Jumaat, 28 Ogos 2009

Jumaat Pertama Ramadhan ini



1) Jumaat digelar Sayyidul Ayyam(Penghulu bagi segala hari). Berada di hari Jumaat pertama Ramadhan tahun ini sangat bermakna. Kematian Prof Datuk Dr Ismail Salleh sangat dirasai, hampir menyamai kematian arwah Ustaz Asri Ibrahim-akibat sakit jantung-pada hari Khamis-dkebumikan selepas maghrib yang juga menandakan bermulanya hari Jumaat mengikut Islam.

2) Sesungguhnya jalan kematian mereka yang mulia diperlihatkan Allah atas dunia lagi, tentang kesenangan mereka menghembuskan nafas terakhir dengan asbab sakit dan tidak berpanjangan menghadapi nazak. Moga syurga balasan buat mereka yang telah mendahului kita dengan iman dan amal soleh.

3) Jumaat pertama Ramadhan ini, mengajar kita betapa mereka yang teguh imannya tiada masalah untuk berpuasa, di samping mendirikan solat Jumaat. Tetapi bagi mereka yang tidak kuat imannya, biasanya puasa menjadi alasan untuk tidak menunaikan solat Jumaat. Moga Allah memberikan hidayah kepada mereka.

4) Jumaat pertama Ramadhan ini juga, membuatkan diri kita termenung seketika melihat manusia sebagai aktor di muka bumi Allah semakin rakus mengejar kekayaan demi kepuasan diri, sanggup menindas orang yang lemah, bahkan tidak kurang juga yang berlumba-lumba mengejar kebaikan di bulan yang diberkati Allah ini.

5) Hanya muhasabah buat diri, sudah berapa juzu' al-Qur'an yang kita baca bersama makna yang difahami ? Berapa banyak sedeqah yang telah dikeluarkan kepada mereka yang memerlukan ? Berapa kali kita tahajjud di tengah malam, memohon keampunan dan petunjuk Allah ? Ternyata, masih banyak lagi kelekaan dalam diri kita kerana terbuai dan terpesona dengan iklan Aidilfitri, yang sudah semakin buas merajai nafsu di hati, hinggakan kita tidak lagi fokus untuk beramal di Ramadhan yang mulia.

6) Moga Ramadhan kali ini yang terbaik dan bermakna buat kita, Amin!



28 Ogos, 7 Ramadhan 1430 Hijrah,

9.56 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 27 Ogos 2009

Datuk Dr Ismail Salleh meninggal dunia dan moga Ustaz Yahya Othman sihat kembali




1) Senator Profesor Datuk Dr. Ismail Salleh, 62, meninggal dunia hari ini akibat serangan jantung semasa dalam penerbangan dari China ke Kuala Lumpur.


Isteri Allahyarham, Datin Hasnah Wahab berkata, Allahyarham disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2 pagi ini di dalam penerbangan Tiger Airways. Moga Allah merahmati rohnya dan dikhabarkan beliau adalah insan buta pertama di dunia yang menerima PhD. Pernah menjadi Pengerusi Twintech College, sumbangan beliau sangat besar kepada tanahair khususnya dalam bidang ekonomi. Dan beliau merupakan OKU pertama yang cacat penglihatan dilantik sebagai Senator dalam Dewan Negara.

2) Saya juga mendapat berita bahawa Ustaz Yahya Othman-murabbi tabiyyah di dalam PAS masuk ke hospital tempoh hari kerana membuat kerja berat. Apapun bagi yang mengenali beliau, kita doakan agar beliau kembali sihat dan terus cergas mentarbiyyah generasi muda khususnya di dalam gerakan Islam. Saya petik dari blog Ustaz Mokhtar Senik mengenai pandangannya bagi mereka yang bersifat ghulu(melampau dan terburu-buru di dalam jamaah)

Dalam tahun-tahun 80an, saya dan rakan-rakan pimpinan pelajar "Pondok Pasir Tumboh" adalah anak-anak usrah Ustaz Yahya Othman. Biasanya kami berusrah dirumah Allahyarham Ustaz Daud ( bekas ADUN Pasir Tumboh). Kami cukup bertuah kerana mendapat bimbingan langsung dari "bapa Tarbiyyah Pas" ini. Gaya pentarbiyyahan beliau sangat mempengaruhi perjalanan kami seterusnya. Alhamdulillah. Mudah-mudahan Allah merahmati beliau..

Antara perkara yang melekat kukuh dalam ingatan saya ialah bilamana pada satu ketika beliau bercerita mengenai "Ghulu". "Ya Akhi...Dalam dakwah ini kita tidak boleh bersifat Ghulu. Kerana Nabi Bersabda; Gopoh itu dari Syaitan dan bertenang itu daripada Allah". Begitulah bait-bait kalimah yang keluar dari bibir Murabbi kami ini, lembut, tersusun dan penuh tegas sambil membelai perasaan kami. Sebagai contoh, beliau bercerita tentang satu peristiwa yang beliau alami. Suatu hari satu jamuan di adakan di Pondok Sungai Durian Kuala Krai, atau lebih dikenali dengan nama Pondok Haji Abdul Rahman. Bersama dalam hidangan Ustaz Yahya ialah Tuan Guru Haji Abdul Rahman, Ustaz Ibrahim Mahmod ( Bekas Ahli Parlimen Kuala Krai), beberapa orang lagi, yang saya tidak ingat namanya dan seorang pimpinan pelajar. Apabila hidangan telah sampai, Tuan Guru mempersilakan semua makan dan beliau pun terus menjamah makanan. Tiba-tiba pimpinan pelajar tadi mengangkat tangan dan membaca doa makan, menyebabkan Tuan Guru yang telah hampir menyuap nasi, meletakkannya kembali dan menandah tangan.

Itulah antara sifat Ghulu yang tidak seharusnya ada kepada para dua'at ujar Murabi yang kami sayangi itu. Sepatutnya pelajar itu terus makan sahaja sambil membaca doa untuk dirinya sendiri di dalam hati. Kerana tindakan itu telah mengaibkan Tuan Guru yang bersama dalam hidangan itu. Sedangkan berdoa sebelum makan hanya sunnah yang disunatkan. Sedangkan menjaga air muka saudara muslim ( lebih-lebih lagi ulama') adalah perkara yang lebih utama.

Bertolak dari itu Ustaz Yahya mengingatkan kami tentang "Aulawiyyat" dalam berkomunikasi dengan Madu'. Saat itu saya dan teman-teman yang lain hanya memasang telinga dan menyemai nasihat ikhlas itu didalam hati masing-masing. Kami sendiri belum berhadapan dengan situasi yang seumpama itu di saat itu. Namun apabila saya sendiri terlibat dengan kerja-kerja dakwah diluar lingkungan alam pengajian, maka terserempaklah saya dengan apa yang dinasihatkan oleh Ustaz Yahya itu. Cukup banyak peristiwa-peristiwa yang saya temui. Benarlah celahan Allahyarham Ustaz Daud yang mengatakan; " biasanya orang yang laju itu akan tersungkur dan bebanannya akan menghempap kepalanya". Pesanan yang sama saya sampaikan kepada anak-anak usrah saya, pelajar-pelajar saya dan teman-teman yang seiring dalam perjalanan dakwah ini. Bersederhana adalah amalan RasuluLlah saw.

Saya pernah temui seseorang. Beliau cukup anti ustaz-ustaz yang mengajar mengambil saguhati. Beliau menggelarkan ustaz-ustaz seperti itu sebagai "Ustaz Sampul surat". Lalu dibacanya ayat dari surah Yassin yang menceritakan ucapan seorang Rasul kepada kaumnya bahawa dakwah yang dibawanya itu bukan untuk mendapatkan upah dari kaumnya. Ramai juga teman-teman beliau dikalangan ustaz-ustaz yang mempertahankan tenaga-tenaga pengajar yang mengambil saguhati itu. Dengan Hujjah bahawa tenaga pengajar itu juga perlukan "ma'iysyah" atau sara hidup yang membolehkan mereka meneruskan dakwah. Namun semua hujjah itu ditolak oleh beliau dengan alasan yang sama. Selang beberapa tahun, beliau berhenti dari makan gaji dengan kerajaan. Akhirnya beliau juga menerima saguhati atas kuliah yang disampaikan untuk menampung perbelanjaan minyak kenderaan dan kehidupan keluarganya. MasyaAllah.

Orang kedua yang saya temui ialah seorang pendakwah yang selalu mencemuh rakan-rakan daei yang memiliki rumah yang besar. Kepada rakan-rakan tersebut digelar pendakwah "cinta dunia". Setahu saya beliau akan mengelak daripada menziarahi atau mengunjungi teman-teman daei yang mempunyai rumah yang besar. Alasannya bimbang isteri dan anak-anaknya juga jatuh hati kepada dunia. Tidak berapa lama saya mendapat tahu beliau juga membina rumah yang agak besar kerana alasan, anak-anak semakin ramai ditambah pula setelah mendapat menantu dan cucu.

Pendakwah yang ketiga yang saya temui ialah pendakwah yang sering menghantar message kepada ahli-ahli pas dengan message yang berbunyi " sila hadir ke program ...... jika anda benar-benar pejuang yang cintakan jamaah". Bunyi message itu memang tegas, tetapi disitu terdapat unsur ghulu. Sepatutnya ditulis " Sahabat-sahabat dipelawa hadir ke program .... jika tidak mempunyai uzur syarie". Dengan message yang seumpama itu, bermakna kita meraikan keuzuran mereka. Kerana keuzuran itu boleh menimpa sesiapa. Mereka tidak datang bukan bermakna mereka tidak cintakan jamaah dan kita hadir tidak bermakna kita seorang sahaja yang cintakan jamaah. Selang tidak berapa lama, beliau pula yang selalu tidak hadir. Kerana keuzuran keluarga, atau kerana umrah atau berbagai lagi. Apakah ketika itu beliau tidak cintakan jamaah?.

Seorang lain yang saya temui ialah orang yang agak anti "poligami". Bila terdengar sahaja mana-mana teman-teman yang berpoligami, segera diberikan komen. "Tidak mengenang jasa isteri yang pertama ", tidak memikirkan kepentingan jamaah, dan macam-macam lagi komen beliau. Bila bercakap dengan teman-teman, beliau akan lebih banyak mengambarkan perasaan tidak senangnya dengan sesetengah teman yang berpoligami. Biasanya beliau akan memuji peranan isterinya sehingga menyebabkan beliau tidak terfikir pun soal-soal ingin berpoligami. Jika ada teman-teman yang bercakap mengenai poligami, segera ia berpaling dan bertukar kepada tajuk yang lain. Kerana beliau adalah suami mithali. Namun kemudian, selang beberapa lama, saya mendapat tahu dari teman-teman, beliau sudah pun berkahwin dua. Sehingga ramai teman-teman mengadu, mereka naik muak setiap kali bertemu dengan beliau. Kerana tiada soal lain yang dibualkan selain soal poligami.

Itulah antara contoh sifat Ghulu ( telajak) yang diberi peringatan agar kita mengambil jalan "Pertengahan". Meneliti situasi adalah sifat yang dipuji oleh Islam. Bertenang seketika akan meredakan kegelojohan dan kegopohan.

Tarik nafas dan berdoa kepada Allah agar kita diberi ketelitian dalam segenap hal adalah amalan yang sewajarnya. Jangan kelak apa yang kita kata kepada orang dengan "hukuman yang melampau" itu akhirnya kembali menghempap kepala kita sendiri. Jangan kita merasakan setiap apa yang kita lakukan itu benar. Ambillah teman yang boleh menasihati kita. Sebaiknya seorang guru yang dapat membimbing kita kepada kebaikan.


Wassalam...salam Ramadhan untuk semua.



3) Moga jadi iktibar buat kita semua. Kita adalah pendakwah dan bukan penghukum. Bersederhanalah dalam semua perkara(wasatiyyah).



26 Ogos 2009, 6 Ramadhan 1430 Hijrah,

12.01 tengahari, Malaysia Timur

Rabu, 26 Ogos 2009

Rasional dalam isu sebatan Kartika



1) PM menekankan betapa tarbiah perlu diutamakan dalam menghadapi jenayah syariah seperti minum arak, berzina, merompak dan lain-lain. Katanya hukuman fizikal biarlah yang terakhir, setelah diberi penerangan dan sesuai dengan hemahnya Islam sebagai agama yang berhikmah.

2) Majlis Peguam menggesa agar hukuman sebat dihapuskan di Malaysia kerana ia melanggar hak asasi manusia.

3) PAS tidak bersetuju dengan gesaan tersebut, sebaliknya berpandangan keredhaan Kartika disebat sesuatu yang terpuji kerana insaf di atas kesalahannya, selain mengelak dari hukuman Allah di akhirat. Bahkan, hukuman sebat sebagai satu kaedah Islam mendidik pesalah jenayah syariah, agar insaf dan ia bukan bersifat menghukum.

4) Penangguhan sebatan sebanyak 6 kali ke atas Kartika yang ditangguhkan atas alasan menghormati bulan Ramadhan, dan tiada ahli yang berkemahiran dalam sebatan mengikut hukum syariah, menimbulkan banyak polemik.

5) Saya berpandangan, isu ini akan menarik perhatian, sama ada Malaysia kekal status quonya sebagai Islam sebagai agama rasmi atau menghampiri pelaksanaan hukuman syariah secara beransur-ansur dan digelar Negara Islam. Sudah kedengaran suara mereka yang tidak bersetuju dengan hukuman sebat ini, namun tidak kurang yang mempertahankannya sebagai menghormati hukum yang telah ditentukan Allah.

6) Kita berharap semua pihak rasional dan kita mohon agar pihak berwajib khasnya, pihak berkuasa agama dapat memutuskan perkara ini secara hikmah dan wajar tanpa membelakangkan hukum Allah SWT. Buat Kartika bersabarlah, sebagaimana seorang wanita pada zaman Nabi SAW yang telah mengaku berzina, dan ingin dijatuhkan hukuman hudud, tetapi Nabi SAW melaksanakan setelah beliau menyusukan anaknya dengan sempurna.

7) Alhamdulillah berkat penerangan alim ulama yang menekankan peri pentingnya menegakkan hukum Allah sejak dahulu hingga kini, Kartika Sari Dewi menjadi lambang seorang muslimah yang sedar keterlanjuran dirinya dan ingin bertaubat agar tidak dihukum di akhirat. Bagi mereka yang masih fobia dengan hukum Allah ini, berfikirlah secara rasional dan waras betapa hukum hudud yang dilaksanakan di Arab Saudi, sejak sekian lama telah berjaya meminimumkan kadar jenayah di negara tersebut.

8) Marilah sama-sama kita berdoa agar isu ini dapat ditangani dengan baik, dan memungkinkan hukum Allah ditegakkan sebagai iktibar buat umat Islam, dan menjadi panduan buat non-Muslim, dalam memahami kaedah Islam untuk menangani jenayah di kalangan penganutnya.



25 Ogos 2009, 5 Ramadhan 1430 Hijrah,

2.45 petang, Malaysia Timur

Ramadhan Bulan Perubahan (Shahrul Taghyir)



1) Allah berfirman dalam surah al-Ra'du "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka". Para ulama mengulas, apa yang ada pada diri mereka, adalah apa yang ada di dalam hati mereka dari sekalian penyakit mazmumah.

2) Ramadhan menjanjikan peluang untuk kita berubah. Jika tidak, masakan masjid dan surau dipenuhi pada malam hari kerana solat sunat tarawih, yang tidak menutup aurat sebelum ini, ada segan silunya lalu menutup aurat, walaupun tidak sempurna, manakala yang kuat merokok, dapat pula menahan dari merokok sepanjang hari.

3) Ini menandakan kita mampu dan boleh berubah. Tinggal lagi azam dan kemahuan hati yang kuat. Sebab itu, Ramadhan digelar al-Mubarak, iaitu yang diberkati. Masakan tidak, sesungguhnya tiada bulan yang paling hebat tawaran pengampunan dan ganjaran oleh Allah SWT, melainkan di bulan Ramadhan!

4) Justeru, jika nak berubah tanyalah hati, kerana ia kunci segala perubahan. Hati umpama raja dalam diri kita. Ustaz dan alim ulama hanya mampu menyampaikan tazkirah dan panduan, tetapi pokok pangkalnya perubahan bermula dari dalam diri kita yang ditunjangi hati yang tulus ikhlas mengharapkan keredhaan Allah SWT.

5) Dalam teori pengurusan, ada yang dipanggil Management of Change(Mengurus Perubahan). Justeru, jika kita berubah pada bulan Ramadhan, harapannya biarlah ia kekal sehingga akhir hayat kita dengan kematian Husnul Khatimah, Insya Allah. Dan jadilah kita abid Rabbani dan bukannya abid Ramadhani semata-mata.

6) Akhir kalam, Ramadhan bulan yang mengajak kepada perubahan diri dari yang kurang baik kepada lebih baik. Ahlan Ya Ramadhan!



26 Ogos 2009, 5 Ramadhan 1430 Hijrah,

12.12 tengahari, Malaysia Timur

Selasa, 25 Ogos 2009

Kemenangan bergaya calon PAS-Ustaz Salleh Man!



1) Tahniah buat Ustaz Salleh Man yang berjaya memenangi kerusi Permatang Pasir. Namun, yang harus dianalisis, mengapa undi merosot kira-kira 900, meskipun calon BN-Rohaizat bermasalah.

2) Dengan jentera yang bertungkus lumus memenangkan calon PAS sekaligus mewakili Pakatan Rakyat, kemenangan ini dianggap hadiah bermakna pada bulan Ramadhan.

3) Setakat analisis Astro Awani jam 8.30 malam tadi, para penganalisis berpendapat kemenangan ini mengekalkan status quo PAS di Permatang Pasir, yang kehilangan Allahyarham Datuk Hamdan Abdul Rahman. Walaupun demikian, mereka berpandangan kemerosotan undi PAS juga perlu dijadikan iktibar oleh PAS.

4) Mereka berpendapat, UMNO dan BN walaupun tewas, berjaya meningkatkan jumlah undi, walaupun disedari calon mereka dipertikaikan integriti dan kredibilitinya.

5) Apapun, semoga Ustaz Salleh Man yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai ADUN Permatang Pasir yang baru, dan kemenangan pertamanya dalam pilihanraya, setelah 6 kali tewas dalam pilihanraya sebelum ini. Syabas ustaz, Takbir!



25 Ogos 2009, 4 Ramadhan 1430 Hijrah,

8.58 malam, Malaysia Timur

Selamat mengundi buat pengundi Permatang Pasir



1) Hari ini merupakan hari mengundi buat pengundi di Permatang Pasir. Dijalankan pada bulan Ramadhan, ia seumpama perang yang penuh dengan tenikal dan strategi. Bahkan, hadith Nabi SAW "Peperangan adalah satu tipu daya". Justeru, mereka yang bijak memanipulasi isu samada berkaitan calon dan isu semasa, akan menambat hati pengundi.

2) Sejak penamaan calon pada 17 Ogos yang lepas, banyak isu yang dibangkitkan. Di antaranya kredibiliti calon BN yang terpalit dengan isu pelucutan status peguam dan pengabaian isteri kedua, penegasan Tuan Guru Nik Aziz bahawa penyokong dasar UMNO tidak akan masuk syurga dan Adun Lunas yang keluar PKR.

3) Apapun, kita meyakini bahawa pengundi akan bijak dan matang dalam membuat pilihan. Selain media arus perdana yang pro UMNO, mereka pastinya mendapat sumber maklumat alternatif dari web dan blog serta Facebook dan Twitter.

4) Jangkaan awal, calon Pas-Ustaz Slleh Man akan memenangi pilihanraya kecil ini menewaskan calon UMNO BN-Rohaizat. Namun begitu, penganalisis politik berpendapat, bahawa majoriti PAS dalam PR 2008 mungkin akan berkurangan.

5) Kesimpulannya, pilihan kini terletak pada pengundi. Jika Pakatan Rakyat mengekalkan penguasaannya, harapan cerah untuk PR ke-13. Namun, jika sebaliknya, UMNO dan BN pasti mengukuhkan kedudukan sebagai pemerintah dalam pilihanraya akan datang.


25 Ogos 2009, 4 Ramadhan 1430 H,

7.22 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 24 Ogos 2009

Ramadhan ; Yang ingat dan yang lupa !



Yang kita ingat

Bulan Masihi berbanding Bulan Hijrah
Artis meninggal berbanding ulama meninggal
Movie on 2 pada Rabu malam Khamis, berbanding malam Nisfu Sya’ban yang diangkat suratan amalan lama dan digantikan dengan suratan amalan baru
Persediaan menyambut Aidilfitri berbanding menyambut Ramadhan


Kelebihan Bulan Sya'ban

Nabi SAW banyak berpuasa pada bulan ini selepas Ramadhan(2 minggu yang pertama)
Nabi SAW menghidupkan malam (2 minggu yang terakhir)
Pada malam Nisfu Sya’ban-Nabi SAW bersabda suratan amalan lama akan bertukar dengan yang baru

Nama Lain Bagi Ramadhan

Syahrul Quran
Syahrul Najah
Syahrul Jud
Syahrul Muwasah
Syahrul Siyam
Syahrul Rahmah
Syahrul Tilawah
Syahrul Sobri


Persediaan Puasa

Setting niat
Update doa
Upgrade ibadah
Download sabar
Delete dosa
Untuk redeem pahala di akhirat

Kelebihan orang berpuasa

“ Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk ( dari mulut orang yang berpuasa ) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah SWT daripada bau Misk .” (Hadith Nabi saw)


Tips bagi mendapat Lailatul Qadar

Maksud hadis, “ Carilah lailatul qadar pada malam sepuluh terakhir Ramadhan.”
Maksud hadis, “ Carilah lailatul qadar pada malam ganjil pada sepuluh malam terakhir.”
Cuaca pada malam tersebut nyaman dan selesa (tidak berapa panas dan tidak berapa sejuk).
Sunyi dari bunyi anjing atau sebagainya.
Malam tersebut terlalu mengantuk.


Kesimpulan

1) Mengingati perkara yang lebih utama bagi seorang muslim berbanding perkara yang tidak penting.
2)Bersedia menghadapi Ramadhan dengan niat yang betul, meningkatkan ilmu dan amal ibadah.


24 Ogos 2009, 3 Ramadhan 1430 Hijrah,

2.38 petang, Malaysia Timur

Jumaat, 21 Ogos 2009

Ustaz Asri Dalam Kenangan di TV3 jam 6 petang ini!



Insya allah petang ini, jam 6 petang akan disiarkan segmen khas-Ustaz Asri Dalam Kenangan. Moga dapat menonton bersama. Al-Fatihah buat Pahlawan Nasyid yang hebat ini! Moga rohnya dirahmati Allah SWT. Amin.

Persediaan Menghadapi Ramadhan



Definisi Puasa

Dari sudut bahasa > Menahan diri daripada sesuatu samada kata-kata atau makanan.

Dari sudut syarak > Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula terbit fajar hingga terbenam matahari disertai dengan niat

Dalil Wajib Puasa

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa” (al-Baqarah ; 183)
“ Islam dibina atas 5 perkara-mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah utusan Allah, mendirikan solat, puasa bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, dan menunaikan haji”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Difardhukan pada bulan Sya’ban tahun kedua Hijrah.

Hukum Meninggalkan Puasa

Jika ingkar kefarduan puasa > maka batal imannya dan termasuk golongan yang murtad

Jika tidak berpuasa tanpa ingkar kefarduannya, misalnya tinggal puasa kerana malas dan tanpa keuzuran > hukumnya fasiq. Jika dia menggantikan puasa yang ditinggalkan dengan sengaja, tidak dapat menyamai yang ditinggalkan.

Hikmah Berpuasa

Merasai muraqabatullah(pengawasan Allah).
Meningkatkan amal ibadah kita.
Menyihatkan badan.
Menumbuhkan rasa ukhuwwah sesama Muslim. Yang kaya membantu yang miskin, yang biasa kenyang merasai kelaparan orang yang biasa berlapar.

Penetapan Bulan Ramadhan

Melihat anak bulan Ramadhan(Rukyah al-Hilal) pada malam 30 Sya’ban.
Mencukupkan 30 hari bulan Sya’ban. (Hisab)

“Hendaklah kamu berpuasa kerana melihatnya, dan berbuka kerana melihatnya, sekiranya kamu terhalang dari melihatnya, maka sempurnakanlah bilangan Sya’ban selama 30 hari”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

Syarat Wajib Puasa

Islam
Taklif (Beraqal dan baligh)
Tiada keuzuran yang menghalangnya berpuasa atau mengharuskannya berbuka
Halangan-seperti haid dan nifas pada waktu siang atau gila atau pengsan.
Uzur-sakit yang mendatangkan mudarat, bermusafir, tidak mampu berpuasa seperti terlalu tua dan sakit yang tiada harapan sembuh.


Rukun Puasa

1) Niat > pada waktu malam, sebelum terbit fajar, penentuan jenis puasa dan berulang-ulang (setiap malam)
2) Menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa seperti :
a) Makan dan minum
b) Sampai ‘ain (sesuatu) ke dalam al-Jauf (rongga) melalui liang yang terbuka
* al-Jauf ialah otak, atau yang berada antara bawah halkum hingga ke perut.
Liang terbuka seperti mulut, telinga, qubul, dubur.
Setitik air yang masuk telinga membatalkan puasa sebab liang terbuka.
Setitik air masuk ke mata tidak membatalkan puasa kerana liang tidak terbuka.
Suntikan di lubang dubur membatalkan puasa.
Suntikan pada urat tidak membatalkan puasa.
Jika telan air liur, puasa tidak batal sebab susah menghalangnya.
Jika telan air liur yang bernajis seperti gusi luka dan mulutnya tidak dibersihkan, walaupun air liur jernih, puasanya batal.
Jika berkumur atau masuk air ke hidung dan air masuk ke al-Jauf, puasa tidak batal jika tidak melampau ketika wuduk. Jika melampau, batal puasanya.
Jika ada sisa makanan di celah gigi, lalu digerak air liurnya tanpa sengaja, lalu masuk ke perut, puasanya tidak batal. Jika sengaja batal.
Jika dipaksa makan atau minum, puasanya tidak batal kerana ikhitiarnya(mempunyai pilihan) sudah gugur.
c) Muntah dengan sengaja
d) Bersetubuh dengan sengaja walaupun tanpa keluar air mani
e) al-Istimna’ > mengeluarkan air mani dengan sengaja samada melalui percumbuan atau menggunakan tangan. Makruh yang hampir kepada haram bercium pada siang Ramadhan
f) Haid dan nifas > Jika keluar pada siang Ramadhan, batal puasa dan wajib qadha
g) Gila dan murtad


Adab adab Berpuasa

Segerakan berbuka
Lewatkan sahur
Elakkan mengumpat dan kata-kata yang tercela
Mandi junub sebelum fajar
Tidak berbekam(Makruh)
Berdoa sewaktu berbuka
Sedia makanan untuk orang berbuka
Banyak bersedekah, membaca al-Qur’an, bertadarus, dan beriktikaf di masjid pada 10 malam terakhir.


Qadha Puasa

Siapa yang tinggal puasa Ramadhan(sebab sakit dan musafir), wajib qadha sebelum datang Ramadhan akan datang. Jika ambil ringan, dengan tidak qadha puasa hingga masuk tahun berikutnya, berdosa dan wajib qadha dan fidyah.
Fidyah > beri makan orang fakir miskin dengan 1 cupak makanan asasi untuk setiap hari ditinggalkan. (bersamaan 600 gram).
Jika sakit berterusan sampai Ramadhan berikut, tidak wajib kecuali qadha dan tidak perlu keluar fidyah kerana melewatkan qadha ini.

Jika dia meninggal dunia dan tidak sempat qadha, dalam keadaan belum mampu qadha, tidak berdosa dan tidak perlu minta orang lain qadha bagi pihaknya, kerana dia tidak melalaikannya. Jika sebaliknya, berdosa dan wali disunat qadha hari yang ditinggalkan, kerana lalai dari qadha puasa.
“ Barangsiapa yang mati, dan dia masih ada puasa yang tidak diqadha, maka walinyalah yang berpuasa bagi pihaknya”. (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)

“Seorang lelaki datang menemui Nabi SAW, katanya: “Ya Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah mati dan dia meninggalkan satu bulan puasa, apakah aku perlu mengqadha’kannya bagi pihaknya?”. Jawab Baginda “ Ya, hutang Allah lebih berhak untuk dijelaskan”.
Jika tiada yang berpuasa bagi pihak arwah, maka perlu dikeluarkan 1 cupak makanan bagi setiap hari ditinggalkan. Wajib dikeluarkan dari harta pusaka yang ditinggalkan, sama seperti hutang. Jika tiada harta, orang lain boleh keluarkan bagi pihaknya dan terlepaslah dosanya.

Orang yang terlalu tua dan pesakit yang tiada harapan untuk sembuh > wajib membayar fidyah bagi setiap hari ditinggalkan.
Perempuan hamil dan menyusukan anak. Jika berbuka kerana bimbang mudharat kepada dirinya, wajib qadha sebelum datang Ramadhan berikutnya.
Jika berbuka kerana bimbangkan anaknya seperti keguguran atau kekurangan susu untuk menyusu, wajib qadha dan bayar fidyah.


Kaffarah Puasa

Penyebab kaffarah > rosakkan puasa di siang Ramadhan dengan jimak, dengan syarat pelakunya tahu dia berpuasa, tahu perkara itu haram, dan tiada rukhsah(kemudahan) disebabkan musafir.
Siapa yang wajib kaffarah? Wajib pada suami kerana jenayah orang menjimak lebih berat.
Kaffarah > bebaskan hamba yang beriman;lelaki atau wanita, jika tidak mampu, berpuasa 2 bulan berturut-turut, jika tidak mampu, beri makan 60 fakir miskin dengan 1 cupak makanan asasi setiap orang.

Jika tidak mampu buat semua, kaffarah tetap kekal wajib ke atasnya sehingga dia mampu melakukan salah satu darinya.
Kaffarah itu berulang dengan berulangnya hari yang dibatalkan. Jika jimak 2 hari bulan Ramadhan, wajib 2 kaffarah, jika 3 hari, 3 kaffarah, begitulah seterusnya.


Puasa Sunat

1) Puasa pada hari Arafah ( 9 Zulhijjah). Disunatkan kepada yang tidak menunaikan haji.
2) Puasa Hari Asyura dan Tasu’a(10 Muharram dan 9 Muharram). Disunatkan 9 Muharram untuk elak sama dengan Yahudi. Jika tak puasa 9 Muharram, maka perlu puasa 11 Muharram.
3) Puasa hari Isnin dan Khamis
4) Puasa 3 hari setiap bulan(13, 14 dan 15 daripada bulan kalendar Hijrah)
5) Puasa 6 hari bulan Syawal

Diharus batalkan puasa sunat, dan tidak wajib mengqadhakannya, namun hukumnya adalah makruh.

Puasa Makruh dan Haram

Puasa Makruh-khusus pada hari Jumaat/Sabtu sahaja. Puasa seumur hidup.
Puasa Yang Diharamkan – Puasa pada Aidilfitri dan Aidil Adha, puasa 3 hari Tasyriq (3 hari selepas Aidil Adha-11,12 dan 13 Zulhijjah), dan puasa hari syak iaitu 30 Sya’ban.


(Sumber dari Kitab Fiqh al-Manhaji-Dr Mustafa al-Bugho)



21 Ogos 2009, 30 Sya'ban 1430 Hijrah,

3.49 petang, Malaysia Timur

Khamis, 20 Ogos 2009

Ahlan Ya Ramadhan



1) Hari ini akan dibuat pencerapan anak bulan untuk menentukan permulaan Ramadhan.

2) Golongan sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in amat bergembira dengan kedatangan Ramadhan, tetapi kita sebaliknya.

3) Mereka sangat menantikan bulan yang penuh barakah dan mega bonus yang hebat dari Allah, tetapi kita sibuk memikirkan persiapan Aidilfitri.

4) Mereka menghidupkan malam, tetapi kita terus berdengkur hampir seluruh malam, bahkan mengabaikan sahur.

5) Moga Ramadhan kali ini yang terbaik buat kita. Entahkan bila kita akan bertemu lagi. Jika panjang umur, Alhamdulillah, jika tidak inilah Ramadhan yang terakhir!




20 Ogos 2009, 29 Sya'ban 1430 Hijrah,

9.08 pagi, Malaysia Timur

Rabu, 19 Ogos 2009

Nik Aziz Character Assasination!



1) Media massa pro UMNO terus menjaja bahawa Tuan Guru Nik Aziz tetap bertegas penyokong UMNO tidak akan masuk syurga. Dengan pelbagai putar belit yang dilakukan, saya kira ini merupakan pembunuhan karakter(character assasination) terhadap Tuan Guru Nik Aziz.

2) Bahkan, yang lebih dikesalkan, TPM meminta agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa berhubung kenyataan Tuan Guru ini. Di dalam Utusan Malaysia, dipaparkan sekian banyak mesej yang menghentam Tuan Guru Nik Aziz. Dalam Berita Harian juga begitu.

3) Bersempena dengan pilihanraya Permatang Pasir, dengan UMNO dicemari isu calon yang mempunyai masalah integriti, kenyataan Tuan Guru ini diperbesarkan untuk menimbulkan kebencian umat Islam kepada Tuan Guru Nik Aziz. Jika para pembaca membaca kajian saya-Tafsir Ayat 180 Surah al-A'raf ; Satu Penilaian Terhadap Tanggapan Tuhan Samseng, para pembaca akan mendapati ucapan Tuan Guru tidak mengatakan secara langsung bahawa Allah itu samseng, tetapi beliau membuat perbandingan. Jika mu samseng, Aku(Allah) lagi samseng.

4) Bahkan dalam dialek Kelantan, jika seseorang mengatakan "mu jangan nak tunjuk samseng atas aku".(maksudnya-mu jangan nak tunjuk kuat atas aku). Tetapi jika seseorang mengatakan "mu ni kaki samseng", baru ia bermaksud mu ni gedebe(jahat dan suka membuat onar). Tetapi, tidak pernah Tuan Guru Nik Aziz mengatakan bahawa Allah kaki samseng. Kesimpulan kajian itu, saya menyatakan harus menisbahkan samseng kepada Allah dengan maksud kuat, tetapi tidak digalakkan kerana bimbang akan menimbulkan kekeliruan pada masyarakat dan dieksploitasi oleh pihak tertentu.

5) Dalam isu ini juga seakan sama jalan ceritanya. Saya kira apa yang dinyatakan oleh Tuan Guru jelas. Dasar UMNO yang mementingkan kebangsaan dan berfahaman sekular, sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Bacalah buku Almarhum Said Hawwa tentang 20 perkara yang membatalkan syahadah. Di antaranya-tidak yakin dengan pelaksanaan hukum Allah dan tidak meyakini Allah sebagai pemberi rezeki yang hakiki!

6) Tuan Guru Nik Aziz juga menjelaskan, betapa kenyataannya telah diputar belit oleh lidah-lidah jahat(Utusan dan Berita), dan sepatutnya mereka yang membuat komentar terhadap kenyataan beliau, merujuk dahulu dengannya. Jelas Tuan Guru Nik Aziz juga, mereka yang memisahkan iman dengan Islam, mustahil akan masuk syurga. Ini bukan fatwa baru, tetapi telah lama dinyatakan oleh Allah SWT di dalam al-Qur'an.

7) Semoga Tuan Guru Nik Aziz teguh dan istiqamah dalam menyatakan kebenaran, kerana yang dicari hanyalah redha Allah dan bukannya redha manusia!




19 Ogos 2009, 28 Sya'ban 1430 Hijrah,

9.10 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 18 Ogos 2009

Kematian sesuatu yang pasti!



1) Satu persatu berita kematian yang diterima.Bermula dengan kematian Michael Jackson yang menggemparkan dunia, kematian Almarhum Ustaz Dr Fathi Yakan dan al-Syahidah Dr Marwa al-Sharbini, juga membawa gerhana dalam dunia Islam.

2) Di Malaysia, kematian Yasmin Ahmad juga ditangisi. Begitu juga tokoh ulama Sarawak, Almarhum Ustaz Awang Pon yang merupakan bekas Ketua Hakim Mahkamah Syariah Negeri Sarawak yang pertama, meninggal dunia di Kuala Lumpur.

3) Pemergian Ustaz Asri Ibrahim, vokalis Rabbani juga sangat mengejutkan kerana umur arwah yang baru mencecah usia 40 tahun. Kelmarin, seorang profesor yang terkenal dalam bidang Sejarah dan Tamadun Islam di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya ; Profesor Dr Abdul Halim Mat Diah juga kembali ke rahmatullah.

4) Ternyata, kematian adalah sesuatu yang benar. Ia tidak mengenal tua dan muda, miskin atau kaya. Bila ajal tiba, tidak dilambatkan sesaat atau dipercepatkan sesaat. Kematian akibat wabak H1N1 juga sangat menggerunkan.

5) Persoalannya, setiap hari kita mendengar berita kematian. Ada yang pada pandangan zahir kita melalui cara Khusnul Hatimah, dan ada yang sebaliknya. Adakah kita mengambil iktibar dari kematian tersebut? Dan inilah di antara punca doa kita tidak dimakbulkan Allah, iaitu melihat orang yang mati dan menizarahinya, tetapi tidak pernah mengambil iktibar darinya.

6) Dan harapan kita, biarlah matinya kita di dalam iman dan Islam. Juga dalam usaha mendaulatkan agama Allah dan bukan meminggirkannya. Islam UMNO yang tidak membawa ke syurga kata Tuan Guru Nik Aziz, adalah manifestasi terhadap Islam yang menolak pendaulatan syariat Islam. Jadi, mana mungkin mereka yang mengaku muslim, bersolat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji di Baitullah-tetapi bila dicadangkan agar didaulatkan hukum Allah-menolaknya dengan pelbagai alasan, bolehkah diakui ketulenan Islam mereka? Menolak syariat Allah dan menangguhkan hingga ke waktu yang sesuai, adalah sesuatu yang berbeza. Menolak berertinya tidak mahu, tetapi menangguhkan bermaksud menunggu masa yang sesuai.

7) Perjuangan PAS menerangkan kepentingan hukum Islam kepada DAP masih panjang, dan pada waktu yang sama penolakan hukum Allah oleh UMNO, seakan membawa mereka ke jalan mati yang tiada jalan keluarnya!



18 Jun 2009, 27 Sya'ban 1430 Hijrah,

9.38 pagi, Malaysia Timur

Ahad, 16 Ogos 2009

Permatang Pasir ; Peluang 50-50 buat PAS dan UMNO




1) Esok penamaan calon akan diadakan. Dengan wabak H1 N1 yang semakin menular, penyokong dinasihatkan mengehadkan pergerakan dan tidak terlalu ramai hadir di waktu penamaan calon.

2) Dengan pelbagai isu yang melanda Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nsional, Permatang Pasir dilihat medan buku bertemu ruas di antara PAS dan UMNO.

3) Walaupun Almarhum Dato Hamdan Abdul Rahman mengekalkan penguasaan 3 kali pilihanraya berturut-turut, namun harus diingat UMNO pernah memenangi kerusi ini pada tahun 1995.

4) Pertembungan Ustaz Salleh Man, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang dan Rohaizad, SU UMNO Permatang Pauh, dilihat pertembungan yang sengit. Walaupun diakui Permatang Pasir sebagai kubu kuat PAS, tetapi ia tidak boleh dipandang ringan. Apatah lagi, UMNO pasti memainkan pelbagai isu seperti Jeff Oi yang menghina Islam dan ketidaksefahaman antara Ronie Liew dan Datuk Dr Hassan Ali berhubung penjualan arak di Selangor.

5) Namun begitu, BN juga tidak terkecuali dari palitan tindakan tidak proaktif menangani wabak H1 N1 dan skandal PKFZ yang melibatkan Menteri Pengangkutan-Datuk Seri Ong Tee Keat.

6) Kepada petugas pilihanraya di Permatang Pasir, khususnya pendokong greakan Islam, didoakan agar Ramadhan akan datang menjanjikan kemenangan di Permatang Pasir, seumpama kemenangan Tentera Badar pada zaman Rasulullah saw, Insya Allah.



16 Ogos 2008, 25 Sya'ban 1430 Hijrah,

11.24 malam, Malaysia Timur

Khamis, 13 Ogos 2009

al-Fatihah buat Ust Asri Rabbani





1) al-Fatihah buat Almarhum. Lagu-lagu beliau yang sangat berkesan dan menyentuh hati akan tinggal sebagai azimat dan panduan buat umat. Di antaranya-Pergi Tak Kembali, Assalamualaikum, Munajat, Handzalah, Nawaitu, Maulana, Anak Soleh dan banyak lagi.

2) Saya berkesempatan bertemu beliau ketika hampir ingin merakamkan album sewaktu di SMAP Kajang ketika tahun 1995. Tapi, apakan daya, tiada rezeki buat Cetusan Harmoni ketika itu.

3) Peribadi yang luhur, mudah mesra, banyak memberi nasihat-bahkan kata Ramli MS-komposer terkenal-kehilangan Ust Asri tiada gantinya dan peribadi beliau yang sangat hebat. Kata ahli Rabbani-Rahmat Shafie, arwah Ust Asri suka belanja rakan-rakanya yang lain.

4) Meninggal dunia pada hari Khamis, 22 Sya'ban, diberitakan akan ditanam selepas Isya tadi(malam Jumaat) dan pastinya malam ini-Khamis malam Jumaat, ramai umat Islam akan sedeqahkan Yassin buatnya. Moga Husnul Khatimah, Amin.

5) Kita bila lagi? Mati tidak mengenal usia. Kita tidak tahu di mana kita akan mati dan bila kita akan mati. Ya Allah hidupkan kami dengan iman, matikanlah kami dengan iman, himpunkanlah kami di Padang Mahsyar dengan iman dan masukkanlah kami ke dalam syurgamu dengan iman.

6) Malaysia kehilangan sebutir permata dalam bidang seni dakwah Islam. Moga Allah merahmati roh Almarhum. al-Fatihah.

p/s: Saya petik dari blog beliau, mungkinkah ini tulisan beliau saya tidak pasti, tetapi amat menyentuh hati dan sanubari setiap yang membacanya.


Sesuatu yang baik, belum tentu benar. Sesuatu yang benar, belum tentu baik. Sesuatu yang bagus, belum tentu berharga. Sesuatu yang berharga/berguna, belum tentu bagus.

Fikiran yang terbuka dan mulut yang tertutup merupakan suatu kombinasi kebahagiaan.

Semakin banyak Anda berbicara tentang diri sendiri, semakin banyak pula kemungkinan untuk Anda berbohong. Jika Anda tidak bisa menjadi orang pandai, jadilah orang yang baik.

Seorang teman sejati akan membuat Anda hangat dengan kehadirannya, mempercayai akan rahsianya dan mengingat Anda dalam doa-doanya.

Doa memberikan kekuatan pada orang yang lemah, membuat orang tidak percaya menjadi percaya dan memberikan keberanian pada orang yang ketakutan.

Jika kita berbuat baik, kebaikan pula yang akan kita terima kelak.

Senyum tidak hanya akan menampilkan wajah yang cerah, namun juga menghangatkan jiwa.

Cinta itu angkuh dan lembut. Lebih baik memiliki cinta daripada memiliki semua bintang di langit.

Yang penting bukan berapa lama kita hidup, tetapi bagaimana kita hidup.

Nasihat yang baik tidak pernah datang terlambat.

Iri hati yang ditunjukan kepada seseorang akan melukai diri sendiri.

Anda cuma bisa hidup sekali saja didunia ini, tetapi jika anda hidup dengan benar, sekali saja sudah cukup.

Kenangan indah masa lalu hanya untuk dikenang, bukan untuk diingat-ingat.

Rasa takut bukanlah untuk dinikmati, tetapi untuk dihadapi.

Orang bijaksana selalu melengkapi kehidupannya dengan banyak persahabatan.

Lidah anda yang menentukan siapa anda.

Diantara isi rumah tangga, anak-anaklah yang terbaik.

Cinta seringkali akan lari bila kita mencari, tetapi cinta jua seringkali dibiarkan pergi bila ia menghampiri.

Jika kejahatan di balas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim. Tapi jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.

Jika Anda tidak memulai hari ini dengan senyuman, belum terlambat untuk mencubanya pada hari esok.

Buka mata kita lebar-lebar sebelum menikah, dan biarkan mata kita setengah terpejam sesudahnya

Persahabatan sejati layaknya kesehatan, nilainya baru kita sadari setelah kita kehilangannya

Seorang sahabat adalah yang dapat mendengarkan lagu di dalam hatimu dan akan menyanyikan kembali tatkala kau lupa akan bait-baitnya

Bertemanlah dengan orang yang suka membela kebenaran. Dialah hiasan dikala kita senang dan perisai diwaktu kita susah
Namun kita tidak akan pernah memiliki seorang teman, jika kita mengharapkan seseorang tanpa kesalahan. Karena semua manusia itu baik kalau kita bisa melihat kebaikannya dan menyenangkan kalau kita bisa melihat keunikannya tapi semua manusia itu akan buruk dan membosankan kalau kita tidak bisa melihat keduanya.

Tak seorang pun sempurna. Mereka yang mau belajar dari kesalahan adalah bijak. Menyedihkan melihat orang berkeras bahwa mereka benar meskipun terbukti salah

Bila Kita mengisi hati kita dengan penyesalan untuk masa lalu dan kekhawatiran untuk masa depan, kita tak memiliki hari ini untuk kita syukuri.

Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat. (Khalifah Abdul Malik bin Marwan)

Barang siapa yang selalu kekenyangan maka banyaklah dagingnya, dan siapa yang banyak dagingnya maka kuatlah nafsunya. Siapa yang kuat nafsunya maka banyaklah dosanya, siapa yang banyak dosanya maka keraslah hatinya dan siapa yang keras hatinya maka tenggelamlah dia dalam bencana dunia serta keindahannya

Sesungguhnya sebagian perkataan itu ada yang lebih keras dari batu, lebih tajam dari tusukan jarum, lebih pahit daripada jadam dan lebih panas daripada bara. Sesungguhnya hati adalah ladang, maka tanamlah ia dengan perkataan yang baik, karena jika tidak tumbuh semuanya (perkataan yang tidak baik) nescaya tumbuh sebagiannya

Tidak ada simpanan yang lebih berguna daripada ilmu. Tidak ada sesuatu yang lebih beruntung daripada adab. Tidak ada kawan yang lebih bagus daripada akal. Tidak ada benda ghaib yang lebih dekat daripada maut.

Sekali tidak berhasil bukan berarti gagal selamanya.

Kebahagiaan takkan pernah bisa dibeli dengan wang.

Orang yang banyak ketawa itu kurang wibawanya. Orang yang suka menghina orang lain, dia juga akan dihina. Orang yang mencintai akhirat, dunia pasti menyertainya. Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga.

Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah laksana berada di atas mimbar yang terbuat dari cahaya. Mereka itu orang-orang yang berlaku adil dalam menetapkan hukum baik kepada rakyat maupun kepada keluarga.

Tiga sifat yang menyebabkan penyandangnya tidak tenteram dalam hidupnya: iri, dengki, dan akhlak buruk.

Hiduplah sesuka hatimu, Sesungguhnya kamu pasti mati. Cintai siapa saja yang kamu senangi, Sesungguhnya kamu pasti akan berpisah dengannya. Lakukan apa saja yang kamu kehendaki, Sesungguhnya kamu akan memperoleh balasannya

Tidak ada kebaikan bagi pembicaraan kecuali dengan amalan. Tidak ada kebaikan bagi harta kecuali dengan kedermawanan. Tidak ada kebaikan bagi sahabat kecuali dengan kesetiaan. Tidak ada kebaikan bagi sedekah kecuali niat yang ikhlas. Tidak ada kebaikan bagi kehidupan kecuali kesihatan dan keamanan.




13 Ogos 2009, 22 Sya'ban 1430 Hijrah,

10.02 malam, Malaysia Timur

Salam Akhir Sya'ban, Moga Bertemu Ramadhan



1) Salam buat semua pembaca budiman. Hampir 2 minggu, saya tidak sempat update blog ini. Dengan isu yang banyak untuk diulas, saya kira tajuk ini sesuai sebagai pemula bicara.

2) Di Sarawak kini, 3 fenomena utama berlaku iaitu jerebu, El-Nino(musim kemarau) dan H1 N1. Bila saya merenung kembali, apakah ini suatu lagi bahasa Allah berkomunikasi dengan manusia, agar kembali ke jalanNya?

3) Dengan kematian terkini menjangkau 44 orang akibat H1 N1, tidak mustahil ia akan terus meningkat. Benar, doa dan solat hajat perlu dibuat, namun langkah proaktif untuk mencegah H1 N1, lebih baik dari mengubatinya apabila sudah terkena.

4) Isu kemelayuan yang sangat hebat dimainkan dalam Utusan Malaysia, menggambarkan kepada kita betapa UNO dan BN, semakin kuat mengasak Pakatan Rakyat. Isu Jeff Oi di Pulau Pinang yang menuduh JIM sebagai ekstermis dan Ronie Liew di Selangor tentang arak, perlu diambil cakna oleh pimpinan PAS terutamanya. Saya yakin, kebijaksanaan dan dakwah penuh hikmah mampu merungkaikan kekeliruan yang timbul.

5) Sebaliknya kalau benar UMNO dan BN memperjuangkan Islam, mengapa tidak dari dulu lagi mengaharamkan pembinaan kilang arak terbesar di Malaysia yang terletak di Selangor?

6) Kematian Beng Hock, masih menimbulkan tanda tanya walaupun inkues sedang berjalan. Moga kebenaran akan terserlah.

7) PR Permatang Pasir yang penamaan calonnya pada 17 Ogos dan hari pengundian pada 25 Ogos, sekali lagi bakal menguji kewibawaan PAS dalam menghadapi UMNO yang mendabik dada semakin mendapat sokongan rakyat. Moga Ramadhan al-Mubarak menjadi medan kepada ahli gerakan Islam berjihad, samada melalui masa, tenaga dan harta dalam usaha mengekalkan kemenangan, Insya Allah.

7) Akhir kalam, salam akhir Sya'ban dan moga kita bertemu Ramadhan al-Mubarak akan datang



13 Ogos 2009, 22 Sya'ban 1430 Hijrah,

12.56, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude