Salam buat semua pembaca budiman. Firman Allah swt " Dan jangan kamu cenderung kepada mereka yang zalim, kelak kamu juga akan disambar oleh api neraka". Firman Allah yang lain pula menyatakan "Dan kami turunkan sebahagian dari isi kandungan al-Qur'an itu merupakan penawar dan rahmat bagi orang yang beriman. Dan tiada apa apa yang menimpa ke atas orang yang zalim kecuali kerugian". Di dalam hadith Nabi saw ada menyatakan "3 golongan yang doanya tidak ditolak oleh Allah " Seorang yang bermusafir sehingga dia balik, seorang yang dizalimi sehingga dia dibantu dan seorang yang berpuasa sehingga dia berbuka".
Telah jelas kepada kita, ISA kini dibantah oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum kerana :
1) Tidak memberikan peluang kepada tahanan untuk membela diri
2) Tidak diberi kebenaran untuk bertemu dengan ahli keluarga dalam tempoh yang lama terutamanya sewaktu menjelang perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali.
3) Nasib keluarga tahanan ISA biasanya terbiar tanpa pembelaan oleh pemerintah. Ada isteri yang tidak kuat pendirian dan perasaan dalam menghadapi penderitaan ditinggalkan oleh suami, akhirnya menuntut cerai. Namun begitu, ramai juga para isteri tahanan ISA yang kekal tabah dan cekal dalam menghadapi ujian yang besar ini.
4) ISA digunakan demi kepentingan politik pemerintah. Ini boleh dilihat apabila Datuk Ahmad Ismail yang mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman tidak ditahan ISA, sebaliknya wartawan Sin Chewe Jit Poh yang melaporkan apa yang diucapkan beliau yang ditahan ISA. Mungkin oleh kerana pemerintah menyedari kesilapan yang dibuat dan atas alasan penahanan yang tidak masuk akal, akhirnya wartawan berbangsa Cina itu dibebaskan selepas 18 jam ditahan. Dan ini merupakan rekod tahanan paling cepat dibebaskan.
5) Akhir kalam, demi semangat ukhuwwah menjelang Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi, mereka yang berkuasa dalam membuat keputusan berhubung kebajikan tahanan ISA, fikirkanlah nasib keluarga mereka yang sekian lama ditinggalkan. Kalau Zaid Ibrahim boleh meletak jawatan sebagai Menteri kerana tidak bersetuju dengan ISA, kenapa Syed Hamid Albar tidak boleh memikirkan perkara yang sama jika benar anda berkhidmat demi rakyat.
28 September 2008, 28 Ramadhan 1429 Hijrah,
7.30 pagi, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan