Selasa, 7 Ogos 2007

Metodologi Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam Kitab al-Amthal fi al-Qur'an(Perumpamaan di dalam al-Qur'an)

BAB KEEMPAT

METODOLOGI IBN QAYYIM AL-JAWZIYYAH DALAM KITAB AL-AMTHAL FI AL-QUR’AN


4.1 Pendahuluan

Pengkajian metodologi penulisan seseorang tokoh merupakan suatu perkara yang amat penting dalam memahami gaya penulisan yang digunakan, pemikiran tokoh dalam mengulas sesuatu perkara, bahkan yang lebih penting untuk membuat suatu kesimpulan keseluruhan terhadap isi kandungan kitab yang ditulis untuk dijadikan suatu panduan umum tentang metodologi yang digunakan oleh tokoh tersebut.

Justeru itu, bab yang keempat ini merupakan bab yang terpenting di dalam kajian penulis. Di dalam bab ini, penulis akan membentangkan metodologi yang digunakan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah untuk menulis kitab al-Amthal fi al-Qur’an. Ia juga gambaran kefahaman beliau dalam mengulas ayat-ayat al-Qur’an yang berkaitan dengan amthal untuk dijadikan panduan selaras dengan ketokohan beliau sebagai ilmuan terkenal pada zamannya.

Sepanjang pengamatan penulis terhadap kitab ini, penulis mendapati metodologi Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam menulis kitab al-Amthal fi al-Qur’an masih berpandukan kaedah tradisi yang pernah digunapakai oleh ‘ulama’-‘ulama’ sebelumnya iaitu dengan mentafsirkan ayat-ayat amthal di dalam al-Qur’an dengan ayat al-Qur’an yang lain, dengan Hadith Nabawi, serta qawl al-Sahabah dan qawl al-tabi‘in. Ini dapat dibuktikan apabila penulis meneliti perbahasan beliau pada setiap ayat-ayat amthal di dalam kitab ini. Ibn Qayyim al-Jawziyyah akan membahaskan ayat amthal di dalam al-Qur’an dengan menggunakan kaedah- kaedah berikut :

4.1.1 Mentafsirkan ayat amthal di dalam al-Qur’an dengan ayat al-Qur’an yang lain

Sebaik-baik cara pentafsiran ialah hendaklah mentafsirkan al-Qur’an dengan al-Qur’an, sebab perkara yang dijelaskan dengan mujmal (umum) pada suatu tempat maka ia telah diperincikan di tempat lain; atau diringkaskan pada suatu tempat telah pula diterangkan secara keseluruhan di tempat lain.[1] Ibn Kathir juga menegaskan bahawa mentasirkan al-Qur’an dengan al-Qur’an merupakan cara pentafsiran yang lebih baik di mana lafaz atau ayat yang datang secara mujmal (umum) pada suatu tempat akan ditaqyidkan (diperincikan) di tempat lain. Melalui pemerhatian penulis, Ibn Qayyim al-Jawziyyah telah mentafsirkan ayat amthal yang dibahaskan di dalam kitabnya dengan ayat al-Qur’an yang lain. Di antara contohnya adalah seperti berikut :

1. Ketika beliau menyatakan perbahasan tentang ayat 10, surah al-Tahrim dengan menyandarkan huraiannya kepada ayat al-Qur’an yang lain.

Sebagai contoh, penulis mengemukakan ayat tersebut :
ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلاً لِّلَّذِينَ كَفَرُوا اِمْرَأَةَ نُوحٍ وَاِمْرَأَةَ لُوطٍ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئاً وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ(10)
( Surah al-Tahrim ; ayat 10)

Maksudnya : "Allah membuat isteri Nuh dan isteri Lut perumpamaan bagi orang-orang kafir. Keduanya berada di bawah pengawasan dua orang hamba yang soleh di antara hamba-hamba Kami ; lalu kedua isteri itu berkhianat kepada kedua suaminya, maka kedua suaminya itu tiada dapat membantu mereka sedikitpun dari (siksa) Allah ; dan dikatakan (kepada keduanya) ; “Masuklah ke neraka bersama orang-orang yang masuk (neraka)”.


Beliau membahaskan bahawa kekufuran seseorang itu tidak akan menjejaskan mereka yang beriman yang bersama dengannya. Ibn Qayyim al-Jawziyyah menjelaskan lagi, sekalipun Nabi Nuh dan Nabi Lut adalah utusan Allah dan suami kepada isteri mereka, ternyata hubungan pernikahan itu tidak dapat menyelamatkan mereka iaitu isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut dari azab neraka Allah apabila mereka menentang agama Allah. Lalu Ibn Qayyim al-Jawziyyah membawa beberapa ayat yang menyokong hujahnya dengan bersandarkan kepada ayat-ayat berikut : [2]
i)
وَاتَّقُواْ يَوْماً لاَّ تَجْزِي نَفْسٌ عَن نَّفْسٍ شَيْئاً وَلاَ يُقْبَلُ مِنْهَا عَدْلٌ وَلاَ تَنفَعُهَا شَفَاعَةٌ وَلاَ هُمْ يُنصَرُونَ (123)
( Surah Al-Baqarah ; ayat 123)

Maksudnya : “Dan takutlah kamu kepada suatu hari di waktu seseorang tidak dapat menggantikan (dosa dan pahala) seseorang lain, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafa’at; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong(dari azab sengsara).”
ii)
لَن تَنفَعَكُمْ أَرْحَامُكُمْ وَ لاَ أَوْ لاَ دُكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَفْصِلُ بَيْنَكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ(3)
( Surah al-Mumtahanah; ayat 3)

Maksudnya : “Kaum kerabat dan anak-anakmu sekali-kali tiada bermanfaat bagimu pada Hari Qiyamat. Dia akan memisahkan antara kamu. Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Melihat.”

iii)
يَوْمَ لاَ تَمْلِكُ نَفْسٌ لِّنَفْسٍ شَيْئًا وَالْأَمْرُ يَوْمَئِذٍ لِلَّهِ (19)
( Surah al- al-Infitar ; ayat 19)

Maksudnya : “ (Iaitu) hari (ketika) seorang tidak berdaya sedikitpun untuk menolong orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah”.

iv)

وَاخْشَوْا يَوْمًا لاَّ يَجْزِي وَالِدٌ عَن وَلَدِهِ وَ لاَ مَوْلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِ شَيْئً .. (33)

( Surah al- al-Luqman; ayat 33)

Maksudnya : “ Dan takutlah kamu suatu hari yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak tidak juga dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun”.

Tegas Ibn Qayyim al-Jawziyyah, kesemua ayat ini membuktikan kebatilan golongan yang mensyirikkan Allah, kerana mereka menyangka mendapat perlindungan dan syafaat daripada orang yang bersama dengan mereka atas ikatan darah daging atau pernikahan, sedangkan dosa syirik yang mereka lakukan tidak akan diampunkan oleh Allah. [3]

2. Ketika beliau membahaskan tentang ayat 41 Surah al-‘Ankabut, beliau menegaskan bahawa golongan musyrikin yang mengambil pelindung selain daripada Allah, akan mengalami penyesalan kerana apa yang diambil itu tidak sedikit pun memberikan manfaat bahkan adalah lemah. Lalu Ibn Qayyim al-Jawziyyah menampilkan ayat Allah yang lain untuk mengukuhkan penjelasannya iaitu ayat 86, surah Maryam, ayat 75, surah Yasin dan ayat 101 surah Hud yang secara kesimpulannya menegaskan, apa yang disembah oleh golongan musyrikin tidak sekali-kali memberi untung ataupun kerugian kepada mereka, di samping tidak mampu menjadi penolong kepada mereka. Tambah beliau lagi, inilah sebaik-baik perumpamaan sebagai dalil batilnya syirik yang dilakukan oleh mereka dan bukti bahawa mereka akan berada dalam kerugian kelak. [4]


3. Ketika beliau membahaskan perumpamaan amalan golongan kafir seperti fatamorgana yang disangka mampu menolong mereka pada Hari Kebangkitan pada ayat 39 dan 40, surah al-Nur, beliau membawa sepotong ayat al-Qur’an iaitu ayat 23, surah al-Furqan yang menyatakan sesungguhnya amalan mereka adalah seumpama debu-debu yang berterbangan apabila dihadapkan kepada Allah. Jelas Ibn Qayyim al-Jawziyyah, bahawasanya golongan kafir menyangka mereka di atas landasan petunjuk dan ilmu, sedangkan apabila hakikat sebenar disingkap, segala kepercayaan mereka dan amalan mereka hanyalah seumpama fatamorgana; suatu keadaan yang mana pada pandangan mata suatu tempat itu terdapat air sedangkan sebenarnya tidak. Hujah beliau lagi, inilah bandingan amalan golongan kafir yang dilakukan bukan kerana Allah dan mereka menyangka segala amalan tersebut boleh memberi manfaat kepada mereka, padahal ia tidak lebih seperti fatamorgana dan debu-debu yang berterbangan. [5]

4. Ketika beliau membicarakan tentang perumpamaan tentang kebatilan golongan yang mengambil Tuhan selain Allah dalam ayat 75, surah al-Nahl umpama hamba abdi yang dimiliki oleh seseorang; tidak berkuasa melakukan sesuatu dengan bebas, Ibn Qayyim al-Jawziyyah menjadikan ayat 73 dalam surah yang sama sebagai penguat hujahnya yang menyatakan Tuhan mereka itu tidak mampu dan tidak berkuasa untuk mengurniakan sebarang rezeki dari langit dan bumi dan Tuhan mereka itu sendiri tidak berdaya mendapat kuasa untuk memberikan rezeki itu. [6]

5. Sewaktu beliau membahaskan akhir ayat 76 surah al-Nahl yang membandingkan Allah seperti orang (yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan dan dia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus (jalan yang benar), maka Ibn Qayyim al-Jawziyyah menguatkan huraian beliau bahawa Allah sesungguhnya memang berada di atas jalan yang lurus dengan membawa ayat 56, surah Hud yang merupakan doa Nabi Hud dalam berdepan dengan penentangan dari kaumnya yang ingkar terhadap seruan supaya beriman kepada Allah. [7]

6. Sewaktu beliau mengulas ayat 35, surah al-Nur yang menceritakan tentang perbandingan nur Allah adalah sebagai sebuah "misykat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca, geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; maka Ibn Qayyim al-Jawziyyah telah menghuraikan peranan nur Allah ini seumpama petunjuk atau wahyu Allah yang menghidupkan hati seseorang. Lalu beliau membawa datang ayat 2, surah al-Nahl, ayat 15, surah al-Ghafir dan ayat 52, surah al-Syura untuk menyokong hujahnya. Beliau menegaskan, barangsiapa yang tidak mendapat nur atau petunjuk dari Allah, maka sesungguhnya dia berada dalam kegelapan kejahilan. [8]

7. Sewaktu beliau membahaskan ayat 175, surah al-A'raf yang menceritakan tentang kesesatan Bal‘am bin Ba‘ura’; seorang ‘ulama’ Yahudi yang telah diberikan kelebihan oleh Allah tentang ayat-ayat Allah yang kemudiannya menyeleweng akibat godaan syaitan, maka Ibn Qayyim al-Jawziyyah telah menyatakan perbandingan Allah bahawa Bal‘am bin Ba‘ura’ seperti seekor anjing kerana lebih mengutamakan dunia dan hawa nafsunya dalam ayat 176, surah al-A‘raf adalah amat tepat. Kemudian, beliau menyatakan ayat 57, surah al-Kahfi sebagai dalil bahawa tidak berguna lagi sebarang petunjuk kepada Bal‘am bin Ba‘ura’ yang telah menyeleweng daripada ayat Allah serta dia telah disesatkan oleh syaitan. Tegas beliau lagi, Bal‘am bin Ba‘ura’ adalah ulama yang jahat kerana mengetahui kebenaran tetapi sebaliknya tidak beramal untuk menegakkan kebenaran tersebut. [9]

8. Ketika beliau membahaskan ayat 24, surah Ibrahim tentang perbandingan kalimah yang baik seumpama sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ibn Qayyim al-Jawziyyah menjelaskan bahawa terdapat perkaitan di antara kalimah yang baik yang datang dari hati yang bersih dan ikhlas mengakui keEsaan Allah dengan amal saleh yang dibuktikan dengan seluruh anggota badan sebagai bukti ketaatan kepada Allah. Beliau menegaskan bahawa setiap kalimah yang baik dan amal saleh itu akan diangkat ke langit kepada Allah dan untuk membuktikan hujahnya, maka beliau membawa datang ayat 10, surah Fatir yang menjelaskan bahawa segala kalimah yang baik yang menegaskan keimanan dan tauhid dan amal yang saleh akan naik ke langit disaksikan oleh Allah. [10]

9. Ketika beliau mengulas ayat 27, surah Ibrahim yang menyatakan Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat, maka beliau menampilkan ayat 74, surah al-Isra’, ayat 12, surah al-Anfal dan ayat 120, surah Hud yang kesimpulannya menegaskan bahawa Allah yang menetapkan pendirian Nabi Muhammad s.a.w., para Rasul dan orang-orang beriman untuk terus berpegang dengan kebenaran. [11]

4.1.2 Mentafsirkan ayat amthal di dalam al-Qur’an dengan Hadith Nabawi


Para ‘ulama’ telah mengakui bahawa hadith sebagai sumber kedua untuk mentafsirkan al-Qur’an. Pentafsiran tersebut telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. kerana baginda lebih mengetahui tentang maksud sesuatu ayat. Imam al-Syafi‘i telah berkata “Segala apa yang diberikan hukumnya oleh Rasulullah s.a.w., maka itu adalah apa yang Baginda fahami daripada al-Qur’an”. [12] Beliau menjelaskan lagi , apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. daripada pihaknya adalah Sunnah, ia adalah hikmah yang disebutkan oleh Allah s.w.t., maka tidaklah ada yang diturunkan bersama kitab (sunnah), melainkan ia adalah bahagian daripada kitab Allah. Oleh itu, segala sesuatu yang Rasululullah s.a.w. bawa bersama (Kitab dan Sunnah) adalah merupakan nikmat Allah. [13]

Dalam membuat tafsiran dan ulasan terhadap ayat-ayat amthal di dalam kitab ini, Ibn Qayyim al-Jawziyyah membawa bersama hadith yang berkaitan untuk meneguhkan huraiannya. Dalam kajian penulis, beliau menampilkan hadith-hadith yang dirujuk kepada kitab Sahih Bukhari, Sahih Muslim, kitab Musnad dan kitab Sunan dengan isnad yang bagus. Ini jelas dapat dilihat di dalam contoh-contoh berikut :

1. Ketika beliau mengulas ayat 24 surah Ibrahim :

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللّهُ مَثَلاً كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاء(24) تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللّهُ الأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ(25)
(Surah Ibrahim ; Ayat 24-25)


Maksudnya : “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran)”.


Dalam menghuraikan ayat tersebut, beliau menyatakan bahawa yang kalimah Tauhid itu apabila disaksikan oleh orang beriman; yang mengetahui makna dan hakikatnya serta konsep nafi dan ithbat di dalamnya, maka semestinya seluruh anggota badannya, lidahnya dan hatinya akan mewajibkan dirinya untuk menegakkan kalimah tersebut dalam semua keadaan. Dengan penyaksian ini, maka akar yang teguh itu diumpamakan keyakinan yang mantap di dalam hati kepada Allah, dan pucuknya menjulang ke langit dan serta pokoknya berbuah diumpamakan diri orang beriman yang mengucap kalimah ini akan sentiasa melakukan amal saleh dan perkataan yang baik dari mulutnya akan naik ke langit disaksikan oleh Allah dan malaikat.

Lalu, beliau membawa sepotong hadith berdasarkan pandangan golongan salaf untuk menguatkan hujahnya mengenai bandingan pohon yang baik itu dalam realiti kehidupan manusia adalah pohon tamar dan Nabi s.a.w. pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Umar yang tidak dinyatakan matannya. Namun begitu, penulis meyakini hadith tersebut adalah sebagaimana berikut berdasarkan apa yang dinyatakan oleh penyunting kitab [14] :

قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏إن من الشجر شجرة لا يسقط ورقها وإنها مثل المسلم فحدثوني ما هي؟ فوقع الناس في شجر البوادي, قال ‏ ‏عبد الله ‏ ‏ووقع في نفسي أنها النخلة فاستحييت ثم قالوا حدثنا ما هي يا رسول الله قال فقال هي النخلة قال فذكرت ذلك ‏ ‏لعمر ‏ ‏قال لأن تكون قلت هي النخلة أحب إلي من كذا وكذا


Maksudnya : Hadis riwayat ‘Abdullah bin ‘Umar r.a., dia berkata: Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya di antara jenis pohon terdapat satu pohon yang tidak mudah gugur daunnya yang diumpamakan seperti seorang muslim. Sebutkanlah pohon apakah itu? Lalu orang-orang banyak yang mengira pohon padang pasir dan aku sendiri mengira bahwa itu adalah pohon kurma tetapi aku malu mengatakannya. Kemudian mereka berseru: Wahai Rasulullah, sebutkanlah kepada kami pohon apakah itu? Rasulullah saw. menjawab: Ia adalah pohon kurma. ‘Abdullah bin ‘Umar berkata: Lalu menceritakan hal itu kepada ‘Umar. Dia berkata: Seandainya kamu telah mengatakannya langsung itu pohon kurma adalah lebih aku sukai daripada kamu berkata begini, begini [15]

2. Ketika beliau membahaskan tentang ayat 39 surah al-Nur yang menjelaskan bahawa segala amalan golongan kafir adalah umpama fatamorgana, maka beliau membawa sepotong hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Sa‘id al-Khudri tentang gambaran pada hari Kiamat yang akan menimpa golongan Yahudi dan Nasrani tentang kebatilan aqidah mereka yang disangka mampu menyelamatkan dari azab Allah.[16] Hadith tersebut bermaksud " Kemudian didatangkan Neraka Jahannam dan kelihatan seolah-olah ia ibarat fatamorgana. Maka Allah bertanya kepada golongan Yahudi " Apakah yang kamu sembah?" Maka jawab mereka " Kami menyembah Uzair anak Allah". Maka dikatakan kepada mereka " Kamu berdusta, Allah tidak mempunyai isteri mahupun anak, maka apa yang kamu mahu?" Golongan Yahudi berkata :"Kami mahu Kamu memberikan minuman kepada kami, lalu dikatakan kepada mereka :" Minumlah dan mereka dilemparkan ke dalam neraka Jahannam. Kemudian Allah bertanya kepada golongan Nasrani " Apakah yang kamu sembah?" Maka jawab mereka " Kami menyembah Isa al-Masih anak Allah". Maka dikatakan kepada mereka " Kamu berdusta, Allah tidak mempunyai isteri mahupun anak, maka apa yang kamu mahu?" Golongan Nasrani berkata :"Kami mahu Kamu memberikan minuman kepada kami, lalu dikatakan kepada mereka :" Minumlah dan mereka dilemparkan ke dalam neraka Jahannam".[17]

3. Ketika beliau mengulas tentang ayat 35, surah al-Nur yang menjelaskan tentang nur Allah, Ibn Qayyim al-Jawziyyah menegaskan bahawa golongan kafir tidak akan dikeluarkan dari kegelapan yang menyelubungi mereka kerana Allah merupakan pelindung kepada orang beriman sahaja dan akan mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Dalam menyokong hujjahnya ini, beliau membawa hadith yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. yang bermaksud [18] :" Sesungguhnya Allah menciptakan makhluknya di dalam kegelapan. Dia akan mencampakkan nur-Nya, maka barangsiapa yang bertepatan dengan nur-Nya akan beroleh petunjuk dan barangsiapa yang bersalahan dengan nur-Nya adalah sesat". Maka oleh sebab itu aku berkata " Telah tersurat setiap kalam atas ilmu Allah ". [19] Maka Ibn Qayyim menegaskan bahawa barangsiapa yang dikehendaki Allah untuk mendapat petunjuk-Nya, maka diberikan kepadanya nur Allah yang akan menghidupkan hatinya. [20]

4. Ketika beliau membahaskan tentang ayat 76, surah al-Nahl yang menceritakan perbandingan sifat Allah itu seumpama seorang yang menyuruh orang lain untuk berlaku adil dan di atas jalan yang lurus, maka Ibn Qayyim al-Jawziyyah menjelaskan bahawa Allah sentiasa bersifat Maha Adil dalam mensyariatkan suruhan agama. Allah tidak akan memerintahkan sesuatu melainkan dengan kebenaran dan keadilan, bahkan qada’ dan qadar-Nya tegak di atas dasar keadilan dan kebenaran. [21] Lalu beliau menampilkan suatu doa yang dipetik dari sepotong hadith sahih yang berbunyi [22] :

"اللهم إني عبدك وابن عبدك وابن أمتك ‏‏ ناصيتي ‏‏ بيدك ماض في حكمك ‏ ‏عدل ‏ ‏في قضاؤك"

5. Ketika beliau mengulas ayat 27, surah Ibrahim yang menyatakan Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat, [23] maka Ibn Qayyim membawa datang hadith berikut : [24]
‏عن ‏ ‏البراء بن عازب عن النبي ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏‏ قال يثبت الله الذين أمنوا بالقول الثابت قال نزلت في عذاب القبر فيقال له من ربك فيقول ‏ ‏ربي الله ونبيي ‏ ‏محمد ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏فذلك قوله عز وجل يثبت الله الذين أمنوا بالقول الثابت في الحياة الدنيا وفي الأخرة
Maksudnya : Daripada al-Barra’ bin ‘Azib daripada Nabi s.a.w. bersabda " Allah telah berfirman Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dan ia telah diturunkan sewaktu azab kubur, maka disoal kepadanya " Siapa Tuhanmu? Maka dia menjawab "Allah Tuhanku dan Nabiku ialah Muhammad s.a.w. Maka demikianlah firman-Nya "Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat”.

6. Ketika beliau mengulas ayat 26, surah Ibrahim yang menjelaskan bahawa Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup, maka Ibn Qayyim al-Jawziyyah menekankan itulah bandingan sekiranya pohon Islam yang terletak di dalam hati tidak dibaja dan disiram dengan ilmu yang bermanfaat dan amal saleh, maka matilah ia dan tidak berbuah. Lalu Ibn Qayyim menegaskan perlunya pohon Islam itu dibaja dengan merenung dan berzikir supaya ia menjadi kukuh. [25] Untuk menguatkan hujahnya, beliau membawa sepotong hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud " Sesungguhnya iman di dalam hati akan lusuh sebagaimana lusuhnya pakaian, oleh itu perbaharuilah iman kamu”. [26]

4.1.3 Mentafsirkan ayat amthal di dalam al-Qur’an dengan qawl al-Sahabah dan qawl al-Tabi‘in.

Apabila kita tidak mendapatkan tafsiran al-Qur’an daripada Sunnah, maka hendaklah kita merujuk kembali kepada perkataan sahabat, kerana mereka lebih mengetahui isi kandungan al-Qur’an. Mereka telah menyaksikan turunnya al-Qur’an dan mengetahui keadaan tertentu yang dikhaskan kepada mereka. Di samping itu, mereka memiliki pemahaman yang lengkap dan ilmu yang benar tentang al-Qur’an; terutamanya ‘ulama’-‘ulama’ mereka seperti a‘immah keempat-empat khalifah al-Rasyidin yang mendapat petunjuk, kemudian ‘Abdullah bin Mas‘ud, dan seumpamanya.[27]

Sementara itu, jika tidak dijumpai tafsir sesuatu ayat, sama ada daripada al-Qur’an, Hadith atau daripada para sahabat, maka kita hendaklah kembali kepada perkataan para tabi‘in seperti perkataan Mujahid bin Jabir kerana dia adalah ayat (tanda kebesaran Allah) dalam tafsir. [28]

Dalam rangka menyiapkan penulisannya, Ibn Qayyim al-Jawziyyah bukan mentafsirkan ayat-ayat amthal al-Qur'an berdasarkan fikirannya semata-mata. Sebaliknya beliau juga menyokong sesuatu huraian yang dibuat dengan membawa kata-kata sahabat untuk menguatkan huraiannya terhadap ayat-ayat tersebut.

Di antara contoh yang paling jelas dapat dilihat adalah seperti berikut :
1. Apabila beliau mengulas ayat Allah dalam Surah Ibrahim pada ayat ke-26 :

وَمَثلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِن فَوْقِ الأَرْضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٍ(26)
(Surah Ibrahim ; Ayat 26)
Maksudnya : "Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup” .


Beliau menegaskan bahawa bandingan Allah itu tepat kerana kalimah yang jahat seumpama pohon yang tiada baja, akarnya rapuh, tiada air yang mengalirinya, tiada buah yang terhasil bahkan tidak mampu hidup di bumi. Lalu beliau membawa pandangan Ibn ‘Abbas [29] " Sesungguhnya kalimah yang jahat yang dimaksudkan Allah itu adalah syirik dan pohon yang tidak berguna itu adalah golongan kafir”.

2. Dalam menghuraikan ayat 75, surah al-Nahl yang menjelaskan perbandingan antara Allah dan berhala yang disembah oleh golongan musyrik seumpama seorang hamba abdi yang menjadi milik orang, yang tidak berkuasa melakukan dengan bebasnya sesuatupun dan seorang lagi (yang merdeka) yang dikurniakan kepadanya pemberian yang baik (harta kekayaan), maka dia pun membelanjakan hartanya dengan bebasnya, samada secara bersembunyi atau terbuka, Ibn Qayyim al-Jawziyyah membawa datang pandangan Mujahid. [30] Mujahid berkata " Sesungguhnya berhala itu lemah dan tidak berkuasa di atas sesuatu pun, maka bagaimana golongan kafir sanggup menyengutukan Allah dengan berhala sedangkan ternyata ada kecacatan yang besar pada berhala dan perbezaan yang ketara antara Allah dan berhala”. [31]

3. Ketika mengulas perbandingan Allah bahawa Bal‘am bin Ba‘ura’ seperti seekor anjing kerana lebih mengutamakan dunia dan hawa nafsunya dalam ayat 176, surah al-A‘raf , beliau membawa beberapa pandangan sahabat dan tabi‘in tentang perumpamaan tersebut. [32] Ibn Juraih menyatakan " Anjing terputus dari segala manfaat dan tiada manfaat baginya. Jika dihalau, ia akan menjulurkan lidahnya begitu juga jika ia dibiarkan;ia tetap menjulurkan lidahnya dan inilah perumpamaan bagi mereka yang meninggalkan petunjuk, tiada faedah untuknya dan sesungguhnya segala faedah terputus darinya". [33] Sementara itu, kata Mujahid " Ia merupakan perumpamaan bagi mereka yang dikurniakan kitab tetapi tidak beramal dengannya". [34] Ibn ‘Abbas pula menjelaskan, "Sekiranya diberikan kepadanya kalimah, dia tidak akan membawanya, dan jika dibiarkan sekalipun, dia tidak akan memperoleh petunjuk ke arah kebaikan seperti anjing". [35]

4. Sewaktu Ibn Qayyim al-Jawziyyah membahaskan ayat 24, surah Ibrahim tentang kalimah yang baik sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit,[36] maka beliau membawa pandangan Ibn ‘Abbas r.a. " Kalimah yang baik ialah dua kalimah syahadah, dan pohon yang baik ialah orang yang beriman, akar yang teguh pula adalah kalimah La Ilaha Illallah di dalam hati orang yang beriman dan pucuk yang menjulang ke langit adalah amalan orang beriman yang akan diangkat ke langit”. [37]

5. Ketika menghuraikan ayat 117, surah Ali ‘Imran, yang menceritakan tentang segala apa yang dibelanjakan oleh golongan kafir di atas dunia seumpama angin yang membawa udara yang amat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, [38] maka beliau menampilkan pandangan Ibn ‘Abbas tentang maksud udara yang amat sejuk itu ialah api; maka dengan itu, ia membakar seluruh tanaman. [39]

4.2 Pembahagian Ayat-ayat Mengikut Perumpamaan Di Dalam al-Qur’an

Berdasarkan penelitian penulis, ayat-ayat yang dipilih oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah mempunyai beberapa kategori yang menarik untuk dibahaskan walaupun beliau sendiri tidak membahagikan ayat-ayat amthal di dalam kitabnya berdasarkan kategori tertentu. Namun demikian, penulis merasakan penting untuk mengemukakan hasil kajian penulis seperti berikut :

4.2.1 Ayat amthal yang menceritakan perbandingan sesuatu perkara dengan haiwan.

Di antara ayat-ayat yang termasuk dalam kategori ini ialah :
1.
وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَـكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ذَّلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُواْ بِآيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُون (176)
(Surah al-A‘raf ; Ayat176)
Maksudnya : Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

Ibn Qayyim al-Jawziyyah mengulas bahawa inilah perbandingan Allah tentang mereka yang telah menyeleweng daripada kitab dan ilmu yang diberikan kepadanya ; Bal‘am bin Ba‘ura’. Dia tidak beramal dengan apa yang ada padanya bahkan mengikut hawa nafsunya dan akhirnya mengundang kemurkaan Allah berbanding redha-Nya, mengutamakan dunia berbanding akhirat bahkan melebihkan makhluk berbanding al-Khaliq. Bandingannya seperti seekor anjing adalah kerana sifat anjing yang merupakan sekeji-keji binatang, apabila dilempar dengan batu nescaya ia akan kembali semula setelah lari sambil menjulurkan lidahnya. [40]

2.
يَا أَيُّهَا النَّاسُ ضُرِبَ مَثَلٌ فَاسْتَمِعُوا لَهُ إِنَّ الَّذِينَ تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ لَن يَخْلُقُوا ذُبَاباً وَلَوِ اجْتَمَعُوا لَهُ وَإِن يَسْلُبْهُمُ الذُّبَابُ شَيْئاً لَّا يَسْتَنقِذُوهُ مِنْهُ ضَعُفَ الطَّالِبُ وَالْمَطْلُوبُ (73)

(Surah al-Hajj ; Ayat 73)
Maksudnya : “Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya) dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya)”.


Ibn Qayyim menegaskan supaya setiap hamba Allah merenungi ayat ini dengan renungan yang sebenar-benarnya. Ini kerana perumpamaan ini melambangkan bagaimana apa yang disembah oleh golongan yang mensyirikkan Allah amat lemah, bahkan tidak mampu memberikan manfaat dan menghilangkan mudarat kepada yang menyembahnya. Tuhan yang mereka sembah juga tidak mampu mencipta walaupun seekor lalat, meskipun berhimpun seluruh golongan musyrikin yang menyembahnya. Inilah perbandingan yang menghina dan memperkecilkan golongan musyrikin dan berhala yang mereka sembah, kerana kalau seekor lalat pun tidak mampu dicipta, apatah lagi makhluk lain yang lebih besar daripadanya. [41]

3.

مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَاراً بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ (5)

(Surah al-Jumu‘ah ; Ayat 5)
Maksudnya : “(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang dipertanggungjawabkan dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayat petunjuk kepada kaum yang zalim”.


Dalam ayat ini, Ibn Qayyim menjelaskan inilah perbandingan bagi mereka yang diberikan kitab (golongan Yahudi) supaya beriman dan beramal dengan isi kandungannya, tetapi akhirnya menyalahi apa yang sepatutnya bahkan hanya membawanya sahaja. Maka mereka ini diibaratkan seperti seekor keldai yang membawa barangan di belakangnya tetapi sama sekali tidak mengetahui apa yang dipikulnya. [42]

4.

مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاء كَمَثَلِ الْعَنكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتاً وَإِنَّ أَوْهَنَ الْبُيُوتِ لَبَيْتُ الْعَنكَبُوتِ لَوْ كَانُوا يَعْلَمُونَ (41)

(Surah al-‘Ankabut ; Ayat 41)
Maksudnya : “Misal bandingan orang-orang yang menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai pelindung-pelindung (yang diharapkan pertolongannya) adalah seperti labah-labah yang membuat sarang (untuk menjadi tempat perlindungannya); padahal sesungguhnya sarang-sarang yang paling reput ialah sarang labah-labah, kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan”.


Penulis ingin mengemukakan perbahasan yang menarik oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah tentang ayat 41, Surah al-‘Ankabut. Beliau menegaskan bagaimana mereka yang mengambil pelindung dan Tuhan selain Allah adalah seumpama labah-labah yang membuat sarangnya yang memang diketahui lemah dan tidak kuat. Tambah beliau, perumpamaan ini Allah bandingkan dengan golongan kafir yang jauh dari kebenaran dan petunjuk Allah. Mereka bukan tidak tahu bahawa sembahan mereka tidak mampu mendatangkan manfaat atau mudharat kepada mereka sebagaimana mereka tahu sarang labah-labah adalah tempat perlindungan paling lemah, namun demikian, Allah sebenarnya telah menafikan ilmu mereka tentang kecenderungan mereka untuk mengambil Tuhan selain Allah sebagaimana labah-labah yang tetap juga membuat sarangnya sebagai tempat perlindungan. [43]

4.2.2 Ayat amthal yang menceritakan perbandingan sesuatu perkara dengan tumbuh-tumbuhan.

Di antara ayat-ayat yang termasuk dalam kategori ini ialah :

1.
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللّهُ مَثَلاً كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاء(24) تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللّهُ الأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ(25) وَمَثلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِن فَوْقِ الأَرْضِ مَا لَهَا مِن قَرَارٍ(26) يُثَبِّتُ اللّهُ الَّذِينَ آمَنُواْ بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللّهُ مَا يَشَاءُ (27)

(Surah Ibrahim ; Ayat 24-27)
Maksudnya : “Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran).Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya”.

Ibn Qayyim menjelaskan kalimah yang baik seumpama pohon yang baik kerana kalimah yang baik itu membuahkan amal saleh dan pohon yang baik akan membuahkan buah yang baik dan bermanfaat. Beliau juga menegaskan bahawa pohon tauhid di dalam hati seumpama pohon yang baik, teguh akarnya kerana terukir teguh di dalam hati mukmin dan menjulang pucuknya kerana amal saleh akan naik ke langit. Kemudian beliau juga menghuraikan bahawa kalimah yang jahat dan buruk seumpama pohon yang tidak berguna, mudah tercabut akarnya dan tiada tapak untuk hidup. Ianya tidak berbuah dan layu. Inilah bandingan kepada golongan kafir yang mensyirikkan Allah dan tidak mendapat petunjuk dan Allah sama sekali tidak menerima amalan golongan yang hina ini. [44]

2.
مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلّ سُنبُلَةٍ مِّئَةُ حَبَّةٍ وَاللّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ(261)

(Surah al-Baqarah ; Ayat 261)
Maksudnya : “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya”.


Di dalam ayat 261 Surah al-Baqarah ini, Ibn Qayyim menjelaskan bahawa Allah telah mengumpamakan infaq golongan yang suka menafkahkan sesuatu di jalan Allah samada dalam bentuk jihad atau apa jua amal kebajikan pasti akan dibalas oleh Allah dengan ganjaran yang berlipat kali ganda seumpama sebiji benih yang terbit darinya tujuh tangkai dan setiap tangkai mengandungi seratus biji. Dan Allah akan menggandakan balasan baik mengikut keimanan, keikhlasan dan kebaikan golongan tersebut. Tegas beliau, golongan ini, tidak mengharapkan kebaikan selain redha Allah semata-mata. [45]


4.2.3 Ayat amthal yang menceritakan perbandingan sesuatu perkara dengan air dan api.
Di antara ayat-ayat yang termasuk dalam kategori ini ialah :
1.
أَنزَلَ مِنَ السَّمَاء مَاء فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا فَاحْتَمَلَ السَّيْلُ زَبَداً رَّابِياً وَمِمَّا يُوقِدُونَ عَلَيْهِ فِي النَّارِ ابْتِغَاء حِلْيَةٍ أَوْ مَتَاعٍ زَبَدٌ مِّثْلُهُ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللّهُ الْحَقَّ وَالْبَاطِلَ فَأَمَّا الزَّبَدُ فَيَذْهَبُ جُفَاء وَأَمَّا مَا يَنفَعُ النَّاسَ فَيَمْكُثُ فِي الأَرْضِ كَذَلِكَ يَضْرِبُ اللّهُ الأَمْثَالَ (17)
(Surah al-Ra‘d; Ayat 17)
Maksudnya : “Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu membanjiri tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, kemudian banjir itu membawa buih yang terapung-apung dan dari benda-benda yang dibakar di dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau perkakas yang diperlukan, juga timbul buih seperti itu. Demikianlah Allah memberi misal perbandingan tentang perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang, manakala benda-benda yang berfaedah kepada manusia maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan”.


Ibn Qayyim menjelaskan bahawa wahyu yang diturunkan Allah dari langit untuk kehidupan hati seumpama air hujan yang diturunkan oleh Allah untuk kehidupan bumi dengan tumbuh-tumbuhan. Dan hati diumpamakan dengan lembah. Arus air yang mengalir di lembah membawa buih dan sampah. Begitu juga hidayah dan ilmu apabila mengalir di hati akan berpengaruh terhadap nafsu syahwat dan menghilangkannya. Sementara itu, tentang perumpamaan api, jelas beliau semua jenis logam sama ada emas, perak atau tembaga, ketika dituangkan di dalam api, maka api akan menghilangkan kotoran dan karat yang melekat padanya dan memisahkan segala karat dan buih tersebut. Begitulah bandingannya dengan syahwat yang akan dilemparkan dan dibuang oleh hati orang mukmin sebagaimana api yang menyisihkan karat logam. [46]

2.

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَاراً فَلَمَّا أَضَاءتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لاَّ يُبْصِرُونَ (17) صُمٌّ بُكْمٌ عُمْيٌ فَهُمْ لاَ يَرْجِعُونَ (18) أَوْ كَصَيِّبٍ مِّنَ السَّمَاءِ فِيهِ ظُلُمَاتٌ وَرَعْدٌ وَبَرْقٌ يَجْعَلُونَ أَصْابِعَهُمْ فِي آذَانِهِم مِّنَ الصَّوَاعِقِ حَذَرَ الْمَوْتِ واللّهُ مُحِيطٌ بِالْكافِرِينَ (19)

(Surah al-Baqarah ; Ayat 17-19)
Maksudnya : “Perbandingan hal mereka (golongan yang munafik itu) samalah seperti orang yang menyalakan api; apabila api itu menerangi sekelilingnya, (tiba-tiba) Allah hilangkan cahaya (yang menerangi) mereka dan dibiarkannya mereka dalam gelap-gelita, tidak dapat melihat (sesuatu pun). Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu”.

Di dalam ayat-ayat ini, Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyatakan, Allah membuat dua perumpamaan (mathal) bagi orang munafiq; mathal yang berkenaan dengan api (nari) dalam firmanNya, “…adalah seperti orang yang menyalakan api…”, kerana di dalam api terdapat unsur cahaya; dan mathal yang berkenaan dengan air (ma’i), “…atau seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit…”, kerana air terdapat sumber terpenting dalam kehidupan. Dan wahyu yang turun dari langit bermaksud untuk menerangi hati dan menghidupkannya. Allah menyebutkan juga kedudukan orang munafiq dalam dua keadaan. Di satu sisi, mereka bagaikan orang yang menyalakan api untuk penerangan dan kemanfaatan; mengingat mereka memperoleh kemanfaatan materi dengan sebab masuk Islam. Namun di sisi lain, Islam tidak memberikan pengaruh ‘nur’-Nya terhadap hati mereka kerana Allah menghilangkan cahaya (nur) yang ada dalam api itu, “….Allah menghilangkan cahaya (yang menyinari) mereka…”, dan membiarkan unsur ‘membakar’ yang ada padanya. Inilah perumpamaan mereka yang berkenaan dengan api.

Mengenai mathal mereka yang berkenaan dengan air (ma’i), beliau juga mengungkapkan Allah menyerupakan mereka dengan keadaan orang yang ditimpa hujan lebat yang disertai gelap gelita, guruh dan kilat sehingga terkoyaklah kekuatan orang itu dan ia meletakkan jari-jemari untuk menyumbat telinga serta memejamkan mata kerana takut petir menimpanya. Ini mengingat bahawa al-Qur’an dengan segala peringatan, perintah, larangan dan khitabnya bagi mereka tidak ubah seperti petir yang turun sambar-menyambar. [47]


4.2.4 Ayat amthal yang menceritakan perbandingan sesuatu perkara dengan abu (ramad) dan fatamorgana (sarab)
Di antara ayat-ayat yang termasuk dalam kategori ini ialah :

1.

مَّثَلُ الَّذِينَ كَفَرُواْ بِرَبِّهِمْ أَعْمَالُهُمْ كَرَمَادٍ اشْتَدَّتْ بِهِ الرِّيحُ فِي يَوْمٍ عَاصِفٍ لاَّ يَقْدِرُونَ مِمَّا كَسَبُواْ عَلَى شَيْءٍ ذَلِكَ هُوَ الضَّلاَلُ الْبَعِيدُ (18)
(Surah Ibrahim ; Ayat 18)
Maksudnya : “Bandingan (segala kebaikan amal dan usaha) orang-orang yang kufur ingkar terhadap Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari ribut yang kencang; mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan itu ialah kesan kesesatan yang jauh dari dasar kebenaran”.


2.

وَالَّذِينَ كَفَرُوا أَعْمَالُهُمْ كَسَرَابٍ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ الظَّمْآنُ مَاء حَتَّى إِذَا جَاءهُ لَمْ يَجِدْهُ شَيْئاً وَوَجَدَ اللَّهَ عِندَهُ فَوَفَّاهُ حِسَابَهُ وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ(39) أَوْ كَظُلُمَاتٍ فِي بَحْرٍ لُّجِّيٍّ يَغْشَاهُ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِ مَوْجٌ مِّن فَوْقِهِ سَحَابٌ ظُلُمَاتٌ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَا أَخْرَجَ يَدَهُ لَمْ يَكَدْ يَرَاهَا وَمَن لَّمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُوراً فَمَا لَهُ مِن نُّورٍ (40)

(Surah al-Nur; Ayat 39 - 40)
Maksudnya : “ Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah fatamorgana, umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkanya air oleh orang yang dahaga, (lalu dia menuju ke arahnya) sehingga apabila dia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu; (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkanya) dan dia tetap mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalasnya); dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis, apabila orang itu mengeluarkan tangannya, dia tidak dapat melihatnya sama sekali dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayat petunjuk) maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar)”.


Dalam kedua-dua ayat di atas, kita dapat melihat bagaimana Allah membandingkan segala amal-amal orang kafir seumpama abu yang akan diterbangkan oleh angin pada hari yang kencang ributnya dan seumpama fatamorgana (suatu keadaan yang disangka dari jauh adalah air tetapi tidak). Ibn Qayyim al-Jawziyyah mengulas, inilah seburuk-buruk perumpamaan kepada golongan kafir yang menyangka diri mereka benar dengan segala perbuatan baik yang mereka lakukan serta kepercayaan mereka dengan mengambil Tuhan selain Allah, tetapi semuanya itu adalah sia-sia belaka kerana tiada nilai sedikit pun di sisi Allah s.w.t . Segala amalan mereka itu umpama abu yang akan diterbangkan oleh angin kencang kerana ia sama sekali tidak diterima oleh Allah kerana perbuatan mensyirikkan Allah. Tegas Ibn Qayyim, Allah hanya akan menerima amalan yang dilakukan dengan ikhlas dan bertepatan dengan apa yang disyariatkan-Nya.[48]

Tentang perbandingan amalan golongan kafir seperti fatamorgana, Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyatakan ia adalah perbandingan yang tepat. Ini kerana perbuatan mereka yang tidak mentaati Allah dan Rasul umpama fatamorgana sedangkan mereka menyangka perbuatan mereka adalah baik. Ini kerana hati mereka kosong daripada iman dan petunjuk sebagaimana fatamorgana yang kosong dari tumbuhan dan air walaupun disangka tedapat air menurut pandangan mata. Beliau juga menegaskan bahawa golongan kafir lebih suka kepada kesesatan berbanding petunjuk, buta daripada kebenaran bahkan mengingkari kebenaran bila mereka mengetahuinya. Justeru itu, jelas Ibn Qayyim al-Jawziyyah, mereka telah dilaknat oleh Allah. [49]

4.3 Pendekatan Ibn Qayyim al-Jawziyyah Dalam Penulisan

Hasil pengamatan dan penelitian penulis terhadap kitab ini, penulis dapat menyimpulkan pendekatan yang diguna pakai oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah sewaktu beliau menghuraikan ayat-ayat amthal di dalam kitabnya. Di antaranya ialah :

1. Menggunakan kaedah perbahasan mengikut tajuk atau pendekatan maudu‘i. Ini dapat dilihat apabila beliau membahaskan ayat 10 dan 11 surah al-Tahrim tentang kisah isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh yang tetap ingkar kepada Allah meskipun suami mereka adalah seorang Nabi, manakala Asiah isteri Fir‘aun yang tetap beriman walaupun suaminya adalah penentang seruan Allah dan Nabi Musa a.s. Dalam menyatakan tentang ikatan persaudaraan yang berasaskan darah daging seperti Nabi Ibrahim dan bapanya, mahupun atas dasar ikatan pernikahan seperti Nabi Nuh, Nabi Lut dan Fir‘aun dengan isteri mereka, Ibn Qayyim menegaskan bahawa kesemua jenis ikatan ini ini tidak dapat membantu mereka yang kufur kepada Allah dengan membawa datang ayat 19, surah al-Infitar, ayat 123 surah al-Baqarah dan ayat 33, surah Luqman yang kesemuanya menjelaskan bahawa ikatan darah daging mahupun ikatan pernikahan di antara seseorang dengan seorang yang lain tidak dapat membantu sewaktu Hari Kiamat untuk menyokong hujahnya. [50]

2. Menggunakan kaedah al-iqtibas (menggunakan kata-kata yang dipetik dari kalam Allah atau Rasul lalu dimasukkan dalam ulasan untuk mengukuhkan sesuatu perkara yang dibahas). Ini jelas dapat dilihat sewaktu beliau menghuraikan ayat 35, surah al-Nur yang menceritakan tentang nur Allah yang akan diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Beliau menegaskan, golongan kafir tidak akan dikeluarkan dari kegelapan yang menyelubungi mereka kerana Allah merupakan pelindung kepada orang beriman sahaja dan akan mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya. Ulasan ini sebenarnya diambil daripada ayat Allah dalam ayat 257, surah al-Baqarah yang bermaksud " Allah adalah pelindung orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman).." [51].

Begitu juga sewaktu beliau menghuraikan ayat 24, surah Ibrahim tentang perbandingan kalimah yang baik seumpama pohon yang baik. Beliau menjelaskan bahawa barangsiapa yang terukir teguh kalimah yang baik di dalam hatinya, maka hatinya akan sentiasa terikat dengannya dan sekiranya ia dicelup dengan celupan Allah, maka sesungguhnya tidak ada celupan yang sebaik celupan-Nya. Ulasan tentang celupan Allah sebenarnya diambil daripada maksud ayat 138, surah al-Baqarah yang berbunyi “ Celupan Allah dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah. Dan kepada-Nya jualah kami beribadah”" . [52]

3. Menggunakan kaedah tarjih (menentukan pandangan mana yang lebih tepat berdasarkan 2 pandangan tentang sesuatu perkara). Ia dapat dibuktikan apabila beliau mengulas ayat ayat 75, surah al-Nahl yang menjelaskan perbandingan antara Allah dan berhala yang disembah oleh golongan musyrik seumpama seorang hamba abdi yang menjadi milik orang, yang tidak berkuasa melakukan dengan bebasnya sesuatupun dan seorang lagi (yang merdeka) yang dikurniakan kepadanya pemberian yang baik (harta kekayaan), maka dia pun membelanjakan hartanya dengan bebasnya, samada secara bersembunyi atau terbuka, Ibn Qayyim al-Jawziyyah membawa datang pandangan Mujahid dan pandangan Ibn ‘Abbas. [53] Mujahid berkata “ Sesungguhnya berhala itu lemah dan tidak berkuasa di atas sesuatu pun, maka bagaimana golongan kafir sanggup menyengutukan Allah dengan berhala sedangkan ternyata ada kecacatan yang besar pada berhala dan perbezaan yang ketara antara Allah dan berhala”. [54] Manakala Ibn ‘Abbas pula berpandangan “ Ini adalah perbandingan Allah tentang golongan mukmin dan golongan kafir. Adapun golongan mukmin berada dalam kebaikan, diberikan kepadanya rezeki yang baik lalu diinfaqkan untuk dirinya ataupun untuk orang lain dengan bebas samada dalam keadaan sembunyi atau terang. Manakala golongan kafir adalah golongan yang lemah dan tidak berkuasa atas sesuatu pun kerana tiada kebaikan untuk mereka”. [55] Lalu Ibn Qayyim bertanya adakah sama dua golongan ini bagi orang yang berfikir? Lalu beliau mentarjihkan bahawa pandangan Mujahid lebih tepat dengan perumpamaan Allah ini, kerana inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam menyatakan kebatilan perbuatan syirik dan lebih dekat bagi mereka yang memahami perumpamaan ini.[56]

3. Menggunakan kaedah muqaran (perbandingan). Ia dapat dilihat dengan jelas sewaktu beliau menghuraikan ayat 44, surah al-Furqan yang menceritakan tentang kebanyakan manusia yang tidak mengambil petunjuk dari peringatan Allah dan Rasul umpama binatang ternak bahkan lebih sesat, Ibn Qayyim al-Jawziyyah menegaskan perumpamaan ini hadir kerana kebanyakan manusia tidak menerima petunjuk yang disampaikan kepada mereka. Jelas beliau lagi, binatang mampu menuju ke satu tempat yang diarah tanpa melencong ke kiri atau ke kanan, bahkan mampu membezakan tumbuhan apa yang bermanfaat dan memberi mudarat kepadanya. Sedangkan manusia, kebanyakannya tidak menerima seruan para Rasul bahkan tidak mahu mengikut petunjuk tersebut. Binatang ternak tidak diberikan akal untuk berfikir atau lidah untuk berkata-kata, tetapi manusia yang diberikan akal, mata, hati dan lidah tetapi tidak pula memanfaatkan kesemua kurniaan Allah tersebut. Maka nyatalah manusia lebih sesat daripada binatang ternak yang serba kekurangan itu. Ternyata perbandingan yang diterapkan oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam huraiannya mampu menyentak pembaca yang meneliti ayat Allah ini. [57]

4.4 Pemikiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah Dalam Kitab al-Amthal fi al-Qur'an

Setelah penulis meneliti dan mengkaji perbahasan tentang keseluruhan 23 ayat amthal di dalam kitab ini, maka penulis dapat merumuskan beberapa idea dan pemikiran beliau dalam mengulas ayat-ayat amthal di dalam kitabnya sebagaimana berikut :

1. Ibn Qayyim al-Jawziyyah ingin menyatakan kepada pembaca kitabnya ini bahawa segala perumpamaan dan rahsia yang terkandung di dalam al-Qur’an tidak akan difahami, direnungi dan difikirkan dengan sebaik-baiknya melainkan oleh orang-orang yang berilmu. Ini dapat dibuktikan apabila beliau memulakan perbahasan tentang ayat-ayat amthal di dalam kitabnya di bahagian muqaddimah [58] dengan ungkapan ini dan mengakhirinya dengan ungkapan yang sama di bahagian akhir kitab. [59]

2. Apabila penulis meneliti kesemua 23 ayat yang dipilih oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam kitabnya, maka penulis mendapati sebahagian besar ayat-ayat amthal adalah yang berkaitan tentang golongan kafir, musyrikin, Yahudi dan munafik. Ini dapat dilihat dengan jelas apabila beliau membahaskan ayat-ayat berikut :

1) Ayat 17-19 , Surah al-Baqarah (perihal bandingan sifat golongan munafiq)[60]
2) Ayat 24 , Surah Hud (perihal bandingan golongan kafir dan beriman) [61]
3) Ayat 41, Surah al-‘Ankabut (perihal bandingan golongan yang mengambil pelindung selain Allah) [62]
4) Ayat 39-40 , Surah al-Nur (perihal bandingan amalan golongan kafir) [63]
5) Ayat 44 , Surah al-Furqan (perihal bandingan golongan yang menolak petunjuk Allah) [64]
6) Ayat 30 , Surah al-Rum (perihal bandingan golongan musyrik yang mempersekutukan Allah dalam sembahan mereka) [65]
7) Ayat 75-76 , Surah al-Nahl (perihal bandingan golongan hamba abdi dan orang merdeka serta bandingan tentang Allah dan berhala sembahan musyrik) [66]
8) Ayat 49-51 , Surah al-Muddaththir (perihal bandingan golongan yang berpaling dari al-Qur'an) [67]
9) Ayat 5 , Surah al-Jumu‘ah (perihal bandingan golongan Yahudi yang mendustakan ayat-ayat Allah) [68]
10) Ayat 175-176 , Surah al-A‘raf (perihal bandingan orang yang mengutamakan dunia dan nafsunya) [69]
11) Ayat 18 , Surah Ibrahim (perihal bandingan amalan golongan kuffar) [70]
12) Ayat 24-27 , Surah Ibrahim (perihal bandingan kalimah yang baik dan kalimah yang buruk) [71]
13) Ayat 30-31 , Surah al-Hajj (perihal bandingan golongan yang mensyirikkan Allah) [72]
14) Ayat 73 , Surah al-Hajj (perihal bandingan kejahilan golongan yang menyembah berhala dan kelemahan berhala yang disembah) [73]
15) Ayat 171 , Surah al-Baqarah (perihal bandingan seruan kepada golongan kafir) [74]
16) Ayat 117-118, Surah Ali ‘Imran (perihal bandingan apa yang dibelanjakan golongan kafir di dunia) [75]
17) Ayat 29, Surah al-Zumar (perihal bandingan golongan kafir yang menyembah banyak Tuhan dan golongan beriman yang hanya menyembah Allah) [76]
18) Ayat 10 -11, Surah al-Tahrim (perihal bandingan golongan yang tetap kafir meskipun bersama dengan golongan beriman dan golongan beriman yang tidak terjejas keimanannya meskipun bersama dengan golongan kafir) [77]

Penulis berpandangan inilah mesej utama yang hendak disampaikan kepada pembaca kitabnya supaya berwaspada daripada menjadi golongan yang dihina dan dicela oleh Allah ini. Penulis merasakan situasi semasa di zamannya yang dipenuhi dengan ahli bid‘ah, golongan munafik dan golongan kafir meyakinkan penulis, bahawa inilah antara sebab utama mengapa beliau membahaskan sejumlah besar ayat-ayat amthal yang berkaitan dengan golongan ini.

3. Ibn Qayyim al-Jawziyyah pada waktu yang sama tidak lupa untuk menerapkan pemikirannya dalam menggalakkan golongan beriman supaya menjadi golongan yang sentiasa mendapat keredhaan Allah serta memperoleh keberkatan-Nya. Ini kerana untuk mendapatkan ganjaran yang besar di sisi Allah perlu melakukan pengorbanan yang besar dengan mentaati segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Beliau juga menekankan betapa pentingya golongan beriman supaya mentauhidkan Allah dalam apa jua keadaan, mengutamakan akhirat berbanding dunia, serta berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi golongan yang dikasihi oleh Allah. Ia dapat dilihat apabila beliau mengulas dengan panjang lebar dengan kupasan yang menarik dan menyentuh hati setiap pembaca kitabnya pada ayat-ayat berikut :

1) Ayat 17 , Surah al-Ra‘d (perihal bandingan peranan wahyu yang menghidupkan hati) [78]
2) Ayat 24, Surah Yunus (perihal bandingan kehidupan dunia yang fana) [79]
3) Ayat 24 , Surah Hud (perihal bandingan golongan kafir dan beriman) [80]
4) Ayat 35 , Surah al-Nur (perihal bandingan nur Allah) [81]
5) Ayat 24-27 , Surah Ibrahim (perihal bandingan kalimah yang baik dan kalimah yang buruk) [82]
6) Ayat 261 , Surah al-Baqarah (perihal bandingan golongan yang menafkahkan harta mereka di jalan Allah) [83]

4.5 Kesimpulan

Sepanjang pengkajian penulis terhadap kitab ini, penulis mengesan beberapa kekurangan yang terdapat dalam kitab ini. Di antaranya ialah Ibn Qayyim al-Jawzyyah tidak menyatakan ayat berapa dan surah mana dalam membahaskan ayat-ayat amthal yang disebut oleh Allah di dalam al-Qur’an.Terdapat juga kesilapan dalam menukilkan doa Nabi Hud dengan mengatakan ianya adalah doa Nabi Syu‘aib sewaktu beliau membahaskan akhir ayat 76 surah al-Nahl yang membandingkan Allah seperti orang (yang boleh berkata-kata serta dapat) menyuruh orang ramai melakukan keadilan dan dia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus (jalan yang benar), dengan membawa datang ayat 56, surah Hud untuk menguatkan huraian beliau, bahawa Allah sesungguhnya memang berada di atas jalan yang lurus yang merupakan doa Nabi Hud dalam berdepan dengan penentangan dari kaumnya yang ingkar terhadap seruan supaya beriman kepada Allah. [84]

Selain itu, penulis juga bertemu dengan kesukaran untuk menterjemahkan makna sesetengah perkataan yang digunakan oleh beliau. Penulis mengakui kekurangan yang ada, namun demikian dengan bantuan pentahqiq kitab ini ; Sa‘id Muhammad Namr al-Khatib, sedikit sebanyak telah membantu penulis untuk memahami maksud yang hendak disampaikan oleh beliau. Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya, kekurangan tersebut hanyalah merupakan suatu yang kecil berbanding isi kandungan keseluruhan kitab yang ternyata amat bermanfaat bagi pembacanya.

Oleh yang demikian, penulis amat berharap agar kajian penulis dalam bab ini dapat memberikan manfaat kepada kita dalam memahami metodologi Ibn Qayyim al-Jawziyyah di dalam kitab al-Amthal fi al-Qur’an, pendekatan yang digunakan oleh beliau sewaktu mengarang kitab ini serta buah pemikiran dan mesej yang ingin beliau sampaikan melalui kitab ini yang sangat baik untuk kita jadikan panduan dan pengajaran.


BAB KELIMA

PENUTUP


Bab ini merupakan konklusi dan penutup bagi keseluruhan kajian penulis. Penulis akan mengemukakan rumusan dan beberapa kesimpulan berdasarkan kepada kajian dan analisa dalam keseluruhan bab kajian ini. Seterusnya, penulis akan membuat beberapa saranan untuk diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan.

1.1 Kesimpulan

Natijah daripada penghuraian, perbahasan dan perbincangan dalam bab-bab yang sebelum ini, dapatlah penulis membuat beberapa kesimpulan. Di antaranya ialah sebagaimana berikut :

1. Amthal yang dinyatakan oleh Allah di dalam al-Qur’an ternyata lebih berpengaruh kepada jiwa, lebih efektif dalam menyampaikan nasihat, lebih kukuh dalam memberikan peringatan serta lebih dapat memuaskan hati bagi mereka yang menghayatinya.[85] Ini kerana berdasarkan pengalaman penulis, sebelum mengkaji kitab ini yang berkaitan dengan al-amthal di dalam al-Qur’an, penulis tidak begitu terkesan dengan mathal yang diungkapkan oleh Allah. Namun demikian, suatu pengalaman baru dan ketenangan jiwa diperoleh apabila meneliti mathal di dalam al-Qur’an yang telah dikupas dengan begitu menarik oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah.

2. Bagi pengkaji ‘ulum al-Qur’an, penulis mendapati al-amthal merupakan suatu pendekatan yang digunakan oleh Allah untuk memberikan iktibar buat manusia. Justeru, bidang al-amthal perlu diberikan perhatian dalam menyelami isi kandungan al-Qur’an, kerana dengannya kita beroleh panduan dan pengajaran. Ini selaras dengan hadith Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. : [86]

"ان القران نزل على خمسة أوجه : حلال , وحرام , ومحكم , ومتشابه , وأمثال , فاعملوا بالحلال , واجتنبوا الحرام , واتبعوا المحكم , وامنوا بالمتشابه , واعتبروا بالأمثال "

Maksudnya :
"Sesungguhnya al-Qur’an itu diturunkan dengan 5 perkara ; halal, haram, hukum, penyerupaan(tentang 2 perkara yang disamakan) dan perumpamaan. Maka beramallah dengan yang halal, dan jauhilah yang haram, dan ikutilah hukum, dan berimanlah dengan penyerupaan(tentang 2 perkara yang disamakan)serta ambillah pengajaran dengan perumpamaan."

3. Para pendakwah masa kini perlu menggunakan amthal dalam menyampaikan dakwah mereka sebagai hujah yang kuat dalam menegakkan kebenaran dan mencegah kebatilan sebagaimana yang dikehendaki oleh agama.

4. Para pendidik semestinya menggunakan pendekatan amthal sebagai medium untuk menjelaskan sesuatu dan membangkitkan semangat di kalangan anak didiknya. Amthal juga penting sebagai wasilah untuk memujuk dan melarang, serta memuji dan mencaci dalam membincangkan sesuatu perkara.

5. Penulis mendapati Ibn Qayyim al-Jawziyyah telah dianugerahkan oleh Allah dengan pelbagai kelebihan; sesuai dengan ketokohan beliau sebagai ilmuan yang disanjungi pada zamannya. Kitab yang dikaji oleh penulis dalam kajian ini, ternyata memberikan gambaran bahawa beliau termasuk di kalangan orang berilmu yang dapat menyingkap hikmah dan maksud yang hendak disampaikan oleh Allah melalui amthal di dalam al-Qur’an.

6. Ibn Qayyim al-Jawziyyah perlu dicontohi dari segi kesungguhannya yang menguasai pelbagai bidang ilmu serta kemampuannya menghasilkan puluhan kitab. Ia perlu dijadikan contoh kepada generasi muda hari ini dalam usaha untuk mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah dicapai suatu ketika dahulu.

5.2 Saranan

Di dalam ruangan ini, penulis ingin mengemukakan beberapa saranan yang perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak yang berkenaan.

1. Pendedahan mengenai sumbangan besar Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam pelbagai bidang ilmu perlu dibuat supaya masyarakat mengenali dan menghargai jasa beliau melalui seminar, kuliah ilmu dan sebagainya.
2. Penulis ingin mencadangkan kepada Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya khususnya dan fakulti pengajian Islam di IPTA lain, supaya menjadikan kitab al-Amthal fi al-Qur'an ini dijadikan satu silibus khusus dalam mata pelajaran ‘Ulum al-Qur’an. Ini kerana penulis mendapati kitab ini amat bermanfaat untuk dipelajari dan dihayati isi kandungannya di kalangan pelajar jurusan Pengajian Islam.

3. Penulis amat berharap supaya mereka yang berkemampuan dalam bidang penterjemahan kitab-kitab ilmu di dalam Bahasa Arab ke dalam Bahasa Melayu, agar dapat mengusahakan penterjemahan kitab ini. Penulis yakin, umat Islam secara keseluruhannya dapat mengambil iktibar yang besar berdasarkan perbahasan tentang amthal di dalam al-Qur’an yang dibincangkan di dalam kitab ini.

5.3 Penutup

Setelah meneliti keseluruhan kajian ini, tidak dapat dinafikan lagi tentang kepentingan amthal dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah. Apatah lagi, rahsia Allah di sebalik amthal yang terkandung di dalam kitabnya, memberikan kita pengajaran dan panduan kepada kita untuk menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan.

Pada waktu yang sama, mutakhir ini umat Islam berada dalam situasi yang kian kabur dalam usaha untuk menjadi umat yang disegani. Ternyata, melalui pengajaran dari amthal, penulis yakin ia dapat mengukuhkan iman kita terhadap kebenaran kitab Allah dan mukjizat Nabi s.aw. ; al-Qur’an al-Karim yang semestinya menjadi pegangan hidup umat Islam.

Penulis secara jujur dan ikhlas, amat berterima kasih kepada Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah di atas segala contoh yang baik pada dirinya meliputi keperibadiannya, keilmuannya serta kesungguhannya sebagai ulama besar pada zamannya.

Buat akhirnya, penulis amat berharap agar usaha yang sekelumit ini, dapat memberikan sumbangan kepada penghayatan dan praktikal Islam pada akhir zaman ini. Dengan hati yang terbuka, penulis bersedia menerima teguran demi kebaikan umum khasnya dan Islam amnya. Penulis memohon maaf di atas segala kekurangan yang terdapat di dalam kajian ini dan semoga mendapat keampunan dari Allah s.w.t.


Bibiliografi

Rujukan Utama
Al-Qur’an al-Karim.

Terjemahan al-Qur’an
Sheikh ‘Abdullah Basmeh (1982), Tafsir al-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an, c. 2, Kuala Lumpur : Darul Fikir.

Kamus Bahasa Arab
Ibn Manzur, Abu al-Fadl Jamal al-Din Muhammad (1990), Lisan al-‘Arab, j.8, Beirut : Dar al-Sadir.

Ibrahim Madhkur (1985), al-Mu‘jam al-Wasit , j.1, c. 1, Kaherah,: (T.P.)

Mohd. Idris ‘Abdul Rauf al-Marbawi (Dr.) (1990), Kamus Idris al-Marbawi, j.1, Kuala Lumpur : Dar al-Fikr.


Kamus Bahasa Melayu
Teuku Iskandar (Dr.) (2000), Kamus Dewan, c. 5, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rujukan Bahasa Arab
‘Ani , Dr. ‘Abd al-Qahhar Dawud al- (2001), Dirasat fi ‘Ulum al-Qur’an , c. 1, UIA : Markaz al-Ibhath.

Abu Sinnah, ‘Abd al-Fattah (Dr.) (1995), ‘Ulum al-Qur’an , c. 1, Kaherah : Dar al-Syuruq.

Abu Zahrah, Muhammad (1970), al-Mu‘jizat al-Kubra al-Qur’an: Nuzulihi-Katabatihi-Jam‘ihi-I‘jazihi-Jadalihi-‘Ulumihi-Tafsirihi-Hukm al-Ghina’Bihi, Beirut : Dar al-Fikr al- ‘Arabi.
Abu Zayd, Bakr bin ‘Abd Allah (1980), Ibn Qayyim al-Jawziyyah Hayatuhu wa Atharuhu, c.1, al-Riyad al-Hilal.

Amin, Bakri Syeikh (Dr.) (1979) , al-Ta‘bir al-Fanniy fi al-Qur’an, c. 3, Beirut : Dar al-Syuruq, Beirut.

Amir, Fathi Ahmad (Dr.) (1976), al-Ma‘ani al-Thaniyyah fi Uslub al-Qur’ani , c. 1, Kaherah : Mansya’ah al-Ma‘ arif.

‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali bin Muhammad Ibn Hajar al- (t.t.), al-Durar al-Kaminah fi A‘yan al-Mi’ah al-Thaminah, j. 3, Maktab al-Hind.

Baghdadi, Isma‘il Basha al- (1955), Hadyah al- ‘Arifin al-Asma’ al-Mu’allifin, Baghdad : Maktabah al-Mathna.

Baqari, Ahmad Mahir al- (1990), Ibn Qayyim min Atharuhu al-‘Ilmiyyah, c. 4, Kaherah : Maktabah Nahdah al-Syarh.

Baqilani, Abi Bakr Muhammad Ibn al-Tayyib al- (1991), I‘jaz al-Qur’an, Beirut : Dar al-Jil.

Bayanuni : ‘Abd al-Majid al- (1991), Darb al-Amthal fi al-Qur’an : Ahdafuhu wa al-Tarbawiyyah wa Atharuhu, Damsyiq : Dar al-Qalam.

Bayhaqi, Abu Bakr Ahmad bin Husayn al- (1989) Sunan al-Bayhaqi, j.2, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.

Bukhari, Abi ‘Abd Allah bin ‘Isma‘il bin Ibrahim bin al-Mughirah bin Bardhibah al-(1987), Sahih al- Bukhari, Kaherah : Matba‘ah al-Halabi.

Fayyad, Muhammad Jabir al- (Dr.) (1995), al-Amthal fi al-Qur’an al-Karim, Riyad : Dar al-‘Alamiyyah al-Kitab al-Islami.

Ghunaimi, Muhammad Muslim al- (1977), Hayah al-Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Damsyiq : al-Maktabah al-Islamiyyah.

Hassan, ‘Ali Ibrahim (1967), Tarikh al-Mamalik, c. 3, Kaherah : Maktabah al-Nahdah, al-Misriyyah.

Ibn Abd Hadi, Abi ‘Abd Allah Muhammad al-(1938) (tahqiq) Muhammad Hamad al-Faqy, al-‘Uqud al-Durriyyah, Beirut : Dar al-Kitab al- ‘Ilmiyyah.

Ibn Hanbal, Ahmad bin Muhammad Hanbal (1955), Musnad Imam Ahmad bin Hanbal bi hamisyih Muntakhab Kanz al-Ummal, Kaherah : Dar al-Ma‘arif

Ibn ‘Imad, Abi al-Falah ‘Abd al-Hayy (t.t.), Syadharat al-Dhahab fi Akhbar Min Dhahab, j. 6, Beirut, Al-Maktabah al-Tijari.

Ibn Kathir, Abu al-Fida’ al-Hafiz (1994) , al-Bidayah wa al-Nihayah, j.13-14, Beirut : Maktabah al-Ma’arif.

Ibn Kathir, Abu al-Fida’ al-Hafiz, Tafsir al-Qur'an al-Azim, j. 2, Beirut : Dar al-Ma‘rifah.

Ibn Qayyim Jawziyyah, Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i al-1982) (tahqiq) Dr. Nasir bin Sa‘ad al-Rasyid, , al-Amthal fi al-Qur’an al-Karim, Makkah al-Mukarramah : Matabi‘ al-Safa.

Ibn Qayyim Jawziyyah, Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i al- (1983) (tahqiq) Sa‘id Muhammad Namr al-Khatib, al-Amthal fi al-Qur’an al-Karim, c. 2, Dar al-Ma‘rifah, Beirut, Lubnan.
Ibn Qayyim Jawziyyah, Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i al- (1972) (tahqiq) Muhammad Hamad al-Faqy, 3 j, Madarij al-Salikin, Beirut : Dar al-Kutub.

Ibn Qayyim Jawziyyah, Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i al-(1982) (tahqiq) ‘Abd al-Qadir al-Arnawwut, Zad al-Ma‘ad fi Hadyi Khair al-‘Ibad, c.3, Beirut : Mu’assasah al-Risalah.

Ibn Qayyim Jawziyyah, Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i al- (t.t.) (tahqiq) Muhammad Zuhri al-Najar, al-Tibyan fi Aqsam al-Qur’an, Riyad : al-Mu'assasah al-Sa‘idiyyah.

Ibn Qayyim Jawziyyah, Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i al- (2001) (tahqiq) Haitham Khalifah Tua‘imi., Jala’ al-Afham fi al-Salah wa al-Salam ‘ala Khair al-Anam, c. 1, Beirut : Maktabah al-‘Asriyyah.

Ibn Qayyim Jawziyyah, Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i al- (1994) (tahqiq) ‘Ali Muhammad, Miftah Dar al-Sa‘adah, c. 1, Kaherah : Dar al-Hadith.

Ibn Rajab, Zayn al-Din Abu al-Farj ‘Abd Rahman bin Syihab al-Din Ahmad al-Baghdadi (t.t.), al-Dhail al ‘ala Tabaqat al-Hanabilah, j. 2, Beirut : Dar al-Ma‘rifah.

Jundi, ‘Abd Halim al- (1984), al-Qur’an wa al-Manhaj al- ‘Alami al-Mu‘asir, Kaherah : Dar al-Ma‘arif.

Kahhalah, ‘Umar Rida (1957), Mu‘jam Al-Mu’allifin, j. 9, Damsyiq : al-Maktabah al- ‘Arabiyyah.

Lasyin, Musa Syahin (Dr.) (2002), al-Laiy al-Hasan fi ‘Ulum al-Qur’an, c. 1, Kaherah : Dar al-Syuruq.
Maqrizi, Ahmad bin ‘Ali bin ‘Abd al-Qadir bin Muhammad bin Ibrahim bin Muhammad bin Tamin bin ‘Abd al-Samad al- (t.t.), al-Khuttat al-Maqriziyyah, Beirut : Dar al-Sadir.

Maydani, ‘Abd al-Rahman Hassan Hanbakah al- (1989), Qawa‘id al-Tadabbur al-Amthal li Kitabillah ‘Azza Wajalla, c. 2, Damsyiq : Dar al-Qalam.

Maydani, Abu al-Fadl Ahmad bin Muhammad al- (t.t.) (tahqiq), Muhammad Abu al-Fadl Ibrahim, Majmu‘ al-Amthal, j. 1, Kaherah : ‘Isa al-Bab al-Halabi al-Syurakah.

Muqfa’, Abd Allah al- (1961), al-Adab al-Saghir, Kaherah : Matba‘ah Muhammad ‘Ali Sabih.

Muslim, Abu al-Hasan Muslim bin al-Hajjaj (t.t.) (tahqiq;Taha ‘Abd al-Ra’uf Sa‘d), Sahih Muslim, j. 4, Dar al-Bayan al-‘Arabi.

Nadwi, Abu Hassan ‘Ali al-Hasani al- (1985), Rijal al-Fikr wa al-Da‘wah fi al-Islam bi Hayah Syaikh al-Islam al-Hafiz Ahmad Ibn Taymiyyah, j. 2, c. 6, Kuwait : Dar al-Qalam.

Qattan, Manna‘ Khalil al- (2000), Mabahith fi ‘Ulum al-Qur’an, c. 3, Beirut : Mu’assasah al- Risalah.

Qunuji, al-Sayyid Abi al-Tayyib al- (1963), al-Taj al-Mukallaf, al-Matba‘ah al-Hidayah al-‘Arabiyyah.

Suyuti, Jalal al-Din ‘Abd Rahman b. Abi Bakr al- (t.t.), Baghiyyah al-Wu‘ah, Beirut : Dar al-Ma‘arif.

Suyuti, Jalal al-Din ‘Abd Rahman bin Abi Bakr al- (1986), al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an, Beirut : Dar al-Nadwah al-Jadidah.

Syafi‘i, Imam Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Idris al- (1949) (tahqiq; Ahmad Syakir), al-Risalah, c.1, Mustafa al-Halabi bi Misr.

Syarf al-Din, ‘Abd. al-‘Azim al-Salam (Dr.) (1967), Ibn Qayyim al-Jawziyyah Ara’ahu wa Manhajuhu, c. 2, Kaherah : Maktabah al-Kulliyyat al-Azhariyyah.

Syarf al-Din, ‘Abd Hakim (Dr.) (1984), al-Qur’an al-Hakim : I‘jazihi wa Balaghatihi wa ‘Ulumihi, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Arabiyyah.

Syarif, Mahmud (1965) , al-Amthal fi al-Qur’an al-Karim, Kaherah : Dar al-Ma‘arif.

Tabari, Ibn Jarir al- (1968), Jami' al-Bayan ‘an Ta’wil al-Qur’an, j. 13, c. 3, Kaherah : Maktabah Mustafa bi al-Misr.

Tirmidhi dan Hakim, Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al- dan Abu ‘Abdillah Muhammad Bin ‘Ali al-Hakim al- (1989) (tahqiq) Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Ata, al-Amthal min al-Kitab wa al-Sunnah, Beirut : Mu’assasah al-Kitab al-Thaqafiyyah.

Tirmidhi, Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al- (2001), Sunan al-Tirmidhi,, Kaherah : Dar al-Ma‘rifah.

Zamakhsyari, Jar Allah Mahmud bin ‘Umar al- (t.t.), al-Kasyaf ‘an Haqa'iq al-Tanzil wa ‘Uyun al-Aqawil, j. 1, Kaherah : Dar al-‘Alamiyyah.

Zarkasyi, Badr al-Din Muhammad Ibn ‘Abd Allah al- (1972), al-Burhan fi ‘Ulum al-Qur’an, Beirut : Mansyurat al-Maktabah al-‘Arabiyyah.

Zayn, Samih ‘Atif al- (1987), al-Amthal wa al-Mithl wa al-Tamathul wa al-Mathulat fi al-Qur’an al-Karim, Beirut : Dar al-Kitab li al-Bayani.

Zerekli, Khayr al-Din (1969), al-A’lam, j. 7, Beirut : (T.P.)
Latihan Ilmiah dan Disertasi (Bahasa Melayu)

Abdul Ghani Bin Husain (1996/1997), Metodologi Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang Dalam Tafsir al-Qur’an, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Ahmad Nuruddin Mat Yunoh ( 2001/2002), Metodologi Hamka dalam pentafsiran al-Qur’an : Tumpuan kajian kepada Surah al-Ahzab, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Asmaniza Mamat (2002/2003), Metodologi pentafsiran Dato’ Haji Muhammad Nor bin Ibrahim : Tumpuan kitab Ramuan Rapi Dari Erti Surah al-Kahfi, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Noratikah Mohd. Zainuldin (2002/2003), Metodologi Ibn al-Qayyim dalam pentafsiran al-Qur’an : Satu Analisa Terhadap Kitab Tafsir Ibn al-Qayyim, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Siti Zalina Ersad (1997/1998), Konsep Aqsam al-Qur’an menurut pandangan Ibn al-Qayyim : Kajian kitab al-Tibyan fi Aqsam al-Qur’an, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Yusfaezah Yunos (1999/2000), al-Amthal Dalam Uslub Dakwah:Kajian Surah al-Kahfi;Ayat 32-34, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Mohd. Takiyuddin Hj. Ibrahim (1999/2000), Konsep tauhid dan sifat-sifat Allah menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah, Disertasi Sarjana, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Zamzam Atirah bt. Md. Zain (2004/2005), al-Amthal dalam al-Qur’an : Kajian Terhadap surah al-Nahl,Disertasi Sarjana, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.


Tesis (Bahasa Inggeris)

Zulkifli Haji Mohd. Yusoff (Dr.) (2001), A Study of Tafsir ‘Abr al-Athir and Sonhadji’s Methodology in Tafsir al-Qur’an, Tesis Ph.D, Lampeter University, United Kingdom.

Rujukan Bahasa Melayu

‘Abd al-Halim bin ‘Abd al-Salam bin Abi al-Qasim bin Muhammad bin Taymiyyah, Muqaddimah fi Usul al-Tafsir (2005) (tahqiq; ‘Adnan Zarzur), Pengantar Kepada Usul al-Tafsir (pent. Zulkifli Haji Mohd. Yusoff, Abdurrahman Yapono), Intel Multimedia and Publication, Petaling Jaya,, h. 71

Abdul Malik Abdul Karim Amrullah (Dr.) (1993), Tafsir al-Azhar, j. 5, c. 2, Singapura : Pustaka Nasional Pte. Ltd.


Idris Awang (Dr.) (2001), Kaedah Penyelidikan, c. 1, Petaling Jaya : Intel Multimedia and Publication dan APIUM.

Winardis (1976), Pengantar Metodologi Research, Bandung : Penerbit Alumni.

Rujukan Bahasa Inggeris

Ibn Qayyim Jawziyyah, Syams al-Din Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Abu Bakr bin Ayyub bin Sa‘id al-Zar‘i al- (t.t.) , al-Wabil al-Sayyib min Kalim al-Tayyib, (terj.) Michael Abdurrahman Fitzgerald, The Invocation of God, Malta : Interprint Limited.

Mark Abrahamson (1963), Social Research Methods, New Jersey : Prentice Hall.


[1] ‘Abd al-Halim bin ‘Abd al-Salam bin Abi al-Qasim bin Muhammad bin Taymiyyah, Muqaddimah fi Usul al-Tafsir (2005) (tahqiq; ‘Adnan Zarzur), Pengantar Kepada Usul al-Tafsir (pent. Zulkifli Haji Mohd. Yusoff, Abdurrahim Yapono), Petaling Jaya : Intel Multimedia and Publication, h. 71.
[2] Ibid, hlm. 263-264.
[3] Ibid, h. 264.
[4] Ibid, h. 189-190.
[5] Ibid, h. 191-192.
[6] Ibid, h. 203-205.
[7] Ibid, h. 210.
[8] Ibid, h. 199-200.
[9] Ibid, h. 218-219.
[10] Ibid, h. 230-231
[11] Ibid, h. 238
[12] Imam Abu ‘Abd Allah Muhammad bin Idris al-Syafi‘i (1949) (tahqiq; Ahmad Syakir), al-Risalah, c.1, Mustafa al-Halabi bi Misr, h. 73
[13] Ibid, h. 103
[14] Ibid, hlm. 231.
[15] Abu al-Hasan Muslim bin Hajjaj bin Muslim al-Qusyairi (t.t.) (tahqiq;Taha ‘Abd al-Ra’uf Sa‘d), Sahih Muslim, Kitab Sifah al-Qiyamah wa al-Jannah wa al-Nar, Bab Mathal al-Mu’min mithl al-Nakhlah, hadith no. 5027, j. 4, Dar al-Bayan al-'Arabi, h. 2165. Hadith ini diriwayatkan oleh Sa‘d bin Malik bin Sinan al-Khudri. Di antara sahabat yang berilmu, dan pernah berbai‘ah di bawah pohon Ridwan. Wafat pada tahun 74 Hijrah.
[16] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983), op.cit., h. 193.
[17] Muhammad bin Isma‘il al-Bukhari (1987), Sahih al-Bukhari, Bab al-Tawhid, , hadith no. 26, j. 4, Kaherah : Matba'ah al-Halabi, h. 201. Hadith ini diriwayatkan oleh 'Abdullah bin 'Umar al-Khattab; seorang sahabat.
[18] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983), op.cit, h. 199
[19] Abu ‘Isa Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tirmidhi (2001), Sunan al-Tirmidhi, Kitab Iman, Bab Ma Ja’a fi Iftiraq Haza al-Ummah, hadith no. 2256, Kaherah : Dar al-Ma’rifah
[20] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983), op.cit., h. 199
[21] Ibid, h. 207
[22] Ahmad bin Muhammad Hanbal (1955), Musnad Imam Ahmad bin Hanbal bi hamisyih Muntakhab Kanz al-Ummal, Kitab Musnad al-Mukathirin min al-Sahabah, Bab Musnad Abdullah Ibn Mas'ud, hadith no. 4091, Kaherah : Dar al-Ma'arif.
[23] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983), op.cit, h. 240
[24] Abu al-Hassan Muslim bin Hajjaj bin Muslim al-Qusyairi (t.t.) (tahqiq;Taha ‘Abd al-Ra’uf Sa‘d), op.cit., Kitab al-Jannah wa Sifah Na'imuha wa Ahliha, hadith no. 5117.
[25] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983), op.cit., h. 234
[26] Ahmad bin Muhammad Hanbal (1955), op.cit., Kitab Musnad al-Mukathirin min al-Sahabah, Bab Musnad Abu Hurairah, hadith no. 3907.
[27] Ibn Taymiyyah, (2005), op.cit., h.74.
[28] Ibid, h. 83.
[29] Ibn Jarir al-Tabari, Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil al-Qur’an, j. 13, c. 3, Maktabah Mustafa bi al-Misr, h. 213
[30] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983), op.cit., h. 205
[31] al-Tabari, op.cit., j.14, h. 149-150. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-Azim, j.2, h. 578.
[32] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983), op.cit., h. 217-218.
[33] al-Tabari, op.cit., j. 9, h. 129.
[34] Ibid
[35] Ibid
[36] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983), op.cit., h. 229.
[37] al-Tabari, op.cit., j. 13, h. 203
[38] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1983), op.cit., h. 259
[39] Ibn Kathir, op.cit., j. 1, h. 397
[40] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1963), op.cit, h. 215.

[41] Ibid, h. 247-248.
[42] Ibid, h. 214.
[43] Ibid, h. 190.
[44] Ibid, h. 236-237.
[45] Ibid, h. 253.
[46] Ibid, 180-183.
[47] Ibid, h. 174-180.
[48] Ibid, h. 226-227
[49] Ibid, h.191
[50] Ibid, h. 264.
[51] Ibid, h. 199.
[52] Ibid. h. 230.
[53] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1963), op.cit, h. 205.
[54] al-Tabari, op.cit, j.14, h. 149-150. Lihat juga Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-Azim, j.2, h. 578.
[55] al-Tabari, op.cit, j.14, h. 149.
[56] Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1963), op.cit, h. 205.
[57] Ibid, h. 200-201.
[58] Ibid, h. 173.
[59] Ibid, h. 267.
[60] Ibid, h. 174 – 180.
[61] Ibid, h. 186 – 187.
[62] Ibid, h. 188 – 190.
[63] Ibid, h. 191 – 196.
[64] Ibid, h. 200 – 201.
[65] Ibid, h. 201 – 203.
[66] Ibid, h. 203 – 211.
[67] Ibid, h. 212 – 213.
[68] Ibid, h. 213 – 214.
[69] Ibid, h. 214 – 224.
[70] Ibid, h. 226 – 228.
[71] Ibid, h. 228 – 244.
[72] Ibid, h. 245 – 247.
[73] Ibid, h. 247 – 250.
[74] Ibid, h. 250 – 252.
[75] Ibid, h. 258 – 260.
[76] Ibid, h. 260 – 261.
[77] Ibid, h. 261- 267.
[78] Ibid, h. 180 – 183.
[79] Ibid, h. 184 – 186.
[80] Ibid, h. 186 – 187.
[81] Ibid, h. 196 – 200.
[82] Ibid, h. 228 – 244.
[83] Ibid, h. 253 – 258.
[84] Ibid, h. 210.
[85] al-Qattan, op.cit., h. 389.
[86] Abu Bakr Ahmad bin Husayn al-Bayhaqi, (1989) Sunan al-Bayhaqi, Sya‘b al-Iman, Bab al-Du‘a ila al-Islam, Fasl fi Qira’ah al-Qur’an bi al-Tafhim wa I‘rab, no.hadith 2293, j.2, Beirut : Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah


Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude