Mungkin saya di antara orang yang baru menonton filem ini. Malam tadi, apabila disiarkan di TV3, saya berpakat dengan isteri untuk sama-sama menonton filem yang dikatakan berunsur Islamik, dan mencetuskan fenomena di Indonesia dengan 4.5 juta orang telah menonton, termasuklah Presiden Indonesia ; SBY.
Setelah melihat filem ini selama 2 jam setengah, dapat saya rumuskan seperti berikut :
1) Jalan cerita yang sangat menarik berdasarkan novel Ayat-Ayat Cinta oleh Habibur Rahman al-Syirazi, yang merupakan di antara best seller di Indonesia.
2) Fahri merupakan contoh pemuda Muslim yang taat, tekun dan pintar. Mendapat perhatian dari 4 gadis-Aisha(gadis berpurdah berbangsa Jerman), Maria(jiran tetangga yang beragama Nasrani), Nurul(rakan sepengajian yang juga berasal dari Indonesia) dan Noura(gadis Mesir yang diperkosa oleh Bahadur).
3) Akhirnya, Aisha menjadi pilihan hati. Namun, perkahwinan yang dilalui tidak semudah yang disangka, kerana Aisha merupakan anak dari keluarga yang berada, menyebabkan Fahri berasa rendah diri.
4) Difitnah oleh Noura yang juga menyintai Fahri. Dalam babak ini, Fahri dipenjara dan diajar oleh banduan yang sebilik dengannya tentang kisah Nabi Yusuf a.s-yang difitnah oleh Zulaikha.
5) Penderitaan oleh Maria kerana Fahri berkahwin, menunjukkan hebatnya penangan cinta, tetapi cintanya itu kerana Fahri menunjukkan contoh Islam yang terbaik buatnya.
6) Pengorbanan oleh Aisha yang sanggup berkongsi kasih sayang, demi menyelamatkan Fahri dari tuduhan memperkosa Noura, dengan membenarkan Fahri menikahi Maria yang sedang koma. Akhirnya, Maria memeluk agama Islam dan hanya sempat menumpang kasih sayang Fahri dan bermadu dengan Aisha dalam waktu yang singkat kerana penyakitnya.
7) Akhirnya, Fahri bersama Aisha sebagai pasangan yang bahagia dan sedang menunggu kelahiran anak pertama.
Itulah serba ringkas yang dapat saya catatkan berdasarkan pemerhatian saya kepada jalan cerita Ayat-Ayat Cinta. Mungkin terlalu ideal untuk berlaku dalam realiti kehidupan kini, tetapi tidak mustahil. Namun, ingatan buat pasangan yang sedang hangat dilamun cinta, mungkin filem ini boleh dijadikan panduan. Tidak keluar berdua-duaan, bahkan bercinta dan cuba memahami pasangan selepas berkahwin. Seperkara lagi, walaupun kita asyik dengan jalan cerita filem ini, realiti kehidupan menjanjikan 1001 dugaan di dalam rumah tangga. Bahkan sebagai Muslim yang sejati, dituntut untuk terus berjuang menegakkan agama Allah dan negara Islam di dalam diri sendiri, dan Insya Allah akan tertegak di dalam negara kita pada suatu hari nanti.
Dan kita juga berharap, agar industri filem di Malaysia dapat menghasilkan filem seumpama ini, yang bagi saya dan isteri, sangat hebat dan mengesankan. Mungkin Tuan Haji Abu Hassan Morad boleh memikirkannya. Bagi yang belum menyaksikan, jangan biarkan diri anda terlepas peluang menonton filem hebat ini!
p/s: Apakah Kerajaan Negeri Melaka telah menilai sumbangan Shah Rukh Khan kepada negeri Melaka, hingga boleh menganugerahkan Datuk kepada beliau? Fikir-fikirkanlah!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan