Selasa, 30 September 2008

Salam Eidulfitri buat semua



Salam buat semua pembaca budiman. Meneliti trafik ke majoriti blog agak perlahan ketika ini. Saya yakin ini kerana ramai pembaca blog dan bloggers yang pulang ke kampung halaman masing-masing. Di kampung mungkin ada capaian internet dan mungkin tiada langsung-menyebabkan blog tidak dibuka.

Namun begitu, saya berpandangan keadaan ini akan pulih kembali menjelang 6 Oktober, apabila ramai yang mula masuk kerja. Saya pula bagaimana? Maklumlah beraya di perantauan. Di rumah, alhamdulillah ada streamyx menyebabkan saya mengisi masa-masa di akhir Ramadhan pada petang 30 Ramadhan ini, dengan mencoretkan sepatah dua kata.

Beraya di perantauan, sememangnya sedih, kerana tak dapat bersama orang tua dan adik beradik yang dicintai, baik keluarga saya mahupun keluarga isteri. Namun kesedihan itu dapat ditampung sedikit dengan telefon 3G Sony Ericsson milik saya, yang membolehkan kami bersua muka dengan ahli keluarga di Semenanjung walaupun dalam masa yang terbatas-Alhamdulillah. Begitu juga kerinduan kepada keluarga di Semenanjung, sedikit terubat dengan adat orang Semenanjung di Sarawak ini, mungkin kebetulan cuti Aidilfitri kali ini tidak panjang, menyebabkan ramai yang beraya di sini.

Ramai rakan-rakan yang membuat open house samada "Sarawakian" atau "Semenanjungian" menyebabkan suasana raya di sini meriah. Manakan tidak, juadah seperti Nasi Kerabu, Masak Lodeh, Rendang Ayam dan Daging serta Ketupat Nasi dan Lemang juga pemandangan biasa di sini. Alhamdulillah dengan kenalan yang agak ramai dan makin bertambah setiap hari, membuatkan saya mula jatuh cinta dengan Bumi Kenyalang. Namun begitu, tidaklah bermaksud saya ingin terus menetap di sini. Apapun, selagi saya berkhidmat di sini segala pengalaman pahit manis, akan menjadi bekalan yang sangat bermakna buat saya dan keluarga di hari muka.

Perjuangan untuk mempromosi Islam dan mengajak masyarakat tempatan mengamalkan Islam dalam kehidupan, memang berdepan dengan pelbagai ujian dan karenah. Tetapi itulah asam garam perjuangan. Adakala kita dipuja dan ada kala kita dinista. Namun saya yakin, sinar Islam di bumi Sarawak akan kembali cerah, walaupun berhadapan dengan dakyah Kristianisasi melalui Sidang Injil Borneo yang sistematik organisasi dan pengurusan mereka.

Aidilfitri di perantauan kali ini, juga mengajar saya bahawa pengalaman bersama gerakan Islam di Semenanjung suatu ketika dahulu, amat berguna dalam saya menyesuaikan pendekatan dakwah dan islah di sini. Gerakan Islam di sini mungkin agak ketinggalan berbanding di Semenanjung, tetapi potensinya semakin berkembang dari hari ke hari. Rakyat tempatan mula sedar, di atas segala kebobrokan oleh pemimpin yang mereka puja dan julang selama ini.

Insya allah dengan izin Allah, dalam pilihanraya DUN Sarawak pada 2010 nanti, akan menyaksikan tertegaknya mercu tanda dari gerakan Islam yang akan mewakili umat Islam dan non-Muslim yang tertindas, di dalam Sidang DUN nanti-Amin.

Buat akhirnya, saya dan keluarga mengucapkan salam Aidilfitri kepada semua pembaca yang terus setia mengunjungi blog yang tak seberapa ini. Selagi hidup dikandung badan, selagi itu jari ini akan terus menulis demi manfaat bersama. "Sesungguhnya kebenaran itu dari Tuhanmu, maka janganlah kamu tergolong dalam golongan orang yang ragu-ragu".


30 Ramadhan 1429 Hijrah, 30 September 2008,

5.00 petang, Malaysia Timur

Berlalunya Ramadhan ibarat kekasih yang pergi


Salam akhir Ramadhan dari saya buat anda semua pembaca budiman. Berikut beberapa perkara yang boleh kita renungkan bersama :

1) Berlalunya Ramadhan ibarat kekasih yang pergi buat sementara waktu. Ianya pasti dirindui oleh sekalian mukmin soleh. Entah sempat atau tidak untuk berjumpa lagi pada tahun hadapan. Hanya Allah yang berkuasa menentukan.

2) Perginya Ramadhan mengajar diri kita, adakah benar-benar kita telah bergelar graduan muttaqin dari Madrasah Ramadhan. Madrasah yang penuh dengan pendidikan dan tarbiyyah dari Ilahi bagi mereka yang memahami dan melihat kelebihan Ramadhan dengan mata hati.

3) Berakhirnya Ramadhan membuatkan kita bermuhasabah terhadap segala kesalahan, kesilapan, keterlanjuran dan dosa yang pernah dilakukan. Andaikata kita masih meneruskan perkara yang dimurkai Allah sebaik sahaja tibanya 1 Syawal, renungkanlah-adakah puasa dan segala amal ibadat kita diterima Allah pada bulan Ramadhan?

4) Tibanya 1 Syawal, akan menguji sejauh mana istiqamah kita dengan amalan-amalan kebaikan yang dilazimi pada bulan Ramadhan. Ataukah mungkin kita tumbang dengan kehendak nafsu dan bisikan syaitan yang baru bebas selepas dibelenggu selama sebulan. Ternyata untuk istiqamah bukan mudah, tetapi bukan sesuatu yang mustahil.

5) Saya merasakan bahawasanya saya masih gagal untuk memanfaatkan sepenuhnya kelebihan yang ada pada bulan Ramadhan. Kadangkala tidak sempat untuk qiyam, tidak bersungguh dalam pembacaan al-Qur'an. Mungkin benar apa yang terkandung dalam lirik Ramadhan ; Antara 2 Zaman untuk kita hayati bersama.

Ramadhan : Antara 2 Zaman(Nazrey Johani)
Ramadhan, satu nasib tak serupa, peluangnya sama, natijah berbeza
Ramadhan mereka gemilang cemerlang, mukmin berjasa di awal zaman
Ramadhan kami, malang terbuang, muslim berdosa di akhir zaman
Mereka gembira dengan kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu

Malam mereka meriah disimbah nur al-Qur'an
Tapi malam kami muram berkabung dengkur
Mereka berlumba mengejar makrufat
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap taqwa
Jiwa kami gelap didera dosa

Takbir mereka takbir kemenangan, hadiah mujahadah sebulan Ramadhan
Takbir kami, lesu tak bermaya, tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga




30 September 2008, 30 Ramadhan 1429 Hijrah,

4.41 petang, Malaysia Timur

Isnin, 29 September 2008

Ramadhan ; Menjana Integriti Ummah

Di akhir Ramadhan ini, sengaja saya sentuh tajuk di atas sebagai ingatan bersama. Ia bermaksud :

1) Rukun Islam yang lain selain puasa, pasti dapat diketahui oleh orang lain. Jika ada orang memeluk agama Islam, pasti ada saksi yang mendengar dia mengucap 2 kalimah syahadah. Jika seseorang itu rajin solat ataupun tidak, pasti diketahui oleh orang yang terdekat dengannya, kerana perlakuan solat itu nampak. Jika seseorang itu menunaikan zakat, pasti ada wakil dari Baitulmal atau Pusat Zakat. Jika seseorang menunaikan haji, lebih ramai lagi yang menyaksikan. Kalau yang pergi hajinya seorang, biasanya yang menghantar sekampung. Tetapi puasa di bulan Ramadhan menguji integriti diri kita dengan Allah. Senario yang biasa berlaku, apabila seorang pelajar masuk ke dalam kelas dalam keadaan mukanya pucat, tubuhnya lemah longlai. Bila ditanya oleh ustaz " Kenapa letih semacam je ni Mat?"Lalu jawab Mat "Puasa ustaz".(Padahal dalam tandas sekolah, baru sahaja teguk air segelen. Namun oleh kerana pandai berlakon, ustaz pun tak tahu pelajarnya puasa ataupun tidak. Itulah uniknya puasa yang hanya diketahui oleh Allah, para malaikat dan diri kita sahaja, samada kita benar-benar berpuasa ataupun tidak.

2) Ramadhan digelar sebagai Shahrul Qur'an-jadi marilah kita terus istiqamah membaca al-Qur'an, faham apa yang dibaca, berusaha untuk beramal dan memperjuangkan isi kandungan al-Qur'an. Jangan hanya baca Qur'an di bulan Ramadhan sahaja.

3) Ramadhan juga sebagai Shahrul Jud/Shahrul Musawah-justeru janganlah sifat pemurah kita dan menyamaratakan diri kita dengan kelaparan orang yang fakir dan miskin hanya di bulan Ramadhan. Diharapkan agar kita terus konsisten bersedeqah di bulan-bulan yang lain dan memperbanyakkan puasa sunat di bulan-bulan selepas Ramadhan.

4) Ramadhan juga dikenali dengan Shahrul Jihad-pastikan produktiviti kita tidak terhenti hanya kerna berpuasa dan momentum untuk terus menyumbang dalam membantu agama Allah diteruskan pada bulan-bulan yang lain.

5) Biasa disebut CCTV manusia kadangkala membentuk sikap hipokrit di kalangan kita. Depan CCTV, control sampai pijak semut pun tak mati, tapi di belakang CCTV boleh jadi lebih teruk dari hantu. Tetapi CCTV Allah online 24 jam, setiap masa dan detik bahkan akan direwind semula untuk ditayangkan segala perlakuan kita baik ataupun jahat di Padang Mahsyar kelak. Justeru, benarlah Ramadhan sememangnya menjana integriti ummah.

Akhir kalam, dalam baki masa sehari lagi kita akan berpuasa esok, moga Ramadhan kali ini menjanjikan keampunan buat diri kita di atas segala keterlanjuran yang pernah dilakukan. Amin.


29 September 1429 Hijrah, 29 Ramadhan 1429 Hijrah

5.40 petang, Malaysia Timur

Ahad, 28 September 2008

Demi semangat Aidilfitri, bebaskan dan mansuhkan ISA!





Salam buat semua pembaca budiman. Firman Allah swt " Dan jangan kamu cenderung kepada mereka yang zalim, kelak kamu juga akan disambar oleh api neraka". Firman Allah yang lain pula menyatakan "Dan kami turunkan sebahagian dari isi kandungan al-Qur'an itu merupakan penawar dan rahmat bagi orang yang beriman. Dan tiada apa apa yang menimpa ke atas orang yang zalim kecuali kerugian". Di dalam hadith Nabi saw ada menyatakan "3 golongan yang doanya tidak ditolak oleh Allah " Seorang yang bermusafir sehingga dia balik, seorang yang dizalimi sehingga dia dibantu dan seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka".

Telah jelas kepada kita, ISA kini dibantah oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum kerana :


1) Tidak memberikan peluang kepada tahanan untuk membela diri


2) Tidak diberi kebenaran untuk bertemu dengan ahli keluarga dalam tempoh yang lama terutamanya sewaktu menjelang perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali.


3) Nasib keluarga tahanan ISA biasanya terbiar tanpa pembelaan oleh pemerintah. Ada isteri yang tidak kuat pendirian dan perasaan dalam menghadapi penderitaan ditinggalkan oleh suami, akhirnya menuntut cerai. Namun begitu, ramai juga para isteri tahanan ISA yang kekal tabah dan cekal dalam menghadapi ujian yang besar ini.


4) ISA digunakan demi kepentingan politik pemerintah. Ini boleh dilihat apabila Datuk Ahmad Ismail yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman tidak ditahan ISA, sebaliknya wartawan Sin Chewe Jit Poh yang melaporkan apa yang diucapkan beliau yang ditahan ISA. Mungkin oleh kerana pemerintah menyedari kesilapan yang dibuat dan atas alasan penahanan yang tidak masuk akal, akhirnya wartawan berbangsa Cina itu dibebaskan selepas 18 jam ditahan. Dan ini merupakan rekod tahanan paling cepat dibebaskan.


5) Akhir kalam, demi semangat ukhuwwah menjelang Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi, mereka yang berkuasa dalam membuat keputusan berhubung kebajikan tahanan ISA, fikirkanlah nasib keluarga mereka yang sekian lama ditinggalkan. Kalau Zaid Ibrahim boleh meletak jawatan sebagai Menteri kerana tidak bersetuju dengan ISA, kenapa Syed Hamid Albar tidak boleh memikirkan perkara yang sama jika benar anda berkhidmat demi rakyat.


28 September 2008, 28 Ramadhan 1429 Hijrah,

7.30 pagi, Malaysia Timur

Sabtu, 27 September 2008

Mungkinkah malam tadi Lailatul Qadar?


Di antara tanda-tanda Lailatul Qadar yang disebutkan oleh Nabi saw ialah malamnya tidak panas dan tidak sejuk. Dan pagi keesokan harinya, matahari tidak bersinar cerah sebaliknya dengan cahayanya yang redup menerangi alam. Di Kuching malam tadi, permulaannya hujan lebat sebentar diikuti guntur(kilat). Menjelang tengah malam, suasana kembali sunyi dan tenang.

Manakala pagi ini, nampaknya matahari cerah menerangi alam. Adakah kemungkinan Lailatul Qadar boleh berlaku dengan tanda-tandanya berbeza dengan apa yang disebutkan oleh Nabi saw. Apatah lagi, malam tadi merupakan malam ke-27 Ramadhan yang biasanya berlaku Lailatul Qadar.

Walau apapun tanggapan dan sangkaan, kita tidak boleh take for granted. Hanya meyakini Lailatul Qadar akan berlaku pada malam ke-27 atau ke-29 Ramadhan. Lalu kita hanya menghidupkan 2 malam ini sahaja. Sebab itu, Lailatul Qadar dirahsiakan daripada kita agar kita terus istiqamah menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan.

Akhir kalam, malam tadi Lailatul Qadar ataupun tidak, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Kita sebagai hambanya hanya dituntut untuk berusaha mencari dan menghidupkan 10 malam yang terakhir. Salam akhir Ramadhan dari saya sekeluarga di Bumi Kenyalang.


27 September 2008, 27 Ramadhan 1429 Hijrah,

11.00 pagi, Malaysia Timur

Jumaat, 26 September 2008

Dilema seorang pentazkirah/penceramah/pembentang/penyampai/pendakwah


Salam ceria di pagi Jumaat buat semua. Tajuk di atas sengaja saya sentuh kerana ini yang biasa berlaku kepada sesiapa yang pernah bergelar dengan jawatan di atas. Berikut pandangan saya :


1) Firman Allah swt dalam surah al-Saff ayat 2 " Wahai orang-orang yang beriman, mengapa engkau berkata apa yang tidak engkau lakukan. Besar kemurkaan Allah ke atas mereka yang berkata apa yang tidak mereka lakukan". Mengikut Syeikh Abdullah Basmeih di dalam Tafsir Pimpinan al-Rahman-ayat ini sempena sekumpulan pemuda Islam di zaman Nabi saw sebelum datangnya perintah jihad-mereka sanggup mati demi Islam. Tetapi apabila perintah jihad diturunkan, mereka tidak menunaikan apa yang mereka nyatakan sebelum ini.


2) Menjadi dilema kepada penjawat jawatan di atas, apabila kadangkala kita tidak beramal dengan apa yang kita sampaikan. Bahkan yang lebih menyedihkan apabila kebaikan yang kita seru kepada mad'u dan audien, tidak kita laksanakan, sebaliknya kejahatan yang ditegah supaya tidak menghampirinya, kita pula yang melakukan. Dan ini diingatkan oleh Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 44 " Adakah kamu menyuruh manusia melakukan kebaikan, dan pada waktu yang sama kamu lupakan diri kamu sendiri, sedangkan kamu membaca al-Kitab, apakah kamu tidak memikirkannya?"



3) Yang biasa berlaku, kadangkala, mad'u dan audien yang mendengar pesanan kita berubah menjadi lebih baik, sedangkan kita sebagai penjawat jawatan di atas, tidak pun berubah. Hanya kerana kita pandai berceramah, bijak menyusun ayat dan perkataan, kita dihormati dan disanjung. Pada waktu yang sama, kita sendiri tidak berusaha memperbaiki diri sendiri. Pepatah Arab ada mengatakan " Perbaiki diri kamu, waktu yang sama serulah yang yang lain". Ini bermaksud proses pengislahan diri berjalan seiring dengan dakwah di jalan Allah.



4) Sebab itu pesan Sa'id Hawa di dalam kitabnya Jundullah Thaqafatan wa Akhlaqan-mengingatkan 3 ciri penting kepada seorang daie di jalan Allah. Yang pertama ikhlas, yang kedua sabar dengan gelagat mad'u dan yang ketiga beramal dengan apa yang disampaikan.


5) Akhir kalam moga apa yang disentuh ini pada pagi Jumaat yang mulia ini, menjadi ingatan buat saya dan mereka yang pernah menjawat jawatan di atas.


26 Ramadhan 1429 Hijrah, 26 September 2008,

8.35 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 25 September 2008

Apa dah jadi dengan sistem LRT?

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Hampir 300 penumpang terkandas kira-kira 30 minit apabila dua buah tren Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid-KL Aliran Ampang berlanggar kira-kira 200 meter dari stesen LRT Bukit Jalil di sini petang ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian pukul 6.32 petang itu, empat penumpang cedera ringan termasuk Ah See Nean, 21, iaitu sepupu Menteri Pengangkutan, Datuk Ong Tee Keat, diberi rawatan sebagai pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dekat sini.Tiga lagi mangsa ialah Khoo Chin Lay, 34, Kwai Sai Bean, 55, dan Yap Sau Yee, 29.

Keadaan diburukkan lagi apabila alat penghawa dingin dan lampu tren tersebut tiba-tiba tidak berfungsi menyebabkan penumpang terutama wanita dan kanak-kanak mula panik.Kejadian itu menyebabkan penumpang bertindak sendiri membuka pintu kecemasan tren bagi menyelamatkan diri.Mereka terpaksa berjalan seorang demi seorang di lorong kecemasan di tepi landasan sebelum bantuan tiba 20 minit kemudian.


Ulasan : Nampaknya pihak pengurusan LRT perlu memastikan kejadian ini tidak berulang lagi. Dalam keadaan sistem pengangkutan awam di negara kita yang masih tidak efisyen, kemalangan seperti ini memburukkan lagi imej pengangkutan awam kita.




Harapan yang hanya tinggal harapan

PUTRAJAYA 24 Sept. – Kerajaan mengumumkan harga runcit petrol RON97 dan RON92 dikurangkan 10 sen iaitu masing-masing daripada RM2.55 seliter kepada RM2.45 seliter dan RM2.40 seliter kepada RM2.30 seliter berkuat kuasa esok.Pada masa sama, harga runcit diesel juga dikurangkan 10 sen iaitu daripada RM2.50 seliter kepada RM2.40 seliter.

Perdana Menteri berkata: “Dengan mengaplikasikan formula yang diguna pakai oleh kerajaan dalam menentukan harga runcit minyak sebelum ini, pengurangan 10 sen ini ialah nilai pengurangan maksimum yang dapat diberi oleh kerajaan.”

Abdullah memberitahu, keputusan untuk melakukan pelarasan harga petrol dan diesel itu juga dibuat kerana mesyuarat Jemaah Menteri pagi ini adalah yang terakhir untuk September dan sebelum sambutan Aidilfitri pada 1 Oktober ini.Beliau berkata, harga baru petrol dan diesel itu merupakan pelarasan harga kedua dilakukan oleh kerajaan setelah pelarasan pertama pada 23 Ogos lalu.

Pada Jun lalu, kerajaan menaikkan harga minyak buat pertama kalinya pada tahun ini. Ketika itu harga petrol ditetapkan pada RM2.70 seliter manakala diesel RM2.58 seliter.Dengan penurunan harga minyak hari ini, ini bermakna dalam tempoh tiga bulan lalu kerajaan telah menurunkan harga petrol sebanyak 25 sen seliter.

Ulasan : Dengan jangkaan penganalisis ekonomi bahawa harga minyak akan turun antara 30 sen hingga 40 sen demi mengurangkan beban rakyat, ternyata tidak menjadi kenyataan. Mungkin pemerintah terpaksa mengakui bahawa menaikkan minyak secara mendadak sebanyak RM0.78 sen tempoh hari adalah keputusan yang salah. Hasilnya dapat dirasai sehingga kini. Dan orang ramai pasti berkata " Naik minyak sampai 78 sen, turun baru 25 sen-tak berbaloi. Barang dah naik, semua dah naik. Minyak turun, harga barang tak turun pun!"Saya yakin itulah ungkapan yang biasa kita dengar di mana-mana. Bukan tidak bersyukur minyak turun 10 sen, tetapi orang ramai nampaknya tak kisah kerana semua barang telah naik dan inflasi semakin meningkat. Awas buat pemerintah, tidak mustahil akan berlaku tsunami dashyat kali kedua pada PRU ke-13(itupun kalau kerajaan baru tidak dibentuk dalam masa terdekat)kerana rakyat kini semakin cerdik dan sedar dan akan menghukum pemerintah dalam undi rahsia mereka!

Rabu, 24 September 2008

Harapan di Hari Lebaran

Mungkin masih terlalu awal saya mengungkapkan perkara ini. Tetapi ada beberapa perkara yang ingin saya cetuskan untuk direnung bersama. Di antaranya ialah :

1) Harapan rakyat marhaen keseluruhan supaya harga minyak diturunkan menjelang hari lebaran. Ia akan diputuskan oleh mesyuarat Kabinet pada hari ini. Setelah inflasi meningkat secara mendadak, kenaikan harga barang dan nilai wang ringgit yang semakin merosot, kita mengharapkan agar pemerintah kini mengambil kira kepentingan rakyat terutamanya golongan yang miskin dan golongan pertengahan.

2) Harapan rakyat negara ini untuk menyaksikan agar kerajaan yang memerintah adalah kerajaan yang stabil Tekanan demi tekanan ke atas Pak Lah untuk mengundur dari jawatan PM samada diganti oleh Najib atau Anwar Ibrahim masih dinanti-nantikan oleh kita. Harapan saya khususnya buat PAS, segala pendirian yang diambil berhubung pembentukan kerajaan baru nanti perlu mencerminkan pendirian keseluruhan pimpinan dan ahli. Apa yang lebih penting Islam terus didaulatkan sebagaimana kenyataan Tuan Guru Haji Hadi Awang.

3) Harapan kita bersama agar kemalangan jalan raya dapat diminimumkan sebanyak mungkin demi memastikan tidak ada ahli keluarga yang akan bersedih di hari lebaran nanti. Buatlah pemeriksaan kenderaan, solat sunat musafir dan bacaan doa sebelum musafir agar perjalanan kita diberkati dan dilindungi oleh Allah swt.


4) Harapan kita juga sebagai umat Islam akhir zaman, agar dapat menghidupkan baki 5 atau 6 malam yang terakhir dari Ramadhan ini, agar dapat kita bertemu dengan Lailatul Qadar. Saya akui bukan mudah untuk bangun menghidupkan malam-malam terakhir ini. Hanya niat, azam dan kesungguhan yang kuat dan bantuan dari Allah yang memilih hambaNya yang terbaik untuk bermunajat pada malam hari. Bahkan yang paling penting, agar kita terus istiqamah dengan amalan-amalan hebat di bulan Ramadhan untuk diteruskan pada bulan-bulan lain. Antara yang dituntut ialah menghidupkan malam Aidilfitri dan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal. Jangan oleh kerana terlalu banyak jemputan menghadiri open house, lalu kita beralasan tidak sempat untuk berpuasa sunat. Minta dijauhkan dari sikap begini.


5) Akhir kalam, harapan dari saya sendiri dan keluarga di Bumi Kenyalang ini, yang tidak balik ke Semenanjung pada Aidilfitri ini, berharap agar kedua orang tua dan mentua saya tidak bersedih dengan ketiadaan kami. Nak kata kami tak sedih tak juga, tapi kami anggap inilah pengalaman pertama beraya di perantauan. Insya allah, Aidiladha bulan Disemebr nanti kami akan pulang. Bonus yang diperoleh tidak kami lupakan untuk diberikan sebahagiannya kepada orang tua kami agar mereka dapat merasai gaji yang kami peroleh dan terus diberkati oleh Allah swt. Biar jauh di mata tapi tetap dekat di hati. Biarpun tidak bersama di Aidilfitri, kami tetap berharap agar keluarga kami di Semenanjung dapat menyambut Aidilfitri sebagaimana biasa walaupun tanpa kami.


24 September 2008, 24 Ramadhan 1429 Hijrah,
10.00 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 23 September 2008

Moga kita bertemu Lailatul Qadar

Salam untuk semua. Maaf kerana sekali lagi saya gagal mengemaskini blog setelah posting terakhir pada 11 September. Dengan tajuk di atas, saya ingin nyatakan seperti berikut :
1) Umur Nabi Adam a.s. 1000 tahun, manakala Nabi Nuh a.s. 950 tahun. Nabi Muhammad saw wafat pada umur 63 tahun. Bahkan sabda Nabi saw " Umur umatku di antara 60-70 tahun". Besar anugerah Allah buat Nabi saw dan umatnya-Lailatul Qadar yang lebih baik dari 1000 bulan yang sama dengan 83 tahun 4 bulan. Andaikata jika kita bertemu sekurang-kurangnya 10 kali dalam seumur hidup Lailatul Qadar ini, bukankah hampir 840 tahun ++? Subhanallah.
2) 10 malam yang akhir dugaan yang buat besar bagi umat Islam akhir zaman yang majoritinya iman mereka senipis kulit bawang. Kalau para sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in berusaha mencari Lailatul Qadar di 10 malam akhir, kita sibuk di "Lailatul Pasar". Kalau Nabi saw lebih bersungguh menghidupkan 10 malam yang terakhir, kita lebih bersungguh untuk menyiapkan persiapan raya. Tukar langsir raya, buat kuih raya, test baju raya, beli sofa raya. Agaknya hantu raya pun pening, aku pun tak beraya macam ni!
3) Nabi saw sebut Lailatul Qadar pada 10 malam yang terakhir. Nabi detailkan lagi pada malam yang ganjil iaitu malam 21, 23, 25, 27 atau 29. Suasana pada malam itu, tidak sejuk dan tidak panas. Keadaannya nyaman dan sejahtera dan pagi esoknya matahari redup, tidak memancar. Tapi ada juga di kalangan kita yang take for granted, menghidupkan hanya malam-malam yang ganjil sebab berpandukan kepada panduan Nabi saw tadi. Sebaiknya tak perlu memilih, sama-sama kita hidupkan 10 malam tersebut, tak kira malam genap atau ganjil. Sesungguhnya disembunyikan Lailatul Qadar seumpama mati dari kita, untuk mendorong kita terus beramal.
4) Dalam suasana politik yang masih belum stabil, kita mengharapkan dengan keberkatan Ramadhan, negara kembali aman dan damai. 16 September mungkin telah berlalu, tetapi saya yakin dalam keadaan UMNO dan BN masih terumbang ambing, rakyat masih menunggu-nunggu sinar harapan agar Malaysia ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Sama-sama kita tunggu. Akhir kalam, selamat beramal dan selamat bertemu Lailatul Qadar.
23 September 2008, 23 Ramadhan 1429 Hijrah
8.10 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 11 September 2008

Ramadhan ; Bulan Menjana Perubahan

Sidang pembaca budiman, izinkan saya mencoret beberapa isu dan perkara untuk dihayati bersama :
1) Ramadhan al-Mubarak tahun ini membawa bersamanya rahmat dan keberkatan dari Allah. Namun masih ada yang tidak segan silu, tidak berpuasa. Ada yang berpuasa tapi tidak solat. Ada yang berpuasa tetapi kata-kata lucah dan kotor masih diungkap. Ada juga yang berpuasa, tetapi masih berani mendedahkan aurat. Ada juga yag mungkin baru berkahwin di bulan Sya'ban, lalu "accident" pada bulan Ramadhan yang mulia ini-walaupun telah diingatkan. Ada yang berpuasa tetapi cukup suka membazir dengan makanan yang penuh atas meja hidangan, sehinggakan akhirnya banyak makanan yang terpaksa dibuang begitu sahaja. Ternyata, meskipun syaitan dibelenggu, tetapi ingat, nafsu masih bersama dengan manusia. Tidak mustahil perkara di atas terjadi kerana kita mendaulatkan nafsu di dalam diri dan membiarkan ianya bermaharajalela.
2) Ramadhan al-Mubarak menyaksikan landskap politik tanahair masih belum stabil sepenuhnya. Dengan Pakatan Rakyat yakin untuk membentuk kerajaan baru pada 16 atau 20 September, pemerintah sedia ada semakin panik sehinggakan terpaksa "menyembunyikan" 49 Ahli Parlimen yang dikaitkan untuk lompat parti. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, rakyat cenderung untuk percaya mungkin berlaku perubahan ini. Namun, tidak sedikit yang yakin, kerajaan baru ini juga tidak bertahan lama. Walau apapun nanti, kita berdoa kepada Allah, agar dengan ketentuanNya sahaja yang akan membuktikan samada perubahan ini bakal berlaku atau tidak. Dan kita berdoa sekiranya kerajaan baru menggantikan pemerintah yang sedia ada, biarlah kerajaan baru ini benar-benar mendaulatkan Islam dalam pemerintahannya di samping mengekalkan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, dan pada waktu yang sama tidak mengabaikan hak kaum-kaum yang lain.
3) Ramadhan al-Mubarak juga menjadi medan hero Melayu yang baru ; Datuk Ahmad Ismail. Ada yang melihat secara positif dan ada yang melihat secara negatif. Secara positifnya, orang Melayu mungkin akan menganggap beliau adalah hero Melayu zaman moden sehingga akhirya digantung keahlian UMNO. Dan negatifnya, sentimen perkauman semakin kuat membara. Bagi saya, ia tidak lebih dari sandiwara di antara UMNO dan Gerakan yang cuba meraih perhatian dengan isu sebegini. Di kala PAS semakin mendapat sokongan dari bukan Islam, dan PKR yang merupakan parti pelbagai kaum, nampaknya UMNO dan Gerakan masih menari mengikut rentak lama dengan meniupkan semangat api perkauman. Justeru, sekali lagi saranan saya, Pakatan Rakyat tidak harus terperangkap dengan isu ini.
4) Ramadhan al-Mubarak kali ini juga, menyaksikan saya dan keluarga buat tahun kedua menyambut puasa jauh di perantauan. Dan Insya Allah, akan beraya buat pertama kali di perantauan setelah hampir 27 tahun bersama dengan keluarga tercinta. Biar jauh di mata, tetapi dekat di hati. Biar jauh di perantauan, tetapi kenangan bersama tetap di ingatan. Ramadhan di Bumi Kenyalang mengajar saya 1001 keinsafan agar bersyukur dengan sekian banyak nikmat yang diperoleh, di kala begitu banyak golongan yang fakir dan miskin dinafikan hak dan diabaikan keperluan mereka.
11 September 2008, 11 Ramadhan 1429 Hijrah,
1.35 petang, Malaysia Timur.

Selasa, 9 September 2008

Awas ; Sentimen perkauman mula disemarakkan

Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Datuk Ahmad Ismail dalam sidang akhbarnya semalam, boleh saya rumuskan begini :
1) UMNO dalam keadaan tertekan, lalu membangkitkan isu perkauman yang mengundang kemarahan golongan Cina.
2) Tidak mustahil, ini adalah salah satu strategi untuk menghalang kemaraan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan baru pada 16 September. Lalu, bila isu semakin panas, darurat mungkin akan diisytiharkan.
3) Pakatan Rakyat perlu bersiap siaga dari segala sudut untuk memastikan mereka tidak dijadikan kambing hitam dalam pertelagahan di antara UMNO P.Pinang dengan Gerakan P.Pinang dan MCA P.Pinang.
4) Lawatan 41 ahli Parlimen BN ke Taiwan menampakkan alasan dangkal yang amat tidak logik ; pergi untuk meninjau teknologi pertanian. Persoalannya kenapa sekarang dan kenapa tidak sebelum ini?
5) Selisih faham di antara Mufti Perlis dan KP JAKIM berhubung isu laporan polis ke atas Raja Petra mengenai blognya yang mengandungi artikel menghina Islam, perlu diselesaikan dengan musyawarah secara bersemuka. Amat tidak manis pemuka agama yang mempunyai kuasa dan pengaruh bertelagah di dalam surat khabar. Secara peribadi saya bersetuju dengan pandangan KP Jakim bahawa, Mufti Perlis sepatutnya merujuk beliau terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan. Mufti Perlis juga sepatutnya menghormati KP JAKIM dan tidak menyindir sebegitu rupa, dan alangkah baik sekiranya pandangan beliau disalurkan melalui saluran yang betul.
Akhir kalam, dalam keadaan yang serba tidak menentu mutakhir ini, Pak Lah perlu tegas dengan mengambil tindakan kepada Datuk Ahmad Ismail ; yang menimbulkan sentimen perkauman. Jika tidak, kita bimbang tragedi 13 Mei 1969 mungkin akan berulang kembali. Wal'iya zu billahi min zalik.
9 September 2008, 9 Ramadhan 1429 Hijrah
11.30 pagi, Malaysia Timur.

Isnin, 8 September 2008

Sepagi bersama mahasiswa di bumi Kenyalang

Salam buat semua pembaca budiman. Hari minggu semalam amat bermakna buat saya, kerana dapat bersama dengan 30-40 orang siswa dan siswi dari pelbagai IPTA dan Institusi Politeknik. Melihat kepada wajah-wajah mereka, mengingatkan kembali saya tentang pengalaman sewaktu memimpin gerakan mahasiswa di kampus dahulu. Benar, banyak ujian dan dugaannya. Hanya mereka yang memiliki keikhlasan, kefahaman, semangat, idealisme dan daya pengorbanan yang tinggi mampu menghadapinya.
Terima kasih kepada sahabat-sahabat sepengajian di kampus dahulu yang banyak membantu dan memberikan sokongan sehingga saya berjaya menjadi apa yang saya miliki kini. Saya diajar ilmu kepimpinan, ilmu berkomunikasi, ilmu pergaulan dan banyak lagi ilmu yang sangat bermanfaat.
Saya katakan kepada adik-adik mahasiswa ini, bahawasanya perjuangan mendaulatkan Islam di kampus ada cabaran yang kadangkala tidak terduga. Berdemonstrasi, surat tunjuk sebab, diikuti SB dan pelbagai lagi ancaman untuk menakutkan kita sentiasa ada. Dengan keyakinan Allah bersama dengan kita dan membantu mereka yang berjuang menegakkan agamaNya, saya juga yakin rezeki di tangan Allah.
Kini, walaupun telah berjawatan, tetap tidak menghalang saya untuk menyatakan pandangan dan pendapat terutamanya melalui blog kesayangan saya ini. Cuma mungkin ada beberapa peraturan yang membataskan saya, namun persoalan untuk menyatakan kebenaran pada tempatnya masih menjadi agenda saya. Apatah lagi, saya berdoa kepada Allah agar terus istiqamah dalam membantu agamaNya, agar didaulatkan di bumi bertuah ini dan sehidup semati dengan perjuangan Islam.
Saya memberi beberapa cadangan kepada adik-adik mahasiswa dalam memperkasakan gerakan mahasiswa di bumi Kenyalang ini perlu diberi tumpuan kepada aspek berikut :
a) Matlamat dan hala tuju yang jelas
b) Pengukuhan organisasi
c) Melahirkan pelapis yang berkualiti
d) Sistem database yang sistematik
e) Linkage yang meluas dengan pelbagai pihak
f) Mailing list dan blog sebagai wadah untuk perbincangan sesama ahli
g) Usrah on line
h) Penjanaan ekonomi
Akhir kalam, sebagai rumusan saya sebutkan kepada mereka, bahawa wadah organisasi yang akan digerakkan nanti, perlu atas dasar kesedaran inilah wadah yang boleh mencetuskan gelombang perubahan di kalangan mahasiswa di bumi Kenyalang. Selain itu, ia merupakan wadah untuk menyelaraskan segala aktiviti pentarbiahan di kampus. Semoga sepagi bersama mereka semalam, dapat mencetuskan semangat dan motivasi untuk mereka bergerak walaupun pelbagai kekangan akan dihadapi.
8 September 2008, 8 Ramadhan 1429 Hijrah,
11.26 pagi, Malaysia Timur

Jumaat, 5 September 2008

Moga Ramadhan kali ini yang terbaik!






Salam buat semua pembaca budiman. Maafkan saya kerana lama tidak menulis dalam blog ini. Apapun diharapkan agar artikel-artikel yang sedia ada dapat dimanfaatkan. Khususnya yang baru menjengah blog ini. Ada seorang sahabat bertanya di mana saya boleh dapatkan artikel tentang Ramadhan-lalu saya beri alamat blog ini. Mudah-mudahan hajat beliau dipenuhi.


Kini banyak isu yang melanda, dan boleh saya rumuskan seperti berikut :


1) Impian Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat untuk membentuk Kerajaan Pusat yang baru masih dinantikan dengan penuh debaran pada 16 September ini. Adakah ianya akan berlaku? Semuanya atas ketentuan Allah. Tetapi mengabil pandangan Naib Presiden PAS-Tuan Haji Muhamad Sabu-kerajaan begini biasanya tak kukuh dan tak berwibawa. Apapun sama-sama kita nantikan.


2) Nasib anak kapal warga Malaysia yang masih menjadi tebusan lanun di Teluk Eden. Kenapa nampaknya seolah-olah kerajaan lambat bertindak dan tidak fokus kepada usaha menyelamat warga kita kerana nyawa mereka terancam? Diharapkan pihak ATM dapat bertindak proaktif menasihati kerajaan dalam hal ini.


3) Corak berita yang berat sebelah oleh Utusan Malaysia masih diamalkan walaupun setelah hampir 7 bulan PR memerintah 5 buah negeri, terutamanya kini hebat diasak MB Perak yang kononnya mengutamakan SMPC(Sek Men Persendirian Cina) dengan menganugerahkan 400 ekar tanah kepada mereka. Namun begitu, tegas MB Perak sekolah agama rakyat juga sedang dibantu dengan anugerah tanah sebanyak 1000 ekar. Saya yakin, jika PR memerintah kelak, sidang pengarang Utusan Malaysia dan TV3 perlu ditukar kerana bias yang melampau kepada pemerintah kini.


4) al-Fatihah buat Pak Samad Ismail yang meninggal dunia kelmarin. Tokoh wartawan dan nasionalis yang perjalanan hidupnya penuh berwarna warni.


5) Dalam menyambut Ramadhan tahun ini, saya tertarik dengan satu mesej yang diterima :
Apabila anda menyambut Ramadhan pastikan :
a) Setting niat (puasa kerana Allah)
b) Upgrade ibadah (lebih hebat dari bulan lain)
c) Update doa (banyakkan doa terutama agar diampunkan dosa selama ini)
d) Upload usaha (jangan jadi alasan produktiviti menurun sebab berpuasa)
e) Download sabar (bulan puasa banyak dugaannya)
f) Top-up ilmu(hadiri majlis ilmu sepanjang Ramadhan)
g) Delete dosa (bukan sekadar tahan lapar dan dahaga, mulut, mata dan telinga kena jaga)
h) Semuanya dibuat agar dapat redeem pahala di akhirat

Akhir kalam, moga Ramadhan kali ini yang terbaik buat kita semua. Amin.


6 September 2008, 6 Ramadhan 1429 Hijrah

11.00 pagi, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude