Semalam kita digemparkan pasangan suami isteri yang berasal dari Thailand dan kini menetap di Kelantan, mati dibunuh. Mayat mereka yang ditemui dalam keadaan yang sangat mengerikan, apabila dimasukkan di dalam tong drum selepas dibunuh.
Apabila merenung perkara ini, kita merasakan seolah-olah nyawa semakin murah. Manusia semakin bebas membunuh di atas sebab-sebab yang remeh. Di dalam agama, telah ditetapkan, mereka yang membunuh orang lain secara sengaja dan dengan niat, hendaklah dibalas bunuh atau qisas apabila sabit kesalahan. Bahkan, jika mereka terlepas dari hukuman di dunia dan tidak bertaubat, mereka akan dimasukkan ke dalam neraka Allah.
Hari ini, sememangnya perlu dipupuk kasih sayang, bertolak ansur serta sabar dalam menghadapi kerenah kenalan, rakan mahupun jiran. Apabila perasaan marah menguasai diri, biasanya seseorang sukar untuk mengawal diri dari bertindak secara rasional. Sebaliknya, dia akan bersikap berdasarkan emosional. Dan akhirnya, dibimbangi malapetaka yang buruk akan berlaku, seperti pembunuhan dan sebagainya.
Di sini, saya nukilkan sebuah lirik yang pernah saya tulis suatu ketika dahulu, tentang pentingnya kita berkasih sayang dan meneguhkan ukhuwwah sesama kita. Jangan kerana perkara yang kecil, kita berbalah dan bermasam muka, apatah lagi samapi ke tahap untuk membunuh sesama insan. Wal iya zu billahi min zalik.
KOTA BHARU 15 Okt. - Pasangan suami isteri yang mayat mereka dihumban ke dalam tong drum dan perigi dalam kejadian di Kampung Peria Kuala Krai semalam dipercayai mati akibat disembelih.
Hasil bedah siasat terhadap mayat Anuar Dahman, 27, dan isterinya Asmah, 18, yang sedang mengandung tiga bulan mendapati mereka mengalami kecederaan parah di tengkuk, kesan penggunaan senjata tajam dipercayai golok.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Supritendan Abdul Rahman Jaafar ketika dihubungi berkata, cemburu dan dendam menjadi motif pembunuhan pasangan suami isteri warga Thailand itu yang mengambil upah sebagai penoreh getah.
Mayat Anuar ditemui mati terlungkup dalam sebuah tong drum manakala isterinya dalam sebuah perigi cetek di sebuah kebun getah di Kampung Peria awal pagi semalam.
Berikutan itu beberapa jam kemudian, polis menahan seorang anggota keluarga tidak jauh dari tempat kejadian yang dipercayai dapat membantu menyelesaikan kes berkenaan.
"Hasil pemeriksaan terhadap mayat Asmah juga mendapati tidak ada kesan rogol sebelum dia dibunuh," katanya.
Menurut Abdul Rahman, mayat kedua-dua mangsa sudah diserahkan kepada keluarga mereka yang berasal dari Narathiwat selepas bedah siasat selesai dilakukan di Hospital Kuala Krai, malam tadi.
Beliau berkata, hasil maklumat orang ramai, sepasukan anggota polis yang menjalankan gerakan memburu, berjaya menahan suspek berusia 21 tahun kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.
Katanya, suspek yang dipercayai tinggal bersama kedua-dua mangsa di rumah kongsi terbabit disyaki cuba melarikan diri selepas kejadian itu dengan menunggang motosikal bersendirian.
Beliau berkata, suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kita sebagai insan, pasrah kepadaNya
Dan bersyukur di atas nikmatNya
Allah Yang Maha Esa telah menganugerahkan
Kasih dan sayang sesama insan
Oleh itu, marilah kita berkasih sayang keranaNya
Jangan kita menyombong diri, kelak dimurkaiNya
Kasih dan sayang sesama insan perlulah dipupuk
Demi mendaulatkan Islam tercinta
Kemanisan ukhuwwah pastikan terasa
Bila dibajai dengan benih mahmudah
Ia akan bertakhta di sukma, oh indahnya
Lupakanlah segala dendam kesumat
Yang meracuni fikiran kita semua
Sebaliknya suburkan semangat ukhuwwah
Dan kasih sejati di persada hati
16 Oktober 2008, 16 Syawal 1429 Hijrah,
6.15 pagi, Malaysia Timur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan