Sidang pembaca budiman, izinkan saya mencoret beberapa isu dan perkara untuk dihayati bersama :
1) Ramadhan al-Mubarak tahun ini membawa bersamanya rahmat dan keberkatan dari Allah. Namun masih ada yang tidak segan silu, tidak berpuasa. Ada yang berpuasa tapi tidak solat. Ada yang berpuasa tetapi kata-kata lucah dan kotor masih diungkap. Ada juga yang berpuasa, tetapi masih berani mendedahkan aurat. Ada juga yag mungkin baru berkahwin di bulan Sya'ban, lalu "accident" pada bulan Ramadhan yang mulia ini-walaupun telah diingatkan. Ada yang berpuasa tetapi cukup suka membazir dengan makanan yang penuh atas meja hidangan, sehinggakan akhirnya banyak makanan yang terpaksa dibuang begitu sahaja. Ternyata, meskipun syaitan dibelenggu, tetapi ingat, nafsu masih bersama dengan manusia. Tidak mustahil perkara di atas terjadi kerana kita mendaulatkan nafsu di dalam diri dan membiarkan ianya bermaharajalela.
2) Ramadhan al-Mubarak menyaksikan landskap politik tanahair masih belum stabil sepenuhnya. Dengan Pakatan Rakyat yakin untuk membentuk kerajaan baru pada 16 atau 20 September, pemerintah sedia ada semakin panik sehinggakan terpaksa "menyembunyikan" 49 Ahli Parlimen yang dikaitkan untuk lompat parti. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, rakyat cenderung untuk percaya mungkin berlaku perubahan ini. Namun, tidak sedikit yang yakin, kerajaan baru ini juga tidak bertahan lama. Walau apapun nanti, kita berdoa kepada Allah, agar dengan ketentuanNya sahaja yang akan membuktikan samada perubahan ini bakal berlaku atau tidak. Dan kita berdoa sekiranya kerajaan baru menggantikan pemerintah yang sedia ada, biarlah kerajaan baru ini benar-benar mendaulatkan Islam dalam pemerintahannya di samping mengekalkan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera, dan pada waktu yang sama tidak mengabaikan hak kaum-kaum yang lain.
3) Ramadhan al-Mubarak juga menjadi medan hero Melayu yang baru ; Datuk Ahmad Ismail. Ada yang melihat secara positif dan ada yang melihat secara negatif. Secara positifnya, orang Melayu mungkin akan menganggap beliau adalah hero Melayu zaman moden sehingga akhirya digantung keahlian UMNO. Dan negatifnya, sentimen perkauman semakin kuat membara. Bagi saya, ia tidak lebih dari sandiwara di antara UMNO dan Gerakan yang cuba meraih perhatian dengan isu sebegini. Di kala PAS semakin mendapat sokongan dari bukan Islam, dan PKR yang merupakan parti pelbagai kaum, nampaknya UMNO dan Gerakan masih menari mengikut rentak lama dengan meniupkan semangat api perkauman. Justeru, sekali lagi saranan saya, Pakatan Rakyat tidak harus terperangkap dengan isu ini.
4) Ramadhan al-Mubarak kali ini juga, menyaksikan saya dan keluarga buat tahun kedua menyambut puasa jauh di perantauan. Dan Insya Allah, akan beraya buat pertama kali di perantauan setelah hampir 27 tahun bersama dengan keluarga tercinta. Biar jauh di mata, tetapi dekat di hati. Biar jauh di perantauan, tetapi kenangan bersama tetap di ingatan. Ramadhan di Bumi Kenyalang mengajar saya 1001 keinsafan agar bersyukur dengan sekian banyak nikmat yang diperoleh, di kala begitu banyak golongan yang fakir dan miskin dinafikan hak dan diabaikan keperluan mereka.
11 September 2008, 11 Ramadhan 1429 Hijrah,
1.35 petang, Malaysia Timur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan