Ahad, 19 Ogos 2007

Disertasi Ilmiah 13 - Tafsir al-Qur'an al-Hakim

TAFSIR AL-QUR’AN AL-HAKIM
Pengenalan Kitab

Kitab tafsir ini merupakan antara kitab tafsir yang dihasilkan oleh ulama alam Melayu pada abad 20. Namun sayangnya penulisan kitab tafsir ini tidak sempat diselesaikan apabila pengarangnya meninggal dunia pada tahun 1968. Kitab tafsir ini berjaya disiapkan mencapai 27 juzu’ dengan mengambil masa berbelas tahun.[1]Kitab tafsir yang menjadi rujukan penulis adalah yang diterbitkan oleh Persama Press, Pulau Pinang, cetakan kelima tahun 1959.
Pengarang memulakan penulisan kitab tafsir ini pada tahun 1948 memandangkan beliau berjaya menyiapkan juzu’ pertama pada 19 Januari 1949.[2]

Pandangan dan Ulasan terhadap Tafsir al-Qur’an al-Hakim

Ustaz Abdullah Fahim menyifatkan kitab tafsir ini sebagai kitab tafsir yang mudah dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat. Pendekatan yang diambil oleh pengarang disifatkan sebagai memuaskan dengan susunan dan keterangan yang sederhana.[3]

Persembahan / Penampilan Penulisan

Secara umumnya, pada permulaan surah, dinyatakan bilangan ayat yang terdapat dalam surah dan kedudukan surah sama ada makiah dan madaniah. Pengarang juga mengambil pendekatan menyebut munasibat antara surah.
Dari aspek susunannya pengarang menampilkan ayat al-Qur’an disusuli dengan memberi pengertian tentang ayat-ayat al-Qur’an tersebut yang kemudiannya diiringi dengan keterangan-keterangan yang sederhana.

Pendekatan Penulisan Tafsir al-Qur’an al-Hakim[4]

Pengarang menggunakan pendekatan tafsir bi al-ma`thur[5] dan tafsir bi al-ra’yi.

Tafsir bi al-Ma`thur

Sepanjang pemerhatian penulis, pentafsiran ayat al-Qur’an dengan ayat al-Qur’an boleh dikatakan tidak ada.
Sementara dalam sesetengah ayat pengarang menggunakan juga pendekatan tafsir al-Qur’an dengan hadith-hadith Nabawi. Ini dapat dilihat sebagai contohnya, ketika pengarang mentafsir ayat 253 surah al-Baqarah :
( تلك الرسل فضلنا بعضهم على بعض منهم من كلم الله ورفع بعضهم درجت وأتينا عيسى ابن مريم البينت وأيدنه بروح القدس ولو شاء الله ما اقتتل الذين من بعدهم من بعد ما جاءتهم البينت ولكن اختلفوا فمنهم من آمن ومنهم من كفر ولو شاء الله ما اقتتلوا ولكن الله يفعل ما يريد.)

Hadith-hadith yang digunakan tidak disertakan dengan sanad yang lengkap.
Pengarang membuat ulasan berkenaan dengan Allah melebihkan darjat setengah rasul di atas setengah yang lain dengan mendatangkan hadith : [6]
( telah diriwayat bahawa Rasulullah (صلى الله عليه وسلم) bersabda,
فضلت على الأنبياء بست : أوتيت جوامع الكلم, ونصرت بالرعب وأحلت لي الغنائم وجعلت لي الأرض مسجدا وطهورا وأرسلت إلى الخلق كافة وختم بي النبيون.)

Dalam sesetengah keadaan, pengarang menyebut hadith-hadith berserta dengan mereka yang mentakhrijkannya sahaja.
Sebagai contohnya ketika mentafsirkan ayat yang berkaitan dengan pengharaman arak- apa yang dimaksudkan dengan arak-.[7]

( telah diriwayat oleh Abu Daud dan Tirmidhi daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم bahawa ia bersabda : كل مسكر خمر : Tiap-tiap yang memabukkan itu ialah arak )

Kisah-kisah Israiliyat

Berkenaan dengan ayat-ayat yang terlibat dengan kisah-kisah Israiliyat, pengarang tidak terlepas dari menyebut kisah-kisah Israiliyat walaupun tidak secara keterlaluan.
( Bahawa telah diriwayat apabila Isa a.s mengaku kenabian dan telah menzahirkan mukjizat, maka ketika itu telah meminta oleh kaumnya supaya dijadikan kelawar, lalu diambil akan tanah lalu dirupakan dan ditiupkan padanya nyawa dan terus ia terbang di angkasa raya.)[8]

Ayat-ayat Ahkam

Berkenaan dengan ayat-ayat ahkam, dalam sesetengah keadaan, pengarang mendatangkan pendapat imam-imam mazhab berkenaan dengan satu-satu hukum. Contohnya ayat 222 surah al-Baqarah yang berkisar dengan persetubuhan suami isteri ketika isteri didatangi haid.
( ويسألونك عن المحيض قل هو أذى فاعتزلوا النساء في المحيض ولا تقربوهن حتى يطهرن فإذا تطهرن فأتوهن من حيث أمركم الله إن الله يحب التوابين ويحب المتطهرين (222))

( Imam Maliki dan al-Syafi`i berpendapat tidak mengharuskan bercampur dengan perempuan yang haid melainkan setelah habis darah dan mandi, manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat mengharuskan bercampur dengan perempuan yang haid yang telah putus haidnya tetapi belum lagi mandi, dengan syarat sudah habis darah selepas sepuluh hari.)[9]

Namun dalam sesetengah keadaan pengarang tidak membahaskan hukum secara terperinci. Pengarang sekadar menyebut hukum secara umum sahaja. Sebagai contohnya ketika mentafsirkan ayat 226 dan ayat 227 surah al-Baqarah berkenaan dengan hukum orang yang bersumpah untuk tidak menyetubuhi isterinya.

( Ayat 226-227 menyatakan hukum orang-orang yang bersumpah tidak menghampiri perempuan-perempuan (isteri-isteri mereka), orang-orang yang berbuat demikian tidaklah diredai oleh Allah, kerana akibatnya menghilang rasa kasih sayang di antara dua laki isteri, dan menyebabkan terhinanya perempuan-perempuan dan luput hak-hak mereka…)[10]

Muhkamat dan Mutasyabihat

Berkenaan dengan ayat-ayat muhkamat dan mutasyabihat pengarang menyatakan pendirian beliau dengan mendatangkan pengertian apakah yang dimaksudkan dengan muhkamat dan mutasyabihat.
Bagi ayat-ayat yang mutasyabihat beliau lebih cenderung mentakwilkan ayat-ayat tersebut dengan fahaman khalaf. Sebagai contohnya pada ayat,
( يد الله فوق أيديهم )
Maksud : … tangan Allah di atas tangan-tangan mereka.
Pengarang mentafsirkan tangan itu dengan makna kuasa.[11]


Asbab al-Nuzul

Berkenaan dengan asbab al-nuzul, pengarang tidaklah menyentuh secara terperinci. Tidak semua ayat-ayat yang mempunyai asbab nuzul dinyatakan asbab nuzulnya.
Contoh ayat yang disebut asbab nuzulnya ialah ayat[12]:
( يسألونك ماذا ينفقون قل ما أنفقتم من خير فللوالدين والأقربين واليتامى والمساكين وابن السبيل, وما تفعلوا من خير فإن الله به عليم )

( Diriwayat daripada Ibn `Abas bahawa `Amr b. al-Jamuh adalah ia seorang yang tua yang mempunyai harta yang banyak, dia telah bertanya Rasulullah صلى الله عليه وسلم , Wahai junjungan, dengan apa kami bersedeqah dan kepada siapakah? Untuk menjawab maka diturunkan ayat tersebut.) [13]

Huruf Muqatta`ah

Berkenaan dengan huruf-huruf Muqatta`ah yang terdapat dalam al-Qur’an, pengarang tidak mentafsirkannya dan tidak memberi apa-apa ulasan.[14]

Kitab yang Menjadi Rujukan

Antara kitab yang membantu pengarang dalam usaha beliau menghasilkan kitab tafsir ialah[15]:-
1. Tafsir al-Jawahiri fi Tafsir al-Qur’an al-Karim oleh Syeikh Tantawi Jawhari
2. Tafsir al-Muharrir al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al-`Aziz oleh Ibn `Atiyyah (m541H).
3. Tafsir Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil oleh al-Nasafi (m701H).
4. Tafsir al-Jalalayn oleh Jalal al-Din al-Mahalli (m864H) dan Jalal al-Din al-Suyuti (m911H).
5. Tafsir Ruh al-Ma`ani fi Tafsir al-Qur’an al-`Azim wa al-Sab` al-Mathani oleh al-Alusi (m1270H)
6. Tafsir al-Maraghi oleh Muhammad Mustafa al-Maraghi (1945H)
7. Tafsir Fath al-Qadir al-Jami` bayna Fanni al-Riwayah wa al-Dirayah min `Ilm al-Tafsir oleh Muhammad ibn `Ali al-Syawkani (m1250H).
8. Tafsir al-Jami` li Ahkam al-Qur’an oleh al-Qurtubi
9. Mafatih al-Ghayb oleh Fakhr al-Din al-Razi (m606H)


Ulasan
Sepanjang pemerhatian penulis, kitab Tafsir al-Qur’an al-Hakim ini merupakan antara kitab tafsir yang terbaik yang dihasilkan oleh ulama tempatan. Pendekatan yang diambil oleh pengarangnya sesuai dengan meraikan sosio-budaya masyarakat Melayu yang beragama Islam. Namun sayangnya pengarang tersebut tidak sempat menyiapkan kesemua 30 juzu’ tafsir ayat-ayat al-Qur’an.
Meskipun pada sesetengah keadaan, pengarang mendatangkan hadith-hadith tanpa disebut kedudukan hadith dan juga rantaian sanadnya secara lengkap namun ini tidaklah menjadi satu kelemahan yang ketara. Ini kerana memandangkan pentafsiran dibuat dengan meraikan keadaan sosial masyarakat Melayu dan juga pendekatan dakwah dengan menonjolkan intipati ajaran al-Qur’an itu sendiri.
Kedudukan dan usaha melengkapkan sanad-sanad hadith tersebut boleh diteruskan oleh mereka yang terkemudian.

Sebagaimana kebanyakan kitab-kitab tafsir yang lain khususnya dalam Bahasa Arab, kitab tafsir ini tidak terlepas dari menyebut kisah-kisah israiliyat. Kisah-kisah israiliyat yang disebut tidaklah keterlaluan dan termasuk dalam kategori yang dibolehkan walaupun pada dasarnya unsur israiliyat dilihat sebagai suatu yang boleh menjatuhkan nilai dan kualiti kitab tafsir tersebut.

Secara keseluruhan pendekatan yang diambil oleh pengarang dilihat sebagai satu pendekatan positif dan usaha beliau yang gigih dalam menghasilkan kitab tafsir semestinya diberi perhatian yang sewajarnya. Usaha yang dilakukan ini dilihat sebagai satu sumbangan besar khususnya terhadap perkembangan tafsir di alam Melayu sekaligus menobatkan beliau sebagai salah seorang tokoh mufassir di alam Melayu.

[1] Nota kuliah Dr. Fauzi Deraman, Sarjana Usuluddin, Jabatan al-Qur’an dan al-Hadith, sesi 2003/2004.
[2] Berdasarkan catatan pengarang di lampiran kata-kata aluan yang dicetak bersama kitab tafsir.
[3] Yang dimuatkan dalam muqaddimah kitab Tafsir al-Qur’an al-Hakim.
[4] Penulis sekadar merujuk pada tiga juzu’ pertama yang merangkumi surah al-Fatihah, al-Baqarah dan Ali `Imran.
[5] Tafsir bi al-ma`thur adalah merujuk tafsir al-Qur’an dengan ayat-ayat al-Qur’an atau dengan hadith Nabawi atau aqwal al-sahabah atau fatawa al-tabi`in.
[6] Mustafa Abdul Rahman, (1959),Tafsir al-Qur’an al-Hakim, Penerbitan Persama Press, j. 3, h. 4
[7] Ibid, j. 2, h.80.
[8] j.3 ,h. 56
[9] j.2, h. 86
[10] j. 2, h.88
[11] j. 3, h. 35
[12] Al-Baqarah (2)
[13] Ibid, h. 75
[14] Ulasan terhadap huruf-huruf muqatta`ah yang dirujuk hanya pada surah al-Baqarah dan Ali Imran
[15] yang dirujuk pada surah al-Baqarah dan Ali `Imran

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalammualaikum, mari lah kita sama-sama sedekah kan Al-Fateha buat ustaz Ahmad Sonhadji yg telah kembali ke rahmatullah pada pagi ini. Al-Fateha.....

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude