4) Apapun, kita berharap kematian beliau dapat disiasat punca sebenarnya. Ia bagi mengelakkan tuduh menuduh, dan agar fakta yang sebenar dikemukakan. Bagi pemerintah, segala fakta perlu diperjelaskan agar rakyat tidak terkeliru. Manakala bagi Pakatan Rakyat, diharap bijak dalam menangani isu ini.

5) Setelah selesai PR kecil di Manek Urai, kematian Teoh Beng Hock sekali lagi mengocakkan politik negara. Sesungguhnya kemelut di Selangor semakin meruncing dan benarlah, dalam poltik segalanya boleh berlaku!



17 Julai 2009, 24 Rajab 1430 Hijrah,

11.57 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 16 Julai 2009

Iktibar Kehidupan II



Sesekali hatiku berbicara tentang hakikat hayatku di dunia

Adakah hanya untuk seketika

Atau di sana adanya rahsia

Hidup di dunia

Yang penuh tipu daya

Pendaulatan nafsu ada di mana mana

KepadaMu Tuhan

Daku pasrahkan

Memohon petunjuk sumber keimanan

Oh Tuhanku batinku merayu

Pimpinlah daku ke arah redhaMu

Kerana dulu ku mengikut nafsu

Memerlukan taufiq dalam kehidupan

Oh Tuhanku ampuni dosaku

Kerana derhaka pada perintahMu

Kerana jiwa ku yang kekosongan

Mengharapkan rahmat dalam perjalanan


al-Wadi (1995)


Lirik ini mengingatkan saya kenangan di zaman persekolahan di SMAP Kajang. Ketika itu lagu al-Wadi(kumpulan nasyid Malaysia di Universiti al-Azhar, Mesir sangat terkenal). Mengingatkan juga diri kita betapa hakikat kehidupan dunia ini, penuh dengan godaan dan cabaran. Ia memerlukan petunjuk, tawfiq dan hidayah Allah dalam menghadapinya, kerana nafsu dan syaitan tidak akan jemu memperdaya kita semua!



16 Julai 2009, 23 Rajab 1430 Hijrah,

12.11 tgh, Malaysia Timur

Rabu, 15 Julai 2009

Di sebalik kemenangan tipis PAS di Manek Urai



1)UMNO dan BN masih gagal menakluki minda pengundi dengan sogokan pembangunan. Walaupun menggunakan seluruh jentera kerajaan demi memenangkan mereka, mereka tetap tewas. Jika pilihanraya kecil juga mereka masih kalah, apalagi jika berlaku pilihanraya umum kelak. Ini kerana, mereka tidak sempat untuk memanipulasi jentera kerajaan, kerana kawasan yang terlibat adalah banyak.

2) Para pengundi masih teguh mempertahankan kepimpinan ulama di bawah Tuan Guru Nik Aziz dan Tuan Guru Haji Hadi, walaupun diuji dengan sogokan wang yang begitu banyak.

3) Para pengundi hampir-hampir termakan dengan pujuk rayu UMNO dan BN dengan janji pembangunan, dan merasakan jika memilih UMNO dan BN sekalipun, kerajaan PAS Kelantan masih kekal.

4) Para pengundi ingin menunjukkan signal kepada PAS Kelantan, agar membuat perubahan segera kepada kawasan Manek Urai yang kelihatan tidak banyak berubah sejak 20 tahun lalu, terutamanya janji jambatan baru oleh UMNO dan BN.

5) UMNO dan BN masih bergantung kepada politik wang kepada pengundi dalam memastikan undi berpihak kepada mereka. Dikhabarkan, mereka juga bertungkus lumus membawa seramai mungkin pengundi luar balik mengundi dengan sogokan wang.

6) PAS Kelantan perlu membuat post-morterm segera, terutamanya dari sudut jentera dan usaha mendekati pengundi berusia yang kebanyakannya menolak PAS, di sampig mengekalkan sokongan pengundi muda.

7) Ada juga berpandangan, pengundi akan menilai adakah UMNO dan BN akan meneruskan pembinaan jambatan baru, meskipun tewas. Dibimbangi, jika ia diteruskan, sokongan kepada UMNO dan B akan terus meningkat. Sebaliknya, jika mereka tidak membina jambatan baru, PAS masih ada harapan dengan membina jambatan baru buat penduduk Manek Urai dan memperkasa khidmat kepada mereka.

8) Kesimpulannya, PAS perlu melakukan muhasabah di sebalik majoriti yang begitu kecil. BN akan terus mencanang, rakyat Kelantan inginkan perubahan. Namun begitu, jawapan sebenar akan terserlah sewaktu PRU ke-13 nanti!



15 Julai 2009, 22 Rajab 1430 Hijrah,

2.45 petang, Malaysia Timur

PAS menang namun perlu muhasabah !



1) Syabas dan tahniah buat Abe Uji, yang terpilih sebagai ADUN Manek Urai mewakili PAS. Walaupun hanya 65 majoriti, beliau tetap menang.

2) Banyak kesimpulan yang dibuat berdasarkan kemenangan tipis PAS ke atas UMNO. Di antaranya-janji pembangunan oleh Muhyiddin dan perubahan oleh Najib, sedikit sebanyak mempengaruhi pengundi.

3) Ini ditambah dengan masalah dalaman PAS yang belum selesai sepenuhnya, seperti isu Kerajaan Perpaduan dan pergeseran di antara Ust Nasa dan Tuan Guru Nik Aziz.

4) UMNO sudah pasti mencanang bahawa mereka semakin hampir menguasai Kelantan pada PRU ke-13 akan datang. Manakala bagi PAS dan Pakatan Rakyat-ini merupakan wake up call agar segera bangkit dari permasalahan dalaman yang tidak ditangani dengan baik.

5) Sebagai parti Islam, muhasabah di atas kemenangan tipis ini sangat perlu. Bimbang jika sikap over confident memakan diri. Selain itu, memperbaiki segala kelemahan yang berlaku. Insya allah dengan izin Allah, PAS akan kembali bangkit. Perkhidmatan kepada rakyat perlu diperkasa, kerana mereka juga sedikit sebanyak mahukan perubahan terutama dari sudut fizikal dan pembangunan kawasan mereka.

6) Akhir kalam, tahniah buat Abe Uji, kemenangan yang sangat berharga di sebalik perjuangan yang sangat sengit dalam menegakkan kebenaran. Takbir!



15 Julai 2009, 22 Rajab 1430 Hijrah,

12.14 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 14 Julai 2009

Manek Urai-Milik PAS atau UMNO?



1) Hari ini dalam suasana cuti yang diumumkan oleh Tuan Guru Nik Aziz, pengundi di Manek Urai diberikan ruang yang lebih selesa untuk mengundi calon pilihan mereka.

2) Sehingga kini, jangkaannya PAS akan memenangi kerusi ini. Namun begitu, di saat akhir, pelbagai kemungkinan boleh berlaku-di antaranya pengundi hantu.

3) PAS dengan slogan Membangun Bersama Islam, manakala UMNO dan BN dengan slogan barunya- 1 Malaysia. UMNO dan BN banyak menawarkan pembangunan dan janji yang besar seperti jambatan baru, anak emas Kerajaan Persekutuan dan kota agropolitan. Manakala PAS menggunakan isu royalti minyak yang sepatutnya dibayar oleh Petronas kepada Kelantan. Selain itu, tohmahan TPM kepada calon PAS yang mengatakan beliau hanya pemborong ikan, sedikit sebanyak menimbulkan simpati pengundi.

4) Apa yang penting, kemenangan adalah sangat diperlukan bagi pihak PAS atau UMNO. Kita berharap pilihanraya yang berlangung hari ini, berjalan dengan tenang dan aman dan dijauhkan dari sebarang penyelewengan dan penipuan.



14 Julai 2009, 21 Rajab 1430 Hijrah,

8.12 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 13 Julai 2009

Pakatan Rakyat ; Awas dengan pencapaian 100 hari Najib!



1) Segalanya nampak menjadi buat Najib. Bermula dengan tinjauan turun padang ke Petaling Street, Puduraya dan Vista Angkasa, Najib terus mengorak langkah bertemu dengan rakyat seramai mungkin.

2) Ditambah dengan kredit oleh Merdeka Centre, bahawa sokongan kepada Najib semakin meningkat, 11 hadiah rakyat yang diumumkan semalam, seolah-olah menaikkan lagi imej Najib yang berusaha mewarisi kepimpinan arwah ayahandanya. Beliau cuba mewujudkan feel good factor, di samping memperkenalkan beberapa pembaharuan.

3) One Malaysia kelihatan cantik dan bersesuaian dengan konsep masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Buat Pakatan Rakyat, jika perkara ini diambil enteng, tidak mustahil Barisan Nasional akan kembali bangkit.

4) Dan Manek Urai menjadi pengukur kepada sokongan terhadap Najib atau masih bersama Pakatan Rakyat. Dari satu sudut, nampaknya perancangan Najib kelihatan smart dan cuba memudahkan rakyat berhubung dengannya. Dan ia dibuktikan dalam majlis 100 hari sebagai PM kelmarin. Tanpa sebarang protokol, bunga manggar dan karpet marah, bahkan barisan kabinet duduk bersama audien, secara tidak langsung memberi kredit kepada BN.

5) Namun begitu, ia baru 100 hari buat Najib. Tetapi harus diingat, langkah seribu bermula dengan langkah yang pertama. Jika bijak Najib mencatur perancangannya, tidak mustahil rakyat kembali tertawan dengan pesona BN. Awas Pakatan Rakyat !




13 Julai 2009, 20 Rajab 1430 Hijrah,

11.51 pagi, Malaysia Timur

Jumaat, 10 Julai 2009

Iktibar Kehidupan



1) Sesungguhnya dunia ini tidak kekal lama. Akhirat adalah negeri abadi.

2) Nabi mengibaratkan kehidupan di dunia seumpama musafir yang singgah berteduh di bawah sepohon pokok. Kemudiannya, akan meneruskan perjalanannya ke destinasi yang seterusnya.

3) Ada orang menjadikan dunia sebagai matlamat hidup-rugilah mereka. Ada orang menjadikan dunia sebagai jambatan ke akhirat-beruntunglah mereka. Ada orang menjadikan dunia sebagai penjara hidup=malanglah mereka.

4) Umur umat Muhammad SAW hanyalah sekitar 60-70 tahun, berbanding masa di alam barzakh dan akhirat jauh lebih panjang dari itu.

5) Dalam surah al-Sajadah, yang biasa dibaca pada Subuh pagi Jumaat, Allah mengingatkan betapa orang yang berdosa baru menyedari benarnya azab yang dijanjikan Allah. Mohon dikembalikan ke dunia untuk beramal, tetapi mana mungkin ia akan berlaku, kerana akhirat tempat balasan di atas segala amal di atas dunia tempoh hari.

6) Menyedari hanya Islam sebagai agama yang benar, menghayati Islam dalam seluruh aspek kehidupan akan menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat, marilah kita berusaha menjadi umat Muhammad SAW yang terbaik-menegakkan perintahNya, menjunjung syariat Allah dan meninggalkan laranganNya.



10 Julai 2009,

6.28 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 6 Julai 2009

Manek Urai-Pertembungan 1 lawan 1



1) Di saat kekalutan dan putar belit mengenai Pakatan Rakyat di Kedah dan Pulau Pinang, penamaan calon piliharaya kecil Manek Urai menyaksikan pertembungan 1 lawan 1- di antara calon PAS-Abe Uji dan calon UMNO-Tuan Aziz.

2) Bagi PAS-kemenangan adalah penting bagi meneruskan penguasaan di Manek Urai dan menyambung khidmat arwah YB Dun terdahulu. Selain itu, ia memberi isyarat, rakyat masih menaruh harapan kepada Pakatan Rakyat.

3) Manakala bagi UMNO dan BN, setelah hanya menang 1 dari 6 pilihanraya kecil(iaitu di Batang Ai), maka pilihanraya kecil Manek Urai atau yang ketujuh ini sangat memberi signifikan kepada UMNO. Jika menang, mungkin rakyat menerima Najib dan konsep 1 Malaysia. Jika tidak, rakyat tetap mahukan Pakatan Rakyat, walaupun digembar gemburkan dengan mainan media arus perdana, kononnya Pakatan Rakyat di Kedah dan Pulau Pinang semakin goyah.

4) Akhir kalam semoga pertandingan berlangsung dalam keadaan adil dan saksama, serta tidak berlaku penyelewengan dan penipuan.



6 Julai 2009, 13 Rajab 1430 Hijrah,

12.00 tgh, Malaysia Timur

Rabu, 1 Julai 2009

Gempar di UM !



1) 2 hari ini, UM gempar apabila 2 orang pelajar Akademi Islam dihadapkan ke mahkamah kerana didapati menconteng dinding Akademi dengan perkataan "Bini Puaka" dan "Pembunuh Altantuya".

2) Bagi saya, pelajar berkenaan perlu berhemah dalam isu tersebut. Tidak perlu sampai menconteng demi kemarahan yang membara. Bahkan, bimbang kita digelar tidak cerdik.

3) Rosmah juga perlu memberikan penjelasan mengenai isu ini, agar tidak terus dipandang serong.

4) Kesimpulannya dalam isu ini, diharap dapat diselesai dengan baik. Anak muda mungkin mengikut amarah mudanya. Namun, dengan cara terus menangkap mereka, saya kira ia bertujuan untuk mengugut dan menakutkan mereka. Ia mengingatkan saya apabila saudara Fuad Ikhwan(Presiden MPMUM sesi 2000/2001) yang ditahan ISA setelah mengeluarkan kenyataan bahawa mahasiswa UM berdiri teguh di belakang NC ketika itu-Prof Datuk Dr Anuar Zaini yang dianggap tidak bersungguh dalam mencari siapa dalang di sebalik Dewan Tunku Canselor yang terbakar pada Ogos 2001. Kenyataan itu dibuat di depan Tun Dr Mahathir yang turun ke UM pada waktu itu di Auditorium Perdana Siswa. Keesokannya-Fuad Ikhwan ditahan ISA selama seminggu.

5) Jika cara yang sama digunakan-saya bimbang mahasiswa kembali bangkit kerana mereka bertindak di atas hujjah yang nyata.



1 Julai 2009, 8 Rajab 1430 Hijrah,

10.51 pagi, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude