Berkata si laut " Kenapa kau tak meredah aku wahai sampan tua? Sedangkan di waktu muda dulu, engkaulah di antara orang yang cukup bersemangat meredah segala ombak dan badai". Jawab si sampan tua " Mana mungkin aku dapat meredahmu wahai laut. Aku semakin lemah. Ombakmu semakin ganas. Apa yang kuharapkan adalah sampan muda yang kuat semangatnya. Hebat fizikalnya dan ruang dalamnya. Kini, bukan ombak yang biasa wahai laut, tetapi rangkuman taufan, tsunami dan ribut yang cukup mengganas dan bila-bila masa dapat menenggelamkan aku si sampan tua"! "Kalau begitu, wahai sampan tua-ternyata kau tak mampu lagi meredahku. Katakan pada si sampan muda, akanku tunggu kehadirannya. Kita lihat siapa yang kuat!"
Pembaca budiman-semalam selepas saya habis mengajar, datang seorang pakcik tua berpesan kepada saya"Anak, pakcik dah tua. Tolonglah berjuang untuk agama Islam. Program Jom Heboh dah banyak hanyutkan orang kita!" Saya menjawab kembali "Insya allah pakcik, doakan saya terus istiqamah membantu agama Allah". Jawab beliau " Insya allah nak, pakcik doakan kau, sebab engkau masih muda dan penuh semangat".
Saya cuba bayangkan pakcik tua itu seumpama sampan tua. Dan si laut adalah suasana sekeliling di zamannya dan zaman sekarang yang begitu berbeza. Sehinggakan pakcik tua tidak mampu lagi memikirkan bagaimana cara untuk menyedarkan generasi muda pada zaman kini. Sampan muda pula saya metaforakan sebagai anak muda yang ada idealisme, tetap dan istiqamah serta mantap emosi dan rohaninya.
Pembaca budiman, saya pasti, yang banyak membaca blog kini adalah anak muda yang ada kesedaran demi mempertahankan agama, bangsa dan negara. Kalau pakcik yang berjumpa saya seolah-olah begitu mengharap kepada kita, kenapa tidak kita sambut cabaran ini? Hari ini keluar lagi, kenyataan para bloggers adalah pengecut kerana tidak menzahirkan diri. Kenapa begitu? Rakyat marhaen semakin cerdik kini. Tahu membezakan apa yang dinamakan fakta dan apa yang disebut sebagai propaganda.
Saya yakin, semua bloggers menulis dengan penuh tanggungjawab. Mana yang salah ditegur, mana yang benar didokong. Bertindak atas rasional dan bukan emosional! Lihatlah blog seperti Roslan SMS, zaharuddin.net, saifulislam.com, drfikrah, muhtarsuhaili-saya yakin semuanya bertanggungjawab dengan apa yang mereka paparkan. Mereka menghidangkan pendapat bersulam fakta dan bukan tuduhan membabi buta!
Saya yakin, blog kini semakin mendapat tempat di kalangan mereka yang dahagakan bimibingan, perkongsian ilmu dan pengalaman serta menambah kenalan dan bertukar pandangan. Kita tidak menganggap diri kita yang terbaik, tetapi kita bersedia berkongsi apa yang kita ada untuk sama-sama menjadi yang terbaik.
Izinkan saya mengulas beberapa isu mutakhir ini. Antaranya :
1)Namewee dan lagu Negaraku-Kenapa tiada tindakan yang konkrit diambil ke atasnya walaupun jelas dia menghina Islam, azan dan lagu kebangsaan? Sedangkan sewaktu penyanyi Hattan menyanyikan lagu negaraku dengan versinya sendiri, diancam hendak dicampak ke dalam laut oleh Ahli Parlimen Sri Gading, Johor?
2)Bas ekspres mengorbankan 21 penumpang-di mana penguatkuasaan oleh pihak berkenaan-PDRM dan JPJ? Kenapa arwah pemandu bas tidak ditangkap sewal dia menerima waran tangkap? Bagaimana dia boleh memperbaharui lesennya?
3)CYC dan RM20 juta-Champion Youth Club diwar-warkan antara kejohanan bola sepak yang berprestij yang menampilkan kelab-kelab handalan muda dunia. Adakah berbaloi wang sebanyak itu dilaburkan dengan sambutan yang dingin oleh rakyat?
4)Sambutan merdeka kali ke-50 dengan pertandingan bunga api, kereta yang berharga RM 171,000 semata-mata nak mengenang nostalgia Tunku Abdul Rahman mengumumkan pengisytiharan kemerdekaan pada 20 Februari 1956 di Padang Merdeka, Melaka-adakah semua ini berbaloi di kala bantahan agar konsert Gwen Stefani dibatalkan disambut dingin oleh DBKL dan Maxis?
5)Konsert Gegar U yang dianjurkan Biro Tatanegara dan Universiti Utara Malaysia di Putrajaya International Convention Centre semalam- apa kaitan untuk membina rasa kasih sayang di kalangan ahli Kelab Penyayang seluruh universiti di Malaysia?
Saya merasakan banyak perkara yang tidak kena mutakhir ini. Kita rela berhabis-habisan untuk sesuatu perkara, tetapi pada waktu yang sama kita tidak bina penghayatan kemerdekaan di kalangan generasi pasca kemerdekaan. Saya bimbang kita sebenarnya, masih memiliki minda penjajah berdasarkan apa yang dizahirkan kini. Mari sama-sama kita berdoa agar negara yang kita cintai ini tidak dijajah lagi buat kali kedua. Kerana saya bimbang, kita semakin leka dengan apa yang kita ada! Jangan biarkan generasi muda kita, menjadi sampan muda yang tiada kekuatan, menghadapi lautan cabaran sekeliling yang akhirnya akan menenggelamkan mereka dalam ombak kemaksiatan!
20 Ogos 2007
2.00 pagi, Malaysia Timur.
3 ulasan:
salam,
kita akan terus menulis, menulis dan menulis..
semakin ramai orang menulis, dan semakin ramai orang membaca..
insyaAllah, akan ada hasilnya..
teruskan menulis saudara!!
salam perkenalan..
Assalamualaikum
Tahniah ya akhi kerana telah mampu menganalogikan peristiwa ini dengan kehidupan manusia (MasyaAllah barakallah). Tidak dapat dinafikan kaum muda (syabab) memainkan peranan yang penting dalam menjadi barisan pertama serta jentera yang ampuh untuk menggerakkan dakwah dan penegakkan syariat di muka bumi Allah ini. Namun tidak boleh tidak dinafikan golongan tua (shuyuhk) juga mempunyai peranan yang tidak kurang pentingnya dalam memberikan tunjuk ajar dan panduan dalam perjuangan agar golongan muda mampu pergi lebih jauh kehadapan tanpa memasuki lubang-lubang kesilapan yang telah ditinggalkan oleh golongan yang terdahulu. Tidak ada erti bersara dalam dakwah dan menjadi khalifah Allah. Sepertimana Rasul dan nabi junjungan yang hanya akan berhenti berkhidmat kepada Penciptanya apabila ajal menjemput pergi. Telah tertegak kah Islam dimuka bumi Allah ini? Telah berjaya kah umat Islam meninggikan Islam seperti yang difirmankan oleh Allah "Islam adalah yang tertinggi dari yang tertinggi"? Telahkah Islam menjadi sumber rujukan dunia pada masa ini? Telah selamatkah umat Islam daripada fitnah dan ancaman kekufuran dan kekafiran? Sekiranya jawapannya tidak maka sampan tua tidak mempunyai sebab untuk terdampar di tepi laut sedangkan sang penciptanya mahu dia untuk terus berkhidmat dan belayar menabur bakti. Biarlah badai melanda, ombak melambung, taufan dan tsunami terjadi. Tetapi tetap sampan sebagai makhluk tertakluk pada Penciptanya (Allah) yang kadaq dan kadar, ajal dan maut telah ditentukan. Mudah-mudahan kita tidak menjadi golongan yang rugi bila berhadapan dengan Allah di yaumul masyhar nanti.
Wallahualam
Secebis pendapat ini tidak wajib betul dan harus salah. Mudah-mudahan bermanfaat.
Khalifah Allah
Rose ayamor
You have to express more your opinion to attract more readers, because just a video or plain text without any personal approach is not that valuable. But it is just form my point of view
Catat Ulasan