PEMBENTUKAN peribadi anak-anak tidak sahaja dipengaruhi faktor baka dan kemahiran mendidik ibu bapa. Salah satu aspek yang turut menyumbang dalam usaha melahirkan generasi yang memiliki personaliti unggul ialah persekitaran.
Apatah lagi, generasi masa kini semakin terdedah dengan pelbagai pengaruh negatif yang menular melalui ‘langit terbuka’ seperti Internet, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan pelbagai media berteknologi tinggi.
Lantaran itu, tanggungjawab ibu bapa semakin besar dan berat dalam mendidik anak-anak mengikut acuan Islam. Pun begitu, kewujudan kumpulan nasyid Nur Kasturi yang terdiri daripada 11 kanak-kanak antara usia lapan hingga 16 tahun pada dasarnya bertujuan membentuk diri serta mendidik hati mereka, sekali gus pendengar menerusi wadah nasyid.
Bakat Mohd. Al-Asyraf Mohd. Hidir, 16, Farah Nur Adirah Md. Isa, 13, Intan Nur Farhamim Mohd. Hidir, 13, Rabiatul Adawiyah Kamarul Nazli, 9, Mohammad Azrien Mohd. Hidir, 10, Che Hafzan Che Nor Azman, 9, Muhd. Shafiq Shihabuddin, 9, Mohd. Asraf Mohd. Zin, 9, Nur Aida Suraya Baharin, 10, Rabiatul Jannah Kamarul Nazli, 8 dan Nadzatul Dasira Baharin, 12, mula dikesan selepas mereka dinobatkan juara dalam satu pertandingan nasyid sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat taman perumahan Kasturi di Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor tahun lalu.
Uniknya kumpulan nasyid Nur Kasturi ini bukan sahaja berbakat dalam nyanyian malah turut berkebolehan memainkan alat muzik percussion seperti congga, jhembe dan tamborin. Mereka juga dipilih oleh sebuah syarikat jualan langsung bumiputera untuk mendendangkan beberapa lagu tema syarikat berkenaan, baru-baru ini.
Meskipun masih baru dalam dunia hiburan, Nur Kasturi tidak menang tangan memenuhi undangan persembahan untuk pelbagai acara keramaian, apatah lagi pada musim cuti sekolah ini. Menurut Pengurusnya, Mokhtom Maulud, 46, melihat kepada sambutan yang semakin menggalakkan beliau merasakan tunjuk ajar yang diterima daripada Ustaz Fauzan Nordin (percussion) dan Ustaz Faiz Muhammad (vokal) turut menyumbang kepada kemantapan kumpulan nasyid itu.
Akuinya lagi, keputusan untuk serius dalam mengetengah Nur Kasturi yang sebelum ini hanya aktif di sekitar taman perumahan Kasturi dan sekitar Selangor tidak sia-sia. Ini kerana dalam tempoh tidak sampai setahun, Nur Kasturi berjaya mengadakan beberapa siri persembahan di luar dari Selangor. “Saya dan suami, Mohd. Hidir Yaakub dengan bantuan Ustazah Ruzaiton Abd. Jalil yang juga guru di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 tidak menyangka kumpulan ini mampu pergi jauh. Ini semua berkat sokongan semua pihak terutamanya penduduk perumahan Kasturi yang ada antaranya menghulurkan sumbangan tenaga dan wang ringgit,” jelasnya.
Kata Mokhtom, kejayaan mereka ini juga diharap menjadi contoh kepada kanak-kanak sama ada dari luar atau taman perumahan ini. “Mereka ini alhamdulillah, berdisiplin dan senang dibentuk. Ia selaras dengan pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” jelas suri rumah ini yang boleh dihubungi di talian 013-226 5184 sekiranya ada pihak yang berminat menjemput Nur Kasturi membuat persembahan.
Kata Mokhtom, melalui aktiviti begini, kanak-kanak berkenaan dapat mengisi masa senggang, lebih-lebih lagi pada cuti sekolah sekarang dengan aktiviti berfaedah. “Kami tidaklah terlalu mengongkong mereka dengan terpaksa mengikuti latihan tetapi beberapa jam dalam sehari diperuntukan untuk sesi latihan,” ceritanya yang amat mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak bagi menampung pelbagai kos pembangunan untuk terus menggerakkan Nur Kasturi di masa hadapan.
Sementara itu, penyanyi utamanya, Mohammad Azrien berkata, minat dalam nyanyian nasyid bermula sejak di peringkat pra sekolah. Lama-kelamaan apabila masuk ke sekolah agama, dia terus serius dan alhamdulillah mendapat bimbingan daripada guru-guru yang profesional dalam bidang vokal dan pengendalian alat muzik. Ditanya rahsianya menjaga suara, dengan ketawa kecil akui Mohammad Azrien, ibunya, Mokhtom banyak membantu dari segi itu. Malah pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa ini juga menyimpan cita-cita untuk bergelar artis nasyid terkenal seperti Raihan, Rabbani, Far East suatu hari kelak.
Ketua kumpulan Nur Kasturi, Mohd. Al-Asyraf pula memberitahu, dia tidak menghadapi banyak masalah mengurus ahli kumpulan yang lain memandangkan jarak usia yang sudah dianggap abang. Namun, ada masanya dia terpaksa menggunakan ketegasan untuk menarik perhatian mereka yang kurang berdisiplin. Bagi pemain tamborin pula, Rabiatul Adawiyah, pada peringkat awal-awal dahulu agak sukar juga untuknya mengendalikan alat muzik tersebut kerana ia memerlukan kekuatan tangan dan kena peka dengan segala pergerakan kumpulan.
Pun begitu, dengan adanya tunjuk ajar daripada ustaz semuanya dapat diatasi dan dia semakin seronok dan berazam menguasai alat muzik lain.
Ulasan : Mendidik generasi muda dengan hiburan Islam seperti ini, lebih bermakna berbanding dengan mewujudkan pertandingan seperti Studio Bintang Kecil di TV9. Benarlah, untuk mengamalkan Islam di akhir zaman ini, akan dianggap ganjil oleh kebanyakan orang. Ya Allah berilah kami kekuatan mendidik generasi muda hari ini dengan acuan Islam!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan