Rabu, 26 Mei 2010

UMNO dan MIC bercakaran!

1) UMNO dan MIC pula kini berperang.

2) Berpunca dari desakan oleh V. Mugilan supaya Samy Vellu meletak jawatan dan menubuhkan GAS-Gerakan Anti Samy Vellu, T.Mohan-Ketua Pemuda MIC akan mengkaji kedudukan di dalam BN sekiranya UMNO merupakan dalang di sebalik wayang ini.

3) Anak Samy Vellu-Veer Pari pula dianggap biadap oleh TPM setelah mendakwa UMNO melakukan pembunuhan politik ke atas ayahnya.

4) Berbeza dengan PAS, penubuhan DHPP-Dewan Himpunan Penyokong PAS yang menghimpunkan penyokong PAS yang bukan beragama Islam, membuktikan Islam adalah agama untuk semua tanpa mengira bangsa.

5) Selamat tinggal politik perkauman yang diamalkan UMNO dan BN selama ini. Tidak mustahil, PRU ke-13 akan datang merupakan fasa peralihan pemerintah dari BN kepada PR.

6) 1Malaysia masih belum kelihatan penghujungnya dalam menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, setelah UMNO, MCA dan MIC kini bercakaran di antara satu sama lain, kerana sokongan pengundi mengikut komposisi kaum dalam parti masing-masing mula merosot.

Isnin, 24 Mei 2010

Hidayah Allah lebih berharga dari unta betina merah!



1) Saya teringat suatu hadith Nabi SAW yang menyatakan " Seandainya seseorang mendapat hidayah Allah dengan asbab dakwahmu, maka ia lebih berharga dari seekor unta betina merah".

2) Dalam masyarakat Arab, memiliki unta dianggap orang yang berharta. Namun, memiliki unta betina merah yang sangat mahal harganya, melambangkan ketinggian statusnya di dalam masyarakat.

3) Walau bagaimanapun Nabi SAW menyatakan, seseorang yang mendapat hidayah Allah dengan asbab dakwah yang disampaikan, lebih bermakna dari memiliki seekor unta betina merah.

4) Ini melambangkan betapa hidayah Allah itu suatu kurniaan yang tidak terbanding. Justeru, apabila kita telah memperolehnya, jagalah ia dan agar kita terus istiqamah di atas hidayah itu.

5) Tidak kurang dalam masyarakat hari ini, ada orang bila menerima hidayah-dari jahil kepada alim, dari pelaku maksiat kepada 'abid dan taat agama-ada yang berbangga dengan hidayah yang diberikan Allah. Usah begitu, kerana dibimbangi syirik kecil-riya' akan menimpa diri.

6) Ceramah dan pengisian yang mengesankan, apabila penyampainya menyampaikan dari hati dan turun ke hati mad'u. Moga keinsafan yang terbit akibat mengenang dosa lalu, terus berkekalan dan diampunkan dosa-dosa yang lalu.



24 Mei 2010,

8.22 pagi, Malaysia Timur

Jumaat, 21 Mei 2010

Jadilah guru yang murabbi!



1) Guru adalah orang terpenting dalam hidup kita. Merekalah yang mengajar kita tulis baca sebagaimana sajak Usman Awang-kalau hari ini dia seorang doktor, lawyer, ir, ustaz-semuanya dimulai dengan usaha guru yang tidak pernah mengenal putus asa.

2) Tidak semua guru bersifat pendidik dan pembimbing, tetapi seorang pendidik dan pembimbing semestinya seorang guru yang bagus.

3) Saidina Ali berpesan-mereka yang mengajar kamu walau satu ilmu, itulah gurumu.

4) Dalam kehidupan kita-ibu bapa juga adalah guru yang secara hakikinya mendidik dan membimbing kita menjadi manusia dalam erti kata sebenar.

5) Bagi muslim mukmin, Rasulullah SAW sebagai guru yang paling berjasa. Menyampaikan Iman dan Islam kepada kita semua. Mengajar kita dari sekecil-kecil perkara seperti doa bangun tidur sehinggalah urusan kenegaraan.

6) Sesungguhnya guru jangan bersifat seperti lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain. Tapi jadilah seumpama pelita yang terus menerangi alam dan pada waktu yang sama-minyak yang merupakan sebab pelita itu menyala, sebagai motivasi dalaman untuk terus gigih berusaha mendidik anak bangsa.

7) Sememangnya cabaran mendidik anak murid akhir zaman ini begitu mencabar. Hanya mereka yang kuat tekadnya, ikhlas niatnya dan tinggi obor perjuangannya, mampu berdepan dengan segala cabaran dan dugaan. Selamat Hari Guru dan sekalung ucapan terima kasih atas segalanya kepada mereka yang telah mendidik saya, sehingga menjadi manusia pada hari ini.


21 Mei 2010,

8.11 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 13 Mei 2010

Jika perjuangkan Islam, kerajaan wajib tarik lesen judi halal



1) Umat Islam secara umumnya berasa marah dan sedih, apabila kerajaan meluluskan lesen judi halal kepada Berjaya Corporation Sdn Bhd, atas alasan mengelakkan perjudian haram di luar kawalan pihak berkuasa.

2) Di dalam Islam, judi, arak, bertenung nasib termasuk antara amalan keji syaitan. Barangsiapa yang menjauhinya, maka akan menjadi golongan berjaya.

3) Justeru, tiada dalil yang membolehkan judi itu dihalalkan, meskipun atas alasan mengelakkan judi yang tidak berlesen atau "judi haram", kerana sememangnya hukum judi adalah haram.

4) Kita melihat, Berjaya Corporation akan bertambah kaya dan untung, manakala rakyat akan terus menjadih ketagih judi demi memenangi pertaruhan judi yang telah dihalalkan.

5) Meskipun umat Islam dilarang menyertai, apakah jaminan kerajaan bahawa tiada umat Islam yang terpesona dengan pengumuman ini?

6) Justeru, kerajaan wajib menarik balik lesen judi halal, sekiranya benar UMNO yang selama ini mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa agama dan negara memperjuangkan Islam!



13 Mei 2010,

3.20 petang, Malaysia Timur

Rabu, 12 Mei 2010

Latihan si pemanah



1) Allah memberikan masa yang sama buat semua orang-24 jam. Allah Maha Adil, sebab itu, tidak sepatutnya seseorang mengeluh masa yang diberikan tidak cukup atau banyak masa kosong, jadi tidak tahu bagaimana nak mengisinya.

2) Dalam kesibukan mencari rezeki bagi meneruskan penghidupan, ada yang terlalai dari menunaikan tanggungjawab kepada Allah;Maha Pencipta.

3) Ada juga yang menghalalkan cara demi matlamat yang salah.

4) Justeru, amalkanlah latihan si pemanah. Pemanah akan menarik anak panah ke belakang-bukan berundur tetapi mengumpul kekuatan dan fokus, agar kelak anak panah akan dilepaskan tepat menuju sasaran.

5) Begitu jugalah kita sebagai insan yang lemah. Perlu bermohon kepada Allah agar diberi kekuatan dalam menghadapi cabaran dan dugaan sekeliling.

6) Moga Allah memudahkan segala urusan kita, kerana di sebalik kesusahan pasti ada kesenangan. Yakinlah !



12 Mei 2010,

1.35 petang, Malaysia Timur

Selasa, 11 Mei 2010

Ibu Ratu Hatiku!



1) Islam meletakkan darjat seorang ibu 3 kali lebih tinggi berbanding seorang bapa, tanpa menafikan peranan bapa yang sama penting dalam mendidik anak-anak.

2) Ini kerana seorang ibu, bersusah payah mengandung, melahirkan dan menyusukan dengan penuh kasih sayang anaknya.

3) Allah mengurniakan wanita sifat rahim-kasih sayang kepada anak dalam kandungan rahimnya. Ia tidak mampu dihadapi dengan baik seorang lelaki jika diuji begitu.

4) Syurga juga sering diibaratkan di bawah tapak kaki ibu lantaran kemuliaannya yang telah mengorbankan sepenuh jiwanya demi anak yang tercinta. Seorang ibu, sanggup berlapar demi memastikan anaknya kenyang terlebih dahulu.

5) Justeru, bagi Muslim setiap hari adalah hari ibu dan bukan tertakluk pada hari tertentu semata-mata. Kita dianjurkan berdoa untuk kedua ibu bapa setiap kali selepas solat dan sekiranya dapat sepanjang masa.

6) Ucapkanlah terima kasih kepada ibu sebelum dia menutup mata dan mohon ampun atas dosa yang pernah kita lakukan sebagai anak. Kita pastinya tidak mahu menjadi seperti Si Tanggang dan Malim Kundang yang derhaka kepada ibu kandungnya dengan tidak mengaku sebagai ibu mereka apabila telah kaya dan mewah.

7) Ya Allah ampunkanlah dosa ibu bapaku, mentuaku, isteri dan anak-anakku, adik beradikku dan seluruh ahli keluargaku, moga dlimpahi lembayung rahmatMu, Amin.



11 Mei 2010,

9.52 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 10 Mei 2010

al-Fatihah buat Murabbiku-Almarhum Dr Abd Rashid Ahmad



1) Terkejut, sedih dan redha apabila seorang sahabat mengirim SMS bahawa tuan guru dan murabbi saya dan sahabat sepengajian di UM sudah meninggal dunia.

2) Yang dimaksudkan adalah Almarhum Dr Abd Rashid Ahmad. Almarhum merupakan pensyarah di Jabatan al-Quran dan al-Hadith UM.

3) Masih saya terkenang betapa senyumannya yang manis apabila bergaul mesra dengan kami ibarat si bapa dan anak, kadangkala humor yang bersahaja apabila mengajar dan tawaduknya Almarhum apabila menyampaikan ilmu kepada kami sebagai pelajarnya.

4) Beliau juga fasih berbahasa Siam/Thailand dan kebanyakan anak-anaknya belajar di Pattani. Juga diketahui beliau di antara mereka yang menyokong kuat pembebasan wilayah Pattani, Thailand agar mendapat kuasa autonomi.

5) Beliau banyak menulis khususnya di Berita Harian dalam ruangan Tafsir al-Qur'an dan bukunya ialah Pendidikan Anak-Anak Mengikut Surah Luqman terbitan Utusan Publishers and Distributors.

6) Moga Allah merahmati ronya dan menempatkan rohnya di kalangan para solihin. Semakin merasai Allah menarik seorang demi seorang para ulama' yang berwibawa.



10 Mei 2010

12.49 tengahari, Malaysia Timur

Jumaat, 7 Mei 2010

Seandainya kau tangisi kematianku !



1) Tiba-tiba saya terkenangkan sepotong sajak yang dikarang oleh al-Syahid Syed Qutb, sejurus sebelum beliau dihukum gantung oleh pemerintah Mesir kerana ketajaman tulisannya.

2) Ia berbunyi :
Seandainya kau tangisi kematianku,
Dan kau siram pusaraku dengan air matamu,
Maka di atas tulangku yang hancur luluh,
Nyalakanlah obor buat umat mulia ini,
Dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya,
Burung-burung berkicau riang menyambutku,
Bahagialah hidupku di alam abadi


3) Alhamdulillah, pada hari ini genap umur saya 30 tahun. Hari yang mulia pada hari ini, hari Jumaat-penghulu segala hari. Jika mengikut bulan Islam, saya akan genap 31 tahun pada 27 Jamadil Akhir 1431 Hijrah nanti.

4) Ramai orang menyebut hari jadi, namun yang paling tepat ialah hari lahir. Ini kerana tiada siapa yang tahu bila ia benar-benar dijadikan. Dalam borang yang kita isi pun hanya ditanya tarikh lahir, bukannya tarikh jadi!

5) Namun perlu juga diingat, bila kita menyambut hari lahir kita, menandakan dekatnya kita dengan kematian.

6) Hari ini, kematian akan datang tepat pada waktunya, tinggal lagi kita tidak tahu bila dan di mana.

7)Saya bersyukur kepada Allah kerana sehingga detik ini, saya masih bernafas menghirup udaraNya dan berjalan di atas bumiNya. Saya berdoa agar segala amal kebaikan yang dibuat diterimanya dan segala dosa noda diampunkan.

8) Saya juga amat berterima kasih kepada kedua orang tua yang telah bersusah payah membesarkan saya, mentua yang menerima saya sebagai menantunya, isteri dan anak-anak yang teguh bersama kasih sayang dalam melayari bahtera rumah tangga, adik beradik yang sangat supportive, guru-guru yang telah mendidik dan membimbing saya, serta tidak lupa kepada sahabat dan teman, yang sudi menjadi cermin kepada kelemahan dan kekuatan diri ini.

9) Akhir kalam, andai saya mati, harapan saya seumpama al-Syahid Syed Qutb-teruskan obor perjuangan mendaulatkan Islam di bumi Allah walau di mana kita berada. Dan Allah dan kalian semua menyaksikan, sesungguhnya saya telah menyampaikan apa yang dikehendakiNya untuk umat ini!



7 Mei 2010, 22 Jamadil Awwal 1431 Hijrah,

9.27 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 6 Mei 2010

Bahayanya sifat munafiq!



1) Nabi SAW bersabda-"Di antara tanda-tanda munafiq-apabila dia bercakap-berdusta, apabila diberi amanah-khianat, apabila berjanji-mungkir dan apabila berselisih pendapat-melampau".

2)Secara tidak langsung, apabila seseorang bersikap sebegini, dia sudah memiliki tanda-tanda munafiq.

3) Munafiq yang paling bahaya dari sudut aqidah-mulut mengaku beriman, hatinya kufur kepada Allah, bahkan menikam Islam dari belakang.

4) Dunia kini, tidak sunyi dari orang sebegini. Depan kita bermanis mulut, di belakang kita menikam kita.

5) Mungkin kerana irihati dan dengki dengan orang lain, maka dia mencari jalan untuk menjatuhkan mereka yang menghalang laluannya.

6) Semua berpunca apabila hati tidak bersih. Penuh dengan sifat mazmumah, sebaliknya kurangya sifat mahmudah. Benarlah tabiat dakwah-meskipun kita melaksanakan kebaikan, namun tidak semua orang bersetuju dengan kita.

7) Moga Allah memberi hidayah kepada golongan sebegini. Mungkin ada yang terfikir untuk membalas dendam, namun sabar itu lebih indah dan cantik sebagaimana panduan yang diberikan Allah menerusi kalamNya.



6 Mei 2010, 21 Jamadil Awwal 1431 Hijrah,

11.42 pagi, Malaysia Timur

Selasa, 4 Mei 2010

Bila aqal hilang kewarasannya



1) Mutakhir ini, pelbagai berita yang mengejutkan hadir menerjah minda kita semua.

2) Masakan tidak, arwah adik Aminurrasyid yang terbunuh dalam insiden bersama dengan polis 8 hari lalu, menuntut siasatan yang adil oleh masyarakat awam.

3) Seorang anak muda nekad untuk membunuh Menteri Besar Kelantan kerana kebenciannya.

4) Seorang gadis yang terlanjur sanggup membuang bayi yang dikandungnya selama 9 bulan.

5) Sekumpulan pemuda yang rakus merogol gadis yang lemah dan tidak bermaya di ladang kelapa sawit.

6) Semuanya hasil manifestasi hilangnya kewarasan aqal. Aqal yang bijak akan menilai setiap tindak tanduk yang akan dibuat, kerana memikirkan kesan jangka panjang akibat sesuatu perbuatan itu.

7) Namun kerana dikawal oleh nafsu dan digoda oleh syaitan, serta lemahnya iman, akhirnya aqal hilang kewarasan membuat pertimbangan, meskipun tidak mabuk dek meminum arak.

8) Terdesak , malu, seronok, menutup kesalahan diri sendiri, bahkan bangga dengan apa yang dilakukan, mungkin menjadi faktor utama mengapa kes-kes di atas berlaku dalam masyarakat kita kini.

9) Moga Allah memelihara kewarasan aqal kita dari melakukan perkara yang di luar jangkauan pemikiran manusia, yang menginginkan kebahagiaan hakiki di dunia dan akhirat, Amin.



4 Mei 2010, 19 Jamadil Awwal 1431 Hijrah,

10.55 pagi, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude