Selasa, 11 Disember 2007

Apabila Maya Karin ke Kelantan

Oleh: KU SEMAN KU HUSSAIN

BARU-BARU ini heboh mengenai pelakon Maya Karin yang diundang ke Kelantan. Maya pelakon filem 1957: Hati Malaya diundang sebagai panel forum yang membincangkan tentang karya filem karyawan Iran, Majid Majidi. Turut menjadi panel ialah ahli akademik Prof. Dr. Hatta Azad Khan serta pengarah filem Mamat Khalid dan Hassan Mutalib.

Sebenarnya undangan Maya ke Kelantan bukanlah isunya. Sebaliknya yang perlu dilihat daripada undangan itu ialah inisiatif mendekatkan rakyat di luar Kuala Lumpur dengan filem yang dihasilkan di Iran. Ketika filem dikuasai oleh Barat yakni Amerika Syarikat (AS), Iran yang memusuhi AS menjadi pemain penting perfileman di peringkat dunia.

Dalam hubungan ini Kelantan mengambil tindakan proaktif apabila merancang menganjurkan Festival Filem Islam Antarabangsa tahun ini. Sekalipun festival itu tidak mungkin dapat diadakan pada tahun ini kerana sasaran awalnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2007, tetapi yang penting Kelantan membantu mengembangkan seni dan ketinggian pemikiran menerusi filem di luar Kuala Lumpur. Festival Filem Islam Antarabangsa adalah idea baik selepas negara ini menjadi hab makanan halal.

Maka istilah “Islam” kepada festival yang dirancangkan di Kelantan ini seharusnya tidak dilihat dengan prasangka. Festival Filem Islam Antarabangsa yang diadakan di Iran telah memberi satu pilihan selain sekian banyak festival yang memperagakan filem antiIslam.

Saya sudah beberapa kali melemparkan pandangan tentang peri pentingnya Kuala Lumpur menjadi jenama baru kepada Festival Filem Islam Antarabangsa. Tetapi tidak ada reaksi kerana barangkali rujukan kita lebih kepada Hollywood dan Hong Kong.

Apabila Kelantan bertaraf sebuah negeri mempunyai semangat untuk menganjurkan festival ini, ia memperlihatkan satu yang positif. Pertamanya untuk membawa filem kepada masyarakat di luar Kuala Lumpur. Dan yang keduanya memberitahu kita kerajaan negeri harus memainkan peranan mengubah sudut pandangan yang penuh prasangka terhadap filem.

Cuba bayangkan kalau semua negeri mempunyai minat dan kesungguhan untuk membangunkan bidang perfileman, hasilnya mungkin akan mengubah graf filem tempatan yang ada sekarang. Tidak mempunyai panggung wayang bukanlah alasan untuk meminggirkan hal-hal yang berkaitan dengan filem.

Kita tidak dapat menolak bahawa filem satu media yang sangat berpengaruh. Kerana ia berpengaruh maka kita mesti mendekati dan menguasainya sekali gus. Kerana itu yang dilakukan oleh Kelantan adalah mendekati filem yang sebelum ini dianggap memperagakan nilai-nilai yang bercanggah dengan moral ketimuran dan Islam.

Kelantan memilih untuk mengajak masyarakat menghayati filem yang baik dari Iran. Maka siapa saja yang melakukan usaha ini, kita wajar menyokongnya.
Ulasan : Suatu tulisan yang telus dan melihat dengan jelas usaha murni Kerajaan Kelantan untuk mengajak penonton filem memilih filem yang benar dapat mendidik dan memberikan kesan kepada jiwa dan minda. Susah bertemu dengan tulisan seumpama ini. Tahniah Kerajaan Kelantan!

Tiada ulasan:

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude