Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Datuk Ahmad Ismail dalam sidang akhbarnya semalam, boleh saya rumuskan begini :
1) UMNO dalam keadaan tertekan, lalu membangkitkan isu perkauman yang mengundang kemarahan golongan Cina.
2) Tidak mustahil, ini adalah salah satu strategi untuk menghalang kemaraan Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan baru pada 16 September. Lalu, bila isu semakin panas, darurat mungkin akan diisytiharkan.
3) Pakatan Rakyat perlu bersiap siaga dari segala sudut untuk memastikan mereka tidak dijadikan kambing hitam dalam pertelagahan di antara UMNO P.Pinang dengan Gerakan P.Pinang dan MCA P.Pinang.
4) Lawatan 41 ahli Parlimen BN ke Taiwan menampakkan alasan dangkal yang amat tidak logik ; pergi untuk meninjau teknologi pertanian. Persoalannya kenapa sekarang dan kenapa tidak sebelum ini?
5) Selisih faham di antara Mufti Perlis dan KP JAKIM berhubung isu laporan polis ke atas Raja Petra mengenai blognya yang mengandungi artikel menghina Islam, perlu diselesaikan dengan musyawarah secara bersemuka. Amat tidak manis pemuka agama yang mempunyai kuasa dan pengaruh bertelagah di dalam surat khabar. Secara peribadi saya bersetuju dengan pandangan KP Jakim bahawa, Mufti Perlis sepatutnya merujuk beliau terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan. Mufti Perlis juga sepatutnya menghormati KP JAKIM dan tidak menyindir sebegitu rupa, dan alangkah baik sekiranya pandangan beliau disalurkan melalui saluran yang betul.
Akhir kalam, dalam keadaan yang serba tidak menentu mutakhir ini, Pak Lah perlu tegas dengan mengambil tindakan kepada Datuk Ahmad Ismail ; yang menimbulkan sentimen perkauman. Jika tidak, kita bimbang tragedi 13 Mei 1969 mungkin akan berulang kembali. Wal'iya zu billahi min zalik.
9 September 2008, 9 Ramadhan 1429 Hijrah
11.30 pagi, Malaysia Timur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan