1) Saya mempunyai kenangan yang indah dan nostalgia yang sentiasa kekal dalam ingatan bila berbicara tentang Perak Darul Ridzuan. Saya pernah menetap di sana selama 7 tahun bermula 1984 hingga 1991. Saya sempat bersekolah di SK Cator Avenue yang berhadapan dengan Hospital Besar Ipoh. Saya mempunyai banyak kenangan manis bersama teman-teman sepermainan di Taman Maju Rapat, Ipoh. Justeru bila terpaksa berpindah ke Johor Bharu pada hujung tahun 1991, kami sekeluarga berasa sangat sedih kerana ramai kawan rapat yang akan ditinggalkan.
2) Rakyat Perak mencipta kejutan dalam PRU ke-12 Mac 2008 yang lepas. Di atas kebosanan terhadap pemerintahan UMNO dan BN, maka buat pertama kalinya dalam tempoh 50 tahun, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP memerintah negeri Perak Darul Ridzuan. Benar, semua orang tidak menyangka ini semua boleh berlaku tetapi itulah ketetapan Ilahi.
3) Perak sangat terkenal dengan Mufti Perak yang lantang dan tegas iaitu Datuk Seri Dr Harussani Zakaria sehinggalah diambil alih oleh bekas Mufti Perlis-Dr Asri Zainal Abidin. Perak juga terkenal dengan Sultan yang sangat berkredibiliti dan disayangi rakyat iaitu Sultan Azlan Shah dan waris baginda yang dikenal sebagai pemikir yang hebat-Raja Dr. Nazrin Shah. Sambuatan Jubli Perak ulangtahun ke-25 Sultan Perak membuktikan baginda dikenang sebagai raja yang adil dan saksama.
4) Kronologi senario politik yang tidak menentu mutakhir ini bertambah genting dan sampai ke tahap kemuncaknya semalam apabila 3 wakil rakyat Pakatan Rakyat berpaling tadah menjadi Adun bebas dan menyokong BN. Hasrat MB Perak untuk membubarkan sidang DUN, dikatakan tidak diperkenankan Sultan Perak. BN dengan bangga menyatakan telah memperoleh majoriti kerusi untu menubuhkan kerajaan baru di Perak. Tetapi tindakan ini dilihat sangat tidak bermoral denganisu kehilangan 2 exco Pakatan Rakyat dan kembalinya semula Adun Bota ke pangkuan UMNO, menampakkan lagi kepada kita betapa badut politik ini cuba memperbodohkan rakyat. Mereka sangat yakin rakyat Perak menyokong mereka.
5) Kerajaan Perak yang dipimpin oleh Datuk Seri Ir. Nizar Jamaluddin tidak lekang dari asakan dan tohmahan oleh UMNO,BN dan segala media massa yang pro mereka. Dan war-war Kerajaan Perak Pakatan Rakyat tumbang disebarkan dalam seluruh media massa hari ini. Sesungguhnya pemerintahan yang telus dan berintegriti dan menegakkan kebenaran tidak akan sunyi dari ujian dan konspirasi jahat pihak musuh. Benara, mungkin ada beberapa tindakan yang menjadi kontroversi seperti pemberian hak milik kekal tanah kepada kampung baru sehingga 999 tahun, mengundang rasa tidak selesa kepada masyarakat Melayu Islam di Perak, tetapi ia tidak bermakna Kerajaan Pakatan Rakyat Perak telah ditolak oleh rakyat. Apapun ia sebagai muhasabah yang perlu dilakukan oleh pimpinan negeri.
6) Akhir kalam, kita berdoa kepada Allah, agar Dia memberi petunjukNya. Dia memberikan ilham kepada Sultan Perak agar keputusan yang dibuat nanti adalah adil lagi saksama. Serahkan kepada rakyat untuk menentukan pimpinan mereka. UMNO dan BN mengatakan rakyat menyokong mereka mengambil alih kerajaan Perak. Sila buktikan-dan bertarunglah secara anak jantan dalam pilihanraya DUN sekali lagi, agar rakyat yang membuat keputusan. Bukan diperbodohkan oleh Adun yang suka melompat dan ditawar dengan pelbagai ganjaran semata-mata untuk menutup kes rasuah. Kelak, Kerajaan Perak UMNO dan BN akan dikenali sebagai kerajaan kaki rasuah dan kaki lompat. Bagi ahli politik berkenaan, terutamanya yang beragama Islam-ingatlah hari ini anda masih boleh tersenyum demi menghitung jawatan, kuasa dan kepentingan dunia sementara yang bakal dinikmati. Tetapi segala perlakuan tidak bermoral ini pastinya akan disoal oleh Allah di akhirat kelak. Di saat itu, tiada lagi tempat untuk mengadu dan memohon bantuan, selain menerima azab yang telah dijanjikanNya. Moga Allah memberikan petunjukNya!
5 Februari 2009, 8 Safar 1430 Hijrah,
6.49 pagi, Malaysia Timur.
3 ulasan:
DOA ORANG TERANIAYA MEMANG MAKBUL..
Insya allah. Amin
udahla weih... cakap je senang
Catat Ulasan