Khamis, 26 Februari 2009

Sajak Air Mata Palestin berkumandang lagi!

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim
Berita Harian, 26 Februari 2009

Kakitangan DBP bersatu jayakan Majlis Amal Hari Palestin Bersamamu MAJLIS Amal Hari Palestin Bersamamu di Ruang Legar, Menara DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini, mewakili tanda protes berterusan rakyat Malaysia terhadap tindakan Israel yang rakus membedil semenanjung Gaza sehingga meninggalkan kesan trauma mendalam terhadap penduduknya. Pegawai Perancang Bahasa, DBP, Azman al-Khurowi, memukau khalayak dengan lontaran suaranya ketika mengajak khalayak menghayati episod duka kezaliman Zionis terhadap rakyat Palestin ketika membuka majlis dengan puisi Air Mata Palestin.
Sudah kering air mata Palestin
menangisi para syuhada yang gugur di medan jihad
bertempur dengan Israel Laknatullah.
Sudah kering air mata Palestin
melihat bantuan tidak kunjung tiba
saudara se-Islam di Asia Barat hanya diam seribu bahasa.
Sudah kering air mata Palestin
meratapi kematian sanak saudara
hanya membilang hari
bilakah diriku yakin dijemput Allah
dalam episod kezaliman Israel dan Amerika yang tidak berkesudahan....
(Sajak nukilan saya ini, diterbitkan di dalam Berita Harian bertarikh 16 Januari 2009, 19 Muharram 1430 Hijrah di ruangan Surat Pembaca).
1) Syukur kerana sajak Air Mata Palestin nukilan saya dikumandangkan dalam majlis tersebut.
2) Perasaan gembira kerana sajak ini sudi dibaca oleh kakitangan DBP.
3) Namun kemusykilan saya, adakah pendeklamasi sajak di atas, menyatakan penulis sebenar sajak Air Mata Palestin? Saya berusaha mendapatkan jawapan melalui wartawan yang melaporkan berita ini.
4) Saya berharap agar pendeklamasi sajak tersebut jujur dan mengetahui tentang hakcipta, kerana beliau adalah kakitangan DBP. Mungkinkah pembaca ada pandangan?
26 Februari 2009, 1 Rabiul Awwal 1430 Hijrah
10.22 pagi, Malaysia Timur

Isnin, 23 Februari 2009

Upin&Ipin-Made in Malaysia for Malaysian



1) Salam buat semua pembaca budiman. Sekadar santai di hari ini, izinkan saya berkongsi pandangan tentang filem animasi 3D pertama di Malaysia - Upin dan Ipin : Pengembaraan Bermula terbitan Les Copaque Sdn Bhd.

2) Saya berkesempatan menonton filem ini minggu lepas bersama keluarga tercinta. Apabila selesai menonton filem ini, dapat saya membuat kesimpulan seperti berikut :

a) Animasi 3D dan sound effectnya sangat mengkagumkan. Apatah lagi, ia merupakan hasil cipta anak Malaysia.

b) Watak Upin dan Ipin sangat dekat di hati kita. Justeru, tidak hairanlah apabila kebanyakan penggemar rancangan Upin & Ipin di TV9, terdiri dari pelbagai lapisan umur dan tak mengira bangsa.

c) Jalan ceritanya mudah dan santai. Di samping dialog yang menjadi trademark rancangan ini, sangat diingati oleh kita seperti " Hai nama saya Upin dan nama saya Ipin. Betul betul betul!"

d) Saya mengharapkan dengan kos penerbitan filem ini yang menjangkau hampir RM4 juta dengan mendapat dana dari Kementerian Warisan, Seni dan Kebudayaan-mendapat pulangan yang berbaloi dan setimpal, dengan ramai rakyat Malaysia akan menontonnya.

3) Akhir kalam, dengan ketidaktentuan situasi politik masa kini, ada baiknya menenangkan fikiran seketika dengan menonton gelagat Upin & Ipin bersama rakan-rakan mereka yang lain. Jangan marah aaa, nanti kena jual !

23 Februari 2009, 27 Safar 1430 Hijrah,

10.07 pagi, Malaysia Timur


Jumaat, 20 Februari 2009

Kembalikan kewarasan dan integriti berpolitik

1) Salam buat semua. Melihat senario politik semasa, amat menyenakkan perut dan menyerabutkan fikiran kita semua.
2) Isu penyebaran foto bogel, Kerajaan Perak baru yang masih dipertikaikan kesahihannya-apatah lagi MB Baru dan 6 exconya digantung oleh Speaker DUN Perak, serta penentangan PPSMI, menyebabkan beberapa isu utama yang patut didahulukan menjadi terpinggir.
3) Kini, hampir 80,000 orang pekerja telah diberhentikan dan kebanyakkannya di dalam sektor swasta. Ekonomi dunia dan negara semakin merudum, menyebabkan satu langkah proaktif perlu dipersetujui oleh pemerintah dan pakatan pembangkang.
4) Sebab itu, saya meletakkan tajuk di atas agar kita kembali berpolitik secara waras dan penuh integriti. Kepada YB Muslim-ingatlah apa sahaja yang dilakukan secara terbuka mahupun tersembunyi pasti diketahui oleh Allah, meskipun mungkin rakyat teramai tidak mengetahuinya.
5) Usaha merampas kuasa secara tidak sah oleh BN di Perak, menyebabkan kita terfikir adakah atas nama politik-maka semuanya dihalalkan demi kuasa dan wang?
6) Akhir kalam, pesan Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Ahkam al-Sultaniyyah-di antara tujuan siyasah syari'yyah(politik Islam) ialah untuk menegakkan agama dan mentadbir dunia dengannya(agama).
7) Dan sekadar mengulangi ungkapan yang sama sebelum ini-politik adalah seni yang serba mungkin. Politik itu bersih, tetapi aktor politik yang mengotorkannya, selama mana ia berpandu kepada nafsu dan tidak berlandaskan wahyu.
20 Februari 2009, 24 Safar 1430 Hijrah,
12.43 tengahari, Malaysia Timur

Isnin, 16 Februari 2009

Terima kasih isteri dan anakku!



1) Tiada apa yang dapat diucapkan melainkan terima kasih dan rasa kasih yang amat mendalam kepada isteri dan anak tercinta.

2) Sepanjang minggu lepas, saya berkursus di Kuala Lumpur berkenaan pengurusan kewangan Islam dari aspek peribadi dan keluarga. Banyak manfaat dan ilmu baru yang saya peroleh, dan Insya Allah akan dikongsi bersama.

3) Mohon maaf juga buat pembaca yang tidak jemu berkunjung ke blog ini, walaupun tidak diupdate hampir seminggu.

4) Balik dari KL dan setibanya di Kuching, saya diuji Allah dengan demam, batuk dan asma. Isteri dan anak yang sanggup mengambil saya di airport, terus membawa suami dan ayahnya ini ke klinik untuk berjumpa doktor dan mendapatkan rawatan.

5) Sepanjang cuti hujung minggu, isteri dan anaklah yang setia menemani saya dan menyuapkan ubat ke dalam mulut. Benar, baru terasa betapa besarnya nikmat sihat yang kerapkali dilalaikan oleh saya dan kebanyakan kita. Isteri yang sarat mengandung 6 bulan, begitu sabar melayani kerenah saya sebagai suami yang sedang sakit. Di saat itu, terpancar solehah pada peribadinya. Anak sulung saya juga seakan memahami, bahawa abinya tidak ceria sebagaimana biasa.

6) Buat isteri dan anak tercinta, izinkan abang dan abimu mengucapkan selautan terima kasih kerana ketabahan dan kesudian menjagaku. Alhamdulillah, hari ini berasa sedikit segar. Mungkin dengan izin Allah, kopi Sawda menjadi penawarnya dan layanan 1st class sang isteri tercinta dan anak lelaki yang tak kurang lasaknya. Terima kasih isteri dan anakku!


16 Februari 2009, 20 Safar 1430 Hijrah,

9.48 malam, Malaysia Timur.

Politik caca merba


1) Kini hangat diperkatakan tentang penyebaran foto bogel milik Elizabeth Wong-Ketua Wanita Biro Penerangan PKR dan Exco Pakatan Rakyat Negeri Selangor. Ia mengingatkan kita kepada bekas Menteri Kesihatan-Chua Soi Lek yang terpaksa meletakkan jawatan kerana video seksnya.

2) Seperti biasa, Ketua Pembangkang Selangor-Khir Toyo menggesa agar Elizabeth meletak jawatan atas isu moral.

3) Ada yang bersimpati seperti Nazri Aziz dan menyatakan tidak sepatutnya ia berlaku.

4) Elizabeth mempertahankan dirinya telah dianayai dan seseorang yang tidak bertanggungjawab telah cuba untuk merosakkan reputasinya.

5) Bagi saya, bagi semua ahli politik-inilah harga yang perlu dibayar. Dalam politik, kadangkala kawan boleh menjadi lawan dan sebaliknya. Begitu juga, dengan kecanggihan teknologi masa kini, seperti telefon bimbit berkamera bisa sahaja merakam gambar dan klip video yang tidak sepatutnya dan dijadikan modal untuk menyerang peribadi seseorang. Seharusnya Elizabeth lebih berhati-hati dan seperti biasa, UMNO dan BN akan menjadikan isu ini sebagai isu yang boleh menumbangkan Pakatan Rakyat di Selangor.

6) Tiada apa yang boleh disimpulkan, melainkan inilah politik caca merba akhir zaman.


16 Februari 2009, 20 Safar 143 Hijrah,

9.38 malam, Malaysia Timur.

Isnin, 9 Februari 2009

Liciknya UMNO dan BN mengatur konspirasi!

Justify Full

1) Saya berhujah demikian kerana, kini Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin digambarkan sebagai penderhaka kepada Sultan Perak dan wajib dibuang negeri.

2) Character assasination (pembunuhan watak) sedang hebat dituju kepada MB Perak yang sah dari Pakatan Rakyat. Jika menurut media massa yang pro UMNO dan BN, seolah-olah seluruh rakyat membenci dan bersetuju mengatakan MB Perak tersebut tidak sedar diri serta gila kuasa(rakyat yang mula termakan dengan dakyah dan propaganda UMNO dan BN), melakukan mesyuarat exco yang tidak sah seperti budak-budak(SUK Kerajaan Negeri Perak) dan ingkar kepada Sultan Perak kerana melanggar titah Sultan Perak(Mufti Perak).

3) Ketika saat yang genting ini, digambarkan juga Pakatan Rakyat sebagai kelompok yag tidak hormat kepada kedaulatan raja dan undang-undang. Demonstrasi di depan Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, setelah solat Jumaat di Masjid Ubudiah pada mereka sangat tidak wajar. Sedangkan kalau diperhati, bukankah itu hasil dari ketidakpuasan hati rakyat yang terhadap ketidakadilan yang berlaku?

4) Moga Allah menunjukkan keadilanNya. Amin


9 Februari 2009, 13 Safar 1430 Hijrah,

6.30 pagi, Malaysia Timur.

Jumaat, 6 Februari 2009

Kepada Allah kita berharap !


1) Nabi SAW bersabda setelah turun ayat 6, surah al-Insyirah " Sesungguhnya sesudah kesulitan itu memang ada kemudahan", " Bergembiralah, telah datang kepada kamu kesenangan, satu kesusahan tidak dapat mengalahkan dua kesenangan". Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitab Tafsir al-Munir menjelaskan, bahawa al-Zajjaj mengulas perkataan al-Usr disebut secara makrifah atau dengan alif dan lam. Justeru, ia membawa makna kesusahan itu hanya satu. Apabila ia diulang 2 kali, ia hanya membawa maksud satu kesusahan. Manakala perkataan yusr adalah nakirah kerana tiada alif lam. Apabila ia diulang sebanyak 2 kali, ia membawa maksud 2 kesenangan. Oleh itu, bertepatan dengan apa yang disabdakan oleh Nabi SAW.

2) Allah menutup surah al-Insyirah dengan ayat ke-7 dan ke-8 yang bermaksud " Maka apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh(urusan) yang lain. Dan hanya kepada Tuhanmulah hendaknya kamu berharap".

3) Krisis politik di Perak masih belum berkesudahan. MB Perak-Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin enggan melepaskan jawatan. Pada waktu yang sama, bakal MB Perak yang baru-Datuk Dr Zambry Abdul Kadir akan mengangkat sumpah di Istanda Iskandariah, Kuala Kangsar pada jam 3.30 petang ini. Memang benar, sekali imbas, MB Perak yang sedia ada akan ditohmah sebagai penderhaka, tetapi sepatutnya rakyat dan Sultan melihat UMNO dan BNlah yang lebih menderhaka kerana tidak hormat pilihan rakyat dan perkenan sultan sebelum ini terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Di atas nama gila kuasa dan politik ala Machiavelli-yang penting matlamat menghalalkan cara (the end justify the mean).

4) Kini, tiada pilihan selain bergantung harap hanya kepada Allah, di samping berusaha membawa isu 3 Adun yang berpaling tadah ke mahkamah agar dikosongkan kerusi tersebut. Benarlah kata Nabi SAW, 2 kesenangan akan dapat mengalahkan satu kesusahan. Kita mungkin terpaksa juga berundur, tetapi bukan bermaksud menyerah kalah. Sebaliknya, menyusun strategi untuk kembali melangkah. Di atas segala kesilapan dan kesalahan sebelum ini, yang mungkin melukakan hati Sultan Perak-perlu diamati dan dimuhasabah kembali. Insya allah, pilihanraya umum ke-13 bakal menjadi saksi, UMNO dan BN akan karam dalam pukulan ombak dan tsunami yang dicipta oleh rakyat Malaysia, yang matang menilai tindakan paling tidak bermoral ketika merampas kuasa di Perak. Hanya kepada Allah kita mengadu dan bermohon segala hajat, dan kepadaNyalah kita berharap!


6 Februari 2009, 10 Safar 1430 Hijrah,

6.37 pagi, Malaysia Timur.

Khamis, 5 Februari 2009

Moga Allah memberikan petunjukNya!


1) Saya mempunyai kenangan yang indah dan nostalgia yang sentiasa kekal dalam ingatan bila berbicara tentang Perak Darul Ridzuan. Saya pernah menetap di sana selama 7 tahun bermula 1984 hingga 1991. Saya sempat bersekolah di SK Cator Avenue yang berhadapan dengan Hospital Besar Ipoh. Saya mempunyai banyak kenangan manis bersama teman-teman sepermainan di Taman Maju Rapat, Ipoh. Justeru bila terpaksa berpindah ke Johor Bharu pada hujung tahun 1991, kami sekeluarga berasa sangat sedih kerana ramai kawan rapat yang akan ditinggalkan.

2) Rakyat Perak mencipta kejutan dalam PRU ke-12 Mac 2008 yang lepas. Di atas kebosanan terhadap pemerintahan UMNO dan BN, maka buat pertama kalinya dalam tempoh 50 tahun, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP memerintah negeri Perak Darul Ridzuan. Benar, semua orang tidak menyangka ini semua boleh berlaku tetapi itulah ketetapan Ilahi.

3) Perak sangat terkenal dengan Mufti Perak yang lantang dan tegas iaitu Datuk Seri Dr Harussani Zakaria sehinggalah diambil alih oleh bekas Mufti Perlis-Dr Asri Zainal Abidin. Perak juga terkenal dengan Sultan yang sangat berkredibiliti dan disayangi rakyat iaitu Sultan Azlan Shah dan waris baginda yang dikenal sebagai pemikir yang hebat-Raja Dr. Nazrin Shah. Sambuatan Jubli Perak ulangtahun ke-25 Sultan Perak membuktikan baginda dikenang sebagai raja yang adil dan saksama.

4) Kronologi senario politik yang tidak menentu mutakhir ini bertambah genting dan sampai ke tahap kemuncaknya semalam apabila 3 wakil rakyat Pakatan Rakyat berpaling tadah menjadi Adun bebas dan menyokong BN. Hasrat MB Perak untuk membubarkan sidang DUN, dikatakan tidak diperkenankan Sultan Perak. BN dengan bangga menyatakan telah memperoleh majoriti kerusi untu menubuhkan kerajaan baru di Perak. Tetapi tindakan ini dilihat sangat tidak bermoral denganisu kehilangan 2 exco Pakatan Rakyat dan kembalinya semula Adun Bota ke pangkuan UMNO, menampakkan lagi kepada kita betapa badut politik ini cuba memperbodohkan rakyat. Mereka sangat yakin rakyat Perak menyokong mereka.

5) Kerajaan Perak yang dipimpin oleh Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin tidak lekang dari asakan dan tohmahan oleh UMNO,BN dan segala media massa yang pro mereka. Dan war-war Kerajaan Perak Pakatan Rakyat tumbang disebarkan dalam seluruh media massa hari ini. Sesungguhnya pemerintahan yang telus dan berintegriti dan menegakkan kebenaran tidak akan sunyi dari ujian dan konspirasi jahat pihak musuh. Benara, mungkin ada beberapa tindakan yang menjadi kontroversi seperti pemberian hak milik kekal tanah kepada kampung baru sehingga 999 tahun, mengundang rasa tidak selesa kepada masyarakat Melayu Islam di Perak, tetapi ia tidak bermakna Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah ditolak oleh rakyat. Apapun ia sebagai muhasabah yang perlu dilakukan oleh pimpinan negeri.

6) Akhir kalam, kita berdoa kepada Allah, agar Dia memberi petunjukNya. Dia memberikan ilham kepada Sultan Perak agar keputusan yang dibuat nanti adalah adil lagi saksama. Serahkan kepada rakyat untuk menentukan pimpinan mereka. UMNO dan BN mengatakan rakyat menyokong mereka mengambil alih kerajaan Perak. Sila buktikan-dan bertarunglah secara anak jantan dalam pilihanraya DUN sekali lagi, agar rakyat yang membuat keputusan. Bukan diperbodohkan oleh Adun yang suka melompat dan ditawar dengan pelbagai ganjaran semata-mata untuk menutup kes rasuah. Kelak, Kerajaan Perak UMNO dan BN akan dikenali sebagai kerajaan kaki rasuah dan kaki lompat. Bagi ahli politik berkenaan, terutamanya yang beragama Islam-ingatlah hari ini anda masih boleh tersenyum demi menghitung jawatan, kuasa dan kepentingan dunia sementara yang bakal dinikmati. Tetapi segala perlakuan tidak bermoral ini pastinya akan disoal oleh Allah di akhirat kelak. Di saat itu, tiada lagi tempat untuk mengadu dan memohon bantuan, selain menerima azab yang telah dijanjikanNya. Moga Allah memberikan petunjukNya!


5 Februari 2009, 8 Safar 1430 Hijrah,

6.49 pagi, Malaysia Timur.

Rabu, 4 Februari 2009

Ya Allah selamatkanlah Kerajaan Pakatan Rakyat Perak dari konsiprasi jahat!

MB Perak tidak menolak, jika perlu akan membubarkan DUN Perak demi integriti wakil rakyat yang dipilih. Ini kerana Adun Behrang dan Changkat Jering, dilihat mempunyai perancangan tertentu untuk menumbangkan Pakatan Rakyat. Walaupun mereka mengumumkan kini, mereka menjadi Adun Bebas, dipercayai mereka akan melompat masuk UMNO dan BN. Ini kerana mereka masih disabitkan dengan pertuduhan rasuah berjumlah RM 180 juta.

Justeru, kita mengharapkan agar rakyat Perak dapat bertenang dan membuat solat sunat hajat agar Kerajaan Pakatan Rakyat kini stabil dan tidak tergugah dengan apa jua konsiprasi jahat yang dirancang musuh.

Apabila Pengerusi SPR mengumumkan bahawa 2 Adun Perak masih kekal sebagai Adun kerana terdapat keraguan pada surat perletakan jawatan, banyak persoalan yang timbul?

1) Adakah SPR mempunyai kuasa mempertikaikan kesahihan suarat perletakan jawatan mereka?

2) Mengapa SPR tidak menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Speaker Perak yang jelas menyatakan 2 kerusi DUN tersebut telah dikosongkan?

3) Mengapa SPR tidak mengambil pandangan daripada pakar perundangan seperti Profesor Abdul Aziz Bari dari UIA dan YB Wan Junaidi;Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang tegas menyatakan-apabila seseorang menandatangani sesuatu surat, maka individu tersebut faham dan bertanggungjawab dengan isi kandungan surat yang ditandatangani?

Semoga Allah meneguhkan hati-hati rakyat Perak agar terus utuh bersama Kerajaan Perak kini yang diterajui Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin, Amin!

4 Februari 2009, 8 Safar 1430 Hijrah,

6.42 pagi, Malaysia Timur

Ahad, 1 Februari 2009

Di antara 2 perjuangan

Sah! 2 Adun PKR yang juga merupakan Exco Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Perak, telah meletak jawatan dan Speaker DUN Perak telah mengumumkan kedua-dua kerusi ADUN berkenaan dikosongkan, dan pilihanraya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Inilah politik. Iaitu perkara yang serba mungkin. Ada yang mengatakan ia merupakan konspirasi dari UMNO dan BN yang telah mengugut 2 exco tersebut, jika mahu digugurkan kes rasuah mereka, maka perlu meletak jawatan atau menyertai BN.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang diterajui Dato Seri Ir Nizar Jamaluddin sebagai MB, tidak putus-putus ditimpa pelbagai ujian sejak memerintah. Apapun kita yakin, dengan mood rakyat yang kini kuat menolak UMNO dan BN, pilihanraya kecil ini mampu dihadapi dengan baik. Tinggal lagi, UMNO dan BN pastinya akan berhempas pulas demi menawan kembali Perak dari Pakatan Rakyat.

Sesungguhnya perjuangan menegakkan kebenaran, terbukti begitu banyak dugaan yang perlu direntangi. Kita berdoa kepada Allah SWT, agar Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak tetap utuh dan teguh, dan didokong oleh rakyat Perak yang tetap mahukan perubahan dan menolak UMNO dan BN!

Justify FullMeskipun dimomokkan oleh media massa bahawa pelancaran bantahan terhadap PPSMI di Sogo Jumaat lepas tidak mendapat sambutan rakyat ; kita yakin dengan kehadiran tokoh bahasa, ilmuwan dan cendikiawan seperti Sasterawan Negara ; A Samad Said, mantan Ketua Pengarah DBP ; Dato Hassan Ahmad, pengasas PTS Publication ; Puan Ainon Mohd dan tokoh-tokoh bahasa yang lain, membuktikan keprihatinan golongan ilmuan terhadap isu bahasa ini.

Mereka tetap tegas berhujah bahawa, mana mungkin suatu bangsa akan maju jika mengguna pakai bahasa orang lain untuk menguasai Sains dan Matematik. Apatah lagi, murid-murid di luar bandar ternyata jauh ketinggalan dari aspek bimbingan dan pemantauan terhadap PPSMI ini, berbanding murid-murid di bandar.

Kita tetap yakin, perjuangan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan akan didokong bersama oleh rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Tetapi sedihnya, apabila orang Melayu Islam sendiri menolak Bahasa Melayu sebagai pengantar utama dalam subjek Sains dan Matematik, tidak mustahil bangsa Melayu Islam akan terus terpinggir menjadi bangsa yang maju dan berteknologi tinggi.

Semoga 2 perjuangan di atas dibantu Allah SWT, dengan dokongan teguh mereka yang ikhlas dan istiqamah di atas landasan 2 perjuangan kebenaran ini. Amin.


1 Februari 2009, 4 Safar 1430 Hijrah,

10.28 malam, Malaysia Timur

Site Meter

Web Counter

Diskusi Santai


Ukhuwwah.Com

Bacalah dengan mata hati

Pesan seorang wali Allah bernama Sayid Ahmad al-Badawi r.a: Seseorang yang benar-benar dalam syariat ada 12 belas tandanya : 1) Benar-benar kenali Allah 2)Benar-benar jaga perintah Allah 3)Berpegang teguh dengan sunnah Rasulullah saw 4)Selalu berwudhu' 5)Redha menerima qadha dan qadar Allah 6)Yakin dengan janji Allah 7)Putus harapan dari semua apa yang di tangan makhluk 8)Tabah dan sabar menanggung derita dan gangguan 9)Rajin dalam beribadah 10)Kasih dan sayang kepada semua makhluk Allah 11)Tawadhu kepada yang lebih tua atau muda 12)Sedar syaitan musuh utama

Globetrackr

Histats.com

Mengenai Saya

Your attitude determine your altitude