
1) Allah berfirman dalam surah al-Ra'du "Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka". Para ulama mengulas, apa yang ada pada diri mereka, adalah apa yang ada di dalam hati mereka dari sekalian penyakit mazmumah.
2) Ramadhan menjanjikan peluang untuk kita berubah. Jika tidak, masakan masjid dan surau dipenuhi pada malam hari kerana solat sunat tarawih, yang tidak menutup aurat sebelum ini, ada segan silunya lalu menutup aurat, walaupun tidak sempurna, manakala yang kuat merokok, dapat pula menahan dari merokok sepanjang hari.
3) Ini menandakan kita mampu dan boleh berubah. Tinggal lagi azam dan kemahuan hati yang kuat. Sebab itu, Ramadhan digelar al-Mubarak, iaitu yang diberkati. Masakan tidak, sesungguhnya tiada bulan yang paling hebat tawaran pengampunan dan ganjaran oleh Allah SWT, melainkan di bulan Ramadhan!
4) Justeru, jika nak berubah tanyalah hati, kerana ia kunci segala perubahan. Hati umpama raja dalam diri kita. Ustaz dan alim ulama hanya mampu menyampaikan tazkirah dan panduan, tetapi pokok pangkalnya perubahan bermula dari dalam diri kita yang ditunjangi hati yang tulus ikhlas mengharapkan keredhaan Allah SWT.
5) Dalam teori pengurusan, ada yang dipanggil Management of Change(Mengurus Perubahan). Justeru, jika kita berubah pada bulan Ramadhan, harapannya biarlah ia kekal sehingga akhir hayat kita dengan kematian Husnul Khatimah, Insya Allah. Dan jadilah kita abid Rabbani dan bukannya abid Ramadhani semata-mata.
6) Akhir kalam, Ramadhan bulan yang mengajak kepada perubahan diri dari yang kurang baik kepada lebih baik. Ahlan Ya Ramadhan!
26 Ogos 2009, 5 Ramadhan 1430 Hijrah,
12.12 tengahari, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan