Isnin, 28 Mei 2007

Disertasi Ilmiah II

METODOLOGI HAMKA DALAM PENTAFSIRAN AL-QURAN
1.0 PENDAHULUAN
HAMKA merupakan tokoh pentafsir yang terkenal di alam Melayu khususnya di Indonesia. Beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang ulama’ bahkan sasterawan, sejarawan dan pujangga Islam. Penghasilan karya Tafsir Al-Azhar di usia senja menaikkan lagi nama beliau di mata umat Islam.
2.0 BIODATA TOKOH
HAMKA merupakan akronim pertama atau singkatan kepada nama asal iaitu Haji Abdul Malik Karim Amrullah. Nama tersebut diberikan oleh ayahnya sempena nama anak lelaki gurunya; Syeikh Ahmad Khatib di Mekah. Proses penyingkatan nama beliau adalah disebabkan oleh aktiviti beliau dalam bidang penulisan yang bertujuan untuk memudahkan masyarakat mengenalinya.
2.1 Kelahiran Dan Kematian
HAMKA dilahirkan pada malam isnin tanggal 14 Muharam 1326 H bersamaan 17 Februari 1908 di Kampung Tanah Sirah, Negeri Sungai Batang Maninjau, Minagkabau, Sumatera Barat.1
Menurut satu sumber lain, beliau dikatakan lahir pada tahun 1325 H bersamaan 1908. Namun penulis memilih sumber pertama memandangkan maklumat tersebut adalah daripada HAMKA sendiri.2
2.2 Keturunan
Beliau berasal dari keturunan ulama’ yang terkenal di Sumatera. Moyang beliau, Syeikh Abdullah Arif merupakan seorang ulama’ yang datang dari Pauh Pariaman terkenal dengan gelaran Tuanku Pariaman dan Tuanku Nan Tuo di Koto Tuo dan menjadi pelopor gerakan Islam di Minangkabau. Datuknya pula, Syeikh Muhammad Amrullah terkenal dengan gelaran ‘Fakih Kisai’ iaitu gelaran khusus bagi penghafaz al-Quran.3
Ketokohan sebagai seorang ulama’ seterusnya diwarisi pula ayah HAMKA iaitu Haji Abdul Karim Amrullah. Beliau merupakan tokoh pelopor gerakan Islam “ Kaum Muda “ di Minangkabau bermula pada tahun 1906.4 Terkenal dengan gelaran “ Haji Rasul “ diwaktu mudanya yang mana beliau menentang ajaran Rabitah iaitu satu sistem yang dilalui oleh penganut-penganut tarekat apabila mereka hendak mengerjakan suluk. Beliau pernah diasingkan oleh Belanda ke Sukabumi disebabkan fatwa-fatwa yang dianggap mengganggu keamanan dan keselamatan umum. Haji Abdul Karim Amrullah kembali ke rahmatullah pada 21 Jun 1945 di Jakarta iaitu dua bulan sebelum tarikh proklamasi kemerdekaan Indonesia. 5
Ibu HAMKA bernama Siti Safiyah. Ayah dari ibu beliau bernama Gelanggang dan digelar Bagindo Nan Batuah. Semasa mudanya terkenal dengan guru tari, nyanyian dan pencak silat. HAMKA sentiasa mendengar pantun-pantun yang bererti dan mendalam daripadanya.6
2.3 Sahsiah dan keperibadian HAMKA
Berdasarkan susur galur keturunan HAMKA, beliau dilahirkan dalam keluarga ulama’ yang cukup terkenal di Sumatera Barat. Sedikit sebanyak HAMKA turut mewarisi keperibadian ayahnya. Dalam lingkungan keluarganya HAMKA disebut sebagai anak yang keras hati, sering mengambil keputusan yang berlawanan dengan keinginan ayahnya sehingga tidak dapat merubah pendirian beliau. Sikap beliau ini jelas ketara semasa beliau berada di alam persekolahan.7
HAMKA mewarisi sifat keras yang ada pada ayahnya. Dalam aktiviti dakwah, beliau menggunakan cara yang keras sesuai dengan pendekatan yang dipakai oleh ayahnya. Walaupun pada akhirnya perhubungan perkembangan beliau tidak seradikal ayahnya tetapi sifat tersebut masih kelihatan. Sebagai contoh ketika HAMKA mendapat tekanan dari pihak pemerintah beliau membuktikan perwatakannya sebagai ulama’ yang tidak boleh bertolak ansur dalam masalah yang membabitkan perkara-perkara asas.8
Walaupun memiliki sikap keras, beliau juga adalah seorang pemaaf. Meskipun beliau pernah dipenjarakan oleh Soekarno akan tetapi apabila mendengar lawan politiknya itu meninggal dunia, beliau menangis bahkan beliau bersedia mengimamkan solat jenazah Soekarno.9
Selain itu, HAMKA adalah seorang yang kuat beribadah. Solat Tahajjud sudah menjadi rutin ibadah beliau. Selama daalam tahanan beliau tidak pernah meninggalkan tahajjud. Pada kebiasaannya beliau tetap bangun sebelum subuh, melakukan solat 2 rakaat hingga 8 rakaat diikuti witir 3 rakaat sehinggalah terbit fajar beliau membaca al-Quran atau berzikir.Sebelum ke masjid untuk solat Jumaat, beliau akan menghabiskan masanya dengan membaca al-Quran dan buku-buku Arab untul pengisian khutbah yang akan disampaikan.10
2.4 Guru-Guru HAMKA
Kehidupan HAMKA semenjak kecil sentiasa berada dalam lingkungan suasana ilmu. Meskipun beliau tidak pernah tamat belajar di mana-mana institusi pengajian, berkat kegigihan dan ketekunan beliau masih berpeluang menimba ilmu di pelbagai lapangan ilmu samada secara formal atau tidak formal.
Antara guru-guru beliau adalah Haji Omar Said Chakraminoto dalam bidang Islam dan Sosialisme, Soeryopranoto dalam bidang ilmu sosiologi, H. Fakhruddin dalam bidang ilmu Tauhid, Ki Bagus Hadi Kesumo dalam ilmu Tafsir, Zainudin Lebai al Yunus, H. Rasul Hamidi ( Sekolah Diniyah), Jalaluddin Thaib dan Angku Mudo Abdul Hamid ( Madrasah Thawalib), Syeikh Ibrahim Musa Parabek, Sain al-Maliki dan Angku Lebai Ahmad Padang Luar.11
2.5 Hasil Karya HAMKA
Keaktifan beliau dalam bidang penulisan bermula setelah beliau kembali dari kembara ilmiah di Tanah Jawa sehingga beliau menjadi pemimpin di tempat asalnya. Menurut Rusydi , kesemua hasil karya HAMKA berjumlah 118 buah yang merangkumi bidang agama, novel dan ilmiah tidak termasuk aritikel-artikel beliau dalam Majalah Panji Masyarakat.12 Hasil karya termasyhur adalah Tafsir al-Azhar yang menjadi saluran dakwah kepada masyarakat pada ketika itu.
Berikut adalah senarai karya-karya beliau mengikut tahun pengahsilan karya tersebut :
1925 hingga 1930
Khatib Ummah
Si Sabariyah
Rengkasan Tarikh Umat Islam
Pembela Islam (Riwayat Abu Bakar)
Sejarah Minangkabau dengan Ugama Islam (diharamkan oleh Belanda)
Ugama dan Perempuan
Kepentingan Bertabligh
Leila Majnun
1931-1942
Di Bawah Lindungan Kaabah
Tenggelam Kapal Van Der Wijak
Merantau ke Deli
Terusir (kemudian ditukar tajuk kepada ‘Fitnah’)
Keadilan Ilahi
Di dalam Lembah Kehidupan (Antologi Cerpen)
Tasauf Modern
Falsafah Hidup
Lembaga Hidup
Dijemput Mamak(sekarang dalam ‘Bedok Berbunyi’)
1942-1961
Negara Islam
Revolusi Agama
Adat Minangkabau Menghadapi Revolusi
Dibanting Ombak Masyarakat
Di tepi Sungai Dajlah
Lembaga Hikmah
Menunggu Bedok Berbunyi
Chahaya Baru
Angkatan Baru
Falsafah Ideologi Islam
Mustika Budi
Tinjauan di Lembah Sungai Nil
Lembaga Sungai Nil
Penuntun Naik Haji
Perkembangan Tasauf
Sejarah Islam di Sumatera
Utat Tunggang Panchasila
Peribadi
1001 Soal-Soal Hidup
Empat Bulan di Amerika
Pelajaran Ugama Islam
Keadilan Sosial dalam Islam
Kenang-Kenangan Hidup
Ayahku Biografi Dr. A. Karim Amrullah)
Pengaruh Muhammad Abduh di Nusantara
Merdeka
Islam dan Demokrasi

3.0 PENGENALAN KITAB
Tafsir al-Azhar merupakan karya HAMKA yang memperlihatkan keluasan pengetahuan beliau , hampir mencakumi semua disiplin ilmu penuh berinformasi. Ia berasal dari siri kuliah subuh yang disampaikan oleh HAMKA di Masjid al-Azhar yang terletak di Kebayoran Baru Jakarta sejak tahun 1959.13
Nama al-Azhar bagi masjid tersebut telah diberikan oleh Syeikh Mahmoud Syaltout, Rektor Universiti al-Azhar semasa kunjungan beliau ke Indonesia pada Disember 1960 dengan harapan ianya akan menjadi al-Azhar di Jakarta. Penamaan tafsir HAMKA dengan nama Tafsir al-Azhar bersempena dengan tempat lahirnya tafsir tersebut iaitu Masjid Agung al-Azhar tersebut.14
3.1 Faktor Penulisan Tafsir al-Azhar15
Terdapat beberapa faktor yang mendorong HAMKA kepada penghasilan karya tersebut. HAMKA menyatakan faktor tersebut dalam mukadimah kitab tafsirnya. Antaranya ialah kesedaran beliau terhadap kepentingan untuk menanam semangat dan kepercayaan Islam dalam jiwa belia-belia di alam Melayu khususnya beliaa-belia di Indonesia yang amat berminat untuk memahami al-Quran tetapi tehalang akibat ketidakmampuan mereka menguasai ilmu Bahasa Arab.
Kecenderungan beliau terhadap penulisan tafsir ini juga bertujuan untuk memudahkan pemahaman para muballigh dan para pendakwah serta meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian khutbah-khutbah yang diambil daripada sumber-sumber Bahasa Arab .
3.2 Penulisan Tafsir Al-Azhar
HAMKA telah memulakan ulasan Tafsir Al-Azharnya dengan surah al-Mukminun bukannya surah al-Baqarah kerana beranggapan kemungkinan beliau tidak sempat menyempurnakan ulasan lengkap terhadap tafsiran tersebut semasa hayatnya.16
Penulisan tafsir tersebut bermula melalui siri kuliah Subuh yang disampaikan oleh HAMKA di Masjid al-Azhar dan diterbitkan dalam majalah ‘Panji Masyarakat’. Siri kuliah tersebut berterusan sehinggalah berlaku kekacauan politik di mana masjid tersebut telah dituduh menjadi sarang “Neo Masyumi” dan “Hamkaisme”. Rentetan daripada tuduhan tersebut, penerbitan Panji Masyarakat diharamkan.17
Bagi memastikan siri kuliah Subuh yang menjadi medan dakwah pada ketika itu tidak terhenti begitu sahaja, beliau telah mengambil langkah dengan memuatkannya pula di dalam majalah Gema Islam sehingga Januari 1962. Namun ia hanyalah satu setengah juzu’ sahaja iaitu dari juzu’ 18 hinggalah juzu’ 19 bermula dengan tafsiran surah al-Mukminun.18
Namun, tanpa diduga pada tarikh 12 Ramadhan 1383 bersamaan 27 Januari 1964 , HAMKA telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam tahanan selama dua tahun oleh penguasa Orde Lama iaitu ketika pemerintahan Sukarno. Dengan itu, bermulalah kehidupan HAMKA sebagai tahanan politik19 dan penulis sepenuh masa terhadap penulisan tafsir yang telah dimulakan sebelum ini.
Sepanjang kehidupan dalam tahanan , HAMKA banyak memperuntukkan masa untuk beribadah kepada Allah, mengarang tafsir di waktu pagi, membaca buku di waktu petang, tilawah al-Quran pada waktu maghrib dan Isya’ dan di sepertiga malam beliau menunaikan solat sunat tahajjud hampir setiap malam.
Setelah kejatuhan Orde Lama dan tampuk pemerintahan beralih kepada kepimpinan Soeharto, HAMKA dibebaskan dari tuduhan pada 21 Januari 1966. Kesempatan masa yang masih ada digunakan beliau untuk memperbaiki serta menyempurnakan Tafsir Al-Azhar yang telah ditulis semasa dalam tahanan.20
3.3 Penerbitan Tafsir
Tafsir Al-Azhar telah ditulis dalam 30 jilid, menyamai bilangan juzu’ al-Quran dan pada bahagian akhir setiap jilid, HAMKA telah mencatatkan tempat jilid tersebut ditulis.21Penerbitan pertama Tafsir Al-Azhar pada tahun 1968, diterbitkan oleh penerbit Pembimbing Masa yang merangkumi juzu’ pertama hingga juzu’ keempat. Seterusnya diterbitkan pula juzu’ 30 dan juzu’ 15 hinggalah juzu’ 29 oleh Pustaka Islam Surabaya pada tahun 1973. Akhir sekali terbitan Yayasan Nurul Islam Jakarta iaitu dari juzu’ 5 hinggalah juzu’ 14 pada tahun 1975.22


4.0 METODOLOGI PENULISAN HAMKA
Dalam penulisan Tafsir Al-Azhar, HAMKA menggunakan kaedah pentafsiran yang menepati syarat-syarat pentafsiran al-Quran yang digariskan oleh para ulama’ tafsir . Beliau menyatakan metode pentafsiran yang digunakan pada bahagian pendahuluan kitab tafsir tersebut iaitu di bawah tajuk kecil, ‘ Haluan Tafsir’.
Setelah penelitian dilakukan, HAMKA didapati menggunakan metode-metode berikut ketika mentafsirkan al-Quran :
4.1 Tafsir al-Quran dengan al-Quran
HAMKA didapati mengaplikasikan metode ini dalam mentafsirkan ayat al-Quran sebagaimana ulama’ tafsir yang lain iaitu sumber yang ma’thur. Namun, tidak kesemua ayat-ayat al-Quran ditafsirkan dengan metode tersebut. Penggunaan metode tersebut dapat dilihat ketika beliau mentafsirkan ayat 60 surah al-Qasas. Firman Allah ta’ala :
Maksudnya : Dan apa jua pun yang dianugerahkan kepada kamu maka itu adalah nikmat hidup di dunia dan perhiasannya belaka. Dan apa yang ada disisi Allah, itulah yang baik dan lebih kekal. Apakah tidak kamu fahamkah ?

Ayat di atas menceritakan bahawa sebarang nikmat atau perhiasan yang dikurniakan adalah nimat di dunia tetapi yang kekal adalah apa yang ada disisi Allah. Islam tidak melarang bagi manusia untuk menerima perhiasan hidup di dunia kerana sememangnya itulahyang menjadi keinginan manusia.23
Bagi menjelaskan bentuk perhiasan tersebut, HAMKA membawakan ayat 14 surah ali Imran :
Maksudnya : Dihiaskan bagi manusia cinta syahwat, dari perempuan-perempuan dan anak-anak dan kekayaan yang tersimpan, dari emas dan perak dan kuda kenderaan tersedia dan binatang-binatang ternak dan bercucuk-tanam. Itu semuanya adalah perhiasan hidup di dunia. Dan Allah di sisinya tersedia sebaik-baik persiapan.

HAMKA menjelaskan bahawa semua perhiasan tersebut adalah benar belaka tetapi beliau menegaskan bahawa ianya hanyalah perhiasan dunia yang tidak kekal. Yang kekal adalah syura Allah yang telah tersedia bagi mereka yang beramal soleh.24
4.2 Tafsir al-Quran dengan al-Hadith
HAMKA turut tidak meninggalkan metode kedua terpenting dalam pentafsiran al-Quran iaitu tafsir al-Quran dengan al-Hadith yang mana hadis merupakan sumber kedua selepas al-Quran. Penggunaan metode ini dikesan dalam pentafsiran ayat 104 surah ali Imran :
Maksudnya : Hendaklah ada antara kamu satu golongan yang mengajak kepada kebaikan, menyuruh berbuat makruf dan melarang perbuatan mungkar, Dan mereka itu ialah orang-orang yang beroleh kemenangan.

Ayat di atas menerangkan tentang perintah amar makruf dan nahi mungkar. Beliau mendatangkan beberapa buah hadis bagi menjelaskan tentang kepentingan perintah tersebut setelah dibawa penerangan panjang lebar tentang maksud istilah-istilah tersebut. Terdapat tiga buah hadis yang diketengahkan iaitu hadis Huzaifah r.a yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi, hadis Abu Sa’id al-Khudri yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmidhi dan hadis Abdullah bin Mas’ud yang diriwayatkan oleh imam Muslim.25
Beliau kemudiannya membuat ulasan terhadap ketiga-tiga hadis dan perkaitannya dengan dakwah.
4.3 Pendapat Tabi’in
Adakalanya HAMKA akan memasukkan pendapat-pendapat tabi’in bagi menyokong ulasan beliau terhadap tafsiran ayat-ayat al-Quran. Antara tafsiran ayat al-Quran yang mengandungi metode ini ialah tafsiran terhadap ayat 65 surah al-Naml :
Maksudnya : “Katakanlah –Hai Utusan Kami-“Tidak ada seorang pun di semua langit dan bumi yang mengetahui yang ghaib kecuali Allah. Dan tidak pula ada mereka yang menyedari bila mereka akan dibangkitkan.

Ayat tersebut menerangkan tentang pengetahuan terhadap perkara ghaib hanya diketahui oleh Allah sahaja. Dalam hal ini, HAMKA membawakan pendapat seorang tabi’in iaitu Qatadah tentang kedudukan orang-orang yang mempercayai ilmu bintang atau Astrologi. Menurut Qatadah sekiranya seseorang itu menyalahgunakan faedah Allah menjadikan bintang-bintang (perhiasan, petunjuk dan panahan terhadap syaitan) maka kedudukannya adalah sesat.
4.4 Pengambilan Riwayat dari Kitab Tafsir Muktabar
HAMKA turut merujuk kitab-kitab tafsir yang lain dalam pentafsiran beliau. Antaranya Tafsir al-Manar karang Sayyid Rasyid Reda, Mafatih al-Ghayb karangan al-Razi dan lain-lain lagi. Ini menunjukkan bahawa beliau tidak terikat kepada satu bahan sahaja tetapi pelbagai jenis bahan bagi memastikan ketepatan dan kesesuaian tafsiran beliau agar tidak lari terlalu jauh.
Sebagai contoh, dibawakan tafsiran beliau terhadap ayat 82 dari surah al-Naml. Firman Allah ta’ala :
Maksudnya : Dan apabila sabda telah jatuh atas mereka, Kami keluarkanlah sejenis binatang melata dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka bahawa sesungguhnya manusia pernahlah tidak yakin kepada ayat-ayat Kami.

Dalam ayat tersebut, diterangkan bahawa apabila telah datang masanya kelak, Akan berlaku suatu perkara di kala manusia sudah lupa dan lalai terhadap agamnya di mana akan keluar dari dalam bumi semacam binatang yang disebut sebagai dabbah yang bermaksud binatang melata yang merangkak.26
HAMKA membawakan tafsiran al-Razi tentang pelbagai pentafsiran dabbah iaitu 5 keadaan berdasarkan pelbagai riwayat . Beliau juga turut membawa tafsiran Ibn Kathir dalam kitab Tafsir al-Quran al-Azim mengenai perkara yang sama.27
4.5 Penggunaan Syair
HAMKA dikenali sebagai pujangga Islam dan sasterawan. Oleh yang demikian, beliau turut memasukkan unsur-unsur syair dalam ulasan terhadap ayat-ayat alQuran. Syair-syair tersebut sama ada nukilan beliau sendiri ataupun nukilan sasterawan Islam yang lain seperti Iqbal. Namun, kekerapan beliau menggunakan syair-syair dalam ulasan beliau amat sedikit.
Antara ayat-ayat al-Quran yang beliau gunakan syair sebagai penerangan lanjut dalam ulasan beliau ialah pentafsiran ayat 158 surah ali Imran :
Maksudnya : Dan sesungguhnya jika kamu mati atau terbunuh, kepada Allahlah kamu akan dikumpulkan.

Dalam ayat di atas, HAMKA menjelaskan apa pun sebab musabab kematian seseorang sama ada mati kerana syahid , sakit dan sebagainya akan dikumpulkan di hadapan Allah ta’ala untuk dihisab. Perhitungan tersebut adalah berkaitan tentang tujuan hidup setiap manusia kerana tujuan hidup itulah yang menentukan nilai hidup bukan berdasarkan lama mana kehidupan di dunia.28 Di sini beliau membawakan serangkap syair Iqbal yang menggambarkan tentang nilai hidup tersebut :
Umur bukan hitungan tahun,
Hidup bukan bilangan masa.
Sehari hidup singa di rimba,
Seribu tahun hitungan domba.29
1 HAMKA (1966), Kenang-Kenangan Hidup, Penerbitan Pustaka Antara : Kuala Lumpur, hal 2
2 Tajuddin Saman (1993), Tokoh Ulama’ Nusantara, Berita Publishing Sdn Bhd : Kuala Lumpur, hal 65
3 Hamka (1982), Ayahku Riwayat Hidup Dr. H. Abd. Karim Amrullah dan Perjuangan Kaum Agama Sumatera, Penerbit Ummida : Jakarta, hal 48
4 ibid
5 Tajuddin Saman (1993), op.cit.
6 Nasir Tamara, et. Al. (1983), HAMKA di mata hati umat, Penerbit Sinar Harapan : Jakarta, hal 51
7 Rusydi Hamka et.al (1982),Perjalanan Terakhir Buya HAMKA, Panji Masyarakat : Jakarta , hal 30
8 ibid.
9 H.Rusydi Hamka (1981), Peribadi dan Martabat Buya Prof. Dr. HAMKA, Pustaka Panjimas : Jakarta, hal 73
10 ibid, hal 61-67
11 Hamka (1982), op.cit, hal 267
12 H.Rusydi Hamka (1981), op.cit, hal 310
13 M. Yunan Yusof (1990), Corak Pemikiran Kalam Tafsir Al-Azhar, Penerbit Pustaka Panjimas : Jakarta, hal 53
14 HAMKA (1967),Tafsir Al-Azhar, P.T Pembimbing Masa : Jakarta, juz 1, hal 43-45
15 Ibid, hal2
16 Wan Sabri Wan Yusuf (2001), Tafsir Al-Azhar : Cermin Perubahan Sosial Indonesia Abad ke-20, Pemikiran dan Perjuangan HAMKA, Angkatan Belia Islam Malaysia : Malaysia, hal 66
17 M. Yunan Yusof (1990), op.cit
18 HAMKA (1967),op.cit
19 Beliau telah ditempatkan di beberapa rumah tahanan di kawasan Puncak iaitu baglo Herlina, Harjuna, Brimob Megamendung dan Cimacan. Di rumah tahanan inilah HAMKA memberi tumpuan terhadap penulisan Tafsir al-Azhar
20 M. Yunan Yusof (1990), op.cit,hal 55
21 Menurut HAMKA sendiri, di setiap juzu’ tafsirnya terdapat keterangan tempat penulisannya tetapi ternyata tidak semua keterangan tempat penulisan tafsir tersebut disertakan, Juzu’ 4, 13, 14, 15, 16, 17 dan 19 ditulis di Rumah Sakit Persahabatan Rawamangun Jakarta. Sementalahan pula, juzu’ 20 ditulis di Rumah Tahanan Sukabumi. Manakala juzu’ 21, 22, 23, 24 dan sebahagian juzu’ 27,28,29 serta sebahagian juzu’ 25 ditulis di Asrama Brimob Megamendung. Selebihnya tidak disebut tempat penulisannya.
22 ibid
23 HAMKA (1986),Tafsir Al-Azhar, Pustaka Nasional PTE LTD : Singapura, Juzu’ 20 , hal 5360
24 ibid
25 ibid, juzu’ 4, hal 868-869
26 ibid, Juzu’20, hal 5275
27 ibid
28 ibid, Juzu’ 4, hal 964
29 ibid

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude