Oleh Dr Irfan Mohamad
SABAN tahun, kehadiran cuti persekolahan adalah suatu yang amat dinantikan pelajar mahupun ibu bapa yang bekerja.
Jika dulunya gelaran musim banjir akhir tahun hanya terkenal di negeri di Pantai Timur Semenanjung, khususnya Kelantan dan Terengganu, bertepatan dengan musim angin Monsun Timur Laut yang bertiup antara November hingga Mac, namun sekarang ia menjadi ancaman kepada negeri lain termasuk di Pantai Barat.
Johor misalnya, jika suatu masa dulu jarang dilanda fenomena ini, tetapi sekarang apa yang berlaku amat sukar diramalkan. Kini, ribuan penduduk Segamat terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan banjir sejak hujan beberapa hari lalu.
Setiap kali musim banjir tiba, semua agensi dan badan sukarela akan bergegas menghulurkan bantuan sedaya termampu bagi meringankan beban penduduk yang terperangkap dalam musibah ini. Kegusaran yang membuak-buak akan timbul dan terus bermain di hati setiap penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah dan mudah dilanda banjir.
Pelbagai langkah juga diambil kerajaan dari semasa ke semasa untuk mengelakkan atau sekurang-kurangnya mengurangkan kesan akibat terjadinya musibah yang tidak dijangka ini.
Proses pemuliharaan alam sekitar menjadi antara perkara yang ditekankan dalam kerangka untuk mengekalkan kawasan tadahan hujan dan sekali gus mengelakkan terjadinya banjir.
Sungai diperdalamkan, sistem perparitan diperbaiki dan ditingkatkan keberkesanannya untuk mengalirkan air hujan secepat yang boleh.
Masyarakat yang tinggal di kawasan berisiko tinggi juga sentiasa diberi amaran dan kesedaran mengenai perlunya peka dan patuh kepada arahan apabila mereka diminta berpindah dan menyelamatkan barang berharga.
Dari sudut lain, kita juga perlu memperbaiki dan memulihara hubungan kita dengan pemilik sebenar alam maya ini. Banjir besar direkodkan dalam sejarah sebagai satu kaedah untuk menegur dan memperbaiki akhlak kaum yang ingkar kepada suruhan dan ajaran agama.
Banjir bukanlah harus dilihat sekadar fenomena alam semata-mata yang berlaku mengikut peredaran angin monsun kerana ia boleh dan sudah terbukti berlaku walaupun pada luar musimnya. Semuanya adalah ketentuan Ilahi dan manusia harus mengambil iktibar dalam setiap kejadian yang berlaku.
Muhasabah diri dengan merenung kepada amalan kita, baik yang dilaksanakan secara individu mahu pun secara berkumpulan. Hidup bermasyarakat adalah perlu bagi menilai prestasi diri dan membuat semakan terhadap kemerosotan prestasi atau kepincangan yang ada.
Jika kita bertungkus-lumus melengkapkan borang sasaran kerja tahunan, adalah amat elok sekiranya amalan serupa boleh dilakukan terhadap perbuatan kita sebagai penilaian prestasi diri. Ia hanya sedikit masa untuk direnungkan, tanpa perlu ditaip atau dicetak.
Amalan sama ada secara langsung atau tidak langsung yang boleh mengundang kemarahan Pencipta haruslah dihindari dan ditukar dengan perkara yang disenangi-Nya. Perilaku serta penghayatan nilai murni yang baik dalam kehidupan ini haruslah dikekalkan sepanjang tahun, tanpa terikut-ikut dengan musim seperti berlaku banjir yang biasanya bermusim.
Selain usaha dan ikhtiar, kita juga eloklah membudayakan amalan berdoa dan memohon hajat kepada-Nya sebagai tanda kita adalah golongan yang berserah selepas ikhtiar yang kita usahakan mencapai tahap maksimum.
Tiada daya dan upaya kita untuk menolak kehadiran musibah yang bakal melanda melainkan dengan kuasa-Nya. Pemimpin dan rakyat harus sama-sama melaksanakan misi mencapai wawasan negara iaitu mencapai ke suatu tahap ‘negeri yang baik dan sentiasa dinaungi lembayung keampunan’.
Penulis bertugas di Jabatan ORL-HNS (ENT), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, Kelantan.
Ulasan : Banjir semakin hebat melanda Kelantan, Johor dan Pahang. Moga semua mereka yang terlibat dengan urusan pemindahan tabah dan redha serta menganggap ia ujian Allah swt
Tiada ulasan:
Catat Ulasan