Inilah di antara tajuk yang agak menarik minat saya untuk mengulas pada pagi ini.Ia terdapat dalam ruangan Mega, Utusan Malaysia, 17 September 2007, bahagian hiburan pada halaman 7. Ternyata, kita masih keliru dengan konsep amal kebaikan yang tidak boleh dicampur adukkan dengan perbuatan maksiat.
Saya biasa memberikan contoh, bahawa apabila kita memulakan lafaz dengan ucapan yang mulia, maka ia perlu diikuti dengan perbuatan yang baik. Mana mungkin seorang artis wanita yang mendapat anugerah (di majlis anugerah hiburan) mengucapkan “Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah di atas kemenagan ini ” , sedangkan pada waktu yang sama dia mengingkari Allah (tidak menutup aurat)!
Saya tidak berniat hendak menghukum seseorang artis selamanya akan terus berada dalam industri hiburan yang syubhah, tetapi berdasarkan kaedah yang digunapakai oleh ulama “ Kita menghukum seseorang berdasarkan zahirnya, dan Allah yang lebih mengetahui apa yang tersembunyi di dalam hati”. Maksud saya, kita bersyukur apabila ada bekas-bekas artis yang telah memilih alam kehidupan yang lebih bermakna dan diredhai Allah seperti Azmil Mustapha (hero Ali Setan), NoorKumalasari, Mel (bekas solo Wings), Akhil Hayy (bekas solo D Riyadh) dan ramai lagi.
Cuma, apa yang membimbangkan kita apabila ada di antara artis kita yang jelas beragama Islam mencampur adukkan perbuatan maksiat dengan perkara yang digalakkan oleh agama. Marhaban ; satu tradisi yang mulia yang diamalkan oleh generasi terdahulu dan golongan agamawan khususnya, kini mula mendapat tempias komersial apabila artis-artis pula menyampaikan marhaban. Mungkin tidak salah di kalangan artis lelaki, tetapi bagaimana pula dengan artis-artis wanita dalam siri-siri latihan program Marhaban di Astro ; berlatih dalam keadaan tidak menutup aurat!
Bukankah Nabi saw yang bersama risalah Islam telah mengangkat martabat wanita, dan pada waktu yang sama menyuruh wanita menjaga kehormatan antaranya dengan menutup aurat. Justeru, saya mengharapkan pihak Astro, janganlah oleh kerana nilai agama yang hendak dikomersilkan, kita melakukan perkara yang tidak diredhai oleh Allah, apatah lagi dalam bulan Ramadhan yang mulia ini.
Benar, iklan program Marhaban di Astro menampilkan kesemua artis wanita Islam menutup aurat, tetapi bagaimana dengan gambar-gambar sewaktu sesi latihan? Moga kita tidak menjadi insan hipokrit di Ramadhan yang mulia ini! Di sini saya sertakan suatu artikel menarik untuk renungan bersama.
Ramadan dan komersialisme televisyen
Oleh : Azman Ismail (Ruangan Mega, Utusan Malaysia, Khamis, 13 September 07)
Kita dapat membayangkan apa yang berlaku setiap tahun di bulan Ramadan. Ia bakal menampakkan ghairah dan maraknya ibadah serta peningkatan intensiti kebajikan sosial. Antaranya memberi sumbangan kepada golongan tidak bernasib baik dan juga anak-anak yatim.
Pada bulan Ramadan jugalah kita akan menemukan peningkatan simbol-simbol beragama dalam masyarakat Selain itu, ia turut menumbuhkan kesedaraan amalan beragama yang tinggi. Dengan demikian secara emosional, masyarakat merasa dekat kepada agama ber- banding dengan hari-hati bukan di bulan Rainadan. Ia dianggap sebagai masa terbaik untukmembaiki kelemahan moral, perilaku dan keberagamaan sama ada individu mahupun masyarakat.
Namun, kita tidak pernah terfikir bahawa di sebalik keghairahan menyambut Ramadan tersebut, ada satu sisi lain yang menarik untuk direnungkan iaitu komersialisasi dan konsumerisme. “Agama adalah kekuatan perubahan dalam masyarakat dan agama itu sendiri adalah cara manusia memahami dunia,” kata ahli sosiologi Amerika Syarikat, Robert N. Bellah.
Sementara itu, ahli antropologi, Clifford Geertz pula mendefinisikan agama sebagai sebuah sistem simbol yang berperanan membangun suasana dan motivasi yang kuat dan tahan lama dalam diri manusia. Geertz turut berpendapat agama adalah cara merumuskan konsepsi cabaran kehidupan yang umum dan membungkus konsepsi itu dengan suatu kejujuran Sehingga perasaan dan motivasi menjadi realistik secara unik.
Menurut Geertz, agama selalu mengalami pertembungan dengan realiti sosial. Dalam kerangka ini, agama ternyata terpaksa mengalami pasang surut. Di tengah-tengah derasnya arus industrialisasi dan globalisasi. Ahli sosiologi, Ernest Geilner berpendapat, agama mahu atau tidak akan terseret ke wilayah pinggiran. Dalam masyarakat yang tengah mengalami proses industrialisasi, informasi dan konsumersime secara tidak langsung akan mengikis kekuatan agama, jika tidak ada asas pendidikan yang kukuh.
Namun, John Naisbitt dan Samuel Huntington mempunyai pendapat yang berbeza.. Kedua-duanya meramalkan abad ini sebagai era kebangkitan agama-agama besar dunia sama ada Islam, Kristian mahupun Yahudi. Berdasarkan dua pendapat yang berbeza ini, pertembungan agama dan realiti empiris tidak selalu membentuk wacana dialogik yang konstruktif, tetapi memunculkan ketakutan tertentu di kalangan masyarakat beragama.
Maka, agama kemudian muncul dalam dua wajah yang berbeza. Di satu sisi, agama adalah kekuatan yang diharapkan membendung kesan destruktif globalisasi, kapitalisme dan industrialisasi.
Bagaimanapun di sisi lain, agama akan mengalami ketakutan sendiri terhadap gelombang globalisasi, kapitalisme, industrialisasi dan konsumerisme itu. Ketakutan inilah tanpa terfikir oleh kita muncul sikap ghairah beragama ekstrem yang akhirnya menjadi peluang kepada gobalisasi, informasi dan kapitalisme untuk meletakkan kita dalam wacana konsumerisme. Kecenderungan simbolis semacam mi dimanfaatkan oleh kelompok pemodal untuk meraih keuntungan. Pelbagai stesen televisven berlumba-lumba mengadakan program keagamaan yang kita tidak pernah tahu sejauh mana motivasi pengisian Ramadan.
Malah, bukan sekadar program-program agama, kita turut menjadi konsumer untuk rancangan masakan yang sama sekali tidak berkaitan dengan pengisian Ramadan itu sendiri. Menyedari sentimen keagamaan sebagian besar umat Islam dengan mudah tertarik dengan tayangan keagamaan, para pemilik stesen televisyen berlumba-lumba untuk menampakkan ‘nilai keagamaan’ dalam produk-produk mereka.
Pada titik inilah, unsur agama dan komersialisme menjadi kabur. Para pemilik stesen televisyen malah akan menggunakan para artis atau tokoh tertentu untuk mengetengahkan mesej dan menjayakan iklan mereka. Pakej hiburan yang diberi warna pengisian agama dan Ramadan misalnya cenderung tidak disedari masyarakat. Im kerana dasar emosional mereka telah dilumpuhkan sebelumnya dengan retorik simbol dan nuansa yang cenderung bersifat agama.
Masyarakat kita selalunya tertipu dengan simbol. Kita akan kagum pada penampilan seorang artis yang berpakaian sopan selama Ramadan kerana mereka menggunakan simbol keislaman. Namun, jika kita sedari, bahawa stesen televisyen khususnya milik swasta meraih keuntungan hasil siaran program-program agama tersebut.
“Masyarakat sering menjadi satu alat konstruksi yang bersifat sementara. Ketika nilai-nilai yang mendasari kontrak telah tercapai, selesailah semuanya,”kata pemikir Thomas Hobbes. Mungkin pendapat John Naisbitt dan Huntington tentang kebangkitan agama pada abad ini sebagai satu tesis yang cukup menarik. Agama bukan hanya mengalami kebangkitan, tetapi juga membangkitkan ghairah para kapitalis dan industri untuk berlumba-lumba ‘mengagamakan’ produk mereka.
Semoga tesis Naisbitt dan Huntington tidak berlaku dalam konteks masyarakat kita. Ramadan adalah bulan untuk beribadah dan niendekati diri denganNya. Tidak ada unsur komersial oleh pemilik modal.
17 September 2007, 5 Ramadhan 1428,
12.36 tgh, Malaysia Timur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan