
1) Jumaat digelar Sayyidul Ayyam(Penghulu bagi segala hari). Berada di hari Jumaat pertama Ramadhan tahun ini sangat bermakna. Kematian Prof Datuk Dr Ismail Salleh sangat dirasai, hampir menyamai kematian arwah Ustaz Asri Ibrahim-akibat sakit jantung-pada hari Khamis-dkebumikan selepas maghrib yang juga menandakan bermulanya hari Jumaat mengikut Islam.
2) Sesungguhnya jalan kematian mereka yang mulia diperlihatkan Allah atas dunia lagi, tentang kesenangan mereka menghembuskan nafas terakhir dengan asbab sakit dan tidak berpanjangan menghadapi nazak. Moga syurga balasan buat mereka yang telah mendahului kita dengan iman dan amal soleh.
3) Jumaat pertama Ramadhan ini, mengajar kita betapa mereka yang teguh imannya tiada masalah untuk berpuasa, di samping mendirikan solat Jumaat. Tetapi bagi mereka yang tidak kuat imannya, biasanya puasa menjadi alasan untuk tidak menunaikan solat Jumaat. Moga Allah memberikan hidayah kepada mereka.
4) Jumaat pertama Ramadhan ini juga, membuatkan diri kita termenung seketika melihat manusia sebagai aktor di muka bumi Allah semakin rakus mengejar kekayaan demi kepuasan diri, sanggup menindas orang yang lemah, bahkan tidak kurang juga yang berlumba-lumba mengejar kebaikan di bulan yang diberkati Allah ini.
5) Hanya muhasabah buat diri, sudah berapa juzu' al-Qur'an yang kita baca bersama makna yang difahami ? Berapa banyak sedeqah yang telah dikeluarkan kepada mereka yang memerlukan ? Berapa kali kita tahajjud di tengah malam, memohon keampunan dan petunjuk Allah ? Ternyata, masih banyak lagi kelekaan dalam diri kita kerana terbuai dan terpesona dengan iklan Aidilfitri, yang sudah semakin buas merajai nafsu di hati, hinggakan kita tidak lagi fokus untuk beramal di Ramadhan yang mulia.
6) Moga Ramadhan kali ini yang terbaik dan bermakna buat kita, Amin!
28 Ogos, 7 Ramadhan 1430 Hijrah,
9.56 pagi, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan