Rabu, 30 September 2009

Tips memilih pemimpin sejati



1) Mereka memiliki 4 sifat utama yang ada pada Rasulullah SAW iaitu siddiq(benar dari sudut perkataan dan perbuatan), tabligh(menyampaikan Islam walaupun berdepan dengan risiko), amanah(jujur dan berintegriti), serta fatanah (bijaksana dalam mentadbir, membuat keputusan dan merancang secara strategik).

2) Memastikan pemimpin yang dipilih akan berkhidmat untuk rakyat dan jauh sekali dari mengutamakan kepentingan peribadi.

3) Mereka mengharapkan redha Allah semata-mata berbanding redha manusia.

4) Mereka yang sentiasa bertaubat di atas kesalahan dan dosa yang lalu, dan meyakini betapa amanah kepimpinan ini suatu yang sangat berat dan akan dipersoalkan oleh Allah SWT.

5) Mereka memastikan Islam sentiasa didaulatkan walaupun berhadapan dengan cercaan musuh-musuh Islam.

6) Mereka yang komited di atas landasan menegakkan kebenaran dan keadilan.

7) Mereka berusaha seminimum mungkin mengelakkan kesalahan yang mengaibkan diri, keluarga dan agama, sebaliknya istiqamah membawa kebaikan untuk rakyat.


Moga sedikit tips di atas, dapat dijadikan panduan dalam memilih pemimpin yang sejati di dalam mana-mana pilihanraya selepas ini.



30 September 2009, 11 Syawal 1430 Hijrah,

3.48 petang, Malaysia Timur

Isa dan UMNO mungkin menang, tetapi Zulkifli dan PAS belum tentu kalah!




1) Medan pilihanraya kecil Bagan Pinang telah dibuka. Calon juga telah diumumkan. Bagi UMNO, Isa Samad adalah terbaik dan mewar-warkan bahawa beliau merupakan calon akar umbi, walaupun Mahathir tegas menyatakan jika UMNO menang sekalipun, ia kemenangan yang tidak bermaruah kerana menampilkan calon yang terpalit dengan isu politik wang/rasuah, dan melambangkan betapa ketidaksungguhan UMNO menangani rasuah.

2) Bagi calon PAS pula, Zulkifli Omar dianggap masih muda, berpendidikan tinggi dan ada integriti. Pakatan Rakyat menaruh harapan agar rekod 7-1, dapat diteruskan kepada 8-1.

3) Saya yakin dalam kempen pilihanraya nanti, setiap pihak akan mengeluarkan peluru dan mengatur strategi untuk menang. Dan pastinya Bagan Pinang akan panas dan hangat dalam tempoh seminggu dua ini, sehinggalah hari pengundian pada 11 Oktober nanti.

4) Pengundi pos diharap membuat pilihan bijak, meskipun identiti anda dikenalpasti. Berani melakukan perubahan, syarat untuk menyaksikan pemerintah yang ada kini dapat diberikan signal, bahawa mereka akan rebah dalam PRU ke-13 akan datang!



30 September 2009, 11 Syawal 1430 Hijrah,

9.16 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 28 September 2009

Apabila Mahathir bersuara !



1) Apabila Tun Mahathir bersuara, kadangkala gelisah UMNO dibuatnya. Mengenai calon di Bagan Pinang, beliau tegas menyatakan calon perlu orang yang bersih dan tidak terpalit dengan politik wang.

2) Apabila Tun Mahathir bersuara, terdiam Samy Velu dibuatnya. Disuruh meletak jawatan, Samy Velu ambil cuti 2 bulan dulu dari menjalankan tugas Presiden MIC. Tun kata buat apa 2 bulan, ambillah terus 2o tahun cuti. Makin pening Samy Velu.

3) Apabila Tun Mahathir bersuara, kelam kabut juga Pakatan Rakyat dibuatnya. Bila melihat krisis yang berlaku di negeri yang diperintah Pakatan Rakyat, Tun mengatakan bagaimana PR nak perintah negara, mereka tidak sepakat dalam ideologi politik mereka!

4) Apabila Tun Mahathir bersuara, Ibrahim Ali pun cuba ambil kredit dengan mengatakan, alangkah baiknya jika Tun dilantik sebagai penasihat kerajaan. Pak Lah pula semakin tenggelam dari arus media perdana, cuma apabila dilantik sebagai Pengerusi IKIM, diharap Pak Lah lebih tegas menyuarakan pandangan berkaitan maslahat umat Islam dan imej Islam.

5) Apabila Tun Mahathir bersuara, kelihatannya seolah-olah dia sahaja yang betul, sampai Kartika disebat pun beliau mempertikaikannya. Mungkin inilah antara doa Almarhum Dato Fadzil Noor (mantan Presiden PAS) yang dimakbulkan, "BIARLAH MAHATHIR PANJANG UMUR, AGAR DIA DAPAT MELIHAT NATIJAH DARI PENYALAHGUNAAN KUASA SEWAKTU DIA MEMERINTAH MALAYSIA SELAMA 22 TAHUN". Dalam usia Tun menjangkau 84 tahun, idea dan pandangan yang masih kritikal dan tajam, diharap Tun Mahathir dapat merenungi apa yang didoakan Almarhum Ustaz Fadzil Noor itu!



28 September 2009, 9 Syawal 1430 Hijrah,

10.13 pagi, Malaysia Timur

Masa untuk kembali berjuang



1) Setelah hampir seminggu bercuti, kini masanya untuk kembali bertugas meneruskan perjuangan yang belum selesai.

2) Hampir seminggu pulang beraya di Semenanjung, lautan kesyukuran saya panjatkan kepada Ilahi kerana dapat bertemu dengan orang tua, mentua dan adik beradik yang dikasihi.

3) Benar kata pepatah, semakin jauh kita dengan seseorang, semakin rindu dan kasih kita kepadanya. Ia berbeza jika kita sentiasa bersama dengannya. Begitulah ibaratnya, seorang anak walaupun jauh di perantauan, rasa kasih dan sayang kepada orang tua semakin bertambah dan ia amat bermakna bila dapat bersua muka di hari mulia-Eidulfitri.

4) Dalam suasana yang masih meriah dengan rumah terbuka sepanjang Syawal ini, hari ini kita akan dimaklumkan siapa calon Bagan Pinang bagi PAS dan UMNO. Semoga calon yang diumumkan nanti, biarlah calon yang bersih dan dilihat bersih.

5) Justeru, kini masa untuk kembali berjuang untuk memastikan rakyat Malaysia dipimpin oleh mereka yang berintegriti.



28 September 2009, 9 Syawal 1430 Hijrah,

10.00 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 21 September 2009

Aidilfitri 1430 Hijrah

1) Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana kita diberi peluang menyambut Aidilfitri kali ini.

2) Diberikan amanah membaca khutbah raya di sebuah taman di Kajang, saya agak terkejut bila mana ramai dari jamaah adalah Muslim Bangladesh.

3) Balik dari membaca khutbah, ada kemalangan di LDP. Malangnya, satu nyawa terkorban apabila van yang dipandunya terbalik.

4) Bermaaf-maafan menjadi kemestian menjelang Aidilfitri. Namun, ianya jangan hanya ditunggu menjelang raya sahaja.

5) Bersyukur kepada Allah kerana dapat bertemu ibu ayah tercinta dan mertua yang dirindui serta adik beradik yang tersayang.


21 September 2009, 2 Syawal 1430 Hijrah,

8.04 pagi, Malaysia Barat

Rabu, 16 September 2009

'Idulfitri menjelma lagi



Aidilfitri menjelma lagi
Membawa seribu makna dan erti
Tanda kemenangan diri
Mengatasi nafsu yang tidak terperi
Di bulan Ramadhan yang dirahmati


Aidilfitri menjelma lagi
Ibarat bayi yang bersih suci
Setelah dosa dan noda diampuni
Oleh Tuhan Rabbul Izzati


Aidilfitri menjelma lagi
Mendidik jiwa dan mentarbiyyah diri
Agar istiqamah dengan perintah Ilahi
Meskipun Ramadhan berlalu pergi


Aidilfitri menjelma lagi
Namun binasa dan rugi
Bagi mereka yang bertemu dengan Ramadhan yang diberkati
Tetapi tetap belum diampuni
Segala dosa dan maksiat diri


Aidilfitri menjelma lagi
Mengajak diri memahami dan menghayati
Agar menjadi Abid Rabbani
Dan bukannya Abid Ramadhani




Adab-adab pada Aidilfitri

Aidilfitri bermaksud hari kemenangan umat Islam yang telah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan. Bahkan, 1 Syawal diharamkan berpuasa oleh Islam. Dari sudut bahasa-ia bermaksud kembali kepada fitrah. Dengan kata lain, mudah-mudahan apabila dosa kita diampunkan Allah sepanjang Ramadhan, maka kita menyambut Aidilfitri pada 1 Syawal, seumpama bayi yang baru lahir yang bersih dan suci dari dosa dan noda, Insya Allah.

1. Mandi dan memakai wangi-wangian serta memakai pakaian yang baru dan kemas
2. Disunatkan datang awal ke masjid dan surau pada pagi Aidilfitri
3. Disunatkan makan sedikit sebelum keluar untuk solat sunat Aidilfitri. Ia
berbeza dengan solat sunat Aidiladha yang disunatkan makan setelah pulang
solat sunat Aidiladha.
4. Disunatkan pergi ke masjid dan surau melalui satu jalan dan pulang mengikut
jalan yang lain. Sebagaimana Al-Bukhari meriwayatkan dari Jabir r.a., “Pada
hari raya, Nabi SAW melalui jalan yang berlainan”.
5. Menziarahi orang tua dan sanak saudara serta saling bermaaf-maafan.
6. Menziarahi kubur orang tua dan sanak saudara yang telah meninggal dunia.
7. Tidak membazir dari sudut makanan, pakaian dan perhiasan dalaman rumah.
8. Menjamu fakir miskin yang tidak berkemampuan
9. Puasa sunat 6 hari pada bulan Syawal
10. Istiqamah dengan amalan sepanjang Ramadhan, agar kita menjadi abid Rabbani
dan bukannya abid Ramadhani.



16 September 2009, 26 Ramadhan 1430 Hijrah,

9.34 pagi, Malaysia Timur

1Malaysia F1 Team?



1) Tanpa menafikan hasrat murni PM yang ingin gagasan IMalaysia disebarluaskan ke seantero dunia, penubuhan 1Malaysia F1 Team menimbulkan banyak persoalan.

2) Di kala penjawat awam tidak mendapat bonus, mengapa pasukan ini ditubuhkan?

3) Dalam keadaan ekonomi dunia dan Malaysia masih belum pulih, di mana dana untuk membiayai pasukan ini diperoleh?

4) Walaupun melibatkan kerjasama strategik AirAsia, Proton dan Lotus serta Naza Holdings, apakah ia akan menjamin tidak akan berlaku sebarang pembaziran? Apatah lagi, Malaysia belum mempunyai pemandu sehebat Lewis Hamilton, Jenson Button dan Shumacer?

5) Jangan nanti, kita hanya gah dengan pasukan 1Malaysia F1, tetapi dengan pemandu yang gagal, kita hanya dikenali dengan pengajur yang hebat. SIC menjadi buktinya!



16 September 2009, 26 Ramadhan 1430 Hijrah,

9.26 pagi, Malaysia Timur

Alhamdulillah-5 Tahanan ISA dibebaskan



1) Setelah hampir 8 tahun di Kamunting, Mat Sah suami kepada aktivis GMI-Norlaila Othman akhirnya dibebaskan bersama 4 rakannya yang lain.

2) Walaupun Menteri Dalam Negeri menafikan pembebasan ini ada kaitan dengan pilihanraya Bagan Pinang, namun pandangan umum tidak menolak persepsi ini.

3) Apapun, setelah 8 tahun dinafikan hak mendapat perbicaraan sempurna di mahkamah, akhirnya menjelang Idulfitri yang bakal tiba, mereka dibebaskan.

4) Moga ianya menjadi iktibar bagi rakyat yang mahukan ISA dimansuhkan, bekas tahanan ISA yang terus bersemangat mendokong kebebasan hak asasi seseorang dan pihak pemerintah yang menyedari betapa ISA tidak lagi relevan.



16 September 2009, 26 Ramadhan 1430 Hijrah,

9.21 pagi, Malaysia Timur

Rabu, 9 September 2009

Ramadhan-Ujian berhadapan dengan pembesar



1) Bukan mudah bila kita diminta memberikan tazkirah kepada pembesar negeri. Perlu dijaga gaya bahasa, isi penyampaian dan kaedah penerangan. Silap gayanya, tidak mustahil dipandang serong dan sebagainya.

2) Namun begitu, itulah tabiat dakwah. Tidak semua menyenangi dan tidak kurang yang menunjangi. Nabi Musa as. ketika diperintahkan Allah menyeru Fir'aun, mohon diutuskan bersama Nabi Harun yang lebih fasih lidahnya. Bahkan Nabi Musa a.s. berdoa " Ya Allah tenangkan bagiku dadaku, dan mudahkan bagiku urusanku, dan fasihkan lidahku, agar mereka memahami penyampaianku".

3) Bercakap di hadapan mereka bukan mudah, tetapi selagi kita yakin Allah bersama, pastinya tidak susah. Apa yang penting mesej tentang perlunya agar kita kembali kepada penghayatan sebagai Muslim sejati, tidak pernah saya abaikan.

4) Apatah lagi bila kita baru menyambut Nuzul al-Qur'an, saya menegaskan, jika umat Islam menjauhi dan membelakangkan al-Qur'an sebagai pedoman hidup mereka, mana mungkin akan datang bantuan Allah dan umat Islam akan menjadi umat yang terbaik!

5) Alhamdulillah, ada yang memberikan respon yang baik terhadap penyampaian saya, namun saya tidak leka dengan pujian kerana segala puji yang hakiki hanya berhak bagi Allah semata-mata. Apapun saya berdoa, agar semua mereka diberikan hidayah dalm mentadbir negeri mengikut acuan Islam dan bukan selainnya. Nabi SAW telah bersabda " Dengan asbab dakwah yang kamu sampaikan, lalu ada orang menerima hidayah Allah, maka itu lebih berharga dari kamu memiliki seekor unta betina merah(yang sangat mahal harganya)".



9 September 2009, 19 Ramadhan 2009,

12.52 tengahari, Malaysia Timur

Selasa, 8 September 2009

Ramadhan ; Separuh Masa Kedua



1) Hari ini 18 Ramadhan. Masjid dan surau mula lengang akibat orang mula membuat persiapan menyambut Aidilfitri. Tarawih dan witir bukan lagi di masjid dan surau, tetapi di shopping complex.

2) Jika separuh masa pertama, kita telah menjaringkan banyak gol, namun tidak mustahil jika separuh masa kedua ini, kita akan tewas akibat kealpaan benteng pertahanan dan penjaga gol.

3) Serangan untuk menjaringkan gol tidak lagi bertali arus dan sehebat separuh masa pertama. Para pemain mula letih dan pancit. Akibatnya, hawa nafsu(pasukan musuh), mula mengambil kesempatan. Walaupun syaitan diikat, nafsu tetap menjalankan tugas sebagai pihak yang telah direkrut oleh syaitan selama 11 bulan.

4) Jika kita tidak teguh dan fokus dalam menghadapi separuh masa kedua Ramadhan, pastinya kita akan merana akibat tewas dek nafsu. Tidak salah membuat persiapan Aidilfitri, asal sahaja komitmen mengoptimumkan sebaik mungkin peluang yang ada pada bulan Ramadhan tidak dilepaskan.

5) Akhir kalam, moga kita bertemu dengan pengampunan Allah pada 10 malam yang kedua ini, sebelum XPDC mencari Lailatul Qadar diteruskan pada 10 malam yang terakhir!



8 September 2009, 18 Ramadhan 1430 Hijrah,

4.03 petang, Malaysia Timur

Isnin, 7 September 2009

Gambar TGHH dan TGNA dikencing, andai benar biadapnya!



1) Andai benar gambar ini, alangkah biadapnya mereka!

2) Andai benar gambar ini, mohon kepada Allah agar mereka diberikan hidayah akibat kejahilan mereka!

3) Andai benar gambar ini, teringat saya drama Qamar Bani Hashim yang kini ditayangkan di Astro Oasis. Betapa pemuka Arab Quraisy berani menghina, memperlekeh dan menyiksa umat Islam dan Nabi SAW. Kelak, neraka jahannam azab yang kekal buat mereka. Bagi mereka yang biadap ini, tidak mustahil Allah akan membalas perbuatan anda!

4) Andai benar gambar ini, ketaksuban politik menyebabkan kita semakin buat hati dan buta mata dalam menilai yang mana intan dan yang mana kaca, yang mana haq dan yang mana batil!

5) Benarlah kata Nabi SAW, "Mukmin di antara 5 bahaya-iaitu Mukmin yang dengki padanya, munafiq yang marah kepadanya, kafir yang ingin membunuhnya, syaitan yang ingin menyesatkannya serta nafsu yang mendorongnya ke arah kejahatan".


6 September 2009, 17 Ramadhan 1430 Hijrah,

4.17 petang, Malaysia Timur

17 Ramadhan-Turunnya al-Qur'an padanya



1) Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah "Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al-Qur'an, menjadi petunjuk buat manusia, dan menjadi keterangan kepada petunjuk, serta sebagai al-Furqan(pemisah di antara yang hak dan yang batil).al-Qur'an disepakati oleh ulama, diturunkan pada 17 Ramadhan. Dari sudut istilah, ia bermaksud, kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dengan perantaraan Jibril a.s. dan barangsiapa yang membacanya akan dikurniakan pahala.

2) al-Qur'an juga dikenali dengan nama al-Furqan, al-Tanzil dan al-Kitab. Dalam doa yang biasa kita baca setelah membaca al-Quran, kita memohon kepada Allah "Ya Allah, rahmati kami dengan al-Qur'an, jadikanlah ia bagi kami imam, cahaya, petunjuk dan rahmat. Ya Allah ingatkan apa yang kami lupa dari al-Qur'an, dan ajarkanlah apa yang kami jahil tentang al-Qur'an. Rezekikanlah kami membacanya samada pada waktu malam atau di siang hari. Dan jadikanlah al-Qur'an hujjah untuk kami, wahai Tuhan Sekalian Alam".

3) Pandangan ulama, al-Qur'an diturunkan selama 23 tahun dengan dimulai ayat 1-5 surah al-Iqra', dan diakhiri dengan ayat yang bermaksud "Pada hari ini, telah Kami sempurnakan untuk kamu agamamu(Muhammad), dan telah Kami sempurnakan ke atas kamu nikmatKu, dan Aku redha Islam sebagai agamamu(Muhammad)".

4)Hadith Nabi SAW "Yang terbaik di antara kamu, ialah yang belajar al-Qur'an(segala ilmu yang berkaitan dengannya seperti tajwid, taranum, asbab nuzul, nasikh, al-amthal, balaghah, nahu dan saraf), serta mengajarkan al-Qur'an pada yang lain. Dan hadith Nabi SAW juga meningatkan "Akan datang suatu zaman di kalangan umatku, yang tidak kekal Islam kecuali pada namanya, tidak kekal al-Qur'an kecuali pada tulisan, dan masjidnya besar dan indah, tetapi kosong dari petunjuk Allah".

5) Seorang PM Britain pada 1883 menyatakan, bagi mengelakkan umat Islam mentadbir dunia, kita perlu menjauhkan mereka dari buku ini(sambil dijulangnya al-Qur'an). al-Qur'an bukan sekadar untuk dibaca, tetapi difahami, diamalkan dan disebarkan. Malangnya, masih ramai umat Islam yang tidak pandai membaca al-Qur'an dan mengaplikasikan ilmu yang ada di dalam al-Qur'an. Natijahnya, umat Islam ketinggalan dari sudut sains dan teknologi, lemah penguasaan ekonomi, serta tidak berakhlak sebagaimana anjuran al-Qur'an.

6) Isu pijak kepala lembu di Selangor dan dialog yang tidak bertamadun bersama kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, menampakkan kedangkalan segelintir Muslim yang mengaku Islam, tetapi jauh dari akhlak yang dianjurkan al-Qur'an, berbeza sangat dengan peribadi Nabi SAW, bahkan tidak mampu bertoleransi dalam menghormati kepercayaan agama lain. Moga mereka diberikan peluang oleh Allah untuk bertaubat atas kejahilan mereka!



6 September 2009, 17 Ramadhan 1430 Hijrah,

1.17 petang, Malaysia Timur

Jumaat, 4 September 2009

Ramadhan; Nabi bersumpah tiada miskin mereka yang bersedeqah



1) Alhamdulillah hari ini 14 Ramadhan. Bermakna kita telah berada di pertengahan Ramadhan. Ada yang tidak sabar nak menyambut Aidilfitri, dan ada pula yang terus tekun beribadah di bulan Ramadhan, kerana mengambil manfaat yang sangat besar pada bulan mulia ini.

2) Nabi SAW ada bersabda dalam sepotong hadith" Bahawa aku bersumpah, tiada miskin mereka yang suka bersedeqah". Secara logik akal, bila kita bersedeqah pastinya duit kita semakin sedikit. Namun, yakinlah dengan janji Nabi SAW, bahawa Allah pasti menggantinya dan tidak akan menjadikan dia miskin.

3) Dan yang perlu kita ingat, Allah SWT tidak semestinya menggantikan nilai duit yang kita sedeqah dalam bentuk duit juga. Mungkin Allah SWT ganti dalam bentuk kenaikan pangkat, kita dikasihi dan dihormati manusia, keluarga kita aman harmoni dan anak-anak yang berjaya.

4) Justeru, kini Bill Gates walaupun dia merupakan manusia paling kaya di dunia dengan perniagaan Microsoftnya, dia tidak lagi menumpukan kepada mengumpulkan kekayaan, sebaliknya menubuhkan Yayasan Melinda & Bill Gates yang telah menderma untuk kerja kebajikan dan sosial di seluruh dunia, dengan nilai puluhan bilion dolar. Bila ditanya mengapa anda menubuhkan Yayasan tersebut, tidakkah ia menghakis kekayaan anda? Lalu dia menjawab dengan penuh yakin "The more you give, the more you will get!".

5) Nah, jika Bill Gates yang tidak beriman kepada Allah pun, meyakini konsep semakin banyak anda memberi, semakin banyak anda akan dapat, mengapa tidak kita? Dan bulan Ramadhan inilah, bulan yang sangat dianjurkan bersedeqah. Bahkan, ada juga sedeqah yang tidak mengeluarkan modal, iaitu senyum kepada saudara kamu sendiri yang dinyatakan oleh Nabi SAW, juga dianggap sebagai sedeqah.

6) Dalam sibuk kita mengumpul kekayaan harta dan kemewahan dunia, jangan lupa Nabi Sulaiman a.s. merupakan the richest man in the history and in the world. Kenderaannya bukan lagi Ferrari dan Lamborghini, tetapi angin. Rakyatnya bukan hanya manusia biasa seperti kita, tetapi termasuk juga sekalian jin dan binatang. Bahkan, dianugerahkan Allah, baginda memahami bahasa semut! Lalu Nabi Sulaiman a.s. mengatakan " Sekalian nikmat ini menguji aku untuk syukur atau kufur".

7) Sebab itu, jika kita kaya jadilah OKB-bukan orang kaya baru atau orang kaya berlagak, tetapi orang kaya bertaqwa dan orang kaya beriman. Makin kaya, makin merendah diri dan makin banyak bersedeqah dan membantu mereka yang susah. Kita tidak mahu menjadi seperti Qarun-saudara Nabi Musa a.s. yang sombong dengan kekayaannya, maka akhirnya dia ditenggelamkan oleh Allah SWT bersama seluruh hartanya ke dalam bumi!

8) Moga motivasi ini menggalakkan kita untuk terus bersedeqah. Amin.



4 September 2009, 14 Ramadhan 1430 Hijrah,

8.15 pagi, Malaysia Timur

Khamis, 3 September 2009

Perak tidak akan aman selagi DUN tidak dibubarkan



1) Melihat apa yang berlaku semalam, dapat difahami keadaan di Perak masih bergolak. Dengan UMNO dan BN cuba menggoyangkan kedudukan kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang(isu Kg Buah Pala), di Selangor(bantahan pembinaan kuil) dan di Kedah(ADUN Lunas yang keluar dari PKR, tetapi masih kepingin menjadi exco), menggambarkan kepada kita betapa terdesaknya mereka.

2) Jika yakin di pihak yang benar, bersemukalah secara gentlemen dan bukannya melalui pintu belakang. Adakan PRU ke-13 dalam kadar segera, jika yakin rakyat sudah terpesona dengan konsep 1Malaysia.

3) Namun begitu, apa yang berlaku sebaliknya. Lempar batu sembunyi tangan-itulah prinsip yang diamalkan oleh UMNO dan BN sekarang. Tidakkah mereka sedar bahawa parti pembangkan di Jepun buat pertama kali setelah 54 tahun parti memerintah berkuasa, akhirnya tumbang? Kini, rakyat terpaksa menerima kenyataan Menteri yang pada asalnya menetapkan minyak RON 95 pada RM 1.75, tetapi bila diumumkan kelmarin tiada kenaikan dari harga minyak lama-RON 97 pada RM 1.80. Walhal dengan gred minyak yang lebih rendah(RON 97-95), harga minyak yang asalnya dikhabarkan RM 1.75 dinaikkan kepada RM1.80. Ternyata, ia dibuat dengan penuh hikmah dan teliti, tetapi rakyat tetap menyedarinya.

4) Akhir kalam, apa yang berlaku di Perak menjadi bukti, negeri itu tidak akan aman sehinggalah DUN Perak dibubarkan. Bertandinglah secara anak jantan di gelanggang yang rata, dan bukannya memerintah hasil konspirasi yang jelik dan mengkhianati amanah rakyat!



3 September 2009, 13 Ramadhan 1430 Hijrah,

12.03 tengahari, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude