Rabu, 12 Disember 2007

Demonstasi aman perlu dibenarkan


Saya sebenarnya mahu mengulas temubual NST Ahad lepas bersama bekas Pengerusi SUHAKAM, bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Tun Musa Hitam. Saya dapati apa yang diperkatan oleh Musa dalam temubual itu sungguh menarik dan sepatutnya membuka minda, mata dan telinga banyak pihak.

Tetapi kerana beberapa peristiwa besar berlaku kebelakangan ini, maka cuma pagi ini saya ada sedikit kesempatan.

Kebetulan temubual itu berhubung dengan hak asasi rakyat terutama hak untuk berhimpun dan bersuara. Dan kebetulan hak itulah yang telah dinafi dan dicabuli rerutama semalam sehingga mengakibatkan perkarangan bangunan Parlimen menjadi gelanggang “Negara Polis” Malaysia yang baru.

Apabila ditanya oleh wartawan NST Aniza Damis adakah Malaysia sudah bersedia untuk (mengizinkan) demonstrasi aman, Musa menjawab:

Yes! Come on we have been independent for 50 years.

Ya! Bukankah kita telah Merdeka lebih 50 tahun.

Apabila ditanya adakah perhimpunan aman itu suatu hak? Musa menjawab:

Perhimpunan aman itu berkait dengan hak untuk bersuara, suatu hak yang memberi keizinan kepada semua pihak untuk menyatakan pandangan masing-masing.

Tambah beliau:

Kebebasan di dalam sebuah negara demokrasi adalah jelas. Orang-ramai memang mempunyai hak untuk berhimpun dan hak ini mesti diberikan kepada mereka.

Dalam temubual itu Musa menyatakan bahawa demonstrasi aman sepatutnya diizinkan dan semua pihak mesti berfikiran terbuka dan positif. Demonstrasi boleh dikawal oleh pihak berkuasa tetapi jangan kawalan sebagai alasan sehingga menafikan hak rakyat untuk bersuara sama-sekali. Kata beliau:

People must apply for permits, but the application is not for the purpose of restricting demonstrations.

Rakyat mesti memohon permit tetatpi permohonan itu bukannya (alasan) untuk menghalang demonstrasi tadi.

Menurut beliau yang pentingnay melalui permit yang diberikan mereka yang memohon dikehendaki mematuhiu beberapa syarat antaranya memastikan demonstrasi itu terkawal dan berjalan dengan aman dan lancar. Para pengawal dilantik, dan kebersihan dijaga. Setiap laluan yang mahu ditempuh mestilah dimaklumkan dan pihak polis hanya bertugas menjaga lalulintas. Penganjur diingatkan yang pihak FRU ada bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan namun FRU tidak ditempatkan di tempat awam tadi tetapi bersiap-sedia dilokasi lain.

Musa menegaskan bahawa demonstrasi adalah sebahagian daripada amalan demokrasi malkah beliau mengkritik usaha-usaha pihak tertentu menakut-nakutkan rakyat berkenaan penganjuran demonstrasi kononnya ia mencetuskan ketegangan dan menjejaskan perniagaan. Ini tidak berlaku jika semua pihak bekerjasama. Malah usaha Menteri Penerangan melalui RTM yang memomok-momokkan rakyat dengan paparan kononnya “Ini (demonstrasi) bukan budaya kita”, kata Musa budaya siapakah yang mengizinkan keganasan. Dalam erti kata lain tidak ada siapa pun yang mahukan keganasan berlaku dan dalam hal Malaysia ia pasti tidsak berlaku jika semuanya berjalan menurut suasana yang dicadangkannya itu.

Akhirnya saya mahu berkongsi di sini, apabila Musa ditanya adakah patutu yang kekerasan digunakan untuk meleraikan suautu perhimpunan “haram”, Musa menjawab:

No, not by anybody.

Tidak, tidak (patut) oleh sesiapa pun

Menurut beliau polis selalu menggunakan alasan mereka menerima provokasi, kata beliau jika perhimpunan itu berjaland engan aman tanpa kehadiran polis, pasti tidak berlaku sebarang provokasi. Masalahnya kehadiran polis itu sendiri mencetuskan provokasi. Bila ada tindakan tambah Musa, pasti akan ada tindak balas.

Ramai orang mungkin memberikan pelbagai reaksi terhadap pandangan Musa ini, namun saya mahu berbaik sangka. Benar Musa mungkin tidak mengamalkan apa yang beliau perkatakan ini semasa beliau berkuasa dahulu tetapi yang pentingnya kini mungkin beliau telah sedar, dan beliau berani pula menyuarakan pandangannya itu secara terbuka. Itu bagi saya adalah bukti negarawan yang sedar dan insaf.


Terima kasih Musa kerana berani bersuara begini, semoga rakyat akan dapat melihat dan membezakan antara yang hak dan yang batil.

Untuk tidak dibuai sentimen, suka bagi penulis menurunkan petikan kajian sejarah berhubung unjuk rasa ini untuk penelitian semua. Ramlah Adam (Prof Dr) dalam bukunya, "Dato' Onn Ja'afar: Pengasas Kemerdekaan" menukilkan:

"Persatuan-persatuan negeri Melayu yang tumbuh sebelum perang dan selepas perang, menghantar nota-nota bantahan kepada Pejabat Tanah Jajahan (Colonial Office). Orang ramia pula seperti di Kedah dan Kelantan mengadakan tunjuk perasaan menentangnya. (Di Kedah seramai 50,000 orang telah berarak. Warta Negara, 21/1/46. Di Kelantan, seramai 10,000 orang telah menunjuk perasaan). Tegasnya, penentangan kepada Malayan Union adalah kesedaran politik yang sangat penting selepas perang dunia itu." (Ramlah Adam, Dato' Onn Ja'afar, Pengasas Kemerdekaan, hlm. 86-87)

Bekas Yang Dipertua Agung PAS, Tan Sri Asri Muda dalam bukunya "Memoir Politik Asri - Meniti Arus" menyebut:

"Ketika Malayan Union hendak disogokkan kepada masyarakat kita (Semenanjung Tanah Melayu itu), parti-parti politik telah bertambah dengan banyaknya. Di tiap-tiap negeri lahir parti politik dan ditambah pula dengan beberapa parti politik yang bersifat kebangsaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan sebagainya.

"Jadi gagasan Malayan Union yang dikemukakan oleh Sir Harold MacMichael, utusan khas Kerajaan Inggeris dikemukakan pada saat kesedaran politik orang Melayu begitu memuncak sekali. Seluruh rakyat Melayu bersatu, mengadakan perarakan menentang Malayan Union di kebanyakan kota-kota besar seperti di Johor Bahru, Alor Setar dan juga di Kota Bharu.

"Saya sendiri bukan hanya sebagai pemerhati, tetapi ikut terlibat sama dalam gelombang kesedaran rakyat, menyertai perarakan rakyat atau demonstrasi rakyat di Kota Bharu. Dengan jumlah yang tidak kurang daripada 20,000 orang, kami berhimpun di Padang Bank (kini Padang Merdeka) dan berarak menuju ke tempat penginapan Residen British (kalau tak salah ingatan saya, nama beliau ialah Somerville) dan surat protes pun dibaca.

"... Kemudian perarakan itu bergerak lagi menuju ke Istana Seri Cemerlang, tempat bersemayam DYMM al-Sultan Ibrahim... Surat persembahan pun dibaca dan kemudian dipersembahkan ke bawah duli. Orang yang membaca ucapan sembah itu adalah saya sendiri." (Mohd Asri bin Haji Muda, Memoir Politik Asri: Meniti Arus, hlm. 32-33).

Sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara sebenarnya tidak lepas daripada siri-siri unjuk rasa walaupun Tanah Melayu pada waktu itu baru menghadapi saat getir Perang Dunia Kedua.

Jika memoir Asri Muda boleh dijadikan sandaran, perarakan rakyat 10 November lalu ke Istana Negara sebenarnya mengulangi apa yang datuk nenek kita lakukan di Kota Bharu pada 1946.

Sumber : Roslan@sms

Macam-macam ragam 17


KUALA LUMPUR 11 Dis. – Banjir yang melanda Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan semakin buruk dengan jumlah terkini mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan meningkat kepada 18,856 orang berbanding 6,111 orang semalam.

Daripada jumlah itu, Johor mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi setakat ini iaitu seramai 12,629 orang, melibatkan 78 pusat pemindahan di tujuh daerah.

Daerah paling terjejas teruk dalam bencana kali ini ialah Segamat yang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dipindahkan iaitu 8,381 orang.

Di Johor Bahru, seramai 3,665 orang dipindahkan manakala Kluang (365), Mersing (113), Muar (40), Batu Pahat (44) dan Kota Tinggi (21).

Di Segamat, perhubungan darat bagi lebih 100 penduduk Kampung Seberang terputus apabila jambatan yang menghubungkan kampung itu dengan Kampung Batu Badak runtuh akibat hakisan sungai dan hujan lebat sejak tiga hari lalu.

Bagaimanapun, banjir yang melanda Kampung Laut, Skudai dengan paras air mencecah hingga dua meter petang semalam, telah surut pada awal pagi ini.

Di Pahang, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri memaklumkan seramai 4,725 mangsa dipindahkan ke 65 pusat pemindahan sehingga petang ini.

Daerah yang terjejas akibat banjir adalah Rompin dengan 1,969 orang dipindahkan, Maran (1,556 orang), Pekan (672 orang), Kuantan (183 orang), Bentong (133 orang), Bera (128 orang) dan Raub 84 orang.

KUALA LUMPUR 11 Dis. – Seramai 29 orang termasuk 12 pemimpin parti pembangkang dan badan bukan kerajaan (NGO) ditahan kerana terlibat dalam perhimpunan haram di luar kawasan Parlimen, hari ini.

Pemimpin pembangkang yang ditahan ialah Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim; Ketua Penerangan PKR, Tian Chua; Ketua Dewan Muslimat Pas, Nuridah Mohd. Salleh; Bendahari Agung Pas, Dr. Hatta Ramli dan Jawatankuasa Pas Pusat, Dr. Lo’ Lo’ Mohd. Ghazali.

Dua yang lain ialah Pengerusi Penaja Parti Sosialis, Dr. Nasir Hashim dan setiausaha agung penaja parti itu, S. Arutchelvan.

Mereka ditahan secara berasingan di luar pintu masuk utama Parlimen dan kawasan sekitarnya yang menjadi tempat perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari ini.

Selepas itu, Pengarah Pilihan Raya Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustafa Ali pula antara lima pemimpin yang ditahan di dalam kawasan Parlimen, pukul 1 petang ini.

Mereka ditahan di tempat letak kereta kawasan Parlimen selepas menyerahkan satu memorandum kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di lobi Parlimen.

Memorandum itu ialah berkaitan bantahan Bersih terhadap tindakan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melanjutkan umur persaraan ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain Mustafa, empat lagi yang ditahan ialah Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Yap Swee Seng; Ahli Writers Alliance of Media Independence, Wong Chin Huat; Pengasas Pusat Komunikasi Masyarakat, Mein Lor dan Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, V. Gayathry.

Selain 12 pemimpin parti pembangkang dan NGO terbabit, turut ditahan ialah 17 aktivis dan orang awam iaitu antara 100 penyokong Bersih yang berhimpun di persimpangan Dato’ Onn berhampiran bangunan Bank Negara Malaysia (BNM) di sini.

Tian Chua adalah pemimpin pembangkang pertama ditahan iaitu pada kira-kira pukul 10.35 pagi ketika beliau bersama seorang rakan lelakinya yang berkereta melanggar sekatan polis di Jalan Parlimen berdekatan Tugu Negara.

Beliau dan lelaki itu berjaya ditahan walaupun pada satu ketika mereka enggan keluar dari kereta.

Pada pukul 11.05 pagi, Nuridah, Dr. Hatta dan Dr. Lo’ Lo’ ditahan bersama lima pemimpin Pas yang lain ketika berkumpul di luar kawasan Parlimen.

Ini diikuti penahanan Khalid pada pukul 12 tengah hari selepas bercakap kepada pemberita di luar pintu pagar utama kawasan Parlimen.

Kesemua tahanan terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPKKL) untuk disoal siasat sebelum kesemuanya dibebaskan secara berperingkat-peringkat dengan jaminan polis bermula petang ini, didahului Khalid dan Mustafa pada kira-kira pukul 3 petang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar yang dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, kesemua tahanan itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis malam ini selepas masing-masing selesai disoal siasat.

Menurutnya, kesemua 29 orang itu ditahan di beberapa lokasi sekitar Parlimen sejak pukul 9 pagi sehingga 1 petang ini.

Tambah beliau, mereka ditahan kerana melanggar perintah mahkamah semalam yang melarang penyokong Bersih daripada berkumpul di bangunan Parlimen hari ini.

“Mereka tetap berdegil dan ingkar arahan mahkamah, jadi polis terpaksa tahan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, selain persimpangan Dato’ Onn, Jalan Parlimen dan Jalan Kinabalu, semua jalan utama di ibu kota yang mempunyai akses ke Parlimen ditutup atau diadakan sekatan oleh polis.

Di Jalan Parlimen dan Jalan Kinabalu, laluan itu dikawal ketat oleh kira-kira 500 anggota polis, termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang ditempatkan di beberapa lokasi berhampiran Parlimen.

Ekoran itu, cubaan peserta perhimpunan untuk menuju ke bangunan Parlimen menerusi persimpangan Dato’ Onn berjaya dihalang pihak polis yang berkawal sejak pukul 3 pagi lagi.

Para penyokong Bersih yang tidak berpuas hati kemudian berjalan kaki menuju ke IPKKL bagi menuntut supaya polis membebaskan pemimpin dan rakan-rakan mereka yang telah ditahan.

Kumpulan tersebut yang tiba di IPKKL pukul 1 petang berdegil enggan bersurai walaupun diberi amaran oleh Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner K. Kumaran.

Mereka hanya mematuhi arahan dan bersurai kira-kira pukul 2.15 petang selepas diminta oleh Ketua Dewan Pemuda Pas, Salahuddin Ayub yang datang ke IPKKL.


KUALA LUMPUR, 12 Dis - Pembebasan kesemua 24 tahanan bermula petang sehingga malam semalam merupakan satu kejayaan pusingan pertama Bersih sekaligus menutup tirai 'pesta penangkapan' di parlimen semalam.

Lapan daripadanya telah dibebaskan lebih awal adalah Setiausaha Agung KeADILan, Tan Sri Khalid Ibrahim; AJK PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad; Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato' Mustafa Ali; Penganalisis pilihan raya Malaysia, Wong Ching Huat; Koordinator Suaram, Yap Swee Seng; wakil CIJ,V. Gayathri; Mien dan Pengurus Pengiklanan Harakah, Mokhtar Rozaidi kira-kira jam 6 petang.

Manakala, baki 16 yang lain antaranya terdiri daripada Bendahari PAS Pusat, Dr Hatta Ramli; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh, Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Tantawi, AJK PAS Pusat Dr Lo' Lo Haji Ghazali dan Dr Mohd Nasir (PSM) telah dibebaskan seoarng demi seorang bermula jam 8.45 malam.

Menurut kenyataan Suaram kepada Harakahdaily, kesemua yang terlibat dikehandaki melaporkan diri sekali lagi di Mahkamah Jalan Duta pada jam 9 pagi, 18 Disember 2007 (Selasa).

Walaupun berlaku penangkapan, namun objektif Bersih tercapai apabila berjaya mengadakan sidang media di pekarangan lobi parlimen pada jam 11.40 pagi tadi dan serentak dengan itu menyerahkan memo Bersih kepada ahli-ahli parlimen pembangkang untuk disampaikan kepada ahli parlimen yang lain termasuk Perdana Menteri.

Memo tersebut secara asasnya membantah pindaan perlembagaan yang bertujuan untuk melanjutkan perkhidmatan Pengerusi SPR daripada 65 kepada 66 tahun yang dipercayai mempunyai motif untuk memberi peluang kepada Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman menjawat jawatan itu semula.

Ulasan: Ya Allah moga kebenaran tertegak jua

PETUA MEMENANGI HATI ISTERI


1.Luangkan masa anda untuk pergi bersamanya ke tempat yang dia suka pergi, selama mana tempat itu adalah tempat yang baik atau diharuskan.

2.Wujudkan masa bila mana anda boleh memakai pakaian bersama-sama.

3.Cuba memahami bila dia lewat atau tiba-tiba mahu menukar pakaiannya.

4.Berikan perhatian yang lebih kepadanya daripada orang lain ketika anda berada di khalayak ramai.

5.Jadikan dia lebih penting dari anak-anak anda. Biarkan anak-anak anda menyaksikan bahawa isteri mendapat perhatian anda yang lebih utama dan lebih awal sebagai contoh kepada mereka.

6.Belikan dia hadiah-hadiah kecil dan comel.

7.Belikan untuknya pakaian. Pastikan anda tahu saiz tubuhnya serta warna, fesyen dan corak yang lebih digemarinya. Atau anda boleh belikan kain untuk dijahit kemudiannya.

8.Ambillah gambarnya pada waktu-waktu keramaian atau di tempat-tempat yang mahu dijadikan kenangan.

9.Luangkan masa bersendirian dengannya untuk melakukan sesuatu yang romantik.

10.Biar dia tahu bahawa anda bawa gambarnya dalam dompet anda dan menggantikan ia dengan gambar terbaru bila sudah sampai masanya.

11.Biarlah anda yang memandu ketika berjalan jauh. Pandulah dengan selamat, tidak terlalu laju hingga mengecutkan hatinya dan tidak pula terlalu perlahan sedangkan anda boleh laju.

12.Perhatikan bagaimanakah perasaannya dan berikan komen yang menunjukkan anda ambil berat seperti 'Awak nampaknya gembira hari ini' atau 'Awak nampak letih' dan kalau boleh tanya sebabnya agar anda tahu apa yang mengembirakannya dan sebaliknya.

13.Bila anda keluar bersamanya, anda sendiri perlulah tahu arah tujuan anda agar dia tidak terasa tertekan memandu arah kepada anda.

14.Solat bersama dan berdoa bersama.

15.Kejutkan dia dengan puisi atau nota cinta.

16.Layanilah dia sebagaimana anda melayani semasa awal-awal dahulu.

17.Tawarkan diri untuk membaiki sesuatu di rumah. nyatakan anda ada masa untuk itu. Tapi jangan pula tawarkan diri melakukan perkara yang tidak mampu anda lakukan dengan baik. Tolong asah pisau. Gunakan gam yang baik untuk melekatkan sesuatu yang telah pecah. Tolong gantikan lampu yang telah terbakar.

18.Bacakan dengan kuat sesuatu ruangan akhbar yang menarik minatnya.

19.Tuliskan dengan kemas apa-apa pesanan untuknya yang anda terima melalui telefon.

20.Pastikan bilik mandi bersih dan kering bila anda sudah mandi.

21.Bukakan pintu untuknya. Tawarkan diri untuk membawa barangan yang dibawanya. Tawarkan untuk bawakan barangan yang berat. Jika hendak berjalan, letakkan barangan yang hendak dibawa di kereta.

22.Bila dia memasak, pujilah masakannya.

23.Sewaktu anda mendengar dia berkata, pandanglah ke matanya. Tunjukkan bahawa anda berminat dengan menyatakan 'Betul kata awak'. Di masa yang sesuai, pegang dia dengan tangan anda bila anda berkata kepadanya.

24.Tunjukkan minat anda pada apa yang dia buat hari ini, pada buku yang dia baca, dan pada orang lain yang dia hubungi.

25.Bersedialah untuk masuk tidur bersama dan masuklah ke kamar seiring dengannya.

26.Berikan dia ciuman dan berikan salam atau kata selamat tinggal bila anda mahu keluar rumah.

27.Ketawalah pada jenaka dan senda guraunya.

28.Katakan terima kasih bila dia buat sesuatu untuk anda.

29.Rancanglah untuk makan angin bersamanya.

30.Berbincanglah dengan cara yang menunjukkan kepadanya bahawa anda mahu dia dapat apa yang dia kehendaki dan anda juga mahu apa yang anda kehendaki. Ambil berat, tapi jangan berat sebelah.

31.Bila anda berjauhan darinya, beritahu padanya bahawa anda rindu padanya.

32.Belikan untuknya makanan yang dia gemari.

33.Minta pandangannya tentang sesuatu dan hargai pandangannya.

34.Ramai lelaki menganggap yang penting bila bersama wanita ialah melakukan perkara-perkara besar saja tetapi sebenarnya yang akan memenangi hati wanita ialah bila lelaki melakukan hal-hal kecil untuk membantunya dan menunjukkan anda ambil berat padanya.

35.Dengan cara ini wanita akan merasa dirinya dicintai. Bila dia merasa dicintai, dia akan cinta pada anda tanpa berdolak-dalik.

36.Anda juga akan dapati bahawa melakukan kerja-kerja kecil untuk wanita akan mengubati hati anda. Bila dia gembira anda akan turut gembira. Anda akan merasa lebih berguna dan berjasa kerana isteri anda telah memperolehi perhatian yang dia perlukan.



Selasa, 11 Disember 2007

Macam-macam ragam 16

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan seorang lagi pemimpin kanan PKR, N. Gobalakrisnan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di ibu kota pada 10 November lalu.


Mereka didakwa di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.


Turut didakwa atas tuduhan sama dan pertuduhan pilihan ialah pemandu, Mohamad Zad Abdullah, 39; penoreh getah, Taib Abdullah, 33; dua remaja masing berusia 17 dan 16 tahun; penganggur Mohamad Abi Salam Arifin, 24, dan pekerja kampung, Ishak Othman, 33.


Lelaki-lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di sebelah bangunan Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini pada kira-kira pukul 1 tengah hari 10 November lalu.


Lapan lagi didakwa atas pertuduhan yang sama di Jalan Raja Laut di sini pada kira-kira 3.50 petang hari yang sama. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail sendiri mendakwa mereka di mahkamah. Selain tuduhan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, Mohamad Sabu, Tian Chua, Gobalakrisnan dan para penyokong pembangkang itu juga didakwa di bawah pertuduhan pilihan kerana ingkar perintah untuk bersurai yang diberikan oleh Cif Inspektor Riduan Khalid di Jalan Istana Baru di sini pada pukul 3.05 petang.


Bagi pertuduhan itu mereka didakwa di bawah Seksyen 27(5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27(8) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun jika disabitkan kesalahan. Mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Rozana Ali Yusoff.


Rozana menetapkan kes itu dibicarakan selama empat hari bermula 11 Februari depan. Antara peguam yang mewakili para pemimpin dan penyokong parti pembangkang itu ialah Mohamed Hanifah Maidin, Ranjit Singh, C.H. Lai, G.K. Ganesan, Rajpal Singh dan S. Kartigesan.

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Majlis Peguam boleh menyaman kerajaan jika badan itu tidak berpuas hati dengan tindakan pihak polis yang menjalankan tugas serta menguatkuasakan undang-undang untuk menghalang perhimpunan haram.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenavasan boleh berbuat demikian jika masih mempertikaikan penahanan peguam yang terlibat dalam perhimpunan haram semalam. ‘‘Mereka akan tetap didakwa kerana mengadakan perarakan tanpa permit, walaupun mereka peguam,’’ katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar dan Pameran Hari Kesedaran Bencana 2007 selama dua hari anjuran Majlis Keselamatan Negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.


Turut hadir ialah Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Datuk Muhammad Hatta Ab. Aziz. Mohamed Nazri menegaskan bahawa kuasa untuk menentukan penahanan tersebut sama ada ia benar atau salah hanya terletak pada mahkamah dan bukannya Ambiga. Beliau menegaskan bahawa peguam tetap tertakluk kepada undang-undang yang sama seperti orang lain, bahkan patut lebih bijak memahaminya memandangkan kedudukan mereka sebagai peguam.


Menurut beliau, golongan ini kononnya mahu menuntut hak asasi, tetapi dalam masa yang sama telah menjejaskan hak asasi masyarakat majoriti. ‘‘Kalau begini, kerajaan tidak teragak-agak menidakkan hak asasi tiga, empat orang ini demi kepentingan hak asasi berjuta rakyat yang lain,’’ katanya.


Ulasan : Keadaan semakin gawat. Pilihanraya semakin hampir. Kalau benar kita mengamalkan demokrasi, salahkah untuk berhimpun secara aman? Ianya jelas tidak pun mengganggu-gugat keselamatan dan kententeraman awam. Ternyata manipulasi pihak berkenaan, menampakkan pihak yang benar pun dianggap salah.

Akhbar pupuk budaya baca

MENGIKUT perangkaan terbaru yang dikeluarkan Audit Bureau Circulation (ABC), akhbar Mingguan Malaysia mencatat jualan purata sebanyak 456,793. Akhbar Berita Minggu pula mencatat jualan purata sebanyak 305,256 naskhah manakala jumlah purata jualan untuk Metro Ahad ialah sebanyak 314,321 naskhah. Tempoh jualan adalah dalam tempoh 12 bulan dari Julai tahun lalu hingga 30 Jun tahun ini.

Bagaimanapun, corak pembacaan untuk akhbar harian berbahasa Melayu Kumpulan Utusan iaitu Utusan Malaysia tidaklah sebegitu rancak seperti pada hari minggunya. Utusan Malaysia dilaporkan mencatat jualan purata 197,033 naskhah sehari.

Apa yang menarik untuk dibuat perbandingan ialah akhbar berbahasa Inggeris The Star (akhbar harian) mencatat jualan yang jauh lebih tinggi dari akhbar harian berbahasa Melayu yang berpengaruh iaitu Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Ini secara tidak langsung menunjukkan jumlah pembaca akhbar berbahasa Inggeris adalah jauh lebih tinggi daripada akhbar harian berbahasa Melayu. Akhbar The Star juga meninggalkan Harian Metro yang mencatatkan purata jualan 289,315 naskhah purata jualan sehari dalam tempoh yang sama.

Pola ini menarik untuk difikirkan kerana walaupun 60 peratus jumlah penduduk negara ini menguasai bahasa Melayu, ia masih lagi tidak mampu untuk menyumbang kepada purata jualan yang tinggi kepada akhbar harian berbahasa Malaysia.

Maksudnya, walaupun jumlah penduduk negara yang menguasai bahasa Melayu adalah tinggi, pembaca Melayu tidak seaktif membeli akhbar harian berbahasa Melayu. Akhbar berbahasa Melayu juga tewas dari segi jualan kepada akhbar berbahasa Cina. Buktinya ialah akhbar Sin Chew Media Group menguasai 33 peratus pasaran akhbar di negara ini.

Sokongan perlu diberikan kepada akhbar berbahasa Melayu dalam konteks meningkatkan jumlah jualan dan juga bacaan. Peratus penguasaan penduduk negara ini yang menguasai bahasa Melayu yang tinggi tentu sahaja boleh memberi satu peluang untuk meningkatkan jumlah jualan akhbar berbahasa Melayu.

Jika dilihat usaha pihak akhbar untuk meningkatkan jumlah jualan akhbar mereka, tentu sekali kita dapat melihat betapa bersungguhnya akhbar-akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian menggunakan pelbagai kaedah untuk menarik seramai mana pembaca dan pembeli untuk melanggan akhbar mereka.

Mungkin pola membaca dan membeli akhbar ini boleh dikaitkan dengan budaya membaca di kalangan penduduk negara ini. Budaya membaca di kalangan penduduk Malaysia sememangnya tidak menggalakkan.

Contohnya, kajian pensyarah Jabatan Media, Universiti Malaya (UM), Dr. Abu Hassan Hasbullah menunjukkan, amalan membaca buku tambahan di kalangan pelajar universiti di negara ini masih jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan pelajar universiti di luar negara. Secara purata mereka hanya membaca 12 buah buku selama tiga tahun pengajian.

Ini jauh lebih rendah daripada jumlah buku yang dibaca oleh pelajar Australia ialah 180 buah, Indonesia (94 buah), India (130 buah), Thailand (56 buah) dan Brunei (26 buah). Berbanding pelajar universiti di luar negara, jumlah buku yang dibeli oleh pelajar Australia ialah 160 buah, Indonesia (43 buah), Thailand (31 buah), India (75 buah) dan Brunei (15 buah). Pola membaca di kalangan pelajar universiti ini boleh memberi petunjuk pola membaca yang rendah di kalangan kanak-kanak dan remaja.

Apabila budaya membaca rendah, tentu sekali ia memberi kesan kepada industri akhbar dan industri buku di negara ini. Golongan muda merupakan antara sasaran utama akhbar dalam meningkatkan jualan akhbar mereka. Laporan ABC menunjukkan antara sebab mengapa pembaca masih memilih akhbar cetak sebagai pilihan utama jika dibandingkan dengan akhbar digital ialah faktor peningkatan jumlah pembaca daripada golongan muda.

Maka tidak hairanlah jika kita lihat terdapat usaha yang bersungguh-sungguh di pihak akhbar untuk mengimarahkan lagi ruangan berita golongan muda. Sokongan berterusan perlu diberikan kepada akhbar terutama sekali akhbar berbahasa Melayu. Kerjasama yang menguntungkan di antara golongan industri dan badan-badan kerajaan dengan pihak media lebih wajar kerap dilakukan.

Amatlah penting industri akhbar dimakmurkan kerana sebagai satu bentuk perniagaan, industri akhbar bukan setakat menyampaikan berita dan maklumat. Diharapkan, rakyat Malaysia akan terus membaca dan juga membeli akhbar. Walaupun Malaysia masih menunjukkan pertumbuhan menggalakkan dari segi jumlah edaran media cetak, amatlah penting rakyat Malaysia terus bersifat lebih proaktif dalam membaca dan juga membeli akhbar.

- DR. SAPORA SIPON ialah Pengarah Hubungan Korporat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Ulasan : Anak-anak gemar menonton kartun, yang remaja membaca kisah terkini penyanyi dan pelakon, yang mahasiswa di universiti tak begitu tekun, masyarakat terbanyak juga hanya menjadi penonton! Budaya membaca kita masih jauh dibandingkan negara ASEAN yang lain, apalagi negara maju. Tambahan pula, media yang tidak bebas dari kekangan dan sekatan. Akhirnya maklumat yang sampai banyak yang auta dariapada fakta!

Didiklah anak mengikut acuan Islam



PEMBENTUKAN peribadi anak-anak tidak sahaja dipengaruhi faktor baka dan kemahiran mendidik ibu bapa. Salah satu aspek yang turut menyumbang dalam usaha melahirkan generasi yang memiliki personaliti unggul ialah persekitaran.


Apatah lagi, generasi masa kini semakin terdedah dengan pelbagai pengaruh negatif yang menular melalui ‘langit terbuka’ seperti Internet, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pelbagai media berteknologi tinggi.


Lantaran itu, tanggungjawab ibu bapa semakin besar dan berat dalam mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Pun begitu, kewujudan kumpulan nasyid Nur Kasturi yang terdiri daripada 11 kanak-kanak antara usia lapan hingga 16 tahun pada dasarnya bertujuan membentuk diri serta mendidik hati mereka, sekali gus pendengar menerusi wadah nasyid.


Bakat Mohd. Al-Asyraf Mohd. Hidir, 16, Farah Nur Adirah Md. Isa, 13, Intan Nur Farhamim Mohd. Hidir, 13, Rabiatul Adawiyah Kamarul Nazli, 9, Mohammad Azrien Mohd. Hidir, 10, Che Hafzan Che Nor Azman, 9, Muhd. Shafiq Shihabuddin, 9, Mohd. Asraf Mohd. Zin, 9, Nur Aida Suraya Baharin, 10, Rabiatul Jannah Kamarul Nazli, 8 dan Nadzatul Dasira Baharin, 12, mula dikesan selepas mereka dinobatkan juara dalam satu pertandingan nasyid sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat taman perumahan Kasturi di Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor tahun lalu.


Uniknya kumpulan nasyid Nur Kasturi ini bukan sahaja berbakat dalam nyanyian malah turut berkebolehan memainkan alat muzik percussion seperti congga, jhembe dan tamborin. Mereka juga dipilih oleh sebuah syarikat jualan langsung bumiputera untuk mendendangkan beberapa lagu tema syarikat berkenaan, baru-baru ini.


Meskipun masih baru dalam dunia hiburan, Nur Kasturi tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan untuk pelbagai acara keramaian, apatah lagi pada musim cuti sekolah ini. Menurut Pengurusnya, Mokhtom Maulud, 46, melihat kepada sambutan yang semakin menggalakkan beliau merasakan tunjuk ajar yang diterima daripada Ustaz Fauzan Nordin (percussion) dan Ustaz Faiz Muhammad (vokal) turut menyumbang kepada kemantapan kumpulan nasyid itu.


Akuinya lagi, keputusan untuk serius dalam mengetengah Nur Kasturi yang sebelum ini hanya aktif di sekitar taman perumahan Kasturi dan sekitar Selangor tidak sia-sia. Ini kerana dalam tempoh tidak sampai setahun, Nur Kasturi berjaya mengadakan beberapa siri persembahan di luar dari Selangor. “Saya dan suami, Mohd. Hidir Yaakub dengan bantuan Ustazah Ruzaiton Abd. Jalil yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 tidak menyangka kumpulan ini mampu pergi jauh. Ini semua berkat sokongan semua pihak terutamanya penduduk perumahan Kasturi yang ada antaranya menghulurkan sumbangan tenaga dan wang ringgit,” jelasnya.


Kata Mokhtom, kejayaan mereka ini juga diharap menjadi contoh kepada kanak-kanak sama ada dari luar atau taman perumahan ini. “Mereka ini alhamdulillah, berdisiplin dan senang dibentuk. Ia selaras dengan pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” jelas suri rumah ini yang boleh dihubungi di talian 013-226 5184 sekiranya ada pihak yang berminat menjemput Nur Kasturi membuat persembahan.


Kata Mokhtom, melalui aktiviti begini, kanak-kanak berkenaan dapat mengisi masa senggang, lebih-lebih lagi pada cuti sekolah sekarang dengan aktiviti berfaedah. “Kami tidaklah terlalu mengongkong mereka dengan terpaksa mengikuti latihan tetapi beberapa jam dalam sehari diperuntukan untuk sesi latihan,” ceritanya yang amat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menampung pelbagai kos pembangunan untuk terus menggerakkan Nur Kasturi di masa hadapan.


Sementara itu, penyanyi utamanya, Mohammad Azrien berkata, minat dalam nyanyian nasyid bermula sejak di peringkat pra sekolah. Lama-kelamaan apabila masuk ke sekolah agama, dia terus serius dan alhamdulillah mendapat bimbingan daripada guru-guru yang profesional dalam bidang vokal dan pengendalian alat muzik. Ditanya rahsianya menjaga suara, dengan ketawa kecil akui Mohammad Azrien, ibunya, Mokhtom banyak membantu dari segi itu. Malah pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa ini juga menyimpan cita-cita untuk bergelar artis nasyid terkenal seperti Raihan, Rabbani, Far East suatu hari kelak.


Ketua kumpulan Nur Kasturi, Mohd. Al-Asyraf pula memberitahu, dia tidak menghadapi banyak masalah mengurus ahli kumpulan yang lain memandangkan jarak usia yang sudah dianggap abang. Namun, ada masanya dia terpaksa menggunakan ketegasan untuk menarik perhatian mereka yang kurang berdisiplin. Bagi pemain tamborin pula, Rabiatul Adawiyah, pada peringkat awal-awal dahulu agak sukar juga untuknya mengendalikan alat muzik tersebut kerana ia memerlukan kekuatan tangan dan kena peka dengan segala pergerakan kumpulan.


Pun begitu, dengan adanya tunjuk ajar daripada ustaz semuanya dapat diatasi dan dia semakin seronok dan berazam menguasai alat muzik lain.

Ulasan : Mendidik generasi muda dengan hiburan Islam seperti ini, lebih bermakna berbanding dengan mewujudkan pertandingan seperti Studio Bintang Kecil di TV9. Benarlah, untuk mengamalkan Islam di akhir zaman ini, akan dianggap ganjil oleh kebanyakan orang. Ya Allah berilah kami kekuatan mendidik generasi muda hari ini dengan acuan Islam!

Apabila Maya Karin ke Kelantan

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

BARU-BARU ini heboh mengenai pelakon Maya Karin yang diundang ke Kelantan. Maya pelakon filem 1957: Hati Malaya diundang sebagai panel forum yang membincangkan tentang karya filem karyawan Iran, Majid Majidi. Turut menjadi panel ialah ahli akademik Prof. Dr. Hatta Azad Khan serta pengarah filem Mamat Khalid dan Hassan Mutalib.

Sebenarnya undangan Maya ke Kelantan bukanlah isunya. Sebaliknya yang perlu dilihat daripada undangan itu ialah inisiatif mendekatkan rakyat di luar Kuala Lumpur dengan filem yang dihasilkan di Iran. Ketika filem dikuasai oleh Barat yakni Amerika Syarikat (AS), Iran yang memusuhi AS menjadi pemain penting perfileman di peringkat dunia.

Dalam hubungan ini Kelantan mengambil tindakan proaktif apabila merancang menganjurkan Festival Filem Islam Antarabangsa tahun ini. Sekalipun festival itu tidak mungkin dapat diadakan pada tahun ini kerana sasaran awalnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, tetapi yang penting Kelantan membantu mengembangkan seni dan ketinggian pemikiran menerusi filem di luar Kuala Lumpur. Festival Filem Islam Antarabangsa adalah idea baik selepas negara ini menjadi hab makanan halal.

Maka istilah “Islam” kepada festival yang dirancangkan di Kelantan ini seharusnya tidak dilihat dengan prasangka. Festival Filem Islam Antarabangsa yang diadakan di Iran telah memberi satu pilihan selain sekian banyak festival yang memperagakan filem antiIslam.

Saya sudah beberapa kali melemparkan pandangan tentang peri pentingnya Kuala Lumpur menjadi jenama baru kepada Festival Filem Islam Antarabangsa. Tetapi tidak ada reaksi kerana barangkali rujukan kita lebih kepada Hollywood dan Hong Kong.

Apabila Kelantan bertaraf sebuah negeri mempunyai semangat untuk menganjurkan festival ini, ia memperlihatkan satu yang positif. Pertamanya untuk membawa filem kepada masyarakat di luar Kuala Lumpur. Dan yang keduanya memberitahu kita kerajaan negeri harus memainkan peranan mengubah sudut pandangan yang penuh prasangka terhadap filem.

Cuba bayangkan kalau semua negeri mempunyai minat dan kesungguhan untuk membangunkan bidang perfileman, hasilnya mungkin akan mengubah graf filem tempatan yang ada sekarang. Tidak mempunyai panggung wayang bukanlah alasan untuk meminggirkan hal-hal yang berkaitan dengan filem.

Kita tidak dapat menolak bahawa filem satu media yang sangat berpengaruh. Kerana ia berpengaruh maka kita mesti mendekati dan menguasainya sekali gus. Kerana itu yang dilakukan oleh Kelantan adalah mendekati filem yang sebelum ini dianggap memperagakan nilai-nilai yang bercanggah dengan moral ketimuran dan Islam.

Kelantan memilih untuk mengajak masyarakat menghayati filem yang baik dari Iran. Maka siapa saja yang melakukan usaha ini, kita wajar menyokongnya.
Ulasan : Suatu tulisan yang telus dan melihat dengan jelas usaha murni Kerajaan Kelantan untuk mengajak penonton filem memilih filem yang benar dapat mendidik dan memberikan kesan kepada jiwa dan minda. Susah bertemu dengan tulisan seumpama ini. Tahniah Kerajaan Kelantan!

Isnin, 10 Disember 2007

Macam-macam ragam 15

TAEAN 9 Dis. – Korea Selatan hari ini mengisytiharkan pesisir pantai negara itu sebagai kawasan bencana setelah terjejas teruk dengan tumpahan minyak yang terburuk dalam sejarah.

Beribu-ribu askarnya dan lebih 100 buah kapal dikerahkan untuk membersihkan tumpahan minyak yang memusnahkan pantai, menjejaskan haiwan dan menimbulkan bau busuk.

Tumpahan minyak itu telah dibawa ombak ke kawasan pantai barat sepanjang 17 kilometer yang terkenal sebagai destinasi pelancongan, taman negara dan kawasan habitat tiram.

Pencemaran yang berlaku di kawasan pantai terletak kira-kira 100 kilometer dari Seoul, disebabkan oleh tumpahan 10,500 tan minyak mentah Jumaat lalu dari kapal tangki Hebei Spirit yang didaftarkan di Hong Kong.

Insiden bermula apabila sebuah tongkang merempuh kapal berkenaan yang berlabuh di pelabuhan Daesan, 110 kilometer dari Seoul, sebelum lubang yang menyebabkan tumpahan akhirnya berjaya ditampal.

“Kira-kira 5,600 orang bekerja keras dari 5 pagi tadi untuk mencegah keadaan daripada menjadi lebih buruk lagi.

“Jika dilihat kepada keadaan pasang surut laut dan arah serta kelajuan angin, tumpahan minyak tidak akan menjadi lebih teruk,” kata seorang pengawal pantai Taean, Ryu Hung.

Sukarelawan dan petugas menggunakan pengaut dan kain penyerap minyak serta merawat burung yang dilumuri minyak.

Kapal-kapal pula menurunkan pagar pembendung dan perangkap minyak bagi mengurangkan impak bencana alam sekitar itu.

Tumpahan minyak yang lebih besar juga sedang merebak ke Teluk Mallipo dengan ketebalan minyak sehingga 10 sentimeter.

Ulasan : Pencemaran alam makin banyak terjadi. Biasanya terjadi akibat kelalaian manusia. Kes di Korea ini sebagai contohnya.


KUALA LUMPUR 9 Dis. – Walaupun Majlis Peguam mengumumkan pembatalan perarakan tahunan sempena Hari Hak Asasi Manusia Antarabangsa, namun kira-kira 50 orang terdiri daripada peguam dan aktivis berdegil meneruskan perarakan haram hari ini menyebabkan polis menahan lapan orang daripada mereka.

Polis menahan empat peguam dan empat aktivis mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 kerana berhimpun secara haram iaitu dengan berarak bermula di hadapan Kompleks membeli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman hingga ke bangunan Majlis Peguam di Jalan Raja di sini pagi ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengulas penahanan itu menegaskan kerajaan tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang negara, termasuk peguam.

“Pada hari ini pun, saya telah dimaklumkan lapan orang ditangkap polis. Walaupun (empat daripada) mereka lawyer (peguam), tapi kalau bertindak menyalahi undang-undang, menentang undang-undang, tentulah tindakan akan diambil terhadap mereka.

“Tidak ada pilih bulu dalam hal ini,” tegasnya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Golf Amal MasterCard ntv7 Platinum Golf Master 2007 di Subang hari ini.

Abdullah berkata, tindakan polis dalam menangani perhimpunan haram hari ini adalah wajar kerana tindakan mereka itu melanggar undang-undang negara.

“Mereka tidak endah (undang-undang negara), mereka masih nak membantah dan bertindak dengan cara yang melanggar undang-undang. Sudah tentulah pihak polis kena ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Perdana Menteri berkata, tindakan menentang kerajaan dan menyalahi undang-undang perlu dihentikan kerana ia tidak mendatangkan kebaikan kepada negara dan juga rakyat.

“Ini bukan budaya kita. Ini bukan cara yang patut kita ikut,” katanya. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang ditemui pemberita malam ini memberitahu,semua lapan yang ditahan itu akan didakwa di mahkamah di sini, esok.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenavasan mengesahkan peguam yang ditahan ialah R. Sivarasa yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat dan anggota majlis tertinggi PKR, Latheefa Koya serta N. Surendran dan Amir Hamzah Arshad.

Aktivis yang ditahan pula ialah Eric Paulsen, Arif Johny Andu, Norazana Othman dan Ashraf Ali. Kesemua mereka ditahan kira-kira pukul 8.20 pagi.

Peguam, Edmund Bon yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Majlis Peguam ditahan pukul 12.20 tengah hari.

Beliau ditahan kerana mempersoalkan kepada polis tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menurunkan kain rentang di luar pejabat Majlis Peguam.

Perarakan haram hari ini bermula di depan kompleks beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada kira-kira pukul 7.30 pagi sebelum berakhir setengah jam kemudian di hadapan bangunan Majlis Peguam di Jalan Lebuh Pasar Besar.

Ulasan : Salahkah untuk berhimpun secara aman hanya untuk meraikan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia?

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua masing-masing ditahan hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung satu perhimpunan haram di ibu negara, 10 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan penahanan mereka dengan waran tangkap kerana didakwa terlibat menganjurkan perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu dan disiasat mengikut Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967.

Katanya, mereka akan didakwa di mahkamah di sini esok.

Mohamad ditahan sepasukan polis ketika dalam perjalanan pulang menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya di Tambun, Ipoh pada pukul 5 petang ini.

Tian Chua ditahan polis ketika menghadiri satu majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Taman Skudai Baru, Johor Bahru, pukul 5 petang ini.

Di Ipoh, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner II Ismail Yatim yang dihubungi berkata, polis mengiringi Mohamad ke Pulau Pinang untuk memberi peluang beliau menghantar keluarganya yang turut berada dalam kereta pulang ke rumahnya di Kepala Batas sebelum ditahan.

Di Johor Bahru, Ketua Polis Johor, Datuk Hussin Ismail yang dihubungi malam ini memberitahu, Tian Chua ditahan empat anggota polis dari unit Cawangan Khas Bukit Aman.

Dia kemudian diiringi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara dan dibawa ke Kuala Lumpur pada pukul 5.40 petang ini.

Ulasan : BERSIH pula menjadi target seterusnya selepas HINDRAF. Diharap kebenaran akan tertegak!

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Korban banjir di tiga negeri yang dilanda banjir meningkat kepada lapan orang hari ini apabila dua mangsa dilaporkan mati lemas manakala seorang hilang selepas dihanyut arus deras dalam satu kejadian di Pahang dan dua kes di Kelantan.

Dalam kejadian di Pahang, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mati lemas ketika menjala ikan bersama dua rakannya di Sungai Keratong, Rompin, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Supritendan Abdullah Sani Salat berkata, mayat Mohd. Salleh Mohd. Noor ditemui pada pukul 10.45 pagi ini kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.

Di Kota Bharu, seorang murid tahun empat ditemui mati lemas, selepas dipercayai tergelincir ke dalam parit bersebelahan Sekolah Kebangsaan Tiong di Kampung Tunjong dekat sini, pagi ini.

Mayat Muhammad Amir Adnan, 10, ditemui oleh sepasukan anggota bomba dan penyelamat kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini selepas 15 minit dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Bapa mangsa, Adnan Che Hassan, 42, berkata, anaknya tidak tahu berenang dan dikatakan telah tergelincir ke dalam parit itu sebelum dibawa arus deras.

Dalam pada itu, seorang remaja, Amin Yusof, 20, hilang dihanyutkan arus ketika mandi bersama beberapa rakannya di Sungai Kampung Gerong, dekat Tumpat, Kelantan kira-kira pukul 4 petang ini.

Kejadian disedari oleh seorang penduduk, Mohd. Amin Azmi, 24, yang ternampak mangsa bersama beberapa rakan terjun dari jambatan Gerong, dekat Sungai Pinang.

Mohd. Amin berkata, mangsa dipercayai dihanyutkan arus deras selepas gagal berpaut pada dahan pokok manakala rakannya sempat berenang ke tebing.

Ketua Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Che Ludin Che Wil berkata, beliau bersama empat anggota menjalankan operasi mencari tetapi mangsa masih belum ditemui setakat ini.

Sebelum ini, Kelantan mencatatkan empat kematian dan Johor satu kematian sejak banjir melanda negeri-negeri itu minggu lalu.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat

Abdul Jalil berkata, setakat ini, sebanyak 4,040 mangsa masih ditempatkan di pusat-pusat pemindahan di seluruh negara hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan kepada pecahan, 16 pusat pemindahan dibuka di Pahang yang menempatkan 1,399 mangsa, 20 pusat di Kelantan (1,367 mangsa) dan 20 pusat di Johor (1,280 mangsa).

Ulasan : Takizah bagi keluarga mangsa. Semua mangsa banjir perlu berhati-hati pada saat ini sebab banyak perkara tak diduga boleh berlaku.

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Majlis Peguam kesal dengan tindakan polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan hak mereka untuk berarak sempena Hari Hak Asasi Sedunia di sini hari ini.

Presidennya, Ambiga Sreenevasan berkata, pihaknya juga kesal tindakan pihak berkuasa yang didakwa ‘membuli’ mereka dengan menghalang sembilan yang ditahan dalam perarakan itu daripada mendapatkan khidmat guaman.

Katanya, amalan ‘buli’ itu juga dilakukan DBKL pada pukul 12 tengah hari dengan menurunkan sepanduk dan poster sempena perarakan itu tanpa memberi notis.

“Majlis Peguam telah menyewa kawasan itu dan kami berhak meletakkan sepanduk dan poster di situ, jadi mereka (polis dan DBKL) tiada hak untuk menurunkannya.

“Ini merupakan hari yang paling sedih untuk Hari Hak Asasi Sedunia yang disambut esok,” katanya dalam sidang akhbarnya di sini hari ini.

Sreenevasan berkata, pihak majlis akan menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung layanan pihak berkuasa itu.

Ulasan : Majlis Peguam perlu bangkit membela peguam yang ditahan.

SUBANG 9 Dis. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendedahkan, ada wakil rakyat yang telah melobi untuk terus menjadi calon pilihan raya umum ke-12 sejak dua bulan lalu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menasihatkan semua wakil rakyat supaya tidak melobi untuk dipilih sebagai calon.

‘‘Orang dah mula dah (melobi), dua bulan dulu dah lobi dah,’’ katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kejohanan Golf Amal MasterCard ntv7 Platinum Golf Master 2007 di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan melobi di kalangan wakil rakyat untuk dipilih semula menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

Dalam reaksi beliau, Perdana Menteri sebaliknya menasihatkan mereka: ‘‘Tak payah lobilah.’’

Ketika bercakap kepada pemberita semasa lawatan beliau ke Terengganu pada 18 November lalu, Abdullah mengakui, terdapat wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak menunjukkan prestasi yang baik walaupun mereka mempunyai masa panjang sebelum pilihan raya umum untuk melaksanakan tugas masing-masing.

Mengenai golongan itu, Perdana Menteri pada sidang media tersebut menegaskan, nasib mereka akan ditentukan menjelang pilihan raya dan mereka perlu bersedia menerima realiti jika tidak dipilih semula sebagai calon.

‘‘Ada (wakil rakyat) yang menjalankan kerja dengan baik, jadi wakil rakyat yang baik (tetapi) ada uga yang lemah,’’ katanya.

Ulasan : Pilihanraya semakin hampir. Maka semua pakat melobi nak calonkan diri sendiri. Bukannya nak jadi wakil rakyat tapi tuan rakyat.

KUALA LUMPUR 9 Dis — Hari Raya Aidiladha bagi seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Khamis, 20 Disember ini.

Pengisytiharan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah mengenai ketetapan itu disiarkan secara langsung menerusi RTM malam ini.- Bernama

Ulasan : Moga dipanjangkan umur kita menyambut Aidiladha kali ini dan muhasabah diri sebanyak mana pengorbanan yang telkah dicurahkan demi agama Allah.



Cerpen: 10 puteri tak dilindungi bulan

Oleh Fatimah Busu

10 Puteri Tak Dilindungi Bulan

Bertemasya di Pantai Sri Pengkalan
Satu kena rogol beramai-ramai
Tinggal lagi Sembilan.


"Apa pasal kamu semua tinggalkan dia seorang diri ? Tidak ajak dia balik dengan kamu semua ?"

"Kami tidak larat hendak tunggu dia lagi, makcik. Dia asyik duduk bercakap-cakap, gelak-ketawa dengan orang-orang lelaki ... tiga empat orang "

"Dia yang suruh kami jalan dulu, makcik. Dia kata akan ikut kami kemudian. Kami ingat dia ikut di belakang kami."

"Kamu semua memang tidak boleh harap! Bila mahu pergi pandai pula ajak pergi beramai-ramai. Bila balik, tinggalkan anak aku seorang diri."

"Sudahlah mamanya. Jangan marahkan anak orang. Kita yang benarkan dia ikut pergi. Kalau kita tidak benarkan lainlah cerita."

"Sekarang sudah jadi macam ni, nanti siapa yang pelahap mahu kahwin dengan dia ? Jantan mana yang pelahap buat bini ?"

"Cepatlah. Kita kena buat report polis segera. Kita kena bawa dia ke hospital � Heh, kamu kenalkah budak-budak jantan yang buat kamu itu ?"

"Kenal abah "

"Berapa orang ?"

"Empat "

"Kamu tahu nama-nama dia ? Tempat tinggal dia ?"

"Seorang saja yang lain tidak tahu."

"Sudahlah abahnya! Mari cepat buat report ! "

"Huuuuu dahsyat betul makcik tu. Anak dia yang gatal, miang macam ulat bulu bila tengok jantan, kita pula yang disalahkan! "

"Makcik tu tak nampakkah pakaian anak dia tu sudahlah pakai skirt pendek nampak seluar dalam, pakai pula baju pendek dedah perut, tayang belakang. Bukan ada lengan baju, pakai tali sangkut di leher saja macam baju dalam!"

"Baju kita ini pun nampak pusat juga!"

"Sekurang-kurangnya kita pakai seluar jean. Pakai tudung. Nampak pusat pun tak berapa sangat."

9 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta seks - video lucah di apartmen
Satu sempat dicekup pencegah maksiat
Tinggal lagi lapan.


"Hah! Padan muka si Saman tu megah sangat anak perempuan dapat bekerja di kota! Jaja serata kampung anak jadi pegawai!"

"Pegawai kilang video lucah! Elok-elok duduk tolong ibu bapa buka kedai, mahu pergi cari kerja di kota. Konon mahu makan gaji."

"Aku hairan macam mana budak-budak tu boleh jadi tak waras macam tu . Tidak ada rasa malu aibkah buat kerja begitu! Ramai-ramai pulak tu, bukan seorang-seorang."

"Nak malu, nak aib ni, kalau ada ilmu agama. Kalau tidak ada ilmu agama, nak rasa malu nak rasa aib apa! Setakat Melayu setakat Islam saja tak jadi apa! Setan-Iblis jadi raja!!!"

"Agaknya emak bapak dia orang tu tidak peduli hukum agama."

"Janganlah salahkan emak bapak saja. Mereka kena cari belanja nak tanggung keluarga. Masakan ada masa hendak awasi anak-anak dua puluh empat jam ! Anak-anak yang sudah besar panjang, sepatutnya tahulah bawa diri. Ini tidak. Setiap hari duduk keliling dengan video lucah di mana-mana. Tv pun dua kali lima juga. Dua puluh empat jam duduk tayang benda-benda yang merasuk fikiran orang muda. Lepas itu duduk buat konsert pula sana-sini setiap masa. Mana ibu bapak terdaya hendak kawal semuanya!"

8 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Pergi ke konsert Jom Heboh
Satu hilang ikut jantan
Tinggal lagi tujuh.


"Macam mana ayahnya! Sudah lima hari dia tak balik-balik saya runsing sangat!"

"Hendak buat macam mana lagi. Kita dah buat report polis. Sudah masuk surat khabar. Dah tanya serata keluarga, serata daerah. Dah tanya kawan-kawan dia. Nak buat macam mana lagi ! Nak pergi redah di mana lagi !"

"Esok saya nak pergi jumpa bomoh tentu bomoh tahu. "

"Jangan! Jangan buat kerja karut, tu. Silap haribulan, syirik ."

"Habis ?"

"Kita tunggu, kita tengok saja. Nanti kalau dia sedar langit itu tinggi, dia balik juga ke rumah."

7 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi GRO di Kelab Nilam
Satu dibawa pulang oleh pelanggan dan dibunuh
Tinggal lagi enam.


"Ya Tuhan ! Kenapalah mereka buat begini dengan anak aku! Dia seorang anak yang baik. Kuat kerja. Tiap bulan kirim duit ke rumah bantu ibu bapa. Bantu adik-beradik sekolah! Sekarang siapa lagi yang akan bantu kami!"

"Dunia sekarang memang kejam, puan anak yang begitu baik pun boleh dikerjakan sampai begitu. Berapa sebulan dia kirim duit kepada puan?"

"Selalunya lima ratus sebulan. Kalau dekat raya, dia kirim sampai seribu. Katanya untuk beli kain baju raya adik-adik ."

"Dia kerja apa di KL, tu?"

"Katanya pegawai eksekutif syarikat ."

"Syarikat apa, puan?"

"Kalau tak silap syarikat import eksport katanya pangsapuri tempat dia tinggal tu bosnya yang bayar bosnya baik selalu bagi bonus dua tiga bulan sekali."

"Oh?"

6 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Berpesta arak dan karaoke di kota
Satu terus jadi pelacur
Tinggal lagi lima.


"Hei anak bertuah! Kautengok jam berapa sekarang baru pulang, hah?"

"Baru jam 3.00 pagi lebih sikit. Apa pasal ayah bising-bising tengah malam buta begini?"

"Kaucakap ! Kau buat apa di luar sana tu, hah?"

"Duduk-duduk sembang dengan kawan-kawan di rumah Anis. Tengok video tak bolehkah? Masakan kena duduk terkelepuk di rumah dua puluh empat jam?"

"Sudahlah ayahnya. Budak tu baru balik. Penat. Biarkanlah dia berehat dulu. Esok bincanglah!"

"Awak pun satu. Suka sangat masuk sebelah anak. Entah dibuat apa-apa di luar tu. Nanti awak jangan pula hendak teriak-tangis! Awak tengok cara dia berpakaian, tu. Hari-hari tukar. Semua jenis yang mahal-mahal! Di mana dia kerobek duit membelinya? Awak tidak sedarkah? Itu, kereta yang dia bawa balik itu, kereta siapa?"

"Dia tu bekerja, bukan?"

"Kerja jadi pembantu kedai, masakan gajinya tiga empat ribu sebulan?"

5 Puteri Tak Dilindungi Bulan

Satu disuruh seludup dadah dan ditangkap
Tinggal lagi empat.


"Yang Berhormat ! Tolonglah anak saya ! Dia tidak bersalah. Yang Berhormat tentu ada konteks dengan Pesuruhjaya Tinggi Jamaica! Tolonglah hubungi dia bagi pihak kami. Kami tidak tahu hendak buat apa lagi untuk membebaskan anak kami."

"Saya bukan tidak mahu tolong. Perkara ini bukan perkara kecil ! Lagipun dia ditahan di Jamaica... ada bukti kukuh dadah itu ada dalam beg pakaian dia."

"Saya sudah kata dia tidak bersalah. Dia kena nyanya teman lelaki dia. Kalau boleh bawa kes itu ke negara ini, bagaimana? Tidak bolehkah?"

"Saya minta maaflah. Saya sudah kata hal ini bukan dalam bidang kuasa saya. Kita nantilah tengok dulu."

4 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Bercinta dengan Mat Hitam Uganda
Satu sudah murtad hendak kahwin
Tinggal lagi tiga.


"Kau ajak aku teman kau ke Jabatan Pendaftaran ini kenapa, Masni?"

"Aku nak tukar nama dalam mykad. Lepas tu minta kebenaran buang perkataan Islam sama!"

"Kenapa ? Eh! Kau pakai rantai salib, Masni? Itukan lambang agama Kristian ?"

"Memang aku sudah masuk Kristian! Dia yang bagi rantai ini. Nama aku sekarang, Madeline."

"Haaaaaaaa ??? Ya, Allah ! Masni!!!"

Ya, lah. Aku hendak kahwin dengan dia. Dia tidak mahu masuk Islam. Jadi aku kenalah masuk agama dia, Kristian. Aku mahu buktikan kepada dia yang aku betul-betul cintakan dia. Sanggup seberangi lautan api! Sanggup minum racun tikus. Sanggup makan daging babi!"

"Astaghfirullah, Masni! Bagaimana dengan emak, ayah kau? Mereka tahukah?"

"Kalau mereka tahu pun bukan boleh buat apa-apa. Aku sudah lebih dua puluh dua tahun! Aku bukan jadi tanggungan mereka lagi!"

"Kau sudah habis fikirkah? Nanti teruklah emak ayah kau. Mana mereka hendak letak muka bila orang tahu anak mereka sudah murtad?"

"Aku cuma tukar agama saja. Aku bukan tukar ibu bapa! Mereka masih emak ayah aku. Lainlah kalau mereka tidak mahu aku jadi anak mereka lagi."

"Kalau mereka tidak mahu mengaku kau anak mereka bagaimana?"

"Tidak jadi apa-apa. Aku sudah ada dia. Orang yang paling aku cinta di dunia ini. Hendak buat apa lagi dengan orang lain!"

"Eh ! Eh ! Masni!!! Kau mahu belok ke mana, ni?"

"Aku terlajak. Simpang ke Jabatan Pendaftaran dah terlepas di belakang, tu."

Krrrrrrrreeeeeeeeooooookkkk!!! Bummmm!!!

"Woooiii ada kereta eksiden! Mari pergi tolong!"

"Wooohhh! Teruknya lori tu bagi! Sampai melayang pintu drebar!"

"Aku tengok kereta tu buat pusingan U, lori itu rempuh ! Tak sempat brake!"

"Ah, ada yang parah nampaknya satu lagi nampak okey ."

"Keluar dek ! Keluar dari kereta, boleh?"

"Bawa kawan saya keluar, dulu saya okey. Saya boleh keluar sendiri."

"Mari kita angkat dia ramai-ramai jaga kaki dia terkepit. Ah, dah patah. Pegang kepala. Oh, dahinya pecah. Hati-hati ! Ah, letak atas rumput di sini."

"Aaaarrrrgggg aaarrrrgggg .."

"Masni Mas Mas mengucap mengucap Mas ."

"Aaarrrggg aaarrrggg ."

"Mengucap Mas ikut saya, mengucap ... Laaa ilaaa haillallah � Laaaa ilaaa haillallah ."

"Laaaa ilaaaa ."

"Kata, Laaa ilaaa haillallah Mas ! Kata, Laaa ila haillallah ."

"Laaa ilaaa ."

"Massss sebut Laaa ilaaa haillallah, Massss ! Masss sebut Laaa ilaaa haillallah."

"Dia sudah tidak ada lagi dek "

"Masss sebut Laaa ilaaa haillallah Masss sebut "

"Dia dah tak ada, dek dah tak ada lagi !"

"Ah, Mas Mas mengapa tidak sebut sampai habis, Masssss Laaa ilaaa,

tidak ada Tuhan, Massss ! Tidak ada Tuhan !"

"Sudah, dek ! Ada surat khabar dalam kereta, nak tutup dia ?"

"... Dan sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya (agama Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." (Pimpinan al-Rahman, al-Baqarah ayat 217, hal.67)

"Menurut hukum faqeh, orang lelaki yang murtad boleh dihukum bunuh dan orang perempuan pula boleh dipenjarakan " (Kamus Pengetahuan Islam, Haji Dasuki Ahmad, K/Lumpur: Yayasan Dakwah Islamiah, 1976, hal.238)

3 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Terjebak dengan kumpulan bohsia
Satu ditangkap bunuh bayinya
Tinggal lagi dua.


"Itulah perempuan yang buang bayi dia dekat tong sampah hari itu. Padan muka sudah kena tangkap."

"Buat kerja pandai. Hendak bertanggungjawab tak pandai. Kalau bagi pada orang lain apa salahnya. Ini dibungkus dalam beg plastik sampah, buang dekat tong sampah ."

"Dia ingat dia bijak ! CCTV dekat tong sampah itu lagi bijak rakam gambar muka dia."

"Eloklah kalau Majlis Perbandaran boleh pasang CCTV pada semua tempat buang sampah. Nanti senang hendak tangkap orang yang buang bayi."

2 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Jadi Minah Rempit bersama Mat Kutu
Satu mati eksiden ketika lumba haram
Tinggal lagi satu.


"Aku hairan sungguh. Macam tidak ada kerja lain dalam dunia ini hendak dibuatnya selain daripada berlumba haram macam ni. Betina pulak tu ! "

"Nak hairan apa, sudah jadi trend orang sekarang. Jadi Mat Rempit, jadi Minah Rempit ini glamor, tau tak?"

"Menyusahkan kerja kita saja. Nak tangkap bukan main susah lagi. Bila kena tangkap, senang-senang dibebaskan. Padan bila sudah ditangkap kenakan hukuman yang berat, jel sampai sepuluh tahun baru dia tahu! Setakat tahan lesen saja, jadi apa!"

"Buat semak dalam jel saja. Aku kata hantar ke pulau. Suruh duduk di situ sampai ke tua. Jangan benarkan balik ke kampung halaman lagi. Hidup pun bukan boleh beri manfaat apa-apa. Buat malu muka saja. Kata Melayu tapi ikut cara hidup orang Amerika. Kata Islam, tapi tak tahu dosa pahala!"

1 Puteri Tak Dilindungi Bulan
Sangat-sangat susah hati
Termenung-menung seorang diri
Bagai ayam mabuk tahi
Rasa hidup sunyi sepi
Berkurung dalam bilik setiap hari
Ibu bapa tak ambil peduli sibuk ke sana sini
Lalu terjun dari pangsapuri
Langsung diapun mati


"Janganlah kamu membunuh diri kamu /membunuh sesama orang Islam. Sesungguhnya Allah menyayangi kamu. Dan barangsiapa yang berbuat demikian secara menentang dan menganianyai diri, maka Kami kelak akan memasukkannya ke dalam neraka, dan hal yang demikian itu adalah mudah bagi Allah." (Pimpinan al-Rahman, an-Nisa, ayat 29-30, hal.155)

Puteri Lindungan Bulan, sebuah cerita lisan Kedah Tua tentang seorang puteri keramat yang jadi rebutan Kerajaan Acheh. Dikatakan pusaranya sentiasa terlindung oleh cahaya bulan.

BIODATA: Dr Fatimah Busu

PENGARANG veteran wanita ini mewarnai dunia sastera tanah air sejak 41 tahun lalu dan pernah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia (USM). Antara karyanya, Koleksi Cerpen Al-Isra (10 cerpen) membawa persoalan falsafah, politik, agama, unsur mitos dan lagenda dalam sastera Melayu tradisional dengan tanggapan baru. Kumpulan Cerpen Lambaian Tanah Hijau memuatkan 15 cerpen dengan tema kritik sosial dan diterjemahkan ke pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Belanda, Tamil, Perancis, Mandarin, Jerman dan Vietnam. Kumpulan Puisi Apa Ada Di Sana (2003), Antologi

Cerpen Keajaiban Alam (2004) manakala novelnya, Ombak Bukan Biru (1977), Kepulangan (1980), Salam Maria (2004), The Missing Piece - Bahagian I (2005) dan The Missing Piece - Bahagian II (2006) turut mendapat perhatian pengkaji.

Ulasan : Satu cerpen yang sangat menarik tentang permasalahan remaja perempuan dalam pelbagai masalah sosial. Renung-renungkan maksud yang tersirat di sebaliknya!



Ikhtiar, doa mesti seiring elak musibah banjir



Oleh Dr Irfan Mohamad

SABAN tahun, kehadiran cuti persekolahan adalah suatu yang amat dinantikan pelajar mahupun ibu bapa yang bekerja. Ada yang bercadang melancong dan tidak kurang menguruskan perkahwinan anak. Namun, bagi sesetengah penduduk di negara kita, setiap kali menjelang hujung tahun, trauma dilanda banjir akan kembali segar dalam ingatan.

Jika dulunya gelaran musim banjir akhir tahun hanya terkenal di negeri di Pantai Timur Semenanjung, khususnya Kelantan dan Terengganu, bertepatan dengan musim angin Monsun Timur Laut yang bertiup antara November hingga Mac, namun sekarang ia menjadi ancaman kepada negeri lain termasuk di Pantai Barat.

Johor misalnya, jika suatu masa dulu jarang dilanda fenomena ini, tetapi sekarang apa yang berlaku amat sukar diramalkan. Kini, ribuan penduduk Segamat terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan banjir sejak hujan beberapa hari lalu.

Setiap kali musim banjir tiba, semua agensi dan badan sukarela akan bergegas menghulurkan bantuan sedaya termampu bagi meringankan beban penduduk yang terperangkap dalam musibah ini. Kegusaran yang membuak-buak akan timbul dan terus bermain di hati setiap penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dan mudah dilanda banjir.

Pelbagai langkah juga diambil kerajaan dari semasa ke semasa untuk mengelakkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan kesan akibat terjadinya musibah yang tidak dijangka ini.

Proses pemuliharaan alam sekitar menjadi antara perkara yang ditekankan dalam kerangka untuk mengekalkan kawasan tadahan hujan dan sekali gus mengelakkan terjadinya banjir.

Sungai diperdalamkan, sistem perparitan diperbaiki dan ditingkatkan keberkesanannya untuk mengalirkan air hujan secepat yang boleh.

Masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko tinggi juga sentiasa diberi amaran dan kesedaran mengenai perlunya peka dan patuh kepada arahan apabila mereka diminta berpindah dan menyelamatkan barang berharga.

Dari sudut lain, kita juga perlu memperbaiki dan memulihara hubungan kita dengan pemilik sebenar alam maya ini. Banjir besar direkodkan dalam sejarah sebagai satu kaedah untuk menegur dan memperbaiki akhlak kaum yang ingkar kepada suruhan dan ajaran agama.

Banjir bukanlah harus dilihat sekadar fenomena alam semata-mata yang berlaku mengikut peredaran angin monsun kerana ia boleh dan sudah terbukti berlaku walaupun pada luar musimnya. Semuanya adalah ketentuan Ilahi dan manusia harus mengambil iktibar dalam setiap kejadian yang berlaku.

Muhasabah diri dengan merenung kepada amalan kita, baik yang dilaksanakan secara individu mahu pun secara berkumpulan. Hidup bermasyarakat adalah perlu bagi menilai prestasi diri dan membuat semakan terhadap kemerosotan prestasi atau kepincangan yang ada.

Jika kita bertungkus-lumus melengkapkan borang sasaran kerja tahunan, adalah amat elok sekiranya amalan serupa boleh dilakukan terhadap perbuatan kita sebagai penilaian prestasi diri. Ia hanya sedikit masa untuk direnungkan, tanpa perlu ditaip atau dicetak.

Amalan sama ada secara langsung atau tidak langsung yang boleh mengundang kemarahan Pencipta haruslah dihindari dan ditukar dengan perkara yang disenangi-Nya. Perilaku serta penghayatan nilai murni yang baik dalam kehidupan ini haruslah dikekalkan sepanjang tahun, tanpa terikut-ikut dengan musim seperti berlaku banjir yang biasanya bermusim.

Selain usaha dan ikhtiar, kita juga eloklah membudayakan amalan berdoa dan memohon hajat kepada-Nya sebagai tanda kita adalah golongan yang berserah selepas ikhtiar yang kita usahakan mencapai tahap maksimum.

Tiada daya dan upaya kita untuk menolak kehadiran musibah yang bakal melanda melainkan dengan kuasa-Nya. Pemimpin dan rakyat harus sama-sama melaksanakan misi mencapai wawasan negara iaitu mencapai ke suatu tahap ‘negeri yang baik dan sentiasa dinaungi lembayung keampunan’.

Penulis bertugas di Jabatan ORL-HNS (ENT), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, Kelantan.



Ulasan : Banjir semakin hebat melanda Kelantan, Johor dan Pahang. Moga semua mereka yang terlibat dengan urusan pemindahan tabah dan redha serta menganggap ia ujian Allah swt

Kepentingan menjaga nyawa seperti pertahan agama


KEJADIAN pembunuhan yang dilaporkan media massa mengundang perasaan takut dan resah kepada masyarakat yang berasakan persekitaran hari ini sudah tidak selamat bukan saja untuk golongan dewasa, juga kanak-kanak.

Membunuh seseorang atau merosakkan anggota tubuh anak Adam, hanya dibolehkan dalam dua keadaan iaitu berperang dan ketika menjalankan hukuman mati.

Untuk memelihara nyawa, al-Quran menetapkan bahawa pembunuh yang sengaja membunuh nyawa orang lain, diancam dengan hukuman qisas (bunuh balas) mengikut syaratnya. Jika tidak cukup syarat, tetapi terbukti tertuduh melakukan pembunuhan, mesti dijatuhi hukuman ta'zir, iaitu hukuman yang jenis dan kadarnya ditentukan hakim.

Hukuman qisas wajar dijalankan, kecuali orang yang bersalah itu dimaafkan keluarga mangsa atau pun tidak cukup syaratnya. Sebaliknya, hukuman yang dijatuhkan pengadilan berdasarkan undang-undang perlu dilaksanakan.

Hukuman mati menjadi sasaran kritik kelompok yang menamakan diri sebagai pejuang penegak hukum. Mereka menuntut supaya hukuman mati dihapuskan dengan alasan, cukuplah Tuhan yang mencabut nyawa manusia.

Islam menghargai kepentingan menjaga nyawa. Firman Allah yang bermaksud: “Kerana itu (besarnya dosa pembunuhan), Kami telah tetapkan kepada Bani Israel (dan juga bangsa lain), bahawa siapa saja yang membunuh (seorang) manusia, tidak kerana melaksanakan hukuman qisas atau hukuman terhadap pembuat bencana di muka bumi, samalah dengan membunuh seluruh manusia. Siapa yang menolong (seorang manusia) untuk terus hidup, samalah dengan menolong semua manusia untuk hidup bersama.” (Surah al-Maidah, ayat 32)

Penghargaan terhadap nyawa orang lain hanya akan wujud di kalangan yang meyakini kebenaran ayat ini dan terdidik sejak kecil lagi. Juga termasuk penghargaan terhadap nyawa, ialah orang yang membunuh diri ditegaskan dalam hadis sahih, akan kekal di neraka jahanam.

Hukuman itu wajar, kerana orang yang membunuh diri tidak lagi percaya adanya Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Penolong. Mereka menghukum diri mereka sendiri terlebih dulu sebelum datangnya hukum Tuhan.

Mereka mudah beremosi, gelap mata, putus asa berlebihan, apa lagi kurang iman dan agama, sering menjadi penyebab orang nekad untuk membunuh diri. Di samping itu, mudah tersinggung, berfikiran pendek dan kecewa juga penyebab bunuh diri.

Al-Quran mengisyaratkan peraturan hukum hendaklah secara jelas, tegas dan berat. Jika rakyat biasa yang bersalah, hukumannya satu. Jika hamba sahaya, hukumannya separuh daripada orang merdeka manakala isteri nabi atau pejabat, hukumannya mesti dua kali ganda.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai isteri nabi, sesiapa antara kamu yang melakukan sesuatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab baginya dua kali ganda.” - (Surah al-Ahzab, ayat 30)

Polis dan tentera berkewajipan melindungi rakyat. Justeru, jika mereka melakukan pembunuhan hukumannya mesti dua kali ganda daripada rakyat biasa kerana mereka adalah orang yang semestinya memberi contoh, teladan yang baik kepada masyarakat sekitar.

Semua orang berhak untuk hidup, dan semua orang mesti hidup, kerana di atas kehidupan tegaknya masyarakat besar menjadi sebuah negara. Orang tidak boleh membunuh dirinya atau orang lain, kerana itu adalah termasuk senarai dosa besar.

Dengan kehilangan nyawa seseorang yang dibunuh, masyarakat dan negara kehilangan seorang anggotanya, keluarga kehilangan orang yang disayang dengan jalan tidak wajar. Hidup ini bukan untuk dirinya saja, tetapi untuk semua.

Tujuan bermasyarakat ialah supaya kekal perhubungan dan muhibah sesama masyarakat. Manusia tidak boleh dibunuh atau dikorbankan begitu saja, melainkan ada kepentingan bersama seperti mempertahankan agama atau tanah air daripada pencerobohan atau serangan musuh.

Hak hidup itu adalah hak bersama, mulai seorang anak (bayi) bergerak dalam rahim ibunya, dia sudah berhak menerima hakikat hidup. Sebab itu dilarang keras oleh agama dan negara, menggugurkan bayi kecuali kecuali darurat kerana bagi menjaga keselamatan ibu atau bayi itu sendiri.

Alah berfirman yang bermaksud: Janganlah kamu membunuh suatu nyawa (diri) yang diharamkan Allah, kecuali di atas jalan yang hak (benar).” - (Surah al-Isra’, ayat 33)

Ertinya, pembunuhan yang dilakukan oleh hakim kerana menjalankan hukum qisas, atau kerana mempertahankan diri sendiri jangan sampai dibunuh orang, sehingga dalam mempertahankan diri itu terpaksa dibunuh orang itu terlebih dulu.

Hukum qisas yang dijalankan kepada seseorang bersalah itu, adalah untuk memotong suatu bahagian anggota yang berpenyakit daripada tubuh masyarakat, supaya masyarakat tetap sihat dan aman.


Ulasan : Asas kepada segala permasalahan sosial hari ini kerana kurangnya iman. Cara yang terbaik untuk menghukum mereka yang melakukan perkara yang dilarang agama ialah menghayati hukum yang telah dinyatakan oleh Allah swt di dalam al-Qur'an dan al-Hadith.



Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude