Usul tergempar mengkritik Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diluluskan buat pertama kali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini bagi membantah penahanan berlanjutan seorang wakil rakyat negeri itu.
M Manoharan (foto), yang menang atas tiket DAP kini ditahan di kem Kamunting, Taiping sejak Disember lepas.
Usul tersebut dibawa oleh ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku (DAP), Lau Wen Sang, lewat petang ini dan dibahaskan sehingga awal malam.
Usul bersejarah itu berbunyi: "Bahawa Dewan ini menetap untuk mengkritik penahanan Yang Berhormat Tuan M Manoharan, Adun kawasan Kota Alam Shah serta pemimpin-pemimpin Hindraf (Barisan Bertindak Hak-hak Hindu) dan aktivis-aktivis sosial yang lain tanpa perbicaraan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyeru Kementerian Dalam Negeri membebaskan tahanan-tahanan ini."
Ia diluluskan sebulat suara oleh DUN Selangor tepat jam 9 malam ini. Semua Adun BN tidak menyertai perbahasan tersebut yang bermula jam 6 petang tadi.
Manoharan dan empat lagi pemimpin Hindraf - P Uthayakumar, V Ganabatirau, R Kengadharan dan K Vasantha Kumar - ditahan pada 13 Disember selepas terbabit menganjurkan perhimpunan 25 November lalu.
Usul itu disokong dan dibahaskan oleh enam wakil rakyat, termasuk dua bekas tahanan ISA - Dr Mohamad Nasir Hashim (DAP-Kota Damansara) dan Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang).
Turut serta dalam perbahasan itu barisan Adun muda Pakatan Rakyat: Gan Pi Nee (PKR-Rawang), Hannah Yeoh (DAP-Subang), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia) dan Amirudin Shari (PKR-Batu Caves).
Dalam ucapannya, Lau turut menyifatkan akta tersebut sebagai bercanggah dengan prinsip Islam.
"ISA juga bertentangan dengan ajaran agama. Misalannya, ia bercanggahan dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan seperti yang diterangkan dalam al-Quran, iaitu ayat 58 surah an-Nisa', ayat 15 surah as-Syura dan ayat 90 surah an-Nahl," kata Lau, yang juga setiausaha DAP negeri.
"Penahanan seseorang tanpa perbicaraan merupakan satu bentuk pencabulan hak asasi manusia yang patut dikutuk dan dikritik sekeras-kerasnya, khususnya dalam kes ini di mana seorang wakil rakyat telah dinafikan hak dan kebebasannya untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang wakil rakyat."
Ulasan : Benar ISA suatu akta yang tidak memberikan hak yang wajar kepada yang ditahan. Kadangkala sehingga pembebasan mereka pun, tahanan ISA tidak dibawa ke mahkamah dan tidak pula didedahkan bukti yang menunjukkan mereka bersalah. Allah bersama orang yang dizalimi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan