Salam buat semua pembaca budiman. Alhamdulillah hari ini masuk hari kelima Syawal. Saya masih lagi bercuti dan saya yakin ramai di kalangan kita masih bercuti. Namun, ada juga sahabat-sahabat yang telah mula bertugas. Apapun saya yakin, kita masih berada di dalam mood raya. Mudah-mudahan Syawal yang kita sambut kali ini penuh bermakna. Benar, mungkin ada yang tidak dapat pulang ke kampung seperti saya, tetapi janganlah kesedihan itu terbawa-bawa, sehingga kita tidak menziarahi rakan-rakan yang berada berhampiran dengan kediaman kita di tempat kita merantau.
Menjadi imam dan membaca khutbah
Pada 1 Syawal yang lepas, saya dijemput menjadi imam dan menyampaikan khutbah di sebuah surau di Kuching. Saya membacakan teks khutbah yang ditulis oleh Ustaz Hasrizal Jamil(http://www.saifulislam.com). Walaupun khutbah itu sudah berusia hampir 2 tahun(1427 Hijrah), apa yang menyentuh hati saya adalah, respon dari para jamaah. Mereka mengatakan jarang mereka mendengar khutbah yang mempunyai isi yang cukup menarik perhatian mereka. Ada yang mengucapkan tahniah. Dan saya memberitahu mereka, bahawa saya mengambil khutbah ini dari sahabat saya-Ustaz Hasrizal Jamil. Buat Abu Saif, tahniah atas khutbah yang sangat menyentuh jiwa dan memberikan pengajaran, dan saya juga turut menumpang bangga, kerana dapat menyampaikan khutbah yang sangat padat, bernas dan mengesankan itu.
Selepas selesai solat sunat Aidilfitri, saya dan keluarga bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Buat isteriku yang tercinta, abang mohon maaf di atas segala salah dan silap selama menjadi suamimu. Dan abang maafkan segala salah dan silap yang pernah dilakukan dan menerimamu seadanya. Buat anakku, Muhammad Adam yang telah berusia 3 tahun 3 bulan, abimu mengharapkan agar apabila kamu dewasa nanti, bakal menjadi mujahid dan amilin yang akan membantu agama Allah.
Menghubungi keluarga tercinta
Kemudian, kami menghubungi keluarga saya dan keluarga isteri melalui handset 3G. Walaupun dapat menatap wajah mereka di skrin handset, tetapi sesungguhnya ia tidak sama dengan kita berjumpa secara langsung, dan memohon ampun dan maaf sebagai anak. Terasa sedikit sebak di dada dan isteri sudah mula mengalirkan air mata, maklumlah isteri saya pula anak perempuan paling bongsu dan rapat dengan ibunya, menyebabkan dia berasa sedih. Saya katakan padanya, Insya Allah mulai tahun depan(2009), kita akan pulang ke Semenanjung menjelang Aidilfitri.
Menziarahi rakan-rakan di Kuching; Sarawakian dan Semenanjungian
Selepas itu bermulalah perjalanan kami menziarahi rakan-rakan Semenanjung yang juga tidak pulang pada Aidilfitri kali ini. Pada sebelah pagi, Alhamdulillah kami sempat menziarahi 4 buah rumah termasuk sebuah rumah yang mana rakan kami baru menimang cahaya matanya yang pertama. Oleh kerana agak penat, kami balik dulu ke rumah pada waktu tengahari dan berehat sebentar. Selepas Asar, kami sempat menziarahi 3 buah rumah lagi, termasuklah jiran sebelah rumah kami menyewa. Alhamdulillah, hari pertama Syawal, langsai 7 buah rumah diziarahi.
Membuat rumah terbuka pada 2 Syawal 1429 Hijrah
Saya dan isteri telah merancang 2 hari sebelum Aidilfitri untuk membuat rumah terbuka pada hari kedua raya. Kami melakukan persiapan dengan membeli segala barang yang perlu untuk menu Laksa Johor yang akan dihidangkan nanti. Adakalanya, kami terasa telah hilang identiti kami sebagai anak negeri. Saya lahir di Kelantan, tetapi dibesarkan di luar Kelantan dan kini orang tua saya menetap di Cheras, Kuala Lumpur. Ayah saya orang Melaka dan ibu saya anak jati Kelantan. Isteri saya pula lahir di Kuala lumpur, sedangkan ayahnya berasal dari Negeri Sembilan, manakala ibunya pula berasal dari Melaka dan kini menetap di Puchong, Selangor.
Saya sendiri selalu disindir sebagai Kelantan celup, sebab kadangkala loghat saya tidak sepekat anak jati Kelantan. Tetapi sekurang-kurangnya saya masih dapat bercakap loghat Kelantan dan saya berbangga dengan title sebagai anak Kelantan, melalui pengiktirafan 03(tempat lahir-Kelantan) di kad pengenalan saya. Tinggal lagi, oleh kerana saya dibesarkan di luar Kelantan, menyebabkan hubungan saya dengan Kelantan sedikit jauh. Namun begitu, masih ramai saudara-mara sebelah ibu yang menetap di Kelantan. Selain itu, sewaktu belajar di Universiti Malaya dahulu, saya boleh bercakap loghat Kedah kerana ramai sahabat berasal dari Kedah. Bila berkahwin dengan isteri saya, saya mula bercakap loghat Negeri Sembilan kerana pak mentua saya pekat loghat Nogorinya.
Apabila sampai di Sarawak, saya mula belajar kelaka Sarawak. Alhamdulillah kini, saya boleh bercakap dalam loghat Klate, Nogori Sombilan, Kedah dan Sarawak. Mungkin disebabkan sedikit kelebihan ini, saya mempunyai ramai kawan dari pelbagai negeri. Apatah lagi bila bercakap dengan loghat negeri mereka, mereka bertanya “ Enta berasal dari Kedah/Negeri Sembilan/Sarawak kah?” Saya menjawab “ Tak, saya asal dari Kelantan. Tapi dibesarkan di luar Kelantan. Lalu mereka mengatakan “ Patutlah tak bau budu!” Saya kata “ Yang penting bukan bau budu, tapi jatidiri tetap anak Kelantan, walaupun orang kata Kelantan celup”.
Berbalik kepada rumah terbuka yang kami buat pada hari raya kedua, saya dan isteri tidak menyangka begitu ramai sahabat dan kenalan yang akan berkunjung ke rumah. Kami hanya menganggarkan sekitar 100 orang akan datang. Tetapi, Alhamdulillah dengan izin Allah, saya merasakan hampir 200 orang yang hadir ke rumah semalam. Walaupun menu kami hanya Laksa Johor dan sedikit rendang ayam daging, kuah lodeh dan ketupat nasi, kami bersyukur kerana hampir semua tetamu kami dapat menikmati Laksa Johor yang dimasak oleh isteri saya. Kecuali mereka yang datang selepas Maghrib, terpaksa makan spaghetti sebab Laksa Johor telah habis.
Saya menjemput rakan dan kenalan bertandang ke rumah bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Menjelang 10 pagi, masih belum ada tetamu yang kelihatan, Kami mulai risau. Tepat jam 10.30 pagi, barulah tetamu pertama tiba. Selepas itu, tetamu tidak putus-putus sehinggalah jam 9.30 malam. Saya bergurau dengan rakan-rakan yang datang selepas pukul 5 petang,” Ni dah masuk waktu kecederaan(extra time). Waktu sebenar dah tamat kalau ikut”, yang kemudiannya menyebabkan mereka ketawa besar. Apapun saya tak kisah, kerana selagi ada makanan di atas meja datanglah. Selepas balik tetamu yang terakhir pada jam 9.30 malam, kami sudah exhausted dan keletihan yang amat sangat. Lalu semua pintu dan lampu ditutup dan dikunci. Selepas itupun, rupa-rupanya ada lagi tetamu yang ingin bertandang ke rumah. Tetapi katanya, oleh kerana dia melihat rumah kami telah gelap gelita, menyebabkan dia terpaksa balik. Kesian juga, tetapi takut kami yang tak terlayan nanti sebab mata saya dan isteri dah layu. Rupanya adat beraya di Sarawak, selagi lampu masih cerah dan pintu masih terbuka, selagi itulah mereka akan datang ke rumah, walaupun sehingga 12 tengah malam! Itulah keunikan beraya di Sarawak.
Untung buat tetamu-tetamu terawal dan terakhir
Yang biasa berlaku apabila kita membuat rumah terbuka ialah, kadangkala tidak cukup tangan nak melayan disebabkan ramainya tetamu yang hadir. Bagi saya beruntung mereka yang datang awal. Pertama, mereka dapat menikmati hidangan yang masih panas. Kedua, kita sebagai tuan rumah dapat berbual lama sedikit kerana tetamu masih belum ramai. Itulah juga yang berlaku kepada tetamu-tetamu terakhir. Cuma yang sedikit terkilan, sebab menu utama telah habis, maka terpaksalah mereka makan menu on the spot. Cuma peluang untuk berbual lama sedikit seperti tetamu-tetamu terawal ada.
Waktu tengahari-antara jam 12 tengahari hingga 2 petang adalah peak time. Saat itulah, tetamu paling ramai datang dan tak putus-putus. Kadang-kadang, saya terpaksa bercakap seperti touch and go untuk bersikap adil dengan semua tetamu yang hadir. Tidak boleh bertumpu hanya kepada satu. Adakalanya pada suatu ketika, 5 hingga 6 keluarga datang pada waktu yang sama. Jem juga rumah dibuatnya. Dan terpaksalah pembantu rumah dan isteri bertumgkus lumus membasuh pinggan yang telah digunakan, sambil saya melayan tetamu yang sedang makan.
Sebuah bas datang ke rumah
Peristiwa yang kami tak dapat lupakan pada hari tersebut ialah, apabila ada sebuah bas yang jumlah rombongan antara 60 hingga 70 orang dari perkampungan saudara baru di Serian datang ke rumah kami. Mereka yang asalnya dalam perjalanan menziarahi rumah YB-YB di sini, sempat singgah di rumah kami, kerana ketua mereka bekerja dengan saya di tempat yang sama. Itulah saat yang paling bermakna bagi kami. Dengan ahli rombongan yang bercampur Islam dan bukan Islam dan mereka dari kaum Bidayuh, niat kami hanya satu, menjamu mereka yang rata-ratanya susah dan bekerja kampung. Seronok apabila mereka menjamah menu yang dihidangkan. Dan saya berharap bagi yang bukan Islam itu, akan terbuka hati mereka untuk memeluk agama Islam apabila melihat kemeriahan sambutan Aidilfitri di kalangan orang Islam, Amin.
Ikatan silaturrahim semakin disebarluaskan
Apabila rakan-rakan dan kenalan datang ke rumah terbuka seumpama ini, kadang kala mereka dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain. Dan bagi saya ini di antara side benefit yang sangat menguntungkan, apabila mengadakan rumah terbuka. Alhamdulillah, saya juga banyak bertemu dengan kenalan baru semalam yang kebanyakannya suami kepada kawan isteri saya. Mudah-mudahan Allah mengukuhkan ukhuwwah di kalangan kami, umat Islam di Bumi Kenyalang ini.
Akhir kalam saya ingin megucapkan jutaan terima kasih kepada rakan dan kenalan yang sudi hadir ke rumah saya. Semoga dengan ikatan ukhuwwah yang terjalin ini, umat Islam di Sarawak mampu berkembang dan menghayati makna sebenar Aidilfitri-pulang kepada fitrah asal seorang hamba dan insan;mengabdikan diri kepada Allah;Tuhan Yang Mencipta. Amin.
p/s: Terima kasih diucapkan kepada Ustaz Khairul Nizam, Abang Hassan, Haji Zahrul, Haji Ali, Encik Ayub dari IKM Sarawak, Suzimawati dan Ustaz Md Nor dari JAKIM Sarawak, Puan Nurzilawati dari Pusat Latihan Sarawak JAKIM, Tuan Md Nor dan Ustaz Hisyam dari Pusat Serenti Kuching, En Roslan dan Encik Omar dari Bank Negara Cawangan Sarawak, Ustazah Haslinda-kader post JAKIM di Hospital Umum Sarawak, Ustazah Suzana-kader post JAKIM di IPK PDRM Sarawak, Ustaz Zamri dari YADIM, Haji Ismawi, Haji Zaihari dan Encik Arfan-jamaah masjid Matang Jaya, Ustazah Durah, Ustazah Junita, Cikgu Zainon dari SK Matang Jaya, Ustaz Azhar dan Ustaz Jali-peniaga budu dan keropok, Ustaz Badie dan Ustaz Azuadi dari SK dan SMK Santubong, Ustaz Hassan Basri dari SM Teknik Sejingkat, En Anuar dari AlfaServe Sdn Bhd, Haji Yasmin dari SMK St. Teresa, Kapten(B) Shaari dari SESCO, Haji Sharkawi dan AJK Surau Taman Sejoli(maaf tak sempat berjumpa), Ustaz Adni dari SM Teknik Matang, Ustaz Zaidi-kader post JAKIM di AADK Sarawak, Cikgu Suratin dari SMK St. Thomas, Ustaz Amar dari SK Lubuk Punggor serta akhi Aziz dan akhi Abang Eddy dari PAS Sarawak.Tak lupa juga satu rombongan dengan sebuah bas dari Kampung Sungai Buloh, Serian. Moga Allah membalas jasa kalian. Amin.
5 Syawal 1429 Hijrah, 5 Oktober 2008,
8.15 pagi, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan