Rabu, 29 Oktober 2008

Di penghujung Syawal


Salam buat semua. Hampir seminggu lebih blog ini tidak diupdate. Dengan alasan yang sama-sibuk dengan tugasan, saya gagal untuk terus istiqamah mengupdate blog setiap hari, sedangkan pengunjung terus setia bersama blog kecil ini.

Sekadar catatan untuk renungan bersama :

1) 2 minggu lepas, saya di Lawas. Daerah paling utara di Sarawak. Dari Kucing, perjalanannya memakan masa sehari semalam-24 jam. Ada satu tempat Ba' Kelalan-di antara Pusat Sidang Injil Borneo-SIB yang terkenal di Sarawak. Hampir tiada orang Islam di sini.

2) Minggu lepas-saya sempat bersama dengan pelajar dari 3 sekolah agama yang terkenal di Kuching dan Sarawak-TUNAZ, SHOAW dan SMKA Matang 2. Saya tekankan kepada mereka-hargai masa dan pelajar sekolah agama perlu memiliki syakhsiyyah yang lebih baik dari pelajar sekolah menengah biasa. Dan anda bakal menjadi tempat rujuk dalam masyarakat.

3) Minggu ini-saya di Miri, bersama dengan penjawat awam di Pustaka Miri; yang mempunyai landskap indah dan menarik serta bilik audio visualnya yang hebat. Miri-bandaraya kedua selepas Kuching-kos hidupnya agak tinggi dan pusat jurutera muda dari Petronas dan Shell.

4) Hari ini, hari-hari terakhir Oktober dan Syawal. Bagi yang belum sempat berpuasa enam, inilah peluang terakhir. Tak lama lagi, kita akan masuk ke bulan Zuqaedah dan kemudiannya bulan Zulhijjah. Bulan Zulhijjah bulan haji. Diharap bakal haji mendapat haji mabrur dan bukan haji malboro.

Akhir kalam, salam penghujung syawal buat semua. Syukran atas kunjungan setia anda.


29 Oktober 2008, 29 Syawal 1429 Hijrah

3.31 petang, Malaysia Timur

Jumaat, 17 Oktober 2008

Formula Kerjaya Cemerlang

Semalam, kami bersama top management dalam suatu majlis ramah tamah. Berdasarkan pengalaman bekerja hampir 26 tahun, beliau berkongsi rahsia dan formula untuk menjadi pekerja yang berdedikasi dan berintegriti. Di antaranya :

1) Berani
2) Cekal
3) Mantap fizikal, mental dan spritual
4) Jangan malas
5) Jangan kata tidak pada harapan orang
6) Menambah ilmu dan memperkasa kemahiran diri
7) Ubah mindset
8) Tentukan benchmark(tanda aras) untuk mengukur kerja kita
9) Kekuatan sifat dalaman dan merangsang kualiti kerja
10) Setiap kerja dianggap cermin kepada peribadi kita
11) Minat dan hormat pada tugas(jika tidak mampu dengan tugasan baru, cipta minat)
12) Perlu ada impian(di mana dan apa akan kita jadi 5 tahun akan datang-strategic plan)
13) Perlu dilatih dengan membuat tugas-tugas yang mencabar dan berat
14) Ukur keberkesanan program yang dilaksana(KPI-Key Performance Indicator)
15) Ambil berat perkara yang remeh, jika tidak kita akan mengambil remeh perkara yang besar
16) Zero defect sewaktu program besar, justeru banyakkan rehearsal

Kesimpulannya, berdasarkan point-point di atas, tidak mustahil jika kita mengamalkannya, Insya Allah kita mampu menjadi pekerja yang berkualiti dalam organisasi, Insya Allah. Amin.



17 Oktober 2008, 17 Syawal 1429 Hijrah,

8.42 pagi, Malaysia Timur


Khamis, 16 Oktober 2008

Apabila nyawa semakin tidak berharga lagi


Semalam kita digemparkan pasangan suami isteri yang berasal dari Thailand dan kini menetap di Kelantan, mati dibunuh. Mayat mereka yang ditemui dalam keadaan yang sangat mengerikan, apabila dimasukkan di dalam tong drum selepas dibunuh.

Apabila merenung perkara ini, kita merasakan seolah-olah nyawa semakin murah. Manusia semakin bebas membunuh di atas sebab-sebab yang remeh. Di dalam agama, telah ditetapkan, mereka yang membunuh orang lain secara sengaja dan dengan niat, hendaklah dibalas bunuh atau qisas apabila sabit kesalahan. Bahkan, jika mereka terlepas dari hukuman di dunia dan tidak bertaubat, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka Allah.

Hari ini, sememangnya perlu dipupuk kasih sayang, bertolak ansur serta sabar dalam menghadapi kerenah kenalan, rakan mahupun jiran. Apabila perasaan marah menguasai diri, biasanya seseorang sukar untuk mengawal diri dari bertindak secara rasional. Sebaliknya, dia akan bersikap berdasarkan emosional. Dan akhirnya, dibimbangi malapetaka yang buruk akan berlaku, seperti pembunuhan dan sebagainya.

Di sini, saya nukilkan sebuah lirik yang pernah saya tulis suatu ketika dahulu, tentang pentingnya kita berkasih sayang dan meneguhkan ukhuwwah sesama kita. Jangan kerana perkara yang kecil, kita berbalah dan bermasam muka, apatah lagi samapi ke tahap untuk membunuh sesama insan. Wal iya zu billahi min zalik.

KOTA BHARU 15 Okt. - Pasangan suami isteri yang mayat mereka dihumban ke dalam tong drum dan perigi dalam kejadian di Kampung Peria Kuala Krai semalam dipercayai mati akibat disembelih.

Hasil bedah siasat terhadap mayat Anuar Dahman, 27, dan isterinya Asmah, 18, yang sedang mengandung tiga bulan mendapati mereka mengalami kecederaan parah di tengkuk, kesan penggunaan senjata tajam dipercayai golok.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritendan Abdul Rahman Jaafar ketika dihubungi berkata, cemburu dan dendam menjadi motif pembunuhan pasangan suami isteri warga Thailand itu yang mengambil upah sebagai penoreh getah.

Mayat Anuar ditemui mati terlungkup dalam sebuah tong drum manakala isterinya dalam sebuah perigi cetek di sebuah kebun getah di Kampung Peria awal pagi semalam.

Berikutan itu beberapa jam kemudian, polis menahan seorang anggota keluarga tidak jauh dari tempat kejadian yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan kes berkenaan.

"Hasil pemeriksaan terhadap mayat Asmah juga mendapati tidak ada kesan rogol sebelum dia dibunuh," katanya.

Menurut Abdul Rahman, mayat kedua-dua mangsa sudah diserahkan kepada keluarga mereka yang berasal dari Narathiwat selepas bedah siasat selesai dilakukan di Hospital Kuala Krai, malam tadi.

Beliau berkata, hasil maklumat orang ramai, sepasukan anggota polis yang menjalankan gerakan memburu, berjaya menahan suspek berusia 21 tahun kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

Katanya, suspek yang dipercayai tinggal bersama kedua-dua mangsa di rumah kongsi terbabit disyaki cuba melarikan diri selepas kejadian itu dengan menunggang motosikal bersendirian.

Beliau berkata, suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.



Kemanisan Ukhuwwah

Kita sebagai insan, pasrah kepadaNya
Dan bersyukur di atas nikmatNya
Allah Yang Maha Esa telah menganugerahkan
Kasih dan sayang sesama insan

Oleh itu, marilah kita berkasih sayang keranaNya
Jangan kita menyombong diri, kelak dimurkaiNya
Kasih dan sayang sesama insan perlulah dipupuk
Demi mendaulatkan Islam tercinta
Kemanisan ukhuwwah pastikan terasa
Bila dibajai dengan benih mahmudah
Ia akan bertakhta di sukma, oh indahnya

Lupakanlah segala dendam kesumat
Yang meracuni fikiran kita semua
Sebaliknya suburkan semangat ukhuwwah
Dan kasih sejati di persada hati




16 Oktober 2008, 16 Syawal 1429 Hijrah,

6.15 pagi, Malaysia Timur





Selasa, 14 Oktober 2008

Seketika di Rumah Warga Emas



Semalam, saya sempat mengikuti program ziarah raya bersama warga emas, di sebuah pusat yang menjaga mereka di sini. Setibanya saya di sana, saya dimaklumkan oleh senior saya, bahawa inilah di antara penyakit di dalam organisasi;tidak menepati masa. Ini kerana, beliau sampai terlebih dahulu, sedangkan beliau adalah pegawai yang senior. Sepatutnya, penganjur sampai dahulu untuk persiapan yang perlu. Ini tidak, tetamu yang dijemput tiba awal, sebaliknya penganjur program lewat sampai.



Walaupun dalam nada sinis, saya faham beliau agak marah ketika itu. Saya sendiri ditegur oleh pakcik pemandu, sepatutnya apabila sampai di rumah warga emas ini, teruslah bersalaman dengan mereka tanpa perlu disuruh. Katanya, kini organisasi kita ramai orang muda, mungkin sebab masih baru dan kurang pengalaman, maka banyak perkara walaupun kecil seperti itu terlepas pandang. Terima kasih saya ucapkan kepada beliau, di atas teguran ikhlas itu.



Apabila kami berbual dengan penyelia rumah warga emas itu, faham saya bahawa berlaku beberapa fenomena atau senario di situ. Di antaranya :



1) Kebanyakan warga emas di situ mempunyai kerenah tersendiri. Bahkan ada yang bersikap kebudak-budakan, ada yang nyanyuk dan ada yang begitu cepat terasa dan merajuk. Oleh itu, kakitangan pusat itu perlu banyak bersabar dan mempunyai kekuatan emosi dan mental untuk melayan kerenah mereka.


2) Kebanyakan warga emas khususnya yang Islam, masih ramai tidak tahu solat dan membaca al-Qur’an.


3) Kebanyakan warga emas yang dihantar ke situ, adalah kerana anak-anak mereka tidak sanggup lagi menjaga mereka. Benarlah kata pepatah “ Seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu”. Bahkan ada di antara anak-anak yang tidak mengaku ibu dan ayah kandung mereka sendiri sebagai ibu dan ayah mereka!


4) Gerakan Kristian dari gereja-gereja berdekatan, kerap kali mengunjungi mereka berbanding agensi-agensi Islam di sini.


5) Sekiranya warga emas Islam yang meninggal dunia, segala urusan bermula dari van jenazah mayat,mandi, solat jenazah, kain kafan dan pengkebumian perlu ditanggung oleh pihak pengurusan rumah warga emas. Tetapi jika yang meninggal adalah berbangsa Buddha mereka ditanggung oleh Nirvana(pusat pengkebumian mereka).



Saya sempat berbual dengan salah seorang dari mereka. Beliau menyatakan umurnya sudah 75 tahun. Bila saya memberitahu saya berasal dari Kelantan, lantas beliau mengatakan” Oh, negeri Nik Aziz.”. Dan beliau menyatakan lagi “PAS akan memerintah negara, dan UMNO akan jatuh sebab takabbur”. Saya agak terkejut bagaimana beliau yang sememangnya anak jati Sarawak berdoa begitu. Bahkan, beliau menyatakan sudah 2 kali bertemu dengan Tuan Guru Nik Aziz. “Subhanallah” getus hati saya. Sebelum saya balik, sempat saya bersalaman sekali lagi dengan mereka, selain menginsafi keadaan mereka yang diabai oleh anak kandung mereka sendiri, saya berdoa agar tidak menjadi anak derhaka dengan menyakitkan hati kedua orang tua saya samada secara sedar ataupun tidak. Dan harapan saya juga, mudah-mudahan doa pakcik tadi dimakbulkan Allah. Amin.



14 Oktober 2008, 14 Syawal 1429 Hijrah,


7.30 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 13 Oktober 2008

Khairy vs Mukhriz ; Siapa yang bakal menang?



Saya cuba menganalisis seperti berikut :

1) Rais Yatim menyatakan semalam aura Mukhriz semakin hebat, menyebabkan dia mula dipilih oleh para perwakilan UMNO yang sedang bersidang. Mukhriz terkenal dengan motonya kali ini ' Berani Berubah'.

2) Khairy walaupun mendapat pencalonan (sehingga kini 19 pencalonan, berbanding Mukhriz 40 pencalonan), semakin tertekan, apatah lagi beberapa kubu kuatnya di Sabah, mencalonkan Mukhriz sebagai calon Ketua Pemuda UMNO.

3) Mukhriz mungkin menjadi pilihan, kerana dia dianggap orang yang lantang di dalam UMNO, bahkan legasi Mahathir sebagai bapanya, menyebabkan ahli UMNO masih terkenang jasa Mahathir.

4) Khairy sebagaimana yang diketahui, banyak terlibat dengan isu yang sensasi seperti pembelian saham ECM-Libra, dikaitkan dengan Maya Karin serta dianggap budak Tingkat 4, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya oleh Mahathir, yang banyak mempengaruhi Pak Lah dalam membuat keputusan. Isu-isu begini, sedikit sebanyak menjejaskan kredibilitinya.

5) Politik wang di dalam UMNO, sebagaimana yang diketahui, seolah-olah telah menjadi darah daging UMNO. Bukan calon yang berkualiti menjadi pilihan mereka, tetapi calon yang banyak duit untuk membeli undi, yang berpotensi untuk dicalonkan oleh ahli UMNO.

6) Kita akan menantikan siapa di antara mereka berdua yang akan memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO, satu lagi jawatan yang berpengaruh dalam UMNO ; yang menjanjikan 1001 peluang dan kekayaan yang bakal diraih oleh penjawatnya.


13 Oktober 2008, 13 Syawal 1429 Hijrah

8.37 pagi, Malaysia Timur

Ahad, 12 Oktober 2008

Pak Lah seolah dipinggir, Najib dan Muhyiddin menjadi perhatian



Kini, seluruh bahagian UMNO sibuk untuk mengadakan pemilihan calon-calon untuk menduduki jawatan terpenting parti mereka. Di antaranya, termasuklah Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, Naib Presiden UMNO, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri bersama timbalannya dan Majlis Tertinggi UMNO. Bedasarkan tajuk di atas, saya ingin menyatakan seperti berikut :

1) Pak Lah kini seolah-olah dipinggir di dalam UMNO. Sebaliknya, Najib dan Muhyiddin semakin mendapat perhatian.

2) Namun, ada pandangan penganalisis politik mengatakan, pengumuman oleh Pak Lah tidak bertanding Presiden UMNO adalah satu strategi, kerana Najib perlu melepasi pelbagai halangan untuk menjadi Presiden UMNO. Apatah lagi, kini Pak Lah memegang portfolio sebagai Menteri Pertahanan.

3) Muhyiddin kelihatan memberi sokongan padu kepada Najib, lantaran beliau yakin menjadi Timbalan yang baik kepada Najib. Seorang yang vokal, namun kelihatan beliau juga seperti Najib, merupakan imbasan suara Mahathir di dalam UMNO.

4) Menawarkan diri untuk merebut jawatan tanpa melihat keupayaan diri, hanya akan menjadikan UMNO sebuah parti yang akan terus bergolak, kerana ingin merebut kuasa sesama sendiri. Bahkan apa yang dibimbangi, kebajikan rakyat terabai dek sibuk dengan pemilihan UMNO kini.

5) Seluruh rakyat kini memerhatikan, bagaimana UMNO akan kembali bangkit menawan hati mereka, setelah mereka ditolak oleh rakyat pada PRU ke-12 yang lalu. Ataupun, mungkin hanya bertukar nakhoda, tetapi masih berbekalkan imej lama, kerana berasal dari kapal tua yang hanya menunggu masa untuk tenggelam.


12 Oktober 2008, 12 Syawal 1429 Hijrah,

8.29 pagi, Malaysia Timur.

Sabtu, 11 Oktober 2008

Ayat-Ayat Cinta ; Hebat dan Mengesankan !



Mungkin saya di antara orang yang baru menonton filem ini. Malam tadi, apabila disiarkan di TV3, saya berpakat dengan isteri untuk sama-sama menonton filem yang dikatakan berunsur Islamik, dan mencetuskan fenomena di Indonesia dengan 4.5 juta orang telah menonton, termasuklah Presiden Indonesia ; SBY.

Setelah melihat filem ini selama 2 jam setengah, dapat saya rumuskan seperti berikut :

1) Jalan cerita yang sangat menarik berdasarkan novel Ayat-Ayat Cinta oleh Habibur Rahman al-Syirazi, yang merupakan di antara best seller di Indonesia.

2) Fahri merupakan contoh pemuda Muslim yang taat, tekun dan pintar. Mendapat perhatian dari 4 gadis-Aisha(gadis berpurdah berbangsa Jerman), Maria(jiran tetangga yang beragama Nasrani), Nurul(rakan sepengajian yang juga berasal dari Indonesia) dan Noura(gadis Mesir yang diperkosa oleh Bahadur).

3) Akhirnya, Aisha menjadi pilihan hati. Namun, perkahwinan yang dilalui tidak semudah yang disangka, kerana Aisha merupakan anak dari keluarga yang berada, menyebabkan Fahri berasa rendah diri.

4) Difitnah oleh Noura yang juga menyintai Fahri. Dalam babak ini, Fahri dipenjara dan diajar oleh banduan yang sebilik dengannya tentang kisah Nabi Yusuf a.s-yang difitnah oleh Zulaikha.

5) Penderitaan oleh Maria kerana Fahri berkahwin, menunjukkan hebatnya penangan cinta, tetapi cintanya itu kerana Fahri menunjukkan contoh Islam yang terbaik buatnya.

6) Pengorbanan oleh Aisha yang sanggup berkongsi kasih sayang, demi menyelamatkan Fahri dari tuduhan memperkosa Noura, dengan membenarkan Fahri menikahi Maria yang sedang koma. Akhirnya, Maria memeluk agama Islam dan hanya sempat menumpang kasih sayang Fahri dan bermadu dengan Aisha dalam waktu yang singkat kerana penyakitnya.

7) Akhirnya, Fahri bersama Aisha sebagai pasangan yang bahagia dan sedang menunggu kelahiran anak pertama.

Itulah serba ringkas yang dapat saya catatkan berdasarkan pemerhatian saya kepada jalan cerita Ayat-Ayat Cinta. Mungkin terlalu ideal untuk berlaku dalam realiti kehidupan kini, tetapi tidak mustahil. Namun, ingatan buat pasangan yang sedang hangat dilamun cinta, mungkin filem ini boleh dijadikan panduan. Tidak keluar berdua-duaan, bahkan bercinta dan cuba memahami pasangan selepas berkahwin. Seperkara lagi, walaupun kita asyik dengan jalan cerita filem ini, realiti kehidupan menjanjikan 1001 dugaan di dalam rumah tangga. Bahkan sebagai Muslim yang sejati, dituntut untuk terus berjuang menegakkan agama Allah dan negara Islam di dalam diri sendiri, dan Insya Allah akan tertegak di dalam negara kita pada suatu hari nanti.

Dan kita juga berharap, agar industri filem di Malaysia dapat menghasilkan filem seumpama ini, yang bagi saya dan isteri, sangat hebat dan mengesankan. Mungkin Tuan Haji Abu Hassan Morad boleh memikirkannya. Bagi yang belum menyaksikan, jangan biarkan diri anda terlepas peluang menonton filem hebat ini!

p/s: Apakah Kerajaan Negeri Melaka telah menilai sumbangan Shah Rukh Khan kepada negeri Melaka, hingga boleh menganugerahkan Datuk kepada beliau? Fikir-fikirkanlah!



Jumaat, 10 Oktober 2008

Menjengah Nostalgia di Sekolah Berasrama Penuh


Semalam saya dijemput untuk mengimamkan solat sunat hajat, mengetuai bacaan Yasin dan memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan, 5 yang akan mengambil PMR dan SPM 2008 tidak lama lagi, di sebuah sekolah berasrama penuh di Kuching.

Alhamdulillah, dengan pengalaman sebagai bekas pelajar Sekolah Berasrama Penuh (Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang), dapat saya berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman sebagai panduan dan pengajaran buat mereka.

Saya menyampaikan ceramah yang bertajuk Kejayaan Mereka; Kejayaan Kita. Oleh kerana pada malam tadi, majlis dihadiri oleh ibu bapa dan guru-guru, maka tajuk di atas memang saya tujukan kepada ibu bapa dan guru, agar mereka memahami bahawa, apabila anak-anak dan anak murid mereka mencapai kejayaan di dalam PMR dan SPM, maka itu juga adalah kejayaan kita sebagai orang tua dan guru.

Namun begitu, yang selalu menjadi persoalan, ada di antara pelajar yang cemerlang di dalam akademik, tetapi gagal dari sudut syakhsiyyah dan akhlak. Inilah yang menjadi kerisauan kita semua. Kita tidak mahu ada pelajar yang cerdik dan pintar, tetapi akhirnya menyalahgunakan kepintaran itu demi kepentingan peribadi.

Di sini saya kongsikan sedikit petua motivasi pelajar cemerlang yang saya peroleh, semasa menjadi fasiliator bersekutu kepada Dr Shukri Abdullah dari Amalan Belajar Sdn Bhd. Di antaranya ialah :

n
1) Ramai pelajar gagal bukan kerana bodoh, tetapi melakukan kerja bodoh.

2) Kejayaan saya pada masa depan ditentukan oleh tindakan saya sekarang, bukan berdasarkan prestasi saya pada masa lalu.

3) Pilih kawan yang membantu, bukan yang membantutkan anda.

4) Tukarkan impossible kepada i'm possible.

Di akhir slot, saya tayangkan klip video di bawah dan menyatakan untuk mendapat keberkatan ilmu dan hidup, mohonlah ampun di atas segala salah dan silap kepada ayah ibu dan guru.

Khamis, 9 Oktober 2008

Muktamad ; Pak Lah tidak bertanding Presiden UMNO


Akhirnya, Pak Lah merungkai 1001 persoalan dan tanda tanya, samada beliau bertanding atau tidak jawatan Presiden UMNO. Izinkan saya mengulas perkara ini seperti berikut :

1) Akhbar utama seperti Utusan dan Berita Harian melaporkan bahawa, ini adalah pengorbanan besar yang dilakukan oleh Pak Lah, demi kepentingan parti yang melebihi kepentingan peribadi. Kita akan nantikan bagaimana nasib Khairy Jamaluddin dan anak Pak Lah yang memegang tender kerajaan yang bernilai jutaan ringgit.

2) Najib tersenyum puas kerana akhirnya, Pak Lah tunduk kepada desakan akar umbi, dan menjelang Mac 2009, Pak Lah akan menyerahkan jawatan PM kepada beliau. Sebagai ingatan bersama, Mufti Perlis ; Dr Asri Zainal Abidin telah menyatakan, biarlah yang mengganti kepimpinan negara adalah yang amanah, berwibawa dan mempunyai kecekapan dalam melaksanakan tugas. Najib tidak terhindar dari persepsi dengan beberapa isu yang menjejaskan integriti beliau.




3) Dengan pengumuman Pak Lah, kita akan menyaksikan siapa di antara 2 tokoh; Anwar Ibrahim dan Najib akan menduduki kerusi PM. Kita benar-benar mahukan pemimpin yang boleh diharap, mengutamakan kebajikan rakyat, dan mengelakkan membahagikan kekayaan negara kepada kroni. Apakah juga tidak mustahil wakil dari PAS seperti Husam Musa, boleh diletakkan sebagai calon PM, jika melihat kepada kekuatan yang dimiliki oleh PAS dalam Pakatan Rakyat. Sesungguhnya impian Najib belum dapat dicapai dengan mudah, selagi mana Anwar Ibrahim tetap dengan cita-citanya untuk menubuhkan kerajaan baru tidak lama lagi.

4) Sebagai rakyat biasa yang memerhatikan gelagat politikus utama di dalam negara, hanya mengharapkan Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri yang bijak, amanah dan berintegriti. Jangan sekali-kali merasakan menduduki jawatan PM sebagai jawatan kebanggaan peribadi. Ingatlah, semua hal yang melibatkan kepimpinan akan disoal oleh Allah di akhirat kelak.


9 Oktober 2008, 9 Syawal 1429 Hijrah

6.15 pagi, Malaysia Timur

Rabu, 8 Oktober 2008

Masa depan negara ditentukan hari ini


Sebagaimana yang kita maklum, pada hari ini, seluruh negara dan ahli politik khususnya menantikan pengumuman yang akan dibuat oleh Pak Lah, samada beliau mempertahankan jawatan sebagai Presiden UMNO ataupun tidak. Saya cuba memberikan pandangan seperti berikut :


1) Seandainya Pak Lah mempertahankan jawatannya, adakah Najib dan Muhyiddin akan mengambil langkah untuk mencabar Pak Lah? Ku Li sebagaimana yang dimaklumi, akan bertanding jawatan Presiden UMNO untuk mencabar Pak Lah.


2) Seandainya Pak Lah tidak mempertahankan jawatannya, adakah Najib dan Muhyiddin akan membentuk team supaya Najib yang bertanding Presiden dan Muhyiddin bertanding Timbalan Presiden?


3) Kini, terdapat 3 orang yang telah menawarkan diri untuk bertanding di kerusi Timbalan Presiden UMNO-Ali Rustam, Nur Jazlan dan Zahid Hamidi. Sekiranya Muhyiddin bertanding juga, saya yakin peluang besar untuk menang, memihak kepada Muhyiddin disebabkan pengalaman dan kekananannya di dalam parti. Peluang Nur Jazlan mewakili suara anak muda di dalam parti, mungkin tidak kesampaian kerana UMNO masih dengan status quonya, yang masih belum mampu berubah, walaupun mengalami hakisan sokongan pada PRU ke-12 yang lalu.


4) Dijangka banyak lagi pengumuman yang mengejutkan akan dibuat. Di antara yang diramal adalah, Isa Samad yang baru selesai penggantungan selama 3 tahun dan juga Muhammad Taib yang kini, semakin mengorak langkah dengan sokongan akar umbi yang kuat.


5) Sebagai kesimpulan, rakyat akan menantikan benarkah UMNO ikhlas membuat perubahan atau sekadar kosmetik semata-mata. Kita yakin dengan Anwar Ibrahim melepasi halangan pertama sewaktu perbicaraan kes liwatnya semalam, kita menantikan tarikh 13 Oktober sebagai cadangan usul undi tidak percaya kepada PM, apabila Sidang Parlimen dimulakan nanti. Tidak mustahil dalam keadaan sekarang UMNO yang semakin tenggelam punca, mereka akan digantikan oleh kepimpinan Pakatan Rakyat yang menawarkan kerajaan yang telus, integriti dan berkebajikan. Kita nantikan!

8 Syawal 1429 Hijrah, 8 Oktober 2008

8.29 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 7 Oktober 2008

Bijaksanalah dalam berbelanja


Salam buat semua. Semalam sempat saya menelaah sebuah buku yang bertajuk "Hidup Tenang Walaupun Berhutang" oleh Shamsuddin Abdul Kadir, yang diterbitkan oleh PTS Profesional.


Seperti yang kita maklum, untuk kakitangan awam, mereka mendapat bonus sebulan gaji yang akan dibayar sebanyak 2 kali iaitu pada bulan September dan Disember. Saya yakin, pihak swasta mungkin lebih tinggi bonusnya; bergantung kepada keuntungan syarikat. Namun begitu, mungkin ada yang tidak bernasib baik, kerana tidak mendapat bonus langsung. Apapun kita bersyukur, kerana ada di antara kita yang masih belum mempunyai pendapatan tetap, dan seumapama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Dan masih banyak fakir miskin di sekeliling kita.


Apa yang ingin saya sentuh adalah, ada di antara kita yang kadangkala gaya hidupnya mewah, tidak setanding dengan pendapatan yang diperoleh. Mungkin berpegang kepada prinsip-biar papa asal bergaya, menyebabkan ramai di antara kita dibebani hutang yang bertimbun, dan akhirnya menjerumuskan diri ke lembah muflis!


Saya yakin bahawa menjelang persiapan Aidilfitri yang lepas, banyak duit dihabiskan. Perbelanjaan tetap seperti rumah, kereta, bil utiliti, hutang kad kredit dan lain-lain telah dibayar mengikut tempoh yang ditetapkan. Selain itu, memberi apa yang kita dapat dari gaji itu, untuk orang tua juga telah kita lakukan ; agar diberkati gaji yang diperoleh. Tak lupa juga, baju raya langsir raya, rumah terbuka dan segala yang berkaitan raya telah kita sediakan. Kini, selepas Aidilfitri, pasti ada di antara kita yang mengeluh, kerana bajetnya telah habis. Simpanan pun telah habis dikeluarkan. Sedangkan gaji bulan Oktober masih lambat lagi.


Justeru di sini saya ingin berkongsi dengan anda, beberapa tips yang diberikan oleh penulis di dalam bukunya di atas ; untuk kita bijak dalam merancang kewangan. Di antaranya :


1) Mengawal nafsu

2) Hidup denga kesederhanaan

3) Belanja ikut belanjawan bukan kemahuan

4) Beri dahulu(duit) baru terima(barang), bukan ambil(barang) dahulu, baru beri(duit=hutang)

5) Gunakan pinjaman secara bijak

6) Simpan duit secara berterusan


Selain itu, tegas penulis di atas, jika kita mengalami simptom di bawah, bermaksud kita telah dibebani dengan hutang yang banyak. Di antaranya ialah :


1) Tidak tahu berapa jumlah hutang

2) Tidak mempunyai simpanan

3) Sudah berbelanja mencecah had kredit

4) Hanya membuat bayaran minimum bagi kad kredit

5) Mempunyai lebih kad kredit dari sepatutnya

6) Bil lama tertunggak

7) Pendapatan digunakan untuk membayar hutang

8) Gagal untuk mendapat pinaman bank



Akhir kalam, walaupun kita dibelenggu dengan hutang, tetapi kita masih boleh hidup aman, jika mengamalkan tips perancangan kewangan yang baik. Dan berusahalah, mengelakkan diri dari hutang yang banyak, yang akhirnya menyebabkan kita hidup dalam keadaan tidak tenteram, resah dan gelisah. Jangan lupa amalkan juga doa yang diajar oleh Nabi SAW " Ya Allah aku berlindung denganMu dari rasa susah dan sedih, rasa lemah dan malas, daripada sifat pengecut dan bakhil, dan daripada dikelilingi hutang dan penindasan orang lain". Amin

Ahad, 5 Oktober 2008

Pengalaman pertama beraya di Kuching, Sarawak


Salam buat semua pembaca budiman. Alhamdulillah hari ini masuk hari kelima Syawal. Saya masih lagi bercuti dan saya yakin ramai di kalangan kita masih bercuti. Namun, ada juga sahabat-sahabat yang telah mula bertugas. Apapun saya yakin, kita masih berada di dalam mood raya. Mudah-mudahan Syawal yang kita sambut kali ini penuh bermakna. Benar, mungkin ada yang tidak dapat pulang ke kampung seperti saya, tetapi janganlah kesedihan itu terbawa-bawa, sehingga kita tidak menziarahi rakan-rakan yang berada berhampiran dengan kediaman kita di tempat kita merantau.

Menjadi imam dan membaca khutbah

Pada 1 Syawal yang lepas, saya dijemput menjadi imam dan menyampaikan khutbah di sebuah surau di Kuching. Saya membacakan teks khutbah yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal Jamil(http://www.saifulislam.com). Walaupun khutbah itu sudah berusia hampir 2 tahun(1427 Hijrah), apa yang menyentuh hati saya adalah, respon dari para jamaah. Mereka mengatakan jarang mereka mendengar khutbah yang mempunyai isi yang cukup menarik perhatian mereka. Ada yang mengucapkan tahniah. Dan saya memberitahu mereka, bahawa saya mengambil khutbah ini dari sahabat saya-Ustaz Hasrizal Jamil. Buat Abu Saif, tahniah atas khutbah yang sangat menyentuh jiwa dan memberikan pengajaran, dan saya juga turut menumpang bangga, kerana dapat menyampaikan khutbah yang sangat padat, bernas dan mengesankan itu.

Selepas selesai solat sunat Aidilfitri, saya dan keluarga bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Buat isteriku yang tercinta, abang mohon maaf di atas segala salah dan silap selama menjadi suamimu. Dan abang maafkan segala salah dan silap yang pernah dilakukan dan menerimamu seadanya. Buat anakku, Muhammad Adam yang telah berusia 3 tahun 3 bulan, abimu mengharapkan agar apabila kamu dewasa nanti, bakal menjadi mujahid dan amilin yang akan membantu agama Allah.

Menghubungi keluarga tercinta

Kemudian, kami menghubungi keluarga saya dan keluarga isteri melalui handset 3G. Walaupun dapat menatap wajah mereka di skrin handset, tetapi sesungguhnya ia tidak sama dengan kita berjumpa secara langsung, dan memohon ampun dan maaf sebagai anak. Terasa sedikit sebak di dada dan isteri sudah mula mengalirkan air mata, maklumlah isteri saya pula anak perempuan paling bongsu dan rapat dengan ibunya, menyebabkan dia berasa sedih. Saya katakan padanya, Insya Allah mulai tahun depan(2009), kita akan pulang ke Semenanjung menjelang Aidilfitri.

Menziarahi rakan-rakan di Kuching; Sarawakian dan Semenanjungian

Selepas itu bermulalah perjalanan kami menziarahi rakan-rakan Semenanjung yang juga tidak pulang pada Aidilfitri kali ini. Pada sebelah pagi, Alhamdulillah kami sempat menziarahi 4 buah rumah termasuk sebuah rumah yang mana rakan kami baru menimang cahaya matanya yang pertama. Oleh kerana agak penat, kami balik dulu ke rumah pada waktu tengahari dan berehat sebentar. Selepas Asar, kami sempat menziarahi 3 buah rumah lagi, termasuklah jiran sebelah rumah kami menyewa. Alhamdulillah, hari pertama Syawal, langsai 7 buah rumah diziarahi.

Membuat rumah terbuka pada 2 Syawal 1429 Hijrah

Saya dan isteri telah merancang 2 hari sebelum Aidilfitri untuk membuat rumah terbuka pada hari kedua raya. Kami melakukan persiapan dengan membeli segala barang yang perlu untuk menu Laksa Johor yang akan dihidangkan nanti. Adakalanya, kami terasa telah hilang identiti kami sebagai anak negeri. Saya lahir di Kelantan, tetapi dibesarkan di luar Kelantan dan kini orang tua saya menetap di Cheras, Kuala Lumpur. Ayah saya orang Melaka dan ibu saya anak jati Kelantan. Isteri saya pula lahir di Kuala lumpur, sedangkan ayahnya berasal dari Negeri Sembilan, manakala ibunya pula berasal dari Melaka dan kini menetap di Puchong, Selangor.

Saya sendiri selalu disindir sebagai Kelantan celup, sebab kadangkala loghat saya tidak sepekat anak jati Kelantan. Tetapi sekurang-kurangnya saya masih dapat bercakap loghat Kelantan dan saya berbangga dengan title sebagai anak Kelantan, melalui pengiktirafan 03(tempat lahir-Kelantan) di kad pengenalan saya. Tinggal lagi, oleh kerana saya dibesarkan di luar Kelantan, menyebabkan hubungan saya dengan Kelantan sedikit jauh. Namun begitu, masih ramai saudara-mara sebelah ibu yang menetap di Kelantan. Selain itu, sewaktu belajar di Universiti Malaya dahulu, saya boleh bercakap loghat Kedah kerana ramai sahabat berasal dari Kedah. Bila berkahwin dengan isteri saya, saya mula bercakap loghat Negeri Sembilan kerana pak mentua saya pekat loghat Nogorinya.

Apabila sampai di Sarawak, saya mula belajar kelaka Sarawak. Alhamdulillah kini, saya boleh bercakap dalam loghat Klate, Nogori Sombilan, Kedah dan Sarawak. Mungkin disebabkan sedikit kelebihan ini, saya mempunyai ramai kawan dari pelbagai negeri. Apatah lagi bila bercakap dengan loghat negeri mereka, mereka bertanya “ Enta berasal dari Kedah/Negeri Sembilan/Sarawak kah?” Saya menjawab “ Tak, saya asal dari Kelantan. Tapi dibesarkan di luar Kelantan. Lalu mereka mengatakan “ Patutlah tak bau budu!” Saya kata “ Yang penting bukan bau budu, tapi jatidiri tetap anak Kelantan, walaupun orang kata Kelantan celup”.

Berbalik kepada rumah terbuka yang kami buat pada hari raya kedua, saya dan isteri tidak menyangka begitu ramai sahabat dan kenalan yang akan berkunjung ke rumah. Kami hanya menganggarkan sekitar 100 orang akan datang. Tetapi, Alhamdulillah dengan izin Allah, saya merasakan hampir 200 orang yang hadir ke rumah semalam. Walaupun menu kami hanya Laksa Johor dan sedikit rendang ayam daging, kuah lodeh dan ketupat nasi, kami bersyukur kerana hampir semua tetamu kami dapat menikmati Laksa Johor yang dimasak oleh isteri saya. Kecuali mereka yang datang selepas Maghrib, terpaksa makan spaghetti sebab Laksa Johor telah habis.

Saya menjemput rakan dan kenalan bertandang ke rumah bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Menjelang 10 pagi, masih belum ada tetamu yang kelihatan, Kami mulai risau. Tepat jam 10.30 pagi, barulah tetamu pertama tiba. Selepas itu, tetamu tidak putus-putus sehinggalah jam 9.30 malam. Saya bergurau dengan rakan-rakan yang datang selepas pukul 5 petang,” Ni dah masuk waktu kecederaan(extra time). Waktu sebenar dah tamat kalau ikut”, yang kemudiannya menyebabkan mereka ketawa besar. Apapun saya tak kisah, kerana selagi ada makanan di atas meja datanglah. Selepas balik tetamu yang terakhir pada jam 9.30 malam, kami sudah exhausted dan keletihan yang amat sangat. Lalu semua pintu dan lampu ditutup dan dikunci. Selepas itupun, rupa-rupanya ada lagi tetamu yang ingin bertandang ke rumah. Tetapi katanya, oleh kerana dia melihat rumah kami telah gelap gelita, menyebabkan dia terpaksa balik. Kesian juga, tetapi takut kami yang tak terlayan nanti sebab mata saya dan isteri dah layu. Rupanya adat beraya di Sarawak, selagi lampu masih cerah dan pintu masih terbuka, selagi itulah mereka akan datang ke rumah, walaupun sehingga 12 tengah malam! Itulah keunikan beraya di Sarawak.

Untung buat tetamu-tetamu terawal dan terakhir

Yang biasa berlaku apabila kita membuat rumah terbuka ialah, kadangkala tidak cukup tangan nak melayan disebabkan ramainya tetamu yang hadir. Bagi saya beruntung mereka yang datang awal. Pertama, mereka dapat menikmati hidangan yang masih panas. Kedua, kita sebagai tuan rumah dapat berbual lama sedikit kerana tetamu masih belum ramai. Itulah juga yang berlaku kepada tetamu-tetamu terakhir. Cuma yang sedikit terkilan, sebab menu utama telah habis, maka terpaksalah mereka makan menu on the spot. Cuma peluang untuk berbual lama sedikit seperti tetamu-tetamu terawal ada.

Waktu tengahari-antara jam 12 tengahari hingga 2 petang adalah peak time. Saat itulah, tetamu paling ramai datang dan tak putus-putus. Kadang-kadang, saya terpaksa bercakap seperti touch and go untuk bersikap adil dengan semua tetamu yang hadir. Tidak boleh bertumpu hanya kepada satu. Adakalanya pada suatu ketika, 5 hingga 6 keluarga datang pada waktu yang sama. Jem juga rumah dibuatnya. Dan terpaksalah pembantu rumah dan isteri bertumgkus lumus membasuh pinggan yang telah digunakan, sambil saya melayan tetamu yang sedang makan.

Sebuah bas datang ke rumah

Peristiwa yang kami tak dapat lupakan pada hari tersebut ialah, apabila ada sebuah bas yang jumlah rombongan antara 60 hingga 70 orang dari perkampungan saudara baru di Serian datang ke rumah kami. Mereka yang asalnya dalam perjalanan menziarahi rumah YB-YB di sini, sempat singgah di rumah kami, kerana ketua mereka bekerja dengan saya di tempat yang sama. Itulah saat yang paling bermakna bagi kami. Dengan ahli rombongan yang bercampur Islam dan bukan Islam dan mereka dari kaum Bidayuh, niat kami hanya satu, menjamu mereka yang rata-ratanya susah dan bekerja kampung. Seronok apabila mereka menjamah menu yang dihidangkan. Dan saya berharap bagi yang bukan Islam itu, akan terbuka hati mereka untuk memeluk agama Islam apabila melihat kemeriahan sambutan Aidilfitri di kalangan orang Islam, Amin.

Ikatan silaturrahim semakin disebarluaskan

Apabila rakan-rakan dan kenalan datang ke rumah terbuka seumpama ini, kadang kala mereka dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain. Dan bagi saya ini di antara side benefit yang sangat menguntungkan, apabila mengadakan rumah terbuka. Alhamdulillah, saya juga banyak bertemu dengan kenalan baru semalam yang kebanyakannya suami kepada kawan isteri saya. Mudah-mudahan Allah mengukuhkan ukhuwwah di kalangan kami, umat Islam di Bumi Kenyalang ini.

Akhir kalam saya ingin megucapkan jutaan terima kasih kepada rakan dan kenalan yang sudi hadir ke rumah saya. Semoga dengan ikatan ukhuwwah yang terjalin ini, umat Islam di Sarawak mampu berkembang dan menghayati makna sebenar Aidilfitri-pulang kepada fitrah asal seorang hamba dan insan;mengabdikan diri kepada Allah;Tuhan Yang Mencipta. Amin.

p/s: Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Khairul Nizam, Abang Hassan, Haji Zahrul, Haji Ali, Encik Ayub dari IKM Sarawak, Suzimawati dan Ustaz Md Nor dari JAKIM Sarawak, Puan Nurzilawati dari Pusat Latihan Sarawak JAKIM, Tuan Md Nor dan Ustaz Hisyam dari Pusat Serenti Kuching, En Roslan dan Encik Omar dari Bank Negara Cawangan Sarawak, Ustazah Haslinda-kader post JAKIM di Hospital Umum Sarawak, Ustazah Suzana-kader post JAKIM di IPK PDRM Sarawak, Ustaz Zamri dari YADIM, Haji Ismawi, Haji Zaihari dan Encik Arfan-jamaah masjid Matang Jaya, Ustazah Durah, Ustazah Junita, Cikgu Zainon dari SK Matang Jaya, Ustaz Azhar dan Ustaz Jali-peniaga budu dan keropok, Ustaz Badie dan Ustaz Azuadi dari SK dan SMK Santubong, Ustaz Hassan Basri dari SM Teknik Sejingkat, En Anuar dari AlfaServe Sdn Bhd, Haji Yasmin dari SMK St. Teresa, Kapten(B) Shaari dari SESCO, Haji Sharkawi dan AJK Surau Taman Sejoli(maaf tak sempat berjumpa), Ustaz Adni dari SM Teknik Matang, Ustaz Zaidi-kader post JAKIM di AADK Sarawak, Cikgu Suratin dari SMK St. Thomas, Ustaz Amar dari SK Lubuk Punggor serta akhi Aziz dan akhi Abang Eddy dari PAS Sarawak.Tak lupa juga satu rombongan dengan sebuah bas dari Kampung Sungai Buloh, Serian. Moga Allah membalas jasa kalian. Amin.

5 Syawal 1429 Hijrah, 5 Oktober 2008,

8.15 pagi, Malaysia Timur



Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude