Khamis, 24 Mei 2007

Disertasi Ilmiah 1

PENGAJIAN HADITH DI NUSANTARA
Satu Kajian Terhadap Kitab Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)
oleh Ustaz Mustafa Abdul Rahman


1. Biografi Ustaz Mustafa Abdul Rahman

1.1 Nama dan Keluarga

Beliau ialah Mustafa bin Abdul Rahman bin Mahmud bin Mat Salleh. Beliau dilahirkan pada tahun 1917 di Gunung Semanggol. Bapanya seorang ‘ulama terkenal di Gunung Semanggol. Sementara ibunya ialah Maryam bt. Andak adalah berketurunan Jawa yang berasal dari Kuala Kurau. Beliau merupakan anak pertama daripada tujuh orang adik-beradik. Nama penuh beliau ialah Ustaz Mustafa Abdul Rahman bin Mahmud bin Saleh. Nama panggilan beliau ialah Pak Wa. Beliau juga digelar Mustafa Na‘im oleh Sheikh Abdullah Fahim.

Ayah beliau, Haji Abdul Rahman pernah belajar di Universiti Al-Azhar Mesir dan di Masjidil Haram. Haji Abdul Rahman menuntut di Mekah tidak kurang daripada 15 tahun sehingga digelar Tuan Haji Masjidil Haram. Haji Abdul Rahman adalah di antara orang Melayu terawal yang mendapat pendidikan sebegitu lantaran kedudukan kewangan yang baik dan berasal daripada keluarga yang kuat pegangan agama Islam.

Ternyata Ustaz Mustafa Abdul Rahman banyak mewarisi sifat-sifat yang dimiliki oleh ayah beliau seperti minat menuntut ilmu dan menyebarkannya kepada orang lain. Ustaz Mustafa adalah anak sulung daripada tujuh orang adik-beradik. Beliau berketurunan Jawa tengah kerana moyangnya Haji Abdul Jabar adalah daripada keturunan tersebut dan telah berpindah ke Kuala Kurau seterusnya ke Gunung Semanggol.[1]
1.2 Pendidikan

Beliau telah memulakan pendidikannya di pondok al-Rahmaniah yang telah diasaskan oleh bapanya iaitu Haji Abdul Rahman Mahmud di Gunung Semanggol pada tahun 1918. Setelah itu, Ustaz Mustafa meneruskan pengajiannya di Sekolah Melayu Semanggol hingga ke darjah 5 iaitu kelas yang paling tinggi pada masa itu. Ustaz Mustafa mendapat pendidikan awal secara formal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajarannya di peringkat menengah di Madrasah Idrisiah, Kuala Kangsar selama 6 tahun. Beliau sempat berguru dengan Ustaz Abdullah Fahim[2] yang merupakan antara tokoh ulama yang terkenal pada masa itu.

Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Ma‘had Ihya’ al-Syarif yang ketika itu ditadbir oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir. Ma‘had Ihya’ al-Syarif merupakan kesinambungan dari pondok al-Rahmaniah yang diasaskan oleh bapa beliau sendiri, Ustaz Abdul Rahman Mahmud. Selepas tamat pengajian di sana, beliau bersiap untuk menyambung pelajaran ke Mesir, namun terpaksa membatalkan hasratnya apabila bapanya meninggal dunia. Oleh kerana beliau merupakan anak sulung, maka beliau mengambil tanggungjawab untuk menjaga dan menguruskan ibu dan adik-adiknya.

Ternyata, Ustaz Mustafa mampu menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris dengan baik, hasil pendidikan yang diperolehinya bermula di pondok al-Rahmaniah milik ayah beliau, kemudian di Sekolah Menengah Idrisiyyah yang memberikan beliau ruang yang lebih luas untuk mendalami bahasa Inggeris di samping pembacaan beliau. Beliau juga mengikuti pendidikan secara tidak formal dengan kelas gaya pos.





1.3 Guru-guru

Ustaz Mustafa mula belajar sejak kecil lagi. Beliau pada mulanya diajar oleh bapa beliau sendiri Haji Abdul Rahman Mahmud. Di antara guru beliau yang cukup terkenal ialah Sheikh Abdullah Fahim. Selain itu, beliau juga pernah berguru dengan beberapa orang guru daripada seberang Selat Melaka seperti Sheikh Mustafa Ramadhan yang berasal daripada Yugoslavia, manakala isterinya berasal daripada Singapura dan mengajar di Ma‘had Ihya’ al-Sharif. Selain itu juga, beliau turut berguru dengan Sheikh Hassan Yamani dan Sheikh Abu Mas‘ud yang berasal dari Tanah Arab dan Mekah.

Beliau menuntut ilmu dalam bidang Tafsir Al-Qur’an daripada gurunya Sheikh Abdullah Fahim yang lama menetap di Mekah. Sebagai seorang yang mengajar Ustaz Mustafa, Sheikh Abdullah Fahim banyak membantu Ustaz Mustafa dalam menyiapkan Tafsir Al-Qur’an Al-Hakim. Sheikh Abdullah Fahim juga telah menulis muqaddimah di dalam kitab ini.

Di antara guru-gurunya yang lain ialah mereka yang pernah mengajar beliau di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar seperti :-

1. Al-Fadl Haji Abu Bakar al-Baqir b. Mohd Sa`id
2. Haji Ahmad al-Subki
3. Haji Mahayudin Mohd. Sa‘id
4. Abdullah Sa‘id
5. Haji Umar Haji Sa‘id
6. Haji Idris Isma‘il
7. Haji Isma‘il Darus





1.5 Kerjaya dan Hasil Penulisan

Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru di Ma‘had Ihya’ al-Sharif, Gunung Semanggol, Perak. Pada ketika itu, beliau telah mula menghasilkan penulisan tetapi tidak begitu serius. Sehinggalah pada tahun 1950-an, Ustaz Abu Bakar Bakir yang merupakan pengetua Ma‘had Ihya’ al-Sharif ketika itu, telah ditangkap di bawah Akta ISA kerana menubuhkan Hizbul Muslimin yang kemudiannya diharamkan oleh British, maka Ustaz Mustafa berhijrah ke Pulau Pinang dan tinggal bersebelahan dengan Syarikat Percetakan Ali Rawa.

Pada masa inilah, beliau kembali giat menulis di dalam pelbagai bidang. Beliau seterusnya dikenali sebagai pengarang buku-buku agama. Ustaz Mustafa di antara ulama alam Melayu yang agak produktif dan terkehadapan di dalam menghasilkan karya penulisan. Bahkan sesetengah hasil penulisan beliau ini menjadi rujukan dan digunapakai sebagai buku teks di sekolah-sekolah agama pada masa itu. Kepakaran beliau tidak hanya menjurus satu-satu bidang semata-mata, bahkan juga merangkumi pelbagai bidang ilmu.

Karya-karya beliau antaranya ialah:-

a) Tafsir

1. Tafsir al-Qur’an al-Hakim

b) Hadith

Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)
Terjemahan Mukhtasar Ibn Abu Jamrah
Pelajaran Hadith Nabawi
4. Pelajaran Hadith Junjungan Rasulullah


c) Akhlak

Peribadi
Pedoman Budi
Sendi Pergaulan Dalam Islam
Ilmu Jiwa dalam Islam
Akhlak dan Kewajipan Dalam Islam
Agama Islam dan Akhlak al-Fadilah

d) Sejarah

Ringkasan Sejarah Khulafa’ al-Rasyidin
Ringkasan Sejarah Kerajaan Bani Umayyah
Sejarah Islam
Ringkasan Sejarah Negara Islam
Pedoman Tarikh Junjungan Muhammad

e) Akidah

Terjemahan Melayu al-Jawahir al-Kalamiyah fi Idah al-Aqidah al-Islamiyyah

f) Mantiq

Perintis Ilmu Mantiq

g) Ekonomi

1. Sejarah Ilmu Ekonomi



h) Kamus

1. Kamus Bahasa Inggeris, Melayu dan Arab

Selain itu, beliau turut menulis artikel-artikel di dalam Utusan Melayu dan majalah Al-Ihya’ terbitan Ma‘had Ihya’ al-Sharif. Ternyata sumbangan beliau di dalam bidang penulisan walaupun bermula agak lewat namun ianya amat bermanfaat bagi umat Islam ketika itu.



1.4 Kematian

Ustaz Mustafa telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 28 Oktober 1968 bersamaan dengan 6 Sya`ban 1388 H dalam usia 51 tahun di rumah ibunya di Gunung Semanggol akibat sakit jantung.

2. Kitab Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya)

2.1 Pengenalan Kitab

Di dalam kajian ini, penulis telah merujuk kepada Kitab Hadith 40 ( Terjemahan dan Syarahnya) yang dicetak buat kali pertama di dalam tulisan rumi pada bulan Oktober tahun 1989 oleh Dewan Pustaka Fajar.

Menurut Ya‘qub Muhammad Hussin di dalam kata pengantar Edisi Rumi, beliau menyatakan tiada sebarang perubahan di dalam edisi rumi dari sudut isinya. Namun begitu, terdapat beberapa tambahan penjelasan yang tertinggal di dalam edsi jawinya, semenatara yang lain dibiarkan kekal seperti kitab asalnya.[3] Beliau juga menyebutkan nama beberapa individu selain beliau sendiri yang terlibat di dalam proses menerbitkan kitab ini di dalam Edisi Rumi. Di antaranya ialah :

1. Ismail Hussin (pembaca proof)
2. Abdul Aziz Mohamed ( menaip muqaddimah yang telah disunting)

Beliau juga menjelaskan penerbitan kitab ini terutamanya di dalam Edisi Rumi akan memberikan peluang yang lebih luas kepada para pembaca untuk turut serta memahami dan menghayati petunjuk-petunjuk yang terkandung di dalam hadith yang dimuatkan di dalam kitab ini khususnya kepada golongan yang kurang berkemahiran dalam tulisan jawi. Beliau juga mengharapkan agar kitab ini akan mendatangkan manfaat kepada Allahyarham Ustaz Mustafa Abdul Rahman, penerbitnya dan para pembaca.[4]

Sementara itu, Ustaz Mustafa Abdul Rahman di dalam muqaddimah kitabnya ini menyatakan, beliau amat bersyukur kerana dapat menterjemah dan menyusun sebuah kitab hadith yang termasyhur hasil karangan Imam Nawawi rahmatullahi Ta ‘ala.[5] Beliau juga menegaskan meskipun kitab hadith 40 Imam Nawawi tersebut hanya mengandungi empat puluh dua hadith yang dianggap kecil berbanding kitab-kitab hadith lain yang lebih besar, namun kandungannya sungguh bernilai kerana kebanyakan hadith-hadithnya mengandungi kaedah dan sumber hukum-hukum Islam seperti hadith yang bermaksud “ Sesungguhnya segala amal itu dengan niat”, Imam Syafi‘i berkata : Bahawa hadith ini mengandungi sepertiga agama Islam kerana perbuatan seseorang ada kala dengan hatinya atau dengan lidahnya atau dengan anggotanya, dan niat adalah salah satu dari yang tiga itu.

Ustaz Mustafa juga menjelaskan bahawa nilai dan kedudukan hadith yang terkandung di dalam kitab Imam Nawawi tersebut begitu tinggi dan kuat sehinggakan tidak dapat dinafikan lagi tentang kesahihannya kerana ia banyak mengandungi hadith-hadith yang menjadi punca hukum dan diriwayatkan oleh ‘ulama-‘ulama hadith yang berautoriti seperti Imam Bukhari, Imam Muslim dan Imam Tirmidhi.

Beliau menambah lagi, oleh kerana Imam Tirmidhi menjelaskan martabat sesuatu hadith yang diriwayatkannya seperti Hadith Hasan Sahih yang bermaksud hadith hasan lagi sahih, maka beliau mengambil inisiatif untuk menyusun secara ringkas sebagai panduan awal kepada para pembaca mengenai Ilmu Mustalah Hadith yang menggariskan kaedah dalam menetapkan martabat sesuatu hadith.

Sebagai mengakhiri muqaddimah beliau di dalam kitabnya, Ustaz Mustafa berharap agar Kitab Hadith 40 (Terjemahan dan Syarahnya) menjadi salah satu usaha dalam bidang menghidupkan dan memperkembangkan sunnah Rasulullah yang mulia di kalangan umat Islam di negara ini sebagaimana yang terkandung di dalam kitabnya pada 1 Julai 1964.[6]


2.2 Pembahagian Kitab
Kitab ini dibahagikan kepada 2 bahagian yang besar iaitu :

a) Pendahuluan Ilmu Hadith dan Ringkasan Ilmu Mustalah Hadith[7]

Mengenai pendahuluan ilmu hadith ia meliputi beberapa tajuk kecil yang penting seperti :
1. Sejarah membukukan Hadith
2. Permulaan dibukukan hadith pada Abad Kedua Hijrah
3. Kedudukan Hadith dan Kewajipan Mentaatinya
4. Hadith Sumber Hukum Islam


Sementara itu, di bawah huraian tajuk mengenai ilmu Mustalah Hadith, terdapat beberapa tajuk seperti :

1. Pengertian Hadith
2. Pengertian Sunnah
3. Perbezaan Antara Hadith dan Hadith Qudsi
4. Istilah-istilah yang digunakan dalam ilmu Mustalah Hadith
5. Bahagian-bahagian nama hadith
- meliputi takrif dan kategori hadith seperti Hadith Mutawatir, Hadith Masyhur, Hadith Sahih, Hadith Hasan, Hadith Hasan Sahih dan Hadith Da‘if, Hadith Marfu‘, Hadith Mawquf, Hadith Mursal, Hadith Muttasil, Hadith Mahfuz, Hadith Jayyid, Hadith Mujawwad dan Thabit, Hadith Mawdu‘
6. Istilah yang dipakai untuk martabat hadith-hadith Sahih
7. Hukum meriwayatkan Hadith Da‘if
8. Sebab-sebab timbul Hadith Mawdu‘
9. Hukum meriwayatkan Hadith Mawdu‘

b) Matan Hadith Empat Puluh (Karangan Imam Nawawi) mengandungi Terjemahannya, Syarahannya dan Petunjuknya [8]

Di dalam bahagian kedua ini, Ustaz Mustafa memulakannya dengan muqaddimah oleh Imam Nawawi yang terkandung di dalam kitabnya iaitu Matan al-Arba‘in al-Nawawiyyah. Imam Nawawi menjelaskan sebab yang mendorong beliau menyusun kitabnya berdasarkan sebuah hadith sahih Nabi yang bermaksud “ Allah cemerlangkan(membaguskan) muka seseorang yang mendengar perkataanku kemudian ia peliharakannya, lalu disampaikan kepada orang lain sebagaimana yang telah didengarnya” dan tidak berdasarkan sebuah hadith daif yang bermaksud “ Barangsiapa menghafaz kerana umatku empat puluh hadith dan urusan agamanya, nescaya Allah akan membangkitkan dia pada hari qiamat dalam golongan fuqaha”, meskipun para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa hadith-hadith daif boleh diamalkan dalam urusan fada’il al-a‘mal(amal-amal utama). [9]

Imam Nawawi juga menjelaskan barisan ‘ulama yang pernah mengarang kitab hadith 40 seperti ‘Abdullah Ibn Mubarak, Muhammad Aslam al-Tusi, Hassan Ibn Suffyan al-Nasa’i, Abu Bakr al-Ajri, Abu Bakr Muhammad Ibn Ibrahim al-Asfahani dan al-Daraqutni.

Imam Nawawi juga menyatakan bahawa kebanyakan hadith yang terkandung di dalam kitabnya diambil daripada Sahih Bukhari dan Sahih Muslim. Di samping itu, beliau tidak menyebutkan sanad-sanad hadith supaya mudah menghafaz dan menjelaskan perkataan yang sukar difahami.

Setelah muqaddimah Imam Nawawi, barulah Ustaz Mustafa menulis matan hadith bermula daripada yang pertama hingga yang ke-42. Kitab ini yang diterbitkan di dalam Edisi Rumi mengandungi sebanyak 441 halaman.
2.3 Metodologi Penulisan Ustaz Mustafa Abdul Rahman

Berikut adalah metodologi penulisan beliau di dalam kitabnya berdasarkan penelitian penulis :

1. Beliau menyusun kesemua 42 hadith berdasarkan turutan hadith yang terkandung di dalam kitab Matan al-Arba‘in al-Nawawiyyah karangan Imam Nawawi. Ini dapat dilihat berdasarkan tajuk kitabnya iaitu Hadith 40(Terjemahan dan Syarahnya). Penulis mengandaikan biasanya apabila seseorang itu menterjemah sesebuah karya asal di dalam bahasanya sendiri, dia akan mengikut metod penyusunan karya asal. Berikut adalah 42 tajuk hadith yang diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Mustafa [10] :

1. Perkara Niat dan Yang Berkaitan Dengannya
2. Perkara Kedatangan Malaikat Untuk Mengajarkan Urusan Agama
3. Perkara Yang Berkenaan Dengan Sendi Agama Islam
4. Perkara Asal kejadian Manusia dan Kesudahan Amalnya
5. Perkara Mengada-adakan Dalam Agama
6. Perkara Halal, Haram, Larangan dan Kedudukan Hati
7. Agama Itu Nasihat
8. Perkara Peperangan Terhadap Manusia
9. Perkara Larangan dan Suruhan Rasul
10. Perkara Makan Yang Baik dan Doa
11. Perkara Yang Meragukan
12. Perkara Keelokan Islam Bagi Seseorang
13. Perkara Hubungan Iman Dengan Cinta
14. Perkara Yang menghalalkan Hukum Bunuh
15. Perkara Memelihara Perkataan, Memelihara Jiran dan Tetamu
16. Perkara Marah dan Yang Bertalian Dengannya
17. Perkara Ihsan Pada Tiap-tiap Sesuatu
18. Perkara Taqwa dan Yang Berkaitan Dengannya
19. Perkara Yang Mengenai Pengajaran Rasulullah Kepada Ibn ‘Abbas
20. Perkara Orang Yang Tidak Malu
21. Perkara Mengenai Pertanyaan Tentang Islam
22. Perkara Mengenai Kemasukan Ke Dalam Syurga
23. Perkara Mnegenai Kesucian, Pujian dan al-Qur’an
24. Perkara Yang Berhubungan Dengan Hadith Qudsi
25.Perkara Sadaqah Orang Yang Mempunyai Harta dan Yang Tidak Mempunyai Harta
26. Perkara Sadaqah Atas Diri
27. Perkara Kebaikan dan Dosa
28. Perkara Wasiat Mengnai Sunnah dan Bid‘ah
29. Perkara Yang Mengenai Amal Untuk Memasuki Syurga
30. Perkara Yang Mengenai Hukum Allah
31. Perkara Zahid Dunia dan Pada Manusia
32. Perkara Yang Mengenai Larangan Kemudaratan Atau Kesusahan
33. Perkara Yang Berkenaan Pengaduan
34. Perkara Pengubahan Yang Mungkar
35. Perkara Yang Mengenai Hubungan Di Antara Orang Islam
36. Perkara Yang Mengenai Balasan Berkaitan Dengan Kebaikan Di Antara Orang Islam dan Lainnya.
37. Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi
38. Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi
39. Perkara Mengenai Kemaafan Allah
40. Perkara Yang Mengenai Hubungan Dunia Dengan Orang Mukmin
41. Perkara Keimanan Kepada Suatu Yang Dibawa Rasul
42. Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi


Ustaz Mustafa akan membahaskan isi kandungan sesuatu hadith berdasarkan tajuk-tajuk kecil yang dinyatakan. Ini dapat dilihat apabila kita merujuk hadith yang pertama iaitu Perkara Niat dan Yang Berkaitan Dengannya [11]. Tajuk-tajuk kecilnya adalah seperti berikut :
a) Segala Amal Adalah Dengan Niat
b) Hanya Bagi Tiap-tiap Seorang Apa Yang Ia Niatkan
c) Maksud Niat Orang Yang Berhijrah Bersama Rasul
- Pengertian Hijrah
- Pengertian Dunia
d) Perkara-perkara Amal dan Yang Berkaitan Dengannya
e) Amal Yang Ikhlas
f) Sebab Yang Merosakkan Amal
g) Petunjuknya


3. Tentang hadith Qudsi, beliau hanya menyebutkan tajuk umum iaitu “ Perkara Yang Berkaitan Dengan Hadith Qudsi”. Ini dapat dilihat pada hadith yang ke-24, 37, 38 dan 42. Ustaz Mustafa hanya menerangkan isi kandungan hadith berdasarkan tajuk-tajuk kecil selepas tajuk umum tersebut. Ini dapat dilihat contoh pada hadith yang ke-24 iaitu selepas Ustaz Mustafa meletakkan tajuk “ Perkara Yang Berhubungan Dengan Hadith Qudsi”, barulah beliau menyatakan tajuk-tajuk kecilnya iaitu [12] :

a) Beberapa Perintah Allah Kepada HambaNya
b) Tiada Kurang Kerajaan dan Kekayaan Allah
c) Segala Amal Dihitung Dan Disempurnakan
d) Petunjuknya

4. Beliau menggunakan gaya bahasa yang boleh difahami, tepat dan padat. Berikut adalah contohnya sewaktu beliau menghuraikan hadith yang kedua ; “Perkara Kedatangan Malaikat Untuk Mengajarkan Urusan Agama” berkenaan Rukun Islam.

“ Seluruh alam sekelian makhluq adalah terjadi menurut kehendak dan qudrat Allah. Sebab itu, tidak ada dari kejadian alam dan perjalanan makhluq yang dapat menyimpang dari peraturan yang ditetapkan, semuanya Islam dalam ertikata tunduk pada kekuasaannya. Sebagai contoh, lihatlah kepada matahari dan bulan yang beredar menurut garisan perjalanan yang lebih dahulu telah diaturkan Allah. Dan perhatikanlah tumbuh-tumbuhan, tumbuhnya sebatang pokok hingga menerbitkan buahnya yang manis atau masa adalah menurut ketentuan yang ditetapkan juga. Kerana tanpa menurut garisan dan ketentuanNya itu menyebabkan kerosakan alam dan kebinasaan segala yang berkaitan dengannya. Inilah sebagai contoh bahawa makhluq di dalam alam ini mesti tunduk kepada Allah demi keselamatan dirinya dan kejadian lainnya.” [13]

5. Beliau menghuraikan sesuatu hadith berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an, hadith-hadith, kata-kata sahabat dan pandangan para ulama yang berkaitan.

i) Contohnya dalam menerangkan kepentingan ikhlas yang menjadi jiwa sesuatu amal sebagaimana fiman Allah di dalam Surah al-Bayyinah, ayat 5 yang berbunyi [14] :

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Maksudnya : “Dan tidak diperintahkan mereka melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan agam keranaNya, dengan menjauhi kesesatan, dan (supaya) meeka mendirikan sembahyang dan membeikan zakat, kerana yang demikian itulah agama yang lurus.”




ii) Beliau membawakan hadith Nabi tentang riya sejenis syirik yang paling halus sebagaimana sabdanya [15]:
أخوف ما أ خاف عليكم الشرك الأصغر, فسئل عنه ققال الرياء – رواه أحمد
Maksudnya : “Yang amat kutakuti atas kamu ialah syirik yang paling kecil (halus). Kemudian ditanya mengenainya, lalu baginda berkata : Itulah riya’.”

iii) Beliau membawakan kata-kata Ibn Mas‘ud dalam menjelaskan hadith yang pertama yang berkaitan dengan niat - Ibn Mas‘ud berkata : “ Kami menamakan orang itu dengan muhajir Ummi Qais, iaitu seorang yang berhijrah kerana Ummu Qais dan bukan kerana Allah dan RasulNya”.[16]

iv) Beliau membawakan pandangan Harith al-Muhasabi( ‘ulama tasawwuf yang tekemuka di Baghdad) dalam menjelaskan pengertian ikhlas dan riya’. Kata beliau “ Ikhlas itu ialah engkau maksudkan taat kepada Allah dan engkau tidak memerlukan kepada yang lainnya. Riya’ itu ada 2 macam, pertama: engkau memaksudkan taat kepada manusia dan kedua: engkau memaksudkannya kepada manusia dan kepada Allah. Kedua-duanya memusnahkan ‘amal.” [17]

6. Beliau mengakhiri perbahasan di dalam sesebuah hadith dengan petunjuk hadith. Contohnya di dalam mengakhiri perbahasan hadith yang ke-11 di bawah tajuk “ Perkara Yang Makan Yang Baik dan Doa”, beliau menyebut petunjuk hadith ini adalah seperti berikut [18] :
a) Menujukkan kepada wajibnya orang-orang yang beriman supaya makan dan minum dari makanan dan minuman yang halal-yang halal ialah yang baik;iaitu menurut hukum, faedah dan khasiat yang ada padanya serta memakai pakaian yang halal. Dan wajib pula mereka mendapatkan yang halal itu dengan jalan yang halal atau dengan usaha yang diharuskan.
b) Menunjukkan dengan tegas, bahawa doa orang yang makan minumnya dan pakainnya haram tidaklah diterima Allah. Kerana orang itu sebenarnya orang yang kotor.


7. Ustaz Mustafa sebelum memulakan penjelasan tentang sebuah hadith, beliau akan mendatangkan matannya yang asal di dalam bahasa Arab. Kemudian beliau akan membawakan terjemahannya. Selepas itu, ia akan diikuti dengan dua tajuk kecil iaitu syarahan hadith dan nilaian hadith. Biasanya syarahan hadith akan menyebutkan siapakah sahabat yang meriwayatkan hadith tersebut daripada Nabi dan siapa pula yang meriwayatkan hadith tersebut daripada sahabat. Syarahan hadith juga akan menyebutkan secara ringkas latarbelakang sahabat yang meriwayatkan sesebuah hadith daripada Nabi dan ia tidak akan diulang sekiranya sahabat yang sama meriwayatkan hadith yang lain. Contohnya di dalam syarahan hadith yang ketiga di bawah tajuk “Perkara Yang Berkenaan Dengan Sendi Agama Islam”

Syarahannya : Hadith tersebut diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar iaitu Abu ‘Abd al-Rahman ‘Abdullah Ibn al-Khattab. Beliau seibu dengan Hafsah iaitu Zainab binti Maz‘un, saudara perempuan dari ‘Uthman Ibn Maz‘un. Ibn ‘Umar memeluk Islam di Mekah bersama ayahnya sewaktu beliau masih kecil lagi. Setelah itu beliau berhijrah ke Madinah beserta ayahnya.

Di waktu terjadi peperangan Tabuk, beliau tidak diperkenankan turut berperang kerana umurnya masih muda. Tetapi dalam peperangan Khandaq beliau ikut sama berperang dengan umat Islam. Begitu juga dalam peperangan-peperangan yang lainnya. Banyak ahli hadith meriwayatkan hadith Rasulullah saw daripada beliau, iaitu sebanyak 1630 hadith. Beliau adalah termasuk salah seorang sahabah yang banyak meriwayatkan hadith. Juga beliau adalah seorang sahabah yang sangat kuat mengikuti sunnah Rasulullah saw dan sangat banyak dermanya, kadang-kadang sampai 300 dirham yang disedeqahkan dalam satu masa. [19]

Sementara itu, nilaian hadith pula biasanya mengandungi manfaat dan faedah yang diperolehi daripada sesuatu hadith. Contohnya, di bawah tajuk yang sama seperti di atas, Ustaz Mustafa menyatakan :

Nilaiannya : Imam Nawawi berkata bahawa hadith ini terhitung satu hadith yang sangat besar nilainya, yang menerangkan dasar-dasar agama Islam dan asas-asas hukumnya. Kerana itu, beliau menjadikan hadith ini salah satu daripada hadith 40 yang harus dipelajari oleh umat Islam. Sementara itu, Imam Bukhari sendiri memasukkan hadith ini ke dalam kitab (Iman) untuk menerangkan bahawa Islam dijadikan nama bagi pekerjaan, dan bahawa Islam dan Iman itu kadang-kadang satu pengertian. [20]

8) Beliau akan menyatakan darjat hadith yang dicatatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya berkenaan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Tirmidhi.. Manakala hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim dinyatakan begitu sahaja tanpa penjelasan darjat hadith kerana diketahui umum, bahawa hadith yang diiwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim diambil daripada kitab Sahih mereka yang mengandungi hadith-hadith sahih.


2.4 Kesimpulan

Setelah penulis meneliti kitab ini, dapatlah penulis membuat suatu kesimpulan, bahawasanya kitab Hadith 40 (Terjemhan dan Syarahnya) amat bermanfaat bagi umat Islam khusunya di negara ini dalam menyusuri sunnah Rasulullah saw. Di dalamnya bukan sahaja terkandung pengenalan ringkas tentang ilmu Mustalah Hadith, tetapi apa yang lebih penting adalah huraian dan penjelasan kepada 42 buah hadith di dalam bahasa Melayu yang banyak pengajaran dan faedahnya. Penulis merasakan kitab ini di antara kitab hadith yang terbaik di dalam Bahasa Melayu selain kitab-kitab yang lain.Di samping itu, penulis juga mendapati Ustaz Mustafa Abdul Rahman merujuk kepada beberapa kitab muktabar dalam menyusun kitabnya ini [21]. Di antaranya ialah :

a) Kitab-kitab Mustalah Hadith
1. Miftah al-Sunnah oleh Muhammad ‘Abd al-‘Aziz al-Khauli
2. Syarh al-Dibaj al-Madhahib oleh Syams al-Din Muhammad Hanafi al-Tabarzi
3. Minhaj Zawi al-Nazr oleh Muhammad Mahfuz Ibn ‘Abd Allah al-Tirmidhi
4. Ithna al-Mutalib oleh Muhammad Ibn Sayyid Darwis
5. Tadhkirat al-Mawdu‘at oleh Muhammad Tahir ‘Ali al-Hindi


b) Kitab-kitab hadith dan lain-lain
1. Syarh Matn al-Arba‘in al-Nawawiyyah oleh Imam Nawawi
2. Fath al-Mubin Li Syarh al-Arba‘in oleh Ahmad Hajr Haithami
3. Al-Majalis al-Saniyyah oleh Ahmad Ibn Syeikh Hajazi
4. Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hukm oleh Ahmad Rajab al-Baghdadi
5. Miftah al-Khatabah wa al-Wa‘iz oleh Muhammad Ahmad al-Adwi
6. Al-Syarh al-Jadid li Jawhirah al-Tawhid oleh al-Adwi
7. al-Dar al-Nadid oleh Ahmad Yahya al-Syafi‘i
8. Aqidah al-Muslim oleh Muhammad al-Ghazali
9. Fatawa al-Imam al-Nawawi oleh ‘Alauddin Ibn al-‘Attar
10. al-Halal wa al-Haram fi al-Islam oleh Yusuf Qaradawi
11. Ruh al-Din al-Islami oleh ‘Afif ‘Abdul Fattah Tabbarah





Bibiliografi

1. Latihan Ilmiah, Asmidar Mohd. Dalan, Metodologi Mustafa Abdul Rahman Dalam Pentafsiran Surah al-Nahl, sesi 2002/2003.

2.Mustafa Abdul Rahman, (1989) , Kitab Hadith 40 ( Terjemahan dan Syarahnya), Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur.

3. al-Nawawi, Imam Muhyiddin Abu Zakaiyya Yahya Ibn Sharif, Syarh Matn al-Arbai‘in li al-Nawawiyyah.
[1] Biografi Ustaz Mustafa Abdul Rahman diambil daripada Latihan Ilmiah, Asmidar Mohd. Dalan, Metodologi Mustafa Abdul Rahman Dalam Pentafsiran Surah al-Nahl, sesi 2002/2003.
[2] Haji Abdullah Fahim merupakan datuk kepada Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
[3] Mustafa Abdul Rahman, (1989) , Kitab Hadith 40 ( Terjemahan dan Syarahnya), Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, hlm. 1
[4] Ibid
[5] Ibid, hlm. 3
[6] Ibid, hlm. 4
[7] Ibid, hlm. i
[8] Ibid, hlm. ii
[9] Ibid, hlm. 52-53
[10] Ibid, hlm. ii-xi
[11] Ibid, hlm. 57-70
[12] Ibid, hlm. 278-287
[13] Ibid, hlm. 75-76
[14] Ibid,hlm. 59
[15] Ibid, hlm. 65
[16] Ibid, hlm. 61
[17] Ibid, hlm. 65
[18] Ibid, hlm. 187-188
[19] Ibid, hlm. 119-120
[20] Ibid, hlm. 120
[21] Ibid, hlm. 442

24 Mei 2007, 7 Jamadil Awal 1428,
11.15 pagi, Malaysia Timur

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude